nota edu sem 8.docx
TRANSCRIPT
PEMIKIRAN KREATIF, INOVATIF DAN KOMPETEN
ABSTRAK
Sememangnya Wawasan 2020 dan Pelan Induk Pembangunan Pendidikan telah
bertujuan untuk melahirkan rakyat yang berkompeten, berkreatif dan inovatif. Hal ini
kerana kita tidak seharusnya menjadi pengguna teknologi sebaliknya hendaklah
menjadi penyumbang teknologi. Untuk merealisasikan matlamat ini, sistem pendidikan
kita hendaklah menerapkan kemahiran kompeten, kreatif dan inovasi dalam kurikulum
sekolah. Sebagai menyahut seruan kerajaan ini, saya sebagai guru telah mencuba
sedaya upaya saya untuk merealisasikannya sedikit sebanyak dalam pengajaran saya.
Matlamat pendidikan adalah untuk melatih pelajar berfikir dan mencapai tahap mahir.
Kemahiran dapat dikuasai melalui pengajaran dan pembelajaran yang tersusun di
samping mempunyai keazaman untuk memperbaikinya dan diikuti dengan latihan.
Laporan Jemaah Nazir Persekutuan mendapati ramai guru yang tidak menerapkan
kemahiran berfikir secara kreatif dan inovasi dalam pengajaran walaupun telah lama
diperkenalkan di sekolah secara tidak formal. Pelajar berminat untuk belajar jika
pengajaran berbantukan kreativiti, kewajaran dan justifikasi.. Oleh itu tugasan ini
menyelongkar sedikit sebanyak kaedah yang telah saya gunakan untuk memupuk
kemahiran berfikir secara kreatif dan inovasi tersebut. Pelbagai kaedah telah dihuraikan
dalam tugasan ini. Adalah menjadi harapan saya dengan menekankan kemahiran ini
maka modal insan minda kelas pertama dapat dilahirkan.
1.0 PENGENALAN
Pada akhir-akhir ini, masyarakat yang kreatif dan inovatif amat diperlukan supaya
matlamat Modal Insan dapat dicapai untuk pembangunan negara. Dalam usaha
menyediakan tenaga kerja yang berkualiti untuk mencapai kecemerlangan negara yang
berterusan, mantan Perdana Menteri Malaysia Tun Abdullah Ahmad Badawau telah
membangkitkan Konsep Modal Insan. Hasrat kerajaan adalah tinggi dalam melahirkan
generasi pelapis yang berkualiti dan berkompeten dalam menerajui negara ke arah
kemajuan yang bakal dicapai terutamanya dalam menghadapi Wawasan 2020.
Masyarakat yang kreatif bermaksud masyarakat yang mempunyai kebolehan
mewujudkan sesuatu yang baharu sama sekali.
Masyarakat yang inovatif pula bermaksud masyarakat yang memiliki kemampuan untuk
menciptakan sesuatu yang baharu. Sebagai institusi pelajaran, sekolah memainkan
peranan penting dalam melahirkan pelajar yang kompeten, kreatif dan inovatif. Menurut
mantan Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad, Malaysia mempunyai sistem
pendidikan yang terbaik dalam kalangan dunia ketiga maka kejayaan yang perlu dicapai
mempunyai kaitan dengan cabaran keenam Wawasan 2020 iaitu mewujudkan
masyarakat yang saintifik dan progresif, masyarakat yang inovatif dan memandang jauh
kehadapan.
2.0 KONSEP PEMIKIRAN KREATIF, INOVATIF DAN KOMPETEN
Pemikiran kreatif dan inovatif dijadikan penguasaan asas ilmu dalam kalangan guru
untuk diterapkan kepada pelajar-pelajar. Definisi pemikiran kreatif dan inovatif menurut
George, 1970 ialah pemikiran sebagai suatu proses penyelesaian masalah dan
perlakuan semulajadi yang kompleks (Edward de Bono,1997). Beliau juga mengaitkan
pemikiran kreatif dan inovatif dengan pemikiran lateral yang membawa maksud bukan
sahaja untuk menyelesaikan masalah, malahan juga berfikir untuk melihat sesuatu
berdasarkan pelbagai perspektif bagi menyelesaikan masalah. pemikiran kreatif dan
inovatif yang dikembangkan dan perlu dikuasai oleh pelajar ialah pemikiran secara kritis
dan kreatif. Poh Swee Hiang (1999) menyatakan pemikiran keatif amat penting untuk
membentuk warganegara yang tahu dan mampu menggunakan pemikiran mereka
dalam menghadapi pelbagai cabaran, tekanan dan perubahan manakala pemikiran
inovatif dapat membentuk individu agar mempunyai daya kreativiti yang baik, ideal,
imaginatif dan mempunyai unsur-unsur humanistik dan artistik yang tinggi.
Apabila kedua-dua kemahiran ini dikuasai oleh pelajar melalui rangsangan dan latihan
yang diberi seterusnya pelajar mengaplikasikan dalam corak pembelajaran harian maka
pembelajaran yang optimum akan berlaku. Kompeten bermaksud pengetahuan,
kemahiran dan sikap yang dimiliki oleh seseorang pelajar untuk meningkatkan kualiti
pencapaian pendidikan. Kompeten merupakan satu keperluan yang standard bagi
seseorang pelajar mencapai hasil peresekolahannya seperti dapat bersaing secara
positif dengan rakan-rakan pelajar dan mereka hendaklah bernilai marketable dan
employable apabila mereka meninggalkan bangku sekolah. (Ainon Muhammad, 1996)
Untuk merangsang daya kreativiti murid, sistem pendidikan di negara kita perlu
menekankan aspek percambahan idea dalam kalangan murid. Pembelajaran dalam
bilik darjah perlu menjadi medan di mana murid-murid dapat mengemukakan idea-idea
yang bernas dan seterusnya berkongsi idea ini dengan rakan-rakan yang lain untuk
menghasilkan sesuatu yang bermanfaat. Percambahan idea ini boleh dirangsang
mealui pendekatan pembelajaran berasaskan penyelesaian masalah atau problem-
based learning. Sebagai contoh, seorang guru yang kreatif boleh meminta murid untuk
bekerja dalam beberapa kumpulan kecil untuk menyelesaikan sesuatu masalah di
sekolah.
Sekolah saya sering menghadapi masalah pembuangan sampah yang menjejaskan
persekitaran dan suasana pembelajaran di sekolah. Perkara pertama yang perlu saya
buat ialah mengenal pasti apakah punca yang menyebabkan masalah tersebut. Setelah
menemui puncanya, saya boleh menggalakkan pelajar mengemukakan pelbagai idea
untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi. Mereka boleh berbincang mengenai
perkara ini, membuat persembahan kepada kelas mengenai saranan penyelesaian
masalah, dan seterusnya memilih saranan yang terbaik bagi mengatasi masalah yang
dihadapi. Mungkin mereka akan mengemukakan kaedah baharu seperti pengurusan
pembersihan sekolah, pemberian insentif kepada murid atau kelas yang paling bersih,
atau mencipta alat baharu yang boleh mengatasi masalah pembuangan sampah di
sekolah. Aktiviti ini melibatkan beberapa proses pembelajaran penting seperti pencarian
fakta (fact finding), pencarian punca masalah (problem finding), pencarian idea (idea-
finding) dan akhirnya penemuan penyelesaian (solution finding) yang kesemuanya
merangsang daya kreativiti murid.
Kesimpulannya, sekolah sebagai organisasi hendaklah memberikan peluang kepada
pelajar untuk mencambahkan idea mereka. Dengan percambahan idea, pelajar yang
berfikiran kreatif, kompeten dan inovatif dapat dilahirkan.
3.0 KAEDAH CUNGKIL BIJAK
Saya sebagai guru telah memperkenalkan satu kaedah yang bernama Cungkil Bijak
dalam Pengajaran dan Pembelajaran Pengajian Am. Kaedah ini lebih berpusatkan
pelajar. Aktiviti sambil belajar seperti eksperimen, perbincangan, simulasi, lawatan,
penyelesaian masalah, penggunaan sumber luar bilik darjah dan penggunaan teknologi
dalam ICT bukan sahaja dapat melahirkan pelajar yang kreatif, tetapi juga inovatif. Saya
telah memperkenalkan beberapa aktiviti baru termasuklah program ‘Cungkil Bijak’ ini
untuk menarik minat para pelajar dalam tajuk Kenegaraan. Cungkil Bijak merupakan
satu kaedah kuiz. Pelajar dibahagiakn kepada dua kumpulan dan diadakan duga akal.
Sebelum mengambil bahagian dalam program ini, pelajar didapati menyediakan
pelbagai teknik mengambil nota dan menyimpan nota untuk menajwab soalan-soalan
tersebut. Biasanya pelajar saya lemah menguasai istilah dan fakta mengenai
perundangan, kehakiman dan pentadbiran Malaysia. Selepas diadakan program
Cungkil Bijak ini pelajar dapat menjawab soalan-soalan yang dikemukakan dengan
yakin dan betul. Kreativiti mereka adalah dalam cara penyediaan nota dan inovasi pula
mereka ialah dalam mereka bentuk satu teknik baharu yang belum digunakan oleh
mana-mana pelajar yang lain di sekolah saya.
Kesimpulannya, kaedah Cungkil Bijak ini telah mendorong pelajar saya lebih kreatif dan
inovatif dalam penyediaan dan penyampaian buah fikiran. Malah saya telah mendapati
prestasi mereka juga telah meningkat khususnya topik yang diajarkan.
4.0. KAEDAH PENYELESAIAN MASALAH
Kreativiti dan inovasi dalam kalangan pelajar juga boleh dipupuk dalam pelaksanaan
pembelajaran dalam kumpulan. Setiap pelajar mempunyai daya imiginasi yang
tersendiri dalam melihat sesuatu secara berlainan. Pembelajaran dalam kumpulan
dapat memupuk para pelajar untuk berfikiran secara terbuka atau berfikir di luar kotak
serta secara analitikal, kritikal dan praktikal. Apabila saya memberikan pelajar sesuatu
situasi untuk diselesaikannya, pelajar-pelajar melihat masalah itu dari pelbagai
perspektif.
Sebagai contoh pelajar aliran sastera melihat dari aspek kualitatif manakala pelajar
aliran sains saya pula melihat dari perspektif kuantitatif. Bagaimanapun kedua-dua
golongan ini melihat sesuatu masalah yang diberikan secara alitikal, praktikal dan
pragmatik. Hal ini akan mendorong –pelajar pelajar saya untuk melihat sesuatu perkara
itu sebagai peluang yang boleh mencetuskan idea baharu. Mereka juga terpaksa
menggunakan minda yang kreatif untuk menemukan perspektif yang baru dalam
penyelesaian masalah.
Dalam bilik darjah, saya sentiasa memastikan penggunaan bahan pengajaran dan
pembelajaran. Setiap bahan yang digunakan merangkumi sifat-sifat, kelebihan dan
kekurangan bahan yang digunakan dalam pembelajaran. Hal ini memerlukan pelajar
bijak membezakan setiap bahan yang digunakan. Oleh itu kebolehan membandingkan
dan membezakan dalam bab Kehakiman umpamanya amat diperlukan di samping
penyelesaian masalah yang diberi. Tajuk Kehakiman yang merangkumi fungsi dan
bidang kuasa mahkamah dan hakim contohnya lebih menjurus kepada soalan
penyelesaian masalah yang dikemukakan berdasarkan situasi-situasi. Hal ini selaras
dengan Sukatan Pelajaran Pengajian Am yang menuntut pelajar supaya mentakrifkan
mahkamah dan bidang kuasanya dengan tepat sebelum menyelesaikan masalah
kehakiman yang diberi.
Pelajar perlu memikirkan beberapa alternatif dan menentukan pilihan yang terbaik
semasa menyelesaikan masalah dengan mengambil kira perkara-perkara penting
kemudian menentukan keutamaan untuk menyelesaikan masalah.Penggunaan model
kreatif dan inovasi akan membantu pelajar dalam cara belajar bab ini dengan lebih
berkesan. Pelajar yang mengaplikasikan model ini dalam pembelajaran bab Kehakiman
telah memahami bahawa kemahiran berfikir yang efektif perlu digunakan dalam
menyelesaikan masalah kerana penyelesaian masalah Kehakiman juga sebagai proses
kemahiran berfikir. Saya berpendapat bahawa penggunaan kaedah pemikiran kreatif
dan inovasi dalam menyelesaikan masalah yang digunakan dalam pembelajaran,
pelajar diharapkan menjadi seorang penyelesai masalah yang baik sama ada di dalam
dan di luar sekolah.
Kesimpulannya, kaedah penyelesaian masalah ini bukan sahaja telah berjaya
merungkaikan segala kesulitan pelajar dalam pelajaran malah dapat membantu pelajar
apabila mereka dewasa nanti.
5.0. PENGGUNAAN PETA MINDA DAN GRAFIK
Untuk memantapkan penggunaan kreatif dan inovasi dalam bilik darjah, saya
menggalakkan pelajar saya menggunakan alat-alat berfikir seperti peta minda dan
untuk membantu mereka dalam memahami fakta-fakta dalam bab Perundangan
dengan lebih mudah. Pelajar-pelajar digalakkan untuk mencatat nota dengan
menggunakan peta minda. Hal ini adalah selaras dengan Abd.Rahim (1999) dan Buzan
(1984) iaitu bagi meningkatkan daya ingatan, taakulan dan perkembangan pemikiran
dalam sesuatu pembelajaran, konsep pemetaan minda boleh diketengahkan.
Perundangan merupakan satu bab untuk pelajar memahami proses pembinaan ingatan
yang bermula dari tajuk-tajuk kecil hinggalah tajuk-tajuk yang lebih rumit.
Setiap proses yang dinyatakan dalam bab ini memerlukan kemahiran berfikir pelajar
untuk membezakan setiap aras perundangan seperti perundangan Parlimen dan
Dewan Undangan Negeri. Oleh yang demikian untuk mengelakkan pelajar-pelajar keliru
dengan setiap proses yang dinyatakan, pelajar boleh menggunakan model pemikiran
kreatif dan inovatif untuk bab ini. Teknik berfikir melalui operasi meta kognitif ini akan
membantu individu menjana pemikiran secara kreatif dan kritis melalui peta minda dan
penggunaan grafik.
Selain itu peta minda yang lain adalah seperti ‘relevance tree’. Saya akan memecahkan
sesuatu tajuk utama kepada sub-tajuknya. Contoh yang biasa saya gunakan ialah Carta
Organisasi sesebuah pertubuhan seperti Hierarki Kerajaan Pesekutuan Malaysia.
Struktur organisasi ini dapat difahami dengan lebih jelas lagi dengan adanya pertalian
‘line’ dan ‘staff’. Biasanya garisan biasa menunjukkan tanggunjgawab langsung kepada
matlamat organisasi manakala garisan berputus-putus menunjukkan fungis staf yang
berperanan menyokong dan menasihati ahli organisasi yang lain. Satu lagi bentuk peta
minda yang saya gunakan untuk menggalakkan pelajar saya berfikir secara kreatif dan
inovasi ialah rajah tulang ikan. Rajah ini biasanya saya gunakan untuk meneliti sebab
dan punca masalah sesuatu proses atau organisasi. Teknik ini sangat diutamakan
khususnya apabila saya mengajar tajuk-tajuk esei dalam kelas saya.
Kesimpulannya, penggunaan peta minda dan grafik seperti rajah, gambar rajah dan
pelbagai bentuk visual lain mendorong pelajar saya berfikir secara lebih terbuka, kreatif
dan inovatif
6.0 PENGGUNAAN TEKNIK GLUKOSA
Seperti yang diketahui umum, GLUKOSA diperlukan untuk menghasilkan tenaga
bagi metabolisme hayat. Saya telah menterjemahkan ini dalam pengajaran dan
pembelajaran di bilik darjah untuk menghasilkan idea-idea baharu. GLUKOSA yang
diertikan adalah seperti berikut:
G – ganti atau gabung
L – lebihkan (diperbanyakkan dari segi kuantiti sesuatu unsur)
U – ubahsuai (ubah warna, bentuk, proses, rasa, bau, bunyi dan lain-lain)
K – kurangkan (diperkecilkan dari segi kuantiti sesuatu unsur)
O – olakkan (diulang-ulang, diputar, dikisar dan dipusingkan)
S – songsangkan (diterbalikkan dari segi masa, proses, arah dan lain-lain)
A – aplikasi atau adaptasi.
Untuk menghasilkan rekaan baharu, saya telah menggunakan GLUKOSA untuk
meneliti sesuatu benda atau idea yang sedia ada. Teknik ini telah saya gunakan secara
sengaja dan dijadikan sebagai suatu kebiasaan berfikir. GLUKOSA ini merupakan satu
senarai semak (check list) Senarai semak ini telah diperluas lagi dan tidak rigid. Untuk
memudahkan aplikasinya di bilik darjah maka suatu bentuk penyusun grafik
dicadangkan. Contohnya adalah seperti berikut:
IDEA / PROSES /BENDA SEDIA ADA Idea / proses & bentuk baru
Unsur/Ciri/Bahagian Senarai Semak Kemungkinan, Akibat & Kesan
G
L
U
K
O
S
A
Pelajar-pelajar diminta mengisi item yang dipelajari di ruang pertama. Selepas itu
mereka dikehendaki nyatakan sebarang kemungkinan, akibat atau kesan yang berlaku
terhadap item yang ditulisnya tadi di ruang ketiga. Selepas pelajar berfikir, sudah tentu
dia akan memperoleh satu idea baharu. Jadi idea baharu itu akan ditulis di ruang akhir.
Saya telah melakukan eksperimen ini setiap kali saya mengajar tajuk karangan.
Karangan lebih sesuai kerana pelajar dapat memikirkan banyak idea baharu
mengenainya.
Kesimpulannya, kaedah GLUKOSA amat sesuai bagi guru-guru bahasa yang perlu
mengajar tajuk-tajuk karangan, rumusan, ringkasan dan karangan berpandu.
7.0 KAEDAH KEMAHIRAN KOGNITIF DAN INKUIRI
Salah satu matlamat dalam Sukatan Pelajaran Pengajian Am ialah pelajar dapat
memikirkan sesuatu dengan kritis dan kreatif sesuai dengan peranan Bahasa Melayu
sebagai bahasa pengantar utama. Dalam hali ini saya sebagai guru memberi tumpuan
terhadap ketrampilan berbahasa yang dapat mendidik pelajar agar bertutur, cekap
membaca dan dapat menulis dengan kreatif. Matlamat ini dapat dicapai melalui
penghasilan karangan yang melibatkan hubungan pemikiran dan peluahan dalam
bentuk tulisan. Menurut Mohd. Yusuf Hassan (1994), penulisan karangan adalah
hubungan antara keupayaan pelajar berfikir dengan domain kognitif di samping domain
afektif dan psikomotor.
Dalam konteks pengajaran karangan, saya menggalakkan pelajar menulis rangka-
rangka karangan sebelum memindahkannya dalam bentuk karangan lengkap.
Beberapa kumpulan diwujudkan dan setiap ahli kumpulan digalakkan memberi
pendapat mengenai tajuk yang bakal ditulis oleh mereka. Sokongan bahan bantu
mengajar seperti keratan akhbar, rencana elektronik dan power point akan melahirkan
pemikiran pelajar yang positif, kreatif dan inovatif. Penghasilan karangan oleh pelajar
mempamerkan kemahiran berfikir setelah melalui pendedahan kemahiran berfikir
setelah melihat, membaca dan menghayati bahan-bahan pengajaran yang telah saya
sediakan sepanjang tempoh pengajaran karangan tersebut.
Dalam memupuk kemahiran berfikir secara kreatif dan inovasi saya mengesyorkan
Model Inkuiri dalam bilik darjah. Model Inkuiri ini merangkumi segala proses soal selidik
untuk mendapatkan jawapan atau kesimpulan daripada soalan, atau daripada masalah
yang dikemukakan. Saya menjalankan aktiviti soal selidik ini supaya pelajar saya dapat
mengenal pasti soalan bermasalah, membentuk hipotesis, merancang aktiviti kajian,
manjalankan kajian atau siasatan dan seterusnya mendapatkan jawapan dan membuat
rumusan. Dalam aktiviti pengajaran dan pembelajaran, saya menggunakan dua jenis
teknik inkuiri iaitu ‘inkuiri terbimbing’ dan ‘inkuiri terbuka’. Dalam Inkuiri terbimbing, saya
telah membimbing pelajar menjalankan segala proses kajian.
Kajian jenis ini telah saya gunakan untuk membimbing pelajar tingkatan enam atas
untuk menjalankan kajian seperti mana dikehendaki oleh Kementerian Pelajaran.
Dalam inkuiri terbuka, pelajar tidak diberi sebarang bimbingan. Segala proses kajian
dijalankan oleh pelajar sendiri. Model inkuiri ini amat berguna apabila saya menyuruh
pelajar mencari bahan pembelajaran seperti keratan akhbar, rencana dari internet dan
sebagainya. Pelajar dikehendaki mengumpul seberapa banyak maklumat yang
bersesuaian dengan tajuk yang diberi guru. Kemudian saya akan menentukan sama
ada bahan yang dicari pelajar itu sesuai atau tidak mengikut kehendak pelajaran pada
hari tersebut. Model ini membantu pelajar mendapatkan maklumat dan pengetahuan
baru dalam pelbagai bidang khususnya bagi tajuk-tajuk Pengajian Am.
Kesimpulannya, kemahiran kognitif dan inkuiri membantu pelajar dapat menulis esei
yang lebih berkualiti, berfikir secara logik, boleh memuatkan atau mengisi buah fikiran di
lokasi yang sesuai dalam wacana penulisan atau lisan. Tanpa kemhiran kognitif pelajar
tidak dapat memiliki kemahiran ingin mengetahui.
8.0 PENUTUP
Kesimpulannya, sekolah memainkan peranan penting dalam usaha membangunkan
para pelajar yang kreatif dan inovatif dan kompeten selaras dengan pembentukan
Modal Insan bagi mengisi keperluan negara maju 2020. Modal insan yang ingin
dihasilkan perlu mampu untuk berfikir secara kritis dan kreatif, berkemahiran
menyelesaikan masalah, berkeupayaan mencipta peluang-peluang baru, mempunyai
ketahanan serta kebolehan untuk berhadapan dengan persekitaran dunia global yang
sering berubah-ubah. Hal ini disebabkan golongan pelajar yang akan menjadi pemimpin
negara pada masa yang akan datang adalah golongan yang sedang berada di universiti
dan sekolah sekarang. Merekalah yang akan jadi pemimpin, pengurus, penggerak
pembangunan negara seterusnya merekalah yang akan menjadi golongan yang akan
berusaha memajukan negara di samping menikmati apa juga kejayaan yang telah
diusahakan oleh generasi terdahulu.
Oleh itu, jelas kelihatan bahawa sekolah memainkan peranan yang amat besar dalam
melahirkan pelajar yang kreatif dan inovatif dan kompeten untuk keperluan masa depan
negara. Pembangunan modal insan seperi dituntut dalam Wawasan 2020 dan Pelan
Induk Pembanguan Pendidikan memerlukan pemikiran rakyat yang dinamik dan
berkualiti terutama dari segi kefahaman dan penerokaan fikiran. Untuk membentuk
sebuah masyarakat yang saintifik dan progresif, guru-guru hendaklah sanggup
menghadapi perubahan dan berpandangan jauh ke hadapan.
SENARAI RUJUKAN
Abdul Rahim Hussein (1996). Memupuk Kemahiran Berfikir. Umida Industries Sdn.
Bhd., Skudai ;
Ainon Mohd (1996). Belajar Berfikir : Teknik Menjalankan Daya Fikir. Utusan
Publications, Kuala Lumpur
Buzan, (1984), Mind Mapping: Kickstart Your Creativity and Transform Your Life,
Amazon: London
De Bono, E. (1997). Pemikiran Lateral ; Golden Books Centre Sdn. Bhd., Kuala Lumpur
De Bono, E (1993). Atlas of Management Thinking.: Penguin Books, London
Kemmis, (1988) The Action Research Reader. Victoria: Deakin University.
Mohd Yusof Hassan, (1994), Pengenalan Pemikiran Kritis dan Kreatif, Dewan Bahasa
dan Pustaka: Kuala Lumpur,
Poh Swee Hong, (1999) “Creative Thinking – Study and Teaching” , Kumpulan Budiman
: Subang Jaya
http://ww1.utusan.com.my/utusan/Pendidikan/20140519/pe_02/Guru-perlu-kreatif-
inovatif
https://www.facebook.com/permalink.php?
id=112183975526837&story_fbid=310620722349827