bab 2

21
Bab 2 : Transformasi Sistem Pendidikan Tinggi di China ke Arah Pengantarabangsaan Norazimah Binti Allawaddin 2.0 Sejarah Ringkas Sistem Pendidikan Tinggi di China China merupakan antara tamadun terawal di dunia. Perkembangan pendidikan tinggi di China terbahagi kepada tiga zaman utama iaitu semasa zaman imperal, zaman moden dan zaman kontemporari. Pendidikan tinggi di China pada zaman imperal dibentuk semasa era pemerintahan Dinasti Shang iaitu sekitar 1523 sehingga 1027 S.M. Pada zaman ini, matlamat pendidikan adalah untuk melahirkan pegawai kerajaan, di mana pengajaran dan pembelajarannya berfokuskan pembentukan pendidikan moral dan nilai-nilai murni. Confucius, tokoh intelek tersohor pada zaman itu bertanggungjawab dalam membangun pendidikan di China. Beliau memperjuangkan pendidikan bagi semua kelas sosial masyarakat di China. Confucius berpandangan bahawa fokus utama pendidikan adalah bagi melahirkan insan yang harmonis dan bijaksana melalui moraliti. Antara karya agung beliau yang dijadikan sebagai kitab utama adalah Buku Empat (Shih Shu) dan Kitab Lima (Wu Ching). Seterusnya, pendidikan tinggi zaman moden bermula setelah berlakunya Peperangan Opium pada tahun 1840 sehingga 1842. Impak daripada peperangan tersebut, China mahu bangkit daripada

Upload: norazimah-allawaddin

Post on 16-Dec-2015

223 views

Category:

Documents


3 download

DESCRIPTION

mmm

TRANSCRIPT

Bab 2:Transformasi Sistem Pendidikan Tinggi di China ke Arah Pengantarabangsaan

Norazimah Binti Allawaddin

2.0Sejarah Ringkas Sistem Pendidikan Tinggi di ChinaChina merupakan antara tamadun terawal di dunia. Perkembangan pendidikan tinggi di China terbahagi kepada tiga zaman utama iaitu semasa zaman imperal, zaman moden dan zaman kontemporari. Pendidikan tinggi di China pada zaman imperal dibentuk semasa era pemerintahan Dinasti Shang iaitu sekitar 1523 sehingga 1027 S.M. Pada zaman ini, matlamat pendidikan adalah untuk melahirkan pegawai kerajaan, di mana pengajaran dan pembelajarannya berfokuskan pembentukan pendidikan moral dan nilai-nilai murni. Confucius, tokoh intelek tersohor pada zaman itu bertanggungjawab dalam membangun pendidikan di China. Beliau memperjuangkan pendidikan bagi semua kelas sosial masyarakat di China. Confucius berpandangan bahawa fokus utama pendidikan adalah bagi melahirkan insan yang harmonis dan bijaksana melalui moraliti. Antara karya agung beliau yang dijadikan sebagai kitab utama adalah Buku Empat (Shih Shu) dan Kitab Lima (Wu Ching).

Seterusnya, pendidikan tinggi zaman moden bermula setelah berlakunya Peperangan Opium pada tahun 1840 sehingga 1842. Impak daripada peperangan tersebut, China mahu bangkit daripada penindasan dan masalah kebuluran yang melanda. Maka, berlaku satu reformasi pada abad ke-19 yang dipimpin oleh sekumpulan borjuis yang menjadi pemangkin kepada transformasi pendidikan di China. Objektif utamanya adalah bagi membina sebuah negara China yang maju melalui pendidikan. Langkah pertama yang diambil adalah dengan menambah subjek Sains dan Teknologi ke dalam kurikulum mereka. Selain itu, beberapa buah jenis sekolah ditubuhkan seperti institusi latihan bahasa asing, kolej teknikal dan akademi ketenteraan. Bukan itu sahaja, pada tahun 1875, kerajaan China telah menghantar seramai 125 pelajar ke Amerika Syarikat, manakala 100 pelajar dihantar ke Jepun setelah berakhirnya Peperangan Sino-Jepun pada 1894. Sehingga tahun 1947, China berjaya mempunyai 207 buah universiti yang merangkumi 107 institusi kerajaan, 97 buah institusi swasta dan 21 kolej dari istitusi gereja. Populasi pelajarnya pula menjangkau 150000.

Zaman kontemporari pendidikan di China tercetus setelah penubuhan Republik Rakyat pada 1949. Persidangan Penasihat Politik China yang telah dijalankan pada 1 Oktober 1949 mensasarkan pendidikan China ke arah nasional, saintifik dan terbuka kepada semua rakyat. Seterusnya, Persidangan Kebangsaan Pendidikan Tinggi China yang diadakan pada Jun 1950 menetapkan beberapa tunjang kepada sistem pendidikan China yang baharu. Transformasi kurikulum yang ditandatangani menetapkan bahawa tempoh pembelajaran baru pelajar adalah selama 3 hingga 5 tahun bagi universiti awam, 2 hingga 3 tahun bagi institusi teknikal dan 1 hingga 2 tahun di kolej-kolej, di samping membina hubungan kerjasama bersama Akademi Sains China. Kementerian Pendidikan China sentiasa memperbaiki kualiti akademi dan kompetensi fakulti di university dan hasil sepanjang tempoh 55 tahun selepas pembentukan Reformasi Rakyat China telah berjaya menubuhkan sebanyak 267 buah universiti. Pendidikan tinggi di China bukan sahaja telah memberi sumbangan kepada pembentukan ekonomi di China, malahan golongan professional berjaya dilahirkan dengan pelbagai hasil kajian serta penemuan sains dan teknologi. Kini, sistem pendidikan tinggi di China terus berkembang pesat selaras dengan kemajuan negaranya.

2.1Sistem Pendidikan Tinggi di China

2.1.1Sistem Pentadbiran Pendidikan Tinggi

Pentadbiran sistem pendidikan tinggi di China telah mengalami beberapa proses transformasi sebagai salah satu usaha bagi memantapkan bidang pendidikannya. Sistem pentadbiran pendidikan tinggi terdahulu bermula sekitar tahun 1950. Melalui pentadbiran pendidikan tersebut, pihak kerajaan tempatan dan jabatan pusat mentadbir universiti masing-masing di bawah satu pelan perancangan yang sama. Namun, pembahagian antara 2 sistem ini telah mendatangkan beberapa masalah, di mana terdapat jurang kurikulum yang ketara dan ketidakseimbangan komunikasi antara dua pentadbiran ini. Hal ini telah memberi kesan kepada keberkesanan dan kualiti pendidikan China. Sehubungan dengan itu, pada 1985 China telah menggubal dasar baru sistem pendidikan selaras dengan penstrukturan semula ekonomi negara. Maka, rombakan besar-besaran telah dilaksanakan ke arah memartabatkan sistem pendidikan China bertaraf dunia. Pada 1993, Jawatankuasa Pusat Parti Komunis China, Majlis Negeri telah mengeluarkan Garis Panduan Pembaharuan Pendidikan dan Pembangunan China yang telah menjadi pemangkin kepada peningkatan perkembangan pendidikan China bertaraf dunia. Menerusi garis panduan tersebut, sekolah dan institusi pendidikan menjadi pemacu kepada pembentukan sosialis, memupuk pembangunan intelek, moral dan disiplin bagi mendukung cita-cita untuk melahirkan tenaga kerja yang produktif sejajar dengan pemodenan China yang semakin pesat. China percaya bahawa bagi membangun bidang pendidikan, kualiti dan kecekapan pelaksanaan pendidikan sedari peringkat asas perlu dipertingkatkan. Oleh yang demikian, beberapa strategi telah dijalankan bagi merealisasikan matlamat ini seperti meningkatkan kualiti guru dan sistem pendidikan, keberkesanan sekolah, pelaksanaan perancangan serantau serta mempergiat penyertaan sosial ke dalam aktiviti berteraskan pendidikan.

2.1.2Peningkatan Kompetensi Warga Pendidik

Sesungguhnya, pendidik merupakan profesion yang disanjung tinggi di China. Malah, cuti umum diberikan bersempena Hari Guru yang disambut pada 10 September sejak tahun 1985 lagi. Mereka diberikan hak dan kebebasan dalam hal pentadbiran universiti. Bilangan pendidik di China mencapai meningkat sebanyak87.44% daripada 503900 pada tahun 1998 kepada 944500 pada 2004. Sepanjang antara tahun 1998 sehingga 2004, bilangan pendidik yang mempunyai diploma meningkat sebanyak 140.65% iaitu dari 126 200 kepada 303 700, manakala bilangan pendidik yang memperoleh doktorat menunjukkan peningkatan sebanyak 237.44% iaitu daripada 19200 kepada 71700 orang pendidik.

China percaya bahawa jatuh bangun sistem pendidikan bergantung kepada perkembangan dan kualiti warga pendidik. Sehubungan dengan itu, menerusi enakmen Undang-Undang Perguruan 1993 yang terkandung di dalam Undang-Undang Pendidikan Tinggi 1998, China menggariskan beberapa spesifikasi sistem pelantikan guru. Profesion guru adalah terbuka kepada semua warganegara yang mempunyai kelayakan terbaik dari segi pengujian saintifik dan mereka dilantik secara kontrak. Pengujian dan pengukuran merangkumi etika kerja, kelayakan akademik dan prestasi kerja diperhalusi agar sistem pentadbiran pendidikan dapat diperbaiki dari semasa ke semasa. Terdapat 3 aspek utama yang akan diukur bagi setiap warga pendidik iaitu integriti dan moral, tahap profesionalisme serta prestasi kerja. Konsep pembelajaran sepanjang hayat dipraktikkan dengan baik dengan membahagikannya kepada 4 tunjang utama iaitu latihan dalam perkhidmatan, pengajian secara sepenuh masa, kerja luar dan perkongsian akademik. Warga pendidik daripada peringkat novis telah diberikan latihan pedagogi yang secukupya, seterusnya kursus-kursus, seminar, kerja luar dan peluang menyambung pelajaran disediakan sebagai salah satu usaha pembugaran dan pemantapan profesion.

Selain itu, beberapa inisiatif telah diambil bagi menggalakkan pemantapan kompetensi keguruan. Menerusi Pelan Tindakan Pembelajaran Abad ke-21, beberapa program diperkenalkan seperti Program Biasiswa Chanjiang, Anugerah Guru Muda Cemerlang dan Pelan Pemudahcara bagi Guru Muda Cemerlang. Program Biasiswa Chanjiang diperkenalkan pada tahun 1998 merupakan hasil usahasama antara pihak kerajaan dan Yayasan Li Ka Shing. Melalui program ini, warga pendidik muda dan pertengahan diberi peluang untuk menyandang sebanyak 500 hingga 1000 jawatan professor jemputan di universiti tempatan seperti yang ditawarkan oleh pihak kerajaan. Mereka perlu melepasi beberapa ujian dan skop utama pemilihan adalah dari aspek kebolehan dan potensi diri ke arah standard antarabangsa dalam bidang masing-masing. Mereka yang berjaya akan memegang jawatan sebagai professor jemputan selama 5 tahun, disamping imbuhan berupa elaun khas sebanyak 100000 yuan, insuran dan kemudahan kebajikan. Program ini memberi impak yang sangan positif dalam melahirkan pemimpin akademik yang berwibawa. Pada tahun 2003, seramai 537 profesor jemputan yang berada dalam linkungan 41 tahun telah dilantik di 74 buah universiti. 25 daripada mereka dilantik sebagai ketua penyelidik bagi Projek Penyelidikan Nasional yang lebih dikenali sebagai Program 973.

2.3Jaminan Kualiti

Institusi pendidikan tinggi di China sentiasa berusaha untuk meningkatkan kualiti pendidikan mereka khususnya dalam usaha untuk melahirkan tenaga-tenaga professional yang mempunyai kompetensi tinggi bagi memacu pembangunan negara China. Sehubungan dengan itu, pendidikan tinggi di China menggariskan 3 isu utama yang perlu diambil perhatian iaitu yang pertama adalah dengan memperbaiki kualiti latihan profesional. Hal ini bagi menyediakan golongan professional yang berkemampuan untuk memenuhi keperluan sosio-ekonomi yang pelbagai. Seterusnya adalah memberi perhatian kepada pelajar untuk membentuk kebolehan dan keupayaan diri secara komprehensif terutamanya dalam bidang kepakaran praktikal dan inovasi. Isu yang ketiga adalah menggalakkan perkongsian sumber-sumber bahan berkualiti.

2.3.1Mutu Pengajaran dan Pembelajaran

Institusi pendidikan tinggi memainkan peranan sebagai simbol kepada pendidikan berkualiti. Oleh itu, tugas pertama yang harus dipikul adalah untuk menggalakkan pembangunan pelajar secara harmoni dan bersepadu merangkumi aspek fizikal, intelek, moral dan personaliti. Kualiti adalah kunci kepada proses pendidikan secara keseluruhannya daripada pembentukan disiplin akademik sehingga kepada susun atur pengajaran dan pembelajaran sebenar.

2.3.2Bidang yang Ditawarkan

Penubuhan sesebuah bidang akademik perlu mendapat persetujuan dan memenuhi kriteria yang ditetapkan. Terdapat 2 langkah utama sebelum sesuatu bidang itu ditubuhkan di sesebuah university iaitu permohonan dan pengalaman. Antara prasyarat yang dikenakan adalah berdasarkan kepada keperluan sosio-ekonomi semasa, permintaan kepakaran profesional, matlamat yang jelas, peluang pekerjaan, pelan pendidikan yang munasabah, bilangan tenaga pengajar yang mencukupi serta peruntukan yang mencukupi. Pihak universiti perlu memastikan prasarana yang lengkap baik dari segi sumber bahan rujukan, makmal dan ruang kuliah disediakan dengan baik agar suasana yang kondusif dapat diwujudkan sekaligus menggalakkan budaya ilmu dalam diri pelajar. 2.3.3Pembentukan Mod Pembelajaran

Mod pembelajaran berkait rapat dengan kualiti pendidikan. Universiti di China menyediakan mod pembelajaran yang selaras dengan kehendak sosio-ekonomi semasa. Sesungguhnya, China memandang bidang pendidikan sebagai suatu yang serius. Mereka memastikan setiap pelajar menyempurnakan kesemua subjek dan proses pembelajaran dalam masa yang ditetapkan. Hal ini kerana mod yang ditawarkan telah disesuaikan dengan peluang pekerjaan semasa. Namun begitu, didapati sistem sebegini mengakibatkan minda pelajar terbatas kepada bidang mereka semata-mata dan perkembangan social tidak dapat dibentuk.

Oleh itu, satu transformasi dirasakan perlu bagi mengatasi masalah ini. Maka, pihak university tempatan di China telah membentuk satu proses mod pembelajaran yang baharu, di mana ia lebih menekankan kandungan pembelajaran yang lebih luas dan komprehensif serta menitikberatkan pelaksanaan praktikal agar pelajar didedahkan dengan dunia profesional yang sebenar. Pihak universiti digalakkan bagi membentuk disiplin pendidikan yang merangkumi 2 bidang utama iaitu sains sosial dan sains tulen agar kedua-dua bidang ini saling melengkapi antara satu sama lain.

Selaras dengan itu, sistem pendidikan tinggi di China kini memberikan autonomi kepada pelajar untuk memilih subjek major dan minor mengikut pilihan mereka. Selain itu, pelajar diberi kepercayaan untuk merancang tempoh pengajian dan kelas pengajian yang mahu diikuti. Perubahan ini ternyata berjaya membentuk pembangunan kendiri pelajar agar lebih bertanggunjawab terhadap pengajian mereka. Bukan itu sahaja, universiti-universiti tempatan di China kini memberi perhatian kepada integrasi antara teori dan praktikal. Dengan ini, para pelajar berpeluang untuk meneroka bidang ilmu yang mereka pelajari dan hal ini berbeza dengan proses pengajaran dan pembelajaran secara tradisional di mana pelajar hanya menerima ilmu semata-mata daripada guru. Pensyarah berperanan sebagai pemudahcara yang sentiasa menyediakan ruang untuk pelajar berkomunikasi dan berdiskusi sebagai satu medium perkongsian dan percambahan maklumat. Ternyata, teknik sebegini diyakini mampu meningkatkan inisiatif pelajar untuk sentiasa dahagakan ilmu serta menyemai semangat enthuasiasm dalam diri pelajar terhadap ilmu.

Mod pembelajaran yang ditawarkan merupakan hasil gabungan proses pengajaran dan pembelajaran, penyelidikan dan industri sebagai satu usaha membantu pelajar mengaplikasi fakta yang dipelajari ke dalam bentuk aplikasi. Oleh itu, para pelajar diwajibkan menjalani latihan amali di makmal, kilang mahupun dalam bidang perusahaan. Dalam pada itu, pelajar universiti teknik dan vokasional dilatih bersandarkan peluang pekerjaan semasa. Mereka akan memperoleh 2 sijil usai menamatkan pengajian iaitu sijil kelayakan akademik dan sijil kelayakan pekerjaan. Mod pembelajaran mereka berhubung rapat dengan bidang perindustrian.

2.3.4Memperkasa Pengurusan Pendidikan

Hakikatnya, setiap universiti mempunyai pelan pendidikan, prosedur yang tegas dan piawaian jaminan kualiti tersendiri dalam usaha untuk memastikan objektif dan matlamat universiti masing-masing tercapai. Setiap pelan tindakan yang dirancang perlu dipersetujui oleh senat sebelum dilaksanakan.

Tempoh pengajian pada kebiasaannya bermula pada bulan September dan berakhir pada Julai tahun berikutnya. Majoriri universiti-universiti di China membahagikan tempoh pengajian kepada 2 semester, di mana 40 minggu kuliah dan 10 minggu cuti semester. Bidang yang ditawarkan merangkumi beberapa siri kursus wajib, kursus asasi, kursus teknikal dan kursus elektif. Antara kursus wajib yang perlu diambil meliputi bidang teori politik, pendidikan jasmani, bahasa antarabangsa dan sains komputer. Selain itu, para pelajar perlu mengikuti beberapa program yang disediakan pihak universiti seperti orientasi pelajar baru, latihan amali, kajian penyelidikan, latihan ketenteraan dan khidmat sosial.

Bagi memastikan pendidikan yang lebih berkulaiti, pihak unversiti mengambil perhatian yang serius tentang proses pembelajaran yang dijalankan. Para pensyarah perlu menyediakan bahan pengajaran yang berkualiti tinggi, menyampaikan kuliah secara sistematik dan interaktif serta membimbing pelajar untuk menghadapi peperiksaan. Pihak universiti sentiasa terbuka dalam menerima maklum balas dan penilaian dari pihak atasan sebagai satu dorongan untuk sentiasa memperbaiki dan memperbaharui kualiti universiti mereka.

2.3.5Polisi Makro Kualiti Pendidikan

Polisi makro boleh dedifinisikan sebagai satu siri peraturan dan syarat yang diperkenalkan oleh kerajaan sebagai indicator untuk merangsang pertumbuhan ekonomi. Dalam konteks pendidikan, pihak kerajaan telah menggerakkan usaha secara berterusan dan berkesan berasaskan beberapa garis panduan bagi meningkatkan kualiti sistem pendidikan negara.

Pada tahun 1994, Kementerian Pendidikan telah menggubal Pelan Pembangunan Pengajaran dan Kurikulum Pendidikan Tinggi ke Arah Abad ke 21. Melalui pelan ini, kerajaan dan pihak universiti bekerjasama memperuntukkan 10 milion yuan ke dalam bidang kajian penyelidikan. Sebanyak 1000 buku teks abad ke 21 diterbitkan dan 100 000 warga pendidik diberi latihan intensif mengenainya. Pelan ini berjaya mencapai objektif dan matlamatnya.

Seterusnya, Kementerian Pendidikan memperkenalkan Projek Pembangunan Pendidikan Alaf Baru bagi Institusi Pendidikan Tinggi pada tahun 2000. Fokus projek ini adalah untuk melatih mahasiswa dan mahasiswi mempersiapkan diri meningkatkan keupayaan dalam bidang keusahawanan, praktikal dan kreatif. Pada tahun 2001, Kementerian Pendidikan telah menerbitkan Kertas Cadangan Memperkukuh dan Memperkasa Kualiti Institusi Pendidikan Tinggi. Kertas Cadangan ini menggariskan 12 keperluan utama proses pengajaran dan pembelajaran yang merangkumi hal pembiayaan, penilaian, warga pendidik dan bahan pengajaran berkualiti tinggi.

Bukan itu sahaja, pelbagai usaha digerakkan bagi memperkasa kualiti universiti-universiti tempatan. Makmal-makmal telah dibaikpulih dan diperbaiki. CALIS (China Academic Library & Information System) dan rangkaian tempatan bergabung dalam berkongsi kemudahan dan kepakaran untuk kerja-kerja pembinaan dan baikpulih infrastruktur di universiti. Pihak universiti juga melantik lebih ramai tenaga pengajar yang pakar dalam bidang praktikal dan Bahasa Inggeris dijadikan salah satu daripada kursus wajib bagi menggalakkan kemahiran dwibahasa dalam kalangan mahasiswa.

Anugerah Pendidik Cemerlang telah diperkenalkan pada 2003, di mana dianugerahkan kepada 100 pensyarah terbaik bagi setiap 3 tahun. Persidangan pertama bersama 100 orang penerima anugerah telah dijalankan pada September 2003. Menjelang abad ke 21, pihak Kementerian Pendidikan memberikan penekanan kepada bidang teknologi dan inovasi. Sebagai galakan, bantuan dalam bentuk kewangan dan polisi diberikan kepada pelajar falsafah bagi menjalankan penyelidikan, kajian dan inovasi khususnya dalam bidang kejuruteraan. Pihak kementerian turut memilih 100 disertasi terbaik dalam kalangan pelajar falsafah untuk dibentangkan dan diterbitkan.

2.3.6Pengajaran dan Pembelajaran dalam Bahasa Inggeris

Pihak Kementerian Pendidikan dan universiti menggalakkan pelajar agar berkomunikasi dalam Bahasa Inggeris sebagai persediaan dunia global. Pihak Kementerian Pendidikan menggariskan 3 langkah utama bagi mentransformasi pengajaran Bahasa Inggeris di universiti. Pertama, Kementerian Pendidikan menyenaraikan garis panduan bagi meningkatkan keupayaan pelajar secara praktikal dan komprehensif. Pengajaran dan pembelajaran Bahasa Inggeris perlu diubah daripada berfokuskan pembacaan kepada berfokuskan kefahaman. Kurikulum secara tradisional pula perlu diubah kepada sistem yang lebih memberi autonomi kepada universiti. Kedua, Kementerian Pendidikan mencadangkan penubuhan rangkaian kampus pusat Bahasa Inggeris. Mod pembelajaran secara tradisional seperti chalk and talk dan penggunaan buku teks secara pasif perlu ditransformasi kepada strategi pengajaran dan pembelajaran yang moden, berteknologi dan ke arah pembelajaran berpusatkan pelajar. Ketiga adalah dengan membangun sistem penilaian baru bagi mengukur pengajaran dan pembelajaran Bahasa Inggeris pada semua peringkat. Penilaian perlu dilaksanakan secara menyeluruh dan bersepadu merangkumi proses pembelajaran dan peperiksaan.

Usaha untuk memperkasa Bahasa Inggeris dipertingkat secara aktif pada 2001. Antara usaha yang dilaksanakan adalah dengan menjadikan Bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar dalam beberapa kursus perintis seperti bio-teknologi, kewangan, dan undang-undang. Bagi mempersiapkan diri ke arah pengajaran dan pembelajaran dalam Bahasa Inggeris sepenuhnya, kerajaan telah menghantar tenaga pengajar ke Amerika Syarikat, United Kingdom, Kanada, Australia dan New Zealand bagi mengikuti kursus asas Bahasa Inggeris. Sumber bahan rujukan seperti buku teks, perisian komputer dalam Bahasa Inggeris turut diimport khususnya dalam bidang Biologi, Perubatan, Kewangan, Pengurusan dan Undang-Undang.

2.4Kerjasama Luar Ke Arah Pengantarabangsaan

Dasar keterbukaan China dalam menjalankan pertukaran dengan komuniti dunia secara efektif adalah penting sebagai salah satu strategi kerajaan untuk pembangunan pendidikan. Prinsip am bagi strategi ini ialah mencapai kepentingan saksama dan pertukaran yang tidak berkaitan dengan kerajaan , membangunkan hubungan dua hala dan pelbagai hala dan sekaligus menjaga imbangan strategik, memastikan keberjayaan program pertukaran utama dan sentiasa peka dengan keputusan yang praktikal. Pendek kata, negara China mesti mengutamakan kerjasama dan pertukaran antarabangsa di dalam semua bidang pendidikan di peringkat tinggi. Pendekatan ini memudahkan negara China untuk menyerap dan mengassimilasikan kepakaran sains dan teknologi negara-negara luar sekaligus melakar pengalaman ke arah kejayaan di dalam perkembangan pendidikan dan pentadbiran. Peluang ini juga memberi ruang untuk China memperkenalkan pencapaian mereka dalam bidang kebudayaan, intelektual, sumber kewangan, sains dan teknologi, perkembangan bakat. Ia juga membantu mengeratkan hubungan antara China dengan negara-negara lain sekaligus meningkatkan pertumbuhan ekonomi dan kebudayaan negara ini. Selepas menyertai Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO), kerajaan China telah terlibat secara aktif dalam memberikan komitmen bagi mengurangkan penghalang-tarif di dalam perkhidmatan pendidikan yang terdapat di dalam senarai WTO dan membuka jalan luas kepada pertukaran dengan komuniti dunia.

Negara China amat komited dalam mewujudkan kerjasama dan pertukaran di dalam bidang pendidikan bersama kerajaan-kerajaan lain, universiti-universiti dan pertubuhan bukan kerajaan. Kerjasama dan pertukaran yang terjalin terbahagi kepada dua jenis iaitu dua hala dan pelbagai hala, keperluan untuk menghantar pelajar ke luar negara dan juga menerima pelajar-pelajar dari luar negara, menjadikan bahasa Cina sebagai bahasa perantaraan bagi pelajar asing, menjemput pakar luar negara untuk bekerja di China, dan mencipta kerjasama antara sekolah dan individu dari luar negara. Kementerian Pendidikan China menyediakan rancangan keseluruhan, pentadbiran, koordinasi dan bimbingan bagi mewujudkan kerjasama dan pertukaran sebegini di segenap pelosok negara ini. Pihak pentadbiran pendidikan kerajaan tempatan diberi kuasa untuk menguruskan program tempatan bagi mewujudkan kerjasama dan pertukaran antarabangsa. Universiti-universiti di China diberi mandat untuk menguruskan perhubungan antarabangsa yang terjalin. Selain daripada bahagian pentadbiran kerajaan, terdapat banyak badan bukan kerajaan yang terlibat di dalam sektor ini. Sebagai contoh, Persatuan Pendidikan China bagi Pertukaran Antarabangsa, Majlis Biasiswa China dan Pusat Perkhidmatan Pertukaran Siswa China.

2.4.1Kerjasama Dua Hala antara Universiti

Bagi mewujudkan kejayaan sebagaimana yang dikecapi negara-negara lain, kerajaan China telah mengikuti prinsip utama iaitu memacu pendidikan kearah pemodenan, dunia dan masa hadapan. Prinsip kerja yang telah diterapkan ini membuka saluran meluas untuk mempromosikan pertukaran, memberi penekanan kepada lapangan utama dan program-program, serta berusaha mencapai hasil yang praktikal. Pendedahan meluas terhadap dunia pendidikan di luar negara bertujuan untuk memberi impak kepada pergerakan sosio-ekonomi negara secara am. Reformasi dan pembangunan pendidikan secara khusus telah mematuhi polisi am negara yang berkaitan dengan hubungan luar negara. Garis panduan yang digubal membuka jalan bagi China menjalin hubungan kerjasama dan hubungan pertukaran dengan lebih 170 buah negara dan menandatangani lebih daripada 100 perjanjian dan pelan eksekutif untuk pertukaran dua hala dan pelbagai hala dalam bidang pendidikan. Pelan Tindakan Memperbaharui Pendidikan yang dilancarkan pada tahun 2003 hingga 2007 oleh Kementerian Pendidikan China telah menetapkan prasyarat yang lebih tinggi untuk pemilihan kerja dalam bidang ini.

2.4.2Perjanjian Pihak Kerajaan

Negara China menggalakkan kerjasama erat antara rakan kongsi seperti universiti-universiti terkemuka dan institut penyelidikan luar negara. Sebagai contoh Universiti Peking mengekalkan ikatan erat bersama lebih 200 buah university dan institut penyelidikan di 49 buah negara dan menerima lebih daripada 20 000 pelawat dari luar negara setiap tahun. Setakat ini, Universiti Peking telah menerima banyak Anugerah Nobel dan 21 orang pengunjung yang telah melawat kampusnya telah menemubual pelajar di pusat pendidikan tersebut. Sebagai balasan, universiti ini telah menghantar 5000 tenaga pengajar dan pelajar ke luar negara untuk mengadakan lawatan dan program pertukaran pelajar. Sejak tahun 1998, Universiti Tsinghua telah menjalinkan hubungan kerjasama yang baik dengan beberapa universiti elit dunia dan menandatangani perjanjian pertukaran bersama 150 buah universiti berprestij yang terdapat di 30 buah negara yang berbeza. Pertukaran dua hala yang terjadi sangat berbaloi dalam usaha untuk meningkatkan tahap pengajaran dan penyelidikan para tenaga pengajar di universiti di seluruh negara China, mempercepatkan pembangunan bidang utama dan baharu, membantu menangani masalah teknikal dalam proses penyelidikan serta memupuk penjanaan pakar pakar yang inovatif dan berdaya saing.

2.6Implikasi Pengantarabangsaan Pengantarabangsaan merupakan salah satu usaha kerajaan bagi menyediakan pendidikan tinggi ke arah cabaran globalisasi. Pelbagai implikasi khususnya implikasi positif berlaku akibat proses pengantarabangsaan pendidikan tinggi ini.

2.6.1Meningkatkan Daya Saing Negara

Pengantarabangsaan pendidikan tinggi, daya saing, ekonomi dan perkembangan sains mempuyai hubungan yang signifikan (Glen A. Jones, 2010). Hal ini kerana ekonomi merupakan salah satu motivasi bagi proses pengantarabngsaan pendidikan tinggi. Melalui peruntukan yang diberikan, sistem pendidikan dan aktiviti penyelidikan dapat digiatkan secara aktif. Bukan itu sahaja, pengantarabangsaan pendidikan tinggi ini membantu dalam memberi pulangan dari segi kewangan kepada institusi pendidikan, di samping membentuk hubungan yang rapo bersama negara-negara lain.

2.6.2Meningkatkan Imej Negara

Pengantarabangsaan pendidikan tinggi menjadi medium untuk China bagi memperluas hubungan diplomasi bersama negara-negara lain. Tambahan pula, hubungan kerjasama antara negara merupakan antara polisi luar yang dititiberatkan oleh China. Apabila hubungan kerjasama dipertingkatkan, secara tidak langsung ia amat membantu dalam memastikan keamaanan dan kesejahteraan sejagat. Selain itu, perkongsian budaya juga boleh dilaksanakan. Umum mengetahui bahawa setiap negara dan bangsa mempunyai diversiti budaya dan keunikan yang tersendiri. Oleh itu, pengantarabangsaan ini menjadi pemangkin kepada hubungan sosio-budaya antara pelajara yang terdiri daripada latar belakang yang berbeza untuk mempelajari mengasimilasi budaya luar, di samping memperkasa budaya sendiri ke mata dunia.

2.6.3Memantapkan Sistem Pendidikan Negara

Berdasarkan senarai kedudukan university terbaik dunia seperti yng diumumkan oleh Universiti Shanghai Jiaotong, standard sesebuah universiti itu diukur daripada pencapaian mereka dalam memperoleh anugerah Nobel, penghasilan pakar terkemuka, penerbitan jurnal serta penyelidikan yang dihasilkan. Selaras dengan itu, pelbagai strategi dan program yang dirancang dan dilaksanakan bagi menggerak pengantarabnagsaan ini seperti program pertukaran professor dan pelajar ke luar negara Hal ini bagi mendedahkan pelajar mahupun warga pendidik kepada sistem pengajaran dan pembelajaran yang dijalankan di luar negara. Tambahan pula, antara syarat bagi mencapai pengantarabangsaan pendidikan tinggi memerlukan satu bentuk pengajaran dan penyelidikan yang bertaraf dunia. Maka, segala ilmu dan input yang diperoleh semasa program seperti ini mampu membantu memantapkan sistem pendidikan negara, sekaligus memperhebat reputasi negara.

3.7Penutup

Hakikatnya, sistem pendidikan tinggi di China telah mengalami transformasi seiring dengan perkembangan negara yang semakin membangun. Kementerian Pendidikan China memainkan peranan yang amat penting dalam membina hubungan rapo bersama pihak universiti dalam memperkasa sistem pendidikan di China agar matlamat kea rah pengantarabangsaan boleh dicapai.