tugasan 2

16
Tugasan 2 Definisi Perancangan Pengajaran dan Kepentingan Perancangan Pengajaran Guru perlu membuat perancangan bagi sesi pengajarannya. Menurut Burden & Byrd (1999), perancangan sebelum proses pengajaran merujuk kepada keputusan yang dibuat mengenai mengelola, melaksana dan menilai pengajaran. Proses guru membuat keputusan tentang cara memilih dan menyusun pengalaman pembelajaran yang dapat memaksimumkan pencapaian serta kepuasaan guru dan juga pelajar (Cruickshank, 1995). Menurut Esah Sulaiman (2004), perancangan pengajaran merupakan keputusan yang harus dibuat oleh guru mengenai perkara yang hendak diajar dan bagaimana untuk diajarkan supaya dapat difahami pelajar. Rancangan pengajaran juga boleh didefinisikan sebagai rangka kerja aktiviti pengajaran dan pembelajaran untuk dilaksanakan oleh guru di dalam bilik darjah atau makmal dalam satu jangka masa tertentu. Kepentingan Perancangan Pengajaran

Upload: cloudexz

Post on 17-Nov-2015

293 views

Category:

Documents


0 download

DESCRIPTION

perancangan

TRANSCRIPT

Tugasan 2 Definisi Perancangan Pengajaran dan Kepentingan Perancangan PengajaranGuru perlu membuat perancangan bagi sesi pengajarannya. Menurut Burden & Byrd (1999), perancangan sebelum proses pengajaran merujuk kepada keputusan yang dibuat mengenai mengelola, melaksana dan menilai pengajaran. Proses guru membuat keputusan tentang cara memilih dan menyusun pengalaman pembelajaran yang dapat memaksimumkan pencapaian serta kepuasaan guru dan juga pelajar (Cruickshank, 1995). Menurut Esah Sulaiman (2004), perancangan pengajaran merupakan keputusan yang harus dibuat oleh guru mengenai perkara yang hendak diajar dan bagaimana untuk diajarkan supaya dapat difahami pelajar.

Rancangan pengajaran juga boleh didefinisikan sebagai rangka kerja aktiviti pengajaran dan pembelajaran untuk dilaksanakan oleh guru di dalam bilik darjah atau makmal dalam satu jangka masa tertentu.

Kepentingan Perancangan Pengajaran

Perancangan yang teliti dan komprehensif akan memberi kesan yang positif kepada pembelajaran pelajar. Melalui perancangan pengajaran yang teliti, guru dapat menentukan jarak, urutan dan penekanan kepada isi setiap pelajaran. Topik topik yang penting dalam peperiksaan akan diberikan keutamaan oleh guru dan diberi penerangan dengan lebih teliti.

Perancangan juga akan memastikan setiap minit dalam tempoh pengajaran guru sepanjang setahun memberi kesan yang bermakna kepada guru dan pelajar. Ini dapat memberi panduan kepada guru agar dapat menggunakan masa yang diperuntukkan dengan lebih teratur. Menyusun atur masa dengan tepat juga dapat memastikan sukatan pelajaran dihabiskan pada masa yang telah ditetapkan mengikut perancangan.

Melalui perancangan pengajaran, guru juga dapat menyediakan bahan bahan pengajaran yang bersesuaian dengan isi pelajaran mengikut minat dan kebolehan pelajar. Isi kandungan dan bahan yang hendak disampaikan perlu lengkap dan menepati kehendak sukatan dan huraian sukatan pelajaran yang telah ditetapkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia.

Selain itu, guru juga dapat menentukan strategi pendidikan, pemulihan dan pengajaran secara tersusun dan bersistem. Melalui perancangan pengajaran, objektif pengajaran dapat dicapai. Guru mengetahui sasaran yang ingin dituju dalam setiap subjek yang ingin diajar.

Definisi Pengajaran BerkesanTerdapat pelbagai pendapat mengenai maksud pengajaran berkesan. Pengajaran berkesan bermaksud seorang pengajar atau guru yang harus memiliki pengetahuan yang luas dan mendalam mengenai sesuatu ilmu pengetahuan serta mempunyai kemahiran atau teknik profesional yang tinggi (Dunne, R. & Wragg, T., 1994). Mereka berpendapat yang pengajaran berkesan menuntut guru untuk memahami isi kandungan sesuatu mata pelajaran dan memiliki ilmu pengetahuan mengenai topik dan perkara yang hendak diajar serta perlu menyiapkan diri dengan kemahiran tertentu dari aspek pengurusan kelas, menyoal soalan, penerangan yang jelas dan pemantauan proses pembelajaran.

Leblanc (1998) pula berpendapat bahawa pengajaran berkesan bermaksud pengajaran oleh guru yang penyayang, mengambil berat terhadap kebajikan pelajar, memberi sokongan kepada pelajar, dan berpengetahuan tentang mata pelajaran yang diajar. Manakala menurut Hunter (1995), pengajaran berkesan merupakan pengajaran yang dapat meningkatkan pembelajaran dalam diri pelajar. Antara pendapat lain pula menyatakan bahawa guru berkesan dan boleh membantu pelajar (Cruickshank, 1995).

Jika diperhatikan di sini, terdapat persamaan antara pandangan yang diberikan oleh Cruickshank dan Hunter di mana mereka berpendapat bahawa pengajaran boleh meningkatkan pembelajaran pelajar. Pengajaran berkesan dapat disimpulkan sebagai pengajaran yang menyedia dan mewujudkan suasana yang sihat bagi menggalakkan pelajar untuk terus belajar. Perkara ini disokong oleh Shahril (2004) yang mendefinisikan pengajaran berkesan sebagai kebolehan dan kemampuan guru untuk menyampaikan maklumat pengajaran dengan baik dan juga berkesan, di mana secara tidak langsung dapat memotivasikan diri pelajar untuk terus cemerlang mencapai kejayaan. Guru berkesan merupakan keupayaan guru dalam menyampaikan pengajaran yang memberi kesan terhadap beberapa aspek termasuklah dapat memotivasikan pelajar seperti dinyatakan oleh Malikow, M. (2006). Ianya dapat diaplikasikan dengan pelbagai kaedah pengajaran, bahan bantu mengajar, dan kemahiran melaksanakan aktiviti. Dalam konteks ini, guru seharusnya merancang topik, objektif, isi, cara penyampaian dan penilaian yang sesuai dengan kebolehan sedia ada dan minat pelajar.

Ciri-ciri Pengajaran BerkesanTerdapat beberapa ciri-ciri pengajaran, di antaranya adalah guru sebagai pengajar dan murid pula merupakan pelajar. Pengajaran bermakna jika pembelajaran berlaku.

Pengajaran akan melibatkan latihan atau tugasan, pemikiran dan penggunaan simbol serta melibatkan pelbagai aktiviti antara guru dan pelajar. Ciri-ciri pengajaran meliputi rancangan mengajar, objektif pelajaran, tempat belajar, ABBM, kaedah dan teknik mengajar serta proses yang melibatkan interaksi dua hala antara pelajar dan guru. Strategi pengajaran mengandungi unsur sains dan unsur seni.

Dalam memastikan keberkesanan proses pengajaran, guru haruslah memainkan peranan yang penting agar objektif pengajaran yang telah ditetapkan dapat dicapai pada akhir sesi pengajaran. Menurut Brown, G. & Atkins, M (1988) pengajaran berkesan menuntut kepada tenaga pengajar untuk mengetahui dan mendalami sesuatu mata pelajaran yang diajar. Antara ciri-ciri guru berkesan adalah guru yang mempunyai kepakaran dan kecekapan dalam subjek yang diajar, boleh mempelbagaikan kaedah mengajar, boleh memberi penerangan yang jelas tentang perkara yang hendak disampaikan dan enthusiasm. Guru juga perlulah memastikan bahawa proses pengajaran tersebut berlaku dengan melibatkan interaksi dua atau pelbagai hala dengan pelajar. Oleh itu, penglibatan pelajar dalam pengajaran perlu ditiitkberatkan. Menurut Slavin (1984), beliau telah memperkenalkan beberapa elemen dalam model pengajaran berkesan berdasarkan perkara seperti berikut:

(a) Kualiti Pengajaran

Pengajaran yang berkualiti terjadi apabila maklumat yang disampaikan boleh diterima, menarik minat, dan mudah untuk diingati serta dilakukan oleh pelajar.

(b) Tahap Kesesuaian Pengajaran

Tahap keupayaan pelajar dalam penerimaan pembelajaran perlu dipertimbangkan. Kebolehan pelajar adalah berbeza-beza dengan mengambil kira latar belakang pendidikan, tahap kecerdasan dan lain-lain. Guru harus bijak menggunakan kaedah dan strategi mengikut tahap penerimaan pelajar itu sendiri.

(c) Insentif

Galakan dan insentif daripada guru adalah penting bagi menarik minat serta menggalakkkan pelajar agar terlibat dalam proses pengajaran dan pembelajaran secara langsung atau tidak langsung. Pemberian pujian serta hadiah harus dipertimbangkan oleh guru bagi mewujudkan suasana yang bermotivasi. Guru perlu menunjukkan bagaimana pelajar boleh mencapai kemajuan. Galakan yang berterusan adalah lebih baik kerana proses pengajaran adalah secara berterusan serta puji-pujian perlu diberikan pada tempat yang sepatutnya supaya pelajar dapat mengenal pasti dan mengetahui kejayaan mereka. Dengan penghargaan yang diberikan, ianya dapat membantu menggalakkan penglibatan para pelajar di dalam kelas dan meningkatkan motivasi mereka untuk belajar.

(d) Masa

Penggunaan masa yang betul dapat memastikan sukatan pelajaran dapat dihabiskan dalam tempoh masa yang telah ditetapkan. Perancangan pengajaran yang bertepatan dengan objektif pengajaran dapat memastikan hasil yang berkualiti.

Kesimpulan

Pengajaran merupakan aktiviti intelek. Ia melibatkan pemikiran, perasaan, dan penilaian. Pengajaran juga merupakan satu sistem aktiviti yang ditujukan kepada pelajar-pelajar dengan harapan akan membawa perubahan tingkah laku di kalangan mereka. Terdapat dua jenis pengajaran iaitu pengajaran terkini dan tradisional. Proses pengajaran sekarang adalah berpusatkan kepada murid bersesuaian dengan era globalisasi yang menuntut perubahan dalam setiap aspek termasuklah dalam bidang pendidikan. Teknologi yang digunakan haruslah selari dengan perubahan semasa. Oleh itu, dalam perancangan pengajaran, pendekatan, kaedah, teknik dan alat serta sumber yang digunakan haruslah bersesuaian dengan tahap kebolehan pelajar zaman sekarang bagi memastikan objektif dan matlamat pengajaran dapat dicapai dengan cemerlang. Ianya bagi melahirkan insan yang berilmu pengetahuan, berketerampilan, berakhlak mulia, bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta dapat memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran keluarga, masyarakat dan negara bertepatan dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Berbanding dengan pengajaran tradisional, ianya lebih berpusatkan guru. Guru banyak memberikan input serta ilmu tanpa memberi ruang kepada pelajar untuk berfikir dan melibatkan secara aktif. Komunikasi satu hala yang dilaksanakan oleh guru tidak bersesuaian memandangkan pengetahuan serta pengalaman pelajar tidak dapat dikembangkan dengan baik kerana pelajar tidak berpeluang untuk berfikir secara kreatif. Pelajar merupakan pembina ilmu yang aktif. Oleh itu, penglibatan pelajar di dalam satu-satu pengajaran adalah penting bagi membantu penerapan nilai-nilai murni di dalam diri pelajar itu sendiri dan memastikan proses pengajaran berlangsung secara efektif. Pendapat ini disokong oleh Sharifah Alwiah Alsagoff (1983) yang menyatakan bahawa pengajaran yang berkesan adalah merujuk kepada guru yang dapat membawa pelajar kepada hasil pembelajaran terakhir yang diinginkannya.Pengajaran BerkesanPengajaran merupakan aktiviti atau proses yang berkaitan dengan penyebaran ilmu atau kemahiran tertentu. Menurut Thomas F. Green (1971), tujuan mengajar ialah menukar tingkahlaku dan kelakuan pelajar melalui perolehan ilmu pengetahuan atau kepercayaan baru. Oleh itu, proses pengajaran meliputi aktiviti latihan, perlaziman, tunjuk ajar yang akan menukar tingkah laku laku dan membawa pengetahuan atau kepercayaan baru kepada murid. Pengajaran ialah sesuatu tugasan dan aktiviti yang diusahakan bersama oleh guru dan muridnya. Pengajaran melibatkan kegiatan tertentu seperti merancang, menentukan objektif pengajaran dan pembelajaran, memilih strategi pengajaran, aktiviti pengajaran dan pembelajaran serta penilaian terhadap satu-satu pengajaran.

Pengajaran dirancang oleh guru secara sistematik dan teliti dengan gabungan kaedah dan teknik mengajar yang sesuai, membimbing, menggalak dan memotivasikan murid supaya mengambil inisiatif untuk belajar demi memperolehi ilmu dan pengetahuan dan menguasai kemahiran yang diperlukan. Pengajaran juga merupakan suatu cara menyampaikan ilmu pengetahuan, mendidik, melatih, dan memberikan petunjuk atau nasihat kepada pelajar serta melibatkan aktiviti dan proses yang dituju kepada pelajar bertujuan membawa perubahan kepada mereka.

Dalam proses pengajaran, guru harus tahu memperbaiki kelakuan dengan memberi nasihat kepada pelajar-pelajar. Para guru juga perlu melakukan sesuatu atau tidak melakukan sesuatu perkara berdasarkan pengalamannya sebagai seorang guru. Mereka harus tahu jenis kemahiran yang hendak dibentuk serta perubahan yang dikehendaki dan memastikan sesuatu aktiviti yang dirancang adalah untuk membawa perubahan yang positif kepada murid. Pengajaran merupakan satu tindakan yang bertujuan untuk membawa perubahan dari segi kepercayaan, nilai dan makna. Oleh itu, guru berperanan dalam menyalurkan pengetahuan, kemahiran dan nilai agar perkara tersebut dapat berfungsi dengan baik dalam kehidupan pelajar.

Ringkasnya pengajaran ialah menyatakan kesanggupan mencari ilmu sepanjang hayat, menghormati kanak-kanak atau remaja dan berkongsi pengetahuan sesama mereka. Pengajaran juga merupakan proses dan aktiviti membimbing, mengarah, membantu, menyubur dan merancang serta menetapkan matlamat untuk diri sendiri dan murid. Para guru harus menghadapi pelbagai cabaran diri dan perlu bertindak secara profesional dalam kerjaya yang diceburi. Mereka perlu menyalurkan nilai budaya dan kebangsaan serta mewujudkan kesedaran dan penghargaan terhadap potensi diri sendiri (Evans & Brueckner, 1992).

Persediaan MengajarPersediaan yang rapi sebelum memulakan kerja bagi sebarang tugas amat dititikberatkan bagi memastikan setiap produktiviti atau hasil yang diperolehi adalah berkualiti dan dapat menepati objektif dan sasaran yang telah ditetapkan. Ia juga dapat melicinkan perjalanan proses yang terlibat. Terdapat pelbagai kemungkinan yang akan berlaku sepanjang proses pengajaran dan pembelajaran di dalam bilik darjah, makmal dan lain-lain. Ianya boleh mengganggu proses pengajaran dan pembelajaran. Namun, sebagai langkah bagi memastikan perjalanan proses pengajaran yang lancar, guru harus bersedia dan mempersiapkan diri sebelum memulakan tugas mengajar. Persediaan mengajar mempunyai tiga komponen penting iaitu komponen persediaan, penyampaian, dan penutup (Mok, S. S., 2002).

Komponen Persediaan MengajarPersediaan mengajar merujuk kepada satu perancangan yang terdiri daripada langkah-langkah pengajaran yang akan dilaksanakan oleh guru dalam bilik darjah. Ia terdiri daripada butiran am, tajuk pelajaran, objektif, kemahiran serta bahan bantu mengajar. Pengetahuan sedia ada pelajar perlu juga dipertimbangkan sebelum memulakan sesi pengajaran. Selain itu, penerapan ilmu dan penerapan nilai-nilai murni kepada para pelajar bagi seperti kerjasama, kerajinan, keberanian dan amanah penting kerana masing-masing dapat meningkatkan ilmu pengetahuan dan memberikan pengalaman baru kepada pelajar serta dapat membentuk akhlak terpuji yang dapat diamalkan oleh mereka dalam kehidupan seharian.

Set induksi merupakan pra permulaan proses pengajaran. Ia juga harus dirancang sebelum memulakan sesi pengajaran. Teknik mengajar yang disediakan adalah mengikut kaedah pengajaran yang dipilih, contohnya jika guru ingin memilih kaedah bercerita bagi subjek Sejarah. Kaedah ini dapat menarik minat pelajar untuk mendengar dan memahami situasi sebenar peristiwa yang berlaku sekiranya teknik (gaya) penceritaan guru tersebut bersesuaian dan kena pada tempatnya. Langkah pengajaran seterusnya adalah langkah perkembangan dan diakhiri dengan sesi penutup atau kesimpulan. Namun tindakan susulan perlu dilakukan oleh guru dan guru harus bersedia dan merancang tindakan yang akan dilakukan sebelum menamatkan sesi pengajaran seperti pemberian kerja rumah, penerangan tentang serba sedikit tentang topik yang akan diajar pada sesi seterusnya serta meminta pelajar membaca petikan teks yang diberikan dan lain-lain.

Komponen Penyampaian PengajaranGuru perlu merancang elemen penyampaian pengajaran agar ianya bersesuaian dengan tahap kebolehan pelajar dengan mengambil kira penggunaan kaedah dan teknik pengajaran dan pembelajaran, masa, pemeringkatan isi serta pemilihan sumber dan ralat. Perkara lain yang harus dipertimbangkan juga dalam usaha untuk menyampaikan pengajaran adalah kesesuaian aktiviti dengan topik pengajaran, kualiti guru itu sendiri di mana gabungan ilmu pengetahuan, kepakaran dan pengalaman guru harus diambilkira serta mempunyai sistem penghantaran maklumat untuk penyampaian yang efektif seperti penggunaan teknologi. Dalam komponen ini, guru harus mengaitkan objektif pengajaran dan pembelajaran dengan mengambil kira pengetahuan sedia ada pelajar.

Komponen Penutup Langkah terakhir dalam komponen persediaan mengajar adalah penutup. Ia merangkumi pemilihan jenis penutup yang bersesuaian, aktiviti susulan, penilaian objektif pelajaran, aktiviti membuat rumusan, serta perubahan mengikut kesesuaian dari segi pendekatan, kaedah, strategi, bahan dan alat bantu mengajar dan lain-lain dalam sesi pengajaran yang seterusnya.

Aktiviti susulan merupakan pemberian kerja rumah, latihan dan lain-lain sebelum sesi pembelajaran ditamatkan. Manakala, dalam persediaan penilaian, pelbagai cara seperti kaedah pemerhatian, soal jawab, perbincangan, kerja bertulis dan kerja rumah dapat digunakan. Oleh itu, guru harus merancang kaedah yang akan digunakan bagi menilai tahap kebolehan dan keupayaan pelajar dalam penguasaan subjek serta keberkesanan kaedah dan aktiviti yang dilaksanakan oleh guru.

Terdapat dua jenis penilaian iaitu penilaian formatif dan penilaian sumatif. Penilaian formatif digunakan untuk mengukur hasil pembelajaran selepas satu unit pembelajaran atau pada akhir sesuatu bab dalam buku teks. Manakala, penilaian sumatif merupakan peniliaian yang dijalankan pada akhir sesuatu kursus. Penilaian sesuatu topik pengajaran juga boleh dibuat di langkah penutup iaitu bahagian terakhir dalam sesuatu proses pengajaran pembelajaran. Penentuan jenis penilaian yang sesuai dengan tujuan dan langkah pengajaran adalah berdasarkan Taksonomi Bloom, Krathowl dan Simpson. Tujuan penilaian adalah untuk mengesan penguasaan, kemajuan dan tahap pencapaian pelajar-pelajar.

Aktiviti membuat rumusan pula boleh dibuat oleh pelajar dan seterusnya guru memberi pandangan bagi menyimpulkan keseluruhan proses pengajaran yang telah dilaksanakannya pada hari tersebut dengan meyampaikan penerangan secara ringkas..

Kepentingan Persediaan MengajarTerdapat beberapa kepentingan persediaan mengajar dalam perancangan pengajaran. Di antaranya ialah, ia membolehkan guru menentukan objektif pengajaran yang sesuai dengan sukatan pelajaran dan kebolehan pelajar. Selain itu, guru juga dapat menentukan pendekatan, strategi, kaedah dan teknik pengajaran yang sesuai dengan objektif pengajaran serta dapat membantu guru memilih bahan dan sumber serta aktiviti yang sesuai. Guru juga dapat memastikan semua isi pelajaran dapat disampaikan kepada murid dengan baik. Di samping itu, persediaan mengajar dapat memastikan guru agar tidak menyeleweng dalam pengajaran Pendapat ini disokong oleh Atan, L. (1993) yang menyatakan dengan adanya persediaan mengajar, guru akan memikirkan dengan terang matlamat atau objektif, pemilihan isi penting, pemilihan dan susun cara mengajar, perancangan aktiviti dan persediaan penilaian.

Selain itu, persediaan mengajar penting dalam memberi keyakinan kepada guru-guru, terutamanya guru-guru baru serta memastikan pengajaran lebih sistematik dan berkesan dari segi pengawalan kelas, penggabung jalinan dan penyerapan secara terancang. Pandangan di atas disokong oleh Mok, S. S. (2002), di mana beliau telah memberikan beberapa kepentingan persiapan persediaan mengajar termasuklah membolehkan guru mengajar dengan lebih berkeyakinan.

Apabila tugas seseorang guru diambil alih oleh guru lain atas sebab pertukaran, cuti rehat, cuti bersalin dan lain-lain , ianya akan memudahkan guru baru merancang pengajarannya berdasarkan catatan atau rekod yang telah dibuat oleh guru sebelumnya. Sekiranya persediaan mengajar disediakan sebelum memulakan proses pengajaran dan pembelajaran, hasil atau impak pengajaran tersebut dapat diperolehi di akhir sesi pengajaran di mana guru dapat menilai keberkesanan pengajarannya sama ada ia perlu diteruskan atau perlu dilakukan penambahbaikan dari segi pendekatan, kaedah, teknik dan sumber serta bahan yang telah digunakan.

KesimpulanSebelum memulakan sesuatu pekerjaan, kita sebagai manusia harus bersedia dari aspek fizikal dan mental. Bahkan sebelum mendapat pekerjaan lagi, kita perlu mempersiapkan diri dengan ilmu dan pengalaman sebelum menghadiri temu duga yang akan dijalankan oleh pihak tertentu. Persediaan penting bagi menghadapi sebarang keadaan di mana kita tidak tahu sebarang kemungkinan dan situasi yang bakal terjadi. Bagi seorang guru, persediaan mengajar amat penting di mana ia dapat menentukan tahap profesionalisme guru tersebut bagi memastikan kelancaran proses pengajaran dan mengelakkan keadaan yang tidak diingini daripada berlaku terutamanya terhadap pelajar.

Persediaan Rancangan Kerja

Menurut Shahabuddin Hashim, Rohizani Yaakub & Mohd. Zohir Ahmad (2003), guru harus melalui proses-proses berikut dalam penyediaan rancangan kerja iaitu meneliti sukatan pelajaran, mentafsir sukatan pelajaran, diikuti dengan menyediakan rancangan mengajar.

Meneliti Sukatan Pelajaran

Sukatan pelajaran terdiri daripada matlamat, objektif organisasi dan kandungan kurikulum mata pelajaran berkenaan. Huraian sukatan pelajaran haruslah dinilai dan dijadikan sebagai rujukan oleh guru bagi menerangkan dan memperjelaskan perkara-perkara yang terkandung dalam sukatan pelajaran.

Mentafsir Sukatan Pelajaran

Sukatan pelajaran merujuk kepada satu dokumen yang mengandungi susunan topik-topik yang disediakan untuk sesuatu mata pelajaran. Ia mempunyai objektif pengajaran pembelajaran yang tersendiri. Ia disediakan oleh Pusat Perkembangan Kurikulum ( PPK). Dalam sukatan pelajaran, diperuntukkan kandungan ilmu pengetahuan serta kemahiran-kemahiran yang perlu dicapai dan dikuasai bagi setiap mata pelajaran. Berdasarkan sukatan pelajaran dan buku panduan khas, seorang guru perlu merancang strategi pengajaran dan pembelajaran untuk memastikan pelajar memperolehi hasil yang optimum.

Guru seharusnya dapat menguasai kemahiran merancang rancangan kerja berdasarkan penelitian dan pentafsiran sukatan pelajaran yang telah diluluskan oleh Pusat Perkembangan Kurikulum, Kementerian Pendidikan Malaysia. Aspek-aspek penting dalam sukatan pelajaran seperti unit-unit pembelajaran, objektif-objektif pengajaran dan kemahiran-kemahiran yang ingin dicapai. Strategi dan aktiviti pengajaran pembelajaran yang akan digunakan haruslah bersesuaian dengan minat dan tahap keupayaan pelajar. Selain itu, penggunaan sumber serta bahan pengajaran haruslah juga dirancang dan disediakan memandangkan ia yang merupakan alat bantu mengajar yang akan digunakan dalam proses pengajaran dan pembelajaran.

Menyediakan Rancangan Kerja

Perancangan pengajaran yang baik amat penting untuk menjayakan satu proses pengajaran dan pembelajaran. Guru perlu merancang isi pelajaran, teknik mengajar, alat bahan bantu mengajar (ABBM) agar pengajaran pembelajaran dapat berjalan dengan lancar dan berkesan.

Menyediakan Rancangan Mengajar

Bagi memulakan sesuatu pengajaran, guru harus menyedia dan merancang persediaan mengajar sebelum sesi pengajaran bermula. Persediaan mengajar haruslah dibuat sehari sebelum pengajaran supaya guru lebih bersedia dan yakin dengan pendekatan, kaedah, teknik serta bahan dan alat yang digunakan.

Kesimpulan

Oleh itu, rancangan kerja merupakan satu kaedah yang sistematik dan berkesan bagi melahirkan guru yang cemerlang selaras dengan profesion keguruan yang mana dokumen rasmi tersebut akan dirujuk dan disemak oleh pihak pengurusan sekolah, pegawai-pegawai jabatan pendidikan dan kementerian pendidikan.