proposal azmy

of 45 /45
BAB 1 PENDAHULUAN 1.1 Pengenalan Penerbitan CD-ROM buku teks adalah selaras dengan Program Pengajaran dan Pembelajaran Bahasa Melayu. Penerbitan CD-ROM buku teks juga adalah untuk menyahut seruan kerajaan bagi meningkatkan penggunaan aplikasi ICT dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Sehubungan itu, buku teks baru telah diterbitkan bersama CD-ROM buku teks secara pakej. CD-ROM buku teks terbahagi kepada dua jenis iaitu CD-ROM Murid atau MyCD untuk kegunaan murid dan CD-ROM Guru untuk kegunaan guru-guru. Penyediaan MyCD untuk empat mata pelajaran teras sekolah rendah (KBSR) bermula pada tahun 2003 dan berakhir pada tahun 2008 (Tahun 1 hingga Tahun 6).

Upload: rosmah-hj-dani

Post on 21-May-2015

2.445 views

Category:

Documents


3 download

TRANSCRIPT

Page 1: Proposal azmy

BAB 1

PENDAHULUAN

1.1 Pengenalan

Penerbitan CD-ROM buku teks adalah selaras dengan Program Pengajaran dan

Pembelajaran Bahasa Melayu. Penerbitan CD-ROM buku teks juga adalah untuk

menyahut seruan kerajaan bagi meningkatkan penggunaan aplikasi ICT dalam proses

pengajaran dan pembelajaran.

Sehubungan itu, buku teks baru telah diterbitkan bersama CD-ROM buku teks secara

pakej. CD-ROM buku teks terbahagi kepada dua jenis iaitu CD-ROM Murid atau

MyCD untuk kegunaan murid dan CD-ROM Guru untuk kegunaan guru-guru.

Penyediaan MyCD untuk empat mata pelajaran teras sekolah rendah (KBSR) bermula

pada tahun 2003 dan berakhir pada tahun 2008 (Tahun 1 hingga Tahun 6).

MyCD ialah CD-ROM multimedia interaktif yang mengandungi teks, animasi, simulasi,

audio, video, aktiviti interaktif dan ujian interaktif untuk menyokong dan menambah

nilai kandungan buku teks. MyCD berfungsi membantu murid memahami dan

mengukuhkan kandungan pelajaran yang disampaikan melalui buku teks. MyCD tidak

menggantikan buku teks bercetak yang dibekalkan kepada murid tetapi merupakan

perisian sumber. Oleh itu, murid perlu merujuk ikon MyCD dalam buku teks sebelum

mengaksesnya.

Page 2: Proposal azmy

MyCD mengandungi objek-objek pembelajaran seperti aktiviti interaktif, latihan

interaktif, galeri multimedia, e-ujian, e-glosari atau e-kamus bergambar, e-jurnal dan

tautan/capaian internet. Ciri istimewa MyCD adalah data dan rekod murid boleh

disimpan dalam cakera keras komputer atau disket murid. Rekod ini juga boleh dihantar

melalui kemudahan e-mel kepada rakan dan guru.

Pembangunan MyCD mengambil kira ciri-ciri kepenggunaannya iaitu mesra pengguna

seperti auto-jalan dan mudah digunakan oleh murid dengan pengetahuan yang asas

tentang penggunaan komputer. Perisian sokongan yang diperlukan untuk MyCD

berfungsi seperti Quicktime, Acrobat Reader, Java Run-Time dan sebagainya

disediakan di dalam MyCD dan pemasangannya adalah secara automatik.

MyCD merupakan bahan sokongan kepada buku teks maka penggunaan MyCD ini

berkait rapat dengan penggunaan buku teks. Ikon MyCD yang terpapar pada halaman

tertentu dalam buku teks memberi petunjuk bahawa tajuk/unit dalam buku teks tersebut

dijelaskan lagi secara interaktif dalam MyCD. Bahan dalam MyCD boleh di akses

dengan menggunakan menu, kemudahan carian pantas atau peta laman. Menu adalah

cara utama kerana kandungan MyCD disusun berasaskan menu. Kemudahan carian

pantas pula memerlukan murid menaip halaman muka surat buku teks yang

memaparkan ikon MyCD.

Penggunaan MyCD berkait rapat dengan penggunaan makmal komputer sekolah.

MyCD sesuai digunakan untuk membantu murid dalam proses pembelajarannya di

sekolah terutama sekolah yang telah dilengkapi prasarana makmal komputer. Pihak

sekolah disarankan agar meletakkan semua MyCD yang dibekalkan melalui Skim

Pinjaman Buku Teks (SPBT) dalam makmal komputer supaya murid boleh mengakses

MyCD setelah pengetahuan/kemahiran berkaitan sesuatu tajuk dalam buku teks telah

dipelajarinya.

Penerbitan MyCD ini sebenarnya bukan saja dapat membantu guru dan murid dalam

proses pengajaran dan pembelajaran mata pelajaran Bahasa Melayu tetapi juga dapat

menjadikan kandungan buku teks lebih bermakna. Seterusnya meluaskan keupayaan

buku teks daripada hanya mengandungi teks dan grafik statik sahaja kepada bahan

Page 3: Proposal azmy

multimedia tambahan seperti animasi, simulasi, audio, video, aktiviti interaktif dan

sebagainya yang menarik, mesra pengguna dan akses kendiri. Konsep yang khusus dan

abstrak dalam buku teks dapat disampaikan secara konkrit kepada murid melalui

elemen multimedia dalam CD-ROM. Ciri authentics multimedia ini membantu

pemahaman murid dengan lebih berkesan. Oleh itu, kajian ini penting untuk melihat

persepsi pelajar terhadap penggunaan MyCD dalam pengajaran dan pembelajaran

Bahasa Melayu.

1.2 Latar Belakang Masalah

Pendekatan penggunaan perisian ICT, contohnya MyCD dalam persembahan

pengajaran dan pembelajaran memainkan peranan yang penting dalam menentukan

keberkesanan sesuatu pengajaran dan pembelajaran dalam bidang pendidikan. Dick dan

Reiser (1990) mentakrifkan pembelajaran berkesan sebagai pembelajaran yang

menyeronokkan. Keseronokan belajar adalah sesuatu yang diharapkan oleh semua

golongan guru terhadap pelajar-pelajarnya. Keseronokan ini membawa implikasi di

mana pelajar lebih tertarik dan berminat hendak belajar, manakala guru pula

mempunyai strategi yang boleh mendorong pelajar-pelajarnya memberi tumpuan serta

mengambil bahagian yang menyeluruh dalam proses pengajaran dan pembelajaran.

Setiap orang mempunyai kefahaman yang berlainan tentang sesuatu konsep.

Pelajar-pelajar menjejaki langkah ke sekolah dengan idea-idea tersendiri mengenai alam

sekelilingnya. Mereka telah pun cuba memahami dan membentuk pengetahuan sendiri

tentang alam sekeliling berdasarkan pengalaman mereka. Walau bagaimanapun,

kebanyakan idea mereka tidaklah sama dengan idea-idea yang diterima oleh masyarakat

sekeliling.

Setiap guru haruslah menyedari akan keadaan ini dan membuat pertimbangan yang

sewajarnya semasa memilih kaedah dan strategi pengajaran. Pemilihan dan penggunaan

MyCD ini adalah penting kerana ianya membolehkan pelajar dapat memahami konsep

yang baru dan berupaya membuat perkaitan antara konsep lama dan baru. Dick dan

Reiser (1990), menyatakan : “ Learning takes places not only through taking in new

Page 4: Proposal azmy

information but also involves organizing and imaginative restructuring of the

conceptions and frameworks which learners already have ”.

1.3 Pernyataan Masalah

Walaupun begitu, wujud beberapa masalah terhadap segelintir pelajar yang tidak

dapat menguasai dan memahami secara jelas pengunaan MyCD ini di dalam

makmal komputer/bilik darjah. Antara halangan utama ialah kurang kerap

menggunakan MyCD di sekolah. Bekalan MyCD di sekolah yang tidak boleh

digunakan (tidak berfungsi/rosak), kekurangan perkakasan komputer terkini,

perkakasan berteknologi lama, berkualiti rendah dan bilangan yang dibekalkan

pula kadang kala tidak mencukupi.

Generasi pelajar yang ingin memperkayakan maklumat tidak seharusnya bergantung

kepada buku teks yang dibekalkan dan bahan-bahan yang disediakan oleh guru semata-

mata, tetapi kemahiran mencari maklumat dengan sendiri daripada penggunaan MyCD

adalah perlu dititikberatkan. Penguasaan sepenuhnya kemahiran menggunakan MyCD

adalah asas dalam usaha menguasai kemahiran bahasa melayu yang diajar.

Ramai yang menganggap kemunculan MyCD dalam ICT akan merumitkan,

menyusahkan dan membebankan para pelajar dalam menguasai kemahiran berbahasa .

Ini memandangkan tahap penguasaan mereka masih belum cukup untuk membolehkan

mereka menggunakan MyCD dengan cekap. Sehubungan itu, kajian ini dibuat untuk

menentukan tahap persepsi pelajar terhadap penggunaan MyCD dalam pengajaran dan

pembelajaran bahasa melayu berdasarkan minat dan ciri-ciri perisian yang sedia ada.

1.4 Objektif Kajian

i) Kajian ini bertujuan untuk mengenalpasti minat pelajar terhadap

penggunaan MyCD.

ii) Kajian ini juga untuk mengkaji persepsi pelajar terhadap ciri-ciri perisian

MyCD dalam proses pembelajaran dan pembelajaran.

Page 5: Proposal azmy

1.5 Persoalan Kajian

Untuk mencapai tujuan dan objektif kajian, pengkaji akan mendapatkan

jawapan kepada soalan-soalan kajian berikut;

i) Apakah tahap minat pelajar terhadap penggunaan MyCD dalam

pengajaran dan pembelajaran Bahasa Melayu?

ii) Apakah tahap persepsi pelajar terhadap ciri-ciri perisian MyCD ?

1.6 Kepentingan Kajian

Pembelajaran berpusatkan guru yang telah lama digunakan dalam proses

pengajaran dan pembelajaran telah meninggalkan implikasi yang besar terutama dari

segi perkembangan mental dan kognitif pelajar. Selalunya pelajar hanya diberi peluang

untuk mendengar segala input tetapi tidak diberikan peluang untuk menunjukkan

kemahiran kendiri dalam menyelesaikan masalah. Mereka hanya diberikan peluang

untuk bersoal jawab dan menjawab secara bertulis sedangkan pelbagai aktiviti boleh

dijalankan bagi merangsang minat, menghuraikan permasalahan dan

memperkembangkan kemahiran pelajar.

Oleh itu, daripada hasil kajian ini nanti diharapkan pembelajaran dengan menggunakan

MyCD dapat mengubah perspektif dan teknik pengajaran dan pembelajaran yang

berpusatkan guru. Melalui kaedah MYCD, diharap dapat menjadikan pelajar lebih

bermotivasi untuk menguasai kemahiran dan seterusnya menimbulkan rasa seronok di

kalangan pelajar untuk belajar. Aktiviti yang terdapat dalam MYCD juga ditagih agar

dapat meningkatkan kemahiran dan penguasaan mereka terhadap pelajaran Bahasa

Melayu.

Selain itu, kajian ini adalah penting kerana hasil dapatan penyelidikan akan dapat

menjadi rujukan kepada kementerian pelajaran khususnya Bahagian Buku Teks (BBT)

dalam menambahbaikan penerbitan MyCD . Ini secara tidak langsung boleh membantu

guru untuk menarik minat dan sikap pelajar dalam penggunaan MyCD pada masa akan

datang.

Page 6: Proposal azmy

1.7 Batasan Kajian

Kajian ini adalah terbatas kepada beberapa perkara seperti berikut:

a) Terbatas terhadap persoalan kajian sahaja.

b) Terbatas kepada pelajar-pelajar tahun lima seramai 30 orang dan terhad

kepada sebuah sekolah rendah sahaja.

c) Terbatas kepada sukatan pelajaran bahasa melayu tahun lima sahaja.

d) Kejituan kajian bergantung kepada kejujuran responded menjawab soalan

soal selidik dengan jujur dan ikhlas.

1.8 Andaian Kajian

Menurut Mohd Majid (2000), dapatan daripada kajian dianggap mempunyai

kesahan dan kebolehpercayaan yang tinggi dengan membuat andaian. Dalam kajian ini,

penyelidikan mengandaikan bahawa:

a) Responden memberikan respon kajian dengan ikhlas dan jujur.

b) Subjek mengambil bahagian dalam kajian ini dengan sukarela.

c) Emosi subjek adalah stabil semasa menjawab soalan daripada soal selidik

kajian.

d) Soal selidik yang dibina dianggap mencukupi dan memadai untuk menjawab

persoalan kajian.

Page 7: Proposal azmy

1.9 Definisi Istilah

Definisi berikut kerap digunakan dalam laporan:

1.9.1 Persepsi

Menurut Atkinson dan Hilgard (1983), mendefinisikan persepsi sebagai proses

menyusun dan mentafsir pola-pola rangsangan melalui organ penerimaan dan kemudian

menghasilkan dan membentuk imej mengenai persekitaran. Persepsi juga sebagai satu

proses bagaimana manusia memproses dan mengendalikan berbagai-bagai maklumat

yang didapati daripada persekitarannya dengan menggunakan pancainderanya. Dalam

kajian ini persepsi ialah pengalaman, pandangan, pendapat dan persediaan pelajar untuk

bertindak balas terhadap penggunaan MyCD dalam pengajaran dan pembelajaran

bahasa melayu.

1.9.2 MyCD

Menurut Bahagian Buku Teks Kementerian Pelajaran Malaysia (2003), MyCD

ialah CD-ROM multimedia interaktif yang mengandungi teks, animasi, simulasi, audio,

video, aktiviti interaktif dan ujian interaktif untuk menyokong dan menambah nilai

kandungan buku teks. MyCD berfungsi membantu murid memaham dan mengukuhkan

kandungan pelajaran yang di sampaikan melalui buku teks. MyCD tidak menggantikan

buku teks bercetak yang dibekalkan kepada murid atau bahan alternatif kepada buku

teks. MyCD bukannya satu perisian kursus tetapi merupakan perisian sumber.

1.9.3 Pengajaran

Suatu sistem tindakan yang bertujuan untuk menggerakkan pembelajaran.

Proses pengajaran melibatkan penyusunan dan manipulasi sesuatu keadaan yang mana

terdapat halangan yang perlu diatasi oleh individu (Meor Ibrahim, 2001). Menurut Mok

(1996), pengajaran merupakan aktiviti atau proses yang berkaitan dengan penyebaran

ilmu pengetahuan atau kemahiran yang tertentu. Ini meliputi perkara-perkara seperti

aktiviti perancangan, pengelolaan, penyampaian, bimbingan dan penilaian yang

bertujuan menyebarkan ilmu pengetahuan atau kemahiran kepada pelajar-pelajar

dengan cara yang berkesan. Dalam kajian ini, pengajaran ialah proses penyampaian

Page 8: Proposal azmy

maklumat oleh guru dengan menggunakan MyCD di dalam makmal komputer atau bilik

darjah.

1.9.4 Pembelajaran

Menurut Mok (1996), Pembelajaran merupakan proses yang boleh

menghasilkan perubahan pada tingkah laku sebagai tindakbalas terhadap keadaan yang

dihadapi. Perubahan tingkahlaku itu bukanlah disebabkan oleh kematangan, keletihan,

penyakit, dadah atau sebagainya. Pembelajaran berlaku apabila seseorang menerima

sesuatu yang baru atau mengubah pola tingkahlaku yang mempunyai pengaruh terhadap

sikap atau pencapaian akan datang (Meor Ibrahim, 2001). Menurut Mok (1996), ramai

ahli psikologi mentafsirkan pembelajaran sebagai proses melalui latihan atau

pengalaman organisma dapat menghasilkan perubahan tingkahlaku yang agak kekal.

Dalam kajian ini, pembelajaran ialah proses pelajar menerima pengajaran dengan

menggunakan MyCD di dalam makmal komputer atau bilik darjah.

1.9.5 Pelajar

Menurut kajian ini, pelajar merujuk kepada pelajar-pelajar tahun lima seramai

30 orang yang mempelajari subjek bahasa melayu di sebuah sekolah rendah di daerah

Johor Bahru iaitu Sekolah Kebangsaan Mohd Khir Johari yang mana pelajarnya terdiri

daripada rumpun bangsa Melayu.

1.9.6 Bahasa Melayu

Menurut kamus Dewan Bahasa dan Pustaka Edisi 4 (2007), bahasa merujuk satu

sistem lambang bunyi suara yang dipakai sebagai alat perhubungan dalam lingkungan

satu kelompok manusia.

1.10 Penutup

Pendekatan penggunaan MyCD dalam persembahan pengajaran dan

pembelajaran memainkan peranan yang penting dalam menentukan keberkesanan

Page 9: Proposal azmy

sesuatu pengajaran dan pembelajaran dalam bidang pendidikan. Selain untuk menyahut

seruan kerajaan bagi meningkatkan penggunaan aplikasi ICT dalam proses pengajaran

dan pembelajaran. Semoga dengan kajian ini dapat memberi sedikit gambaran kepada

pihak-pihak tertentu untuk menambahbaikan dalam memantapkan lagi penerbitan

MyCD di masa akan datang.

Page 10: Proposal azmy

BAB 2

SOROTAN KAJIAN

2.1 Pengenalan

Bab ini meninjau lebih lanjut kajian literatur dan beberapa hasil kajian yang

berkaitan dengan konsep teknologi pendidikan, beberapa teori sikap dan teori

pembelajaran yang menjadi landasan penggunaan ICT dalam pendidikan, penggunaan

komputer dan perisiannya di dalam pendidikan serta kajian sikap terhadap penggunaan

ICT. Walaupun kajian-kajian lepas belum lagi membuat kajian terperinci mengenai

penggunaan MyCD dalam pengajaran dan pembelajaran bahasa melayu, namun

penggunaan e-pembelajaran seperti ICT, CD-ROM, CD interaktif dan internet dalam

pengajaran dan pembelajaran bahasa melayu telah banyak dan meluas kajian

mengenainya. Oleh itu, kajian penggunaan MyCD adalah berkait rapat dengan kajian-

kajian tersebut.

2.2 Konsep Teknologi Pendidikan

Penggunaan ICT dalam proses pengajaran dan pembelajaran mempunyai

hubungan secara langsung dengan konsep penggunaan teknologi maklumat dalam

pendidikan. Penggunaan teknologi seperti komputer memainkan peranan bagi

meningkatkan keberkesanan proses pengajaran dan pembelajaran. Dalam konteks

Page 11: Proposal azmy

pendidikan dan latihan, peningkatan keberkesanan dapat diperhatikan dari manifestasi

berikut (Ellington, Percival and Race, 1993):

1. Peningkatan kualiti pembelajaran dan tahap penguasaan pelajar .

2. Mengurangkan waktu yang digunakan oleh pelajar untuk mencapai sesuatu tujuan.

3. Meningkatkan keberkesanan guru dari segi jumlah penuntut yang diajar tanpa

mengurangkan kualiti pembelajaran.

4. Mengurangkan kos tanpa menjejaskan kualiti.

Ellington, Percival dan Race (1993) juga ada memetik beberapa definisi teknologi

pendidikan seperti berikut:

1. Teknologi pendidikan adalah perkembangan, aplikasi dan penilaian terhadap sistem,

teknik dan alat bantuan bagi meningkatkan proses pembelajaran manusia (National

Council for Educational Technology, United Kingdom).

2. Teknologi pendidikan adalah aplikasi bagi pengetahuan saintifik tentang

pembelajaran dan keadaan pembelajaran bagi meningkatkan keberkesanan dan

kecekapan pengajaran dan latihan. Dalam ketiadaan prinsip-prinsip saintifik yang

telah diketahui, teknologi pendidikan mengamalkan teknik-teknik berdasarkan ujian

pengalaman bagi meningkatkan suasana pembelajaran" (National Centre for

Programmed Learning, United Kingdom).

3. Teknologi pendidikan adalah satu cara yang sistematik bagi merekabentuk,

melaksana dan menilai keseluruhan proses pengajaran dan pembelajaran dari segi

objektif khusus berdasarkan penyelidikan dalam pembelajaran manusia dan

komunikasi serta menggabungkan sumber manusia dan sumber bukan manusia ke

arah pengajaran yang lebih berkesan (Commission on Instructional Technology,

USA)

Ketiga-tiga definisi tersebut memberi penekanan terhadap peranan utama ICT dalam

teknologi pendidikan iaitu untuk meningkatkan keberkesanan proses pengajaran dan

pembelajaran. Penilaian terhadap kecekapan dan keberkesanan proses pengajaran dan

pembelajaran ini adalah berasaskan kepada bukti-bukti yang diperolehi dalam

penyelidikan terhadap proses pembelajaran. Setiap definisi di atas cuba menghuraikan

Page 12: Proposal azmy

peranan teknologi pendidikan yang melibatkan pendekatan sistem berputar kepada

merekabentuk situasi atau proses pengajaran dan pembelajaran serta penggunaan apa

sahaja kaedah dan teknik yang sesuai bagi mencapai objektif yang diingini. Definisi-

definisi berkenaan juga memberi penekanan kepada pengujian dan penilaian.

Bagi menentukan satu teknik pengajaran dan pembelajaran yang lebih berasaskan

peranan individu, penggunaan komputer dalam pendidikan mempunyai beberapa

kekuatan dan juga kelemahan yang tersendiri. Di antara kekuatan dan kebaikan

pembelajaran berasaskan komputer ini ialah (Ellington, Percival dan Race, 1993):

1. Dapat merangkumi objektif pembelajaran yang luas.

2. Penuntut dapat melakukan kerja mengikut tahap kebolehan masing-masing.

3. Pendekatan interaktif dalam pembelajaran membolehkan pembelajaran dilakukan

dengan melakukannya sendiri serta mendapat maklumbalas segera.

4. Membolehkan simulasi pengalaman pembelajaran secara terus dilakukan

2.3 Kepentingan komputer Dalam Pendidikan

Menurut Raja Maznah (1994), terdapat tiga sebab utama mengapa komputer

diperlukan dalam pendidikan.

1. Banyak maklumat yang boleh dicapai daripada komputer tidak boleh

dilakukan oleh manusia itu sendiri.

2. Kemampuan mengutip dan menyimpan maklumat serta pengetahuan hanya

dapat dikelolakan dengan cekap oleh komputer.

3. Maklumat yang dan pengetahuan menjadi kunci untuk ikhtiar dalam

kehidupan manusia, terutamanya untuk pelajar itu sendiri.

Komputer di dalam konteks pendidikan seharusnya mengenal pasti keperluan pelajar,

memberi arahan atau pengajaran yang sesuai mengikut peringkat pelajar, memantau dan

melapor kemajuan pelajar, menjadi alat pelajar boleh menganalisis data, menulis

laporan, dan melayari Internet untuk mendapatkan maklumat bagi meningkatkan

pengetahuan mereka dan lain-lain lagi. Memang tidak dapat dinafikan bahawa

Page 13: Proposal azmy

komputer mampu menyumbang kepada proses pendidikan dalam pelbagai bentuk yang

lain, sumbangan komputer adalah berkait rapat dengan kemahiran, pengetahuan, dan

komitmen pengguna itu sendiri.

Sehubungan itu, kebolehan dan kemampuan menggunakan komputer dengan cekap dan

berkesan dapat membantu pelajar dalam proses pengajaran dan pembelajaran.

Menurut Becker (1991), antara halangan utama penggunaan komputer di sekolah ialah

kekurangan perkakasan yang terkini. Kebanyakan sekolah telah dibekalkan dengan

perkakasan berteknologi lama, berkualiti rendah dan berkuasa rendah. Tetapi, bilangan

yang dibekalkan adalah tidak mencukupi Hasselbrig, 1990 (dalam Becker, 1991).

2.4 Teori Pembelajaran Berlandaskan Komputer

Sebagai satu elemen yang penting dalam proses pengajaran dan pembelajaran di

dalam sistem pendidikan negara pada masa depan, penggunaan komputer dalam

pendidikan haruslah disandarkan kepada beberapa teori asas pembelajaran. Di antara

teori asas pembelajaran yang dikaitkan dengan penggunaan teknologi komputer dalam

pembelajaran ialah teori behaviorisme, teori kognitivisme, teori konstruktivisme dan

teori e-pembelajaran.

2.4.1 Teori Behaviorisme

Teori behaviorisme menyatakan bahawa pembelajaran berlaku apabila pelajar

memperlihatkan tingkahlaku secara konsisten seperti yang diingini iaitu pelajar

memberi maklumbalas terhadap peristiwa-peristiwa yang dirangkakan. (Newby et

al.,1996). Teori ini juga menggalakkan pembelajaran melalui galakan dan rangsangan.

Rangsangan boleh berbentuk pujian dan penghargaan. Dalam sesi pembelajaran,

galakan dan rangsangan akan mendorong pelajar mempelajari sesuatu bidang dengan

lebih tekun. Di sini rangsangan pelajar ialah komputer, ICT atau penggunaan MyCD.

Ulangan sesuatu rangsangan dan tindak balas yang bermakna dapat mengukuhkan

pembelajaran terutamanya di dalam akitiviti membina kemahiran.

Page 14: Proposal azmy

Pembelajaran berasaskan teori ini menyediakan pelajar terlebih dahulu daripada segi

keupayaan, kematangan dan melibatkan mereka secara sukarela dalam aktiviti.

Pendekatan ini memberi kepuasan kepada pelajar. Dalam pembelajaran ini, kemudahan

yang lengkap dan persekitaran yang baik adalah perlu kerana ia memberi kesan kepada

latihan dan peneguhan perubahan tingkah laku (Schuman, 1996).

2.4.2 Teori Kognitivisme

Teori pembelajaran kognitivisme menerangkan pembelajaran sebagai

perubahan dalam pengetahuan yang disimpan dalam memori. Ini akan

membawa pelajar melakukan penemuan dan kefahaman tentang perkara yang

dipelajari. Pengajar memberi kebebasan kepada pelajar untuk belajar sendiri dengan

dipandu oleh pengajar. Di sini penggunaan MyCD penting untuk pelajar melakukan

penemuan dan kefahaman tentang sesuatu perkara yang telah dipelajari. Oleh itu,

susunan yang baik dan sistematik akan membawa kesan kepada proses pembelajaran

yang baik kepada pelajar (Schuman, 1996).

2.4.3 Teori Konstruktivisme

Teori ini pula menerangkan pembelajaran sebagai perubahan yang berlaku

akibat daripada pengalaman individu itu sendiri iaitu pengalaman lepas digunakan

dalam pembelajaran. Kaedah ini sangat baik bagi pelajar untuk meneroka sesuatu yang

baru berdasarkan pengalaman menggunakan komputer dengan mengaplikasikan

perisian MyCD. Pengalaman yang luas akan membantu mereka menyelesaikan masalah

yang dihadapi. Oleh itu, pengalaman mereka hendaklah diambil kira dan disepadukan

dengan kandungan program pembelajaran.

Teori pembelajaran apabila dijadikan asas kepada reka bentuk program pembelajaran

berupaya mendorong pelajar untuk belajar dan berubah. Pemahaman tentang teori

pembelajaran akan membantu kejayaan program pembelajaran. Dalam menentukan

kejayaan program pembelajaran, keupayaan menggabungjalinkan pelbagai teori dapat

memberi impak kepada setiap individu yang melalui proses tersebut.Oleh itu, pemilihan

pendekatan pembelajaran yang bersesuaian dengan pelbagai karenah pelajar dan cara

Page 15: Proposal azmy

mereka belajar sangatlah penting di samping dilaksanakan oleh pengajar yang

profesional (Schuman, 1996).

2.4.4 Teori e-Pembelajaran

Rangka kerja konseptual dan beberapa teori e-pembelajaran telah dibincangkan

untuk menyediakan kefahaman yang lebih mendalam mengenai e-pembelajaran

termasuklah pembelajaran jarak jauh. Inovasi sering merupakan hasil daripada interaksi

pelbagai subjek, teknologi, manusia serta organisasi dan ia adalah pembelajaran yang

terhasil daripada interaksi sedemikian yang menguatkan aktiviti inovasi.

Daniel, 1996 dan Johnstone, 1992 (dalam Schuman, 1996) percaya bahawa penggunaan

teknologi maklumat dan komunikasi dalam pengajaran dan pembelajaran akan

menyediakan sekurang-kurangnya sebahagian daripada penyelesaian kepada banyak

isu. Mereka menegaskan bahawa teknologi menyediakan banyak asas yang paling baik

untuk meningkatkan kefahaman terhadap isi kandungan pelajaran di samping kos lebih

rendah dan tarikan yang unik. E-pembelajaran perlu mendapat perhatian golongan

sasarannya, menawarkan pelajar sumber yang dilihat sebagai daya penarik dan bernilai

produktif kepada matlamat dan falsafah pendidikan Negara.

Institut Amerika Syarikat mencadangkan siri-siri benchmark untuk memastikan kualiti

e-pembelajaran dan keberkesanan penilaian program untuk pendidikan rendah,

menengah dan tinggi. Ini termasuklah perancangan teknologi yang berdokumen dengan

perlindungan kata laluan, enkripsi, sistem back-up dan penghantaran yang boleh

dipercayai, memantapkan piawai untuk pembangunan kursus, rekabentuk dan

penghantaran, fasilitasi interaksi dan maklumbalas yang baik serta aplikasi piawai

spesifik untuk penilaian.

2.5 Penggunaan Komputer Dalam Pengajaran dan Pembelajaran

Mc Lellan (1991) menegaskan bahawa komputer dapat membantu guru

melaksanakan aktiviti pengajaran pembelajaran dalam bilik darjah. Beliau menekan

tentang kepentingan seseorang guru itu mempunyai pengetahuan sekurang-kurangnya

Page 16: Proposal azmy

pada peringkat asas dalam mengendalikan perkakasan dan perisian komputer sebelum

mereka dapat menghasilkan kaedah pengajaran yang berkesan dalam bilik darjah.

Laurillard (1992) menyatakan bahawa pembelajaran berasaskan komputer dapat

meningkatkan pemahaman konsep teoritikal. Beliau berpendapat bahawa kaedah

simulasi dan bantuan komputer dapat meningkatkan tahap pemahaman pelajaran

dengan mudah.

Heinich (1993) menyatakan komputer berkemampuan untuk mengawal dan mengurus

bahan pengajaran yang banyak. Kemampuan komputer berinteraksi dengan

penggunanya membolehkan guru menerapkan pengajaran pembelajaran dengan lebih

mudah dan menarik. Pendapat ini disokong oleh Sandholtz, 1992 (dalam Heinich, 1993)

yang menyatakan bahawa penggunaan teknologi di sekolah boleh memudahkan

pengajaran pembelajaran. Maka dapat dikatakan bahawa komputer mempunyai

kelebihannya menjadi media yang sesuai dan berkesan dalam konteks pengajaran

pembelajaran dalam bidang pendidikan.

Menurut Simonson dan Thomson, 1990 (dalam Heinich, 1993). Latarbelakang

penggunaan komputer dalam pendidikan kembali kepada penyelidikan yang telah

dilakukan terhadap mesin pengajaran terprogram. Kaedah pengajaran terprogram adalah

berasaskan teori behaviorisme dan beberapa kajian telah dilaksanakan terhadapnya bagi

menentukan keberkesanannya. Beberapa dapatan kajian yang berkaitan mendapati

bahawa pengajaran terprogram hanya dianggap sebagai salah satu alat bantuan

mengajar guru dan tidak memberi kesan yang lebih baik terhadap pencapaian pelajar. Ia

dianggap sebagai sesuatu yang membosankan dan terlalu simplistik.

Penggunaan teknologi seperti komputer dalam proses pengajaran dan pembelajaran juga

dapat memupuk nilai dan budaya kasih sayang di kalangan guru-guru dan pelajar

disebalik kebimbangan yang mengatakan bahawa pembelajaran menggunakan

komputer akan meningkatkan persaingan antara individu dan perasaan individualistik

(Raja Maznah,1994). Hakikat ini dapat direalisasikan kerana dengan berbantukan

komputer di dalam proses pengajaran dan pembelajaran, guru mempunyai lebih banyak

peluang untuk memberi tumpuan kepada memupuk dan membina insan disamping

sama-sama berinteraksi di dalam pengajaran dan pembelajaran. Fenomena ledakan

maklumat yang sedang kita alami memerlukan para pelajar berfikir, belajar dan

Page 17: Proposal azmy

bertindak secara berbeza dari apa yang mereka lalui pada masa ini. Mereka bukan

sahaja menerima dan mengumpul maklumat, tetapi juga harus mampu menganalisis

segala maklumat yang diterima secara lebih kritis, kreatif dan membuat penilaian yang

matang beradasarkan prinsip-prinsip nilai yang diperolehi dari pendidikan yang

diterima melalui pendidikan secara bersepadu (Wan Mohd Zahid, 1993).

Secara umumnya, penggunaan komputer di sekolah dapat dikategorikan kepada tiga

bahagian utama iaitu; pembelajaran tentang komputer, penggunaan komputer untuk

menyenggara dan memproses data dan penggunaan komputer untuk membantu proses

pengajaran dan pembelajaran. Manakala penggunaan komputer untuk membantu di

dalam proses pengajaran dan pembelajaran dilaksanakan dengan memberi penekanan

kepada tiga aspek berikut iaitu: pengaturcaraan, proses pengajaran dan pembelajaran

dan utiliti guru (Nik Azis, 1996). Melalui pengaturcaraan, pelajar didedahkan dengan

beberapa bahasa pengaturcaraan yang biasa digunakan untuk menulis aturcara bagi

menyelesaikan sesuatu masalah seperti LOGO, FOTRAN, COBOL dan PASCAL.

Manakala aktiviti pengajaran dan pembelajaran pula dilaksanakan berpandukan

program atau perisian yang dibangunkan oleh penulis perisian dikenali sebagai mod

CAI (Computer-assisted Instruction) atau CAL (Computer-assisted Learning) di mana

pelajar akan berinteraksi dengan perisian kursus menggunakan terminal. Jenis perisian

kursus yang digunakan akan menentukan corak interaksi tersebut sama ada tutorial,

latihtubi, penyampaian maklumat, permainan pendidikan, demonstrasi, pengujian,

penilaian dan pengurusan pengajaran. Penggunaan komputer dalam bidang pendidikan

di Malaysia adalah suatu yang masih baru di mana ia telah bermula pada tahun 1980an.

Pada peringkat awal, penggunaan komputer di negara ini lebih merupakan aktiviti-

aktiviti Kelab Komputer di sekolah-sekolah. Hanya pada tahun 1986 sahaja

Kementerian Pelajaran Malaysia telah melancarkan projek perintis celik komputer di 20

buah sekolah menengah seluruh Negara. Di antara objektif projek ini ialah untuk

memberi pengenalan kepada komputer, pengaturcaraan dan aplikasi komputer untuk

pemprosesan perkataan dan maklumat, pangkalan data dan hamparan elektronik.

Bahagian Teknologi Pendidikan, Kementerian Pelajaran pula telah menjalankan kursus-

kursus komputer kepada guru-guru yang terlibat dengan matlamat untuk membekalkan

guru-guru yang terlatih bagi menguruskan kelab-kelab komputer di seluruh negara

Page 18: Proposal azmy

disamping dikehendaki mengajar literasi komputer mulai tahun 1986. Manakala konsep

pengajaran dan pembelajaran berasaskan komputer (PPBK) pula dilaksanakan dengan

tujuan untuk meningkatkan pencapaian pelajar melalui penggunaan komputer dalam

proses pengajaran dan pembelajaran, mempelbagaikan teknik pengajaran dan

pembelajaran bagi meningkatkan mutu pendidikan disamping mendedahkan para

pelajar kepada penggunaan komputer .

Manakala langkah pertama untuk melaksanakan penggunaan komputer secara besar-

besaran di dalam bilik darjah telah dilancarkan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia

bersama Malaysian Institute of Microelectronic System (MIMOS) melalui projek

pembangunan perisian. Projek perisian yang digelar Computer Integrated Learning

System (ComIL) telah dijalankan secara percubaan di beberapa buah sekolah terpilih di

seluruh negara mulai 1992 (Raja Maznah, 1994).

2.6 Persepsi Guru Terhadap Penggunaan Komputer Dalam Pengajaran

Pembelajaran

Menurut Bliss (1988), mengenal pasti beberapa faktor yang mempengaruhi

pelaksanaan pembelajaran berbantukan komputer di kalangan guru. Antara isu yang

penting ialah perubahan peranan guru. Melalui kajiannya, terdapat guru yang

mempunyai sikap bimbang dan tidak yakin terhadap diri sendiri untuk menguasai

teknologi baru.

Dalam aspek keyakinan dan keselesaan menggunakan teknologi komputer, Norman,

1986 dan Cohen, 1987 (dalam Bliss, 1988) mempunyai dapatan yang sama. Menurut

dapatan mereka, apa yang dititikberatkan oleh guru adalah keyakinan dan keselesaan

dalam menggunakan komputer. Somekh, 1988 (dalam Bliss, 1988) juga mempunyai

dapatan yang hampir sama. Somekh mendapati bahawa pengalaman guru yang negatif

atau tidak berkesan semasa mencuba menggunakan komputer akan mendorong guru

untuk menolak inovasi komputer.

Menurut Rhodes dan Cox, 1988 (dalam Bliss, 1988), mendapati peningkatan beban

kerja telah menghalang penggunaan komputer di kalangan guru. Di samping itu,

kekurangan perisian yang berkualiti juga menyebabkan guru menganggap bahawa

penggunaan komputer dalam pengajaran pembelajaran tidak berkesan. Berdasarkan

Page 19: Proposal azmy

dapatan kajian, persepsi guru terhadap penggunaan komputer dalam pengajaran

pembelajaran adalah penting untuk menentukan kajayaan atau kegagalan penggunaan

komputer dalam alam pendidikan.

2.7 Peranan Guru Dalam Penggunaan Komputer Dalam Pendidikan

Menurut Woodrow, 1992 (dalam Bliss, 1993), kejayaan dalam apa jua inovasi

pendidikan atau program teknologi pendidikan banyak bergantung kepada sokongan

dan sikap guru. Selain itu, sikap yang positif lahir daripada keinginan dan motivasi yang

tinggi terhadap sesuatu perkara. Keberkesanan penggunaan teknologi moden banyak

bergantung kepada guru yang rela menukar dan mencuba kaedah pengajaran yang baru

dan moden.

Dupagne dan Krendl, 1992 (dalam Bliss, 1993), semasa membuat ulasan karya tentang

sikap guru terhadap komputer, mendapati bahawa pengalaman menggunakan komputer

dapat memupuk sikap positif terhadap teknologi komputer. Guru memerlukan masa dan

kefahaman tentang bagaimana teknologi dapat menolong mereka. Setelah itu, guru

hanya akan menggunakan komputer bila sudah biasa dan berasa selesa dengan

penggunaannya.

2.8 Kajian Mengenai Sikap Terhadap Komputer

Beberapa kajian telah dijalankan sejak lebih sedekad yang lalu terhadap sikap di

kalangan guru-guru terhadap penggunaan ICT di dalam pendidikan berbanding dengan

kumpulan-kumpulan lain seperti pelajar (Laurillard, 1992), Sikap terhadap komputer di

kalangan guru-guru pelatih siswazah (Zulkifli dan Raja Maznah, 1994). Kajian-kajian

yang dijalankan telah meninjau beberapa hubungan angkubah seperti perbezaan jantina

(Simonson dan Thomson, 1990), pengalaman dengan komputer (Zulkifli dan Raja

Maznah, 1994) yang menyebabkan pembentukan sikap ini dan bagaimana perubahan

sikap terhadap penggunaan teknologi maklumat berlaku.

Kajian yang telah dijalankan oleh Simonson dan Thomson (1990), mendapati

perubahan sikap yang begitu ketara dan positif di kalangan guru-guru terhadap

Page 20: Proposal azmy

penggunaan mikrokomputer di dalam bilik kelas dan di dalam kurikulum. Manakala

kajian yang dijalankan terhadap guru-guru pelatih oleh Heinich (1993) pula mendapati

bahawa pengalaman dengan komputer dan pengaruh model peranan guru yang

menggunakan komputer di dalam bilik darjah membawa kepada sikap positif terhadap

penggunaan komputer serta meningkatkan kemungkinan guru-guru berkenaan akan

menggunakan komputer di dalam bilik darjah. Tahap pendedahan guru dengan kursus-

kursus literasi komputer juga mempunyai kaitan yang signifikan terhadap pembentukan

sikap guru-guru terhadap komputer.

Kajian yang telah dijalankan oleh Zulkifli dan Raja Maznah (1994) di kalangan guru-

guru pelatih siswazah di Universiti Malaya yang mendapati bahawa hanya 12.1% dari

sampel yang mengatakan bahawa mereka tidak mempunyai pengalaman dengan

komputer, manakala selebihnya (87.9 %) mengatakan bahawa mereka mempunyai

pengalaman. Sebanyak 49.0 % dari sampel yang mempunyai pengalaman telah

memperolehinya semasa pengajian di peringkat ijazah pertama atau di bangku sekolah.

Kajian tersebut seterusnya merumuskan bahawa guru-guru pelatih yang mempunyai

pengalaman dalam komputer semasa di sekolah atau di universiti cenderung untuk lebih

mahir dari mereka yang tidak berpengalaman. Kajian itu juga mendapati bahawa

mereka yang tidak mempunyai pengalaman dengan komputer kebiasaannya mempunyai

sikap yang negatif dan tahap kebimbangan yang tinggi terhadap komputer.

Walaubagaimanapun, beberapa kajian mendapati bahawa kebimbangan terhadap

komputer tidak mempunyai hubungan dengan sikap terhadap komputer ( Zulkifli dan

Raja Maznah, 1994). Begitu juga dengan tahap kebimbangan didapati tidak ada kaitan

dengan pengalaman dengan komputer (Sandholtz, 1997). Sebaliknya, dapatan-dapatan

kajian oleh Holzberg (1994) mengenai kebimbangan terhadap komputer di kalangan

guru-guru pelatih di Pusat Pengajian Pendidikan, Universiti Pertanian Malaysia itu

mendapati bahawa guru pelatih lelaki menunjukkan kadar kebimbangan yang lebih

rendah berbanding dengan guru pelatih perempuan. Begitu juga dengan peluang

menggunakan komputer dimana kajian-kajian mendapati bahawa pelajar lelaki lebih

berpeluang untuk menggunakan komputer daripada pelajar perempuan. Sekaligus,

perkara ini boleh dikaitkan dengan faktor pengalaman menggunakan komputer sebagai

penyumbang kepada sikap positif terhadap komputer (Becker, 1991).

Page 21: Proposal azmy

2.9 Penutup

Terdapat banyak kajian yang telah dilakukan terhadap penggunaan komputer,

ICT, CD-ROM atau CD interaktif dan internet dalam pengajaran dan pembelajaran

sains dan ternyata ianya berkesan dan memberikan impak yang positif terhadap para

pelajar. Ini jelas menunjukkan bahawa penggunaan teknologi maklumat memainkan

peranan penting dan sesuai untuk diaplikasikan terutamanya dalam proses melahirkan

pelajar celik IT. Selain daripada pengetahuan yang mendalam tentang isi pelajaran,

pelajar juga perlu mempunyai kemahiran yang cekap dalam penggunaan komputer agar

proses pembelajaran menggunakan MyCD dapat berjalan dengan lancar dan dapat

perolehi manfaat daripadanya. Selain itu, guru juga perlu mempunyai minat untuk

melaksanakan kaedah penggunaan MyCD ini. Nilai, sikap serta sahsiah yang positif

hendaklah dijadikan teras atau tunggak kepada keperibadian seseorang guru dan pelajar

bagi memastikan matlamat pendidikan negara menerusi ICT tercapai.

Page 22: Proposal azmy

BAB 3

METODOLOGI KAJIAN

3.1 Pengenalan

Metodologi atau Pengkaedahan Kajian adalah penting untuk mendapatkan hasil

kajian yang mempunyai kesahan dan kebolehpercayaan. Penyelidikan adalah satu usaha

menganalisis data melalui kaedah saintifik yang bertujuan untuk mencari jawapan

kepada persoalan atau masalah.

Bab ini akan membincangkan kaedah serta tatacara yang digunakan dalam kajian.

Antara aspek-aspek yang diberikan penekanan dalam bab ini adalah reka bentuk kajian,

sampel kajian, instrumen kajian, prosedur kajian, kajian rintis dan kaedah menganalisis

data.

Menurut Mohd. Najib (1998), kaedah penyelidikan merujuk kepada cara mendapatkan

maklumat yang boleh mencapai objektif sesuatu penyelidikan. Cara maklumat itu

diperolehi haruslah dengan cara yang paling berkesan di samping menggunakan

perbelanjaan yang paling ekonomik. Menurut beliau lagi, bagi tujuan untuk

mendapatkan maklumat mengenai sesuatu yang sedang berlaku, kaedah penyelidikan

berbentuk deskriptif adalah sangat sesuai digunakan.

3.2 Reka Bentuk Kajian

Page 23: Proposal azmy

Kajian tentang persepsi pelajar tahun lima terhadap penggunaan MyCD dalam

pengajaran dan pembelajaran bahasa melayu yang akan dijalankan ini adalah berbentuk

deskriptif. Menurut Mohd Najib (1998), kajian deskriptif merujuk kepada kaedah

menggunakan statistik untuk menerangkan ciri-ciri satu kumpulan sampel. Kaedah

deskriptif merupakan satu kajian tentang fenomena semasa yang bertujuan untuk

memberi penjelasan yang menyeluruh dan tepat tentang sesuatu persoalan yang dikaji.

Menurut Mohd. Majid (1990), kajian deskriptif dilakukan bagi menerangkan sesuatu

fenomena yang sedang berlaku dengan menganalisis data yang diperolehi melalui

instrument yang tertentu seperti soal selidik atau media-media lain. Soal selidik

digunakan untuk mendapatkan maklumat berkenaan fakta-fakta, kepercayaan, perasaan,

kehendak dan sebagainya. Kaedah ini digunakan kerana ia merupakan satu kaedah

saintifik sifatnya dan logik kerana pelajar dipilih secara rawak. Dalam kajian ini satu set

soal selidik akan digunakan bagi mendapatkan maklumat berkaitan dengan kajian

daripada responden.

Kajian yang akan dijalankan adalah untuk mengumpulkan maklumat mengenai persepsi

pelajar tahun lima terhadap penggunaan MyCD dalam pengajaran dan pembelajaran

bahasa melayu berdasarkan perisian yang ada di dalam MyCD serta minat pelajar

terhadap MyCD itu sendiri.

3.3 Sampel Kajian

Di dalam sesuatu penyelidikan pendidikan, mengenal pasti populasi merupakan

perkara penting kerana ini menentukan bidang masalah yang perlu dikaji serta sebanyak

mana data dan maklumat yang perlu dikumpul. Di samping itu, populasi juga

menentukan masa, tenaga dan perbelanjaan yang akan digunakan untuk melaksanakan

penyelidikan. Populasi mestilah ditentukan dan dikaji dengan teliti agar keputusan

kajian yang dipilih berkesan (Mohd. Najib, 1998).

Populasi kajian ini terdiri daripada pelajar-pelajar tahun lima yang mempelajari subjek

bahasa melayu di sebuah sekolah di dalam daerah Johor Bahru iaitu Sekolah

Kebangsaan Mohd Khir Johari. Sekolah ini terletak dalam sebuah kampung yang

dikenali sebagai Kampung Melayu Majidee yang berada di pinggir Bandar Johor Bahru.

Pelajar-pelajar di sekolah ini terdiri daripada latar belakang keluarga yang berbeza-beza

Page 24: Proposal azmy

dan terdiri daripada pelajar berbangsa Melayu. Kajian ini difokuskan kepada 30 orang

pelajar tahun lima di dalam sebuah kelas yang sama. Pelajar-pelajar tersebut diberi masa

selama sehari untuk menjawab semua soalan dalam soal selidik tersebut.

Menurut Azizi (2003), populasi kajian yang luas akan membantu penyelidik untuk

mendapatkan kebolehpercayaan yang tinggi. Sementara itu, Mohd. Najib (1998) pula

menyatakan bahawa cara ini amat baik kerana lebih baik besar sampel yang digunakan

oleh penyelidik, lebih mantap kajian yang dijalankan. Di samping itu, penyelidik juga

dapat mengurangkan kesilapan keputusan atau masalah kebarangkalian. Kenyataan ini

turut disokong oleh Mohd. Majid (2000) di mana populasi kajian merupakan satu set

ciri yang menunjukkan tanggapan atau ukuran tertentu ke atas sekumpulan individu

atau objek.

3.4 Tempat Kajian

Kajian ini akan dijalankan di sebuah sekolah rendah di dalam daerah Johor

Bahru iaitu Sekolah Kebangsaan Mohd Khir Johari. Sekolah ini terletak di dalam

sebuah kampung yang dikenali Kampung Melayu Majidee.

3.5 Skop Kajian

Skop kajian ini hanya terbatas kepada pelajar-pelajar tahun lima yang

mempelajari subjek bahasa melayu pada sesi tahun 2009.

3.6 Instrumen Kajian

Instrumen yang digunakan untuk mengumpulkan data dalam kajian ini adalah

berbentuk satu set borang soal selidik mengenai Persepsi Pelajar Tahun Lima Terhadap

Penggunaan MyCD dalam Pengajaran dan Pembelajaran Bahasa Melayu (Rujuk

Lampiran A). Soal selidik ini direka bentuk berdasarkan objektif-objektif kajian dan

persoalan-persoalan kajian. Kandungan borang soal selidik boleh dibahagikan kepada

dua bahagian iaitu Bahagian A dan Bahagian B.

Page 25: Proposal azmy

Bahagian A adalah bertujuan mendapatkan maklumat dan latar belakang Responden.

Antaranya termasuklah jantina, pekerjaan dan pendapatan ibu bapa/penjaga; jarak

kediaman ke sekolah, kenderaan ke sekolah, tugas di sekolah dan tahap penguasaan

penggunaan MyCD. Responden dikehendaki menandakan pilihan yang sesuai pada

ruangan yang disediakan. Dapatan yang dikemukakan hanya sebagai rekod sahaja.

Bahagian B pula, analisis kajian tertumpu pada item-item yang berkaitan dengan

objektif kajian. Bahagian ini terdiri dua kategori iaitu minat pelajar terhadap

penggunaan MyCD dan persepsi pelajar terhadap ciri-ciri perisian MyCD dalam

Pengajaran dan Pembelajaran Bahasa Melayu. Skala Likert yang digunakan dalam set

soal selidik Bahagian B adalah seperti dalam Jadual 3.1 di bawah.

Jadual 3.1 : Skala Likert

Aras Skor

Tidak setuju 1

Setuju 2

Sangat setuju 3

Set soal selidik ini mengandungi 30 item dan berkisar kepada minat pelajar terhadap

penggunaan MyCD dan persepsi pelajar terhadap ciri-ciri perisian MyCD. Bagi setiap

item, pelajar dikehendaki memilih satu pilihan jawapan yang sesuai dengan diri pelajar.

Bagi memperincikan kategori tersebut, bilangan item dan jumlah item adalah seperti

dalam Jadual 3.2 di bawah.

Jadual 3.2 : Kategori dan nombor bilangan item dalam soal selidik

Kategori Nombor Item Bilangan

Item

Minat pelajar terhadap

penggunaan MyCD

1,2,3,4,5,6,7,8,9,10,11,12,13,14,15,16,17 17

Persepsi pelajar terhadap

ciri-ciri perisian MyCD

18,19,20,21,22,23,24,25,26,27,28,29,30 13

Page 26: Proposal azmy

Kaedah soal selidik dipilih dan digunakan untuk mendapatkan maklumat daripada

responden kerana ianya lebih mudah untuk memberikan tindak balas terhadap aspek-

aspek yang dikaji. Selain itu, kaedah ini juga lebih mudah untuk mendapatkan

kerjasama daripada responden kerana responden bebas untuk memilih dan menjawab

soalan tanpa rasa segan dan malu. Sehubungan dengan itu, penggunaan soal selidik juga

dapat menjimatkan masa, kos dan tenaga manusia. Semua respon yang diberikan oleh

responden dikodkan dan direkodkan dalam data piawai.

Menurut Azizi (2003), terdapat beberapa kelebihan penggunaan soal selidik sebagai

kaedah untuk mendapatkan data kajian. Antaranya ialah :

a) Soal selidik merupakan satu cara ringkas untuk mendapatkan maklumat.

b) Soal selidik membolehkan liputan kajian secara meluas iaitu boleh diuruskan

walaupun pada jarak yang jauh.

c) Soal selidik memberikan jawapan sebenar daripada responden dan bukan daripada

penyelidik.

d) Soal selidik memberikan kebebasan kepada responden untuk menjawab.

Di samping itu, penggunaan soal selidik dapat memudahkan responden memilih

jawapan yang disediakan mengikut kesesuaian. Kesahan maklumat yang diperolehi

adalah lebih tinggi berbanding dengan kaedah yang lain.

3.7 Prosedur Kajian

Responden dalam kajian ini melibatkan pelajar-pelajar tahun lima yang

mempelajari subjek bahasa melayu. Oleh itu, perlu berlandaskan kepada prosedur yang

telah ditetapkan supaya objektif kajian tercapai. Antara prosedur kajian termasuklah

berbincang dengan penyelia tentang masalah yang ingin dikaji dengan mengenalpasti

masalah, tajuk dan objektif kajian. Seterusnya, maklumat yang berkaitan dengan

masalah kajian dicari dan dikumpul. Langkah yang seterusnya adalah mengenalpasti

responden dan bilangannya. Selepas itu, kaedah yang digunakan untuk menganalisis

data dan dokumenkan semua maklumat yang berkaitan dirancang.

Page 27: Proposal azmy

Setelah item-item dalam borang soal selidik siap dibina, borang soal selidik dihantar

untuk pengesahan item. Item-item dalam soal selidik disahkan oleh pakar. Kajian rintis

dijalani sebelum kajian sebenar dijalankan. Ini bertujuan untuk melihat kemungkinan

masalah yang timbul, misalnya kesukaran atau kekeliruan dalam memahami dan

menjawab soalan-soalan dalam soal selidik. Dengan itu, langkah pembaikan dapat

dijalankan untuk meningkatkan kualiti soal selidik dan seterusnya mendapat hasil

dapatan yang lebih jitu.

Kebenaran dari Bahagian Perancangan dan Penyelidikan Dasar Pendidikan (EPRD),

Kementerian Pelajaran Malaysia (Rujuk Lampiran B) akan dibuat untuk menjalankan

kajian ini.

Kajian sebenar akan dijalankan selepas ujian rintis diadakan. Satu set borang soal

selidik diedarkan kepada setiap responden. Sebelum responden menjawab soal selidik

tersebut, penjelasan dan penerangan secara ringkas diberi terlebih dahulu tentang tujuan

kajian dan panduan menjawab soalan. Responden diberi masa menjawab semua soalan

dalam set soal selidik. Borang soal selidik yang lengkap dikumpulkan untuk tujuan

penyemakan dan penganalisisan. Kerjasama daripada responden adalah sangat

diharapkan dan dihargai untuk membantu kelancaran kerja kajian agar tidak

menjejaskan hasil dapatan kajian.

3.8 Kajian Rintis

Sebelum menjalankan kajian yang sebenar, satu kajian rintis dengan

menggunakan set borang soal selidik telah dijalankan ke atas 10 orang pelajar tahun

lima yang mempelajari subjek bahasa melayu di sebuah sekolah di daerah Johor Bahru.

Kajian ini bertujuan untuk mendapatkan maklum balas responden dalam memahami

setiap pernyataan dan item yang digunakan dalam soal selidik yang diedarkan melalui

komen yang diberikan.

Hasil kajian rintis ini digunakan untuk mengetahui sejauh mana kesesuaian

keseluruhan penggunaan istilah, struktur dan penyusunan ayat serta gubahan pada item

Page 28: Proposal azmy

dalam soal selidik yang diedarkan kepada responden adalah sesuai. Ini secara tidak

langsung, menunjukkan bahawa set soal selidik yang dibina mempunyai kesahan dan

kebolehpercayaan yang tinggi dalam menjalankan kajian ini.

3.9 Analisis Data

Menurut Mohd Majid (2000), matlamat pemprosesan data adalah untuk

mendapatkan maklumat yang berguna dan bermakna daripada data. Analisis data ini

berkaitan dengan item-item yang terdapat dalam soal selidik. Semua data dalam

Bahagian A dan Bahagian B yang diperolehi disemak terlebih dahulu untuk memastikan

semua soalan telah dijawab. Setelah semua data yang diperlukan dapat dikumpulkan,

data diolah dan dianalisis dengan menggunakan kaedah pengaturcaraan Statistical

Packages For The Social Science (SPSS 11.5 for Windows). Taburan kekerapan dan

peratusan digunakan untuk Bahagian A, manakala jumlah skor, peratusan dan tahap

persepsi digunakan untuk data dalam Bahagian B.

Bagi memudahkan proses analisis data, terutamanya Bahagian B setiap jawapan yang

dipilih telah diberi skor tertentu seperti dalam Jadual 3.3 di sebelah.

Jadual 3.3 : Skor yang diberi untuk setiap jawapan

Skor Aras Keterangan

1 Tidak setuju Berkualiti rendah, tidak menarik minat, tidak

membantu dalam pembelajaran.

2 Setuju Boleh diterima, menarik minat, membantu

pembelajaran.

3 Sangat setuju Berkualiti tinggi, sangat menarik minat,

sangat membantu pembelajaran.

Data yang diperolehi berdasarkan daripada Jadual 3.3 dianalisis dan kemudiannya

dikira jumlah mata skor berdasarkan pilihan skor yang dibuat oleh responden seperti

dalam Jadual 3.4 di bawah bagi mendapatkan hasil keputusannya.

Page 29: Proposal azmy

Jadual 3.4 : Jumlah mata skor setiap item

Skor Kiraan skor Jumlah mata skor

1 1 X 1 1

2 2 X 1 2

3 3 X 1 3

Dengan terteranya jumlah mata skor seperti yang ditunjukkan dalam Jadual 3.4 di atas,

dapatlah diketahui sejauh mana minat dan tahap persepsi setiap responden terhadap

penggunaan MyCD dalam pengajaran dan pembelajaran bahasa melayu. Pengiraan

selanjutnya adalah berdasarkan kepada analisis seterusnya.

3.9.1 Analisis Minat Pelajar Terhadap MyCD

Analisis minat pelajar terhadap MyCD adalah hanya berkisar kepada item

bernombor 1 hingga 17 sahaja. Soalan-soalan yang dikemukakan adalah tertumpu

kepada minat pelajar terhadap MyCD yang digunakan dalam pengajaran dan

pembelajaran bahasa melayu. Jumlah mata skor setiap responden dikira berdasarkan

pilihan skor yang dibuat dan hasil keputusannya boleh dibahagikan kepada tiga tahap

iaitu rendah, sederhana dan tinggi seperti yang ditunjukkan dalam Jadual 3.5 di bawah.

Jadual 3.5: Tahap minat responden terhadap MyCD

Jumlah Mata Skor Peratusan (%) Tahap

17 – 28 33 – 55 Rendah

29 – 39 56 – 77 Sederhana

40 – 51 78 – 100 Tinggi

3.9.2 Analisis Persepsi Pelajar Terhadap Ciri-ciri Perisian MyCD

Page 30: Proposal azmy

Analisis persepsi pelajar terhadap ciri-ciri perisian MyCD adalah hanya berkisar

kepada item bernombor 18 hingga 30. Soalan-soalan yang dikemukakan adalah

tertumpu kepada persepsi pelajar terhadap kandungan ciri-ciri perisian MyCD yang

digunakan dalam pengajaran dan pembelajaran bahasa melayu. Jumlah mata skor setiap

responden dikira berdasarkan pilihan skor yang dibuat dan hasil keputusannya boleh

dibahagikan kepada tiga tahap iaitu negatif, sederhana dan positif seperti yang

ditunjukkan dalam Jadual 3.6 di bawah.

Jadual 3.6: Tahap persepsi responden terhadap ciri-ciri perisian MyCD

Jumlah Mata Skor Peratusan (%) Tahap

13 – 21 33 – 55 Negatif

22 – 30 56 – 77 Sederhana

31 – 39 78 – 100 Positif

3.10 Penutup

Proses penganalisaan adalah dibuat berdasarkan kepada setiap item dan juga

secara keseluruhan bagi setiap aspek yang dikaji. Keputusan dan kesimpulan yang

diperolehi dari analisis data dinyatakan secara terperinci dalam bab yang seterusnya.

Page 31: Proposal azmy