perkembangan sastera di alam melayu

25
Perkembangan Sastera Di Alam Melayu S.M. Zakir PendahuluanMemperkatakan tentang perkembangan sastera di alam Melayu tentunya mencakupi tajuk yang cukup luas. Perkataan ‘Melayu’ itu sendiri mempunyai konotasi yang sangat luas. Dari segi kelompok bangsa, ras Melayu digolongkan kepada kelompok Melayu-Polinesia atau ras berkulit coklat yang mendiami Gugusan Kepulauan Melayu, Polinesia dan Madagaskar. Sementara dari segi bahasa, ras Melayu digolongkan dalam rumpun keluarga Austronesia. Alam Melayu menempati wilayah daratan dan kepulauan yang luas. Wilayah daratannya bermula dari Semenanjung Tanah Melayu menyusur pesisiran pantai sehingga ke Indo China yakni kerajaan Melayu di Tanah Melayu menyusur ke Patani, tenggara Siam, Funan sehingga kerajaan Campa di sepanjang pesisiran pantai Vietnam. Sementara wilayah kepulauannya bermula dari Pulau Sumatera, kepulauan Indonesia menyusur naik ke kepulauan Borneo sehingga kepulauan selatan Filipina.Sarjana-sarjana seperti P. E. Sarasin dan Robert Heine-Gerdern berpendapat bahawa bangsa Asia Tenggara atau Melayu-Polinesia ini datangnya dari pedalaman sebelah Barat China, iaitu tempat terbitnya sungai-sungai besar di timur dan Asia Tenggara. Mereka mempercayai terdapat dua gelombang pergerakan yang turun dari pedalaman Barat China iaitu Gelombang Melayu-Proto pada 2500 Sebelum Masehi dan Gelombang Melayu-Deutro pada 1500 Sebelum Masehi. Melayu- Proto kemudian mendiami kawasan pedalaman dan menjadi penduduk asli yang primitif. Sementara Melayu-Deutro mendiami kawasan pesisir dan muncul sebagai bangsa yang maju mengamalkan pertanian, penternakan dan juga menjadi pelaut- pelaut yang handal. Namun teori ini ditolak oleh beberapa orang sarjana terutama oleh Coades dan Duyvendak yang menegaskan bahawa tidak pernah berlaku gelombang Melayu- Proto mahupun Melayu-Deutro yang datang dari pedalaman barat China itu, sebaliknya telah wujud penduduk asal atau peribumi sejak 40,000 tahun dahulu yang berkembang dan mempunyai peradabannya yang tersendiri.

Upload: jumardi-singare

Post on 26-Dec-2015

62 views

Category:

Documents


10 download

TRANSCRIPT

Page 1: Perkembangan Sastera Di Alam Melayu

Perkembangan Sastera Di Alam MelayuS.M. Zakir

PendahuluanMemperkatakan tentang perkembangan sastera di alam Melayu tentunya mencakupi tajuk yang cukup luas. Perkataan ‘Melayu’ itu sendiri mempunyai konotasi yang sangat luas. Dari segi kelompok bangsa, ras Melayu digolongkan kepada kelompok Melayu-Polinesia atau ras berkulit coklat yang mendiami Gugusan Kepulauan Melayu, Polinesia dan Madagaskar. Sementara dari segi bahasa, ras Melayu digolongkan dalam rumpun keluarga Austronesia. Alam Melayu menempati wilayah daratan dan kepulauan yang luas. Wilayah daratannya bermula dari Semenanjung Tanah Melayu menyusur pesisiran pantai sehingga ke Indo China yakni kerajaan Melayu di Tanah Melayu menyusur ke Patani, tenggara Siam, Funan sehingga kerajaan Campa di sepanjang pesisiran pantai Vietnam. Sementara wilayah kepulauannya bermula dari Pulau Sumatera, kepulauan Indonesia menyusur naik ke kepulauan Borneo sehingga kepulauan selatan Filipina.Sarjana-sarjana seperti P. E. Sarasin dan Robert Heine-Gerdern berpendapat bahawa bangsa Asia Tenggara atau Melayu-Polinesia ini datangnya dari pedalaman sebelah Barat China, iaitu tempat terbitnya sungai-sungai besar di timur dan Asia Tenggara. Mereka mempercayai terdapat dua gelombang pergerakan yang turun dari pedalaman Barat China iaitu Gelombang Melayu-Proto pada 2500 Sebelum Masehi dan Gelombang Melayu-Deutro pada 1500 Sebelum Masehi. Melayu-Proto kemudian mendiami kawasan pedalaman dan menjadi penduduk asli yang primitif. Sementara Melayu-Deutro mendiami kawasan pesisir dan muncul sebagai bangsa yang maju mengamalkan pertanian, penternakan dan juga menjadi pelaut-pelaut yang handal. Namun teori ini ditolak oleh beberapa orang sarjana terutama oleh Coades dan Duyvendak yang menegaskan bahawa tidak pernah berlaku gelombang Melayu-Proto mahupun Melayu-Deutro yang datang dari pedalaman barat China itu, sebaliknya telah wujud penduduk asal atau peribumi sejak 40,000 tahun dahulu yang berkembang dan mempunyai peradabannya yang tersendiri.

Duyvendak menyatakan bahawa pengetahuan mengenai logam diperolehi menerusi perhubungan dengan orang luar melalui kegiatan pelayaran penduduk peribumi, bukannya dibawa oleh gelombang manusia yang turun dari barat China. Sekaligus menolak teori yang dikemukakan oleh sarjana sebelum ini. Bahkan para sarjana sepakat berpendapat bahawa ketika kedatangan pengaruh India ke Asia Tenggara, penduduk peribumi telah mempunyai peradabannya yang tersendiri dan mereka bukan manusia primitif. Dalam pada itu Gathercole (1983) seorang sarjana Inggeris yang melihat melalui bukti-bukti arkeologi, linguistik dan etnologi menyatakan bahawa kumpulan ras Melayu atau rumpun Melayu yang digolongkan kepada kelompok Melayu Polinesia merupakan golongan pelaut yang pernah menguasai kawasan perairan pasifik dan Hindi. Ia menggambarkan bahawa ras Melayu-polinesia sebagai kelompok penjajah yang dominan pada suatu masa dahulu, yang meliputi kawasan luas di sebelah barat hingga ke Madagaskar, di sebelah timur hingga ke Kepulauan Easter, di sebelah utara hingga ke Hawaii, dan di sebelah selatan hingga ke Selandia Baru . Bahkan wilayah kebudayaan Melayu-Polinesia ini meliputi kawasan yang lebih luas lagi iaitu di sebelah barat merangkumi Lautan Hindi ke Malagasi dan pantai timur benua Afrika; di sebelah timur merangkumi Gugusan Kepulauan Melayu-Mikronesia dan Paskah di Lautan Pasifik, kira-

Page 2: Perkembangan Sastera Di Alam Melayu

kira 103.6 kilometer dari Amerika Selatan; di sebelah selatan meliputi Selandia Baru; dan di sebelah utara meliputi kepulauan Taiwan dan Hokkaido, Jepun.

Dengan itu para sarjana ini percaya bahawa pengaliran yang berlaku di wilayah Asia Tenggara ini adalah pengaliran dari dalam ke luar dan bukannya pengaliran dari luar ke dalam. Pengaliran dari dalam ke luar ini bermakna bahawa penduduk asal peribumi Asia Tenggara inilah yang membawa kebudayaan mereka ke negeri-negeri luar melalui kegiatan pelayaran mereka. Dalam pada itu hubungan mereka dengan negeri-negeri luar membuatkan mereka turut membawa masuk budaya dan kemajuan yang diambil mereka daripada kegiatan pelayaran atau ekspedisi-ekspedisi mereka tersebut. Bahkan seorang sarjana lagi, Solheim mengemukakan pendapat yang ekstrem dengan menyatakan bahawa pada 8,000 Sebelum Masehi, iaitu pada period keempat perkembangan peradaban manusia di Asia Tenggara yang bermula 40,000 tahun Sebelum Masehi lagi, berlakunya penghijrahan manusia dari wilayah Asia Tenggara mengharungi lautan ke pelbagai tempat membawa unsur kebudayaan Melayu-Polinesia ini hingga ke kepulauan Pasifik. Bahkan Solheim juga menyatakan bahawa amalan pertanian dan penternakan di Asia Tenggara ini wujud lebih awal daripada peradaban di Asia Tengah dan Eropah.

Penjelasan tentang alam Melayu yang luas cukup untuk menyatakan tentang perkembangan kebudayaan termasuk sastera yang bukan sahaja meliputi wilayah yang cukup luas tetapi juga sejarah yang cukup panjang. Kajian tentang wilayah alam Melayu ini khususnya dari aspek kebudayaan boleh dikatakan menjadi kajian yang ad-infinitum, yakni tidak mempunyai sebarang batas dan garis sempadan. Ia bukan sahaja melibatkan jangka masa yang sangat subjektif tetapi juga sempadan wilayah yang tidak dapat ditentukan dengan tepat. Maka dalam memperkatakan tentang perkembangan sastera di alam Melayu, adalah lebih terfokus jika ia mengambil ruang litup yang khusus yakni pembicaraan tentang perkembangan sastera Melayu yang tertumpu kepada aspek hubungan kebudayaan di wilayah alam Melayu. Terdapat dua bentuk kutub sastera yang jelas di alam nusantara atau wilayah alam Melayu ini, iaitu kutub sastera Melayu dan kutub sastera Jawa. Kedua-dua kutub kebudayaan ini saling memainkan peranan pengaruh mempengaruhi dan adakalanya menyaingi antara satu sama lain. Bagaimanapun kutub sastera Melayu dilihat lebih menyebar dengan sifatnya yang lebih harmoni dan terbuka sehingga hari ini.

Pengertian tentang Sastera, Alam Melayu dan Nusantara

Istilah sastera berasal dari kata Sanskrit sastra. Akar kata sas- ialah kata kerja terbitan bermakna ‘mengarahkan, mengajar, memberi petunjuk’ atau arahan. Dan akhirnya –tra biasanya menunjukkan alat atau sarana. Dengan demikian sastra bererti alat untuk mengajar, buku petunjuk, buku arahan atau pengajaran. Misalnya di sini Silpasastra ialah buku tentang seni bina. Kavysastra ialah buku tentang puisi ’kawi’ dan Kamasastra ialah buku tentang seni cinta dan perkasihan . Sementara dalam bahasa Inggeris sastera disebut sebagai literature berasal daripada Latin litera yang bermakna huruf atau abjad (letter). Makna konteks bahasa Inggeris ini sama dengan istilah Melayu yang menggunakan kata ’Persuratan’ berasal dari kata surat. Dalam konteks ini, ia memberikan makna cerita, peristiwa atau fikiran yang ditulis. Lebih jauh lagi ia bermaksud ’kepustakaan’, iaitu alat

Page 3: Perkembangan Sastera Di Alam Melayu

menyimpan dan menyebarkan ilmu pengetahuan. Namun secara umum sastera yang telah melalui evolusi dan perkembangan dari segi konsep dan maknanya ini membawa maksud cerita, peristiwa, fikiran dalam bentuk imaginatif-fiksi merangkumi bentuk tulisan mahupun bentuk lisan yang disampaikan untuk tujuan pengucapan kepada masyarakat. Tujuan pengucapan ini termasuk tujuan pengajaran, pengetahuan, dan juga berhibur.

Perkataan ’Melayu’ tidak terpakai secara meluas sebelum kemasukan Islam di wilayah Asia Tenggara ini. Dari sudut etimologi, perkataan ’Melayu’ dikatakan berasal daripada perkataan Sanskrit malaya yang bermaksud ’bukit atau tanah tinggi’. Namun sumber sejarah yang lebih tepat mengatakan perkataan ’Melayu’ berasal dari Sungai Melayu yang terletak di Batanghari, Jambi. Di sini juga dikatakan wujud sebuah kerajaan Melayu tua yang dikenali sebagai kerajaan Melayu atau Mo-la-yu. Perkataan ’Melayu’ muncul buat pertama kali kira-kira 100-159 Masehi dalam karya Ptolemy, Geographike Sintaxis yang menggunakan istilah ’maleu-kolon’ merujuk kepada peradaban yang wujud sama ada di Jambi Pulau Sumatera, atau di Tanjung Kuantan di Semenanjung Tanah Melayu. Sekitar awal Masehi itu juga istilah malaya dvipa muncul dalam kitab Purana, sebuah kitab Hindu purba yang bermaksud ’tanah yang dikelilingi air’, merujuk kepada Pulau Sumatera. Sekitar tahun 644-645 Masehi semasa Dinasti Tang, istilah Mo-lo-yu dicatat dalam buku catatan pengembara China, yang dimaksudkan dengan kerajaan Jambi atau Sriwijaya di Palembang yang terletak di Pulau Sumatera. Sebelum kedatangan Islam peradaban yang wujud di wilayah asal bangsa Melayu iaitu di Pulau Sumatera dan Semenanjung Tanah Melayu ini disebut peradaban pra-Melayu. Peradaban pra-Melayu dikatakan wujud sejak sebelum Tahun Masehi lagi, mendirikan kerajaan besar dan menggunakan bahasa yang disebut sebagai bahasa Kunlun. I-Tsing seorang pengembara China yang datang ke Sriwijaya pada abad ke-7 Masehi menyebut bahawa pendeta-pendeta Buddha yang datang mempelajari agama Buddha di Sriwijaya perlu mempelajari bahasa Kunlun (bahasa Melayu kuno) sebelum mendalami ilmu agama Buddha dalam bahasa Sanskrit. Perkembangan bahasa Kunlun ini telah mencapai tahap bahasa lingua franca sejak abad ke-7 Masehi itu. Bahkan sekitar tahun 400 Masehi di Campa dikatakan terdapat 1350 naskhah buku yang bertulis dalam bahasa Kunlun tentang falsafah agama Buddha . Bahasa Kunlun atau bahasa Melayu kuno menerima rangsangan luar biasa oleh kegiatan perdagangan di pelabuhan-pelabuhan di Semenanjung Tanah Melayu dan bahagian timur Sumatera yang menjadi titik pertemuan segala pulau. Bahasa Melayu-kuno ini menjadi lingua franca di perairan kepulauan Asia Tenggara dengan menyebar sehingga kepulauan Indonesia lalu memberikan wilayah heterogen itu kesan kebersatuan kepada pihak luar. Dari konteks inilah alam Melayu muncul sebagai takrifan terhadap sebuah wilayah berbahasa Melayu, sekurang-kurang sebagai bahasa ibu kepada bahasa pesisir atau bahasa dagang yang maju dan tersebar luas membentuk nilai kebersatuan itu.

Walau bagaimanapun, konsep Melayu masih belum terpakai sebagai takrifan wilayah atau peradaban yang rasmi sebelum kedatangan Islam. Setiap daerah kerajaan dalam wilayah alam Melayu ini menggunakan nama kerajaan atau tempat masing-maing sebagai identiti kebangsaan mereka. Bahasa Kunlun atau Melayu kuno yang membina tradisi penulisan sejak abad pertama Masehi berkembang dengan penggunaan tulisan Pallava hasil pengaruh kebudayaan India menggantikan aksara setempat seperti tulisan Lampung, Rencong, Rejang, Ka-ga-ga, Cam, Pasemah dan sebagainya tidak disebut atau dikenali

Page 4: Perkembangan Sastera Di Alam Melayu

sebagai bahasa Melayu . Sepertimana diketahui pengaruh peradaban Hindu-Buddha ini tidak mewujudkan konsep Melayu yang mencakupi konsep politik dan budaya kewilayahan, tetapi sebaliknya lebih menumpukan kepada falsafah serta ritual keagamaan yang memperkuatkan konsep dewaraja di mata masyarakat setempat. Dalam ertikata lain walaupun ia meluaskan penyebaran prinsip Hindu-Buddha tetapi pada masa yang sama ia memperkuatkan semangat parokial kepada masyarakat setempat. Ini adalah kerana raja-raja yang berkuasa lebih senang memanfaatkan agama baru itu sebagai alat mistik untuk memperkuatkan kekuasaan mereka ke atas masyarakat tempatan.

Ini berbeza dengan Islam yang datang menghapuskan konsep ’bayangan tuhan’ dan memperkenalkan hak persamaan kepada semua manusia. Maka Islam membina peradaban baru dengan sifat universalnya yang tidak terbatas kepada sempadan bangsa atau negeri. Oleh itu peradaban di wilayah alam Melayu sebelum Islam lebih tepat disebut sebagai peradaban pra-Melayu. Peradaban Melayu hanya muncul dengan kedatangan Islam yang mencirikan zaman baru dalam sejarah ketamadunan alam Melayu. Pencirian zaman baru di alam Melayu oleh kedatangan Islam terlihat jelas dengan kemunculan bahasa Melayu yang mencerna bahasa Melayu dengan keperibadian tulisan jawi, dan akhirnya mewujudkan apa yang disebut sebagai bahasa Melayu yang terpakai hingga sekarang ini. Unsur-unsur bahasa Melayu baru ini terkandung ciri-ciri Islam daripada pengaruh Arab, Parsi, Turki dan Urdu. Ciri-ciri bahasa pra Islam diserap dan disesuaikan dengan bahasa Melayu yang kini menjadi satu bahasa yang mengikat perpaduan satu bahasa meliputi seluruh golongan bangsa Melayu. Islam ternyata telah merevolusikan pandangan hidup dan dasar kebudayaan dari dasar estetik hingga ke dasar saintifik bangsa dan wilayah alam Melayu. Di sini dapat dilihat bahawa alam Melayu adalah merujuk kepada alam kewilayahan Islam yang diperkasakan atau ditamadunkan daripada peradaban wilayah pesisir yang maju dari segi perdagangan dan bahasanya di wilayah Asia Tenggara ini.

Pengertian nusantara lebih merujuk kepada sifat geografi-antropologi. Ia berasal dari bahasa Jawa Kuna iaitu nusa bermakna pulau dan antara bermakna lain. Maka nusantara bermakna pulau-pulau lain di luar wilayah etnosentrik Jawa. Dalam konsep kenegaraan Jawa (Majapahit khususnya) pada abad ke-13 hingga abad ke-15, konsep raja sebagai penjelmaan dewa (dewaraja) mewujudkan kepercayaan bahawa daerah kekuasaan raja memancarkan konsep kekuasaan seorang dewa. Maka daerah pancaran kuasa dewa itu terbahagi kepada tiga; iaitu Negara Agung, Mancanegara dan Nusantara. Negara Agung merupakan pusat kekuasaan bertempat di daerah sekeliling ibukota kerajaan tempat raja memerintah. Mancanegara adalah daerah-daerah di pulau Jawa dan sekitar yang budayanya masih mirip dengan Negara Agung, tetapi sudah berada di ’daerah perbatasan’. Sementara Nusantara adalah daerah di luar pengaruh budaya dan kekuasaan Jawa, yang dilihat sebagai daerah jajahan yang mana penguasanya harus membayar ufti kepada Raja Jawa. Nusantara dari sudut etnosentrik Jawa dilihat sebagai daerah yang harus ditakluki. Kitab mahakarya Jawa Negarakertagama mencantumkan wilayah nusantara mencakupi wilayah moden Indonesia iaitu Sumatera, Kalimantan, Nusa Tenggara, Sulawesi, kepulauan Maluku, Papua Barat dan pulau-pulau sekitarnya. Ditambah lagi dengan Wilayah Semenanjung Tanah Melayu-Patani, Singapura, Brunei dan selatan Filipina.

Page 5: Perkembangan Sastera Di Alam Melayu

Bagaimanapun Ernest Douwes Dekker (1879-1950) atau dikenali sebagai Dr. Setaibudi memperbaharui konsep nusantara ini. Beliau menggunakan konsep nusantara untuk menyatakan kesatuan geografi-antropologi kepulauan yang terletak di antara benua Asia dan Australia. Pengkaji Eropah khususnya orang Inggeris mentakrifkan wilayah kepulauan antara benua Asia dan Australia yang dihuni oleh cabang ras Mongoloid yang disebut ras Melayu (Melayu-Polinesia) dan menggunakan bahasa rumpun Austronesia dalam perhubungan antara satu sama lain sebagai wilayah kepulauan Melayu iaitu Malay Archipelago. Maka pengertian moden yang lebih faktual menjelaskan bahawa Nusantara ialah Wilayah Alam Melayu yakni Malay Archipelago; yang termasuk di dalamnya Pulau Jawa dan semua bahagian wilayah etnosentrik Jawa tersebut. Definisi yang dipakai secara saintifik ini sekaligus menghapuskan definisi etnosentrik Jawa abad ke-14 yang kuno itu. Terminologi Nusantara yang dikatakan murni berasal daripada Jawa dan hak mutlak Majapahit tidak dapat dibuktikan memandangkan pertindihannya dengan bahasa Melayu yang terpakai luas di kepulauan Jawa sejak zaman sebelum Majapahit lagi.

Perkembangan Sastera di Alam Melayu

Tradisi sastera di alam Melayu dikatakan bermula sejak awal abad Masehi lagi. Bahkan menurut Boris Parnikael, sastera dalam bentuk lisan telah wujud di alam Melayu sejak 2000 tahun Sebelum Masehi lagi yakni sebelum kemasukan pengaruh Hindu-Buddha dan agama luar. Sastera awal khususnya dalam bentuk lisan berkaitan rapat dengan unsur-unsur magis dan ritual yang diamalkan dalam budaya masyarakat alam Melayu. Ia berkembang kepada puisi-puisi doa, puisi lirik yang dinyanyikan dan persembahan cerita. Di kawasan peradaban Masehi terawal wilayah alam Melayu iaitu wilayah peradaban Kantoli-Jambi-Sriwijaya, tradisi tulisan telah wujud sebelum kemasukan pengaruh Hindu Buddha lagi. Kegiatan sastera tulisan berkembang setelah itu dengan kemasukan pengaruh Hindu Buddha. Pada tahun 400 Masehi sudah ada batu bertulis dan tulisan batu bersurat dalam bahasa Melayu kuno-Sanskrit ini berterusan sehingga berakhirnya kerajaan Sriwajaya. Antara batu bersurat yang sangat penting di wilayah Sriwijaya ini ialah Batu Bertulis Kedukan Bukit, Sungai Musi, Palembang (683), Batu Bertulis Talang Tuwo, Minangkabau (684), dan Batu Bertulis Kota Kapur, Pulau Bangka (686). Batu-batu bertulis terpahat dalam tulisan Pallava membawa maklumat dalam bahasa Melayu kuno dengan campuran kata-kata dari bahasa Melayu kuno dan Sanskrit.

Batu bertulis atau inskripsi Sriwijaya ini boleh dikatakan bentuk sastera terawal di wilayah alam Melayu yang ditemui setakat hari ini. Dari segi linguistik inskripsi-inskripsi tersebut merupakan teks Melayu yang paling tua, dan demikian juga dengan inskripsi-inskripsi Cam, iaitu teks yang paling tua dalam satu bahasa daripada rumpun Melayu-Polinesia. Inskripsi Kedukan Bukit (terletak di kaki Bukit Seguntang), yang terdiri daripada 10 baris, menceritakan perjalanan mencari kejayaan (siddhayatra) seorang raja dari Minanga Hamvar, dan apabila sampai di tempat yang ditujuinya itu, Baginda mendirikan negeri Sriwijaya. Inskripsi Kedukan Bukit (683M) ini menyampaikan cerita berkaitan sejarah kedatangan membuka atau menakluki kerajaan Sriwijaya oleh seorang raja. Jelas cerita ini merupakan hasil kesusasteraan Melayu yang tertua. Bentuk sastera

Page 6: Perkembangan Sastera Di Alam Melayu

begini berterusan dalam inskripsi-inskripsi Sriwijaya yang lain seperti inskripsi Talang Tuwo (Palembang, 684M), Inskripsi Karang Brahi (Jambi) dan Inskripsi Kota Kapur (Bangka, 686 M). Ia membawa bentuk sastera tradisi besar iaitu sastera yang berkisar kepada keperwiraan raja, kisah istana, dan bantuan dewa-dewa. Inskripsi Talang Tuwo adalah sebuah pranidhana iaitu doa dan permintaan yang diarahkan kepada Buddha, yang dihasilkan dalam bahasa yang puitis. Sementara inskripsi Kota Kapur merupakan bentuk puisi-mentera yang berkaitan dengan unsur-unsur magis. Inskripsi-inskripsi ini menjelaskan tentang kehadiran sastera yang terawal di alam Melayu. Ia ditulis dalam bahasa istana, yang merupakan bahasa Melayu-kuno yang telah diserapi pengaruh bahasa Sanskrit. Dalam pada itu, kepentingan besar inskripsi ini ialah usaha mengakasarakan bahasa penting wilayah alam Melayu yakni bahasa Melayu-kuno seterusnya mewujudkan tradisi tulisan di alam Melayu.

Perkembangan peradaban budaya khususnya dengan kemunculan tradisi tulisan di wilayah teras alam Melayu itu memberikan kesan yang besar terhadap kawasan lain di wilayah alam Melayu termasuk kepada bangsa Jawa. Sriwijaya dengan kebudayaannya yang cukup tinggi amat berpengaruh ke atas bangsa Jawa kuno. Puncak kepada usaha saling memanfaatkan peradaban budaya antara kerajaan Melayu Sriwijaya dan kerajaan Jawa kuno Sailendra ialah pembinaan Candi Borobudur di Jawa. Agama Buddha merupakan pengaruh yang jelas dari kerajaan Melayu Sriwijaya. Pengaruh Buddha dari Sriwijaya ini disinkretiskan dengan amalan pemujaan nenek moynag oleh raja-raja Sailendra.

Bagaimanapun hubungan kerajaan Melayu Sriwijaya semakin meruncing dengan kemunculan kerajaan Jawa kuno Mataram pada abad ke-9 yang menganut ajaran Siva-Hinduisme. Kerajaan Mataram kuno di Jawa Tengah ini melancarkan usaha memperkuatkan kembali sifat etnosentrik Jawa dan menggunakan ajaran Siva-Hinduisme ini untuk menolak pengaruh Buddha yang sekaligus merupakan pengaruh daripada kerajaan Melayu Sriwijaya. Hasil daripada kebangkitan etnosentrik Jawa ini telah menghasilkan bentuk sastera tradisi Jawa yang dikenali sebagai kekawin pada abad ke-9M yang boleh dikatakan bersifat agama Siva-Hinduisme. Bagaimanapun ia tidak terlepas sepenuhnya daripada tradisi luar, bahkan lebih dianggap penyesuaian tradisi luar dalam kebudayaan Jawa. Kekawin-kekawin yang cukup panjang (ratusan rangkap) yang meniru sebuah genre puisi Sanskerta yang disebut sebagai kawya, adalah hasil daripada usaha golongan pendeta Jawa yang turun temurun menyesuaikan bahasa Jawa lisan dengan tradisi tulisan bahasa Sanskerta dan bahasa Melayu kuno . Ia melibatkan penterjemahan pelbagai tulisan Sanskerta yang kebanyakannya bersifat keagamaan seperti mantra, stava, sastra, dan purana dan sebagainya. Terjemahan dan akhirnya membentuk tradisi sastera Jawa yang disebut kekawin itu merupakan usaha untuk memahami kebudayaan India khususnya berkenaan agama Siva-Hinduisme oleh kalangan istana, dan juga digunakan oleh ahli mistik Jawa (golongan istana juga) untuk menjalani amalan kepercayaan penyatuan diri dengan Dewa Siva atau dewa yang lain.

Kesusasteraan Sanskerta India ini tidak hanya diterjemahkan tetapi juga dihayati dengan tekun dan penuh seni oleh pendeta-pendeta Jawa kuno. Mereka mendekati sastera Sanskerta ini dengan menyerapkan mitos dan epik Jawa asli, yang kemudian diubah atau

Page 7: Perkembangan Sastera Di Alam Melayu

diperbaiki sehingga memberikan nilai-nilai Jawa kepada sastera Sanskerta itu. Pendekatan menyerapkan nilai-nilai Jawa kepada sastera Sanskerta India berlaku secara menyeluruh dalam bentuk sastera yang lain. Pendekatan orang Jawa terhadap wayang India yang memperkenalkan epik agung India Mahabrata dan Ramayana, yang mula dikenali di Jawa sejak awal abad ke-9 ini memperlihatkan usaha ’menjawakan’ sastera Sanskerta. Watak utama epik-epik ini iaitu Betara Rama dan Betara Kresna dianggap sebagai penjelmaan Dewa Wisnu, dewa maha agung dan raja-raja Jawa Mataram dianggap sebagai anak cucu dewa Wisnu dan penjelmaannya juga. Maka itu epik-mitos Mahabhrata dan Ramayana didekati oleh orang Jawa sebagai mitos tentang nenk moyang raja-raja mereka. Pengaruh wayang India ini menghasilkan wayang purwa Jawa yang mempunyai ciri-ciri pemujaan arwah nenek moyang hasil daripada penyerapan dan penyesuaian nilai-nilai Jawa ke dalam sastera Sanskerta .

Lebih jauh lagi, Maharaja Dharmawangsa Teguh (990-1007) raja Mataram telah membiayai penterjemahan besar-besaran kedua-dua epik Sanskerta itu dengan terjemahan yang dipersingkat kepada beberapa buah parwa (buku) Mahabhrata seperti Adiparwa, Wirataparwa, dan Bhismaparwa. Sementara dari epik Ramayana pula ialah Uttarakanda . Terjemahan tersebut dilakukan dengan menyerapkan nilai-nilai Jawa sehingga memberi kemampuan kepada pujangga Jawa kuno untuk menyadur sastera Sanskerta ke dalam sastera Jawa. Evolusi yang berlaku terhadap bentuk dan ritma sastera Sanskerta ini akhirnya menyaksikan kemunculan sastera Jawa kuno yang keluar dari ritma sastera Sanskerta. Kekawin, parwa, wayang purwa dan sebagainya telah menjadi khazanah sastera Jawa kuno yang disebarkan pula ke daerah perbatasan Jawa sebagai sebuah hasil sastera Jawa. Di Bali ia dikenali sebagai kekawin mahkota.

Pengaruh sastera Sanskerta dalam tradisi sastera Jawa semakin hilang secara langsung diakibatkan sinkretisme dengan nilai-nilai Jawa. Ia dapat dilihat dalam tradisi sastera di Jawa Timur yang berkembang melalui kerajaan Kediri sekitar abad ke-11. Kekawin-kekawin Jawa Timur disifatkan lebih sederhana dan lebih disesuaikan dengan alam sekeliling. Meter dan iramanya tidak lagi ditemui atau sama dengan puisi Sanskerta dengan sumber-sumbernya yang tidak nyata. Misalnya kekawin Arjunawiwaha yang dikarang oleh Mpu Kanwa sebelum tahun 1035M mewujudkan watak utamanya Sang Arjuna yang disamakan dengan Maharaja Airlangga, raja agung Kediri yang juga dianggap sebagai penjelmaan Dewa Wisnu. Sifat sastera Sanskerta telah hilang dalam kekawin ini, sebaliknya menjadi sastera Jawa sepenuhnya. Begitu juga dengan kekawin Kediri pada awal abad ke-12 yang lain seperti Kekawin Bharatayuddha yang dikarang oleh Mpu Sedah, Ghatotkacasraya oleh Mpu Panuluh, Smaradahana oleh Dharmaja dan sebagainya. Semuanya muncul dalam bentuk sastera Jawa asli. Menurut P. Zoetmulder, watak-watak kekawin Jawa kuno pada hakikatnya adalah orang Jawa, cara berfikirnya dan tindak-tanduknya bersifat Jawa dan latar belakangnya Jawa, walaupun semua itu diselimuti nama-nama dan kata-kata Sanskerta yang beratus-ratus jumlahnya.

Sastera Jawa kuno yang awal ini pada hakikatnya bersifat mitos yang diisi dengan unsur alam kedewaan dan kesaktian. Maka itu sastera Jawa kuno ini juga disebut sebagai sastera magis. Namun pembentukan sastera Jawa kuno ini dapat dilihat sebagai suatu bentuk perkembangan tradisi sinkretisme di Jawa, yang dipengaruhi dan diambil daripada

Page 8: Perkembangan Sastera Di Alam Melayu

sastera Sanskerta. Dari sisi yang lain, perkembangan dimensi sinkretisme yang menyerap secara besar-besaran sastera Sanskerta ke dalam khazanah sastera Jawa ini dilihat sebagai usaha untuk mengekang pengaruh kebudayaan Buddha kerajaan Melayu Sriwijaya. Hal ini disebut oleh Boris Pacnikel, bahawa terdapat kemungkinan terjemahan-terjemahan sastera Sanskerta itu diusahakan untuk digunakan sebagai salah satu sumber kekuatan magis oleh Maharaja Dharmawangsa yang pada waktu itu bertentangan dengan kerajaan Sriwijaya . Pujangga dan sasterawan Jawa dikatakan sering mendekati sastera Sanskerta seolah-olah sebagai sastera lisan mereka sendiri, sehingga sebahagian daripada sadurannya atau ciptaan mereka sendiri dapat ditinjau sebagai versi daripada mitos atau epik Jawa yang hanya menyamar seperti puisi Sanskerta. Pengolahan daripada kebudayaan India amat terserlah di Jawa, sehingga menyebabkan Rabindranath Tagore sewaktu berkunjung ke Jawa terlah berkata, ”Di mana-mana pun saya melihat India yang tidak kukenal.”

Abad ke-13 hingga ke-16 menyaksikan perkembangan sastera Jawa mencapai kemantapan dari segi pengucapan dan keperibadian etnosentrik Jawanya. Sastera yang berunsur Sanskerta yang susah difahami digantikan dengan sastera yang lebih dekat kepada bahasa percakapan sehari-hari dan mencerminkan persekitaran tempatan yang lebih jelas. Irama Jawa kuno yang diambil dari sastera Sanskerta diganti dengan irama Jawa asli yang disusun menjadi sistem persajakan tembang macapat yang digunakan penyair-penyair Jawa hingga zaman moden. Kebangkitan Majapahit sebagai sebuah empayar besar di wilayah nusantara menggantikan Sriwijaya menyaksikan perkembangan sastera dan kebudayaan Jawa yang cukup giat. Era kebangkitan sastera Jawa ini juga menyaksikan sintesis agama Buddha dan Hindu dalam karya sastera. Kekawin Dewaruci yang ditulis sekitar abad ke-15 atau awal abad ke-16 memperlihatkan sintesis Buddha-Hindu yang jelas. Pada era pemerintahan Hayam Wuruk di Majapahit, lahir karya besar Jawa iaitu Negarakertagama oleh Prapanca. Negarakertagama adalah sebuah karya yang unik kerana dilihat memaparkan peristiwa sejarah perjalanan Hayam Wuruk, sekaligus keluar dari tradisi kekawin yang dipenuhi peristiwa mitos dan alam dewa Siva-Hinduisme.

Negarakertagama mendekati corak penulisan fiksi-sejarah. Bagaimanapun tradisi sastera masih dilihat terikat kemas dengan pengaruh epik Sanskerta walaupun dari segi pengolahan dan bahasa telah keluar dari pengaruh sastera Sanskerta. Karya agung sastera Jawa pada zaman itu iaitu Korawasrama masih mengangkat peristiwa dari epik Mahabhrata, dengan diselitkan falsafah Jawa asli. Sebuah lagi karangan prosa yang sezaman itu, ialah Tantu Panggelaran yang mengubah mitos Hindu menjadi mitos Jawa. Khazanah sastera Jawa turut diperkayakan dengan karya berunsur sejarah iaitu Pararaton yang mengisahkan Ken Angrok pengasas kerajaan Singasari dan turunannya menjadi raja-raja Majapahit. Tradisi sastera Jawa yang turut mengalir ke alam teaterikal seperti wayang purwa akhirnya memunculkan sebuah karya yang berasaskan tradisi perwayangan itu iaitu Calon Arang. Pada zaman kebangkitan sastera Jawa muncul pelbagai genre sastera yang memperkayakan khazanah sastera Jawa selain daripada kekawin dan tembang macapat ialah cerita panji, kidung, serta genre perwayangan selain wayang purwa iaitu wayang topeng dan wayang gedog.

Page 9: Perkembangan Sastera Di Alam Melayu

Sastera Jawa turut berkembang hingga ke Bali. Di sini kekawin dan kidung Jawa telah menghasilkan genre sastera tempatan yang dinamalan itihasa. Sastera Jawa yang masuk ke Bali melalui karya seperti Pararaton, Calong Arang, Arjunawiwaha dan sebagainya lama-kelamaan diberi nafas dan nilai tempatan sehingga melahirkan sastera bercorak bahasa Bali. Perkembangan sastera Bali dari abad ke-17 hingga ke-19 melahirkan puisi-puisi baru yang tercipta di Bali seperti kekawin Krisnandaka, kidung Bhimaswarga dan babad yang berbentuk puisi dalam bahasa Jawa kuno seperti Babad Pande. Bahasa tulisan yang digunakan dalam sastera Bali yang berpokok kepada tradisi sastera Hindu ialah bahasa Jawa-Bali. Karya yang jelas berpokok kepada tradisi sastera Hindu ini ialah seperti kidung Kunti Yajna yang berhubungan sejarah Jawa dari Kidung Rangga Lawe, dan kidung Jambe Negara yang berlatar keruntuhan kerajaan Jawa-Hindu Mataram. Kidung menjadi pengucapan sastera yang popular di Bali sekitar abad ke-17 hingga abad ke-19, antara karya kidung yang masyhur ini ialah kidung Pan Bongkling, kidung Dukuh Silardi, kidung Uwung Buleleng dan sebagainya. Sepertimana Bali, Pulau Madura turut menerima pengaruh sastera Jawa yang tidak putus-putus. Tradisi bahasa dan sastera Jawa berkembang di Madura seabagi tradisi sastera Jawa sehingga abad ke-19 melahirkan karya seperti Santri Gudigan, Babad Madura atau Sejarah Sumanep dan beberapa cerita rakyat Madura dalam bahasa asli Madura melalui perantaraan bahasa Jawa seperti Carita Brakai dan Raden Samantre.

Namun berbeza dengan di sebelah Jawa Barat yang didiami oleh etnik Sunda, ia mewarisi tradisi kebudayaan tinggi yang tersendiri sejak abad ke-5 iaitu awal zaman Kerajaan Taruma, sebuah kerajaan Hindu tempatan yang mempunyai hubungan langsung dengan India. Sebuah prasasti berbahasa Melayu kuno dari abad ke-10 menunjukkan wujudnya pengaruh Melayu Sriwijaya di daerah ini, sebelum diambilalih oleh pengaruh kerajaan Jawa Timur pada abad ke-11. Pujangga sastera kuno Sunda melahirkan sastera Sunda yang bertentangan dengan sinkretisme Jawa kuno. Antara karya besar sastera Sunda ialah Carita Purwa Wijaya, Darma Jati, Carita Parahyangan, Bujangga Manik, dan sebagainya. Tradisi sastera Sunda melahirkan genre sastera yang disebut sebagai carita dan kropak.

Ketika sastera Jawa di nusantara Timur berkembang dari pengaruh tradisi Sanskerta menjadi tradisi Jawa, di sebelah nusantara Barat iaitu di Pulau Sumatera dan Semenanjung Tanah Melayu menyaksikan sastera Melayu kuno yang berunsur Hindu-Buddha tersebut bertukar memasuki wilayah peradaban baru iaitu peradaban Islam. Islam yang mula bertapak di kerajaan Sumatera Utara sejak abad ke-13, juga di Semenanjung Tanah Melayu pada abad yang sama telah membawa wilayah teras alam Melayu ini masuk ke sebuah zaman baru yang penuh gemilang. Kedatangan Islam yang membina sebuah peradaban baru yang dikenali sebagai peradaban Melayu, bukan sahaja merubah pandangan hidup, budaya dan konsep serta falsafah bangsa Melayu berfahaman Hindu Buddha sebelum ini tetapi juga telah melahirkan bahasa tulisan Melayu yang paling maju di wilayah alam Melayu atau nusantara ini. Bahasa Melayu yang menggunakan aksara jawi mewujudkan sistem tulisannya yang tersendiri, yakni sistem tulisan Arab yang disesuaikan dengan persekitaran tempatan. Peradaban baru yakni tamadun Islam ini sekaligus memansuhkan sistem tulisan Melayu kuno berserta bentuk sastera Hindu Buddhanya sekali. Bahasa Sanskrit juga hilang daripada menjadi kegunaan suci bangsa

Page 10: Perkembangan Sastera Di Alam Melayu

Melayu. Meninggalkan kata-kata Sanskrit yang menyerap masuk ke dalam perbendaharaan kata Melayu yang kaya dan maju ketika itu.

Kewujudan peradaban atau tamadun Islam di wilayah alam Melayu ini turut melahirkan genre sastera baru yang mengambil pengaruh dari tradisi kebudayaan Islam yang luas dan maju itu. Antara genre sastera yang mencerminkan pengaruh atau peribadi tamadun Islam alam Melayu ini ialah genre cerita hikayat. Genre hikayat dikatakan adalah hasil pengaruh dengan kebudayaan Parsi-Islam berdasarkan satu karangan dalam bahasa Parsi berjudul Hekayate Mohammade Hanafiye , yang kemudian turut diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu dengan judul Hikayat Muhammad Hanafiah. Perkembangan genre hikayat dalam sastera Melayu ini mempunyai pembahagian yang unik. Ia boleh dikatakan dapat dikategorikan kepada tiga bahagian. Pertama, hikayat yang memperlihatkan pengaruh Hindu seperti Hikayat Seri Rama, Hikayat Pandawa Lima, Hikayat Sang Boma dan sebagainya. Kedua, hikayat yang memperlihatkan wajah tempatan seperti Hikayat Malim Deman, Hikayat Dewa Muda, Hikayat Merong Mahawangsa, Hikayat Anggun Che Tunggal dan sebagai. Termasuk juga dalam bahagian ini ialah hikayat yang memperlihatkan pengaruh sastera Jawa seperti Hikayat Bunga Rampai, Hikayat Panji Semirang, Hikayat Cengkel Wanang Pati dan sebagainya. Sementara bahagian ketiga memperlihatkan hikayat yang memperlihatkan pengaruh Islam seperti Hikayat Muhamad Hanafiah, Hikayat Amir Hamzah, Hikayat Tamim Al-Dari dan sebagainya.

Perkembangan sastera Melayu seterusnya banyak dibentuk oleh sifat dan prinsip Islam. Sehingga perkembangan besar sastera Melayu pada abad ke-16 hingga abad ke-19, menyaksikan kebangkitan sastera Islam di wilayah alam Melayu atau nusantara Barat ini. Pada zaman keagungan dan keemasan sastera Melayu ini lahir genre baru sastera seperti syair, gurindam, pantun, nazam dan paling penting dalam melihat aras tamadun Islam ini ialah sastera kitab atau penulisan kitab. Maka lahirlah syair-syair besar dan hebat di tangan Hamzah Fansuri seperti Syair Burung Pingai, Syair Perahu, Syair Sidang Fakir dan sebagainya. Selain daripada bentuk sastera yang begitu banyak dalam khazanah sastera Melayu, satu genre penulisan baru di alam Melayu ini muncul. Genre penulisan ini ialah penulisan kitab Islam, yang adakalanya ditulis dengan bahasa yang puitis dan indah sehingga ia adakalanya juga disebut sebagai sastera kitab. Maka lahirlah karya seperti Syarab al-Asyikin, Asrar al-Arifin karya Hamzah Fansuri; Mir’at al-Mumin oleh Syamsudin al-Sumaterani; Bustan as-Salatin oleh Nuruddin ar Raniri; Tajus Salatin oleh Bukhari al-Jauhari dan sebagainya.

Namun keagungan sastera Melayu muncul di semenanjung Tanah Melayu apabila muncul sebuah peradaban besar Islam di Selat Melaka dengan lahirnya Empayar Kesultanan Melayu Melaka. Perkembangan ilmu dan kehadiran ramai ilmuan Islam di Melaka menjadikannya bukan sahaja pusat penyebaran Islam di alam Melayu tetapi juga pusat sastera Melayu yang tiada tolok bandingnya. Dua mahakarya besar yang lahir dari warisan tradisi sastera Kesultanan Melayu Melaka ialah Sejarah Melayu dan Hikayat Hang Tuah; dituruti oleh deretan ribuan karya hikayat, syair dan pantun yang lain di seluruh bahagian daerah Islam di wilayah alam Melayu. Dengan sendirinya daerah Selat Melaka pada zaman kebudayaan pesisir ini dapat disebut sebagai daerah yang khas bagi bahasa Melayu, sama ada lisan mahupun tulisan . Bahkan kebangkitan kuasa kelautan

Page 11: Perkembangan Sastera Di Alam Melayu

Melaka adalah antara faktor hilangnya pengaruh kebudayaan Jawa Majapahit di rantau nusantara, yang kemudian menyaksikan kejatuhan dan hilangnya empayar Majapahit. Melaka dapat dikatakan sebagai pengganti Sriwijaya dalam konteks kekuasaan kerajaan Melayu dan pengaruh kebudayaan Melayu khususnya penyebaran bahasa Melayu sebagai bahasa pesisir yakni bahasa dagang yang maju. Di pesisir Kalimantan pengaruh bahasa Jawa dan juga sastera Jawa dalam kerajaan Banjar berkurang dan dilebihi oleh pengaruh bahasa dan sastera Melayu. Sepertimana berlaku di Jambi dan Palembang yang suatu ketika ditakluki oleh kuasa Majapahit, kini menyaksikan pengaruh bahasa dan sastera Melayu oleh pengaruh yang disebarkan dari Melaka.

Di utara Semenanjung Tanah Melayu, bahasa Melayu bertulisan jawi meluas sampai ke daerah Ligor dan Patani. Pengaruh paling jelas ialah lahirnya Hikayat Patani yang mutu seninya tidak kalah dibandingkan dengan Sejarah Melayu. Sementara di Campa, penduduk Campa yang merupakan kelompok bangsa Melayu tua telah menerima Islam sebagaimana saudara mereka di wilayah semenanjung dan kepulauan Melayu. Bangsa Melayu-Campa yang menganut Islam ini telah menterjemah beberapa karya sastera Melayu klasik ke dalam bahasa Cam. Di timur pula, iaitu di kepulauan Sulu yang beragama Islam muncul genre sastera yang mengisahkan sejarah tempatan yang disebut tarsilah. Di pulau Mindanao lahir dongeng yang terpengaruh dengan hikayat panji seperti Maharaja Lawana, sebuah epik lisan suku bangsa Maranau yang diolah daripada Hikayat Seri Rama. Dalam penyebaran ke arah timur, bahasa Melayu tulisan sampai sehingga ke Pulau Bacan dan Ternate. Ia digunakan sebagai tulisan sejarah tempatan. Penyebaran bahasa dan sastera ke arah timur ini menyaksikan Goa, ibu negeri Makasar menjadi pusat sastera Melayu. Pada abad ke-17 dua buah buku dalam bahasa Melayu yang mengisahkan perjuangan menentang Belanda telah dihasilkan di Goa. Buku tersebut ialah Hikayat Tanah Hitu oleh Imam Rijali dan Syair Perang Makasar oleh Encik Amin. Kerajaan Brunai di Pulau Borneo turut muncul sebagai salah satu pusat penyebaran bahasa dan sastera Melayu. Sementara itu melalui perantaraan Makasar, tulisan jawi tersebar meluas di nusantara timur hingga ke Pulau Sumbawa dan Kerajaan Bima.

Namun di Pulau Jawa Islam dan sastera Melayu yang bersifat Islam menghadapi perlawanan sengit daripada budaya Jawa pra-Islam. Sehingga Pulau Jawa menerima Islam, perlawanan sengit budaya dan sastera Jawa terhadap budaya dan sastera Melayu terus berlaku. Penduduk Jawa ternyata begitu kukuh mempertahankan nilai-nilai kejawaan mereka. Bagaimanapun Jawa tidak dapat mengelak daripada menerima pengaruh sastera Melayu Islam, apabila kerajaan Islam yang muncul satu demi satu di Jawa mula menjalinkan hubungan baik dalam konteks keilmuan Islam mahupun politik dan ekonomi. Hubungan baik Melayu-Jawa pada abad ke-14 hingga abad ke-17 menggalakkan penyebaran sastera Melayu di kota-kota Islam Jawa seperti Demak, Gresik. Surabaya dan sebagainya. Sehingga tulisan ahli-ahli tasawuf Aceh dapat diketahui di Jawa tidak lama sesudah kemunculannya di Sumatera . Begitu juga satu-satunya naskhah Hikayat Raja-raja Pasai umpamanya berasal daripada naskhah milik anak cucu kesultanan Demak pada era berkembangnya budaya pesisir Islam di Jawa.

Walaupun pengaruh sastera dan bahasa Melayu agak besar di kota-kota pesisir Jawa, tetapi tradisi tulisan dalam bahasa Jawa tidak mengalah di situ. Cendekiawan Jawa yang

Page 12: Perkembangan Sastera Di Alam Melayu

menganut Islam tetap berpegang kepada bahasa Jawa dan berusaha menggunakan bahasa Jawa sebagai bahasa perantara kebudayaan Islam di kota-kota pesisir di Pulau Jawa. Ia merupakan proses penyesuaian bahasa dan sastera Jawa pra-Islam dengan kebudayaan Islam. Maka ia menghasilkan karya-karya bernuansa Jawa tetapi berakidahkan Islam seperti Serat Anbiya (kisah para nabi), Serat Usup (kisah Nabi Yusuf a.s), Serat Musawaratan Para Wali (kisah wali-wali Islam di Jawa), dan sebagainya. Dalam pada pertembungan tradisi Jawa dan Islam ini turut juga menghasilkan genre baru iaitu genre puisi Jawa-Islam yang dikenali sebagai ’suluk’. Suluk Malang Sumirang karya ahli tasawuf Jawa Pangeran Panggung dianggap sebagai pencetus genre suluk ini. Lahir kemudiannya Suluk Wujil yang kononnya dikarang oleh salah seorang wali songo iaitu Sunang Bonang, Suluk Sukarsa yang diambil daripada Syair Perahu Hamzah Fansuri dan sebagainya.

Cerita-cerita panji masih popular di Jawa walaupun Islam telah menyerap masuk dalam kehidupan orang Jawa. Pengaruh sastera Arab-Islam mula menular dalam masyarakat Jawa. Maka penyesuaian cerita panji dari tradisi Jawa pra-Islam dengan cerita-cerita Arab dan Parsi yang sampai ke Jawa biasanya dalam bentuk hikayat berbahasa Melayu. Ia kemudiannya diolah dan dijadikan kidung seperti Serat Johar Manikam, Serat Baginda Seh Mardan, Serat Rengganis, Serat Kanda dan juga Medak Amir Hamzah. Pada abad ke-16 kota-kota pesisir Jawa seperti Demak atau Pajang telah mula menyusun sejarah tempatan mereka. Ia akhirnya menjadi teras kepada kelahiran sastera penulisan sejarah yang terkenal iaitu Babad Tanah Jawi. Bahasa Jawa mula bergerak untuk menjadi bahasa kebudayaan Islam di wilayah Nusantara Timur. Perkembangan di wilayah Makasar dan Bugis muncul buku agung La Galigo, sebuah karya yang berjumlah 6000 halaman. La Galigo merupakan sebuah puisi epik yang dibaca dan dinyanyikan di hadapan khalayak, menyerupai bentuk kekawin, kidung atau hikayat Melayu. Ia merupakan sebuah karya epik yang berisi mitos asli tempatan tanpa mempunyai pengaruh India atau Islam. Bugis juga melahirkan genre sastera epik yang disebut sebagai tolo.

Sementara di Makasar, epik sejarah dikenali sebagai sinrili hanya dikembangkan dalam bentuk lisan dan hanya dicatat dalam bentuk tulisan oleh seorang pengkaji Eropah pada abad ke-19, iaitu Sinrili Datu Museng. Dalam pada itu perkembangan sastera nusantara barat di daerah hujung utara Pulau Sumatera menyaksikan kemunculan sastera daerah dalam bahasa Aceh pada abad ke-17. Aceh yang pada mula mengunakan bahasa Melayu dalam pengucapan sasteranya, telah bertukar menggunakan bahasa Aceh yang dikenali sebagai bahasa daerah setelah kebangkitan kerajaan Aceh yang mengeluarkan dirinya daripada pengaruh dunia nusantara khususnya daripada pengaruh bahasa dan budaya Melayu. Pada peringkat awal, cendekiawan Aceh hanya menterjemahkan kitab-kitrab besar Islam yang ditulis dalam bahasa Melayu atau bahasa Arab kepada bahasa daerah Aceh. Namun kemudian mereka mula menghasilkan genre sajak setempat yang disebut hikayat daripada terjemahan karya luar. Lahirlah karya seperti Riwayaton Sabeu’ah, Hikayat Makkah Madinah dan sebagainya yang bernuansa Islam. Karya Aceh yang bersifat Islam menjadi teras kepada sastera Aceh. Dua karya besar Aceh yang bersifat Islam ini ialah Pocut Muhamat dan Hikayat Perang Sabil. Walau begitu terdapat juga hikayat yang bersifat mitos setempat seperri Hikayat Asai Padi dan juga hikayat yang langsung tidak bersifat Islam seperti Hikayat Cintabuhan yang berasal dari Syair Ken

Page 13: Perkembangan Sastera Di Alam Melayu

Tambuhan. Dalam sastera daerah Aceh ini lahir juga genre cerita binatang seperti Hikayat Plando Kanci. Namun pengaruh sastera Melayu khususnya sastera hikayat berkembang dalam sastera Aceh dengan munculnya hikayat seperti Hikayat Malem Diwa dan Hikayat Malem Dagang.

Penyebaran Islam ke Pulau Jawa melahirkan sastera sinkretisme Jawa-Islam dan sastera sinkretisme yang lain seperti Sunda contohnya. Apabila Islam masuk dan menjadi agama anutan masyarakat Sunda, bentuk sastera Sunda berubah kepada sastera bersifat Islam. Lahir karya yang bercampur tradisi tempatan dengan warna Islam seperti Carita Warugaguru dan sebagainya. Perkembangan sastera Sunda pada abad ke-17 melahirkan genre puisi Sunda dalam bentuk tulisan huruf Jawa yang disebut sebagai wawacan, yang merupakan saduran dari kidung Jawa dan hikayat Melayu. Karya-karya wawacan ini antaranya ialah Wawacan Ranggawulung, Wawacan Suryaningrat atau Wawacan Amir Hamzah. Sementara pantun Sunda menghasilkan karya seperti Carios Prabu Munding Laya, Carios Arya Wangsa Go Prana dan sebagainya. Sementara kerajaan Jawa asli yang telah bertukar kepada kerajaan Jawa-Islam diungguli kerajaan Mataram-Islam melahirkan sastera Jawa-Islam seperti Papali Ki Gede Sesela, Nitipraja, karya suluk seperti Serat Jayalengkara Wulang dan sebuah karya masyhur yang diambil daripada Hikayat Iskandar Zulkarnain dengan perantaraan wayang kelitik iaitu Damar Wulan. Pada zaman awal Mataram ini juga telah dicipta sebuah tulisan sejarah iaitu Babad Mataram yang akhirnya menjadi babad masyhur iaitu Babad Tanah Jawi. Sebuah lagi karya besar Jawa sezaman dengan Babad Tanah Jawi ialah Serat Tjentini.

Penutup

Pada abad moden di Eropah muncul muncul fahaman untuk membentuk sebuah nilai budaya sepunya Eropah. Ia didebatkan di Jerman, hasil cetusan pemikiran seorang sarjana Jerman berketurunan Arab, Bassam Tibi. Satu bentuk budaya yang membawa nilai sepunya Eropah disebut Tibi sebagai leitkultur. Dalam konteks ini leitkultur selalunya mewakili budaya asli yang sedia wujud digabung dengan budaya baru yang terlakur di dalamnya. Perdebatan ini bermula apabila Tibi berhujah tentang konsep multibudaya dalam konteks negara Jerman. Bassam Tibi mengemukakan konsep leitkultur ini pada tahun 1998 dalam bukunya Europa ohne Identitat (Europe without Identity). Tibi meletakkan leitkultur sebagai budaya universal yang berasaskan konsep multibudaya. Usaha untuk membina nilai sepunya dalam budaya Eropah ini telah berlaku sebelum ini dalam bidang politik dan ekonomi dengan wujudnya Nato dan kemudian munculnya matawang Euro. Masyarakat Eropah terus berusaha mencari dan membentuk nilai persamaan antara mereka lantaran mereka melihat faedah dan manfaat daripada usaha tersebut. Leitkultur dilihat sebagai usaha untuk membina identiti Eropah yang besar, kuat dan bersatu padu melalui dimensi budaya. Pemahaman cendekiawan Eropah tentang betapa besar dan pentingnya budaya dalam membina kekuatan masyarakat, ekonomi dan politik telah wujud sejak era kebangkitan Eropah dalam zaman renaisans lagi. Sebuah kekuatan budaya yang besar yang mempersatukan bangsa-bangsa Eropah tentunya akan membina paksi kekuasaan besar Eropah dalam penyebaran kuasa dan pengaruh ke atas dunia.

Page 14: Perkembangan Sastera Di Alam Melayu

Di wilayah alam Melayu ini, pembentukan sebuah leitkultur yang bukan sahaja dapat mempersatukan rumpun nusantara ini dengan persamaan budaya mereka, tetapi juga mampu membina sebuah kekuatan Asia di wilayah nusantara ini tentunya lebih mudah dibentuk memandangkan sejarah hubungan budaya nusantara yang mencirikan banyak persamaan. Bahkan leitkultur yang dibawa oleh keperibadian budaya dan bahasa Melayu telah pernah terbentuk di rantau nusantara ini ketika zaman Sriwijaya dan zaman Melaka. Budaya dan bahasa Melayu menjadi leitkultur wilayah nusantara ini dengan ciri nilai-nilai serumpun yang diterima oleh rumpun Kepulauan Asia Tenggara ini. Bahkan wilayah besar Campa, Filipina, pesisiran tenggara dari selatan hingga utara Thailand telah mencirikan budaya dan bahasa mereka dengan keperibadian budaya dan bahasa Melayu.

Dalam konteks sastera, sastera Melayu bertulisan rumi sememangnya mendominasi dunia sastera alam Melayu atau nusantara ini sebagai wadah kecerdikan baru peradaban Islam nusantara. Hasil-hasil sastera Melayu dalam bentuk Hikayat, Sastera Kitab, Syair, Pantun, Gurindam, Seloka, dan sebagainya bukan sahaja mencerminkan nilai keindahan seni sastera yang tinggi tetapi juga nilai intelektualisme yang cukup berbobot. Pendek kata, sastera Melayu telah wujud sebagai sebuah leitkultur di wilayah alam Melayu ini. Bahasa Melayu beraksara jawi yang muncul sebagai lambang ketamadunan Islam di wilayah tenggara Asia ini jelas menunjukkan tahap kemajuan tinggi sistem tulisan yang terbentuk untuk menjana ilmu pengetahuan tinggi dalam segala bidang. Sifat bahasa Melayu yang terbuka, dinamik, ekonomikal dan saintifik menjadikan sebagai sebuah bahasa maju yang setanding dengan bahasa moden dunia yang lain. Dengan sifat tersebut, dan bukti sejarah yang sedia ada ternyata bahasa Melayu adalah sumber kekuatan kepada budaya dan sastera Melayu yang menjadi leitkultur di wilayah alam Melayu ini.

Malangnya nilai-nilai wilayah alam Melayu melalui kekuatan budaya yang mampu dibentuk daripada sebuah leitkultur ini tidak dimanfaatkan oleh rumpun nusantara ini akibat kekerdilan jiwa mereka telah menutup kecerdikan mereka daripada melihat kepada gambar besar sebuah leitkultur yang mampu membina sebuah gelombang kekuatan baru dunia melalui dinamika budaya. Dengan populasi besar penduduk rumpun nusantara yang hidup dalam kemiskinan dan hanya mendapat pendidikan asas, sebuah gelombang kekuatan intelektualisme tidak mampu dibangkitkan sebagaimana gelombang intelektualisme Eropah yang membangkitkan era renaisan itu. Ditambah lagi dengan sikap jahil, emosi, dan semborono yang dikongkong oleh sentimen kenegaraan-puak yang sempit di sebahagian besar penduduk kepulauan nusantara ini membuatkan gelombang intelektualisme yang berpaksi kepada semangat rasional tidak dapat dibangkitkan melalui sebuah dinamika budaya. Walaupun sifat dan ciri budaya yang ada di wilayah nusantara ini merupakan potensi yang amat besar kepada sebuah kebangkitan gelombang intelektualisme budaya, yang akan pula dapat membentuk sebuah wilayah ekonomi-politik yang kuat. Maka itu leitkultur yang sepatutnya menjadi asas kepada gelombang kebangkitan wilayah alam Melayu menjadi berkubur, oleh ketidakmampuan masyarakatnya yang suka berbalah di atas hal remeh dan tidak rasional.

Suatu kesedaran baru perlu digerakkan untuk membangkitkan sebuah dinamika budaya yang mengangkat nilai-nilai serumpun yang terikat persamaan di atas sikap rasional.

Page 15: Perkembangan Sastera Di Alam Melayu

Kesedaran budaya ini akan membawa kepada usaha untuk mencari nilai sepunya sepertimana yang dilakukan oleh rumpun bangsa yang maju di dunia pada hari ini. Nilai sepunya daripada dinamika budaya inilah membentuk sebuah leitkultur yang akan membangkitkan gelombang intelektualisme di rantau nusantara atau wilayah alam Melayu ini.

Rujukan

Abdul Rahman Al-Ahmadi, 2004. Tamadun Rumpun Budaya Melayu. Kuala Lumpur: Kementerian Kebudayan, Kesenian dan Warisan Malaysia.

Ahmad Jelani Halimi, 2008. Sejarah dan Tamadun Bangsa Melayu. Kuala Lumpur: Utusan Publications & Dsitributors Sdn. Bhd.

D.G.E. Hall, 1987. Sejarah Asia Tenggara. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Haziyah Hussein, 2006. Motif Alam Batik dan Songket Melayu. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

G. Coedes, Asmah Haji Omar (peny.) & Laurent Metzger (pentj), 2009. Inskripsi Melayu Sriwijaya. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Ensiklopedia Sejarah dan Kebudayaan Melayu, 1994. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Harun Mat Piah, Ismail Hamid, Siti Hawa Salleh, Abu Hassan Sham, Abdul Rahman Kaeh, Jamilah Hj. Ahmad, 2006. Kesusasteraan Melayu Tradisional. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Mohd Taib Osman, 1983. Bunga Rampai Kebudayaan Melayu. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Mohamed Pitchay Gani Mohamed Abdul Aziz, 2007. Evolusi Bahasa Melayu 2000 Tahun: Dari Zaman Purba ke Budaya Elektronik. Tanjung Malim, Perak: Penerbit Universiti Pendidikan Sultan Idris.

Parnickel, Boris, 1995. Perkembangan Sastera Nusantara Serumpun (Abad ke-7 – ke-9). Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Sidek Fadzil, Sahlan Mohd, Sahlan, Hanapi Dollah, Mohd Pozi Hj. Masurori, Saiful Bahri Md. Radzi, Mawar Shafei, 2001. Persuratan Melayu Lontar ke Layar lihat Siti Hawa Salleh, ”Kesusasteraan Melayu Tradisional: Liku-liku Sejarah dan Interpretasi Semula”. Bangi: Universiti Kebangsaan Malaysia.

Siti Hawa Hj. Salleh, 1997. Kesusasteraan Melayu Abad Kesembilan Belas. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Page 16: Perkembangan Sastera Di Alam Melayu