bms 3013 kesusasteraan & kebudayaan melayu esei 1

29
BMS 3013 KESUSASTERAAN DAN KEBUDAYAAN MELAYU TUGASAN KERJA KURSUS Bahagian A: Esei 1 Kesusasteraan Melayu tradisional merupakan cerminan masyarakat Melayu terdahulu. Bincangkan. Nama Pelajar: Nito Anak Tony No. ID: D20112055167 No. Kumpulan: UPSI 02 Nama Pensyarah: Profesor Madya Dr. Abdul Halim Ali Pusat Pendidikan Luar (PPL) Fakulti Pendidikan dan Pembangunan Manusia Universiti Pendidikan Sultan Idris 2013 PENGHARGAAN

Upload: nitotony73

Post on 26-Oct-2015

428 views

Category:

Documents


5 download

TRANSCRIPT

Page 1: BMS 3013 Kesusasteraan & Kebudayaan Melayu Esei 1

BMS 3013

KESUSASTERAAN DAN

KEBUDAYAAN MELAYU

TUGASAN KERJA KURSUS

Bahagian A: Esei 1

Kesusasteraan Melayu tradisional merupakan cerminan masyarakat Melayu terdahulu.

Bincangkan.

Nama Pelajar: Nito Anak Tony

No. ID: D20112055167

No. Kumpulan: UPSI 02

Nama Pensyarah: Profesor Madya Dr. Abdul Halim Ali

Pusat Pendidikan Luar (PPL)

Fakulti Pendidikan dan Pembangunan Manusia

Universiti Pendidikan Sultan Idris

2013

Page 2: BMS 3013 Kesusasteraan & Kebudayaan Melayu Esei 1

PENGHARGAAN

Pertama sekali, saya ingin mengucapkan syukur kepada Tuhan kerana dengan

izin-Nya, tugasan ini dapat disiapkan tepat pada masanya. Dalam menyiapkan tugasan

ini saya mendapat sokongan dan bantuan daripada pelbagai pihak yang bersungguh-

sungguh dalam membantu saya supaya dapat menyiapkan tugasan ini dengan

jayanya..

Saya ingin menyampaikan penghargaan yang setinggi-tingginya kepada

Profesor Madya Dr. Abdul Halim Ali kerana membantu saya dalam memberikan

maklumat dan penjelasan yang sejelasnya untuk membuat tugasan ini.

Tidak ketinggalan juga penghargaan untuk rakan-rakan guru yang turut sama

membantu dari segi memberi tunjuk ajar dan idea dalam usaha untuk memahami dan

menyiapkan tugasan yang diberikan mengikut had masa yang ditetapkan.

Saya juga merakamkan ucapan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat

secara langsung ataupun tidak langsung sepanjang usaha saya menyiapkan tugasan

ini.

Sekian, terima kasih.

Page 3: BMS 3013 Kesusasteraan & Kebudayaan Melayu Esei 1

Isi Kandungan

Bil Perkara Muka surat

1 Pengenalan 1

2 A. Gambaran Masyarakat Menghargai Warisan. 2

3 B. Gambaran Masyarakat Berpegang Kepada Kepercayaan. 6

4 C. Gambaran Masyarakat Berfikiran Terbuka. 8

5 D. Gambaran Masyarakat Mematuhi Peraturan Dan Adat. 13

6 E. Gambaran Masyarakat Beragama Islam. 20

7 F. Gambaran Masyarakat Kreatif. 21

8 Rumusan 23

9 Rujukan 25

Page 4: BMS 3013 Kesusasteraan & Kebudayaan Melayu Esei 1

Pengenalan

Kesusasteraan Melayu terbentuk hasil daripada pelbagai kegiatan dan pengalaman

masyarakat Melayu zaman dahulu seperti nyanyian rakyat, penceritaan cerita-cerita

lipur lara, dan uji minda. Ketika masyarakat Melayu hidup dalam alam tradisionalnya,

benda-benda yang terdapat di sekeliling menjadi sumber ilham yang melahirkan

pelbagai jenis puisi. Perkaitan dengan alam sekeliling seperti hutan, binatang, sungai,

dan laut sering menimbulkan kesan-kesan perbandingan dalam kehidupan yang

kemudiannya diterjemahkan kepada pelbagai ragam perlakuan sama ada bertujuan

untuk menasihat, menyindir, berhibur, dan menegur.Pengalaman yang dialami oleh

mereka ketika berhadapan dengan ragam manusia, alam sekitar dan alam ghaib telah

menyumbang dalam kemunculan pelbagai ragam bentuk karya yang diwarisi

mewujudkan wajah kesusasteraan Melayu tradisional yang dikenali sehingga hari ini.

Kesusasteraan Melayu tradisional dikategorikan mengikut period zaman. Dalam

konteks sejarah Barat, era moden bermula di Eropah apabila tercetusnya Revolusi

Industri di England dan Revolusi Kebudayaan di Perancis pada abad ke-18.

Berdasarkan tempoh zaman ini, maka zaman sebelum abad ke-17 merupakan era

tradisional. Pengaruh dan kesan revolusi yang berlaku pada abad ke-18 telah merebak

ke seluruh dunia, termasuklah negeri-negeri di rantau Nusantara iaitu termasuk Tanah

Melayu. Modenisasi juga mempengaruhi pengalaman hidup masyarakat Melayu yang

pada sebelumnya mengamalkan semangat dan norma hidup yang diwarisi daripada

generasi tradisional.

S. Othman Kelantan (2000) menyatakan, sejarah kesusasteraan Melayu

1

Page 5: BMS 3013 Kesusasteraan & Kebudayaan Melayu Esei 1

tradisional mencapai era kegemilangannya pada abad ke-17, sehinggalah merebaknya

pengaruh modenisme dalam alam Melayu pada awal abad ke-20. Pada tahun 1900 dan

seterusnya adalah zaman berkembangnya karya kreatif berbentuk novel, cerpen, puisi

baharu dan drama. Perkembangan ini berlaku secara besar-besaran di Malaysia dan

Indonesia (S.Othman Kelantan,2000:23). Menurut Abdul Halim Ali (2006) mengikut

situasi yang ditunjukkan oleh S.Othman Kelantan itu maka tahun 1900 boleh dikatakan

sebagai garis pemisah di antara era kesusasteraan Melayu tradisional dengan sejarah

kesusasteraan Melayu moden di Malaysia.

Hasil-hasil kesusasteraan Melayu tradisional boleh diklasifikasikan berpandukan

bentuk. Berdasarkan klasifikasi ini, bentuk hasil kesusasteraan dibahagikan kepada dua

iaitu bentuk prosa dan puisi. Hasil-hasil kesusasteraan berbentuk puisi merangkumi

pantun, syair, nazam, gurrindam, seloka, teka teki, peribahasa berirama, teromba,

talibun, prosa lirik, mantera dan dikir (Harun Mat Piah,2000:12). Kesusasteraan Melayu

tradisional telah mengalami dan menerima pengaruh asing yang ketara, khususnya

pengaruh Hindu, Jawa dan Islam, termasuk pengaruh warisan bangsa Melayu itu

sendiri. Pengaruh ini dikesan dalam pelbagai genre dan menunjukkan kekuatannya

berpandukan kepada kekuatan pegangan akidah Islamiah atau kepercayaan yang

masih kuat dalam diri orang-orang Melayu pada masa itu.

A. Gambaran Masyarakat Menghargai Warisan.

Sastera Lisan

Sastera lisan merupakan semua jenis hasil kesusasteraan yang diwarisi oleh

masyarakat Melayu daripada satu generasi ke satu generasi secara lisan. Pada zaman

2

Page 6: BMS 3013 Kesusasteraan & Kebudayaan Melayu Esei 1

tradisional, tukang cerita membawa peranan penting sebagai pencerita yang mencerita

sesebuah cerita kepada masyarakat. Cerita-cerita lisan berperanan sebagai sumber

hiburan masyarakat dan mencerminkan citra masyarakat Melayu pada masa itu.

Menurut pengkaji, hasil kesusasteraan Melayu berbentuk lisan ini boleh dikategorikan

kepada empat sub-bidang (Majlis Peperiksaan Malaysia,2003 :xix) iaitu;

a. Warisan tradisi berbentuk ujaran yang meliputi bahasa dan sastera rakyat.

b. Warisan tradisi berbentuk perlakuan yang meliputi teater tradisional seperti makyung,

wang kulit dan lain-lain.

c. Warisan tradisi dalam bentuk benda atau artifak seperti busana, alat senjata,

alat muzik dan lain-lain.

d. Semua bentuk adat istiadat.

Sastera lisan Melayu disampaikan atau diungkapkan oleh masyarakat dilihat

dalam dua bentuk iaitu bentuk naratif dan nonnaratif. Lisan naratif diungkapkan dalam

bentuk prosa manakala lisan nonnaratif diungkapkan dalam bentuk puisi. Karya lisan

berbentuk naratif boleh dibahagikan kepada tiga jenis iaitu ceria mitos, cerita lagenda

dan cerita rakyat. Karya lisan berbentuk nonnaratif pula terdiri daripada puisi warisan

Melayu, puisi Melayu warisan Islam dan puisi tumpangan.

Cerita mitos

Mitos ialah ceria-cerita mengenai dewa-dewa, orang-orang atau makhluk luar

biasa zaman dahulu kala yang dikatakan oleh sesetengah golongan masyarakat

sebagai kisah benar dan adalah kepercayaan tentang kejadian dewa-dewa serta alam

seluruhnya (Kamus Dewan,2005 :831). Cerita mitos dipengaruhi oleh unsur-unsur

3

Page 7: BMS 3013 Kesusasteraan & Kebudayaan Melayu Esei 1

Hindu yang menyerap melalui tradisi Hindu-Jawa. Di antara cerita mitos Melayu seperti

pembukaan negeri Melaka, asal usul keturunan orang Melayu daripada Iskandar

Zulkarnain, dan pengislaman Merah Silu.

Cerita Lagenda

Kamus Dewan (2005) mentakrifkan cerita lagenda sebagai cerita dongeng yang

bersangkutan dengan kisah-kisah yang bersejarah. Ahli sarjana menyatakan cerita-

cerita lagenda ini berlatarkan masa atau pun sejarah yang masih dapat diingat oleh

masyarakat Melayu dan menghubungkan pengalaman dahulu dengan zaman sekarang.

Contohnya cerita kepahlawanan Hang Tuah, cerita kekuatan Badang, cerita keagungan

Iskandar Zulkarnain dan cerita-cerita tentang kekuatan atau kepandaian makhluk halus

seperti hantu, pelesit dan toyol.

Cerita Rakyat

Cerita lisan merupakan cerita yang direka dan diada-adakan yang bertujuan

untuk menghibur dan menyampaikan teladan. Cerita-cerita ini diceritakan secara lisan

dari satu generasi ke satu generasi. Cerita rakyat boleh dikategorikan kepada beberapa

jenis seperti cerita binatang, cerita jenaka dan cerita lipur lara.

Cerita binatang

Cerita binatang merupakan cerita yang berkisar pada binatang menjadi watak

utamanya. Binatang diberi sifat seperti manusia iaitu boleh bercakap, mempunyai akal

yang cerdik, pandai membuat tipu daya dan berbudi pekerti. Antara watak-watak utama

dalam cerita binatang seperti Sang Kancil dan Pelanduk. Terdapat juga cerita-cerita

4

Page 8: BMS 3013 Kesusasteraan & Kebudayaan Melayu Esei 1

binatang yang bercorak asal usul sesuatu tempat atau benda.

Cerita jenaka

Cerita jenaka ialah cerita yang mengutamakan unsur humor atau lucu. Unsur

lucu ini ditunjukkan pada watak, peristiwa-peristiwa yang berlaku dan jalinan cerita itu

sendiri. Tujuan cerita jenaka ialah untuk mewujudkan rasa lucu, geli hati, jenaka dan

senang hati. Watak-watak dalam cerita ini membawa pelbagai perwatakan seperti

bodoh, lurus dan pintar. Terdapat beberapa cerita jenaka yang popular dalam

masyarakat Melayu tradisional seperti cerita Pak Pandir, Lebai Malang, Nujum Pak

Belalang, Si Luncai, Mat Jenin dan Pak Kadok.

Cerita Lipur Lara

Lipur lara merupakan sejenis cerita yang bertujuan untuk membawa keasyikan

kepada pendengar. Tukang cerita bercerita bertujuan untuk menimbulkan keasyikan

pembaca yang berada dalam keadaan duka. Tukang cerita disebut peglipur lara iaitu

orang yang menyampaikan cerita untuk tujuan hiburan pendengar yang duka lara. Bagi

masyarakat Melayu terdapat tukang-tukang cerita atau penglipur lara yang popular ialah

Pawang Ana, Tok Selampit, Awang Batil atau Awang Belanga. Cerita-cerita lipur lara

membawa kisah pengembara wira yang terdiri daripada kalangan istana dengan

perwatakan yang baik-baik, gagah, tampan, sakti dan hebat. Oleh kerana itu,

pengembaraan adalah salah satu tema penting cerita-cerita lipur lara. Cerita lipur lara

dalam masyarakat Melayu tradisional juga dikenali sebagai cerita hikayat seperti

Hikayat Malim Dewa dan Hikayat Malim Deman.

5

Page 9: BMS 3013 Kesusasteraan & Kebudayaan Melayu Esei 1

Gambaran Menghargai Warisan:

Masyarakat Melayu menghargai sastera lisan daripada satu generasi kepada

satu generasi. Walaupun kesusasteraan Melayu tradisional telah melalui tempoh

perkembangan dan perubahan yang lama. Namun warisan peninggalan nenek moyang

terdahulu tidak mudah dilupakan sehingga ke hari ini. Malah pada zaman moden ini

telah terdapat pelbagai kemajuan teknologi dan pengaruh media massa yang amat

ketara tetapi warisan peninggalan lama masih segar diingatan masyarakat Melayu.

Penghargaan yang dilakukan oleh masyarakat Melayu tentang kesusasteraan

tradisional adalah melalui filem, buku-buku cerita, pementasan dan sebagainya. Situasi

ini jelas digambarkan melalui penerbitan filem yang bercorak cerita mitos, lagenda,

binatang, dan jenaka. Begitu juga dengan penulisan buku-buku cerita yang berbentuk

mitos, lagenda, binatang dan jenaka telah banyak dijual di pasaran. Selain itu, terdapat

juga golongan yang memperjuangkan dan menganjurkan aktiviti seperti cerita rakyat

dan penglipur lara supaya tidak lenyap ditelan zaman.

B. Gambaran Masyarakat Berpegang Kepada Kepercayaan.

Karya lisan bentuk puisi

Puisi Melayu tradisional adalah karya kesusasteraan Melayu terawal dalam

sejarah perkembangan kesusasteraan Melayu di Malaysia dan di Nusantara. Puisi

Melayu wujud serentak dengan lahirnya masyarakat Melayu itu sendiri. Contohnya,

pada zaman awal kanak-kanak, ibu bapa kerap mendodoi anak-anak mereka dengan

puisi endoi. Puisi endoi wujud secara tidak langsung dengan lahirnya seseorang anak

dalam kalangan masyarakat Melayu.

6

Page 10: BMS 3013 Kesusasteraan & Kebudayaan Melayu Esei 1

Puisi Melayu tradisional dibezakan oleh ciri-ciri bentuknya yang khusus,

tetap dan terikat. Ia berbeza dengan puisi Melayu moden yang bercirikan bentuk yang

bebas. Ciri-ciri bentuk yang mengikat bentuk puisi Melayu tradisional secara khusus

seperti jumlah baris, jumlah kata dan suku kata dalam baris dan rimanya. Bilangan baris

dalam rangkap puisi Melayu tradisional biasanya tetap, seragam dan terikat kepada

rimanya khusus. Selain itu, puisi Melayu tradisional mempunyai ragam atau jenisnya

yang pelbagai seperti pantun, syair, gurindam, seloka, mentera, rubai, nazam, teromba,

peribahasa, masnawi, ghazal, dan endoi. Puisi Melayu moden pula hanya mempunyai

satu jenis sahaja iaitu sajak. Puisi Melayu tradisional boleh dibahagikan kepada tiga

kelompok besar berpandukan kepada pengaruh kepercayaan. Tiga kelompok tersebut

ialah puisi tradisional warisan Melayu, puisi tradisional warisan Islam dan puisi Melayu

tumpangan.

Puisi Melayu Warisan Melayu

Puisi tradisional warisan Melayu adalah puisi-puisi yang lahir daripada kreativiti

masyarakat Melayu itu sendiri tanpa dipengaruhi oleh tradisi asing. Di antara jenis-jenis

puisi tradisional warisan Melayu seperti pantun, gurindam, seloka, mentara, teromba,

peribahasa berangkap dan talibun.

Gambaran Berpegang Kepada Kepercayaan:

Tradisi masyarakat Melayu yang suka mendodoikan anak-anak sewaktu kecil

supaya lena sewaktu tidur telah diamalkan sehingga ke hari ini. Biarpun kita telah

memasuki era moden dengan alat buaian yang menggunakan motor elektrik untuk

mendodoikan bayi dalam buaian. Namun masyarakat Melayu lebih gemar mendodoikan

7

Page 11: BMS 3013 Kesusasteraan & Kebudayaan Melayu Esei 1

anak mereka dengan puisi endoi. Tradisi mendodoi juga dikatakan dapat menghalang

ketenangan bayi daripada diganggu oleh makhluk halus yang sukakan keadaan yang

sunyi sepi. Oleh itu, dengan adanya bunyi dodoian yang bukan sahaja melenakan tidur

si bayi malah menghalau hantu yang cuba mengganggu si anak kecil.

C. Gambaran Masyarakat Berfikiran Terbuka.

Pantun

Pantun adalah puisi Melayu tradisional yang paling diminati berbanding dengan

jenis-jenis puisi tradisional Melayu lain. Populariti pantun melangkaui zaman

tradisionalnya, malah hadir dalam masyarakat Melayu moden dengan perhubungan dari

aspek tema dan fungsi. Pantun digemari oleh semua golongan dalam masyarakat,

mulai daripada anak-anak, orang muda hingga orang tua (Edi Sedyawati et

al,2004:212). Menurut Harun Mat Piah, et al., (2000) pantun yang diterima umum

sebagai puisi ciptaan asli orang Melayu bukan saduran atau penyesuaian daripada

puisi-puisi Jawa, India, dan Cina. Dari aspek penyebaran telah menunjukkan perubahan

yang lebih besar apabila pantun sudah dikembangkan daripada tradisi lisan, tulisan dan

kemudiannya berbentuk biasan ekoran perkembangan teknologi komputer. Walaupun

begitu, aspek bentuk dan struktur pantun masih kekal sebagaimana asalnya, di

samping seni pengucapannya yang terus menekankan kepada susunan irama.

Pantun boleh dikelaskan berdasarkan bentuk/struktur, tema/isi, fungsi dan

penyebarannya. Terdapat sarjana yang mengkelaskan pantun dari segi bentuk atau

struktur. Daripada pengkelasan inilah maka terbentuklah apa yang disebut pantun dua

kerat, empat kerat, enam kerat, lapan kerat dan sebagainya. Dari segi tema pula

8

Page 12: BMS 3013 Kesusasteraan & Kebudayaan Melayu Esei 1

mewujudkan jenis-jenis pantun seperti pantun nasihat, pantun jenaka, pantun budi dan

sebagainya. Pantun juga boleh dikenali berdasarkan tema seperti tema agama,

kemasyarakatan, budi, remaja, moral dan pendidikan, cinta kasih sayang dan nasihat.

Terdapat juga pantun yang disebut sebagai pantun berkait. Pantun dikatakan berkait

kerana terdapat hubungan secara berkait di atara satu rangkap pantun kedua dengan

pantun pertama.

Contoh pantun empat kerat :

Apa guna berkain batik,

Kalau tidak dengan sujinya;

Apa guna beristeri cantik,

Kalau tidak dengan budinya.

Tanam lenggun tumbuh kelapa,

Terbit bunga puncuk mati;

Budi tuan saya tak lupa,

Sudah terpaku di dalam hati.

Contoh pantun dua kerat :

Pat-pat siku lipat;

Siapa cepat dia dapat.

Awan putih nampak terang;

Hati bersih jadi senang.

Contoh pantun enam kerat :

9

Page 13: BMS 3013 Kesusasteraan & Kebudayaan Melayu Esei 1

Burung kedidi terbang ke hutan,

Gugur bulunya di ranting sena,

Ranting patah menimpa budak;

Jangan menjadi rambutan jantan,

Orang berbunga awak berbunga,

Orang berbuah awak tidak.

Contoh pantun lapan kerat:

Pantun lapan kerat (Perantauan)

Sejak berbunga daun pandan,

Banyaklah tikus dikus di permatang,

Anak buaya datang pula,

Daun selasih kering berselerak;

Sejak semua dagang berjalan,

Tidak putus dirudung malang,

Banyak bahaya yang menimpa,

Lamun kasih berpaling tidak.

Gurindam

Gurindam adalah sejenis puisi Melayu tradisional yang diwarisi oleh masyarakat

Melayu sejak dahulu. Gurindam popular dalam masyarakat Melayu, terutama di Riau

seperti Gurindam Dua Belas gubahan Raja Ali Haji, pengarang Melayu dari Riau (Edi

Sedyawati,2004:316). Walau bagaimanapun, contoh gurindam yang dikesan dalam

masyarakat Melayu amnya tidak banyak. Di Sumatera, gurindam juga disebut dengan

10

Page 14: BMS 3013 Kesusasteraan & Kebudayaan Melayu Esei 1

nama Muslihat Acheh, Gurindam Barus, Lagak Minang dan sebagainya (Gazali

Dunia,1992:104). Sebagaimana pantun, gurindam adalah karya puisi ciptaan

masyarakat Melayu. Walau bagaimanpun, gurindam berlainan dengan pantun dari segi

bentuknya. Bentuk gurindam tidak tetap. Ia boleh wujud dalam keadaan terikat dan

tidak terikat.

Contoh gurindam: Barang siapa tiada memegang agama

Sekali-kali tiada boleh dibilang nama

Barang siapa mengenal yang empat

Maka yaitulah orang yang makrifat

Barang siapa mengenal diri

Maka telah mengenal akan Tuhan yang bahari

Barang siapa mengenal akhirat

Tahulah ia dunia mudharat

Seloka

Perkataan seloka berasal daripada kata sloka dalam bahasa Sanskrit (Harun Mat

Piah, et al.2000:122). Seloka yang asal terdapat dalam Epik Mahabhrata memuatkan

100 000 seloka dan Epik Ramayana mengandungi lebih kurang 24,000 seloka (Gazali

Dunia,1992:108). Walau bagaimanapun, seloka yang terdapat dalam alam Melayu

berbeza dengan seloka yang terdapat dalam kedua-dua epik tersebut. Terdapat

pelbagai pendapat yang menerangkan jenis dan bentuk seloka Melayu. R.J. Wilkinson

menyatakan seloka sebagai ucapan mengandungi sindirian dalam bentuk yang tidak

tetap rimanya. Bagi C.Hooykaas pula, seloka dalam konteks masyarakat Melayu ialah

11

Page 15: BMS 3013 Kesusasteraan & Kebudayaan Melayu Esei 1

puisi yang mengandungi empat baris dalam satu rangkap dengan empat jumlah

perkataan terdiri daripada 8-11 suku kata (Gazali Dunia,1992:108). Harun Mat Piah

(2000) menyebutkan seloka mengandungi 16 suku kata, dan berbentuk bebas.

Seloka Pak Kaduk:

Aduhai malang Pak Kaduk!

Ayamnya menang kampung tergadai!

Ada nasi dicurahkan,

Awak pulang kebuluran!

Mudik menongkah surut, hilir menongkah pasang!

Ada isteri dibunuh,

Nyaris mati oleh tak makan!

Masa belayar kematian angin,

Sauh dilabuh bayu berpuput

Ada rumah bertandang duduk!

Gambaran Berfikiran Terbuka:

Masyarakat Melayu memang sudah terkenal dengan sikap suka merendah diri,

mendengar pandangan daripada orang lain, peramah, mesra, tidak mudah tersinggung

dan sebagainya. Sikap keterbukaan ini jelas dilihat di negara kita yang terdiri daripada

pelbagai kaum dengan masyarakat Melayu sebagai kaum majoritinya. Namun

masyarakat Melayu tidak tamak dan menindas kaum lain dengan memberi peluang

yang adil bagi semua kaum dalam bidang politik, ekonomi dan sosial.

Mesej yang disampaikan melalui pantun, gurindam dan seloka sama ada

12

Page 16: BMS 3013 Kesusasteraan & Kebudayaan Melayu Esei 1

bertujuan untuk menyindir, menasihat, menghina atau mempersenda seseorang akan

diterima dengan hati yang terbuka. Malah mereka terus berbalas pantun, seloka atau

gurindam kepada orang tersebut untuk menerangkan perkara yang sebenarnya telah

berlaku supaya orang lain tidak mempercayai sesuatu fitnah atau tuduhan yang

membuta tuli. Masyarakat Melayu yang penuh dengan kesederhanaan tidak mudah

meninggi diri atau angkuh dalam sesuatu perkara. Ini kerana mereka lebih suka

berbincang, berdamai dan berbaik dengan orang lain.

D. Gambaran Masyarakat Mematuhi Peraturan Dan Adat.

Teromba

Teromba tergolong dalam kelompok puisi Melayu tradisional warisan Melayu dan

dikenali dengan nama- nama seperti terasul, tambo dan salasilah.Teromba sangat

terkenal dalam masyarakat Minang yang kuat berpegang kepada adat Perpatih.

Sesebuah teromba biasanya mengungkapkan gagasan pemikiran yang tinggi

berkenaan peraturan, nilai, adat dan hukum-hukum hidup bermasyarakat. Terdapat

banyak pengertian dalam teromba. Ada yang menyatakan teromba sebagai perbilang

adat, undang-undang yang tetap dan kata-kata adat (Mohd Yusof Md Nor, Abd Rahman

Kaeh,1996:xiii). Pendapat ini sangat rapat dengan budaya masyarakat Minang yang

berpegang teguh kepada adat Perpatih dalam kehidupan mereka. Dalam teromba itu

mencerminkan adat, nilai, aturan, hukum, undang-undang dan pegangan keagamaan

yang diamalkan oleh masyarakat berkenaan (Warna Sari Sastera Melayu

Tradisional,1996:xxviii). Sementara menurut Alisjahbana, teromba merupakan sejarah

atau tambo dalam susunan bahasa yang sudah turun temurun, biasanya dinyanyikan

13

Page 17: BMS 3013 Kesusasteraan & Kebudayaan Melayu Esei 1

(dlm. Edi Sedyawati,2004:225).

Merisik dalam adat istiadat perkahwinan:

Adalah saya bak kata orang,

kok ibarat umur baru bertukar muda,

pendapatan pun belum ada,

pandangan pun belum banyak,

pengalaman pun belum jauh,

kok darah belum setampuk pinang,

kok jalan kurang pasa,

kalau begitu kedatangan saya ni,

ibarat pergi ke huma,

singkap daun ambil buah,

adapun kedatangan saya ini sama-sama faham,

orang ke awak, awak ke orang,

semenda bersemenda,

kok ibarat dasar pusaka,

kok segar disiram,

kok putus kata di pangkal,

putus dengan dibagi,

duduk berperuntungan,

mati hukum Allah,

duduklah pula sepelarasan,

14

Page 18: BMS 3013 Kesusasteraan & Kebudayaan Melayu Esei 1

pandangan memandang satu nan lain,

iaitu bersuku-suku,

berapalah sukunya dua belas,

dua belas Muar dua belas Jempol,

enam Teraci enam Gunung Pasir,

kok selaman sepermainan,

kok sejamban seperulangan,

tapi dek hukum tak mengambil,

diharuskan pula semenda-menyenda.

Talibun

Definisi umum dalam Kamus Dewan (2005) menyatakan talibun ialah sejenis

puisi lama terdiri daripada empat baris, enam baris atau dua puluh baris yang bersajak

di hujungnya. Menurut Harun Mat Piah, et al (2000) talibun dikenali juga dengan nama

sesomba dan mempunyai bentuk yang hampir sama dengan prosa lirik atau prosa

berirama. Namun, talibun berlainan dengan prosa lirik dan prosa berirama sebab talibun

adalah sebahagian sahaja daripada cerita yang diambil prosa lirik. Begitu juga seloka,

talibun tidak mempunyai bentuknya tidak terikat (bebas). Prosa lirik biasanya

berperanan dalam cerita-cerita penglipur lara dan menceritakan keseluruhan isi cerita.

Sementara talidun merupakan sebahagian daripada isi cerita yang terdapat dalam

prosa lirik yang menjelaskan secara khusus tentang sesuatu perkara, contohnya

menjelaskan kehebatan seseorang pahlawan atau keindahan sesuatu tempat,

kejelitaan puteri raja dan sebagainya. Untaian talibun biasanya digunakan berulang kali

15

Page 19: BMS 3013 Kesusasteraan & Kebudayaan Melayu Esei 1

dalam konteks dan maksud yang sama dalam sesebuah cerita. Oleh yang demikian,

talibun itu sendiri adalah sebahagian daripada cerita berkenaan (Harun Mat Piah, et

al,2000:128). Talibun juga dikatakan mengandungi banyak persamaan dengan pantun,

kerana rangkap talibun terdiri daripada pembayang dan maksud. Tiga baris pertama

talibun adalah pembayang atau sampiran, manakala tiga baris akhir ialah isi atau

maksudnya (Edi Sedyawati,2004:213).

Menyahut panggilan apabila dipanggil ke istana:

Pukul tabuh larangan

Palu gong pelaung

Titir canang pemanggil

Yang capik datang bertongkat

Yang buta teraba-raba

Yang tuli leka bertanya

Yang kecil terambin lintang

Yang jarak tolak tolakan

Yang pendek bertinjau –tinjau

Yang kurap mengekor angin

Yang pekak pembakar meriam

Yang buta penghembus lesung

Yang lumpuh penghalau ayam

Yang pekung penjemuran

Yang kurap pemikul buluh.

16

Page 20: BMS 3013 Kesusasteraan & Kebudayaan Melayu Esei 1

Mantera

Mantera ialah sejenis puisi yang amat tua dalam kesusasteraan (Edi

Sedyawati,2004:211). Istilah mentera berasal daripada kata mantra, mantr atau matar

dalam bahasa Sanskrit bermaksud nyanyian memuja tuhan atau pemujaan penyebutan

kata-kata tertentu untuk memperolehi sesuatu yang diinginkan. Harun Mat Piah (2000)

menyebut mantera ialah jenis-jenis pengucapan yang mengandungi tujuan magis,

pengubatan dan perbomohan. Ujarnya lagi, mantera sama dengan jampi serapah,

tawar, sembur, cuca, puja, seru dan takal. Mentera juga dibaca pada waktu berburu,

menangkap ikan, mengumpulkan hasil hutan untuk membujuk hantu-hantu yang baik

dan menolak hantu-hantu yang jahat (Edi sedyawati,2004:211).

Keakraban masyarakat Melayu silam dengan alam sekitar membawa kepada

timbulnya kepercayaan-kepercayaan bahawa alam sekitar mempunyai pengaruh dan

kuasa yang menentukan sesuatu perkara dalam kehidupan mereka. Kepercayaan-

kepercayaan begini berkait rapat dengan pengaruh animisme yang diwarisi secara

turun temurun. Dari situ timbullah unsur-unsur kuasa magis seperti semangat dan roh

yang dianggap sebagai memberi kesan kepada sesuatu perkara. Mantera wujud

sebagai wahana penyampai sesuatu perkara yang diingini secara langsung kepada

elemen-elemen magis tersebut. Pada waktu sebelum kedatangan Islam, kepercayaan

kepada animisme sangat mempengaruhi cara hidup mereka, sampaikan segala yang

mereka lihat atau dengar berkesan di dalam hati. Mereka menganggap bahawa di

puncak gunung ada penghuni, di lautan ada kesaktian dan di mana-mana sahaja ada

penunggu, lalu semua itu mereka puja, memanggil dan nyanyikan, dari situ timbullah

17

Page 21: BMS 3013 Kesusasteraan & Kebudayaan Melayu Esei 1

mentera dukun dalam masyarakat Melayu (Hamka,1976:163).

Mantera merangkumi unsur-unsur pemujaan dan pengucapan yang

mengandungi konotasi magis. Pawang atau bomoh merupakan tokoh-tokoh penting

yang menguasai dan mengamalkan mantera. Merekalah yang mempunyai kaitan

secara langsung dengan unsur-unsur magis dalam setiap amalan perbomohan atau

pengubatan. Pawang atau bomoh membaca mantera dengan nada, irama dan tekanan

suara yang tertentu sesuai dengan tujuan perbomohan atau sesuatu perkara yang

diingini. Mantera tergolong dalam dalam kelompok puisi sebab pengucapan dalam

mantera menggunakan kata-kata yang tersusun dalam bentuk rangkap, mempunyai

makna yang tersirat, bahasa yang padat dan puitis. Mantera boleh digolongkan sebagai

sejenis puisi Melayu tradisional berbentuk bebas sebab tidak terikat kepada jumlah

baris yang sama dalam satu-satu rangkap, sementara rima akhirnya adalah tidak tetap.

Peribahasa Berangkap

Peribahasa termasuk dalam jenis puisi warisan Melayu dan paling banyak

ditemui dalam kesusasteraan Melayu tradisional. Peribahasa juga memperihatkan

keintiman masyarakat Melayu dahulu dengan alam sekitar. Pada ketika alat-alat moden

seperti yang ditemui pada abad ke-20 ini belum mereka kenal maka sungai yang airnya

mendesau dan bergelora, lembah yang dalam dan curam, gunung, harimau, buaya,

ringkasnya semua alat yang banyak mereka pergunakan seharian dan yang mereka

jumpai seharian menimbulkan kesan-kesan perbandingan dalam kehidupan mereka

(Gazali Dunia,1992:85).

Peribahasa juga dikenali dengan nama peribahasa berirama dan mempunyai

18

Page 22: BMS 3013 Kesusasteraan & Kebudayaan Melayu Esei 1

beberapa jenis pecahan kecilnya seperti bidalan, pepatah petitih, perbilangan,

perumpamaan, lidah pendeta, kias ibarat, dan tamsil. Jenis peribahasa ini tidak

termasuk dalam genre puisi kerana strukturnya bukan merupakan ungkapan atau kata-

kata berangkap tetapi dalam pustaka puisi Melayu tradisional terdapat sejumlah besar

peribahasa yang wujud dalam bentuk puisi (Mutiara Sastera Tradisional,2003:355).

Berdasarkan segi bentuk, peribahasa berangkap terbina dalam dua keratan yang

sejajar, baik dalam sebaris atau lebih. Bukan seperti pantun, baris-baris dalam

peribahasa tidak berkaitan antara satu sama lain.

Gambaran Mematuhi Peraturan Dan Adat:

Sejak dahulu lagi kita telah mendengar tentang adat Perpatih yang diamalkan

oleh masyarakat Minangkabau di negeri Sembilan. Malah adat Perpatih terus dipatuhi

dan diamalkan oleh masyarakat ini termasuklah masyarakat Melayu secara tidak

langsung. Sesebuah teromba biasanya mengungkapkan gagasan pemikiran yang tinggi

berkenaan peraturan, nilai, adat dan hukum-hukum hidup bermasyarakat dalam adat

Perpatih. Manakala talibun pula mengisahkan cerita pahlawan atau puteri yang patuh

kepada arahan rajanya.

Mantera yang diwarisi oleh masyarakat Melayu telah menggambarkan bahawa

masyarakat ini patuh dan menuruti peraturan serta pantang larang yang dinyatakan

oleh bomoh atau pawang dalam proses perubatan tradisional. Segala peraturan dan

pantang perlu dipatuhi dengan tujuan untuk mengelakkan musibah yang mungkin

dialami sekiranya mengingkari pantang tersebut. Malah masyarakat Melayu masih

percaya kepada kuasa magis yang terdapat dalam mantera sehingga ke hari ini. Begitu

19

Page 23: BMS 3013 Kesusasteraan & Kebudayaan Melayu Esei 1

juga dengan kepercayaan terhadap roh dan penunggu sesuatu benda dan tempat yang

digambarkan melalui peribahasa dan mantera.

E. Gambaran Masyarakat Beragama Islam.

Puisi Melayu Warisan Islam

Selain daripada karya puisi diwarisi daripada generasi masyarakat Melayu yang

lebih awal, ada juga karya-karya puisi yang terhasil daripada pengaruh agama Islam

dan tradisi sastera dari Parsi dan Arab. Karya-karya ini biasanya muncul setelah

kedatangan Islam ke Nusantara. Terdapat karya-karya puisi yang dihasilkan ini

dipengaruhi daripada karya puisi Arab atau Parsi baik dari segi isi dan fungsinya sahaja

serta ada juga mengambil pengaruh dari segi bentuk. Syair umpamanya mengambil

bentuk isi sedangkan bentuknya merupakan hasil kreativiti orang-orang Melayu sendiri.

Puisi dalam kumpulan ini ialah syair, rubai, qit’ah, nazam, masnawi, ghazal dan

barzanji. Selain itu, ada juga beberapa jenis karya puisi Melayu yang menumpang pada

bentuk puisi Arab/Parsi seperti endoi dan zikir yang disebut sebagai puisi tumpang.

Gambaran Beragama Islam:

Kedatangan Islam ke alam masyarakat Melayu telah membawa banyak

perubahan dan kemajuan terhadap masyarakat ini. Mereka telah meninggalkan

kepercayaan khurafat dan animisme masyarakat tradisional kepada masyarakat yang

mempunyai pegangan agama dan bertamadun. Ini jelas digambarkan melalui puisi-puisi

Melayu warisan Islam yang masih digunakan sehingga ke hari ini.

Aktiviti-aktiviti puisi warisan Jawi seperti syair, ghazal dan berzanji terus

diadakan sehingga ke hari ini oleh masyarakat Melayu sekarang. Pertandingan yang

20

Page 24: BMS 3013 Kesusasteraan & Kebudayaan Melayu Esei 1

berbentuk syair, ghazal dan berzanji turut dijalankan terutama di dalam bulan

Ramadhan yang mulia. Biasanya, aktiviti seperti ini diadakan di surau, masjid, dewan

dan sebagainya bagi meneruskan warisan tradisi zaman berzaman masyarakat Melayu.

F. Gamabaran Masyarakat Kreatif.

Puisi Melayu Tumpangan

Puisi tumpang merupakan nama yang diberikan kepada karya-karya puisi

Melayu tradisional yang tidak mempunyai ciri-ciri khusus, melainkan menumpang

bentuknya pada bentuk-bentuk puisi lain. Walaupun menumpang pada bentuk puisi

lain, karya puisi ini mendokong isi atau kandungan yang berlainan dengan isi kandung

puisi yang ditumpangnya. Ada beberapa jenis karya puisi yang dimasukkan dalam

kelompok puisi tumpang ini ialah rejang, endoi, teka-teki dan zikir/dikir. Teka-teki

misalnya menumpang bentuk pantun. Endoi pula menumpang bentuk syair. Walaupun

karya puisi ini menumpang pada bentuk pantun dan syair tetapi isinya berbeza

sama sekali.

Rejang

Rejang adalah puisi Melayu tradisional yang memiliki persamaan dengan

syair dan pantun. Ia dikatakan ada persamaan dengan puisi syair sebab setiap

rangkap mengandungi empat baris secara tetap. Namun rima akhirnya tidak tetap, tidak

seperti rima akhir syair yang tetap (a/a/a/a). Rejang ada persamaan dengan pantun

empat kerat sebab dua baris pertamanya ialah pembayang dan dua baris terakhirnya

ialah maksud. Bagaimanapun, dua baris pertama puisi rejang tidak berkaitan langsung,

tidak seperti pantun, dua baris pertamanya adalah berhubungan.

21

Page 25: BMS 3013 Kesusasteraan & Kebudayaan Melayu Esei 1

Endoi

Kata endoi berasal dari kata endul yang bermakna buaian iaitu tempat bayi tidur

(Mutiara Sastera Melayu Tradisional,2003:235). Puisi ini disampaikan dalam bentuk

berlagu seperti yang dipersembahkan dalam istiadat berendoi (Harun Mat

Piah,2004:10). Berendoi pula adalah suatu istiadat atau majlis yang diadakan untuk

meraikan kelahiran anak dalam sesebuah keluarga terutama selepas ibu anak

berkenaan telah melepasi tempuh pantang selama 40 hari.

Teka teki

Teka-teki pada dasarnya adalah ungkapan kata-kata yang bertujuan untuk

menguji minda dan ketangkasan berfikiran sambil berhibur. Teki-teki timbul dalam

bentuk pantun dua kerat, empat kerat, enam kerat dan juga lapan kerat. Berbeza

dengan puisi lain, teki-teki sangat popular dalam masyarakat Melayu hingga ke hari ini.

Menurut Harun Mat Piah, et al.2000:123) teka-teki salam sastera tradisional terbahagi

kepada dua bentuk utama iaitu prosa dan puisi. Ujarnya lagi, teka-teki yang termasuk

dalam bentuk puisi banyak ditemui dalam pantun dan syair atau dalam ungkapan puitis

yang lebih bebas seperti talibun, sesomba dan gurindam.

Zikir

Perkataan zikir berasal dari kata zikr dalam bahasa Arab yang bermaksud puji-

pujian terhadap Allah s.w.t. dan Rasul-Nya Nabi Muhammad s.a.w. Dari pandangan

agama, makna zikir bererti mengingati Allah. Tradisi zikir berkait dengan amalan agama

Islam terutama selepas solat lima waktu dan menjadi sebahagian dari suruhan Allah

yang sangat diberkati. Puisi ini dinamakan dikir kerana setiap ungkapan atau kata-kata

Page 26: BMS 3013 Kesusasteraan & Kebudayaan Melayu Esei 1

22

maksud atau isi puisi yang dipaparkan diselang-seli dengan kata-kata atau ungkapan

puji-pujian terhadap Allah s.w.t. dan Nabi Muhammad s.a.w. Pada permulaan puisi,

ungkapan puji-pujian (zikir) terhadap Allah s.w.t. dan puji-pujian terhadap Nabi

Muhammad s.a.w. (selawat) disusun sehingga membentuk satu rangkap yang

tersendiri. Rangkap ini diulang-ulang sehingga ada kalanya beberapa rangkap sebelum

rangkap sebelum rangkap isi (Mutiara Sastera Melayu Tradisional,2003:317).

Gambaran Kreatif:

Masyarakat Melayu yang kreatif memang jelas ditunjukkan melalui puisi Melayu

tumpangan ini. Kemahiran ini jelas sekali kerana masyarakat Melayu mampu

menghasilkan rejang yang mempunyai persamaan dengan syair dan pantun, endoi

yang menumpang bentuk syair, dan teka-teki yang menumpang bentuk pantun. Zikir

pula sebagai satu cara masyarakat Melayu yang beragama Islam untuk mendekatkan

diri mereka dengan Allah s.w.t. dan Nabi Muhammad s.a.w.

RUMUSAN

Kesusasteraan Melayu tradisional yang meliputii genre naratif dan non-naratif

membawa gambaran sebenarnya masyarakat Melayu zaman silam. Karya naratif yang

disampaikan dalam bentuk prosa menunjukkan pengaruh Hindu-Jawa dan animisme

yang agak ketara. Sementara unsur-unsur Islam pula telah memberikan suasana

baharu dalam kesusasteraan Melayu tradisional dan banyak berkembang dalam karya

non-naratif yang disampaikan dalam bentuk puisi. Namun pengaruh daripada

masyarakat Melayu itu sendiri tetap mengungguli sifat dan bentuk karya kesusasteraan

Melayu tradisional yang lebih kepada menyampaikan pendidikan moral dan kehalusan

Page 27: BMS 3013 Kesusasteraan & Kebudayaan Melayu Esei 1

23

budi pekerti anggota masyarakatnya.

Page 28: BMS 3013 Kesusasteraan & Kebudayaan Melayu Esei 1

24

RUJUKAN

Abdul Halim Ali (2006) Mendekati Puisi Melayu Tradisional. Tanjung Malim : Penerbitan

Profesional Baharu

Harun Mat Piah et al. (2000). Puisi Melayu Tradisional. Kuala Lumpur. Dewan Bahasa

dan Pustaka

Liaw Yock Fang.(1993).Sejarah Kesusasteraan Melayu Klasik.Jakarta.Penerbit

Erlangga.

Majlis Peperiksaan Malaysia (2003) Mutiara Sastera Melayu Tradisional. Kuala Lumpur

: Dewan Bahasa dan Pustaka

Muhammad Haji Salleh (2000) Puitika Sastera Melayu. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa

dan Pustaka.

Mutiara Sastera Tradisional,(2003). Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka.

Page 29: BMS 3013 Kesusasteraan & Kebudayaan Melayu Esei 1

25