bab i

11

Click here to load reader

Upload: muhammad-bin-razali

Post on 15-Dec-2015

15 views

Category:

Documents


1 download

DESCRIPTION

Penguasaan ICT Dalam Kalangan Pelajar Luar bandar

TRANSCRIPT

Page 1: BAB I

BAB I

PENDAHULUAN

1.1 Pengenalan

Perkembangan yang pesat dalam bidang sains dan teknologi pada abad ke-21 telah

menyaksikan dunia mengalami satu fenomena baru yang dinamakan sebagai era

teknologi maklumat dan komunikasi atau information technology and

communication (ICT). Melalui perkembangan ini, setiap aspek dalam kehidupan

manusia tidak dapat lari dari dikaitkan dengan penggunaan ICT. Keadaan ini secara

tidak langsung menggambarkan bahawa ICT memainkan peranan penting dalam

membantu meningkatkan tahap kualiti kehidupan manusia ke arah yang lebih baik.

Pengintegrasian ICT dalam kehidupan manusia dapat dilihat dengan kemajuan yang

dicapai dalam pelbagai bidang seperti ekonomi, kesenian, pendidikan, perubatan,

pelancongan, pentadbiran dan sebagainya.

ICT dapat dijelaskan sebagai teknologi yang membantu penyampaian

maklumat seperti radio, televisyen, telefon mudah alih, komputer, internet dan

sebagainya (Irfan & Nurullizam, 2011). Secara umum ICT juga dapat dijelaskan

sebagai peralatan telekomunikasi yang digunakan untuk mendapatkan maklumat

dengan lebih luas dan cepat. Penggunaan peralatan ini dapat membantu manusia

untuk mendapatkan maklumat dengan pantas dan berhubung sesama manusia di

seluruh dunia tanpa mengira batasan sempadan negara . Menurut Kozma (Ng, 2002),

Page 2: BAB I

asas penting dalam era ICT ialah komponen teknologi maklumat dan komunikasi

yang terdiri daripada sistem, kandungan, infrastruktur, aplikasi dan

perkhidmatannya. Gabungan daripada komponen-komponen inilah yang

membolehkan teknologi maklumat dan komunikasi dapat berfungsi dengan lebih

cepat sebagaimana yang digunakan oleh manusia sekarang.

Menyedari hakikat bahawa ICT mampu memberi faedah yang besar dalam

membangunkan ekonomi sesebuah negara, maka negara-negara maju telah

mengambil kesempatan dari revolusi sains dan teknologi yang sedang melanda dunia

global. Bagi negara maju khususnya di barat seperti Amerika Syarikat (US), United

Kingdom (UK) dan Perancis, mereka telah berjaya menjadikan ICT sebagai

penyumbang utama kepada proses pembangunan dan kemajuan negara. Mereka juga

telah berjaya membudayakan ICT dalam kehidupan masyarakat melalui penggunaan

komputer serta peralatan-peralatan ICT yang lain dalam kehidupan seharian.

Langkah utama yang dilaksanakan di Amerika Syarikat ialah dengan

mengintegrasikan ICT dalam sistem pendidikan. Para pelajar di US telah diberikan

pendedahan tentang penggunaan ICT bermula dari peringkat awal persekolahan

mereka (Debashree Mukherjee, 2012). Penggunaan komputer dalam sistem

pendidikan telah berjaya meningkatkan minat para pelajar untuk belajar dan

menjadikan proses pembelajaran lebih menarik. Ibu bapa juga juga memberi

pendedahan tentang penggunaan ICT terhadap anak-anak mereka seawal usia dua

hingga tiga tahun lagi. Selain itu, ICT juga turut digunakan dalam bidang-bidang lain

seperti perindustrian yang menyaksikan banyak teknologi moden dihasilkan untuk

membantu meningkatkan hasil pengeluaran negara.

Kerajaan Amerika Syarikat juga telah mengambil langkah dengan mewujudkan

pusat ICT komuniti bagi memastikan bahawa rakyatnya tidak ketinggalan dan dapat

menikmati kemudahan ICT yang disediakan. Antaranya ialah dengan mewujudkan

Rural Information Technology Employment Link (RITE Link) yang dibangunkan

dengan usahasama University of South Dakota pada Januari, 1996. Penubuhan pusat

ICT ini bertujuan untuk membangunkan masyarakat luar bandar di South Dakota

sebagai masyarakat yang mempunyai kemahiran yang tinggi dalam ICT bagi

menampung kekurangan 1.5 juta pekerja dalam sektor ICT di negara tersebut (Noor

Sharifah, 2004).

Page 3: BAB I

United Kingdom pula telah mewujudkan satu inisiatif baru yang dinamakan

sebagai National Grid for Learning (NGfL). Inisiatif NGfL diwujudkan bagi tujuan

memperbaiki mutu ICT yang sedia ada di sekolah serta meningkatkan piawai

pendidikan melalui penyediaan isi kandungan pendidikan yang berkualiti tinggi dan

juga bahan-bahan sumber lain bagi tujuan pendidikan (Davis, 2001). Selain dari itu

banyak lagi negara-negara yang mengadakan pelbagai inisiatif teknologi bagi tujuan

meningkatkan ICT dalam proses pengajaran dan pembelajaran (P&P) serta bidang

pendidikan disamping melahirkan pelajar yang memiliki kemahiran dalam bidang

teknologi.

Malaysia juga tidak ketinggalan dalam mengambil kesempatan ke atas revolusi

yang sedang melanda arus global ini. Sebagai sebuah negara membangun yang

sedang menuju untuk menjadi sebuah negara maju menjelang tahun 2020, Malaysia

memainkan peranan aktif bagi membudayakan ICT dalam kalangan masyarakatnya.

Pelbagai usaha dan langkah telah diambil oleh kerajaan dalam memastikan hasil dari

kemajuan dalam bidang sains dan teknologi ini dapat dikecapi oleh semua rakyat

tanpa mengira latar belakang politik, ekonomi mahupun sosial. Keadaan ini terbukti

apabila Nokia Siemens Netwoks Connectivity Scorecard 2010 mengiktiraf Malaysia

sebagai negara yang tertinggi dalam kalangan 25 negara yang terlibat dalam

pemasangan dan penggunaan teknologi maklumat dan komunikasi.

Kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM3.7 bilion dalam Belanjawan

2013 bagi tujuan ICT dan lain-lain bidang yang dimasukkan di bawah program

latihan dan kemahiran. Melalui program ini, kerajaan menyasarkan agar dapat

melahirkan tenaga kerja profesional dan berbakat di dalam industri yang terpilih.

Kerajaan juga telah menganjurkan pelbagai program seperti Medan Info Desa

sebagaimana yang telah diwujudkan di Kampung Setia Kuang, Selangor. Ia

bertujuan memberikan pendedahan dan meningkatkan maklumat tentang ICT kepada

masyarakat luar bandar. Program ini merupakan kerjasama di antara MIMOS dengan

Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah yang bertujuan untuk merapatkan

jurang digital di negara ini (Mazmalek, 2010).

Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) juga turut terlibat dalam usaha

kerajaan untuk memastikan penguasaan ICT dalam kalangan rakyat Malaysia dapat

dicapai. Justeru beberapa perubahan kurikulum telah dibuat oleh pihak KPM. KPM

telah memperkenalkan ICT dalam pendidikan sebagai satu daripada fokus utama

Page 4: BAB I

dalam Pembangunan Pendidikan Zaman Dasar Wawasan Negara 2001-2010 (KPM,

2001). Bermula bermula dari sini, KPM telah melaksanakan pelbagai projek ICT

dengan membekalkan komputer kepada semua sekolah diseluruh Malaysia.

Pengintegrasian ICT dalam pendidikan ini bertujuan untuk memastikan penggunaan

komputer secara berkesan dalam sesuatu kurikulum dengan membernarkan pelajar

mengaplikasikan komputer dengan cara yang bermakna (Norizan & Raja Maznah,

2004).

1.2 Pernyataan Masalah

Revolusi dalam bidang sains dan teknologi yang melanda dunia pada akhir abad ke-

20 ternyata memberi kesan yang cukup hebat terutamanya terhadap bidang

pendidikan negara. Perkembangan ini secara tidak langsung telah mempercepatkan

era globalisasi dan ianya menjadi trend yang tidak dapat dibendung lagi. Menyedari

hakikat ini, maka KPM telah menyediakan segala keperluan seperti sistem aplikasi

dan insfrastruktur ICT bagi mewujudkan sistem pengurusan yang cekap dan

berkesan (Nor Izah & Norazah, 2008). Memandangkan komputer merupakan

sebahagian dari komponen ICT yang dapat membantu menyelesaikan pelbagai

urusan, maka KPM telah mengambil langkah yang drastik dengan memperluaskan

penggunaan ICT di sekolah-sekolah seluruh Malaysia .

Perkembangan tersebut jelas menunjukkan peri pentingnya penguasaan ICT di

era global ini. Pada zaman ini, segala bentuk pekerjaan yang ingin dilakukan sering

dikaitkan dengan ICT. Dalam bidang pendidikan, para pelajar juga perlu menguasai

ICT agar matlamat untuk melahirkan masyarakat yang bermaklumat dan berfikiran

global dapat dicapai. Chin Yoon Poh (2009) menegaskan bahawa penguasaan ICT

amat penting walaupun pada peringkat asas dalam pengendalian perisian dan

perkakasan komputer untuk menghasilkan satu proses pembelajaran yang berkesan.

Persaingan penguasaan ICT juga telah wujud dalam sistem pendidikan apabila

perkembangan sains dan teknologi melanda dunia dan menjadikan dunia tanpa

sempadan.

Page 5: BAB I

Peranan turut dimainkan oleh KPM bagi memastikan agenda negara untuk

melahirkan generasi yang celik ICT dapat dicapai sepenuhnya menjelang tahun 2020.

Pelbagai program telah dilaksanakan bagi tujuan ini. Antara langkah yang diambil

oleh KPM ialah dengan memperluaskan penggunaan ICT di sekolah-sekolah seluruh

negara (KPM, 2005). Antara program yang telah dilaksanakan ialah Projek

Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI)

yang diperkenalkan pada tahun 2003. Antara lain lagi ialah program Pembestarian

Sekolah yang bermula pada tahun 2006. Program-program ini melibatkan

sepenuhnya penggunaan ICT dalam proses P&P. Melalui cara ini, para pelajar

terpaksa membiasakan diri mereka dengan penggunaan ICT.

Dalam konteks penggunaan ICT, para pelajar perlu mempunyai sikap yang

positif untuk membolehkan mereka menguasai kemahiran ICT sekurang-kurangnya

tentang pengetahuan asas dalam penggunaan ICT. Dalam kajian yang telah dilakukan

terdahulu mendapati bahawa untuk menguasai sesuatu teknologi yang baru,

seseorang perlu mempunyai sikap yang positif terhadapnya. Ini termasuklah

keberkesanan kendiri serta keyakinan terhadap penggunaan peralatan teknologi

tersebut. Melalui sikap positif , para pelajar akan dapat memotivasikan diri mereka

untuk mencuba dan menggunakan ICT dengan lebih baik. Sama ada

menggunakannya di sekolah, rumah atau tempat-tempat lain.

Bagi memastikan pembudayaan ICT dalam kalangan pelajar dapat

direalisasikan, kerajaan Malaysia melalui Rancangan Malaysia Ke-9 (2006-2010)

menyatakan bahawa prasana ICT yang mencukupi akan diagihkan kepada semua

institusi pendidikan di negara ini termasuklah pelaksanaan kurikulum ICT dalam

pembelajaran, pengintegrasian ICT dalam pengajaran dan pembelajaran (P&P) serta

memperbaiki kemudahan dan kelengkapan ICT dari semasa ke semasa. Namun

mengikut laporan Nurul Farhana (2010) dalam laporan akhir tesis Ijazah Sarjana

Pendidikan yang dilakukan, mendapati bahawa kebolehcapaian ICT terhadap pelajar,

terutamanya bagi mereka yang tinggal di kawasan luar bandar masih lagi berada

pada tahap rendah (Noor Sharifah, 2004).

Pelajar yang berada dalam kawasan bandar lebih terdedah kepada penggunaan

ICT dalam kehidupan mereka. Tahap kebolehcapaian peralatan ICT juga amat tinggi

berbanding dengan pelajar di kawasan luar bandar. Keadaan ini turut memberi kesan

terhadap pembelajaran pelajar. Mengikut satu kajian yang telah dijalankan di sebuah

Page 6: BAB I

sekolah di Korea mendapati bahawa para pelajar yang terdedah kepada penggunaan

ICT mempunyai dorongan belajar yang tinggi (Im, 2006). Para pelajar di sana

menghabiskan masa yang lama menggunakan komputer dalam kehidupan seharian

mereka. Mereka juga mampu mencapai keputusan peperiksaan yang baik berbanding

pelajar yang tidak menggunakan ICT. Keadaan ini menunjukkan perbezaan ketara

antara tahap pencapaian pelajar bandar dan luar bandar dari segi pencapaian

akademik berdasarkan penguasaan dalam ICT.

Namun persoalan yang perlu dirungkaikan bersama ialah apakah tahap

penguasaan ICT dalam kalangan pelajar sekolah menengah rendah luar bandar ini

dapat ditingkatkan dan apakah langkah-langkah yang perlu diambil untuk

menyelesaikan permasalahan ini. Menyedari hakikat ini, maka kajian satu dijalankan

bagi mengenal pasti apakah tahap penguasaan pelajar sekolah menengah rendah di

kawasan luar bandar dalam penggunaan ICT.

1.3 Tujuan Kajian

Menyedari hakikat bahawa betapa pentingnya para pelajar menguasai ICT,

khususnya yang bersekolah di kawasan luar bandar. Maka satu kajian akan

dijalankan terhadap para pelajar yang berada diperingkat sekolah menengah rendah

di tiga buah sekolah dalam daerah Pasir Puteh, Kelantan. Sekolah yang terlibat ialah

Sekolah Menengah Kebangsaan Padang Pak Amat, Sekolah Menengah Kebangsaan

Bukit Abal dan Sekolah Menengah Kebangsaan Selising. Kajian ini bertujuan untuk

mengenalpasti tahap penguasaan ICT dalam kalangan pelajar sekolah menengah

rendah di kawasan luar bandar melalui tiga aspek utama iaitu sikap pelajar terhadap

ICT, tahap pengetahuan dan kesan juga penggunaan ICT terhadap pencapaian

akademik.

1.4 Objektif Kajian

Page 7: BAB I

Tujuan kajian dilakukan adalah untuk mengenalpasti penguasaan ICT dalam

kalangan pelajar sekolah menengah rendah luar bandar. Penguasaan ICT dalam

kalangan pelajar sekolah menengah rendah luar bandar ini dikaji dari aspek sikap,

pengetahuan dan juga pencapaian akademik para pelajar peringkat menengah rendah

di tiga buah sekolah dalam daerah Pasir Puteh Kelantan. Sekolah yang terlibat ialah

Sekolah Menengah Kebangsaan Padang Pak Amat, Sekolah Menengah Kebangsaan

Bukit Abal dan Sekolah Menengah Kebangsaan Selising. Objektif kajian ini adalah

seperti berikut:

i. Mengenal pasti sikap pelajar menengah rendah di luar bandar terhadap

penggunaan ICT dalam proses pembelajaran.

ii. Mengenal pasti tahap pengetahuan ICT dalam kalangan pelajar

menengah rendah di luar bandar.

iii. Mengenal pasti samada penggunaan ICT dalam kalangan pelajar di

luar bandar dapat membantu meningkatkan tahap pencapaian

akademik.

1.5 Persoalan Kajian

Permasalahan yang timbul daripada kepentingan perkara tersebut ialah :

i. Apakah sikap pelajar menengah rendah di luar bandar terhadap

penggunaan ICT dalam proses pembelajaran?

ii. Apakah tahap pengetahuan ICT dalam kalangan pelajar menengah

rendah di luar bandar?

iii. Adakah penggunaan ICT dalam kalangan pelajar di luar bandar dapat

membantu meningkatkan tahap pencapaian akademik?

1.7 Kepentingan Kajian

Adalah diharapkan dapatan kajian ini dapat memberi gambaran sebenar tentang

tahap penguasaan ICT dalam kalangan pelajar menengah rendah di luar bandar

Page 8: BAB I

dengan melihat dari segi sikap pelajar terhadap ICT, tahap pengetahuan pelajar

tentang ICT dan juga kesan penggunaan ICT terhadap pencapaian akademik pelajar.

Walaupun kajian ini terhad kepada tiga buah sekolah sahaja namun dapatan kajian

dijangka dapat memberi petunjuk yang jelas tentang penguasaan ICT dalam kalangan

pelajar sekolah menengah rendah di luar bandar. Dapatan kajian ini boleh membantu

pihak-pihak yang terlibat, khususnya KPM untuk memahami situasi sebenar yang

dialami oleh para pelajar di luar bandar dan seterusnya mencari jalan bagi

meningkatkan penguasaan ICT dalam kalangan mereka. Disamping itu, kajian ini

juga diharapkan dapat membantu pihak kerajaan untuk mencari jalan merapatkan

jurang digital yang ketara antara masyarakat bandar dan luar bandar.

1.8 Batasan Kajian

Kajian ini mempunyai batasan-batasan yang tertentu. Antara batasan tesebut ialah

dari segi lokasi di mana kajian ini dijalankan di tiga buah sekolah yang dikategorikan

sebagai sekolah luar bandar. Keduanya dari segi sampel kajian yang mana seramai

170 orang pelajar diperingkat sekolah menengah rendah telah dipilih untuk menjadi

responden kajian. Batasan ketiga ialah penyelidik terpaksa mengedarkan borang soal

selidik kepada para pelajar kerana instrumen yang digunakan adalah berbentuk soal

selidik. Penyelidik juga terrpaksa memfokuskan skop kajian kepada mencari

maklumat tentang sikap pelajar terhadap ICT, tahap pengetahuan tentang ICT dan

kesan penggunaan ICT terhadap pencapaian akademik. Kajian ini tidak boleh

digenerelisasikan untuk semua keadaan. Dapatan kajian ini hanya releven pada aspek

tempat dan kumpulan yang dikaji sahaja.

1.9 Definisi Istilah

ICT

ICT merupakan singkatan daripada information and communication tecnology atau

dalam bahasa melayunya adalah teknologi maklumat dan komunikasi. Mengikut

Page 9: BAB I

Kamus Dewan (2005), teknologi bermaksud aktiviti atau kajian yang menggunakan

pengetahuan sains untuk tujuan praktis dalam industri, pertanian, perubatan,

perniagaan dan lain-lain. Maksud maklumat ialah makluman, pemberitahuan atau

pengumuman manakala komunikasi pula bermaksud perhubungan sama ada secara

langsung atau degan menggunakan perantaraan surat, radio mahupun telefon dan lain-

lain.

Teknologi Maklumat boleh ditakrifkan sebagai sebarang kaedah yang

digunakan untuk memindah, menyebar dan memapar maklumat. Teknologi Maklumat

dan Komunikasi boleh diringkaskan sebagai satu proses pengaliran, penyebaran,

pemprosesan dan penyimpanan maklumat menggunakan perantaraan teknologi.

Teknologi maklumat tidak terhad kepda internet dan komputer sahaja tetapi ia juga

melibatkan televisyen, telefon, telefon mudah alih, fax, telegram, PDA dan sistem

satelit dalam menyampaikan maklumat kepada penerima.

ICT bermaksud teknologi maklumat dan komunikasi iaitu semua elemen

teknologi yang boleh membuat penyimpanan, pemprosesan dan mempersembahkan

maklumat secara elektronik melalui media. ICT juga bermakna penggunaan kemajuan

teknologi moden sebagai alat pemangkin perkembangan dunia pendidikan melalui

teknologi maklumat yang melalui ruang maya atau apa-apa media penyebaran dan

penyampaian maklumat sama ada dalam bentuk audio, video dan data (Mohd Arif &

Rosnaini 2008).

Pelajar

Pelajar atau murid adalah merujuk kepada individu yang sedang mengikuti proses

pendidikan di sesebuah institusi. Mengikut Akta Pelajaran 1966, murid atau pelajar

ialah seseorang individu tanpa mengira peringkat umurnya yang sedang menjalani

mengikuti proses pendidikan atau latihan di sesuatu institusi pendidikan.

Sekolah

Sekolah merupakan sebuah tempat dimana terdapat sepuluh orang ataupun lebih

daripada jumlah tersebut mendapat pendidikan. Bilangan kelas bagi sebuah sekolah

tidak terbatas pada sebuah kelas sahaja. Bagaimanapun definisi ini tidak termasuk

kepada mana-mana tempat pengajarannya yang terbatas kepada pengajaran sesebuah

Page 10: BAB I

agama semat-mata. Definisi ini adalah sebagaimana yang termaktub di dalam Akta

Pelajaran 1966 iaitu :

“sekolah” ertinya tempat di mana sepuluh orang atau lebih lazimnya diajar sama ada

di dalam satu kelas atau lebih, tetapi tidak termasuk mana-mana tempat yang

pengajarannya terbatas kepada pengajaran mana-mana agama semata-mata;

Manakala sekolah menengah pula dimaksudkan sebagai sekolah yang

menyediakan pendidikan peringkat menengah yang sesuai dengan murid atau pelajar

yang baru sahaja menamatkan pengajian mereka di peringkat pendidikan rendah atau

sekolah rendah.

Menengah Rendah

Pendidikan menengah ertinya pendidikan yang terdiri daripada dua peringkat iaitu

pendidikan menengah rendah dan menengah atas. Pendidikan menengah rendah ialah

peringkat pendidikanyang melalui kursus selama tiga tahun dan ianya hendaklah

sesuai dengan seseorang murid atau pelajar yang telah tamat mengikuti pendidikan di

sekolah rendah (Akta Pendidikan 1966).

Luar Bandar

Kawasan bandar ditakrifkan sebagaimana yang telah digunakan bagi Banci Penduduk

dan Perumahan 2000. Kawasan bandar ialah kawasan yang diwartakan serta kawasan

tepu bina yang bersempadan dengannya dan gabungan kedua-dua kawasan ini

mempunyai penduduk seramai 10,000 orang atau lebih semasa Banci Penduduk dan

Perumahan 2000 (Jabatan Perangkaan Malaysia, 2010). Kawasan selainnya yang

diwartakan dan mempunyai jumlah penduduk kurang daripada 10,000 orang serta

kawasan yang tidak diwartakan, dikelaskan sebagai luar bandar.

Department for Environment, Food and Rural Affairs (Defra), United

Kingdom, sebuah agensi luar negara pula mendifinisakan luar bandar sebagai :

“The rural definition consists of two parts:

Page 11: BAB I

a) the settlement morphology comprising all places under 10,000 population

comprising small (rural) towns, villages and scattered dwellings; and

b) the wider geographic context in which individual settlements are located i.e.

whether the wider area is defined as being „sparsely‟ populated or not.”

1.10 Kesimpulan

Penggunaan ICT dalam Pendidikan Syariah Islamiyyah dilihat sebagai satu proses

memperkasakan matapelajaran tersebut. Ianya seiring dengan perkembangan

teknologi dan minat pelajar yang telah berubah. Kaedah pengajaran tradisional yang

berpusatkan pelajar dan bahan bantu mengajar yang pegun serta kurang menarik

merupakan faktor pelajar kurang berminat terhadap matapelajaran Pendidikan

Syariah Islamiyyah. Maka ianya dapat mempengaruhi sikap, motivasi, pencapaian

dan penghayatan pelajar melalui perubahan tingkahlaku pelajar yang dapat

diperhatikan. Justeru itu, semua pihak perlu memandang ICT dari sudut positif dalam

meningkatkan keberkesanan penggunaannya dalam proses P&P.

Chin Yoon Poh. 2009. Teknologi dalam Pengajaran dan Pembelajaran untuk

Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan. Kumpulan Budiman Sdn. Bhd :

Kuala Lumpur.

Mohd Arif Ismail & Rosnaini Mahmud (pnyt.). 2008. Pengintegrasian Teknologi

Maklumat dan Komunikasi (TMK) dalam pembestarian sekolah. Bangi :

Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia.