gaya pembelajaran-assignment individu
TRANSCRIPT
PENGENALAN.
Dalam proses pengajaran dan pembelajaran, seseorang murid cenderung untuk mempunyai
gaya tertentu. Pembelajaran boleh berlaku melalui pelbagai cara kerana cara pengamatan dan
pemerosesan maklumat yang berlaku pada manusia adalah berbeza-beza. Sesetengah individu
hanya boleh melihat sesuatu secara konkrit manakala sesetengah individu boleh melihat
sesuatu secara abstrak. Ini bermakna setiap individu mempunyai gaya pembelajaran yang
tersendiri.
Gaya pembelajaran secara umumnya merujuk kepada cara atau stail pembelajaran
seseorang individu. Dalam konteks psikologi pendidikan, gaya pembelajaran merupakan
suatu cara bagaimana seseorang pelajar itu memberi tumpuan atau mengambil tindakan
dalam usaha untuk memproses dan memperolehi maklumat, ilmu, atau pengalaman yang
baru.
Menurut Dunn (1980), gaya pembelajaran ialah cara seseorang pelajar memproses
serta mengekalkan maklumat baru. Gaya pembelajaran bergantung kepada ciri-ciri biologi
dan perkembangan sahsiah seseorang dan ia dipengaruhi oleh persekitaran, emosi, pengaruh
sosial serta perasaan individu. Akibatnya, sesuatu pengajaran boleh jadi berkesan bagi
seorang pelajar tetapi tidak berkesan bagi pelajar yang lain kerana gaya pembelajaran mereka
berbeza.
Renzulli and Smith (1978) mentakrifkan gaya pembelajaran sebagai satu bidang
strategi pengajaran yang mana pelajar cuba menuntut pembelajaran. Mereka berpendapat
bahawa pelajar dapat belajar dengan lebih berkesan sekiranya pengajaran guru selari dengan
gaya pembelajaran pelajar. Dengan ini, penyesuaian dalam pengajaran perlu dilakukan untuk
melayani gaya pembelajaran pelajar.
Kolb (1985) dapat menggambarkan empat model pembelajaran yang asas hasil
daripada gabungan pengalaman pelajar dan keperluan persekitaran. Beliau berpendapat
bahawa dalam proses pembelajaran, semua pelajar yang berkesan perlu berkebolehan dalam
aspek pengalaman konkrit (concrete experience), pemerhatian reflektif (reflective
observation), konseptualisasi abstrak (abstract conceptualization) dan eksperimentasi aktif
(active experimentation).
Keefe (1987) berpendapat bahawa gaya pembelajaran merangkumi tiga aspek, iaitu
kognitif, afektif dan psikologikal. Gaya kognitif melibatkan pememprosesan maklumat, gaya
afektif melibatkan tindak balas yang berasaskan motivasi manakala gaya psikologikal bersifat
tabiat yang berkaitan dengan unsur-unsur seks, kesihatan dan alam sekitar. Beliau
mentakrifkan pembelajaran sebagai satu proses dalaman dan berpendapat bahawa
pembelajaran hanya berlaku apabila terdapatnya perubahan tabiat sama ada secara kekal atau
sementara bagi seseorang individu.
Beberapa perspektif dan dimensi gaya pembelajaran yang berlainan telah dikemukakan oleh
pakar pendidik dan pengkaji dalam masa setengah abad yang lepas. Terdapat model-model
gaya pembelajaran yang mengambil kira dimensi personaliti (Wilkin, 1954; Myers, 1978),
ada yang memfokuskan pemprosesan maklumat (Schmeck, 1983; Kolb, 1984), ada yang
membawa dimensi interaksi sosial pelajar (Reichmann & Grasha, 1974) dan ada juga model-
model yang multi-dimensi dan menekankan kecenderungan cara pengajaran dan
kecenderungan persekitaran (Keefe,1989; Dunn & Dunn, 1978). Dengan ini, banyak
instrumen telah digubal dan banyak kajian telah dijalankan untuk mengenal pasti gaya
pembelajaran pelajar dengan harapan pembelajaran yang berkesan boleh diadakan. Dapatan-
dapatan kajian juga membantu para pendidik memahami terdapatnya perbezaan gaya
pembelajaran di kalangan pelajar dan memberi kesedaran bahawa sebenarnya tidak ada satu
cara yang unggul untuk menjalankan pengajaran.
2. MODEL PEMBELAJARAN DUNN DAN DUNN.
Dunn dan Dunn (1982) telah menghuraikan beberapa faktor yang boleh mempengaruhi gaya
pembelajaran seseorang. Mereka telah menyenaraikan lima rangsangan yang mempengaruhi
gaya pembelajaran iaitu persekitaran, emosi, sosial, fisiologi, dan psikologi. Unsur-unsur
tersebut merupakan faktor-faktor yang memainkan peranan penting dalam pembentukan
pelbagai jenis gaya pembelajaran murid.
2.1 Rangsangan Persekitaran.
Apa yang dikategorikan sebagai rangsangan persekitaran merangkumi empat unsur
utama iaitu cahaya, bunyi, suhu, dan reka bentuk tempat belajar. Kadar terangnya cahaya
menjadi faktor penting yang boleh mempengaruhi gaya pembelajaran. Walaupun kebanyakan
dari kita selesa belajar dengan kadar pencahayaan yang terang tetapi tidak mustahil juga ada
di antara kita yang lebih suka belajar dalam suasana yang malap. Begitu juga dengan unsur
bunyi yang mampu menghasilkan gaya pembelajaran yang beranika jenis. Misalnya terdapat
murid yang suka belajar dengan diiringi alunan muzik, atau tidak kisah jika belajar dengan
pelbagai bunyi yang terhasil di persekitaran, namun ada juga dikalangan murid yang hanya
boleh memberi tumpuan terhadap pembelajaran dalam suasana yang sunyi tanpa sebarang
bunyi.
Unsur suhu seperti yang dinyatakan oleh Dunn dan Dunn, turut boleh mempengaruhi
gaya pembelajaran seseorang. Suhu yang sejuk dan nyaman dikatakan dapat
mempertingkatkan keberkesanan pembelajaran. Ramai murid yang tidak suka atau tidak
selesa belajar dalam keadaan cuaca yang panas tanpa kipas atau alat penghawa dingin.
Manakala unsur reka bentuk tempat belajar pula boleh mempengaruhi gaya pembelajaran
melalui susun atur kerusi dan meja dalam bilik darjah sama ada selesa ataupun tidak. Susun
atur yang selesa boleh mempertingkatkan keberkesanan pembelajaran. Tempat duduk yang
selesa boleh mengurangkan keletihan murid sepanjang tempoh pembelajaran.
2.2. Rangsangan Emosi.
Rangsangan emosi mempunyai perkaitan yang rapat dengan perasaan seseorang.
Elemen yang terkandung dalam rangsangan emosi temasuklah motivasi, keazaman, sikap
tanggungjawab, dan juga struktur. Elemen motivasi boleh dibahagikan kepada motivasi
intrinsik dann juga motivasi ekstrinsik. Motivasi intrinsik merupakan sesuatu yang datang
dari dalam diri murid itu sendiri. Seseorang yang mempunyai motivasi intrinsik yang kuat
boleh belajar dengan inisiatif sendiri tanpa mengharapkan orang lain. Manakala pelajar yang
mempunyai motivasi ekstrinsik hanya akan belajar apabila disuruh atau diarahkan oleh orang
lain.
2.3 Rangsangan Sosial.
Rangsangan sosial diwakili oleh unsur-unsur kendiri, pasangan, rakan sebaya,
pasukan, guru, dan pelbagai cara. Unsur kendiri merujuk kepada seseorang yang suka belajar
bersendirian, manakala, unsur pasangan pula melibatkan gaya pembelajaran secara
berpasangan. Bagi murid yang hanya suka belajar dengan rakan sebaya sahaja, mereka
memperlihatkan kewujudan unsur rakan sebaya. Begitu juga dengan unsur pasukan, di mana
seseorang murid itu selesa belajar secara berpasukan. Terdapat juga di kalangan murid yang
gemar berbincang dengan guru dan tidak kurang di kalangan murid yang boleh belajar dalam
mana-mana unsur seperti yang telah disebutkan sebelum ini.
2.4 Rangsangan Fizikal.
Ramai penyelidik berpendapat bahawa apabila pelajar diajar mengikut kecenderungan gaya
pembelajaran masing-masing, pencapaian akademik mereka akan meningkat secara
signifikan. Disebabkan itu, Dunn, et al. (1990), berpendapat adalah tidak patut sekiranya
satu-satu gaya pembelajaran seperti belajar secara berkumpulan dipaksa ke atas semua
pelajar. Ini kerana langkah sedemikian boleh menjejaskan pencapaian pelajar yang
mempunyai kecenderungan yang tinggi terhadap gaya yang lain. Selain pembelajaran dari
segi akademik, kajian lain menunjukkan peningkatan yang signifikan dalam sikap dan
perlakuan pelajar apabila gaya pengajaran guru dipadankan dengan gaya pembelajaran
pelajar. (Brown, 1978; Cafferty, 1980; Della Valle, 1984; Dunn, 1980; Krimsky, 1982;
Murrain, 1983; Pizzo, 1981 dan Shea, 1983). Semasa ditemubual tentang gaya pembelajaran,
Dunn (1990) berpendapat bahawa pelajar dengan tahap akademik yang berlainan boleh
menunjukkan peningkatan
JURNAL PENDIDIKAN TIGAENF 1999/2000 JILID 2: BIL. 3
45
yang signifikan dalam pencapaian akademik apabila gaya pengajaran guru
disesuaikan dengan gaya pembelajaran pelajar. Pelajar juga boleh menunjukkan
sikap positif terhadap persekolahan selepas mereka ditunjuk cara belajar dengan
mengambil kira kecenderungan gaya pembelajaran mereka. Misalnya, Model
Gaya Pembelajaran Dunn telah digunakan sebagai satu program dalam pengajaran
dan pembelajaran di Center for Educating Students with Handicaps in Regular
Education Settings (CESHRES), North Carolina, USA. Program ini telah memberi
kesan yang positif terhadap pelajar-pelajar pendidikan khas. Selain daripada itu,
Dunn (1990) juga melaporkan bahawa pelajar-pelajar pencapaian rendah
pembelajaran di Center for Slow Learners, Richardson, Texas juga menunjukkan
kejayaan tinggi setelah diberi pengajaran berdasarkan gaya pembelajaran mereka.