bab 2

12
19 BAB 2 TEORI OBJEKTIF BAB Setelah mempelajari bab ini, anda akan boleh: 1. Mentakrifkan makna teori. 2. Membandingkan teori, konsep dan model. 3. Membezakan teori induktif dan deduktif. 4. Mengenal pasti proses penyelidikan dan pembentukan teori. 2.1 PENGENALAN Dalam bab ini kita akan membincangkan pembangunan dan peranan teori dalam penyelidikan komunikasi. Para saintis mengandaikan bahawa teori ialah kebenaran dan berhubung kait dengan lima deria iaitu penglihatan, pendengaran, sentuhan, rasa dan bau. Ia menggabungkan penemuan dan membina satu cabang ilmu yang kolektif mengenai bagaimana dunia berfungsi. Para saintis yakin bahawa apabila sesuatu kebenaran ditemui, ia akan diiktiraf sebagai kebenaran sepanjang zaman. Saintis berpendapat bahawa teori yang baik sebagai mencerminkan alam semula jadi dan sebagai model realiti yang tidak akan berubah sehingga keadaan berubah. Mereka juga berpendapat bahawa teori memberi penerangan dan hubungan berkenaan konsep yang berbeza dan tidak semua teori mampu memberi penjelasan, penerangan, penilaian dan ramalan yang sama. Justeru, bab ini akan menerangkan takrifan teori, perbezaan teori, konsep dan model, fungsi teori serta proses pembentukan teori. 2.2 TAKRIFAN TEORI Apakah yang dimaksudkan dengan teori? Teori didefinisikan sebagai suatu konstruksi manusia menerangkan fenomena mengikut sudut pandangan tertentu. Ia juga merupakan kenyataan yang mengandungi konsep untuk memerihal, menerang, meramal atau memahami dan mengawal, serta membina semula sesuatu penjelasan tentang fenomena yang diamati (Cragan dan Shields, 1998).

Upload: amir-dgreat

Post on 16-Dec-2015

25 views

Category:

Documents


4 download

DESCRIPTION

titas

TRANSCRIPT

  • 19

    BAB 2

    TEORI

    OBJEKTIF BAB

    Setelah mempelajari bab ini, anda akan boleh: 1. Mentakrifkan makna teori. 2. Membandingkan teori, konsep dan model. 3. Membezakan teori induktif dan deduktif. 4. Mengenal pasti proses penyelidikan dan pembentukan teori.

    2.1 PENGENALAN Dalam bab ini kita akan membincangkan pembangunan dan peranan teori dalam penyelidikan komunikasi. Para saintis mengandaikan bahawa teori ialah kebenaran dan berhubung kait dengan lima deria iaitu penglihatan, pendengaran, sentuhan, rasa dan bau. Ia menggabungkan penemuan dan membina satu cabang ilmu yang kolektif mengenai bagaimana dunia berfungsi. Para saintis yakin bahawa apabila sesuatu kebenaran ditemui, ia akan diiktiraf sebagai kebenaran sepanjang zaman. Saintis berpendapat bahawa teori yang baik sebagai mencerminkan alam semula jadi dan sebagai model realiti yang tidak akan berubah sehingga keadaan berubah. Mereka juga berpendapat bahawa teori memberi penerangan dan hubungan berkenaan konsep yang berbeza dan tidak semua teori mampu memberi penjelasan, penerangan, penilaian dan ramalan yang sama. Justeru, bab ini akan menerangkan takrifan teori, perbezaan teori, konsep dan model, fungsi teori serta proses pembentukan teori. 2.2 TAKRIFAN TEORI Apakah yang dimaksudkan dengan teori? Teori didefinisikan sebagai suatu konstruksi manusia menerangkan fenomena mengikut sudut pandangan tertentu. Ia juga merupakan kenyataan yang mengandungi konsep untuk memerihal, menerang, meramal atau memahami dan mengawal, serta membina semula sesuatu penjelasan tentang fenomena yang diamati (Cragan dan Shields, 1998).

  • 20

    Menurut Griffin (1997) teori merupakan peta kebenaran bagi jawapan sementara yang dibentuk berdasarkan persoalan mengenai sesuatu fenomena. Manakala Kerlinger (1973) berpendapat bahawa teori ialah himpunan konsep, takrifan dan definisi yang berkait dan memberi gambaran secara sistematik mengenai fenomena dengan menjelaskan hubungan antara pemboleh ubah. Tujuannya ialah untuk menerangkan dan meramalkan fenomena tersebut. Saya harap anda mendapat gambaran mengenai takrifan teori. Mungkin anda mempunyai pandangan lain mengenai definisi teori. Anda boleh senaraikan definisi teori mengikut pandangan anda dan ia akan dibincangkan bersama saya di perjumpaan akan datang.

    Bolehkah anda kemukakan beberapa andaian yang boleh dijadikan teori sebagai panduan untuk anda menjalanikehidupan seharian.

    2.3 PERBANDINGAN TEORI, KONSEP DAN MODEL Menurut Syed Arabi (1998) teori mempunyai beberapa peranan dan ciri. Antara peranan teori ialah (i) Penerangan Suatu teori yang baik dapat menerangkan sebab

    berlakunya sesuatu fenomena. Dengan menggunakan teori yang relevan, seorang penyelidik dapat menerangkan kaitan antara dua atau lebih konsep.

    (ii) Penjelasan Teori dapat menjelaskan sebab wujudnya sesuatu fenomena dengan menyatakan konsep yang terdapat dalam teori berkenaan.

    (iii) Ramalan Jika sekiranya kita mendapati berlaku suatu fenomena dan dapat pula memperincikan beberapa konsep dalam fenomena tersebut maka kita boleh meramalkan bahawa fenomena tersebut akan berlaku pada masa depan andainya terdapat konsep yang berkenaan dalam teori kita.

    (iv) Pengawalan penyelidikan Teori mendorong seseorang penyelidik membuat sesuatu bentuk kajian. Jika sesuatu teori tidak dapat dipertahankan lagi, maka penyelidik tersebut akan menjauhkan diri daripada melakukan kajian atau cuba memperkenalkan konsep lain

  • 21

    dalam usaha memastikan teori tersebut. Jika teori dinyatakan sebagai telah diuji maka sarjana akan lebih berminat untuk memperincikan konsep terdapat dalam teori tersebut.

    Teori juga mempunyai ciri-ciri tertentu. Antara cirinya ialah

    (i) Teori merupakan suatu kenyataan yang bersifat tetap dan

    konsisten. Ini bermakna pertalian antara pemboleh ubah yang dinyatakan dalam teori itu tidak berubah daripada satu kajian lain yang bertujuan menerangkan, menjelaskan atau meramalkan berlakunya sesuatu fenomena.

    (ii) Bagi menerangkan fenomena yang sama tidak seharusnya berlaku percanggahan antara satu teori dengan teori yang lain. Jika sesuatu teori bercanggah dengan teori lain, ini akan menimbulkan lebih banyak persoalan daripada penjelasan.

    (iii) Teori perlu dinyatakan dengan mudah, sempurna dan jelas tentang sesuatu. Lebih terperinci sesuatu teori, maka lebih tinggi kemungkinan teori itu diterima oleh para ahli sains sosial.

    (iv) Teori hendaklah mengandungi konsep yang membolehkan pengkaji membuat ujian. Suatu teori yang baik bermakna ia telah diuji dan sentiasa pula akan diuji. Oleh itu, teori ialah suatu kenyataan yang tidak muktamad kerana ia sentiasa diuji.

    Sementara itu, konsep ialah satu bentuk pernyataan atau takrifan. Konsep merupakan pernyatan yang dapat menjelaskan ciri sesuatu perkara. Malahan ia membantu, membentuk dan memahami situasi. Konsep dalam komunikasi mengandungi elemen seperti sumber, penerima, mesej, saluran, maklum balas, gangguan dan persekitaran.

    Sumber ialah lokasi atau tempat yang berlaku ketika proses komunikasi. Ia melibatkan sama ada individu, kumpulan atau sesiapa sahaja yang memulakan komunikasi dengan membentuk mesej. Contohnya, media massa seperti televisyen, radio, surat khabar dan sebagainya menjadi sumber bagi khalayak memperoleh maklumat. Dalam situasi krisis misalnya, jurucakap organisasi akan dikenali sebagai sumber.

    Penerima merupakan individu, kumpulan atau orang ramai yang merupakan sasaran mesej (Narimah dan Saodah, 2002). Bergantung pada jenis komunikasi, penerima boleh terdiri daripada seorang manusia, sebilangan kecil manusia, sekelompok manusia atau khalayak yang ramai. Penerima lazimnya bukan hanya mereka yang mendengar ungkapan sumber atau menyaksikan perlakuannya malah mereka yang boleh

  • 22

    bertindak balas terhadap mesej yang disalurkannya. Misalnya komunikasi organisasi, penerima boleh terdiri daripada staf atau pekerja, rakan sekerja atau pihak pengurusan. Mesej pula merupakan gagasan idea dan perasaan yang dikongsi bersama antara sumber dan penerima. Mesej boleh disampaikan dalam pelbagai bentuk dan tujuan. Contohnya, seorang guru menyampaikan informasi mengenai pengajaran kepada pelajar, kaunselor memberikan khidmat nasihat kepada remaja yang bermasalah, wartawan menulis artikel di akhbar dan lain-lain lagi. Mesej yang disampaikan mengikut situasi dan keperluan khalayak. Mesej bukan hanya boleh terbentuk dalam keadaan lisan tetapi juga bukan lisan seperti bahasa isyarat dan bahasa badan. Menurut Amundson, 1993 (dalam Devito, 2000), hasil kajian menunjukkan 93 peratus daripada mesej disampaikan secara bukan lisan manakala hanya tujuh peratus sahaja melalui lisan. Bahasa isyarat seperti pukulan beduk menandakan waktu sembahyang bagi orang Islam, asap digunakan oleh kaum Red Indian di Amerika dan lain-lain lagi.

    Bahasa badan turut digunakan untuk menyampaikan mesej. Ia bertujuan untuk memberikan penekanan terhadap maksud sesuatu mesej. Sebagai contoh melalui mimik muka seseorang, kita dapat menilai sama ada individu berkenaan sedang marah, gembira, sedih, sakit dan sebagainya. Selain itu, pergerakan tangan, badan, gaya berpakaian, pergerakan mata dan penggunaan ruang juga menunjukkan mesej tertentu.

    Mesej berada dalam dua keadaan iaitu secara tersurat dan tersirat. Mesej yang disampaikan secara tersurat sering digunakan ketika memberi penerangan dan penjelasan seperti di bilik darjah, dewan kuliah dan mahkamah. Namun begitu, mesej tersirat banyak digunakan oleh sasterawan dalam penghasilan syair, pantun dan sebagainya. Mesej tersirat memerlukan penelitian terlebih dahulu sebelum membuat interpretasi makna.

    Saluran merupakan usaha sumber menghantar mesejnya yang sudah diolah. Simbol yang telah diolah akan diungkapkan jika sumber mahu menyampaikan mesejnya secara lisan, dicatatkan jika sekiranya mesej mahu disampaikan dalam bentuk lukisan, digayakan jika mahu disampaikan melalui tarian atau digambarkan sekiranya mahu disampaikan secara visual. Lazimnya, jika di tempat kerja, pihak pengurusan akan menyalurkan mesej dalam bentuk lisan seperti mengeluarkan arahan dalam perhimpunan dan sebagainya. Acap kali juga mesej disalurkan secara bukan lisan seperti menulis surat pekeliling, surat

  • 23

    arahan, memo, mel elektronik dan sebagainya. Komunikator juga boleh memilih untuk menyampaikan mesejnya secara bersemuka seperti dalam perbincangan, penasihatan dan kaunseling (Abdul Muati, 2003).

    Maklum balas ialah tindak balas atau respons penerima terhadap mesej yang diterimanya. Dengan kata lain maklum balas ialah maklumat yang diberi oleh penerima kepada sumber berdasarkan mesej yang telah diterimanya. Maklum balas daripada penerima dirangka untuk meneruskan aliran maklumat antara kedua-dua belah pihak. Apabila sumber menerima maklum balas, dia akan menggunakan maklumat itu untuk memandu ungkapan atau perlakuan seterusnya. Tanpa maklum balas komunikasi mungkin akan terhenti atau rosak, terutama apabila penerima tidak mendapat maklumat yang cukup. Penerima akan membuat tafsiran atau kesimpulan sendiri berdasarkan andaian. Kerap kali andaian begini tersasar dan tidak memenuhi apa yang dihasratkan oleh sumber.

    Gangguan pula melibatkan apa sahaja yang terdapat dalam persekitaran yang menggugat penghantaran dan penerimaan mesej. Kedua-dua pihak komunikator hendaklah bekerja keras mengatasi gangguan ini. Umpamanya sumber hendaklah bercakap lebih kuat dan penerima hendaklah memberi sepenuh tumpuan kepada ungkapan sumber. Gangguan terbahagi kepada dua iaitu gangguan fizikal dan gangguan psikologikal. Gangguan fizikal biasanya datang dari alam sekeliling komunikator seperti bunyi bising enjin kenderaan, suara orang lain berbual, bunyi alat pendingin hawa, bunyi mesin, jentera dan sebagainya. Gangguan psikologikal pula terdapat dalam minda komunikator sendiri seperti tidak mampu memberikan tumpuan fikiran, berkhayal, menganggap mesej tidak mustahak dan sebagainya.

    Persekitaran ialah tempat sesuatu komunikasi berlaku. Seseorang individu sentiasa melakukan proses komunikasi dalam persekitarannya. Dalam erti kata lain proses komunikasi tidak boleh berlaku dalam keadaan vakum. Sebagai contoh, seorang pensyarah memberi pengajaran di dewan kuliah, menonton televisyen di restoran, perbincangan di bilik mesyuarat dan sebagainya.

    Dalam proses komunikasi, persekitaran membantu kepada pembentukan komunikasi berkesan. Misalnya, perjalanan program seminar memerlukan penyediaan kelengkapan dan peralatan yang lengkap. Antaranya kemudahan hawa dingin, mikrofon, teknologi komputer, alat pandang dengar serta perabot yang selesa membolehkan mesej disampaikan tanpa gangguan terutamanya gangguan fizikal. Namun, tidak dapat dinafikan

  • 24

    kadang kala berlakunya gangguan dalam persekitaran yang dipilih oleh sumber. Oleh itu, sumber harus memilih persekitaran yang selesa bagi khalayak untuk menerima dan memahami mesej yang disampaikan. Bagi konsep model pula, ia ialah satu gambaran simbolik mengenai sesuatu fenomena atau satu rajah mengenai teori atau kerangka konsep. Sesuatu model memberi tumpuan pada struktur atau kandungan dalam sesuatu fenomena atau konsep dan perkaitan antaranya. Kesemua ini dipersembahkan dalam bentuk rajah.

    Kadang kala istilah model digunakan secara bertukar ganti dengan teori (Bell, 1990). Kedua-duanya ialah cara untuk menjelaskan kerangka konsep (conceptual framework). Namun model sering kali menggunakan analogi untuk menggambarkan sesuatu fenomena secara visual atau grafik. Oleh itu, model bertujuan membantu menjelaskan dan menfokus pada isu-isu penting mengenai sesuatu fenomena yang dikaji.

    Cuba lakarkan model proses komunikasi yang berlakudalam kursus yang sedang anda ikuti.

    2.4 PENDEKATAN INDUKTIF DAN DEDUKTIF Bahagian ini berhubung kait dengan pendekatan induktif dan deduktif. Penerangan meliputi definisi, proses dan peranan pendekatan induktif dan deduktif dalam pembentukan teori. 2.4.1 Pendekatan Induktif Pendekatan induktif ialah satu proses logik yang memberi penjelasan umum berdasarkan pemerhatian spesifik. Dalam pendekatan induktif penyelidik bermula dengan satu set dapatan kajian atau hasil kajian dari sesebuah penyelidikan dan berusaha untuk membangunkan satu penjelasan teoritikal daripada hasil tersebut (Baxter dan Babbie, 2004). Dalam erti kata lain, pendekatan induktif ialah berdasarkan kepada pemerhatian terhadap sesuatu kes menggambarkan sesuatu teori atau set prinsip. Contoh persoalan kajian yang dihasilkan berasaskan model indukti ialah penyelidik mendapati bahawa remaja kerap menggunakan Short Messaging Service (SMS) di mana-mana sama ada di perpustakaan, dalam kelas, semasa berjalan, menaiki kereta dan lain-lain lagi. Ini membuatkan penyelidik tertanya-tanya mengapa remaja menggunakan SMS? Berapa kerap remaja menggunakan SMS?. Pemerhatian seumpama ini boleh menghasilkan persoalan kajian yang berasaskan logik induktif.

  • 25

    Pendekatan induktif ialah penyelidik mencari satu kes dan memerhatikan perkaitannya. Seterusnya penyelidik akan memerhatikan perkaitan yang serupa itu dalam beberapa kes yang lain. Akhir sekali penyelidik akan membentuk satu teori yang umum untuk menjelaskan perkaitan dalam semua kes yang telah diperhatikan. 2.4.2 Pendekatan Deduktif Dalam pendekatan deduktif, penyelidik akan memulakan kajiannya dengan menguji sesuatu teori untuk menjelaskan sesuatu pemerhatian. Dengan itu penyelidik akan mengumpul data mengenai sesuatu kes dan menggunakan teori tersebut untuk menjelaskan data yang diperoleh. Pendekatan deduktif pula menggunakan satu proses logik yang bermula dengan kesimpulan yang umum dan membuat ramalan berdasarkan pengujian terhadap pemerhatian yang spesifik. Ia bermula daripada persoalan umum kepada pernyataan yang khusus. Persoalan kajian dihasilkan berasaskan pada model deduktif (iaitu pengetahuan mengenai prinsip umum) membolehkan penyelidik membuat ramalan atau menggunakannya pada satu-satu kes yang spesifik. Ciri-ciri deduktif menggariskan wujudnya satu pola yang boleh diandaikan secara logik atau berasaskan teori pemerhatian ke pola yang diandaikan itu akan diuji, sama ada ia wujud ataupun tidak. Dengan yang demikian penyelidikan berkenaan ialah berdasarkan pada teori atau hipotesis. Selepas data dikumpulkan, dapatan kajian itu akan digeneralisasikan pada satu populasi yang besar.

    Sebagai contoh, andaikan seorang majikan ingin mengetahui peratusan pekerjanya yang menggunakan komunikasi ketika menjalankan tugas. Setelah menjalankan kajian penyelidik mendapati bahawa 80 peratus daripada pekerja menggunakan komunikasi ketika menjalankan tugas. Jika penyelidik mengandaikan bahawa lebih daripada separuh pekerja menggunakan komunikasi supaya kerja menjadi efektif berdasarkan pada data itu, maka penyelidik telah menggunakan logik deduktif dalam membuat kesimpulan terhadap data itu. Ini bererti dalam pendekatan deduktif, penyelidik akan memulakan proses penyelidikan dengan sesebuah teori mengenai sesuatu tingkah laku, kemudian akan membentuk strategi penyelidikan dan mengumpul data untuk menguji teori tersebut. Rajah 2.1 menggambarkan perkaitan antara pendekatan induktif dan deduktif.

  • 26

    Rajah 2.1 Perkaitan antara Induktif dan Deduktif

    Fikirkan tentang fenomena komunikasi masyarakat Malaysia kini. Apakah teori-teori yang boleh dibina berdasarkan pendekatan induktif dan deduktif.

    2.5 PROSES PENYELIDIKAN DAN PEMBENTUKAN TEORI Anda harus ingat bahawa penyelidikan ialah suatu susunan pengalaman secara sistematik, yang digunakan oleh para sarjana bagi mencari jawapan kepada persoalan komunikasi atau fenomena lain yang berkaitan. Oleh itu, elok kita lihat apakah proses penyelidikan yang kita perlu lalui bagi mendapatkan jawapan kepada persoalan fenomena komunikasi.

    Menurut Miller dan Nicholson (1976) setiap proses penyelidikan dimulakan dengan pertanyaan soalan-soalan. Penyelidikan yang dijalankan dapat menjawab soalan dengan cara teratur dan sistematik. Menurut Littlejohn (1996) yang bersetuju dengan pandangan Miller dan Nicholson (1976) iaitu seseorang yang ingin menjalankan penyelidikan perlu bertanya soalan-soalan seperti, Apakah fenomena tersebut? Bagaimana harus kita namakan sesuatu fenomena? atau bertanya soalan-soalan berkaitan dengan nilai estetika perkara yang kita perhatikan seperti, Adakah fenomena yang berlaku memberi kesan?. Adakah perkara tadi tepat? Sebagai contoh, Kenapa komunikasi di tempat kerja penting? Apakah hubungan komunikasi berkesan dengan pengurusan pentadbiran dalam organisasi?.

    Teori

    Induktif Deduktif

    Pengumpulan data

    Induktif Deduktif (Bermula dengan data) (Bermula dengan teori)

    Penyelidik

  • 27

    Peringkat kedua proses penyelidikan ialah pemerhatian iaitu melihat secara objektif perkara yang dikaji. Kaedah pemerhatian yang digunakan berbeza mengikut kesesuaian kajian yang dijalankan oleh penyelidik. Ada yang berminat mengkaji rekod dan artifak, ada yang melibatkan diri dalam pemerhatian, ada yang menggunakan peralatan dan uji kaji yang terkawal, dan ada yang membuat kajian tinjauan menggunakan soal selidik atau borang temu bual. Semua kaedah yang digunakan dirancang bagi mendapatkan jawapan kepada persoalan yang dibentuk pada tahap pertama. Contoh, membuat soal selidik dan edar kepada pasangan yang mendirikan rumah tangga untuk mengetahui keberkesanan komunikasi dalam mengekalkan keharmonian rumah tangga.

    Peringkat ketiga ialah membentuk jawapan. Pada peringkat ini, para penyelidik cuba memberi definisi, menerang dan menjelaskan bagi membuat pertimbangan. Contohnya, hasil kajian yang dianalisis menunjukkan kerap berkomunikasi dan berbincang antara pasangan menjadikan hubungan lebih intim. Kaitan antara tiga peringkat dalam proses penyelidikan ini dapat dilihat seperti dalam Rajah 2.2.

    Rajah 2.2 menunjukkan setiap peringkat berkait dengan peringkat-peringkat lain dan saling mempengaruhi antara satu sama lain. Pemerhatian merangsang persoalan-persoalan baru. Teori pula dapat dicabar oleh pemerhatian dan persoalan. Teori juga dapat menjurus pada persoalan-persoalan baru dan sebahagian pemerhatian dikenal pasti sebagai teori. Ini dapat dilihat daripada proses pembentukan teori.

    Rajah 2.2

    Peringkat dalam Proses Penyelidikan

    Persoalan

    Teori Pemerhatian

    Suatu teori ialah persoalan atau kenyataan sementara berkenaan sesuatu fenomena komunikasi yang perlu kita uji sebelum mendapat jawapan. Selepas suatu teori dibentuk, teori masih lagi diuji sehingga kepastian dapat dibuat. Proses menguji teori ialah proses penyelidikan. Tanpa penyelidikan kita tidak dapat membentuk teori yang mantap dan umum bagi menerangkan pelbagai aspek komunikasi.

  • 28

    Saya harap anda mendapat gambaran mengenai proses penyelidikan dan pembentukan teori. Ia penting kerana dalam penyelidikan teori memainkan peranan penting. Teori mempunyai hubung kait dalam penyelidikan.

    SOALAN DALAM TEKS

    1. Apakah yang dimaksudkan dengan teori? 2. Apakah ciri-ciri teori? 3. Bagaimanakah teori dibentuk dalam penyelidikan?

    Semak jawapan anda di akhir bab ini.

    Pada pendapat anda, adakah teori diperlukan dalam sesebuah penyelidikan?

    Griffin, E. (1997). A first look at communication theory (3rd

    ed.). New York: McGraw-Hill. Littlejohn, S.W. (1996). Theories of human communication (5th

    ed.). New York: Wadsworth.

    2.6 RUMUSAN Bab ini telah menjelaskan definisi dan peranan teori. Teori menerangkan, mengawal, membina semula sesuatu penjelasan mengenai fenomena. Dalam proses penyelidikan, peranan teori diperlukan. Terdapat tiga peringkat dalam proses penyelidikan. Antaranya ialah mengemukakan soalan, membuat pemerhatian atau mengumpul data dan akhirnya membuat penjelasan, pertimbangan atau menghasilkan teori. Diharapkan perbincangan dalam bab ini dapat membantu anda untuk mengikuti Bab 3 dan seterusnya yang membincangkan secara terperinci mengenai pendekatan teori komunikasi dari segi strukturalisme, fungsionalisme, kritikal dan budaya.

  • 29

    SOALAN PENILAIAN KENDIRI

    1. Apakah fungsi teori? 2. Bincangkan elemen-elemen komunikasi yang wujud dalam proses

    komunikasi. 3. Bandingkan pendekatan indukti dan deduktif dalam penyelidikan.

    Semak jawapan anda di akhir bab ini.

    JAWAPAN SOALAN DALAM TEKS 1. Teori didefinisikan sebagai suatu konstruksi manusia menerangkan

    fenomena mengikut sudut pandangan tertentu. Ia juga kenyataan yang mengandungi konsep untuk memerihal, menerang, meramal atau memahami dan mengawal serta membina semula sesuatu penjelasan tentang fenomena yang diamati.

    Teori merupakan peta kebenaran bagi jawapan sementara yang dibentuk berdasarkan persoalan mengenai sesuatu fenomena. Malah teori merupakan himpunan konsep, takrifan dan definisi yang berkait dan memberikan gambaran secara sistematik mengenai fenomena dengan menjelaskan hubungan antara pemboleh ubah. Tujuannya ialah untuk menerangkan dan meramalkan fenomena tersebut.

    2. Ciri-ciri teori

    (i) Teori merupakan suatu kenyataan yang bersifat tetap dan konsisten. Ini bermakna pertalian antara pemboleh ubah yang dinyatakan dalam teori itu tidak berubah daripada satu kajian lain yang bertujuan menerangkan, menjelaskan atau meramalkan berlakunya sesuatu fenomena.

    (ii) Bagi menerangkan fenomena yang sama tidak seharusnya berlaku percanggahan antara satu teori dengan teori yang lain. Jika sesuatu teori bercanggah dengan teori lain, ini akan menimbulkan lebih banyak persoalan daripada penjelasan.

    (iii) Teori perlu dinyatakan dengan mudah, sempurna dan jelas tentang sesuatu. Lebih terperinci sesuatu teori, maka lebih tinggi kemungkinan teori itu diterima oleh para ahli sains sosial.

  • 30

    (iv) Teori hendaklah mengandungi konsep yang membolehkan pengkaji membuat ujian. Suatu teori yang baik bermakna ia telah diuji dan sentiasa pula akan diuji. Oleh itu, teori ialah suatu kenyataan yang tidak muktamad kerana ia sentiasa diuji.

    3. Proses pembentukan teori dalam penyelidikan

    Peringkat pertama dalam proses penyelidikan dimulakan dengan bertanya soalan. Penyelidikan yang dijalankan dapat menjawab soalan dengan cara teratur dan sistematik. Peringkat kedua proses penyelidikan ialah pemerhatian iaitu melihat secara objektif perkara yang dikaji. Kaedah pemerhatian yang digunakan berbeza mengikut kesesuaian penyelidikan. Kaedah kajian yang digunakan perlu dirancang bagi mendapatkan jawapan kepada persoalan yang dibentuk pada tahap pertama. Peringkat ketiga ialah membentuk jawapan. Pada peringkat ini, para penyelidik cuba memberi definisi, menerang dan menjelaskan bagi membuat pertimbangan. Kaitan antara tiga peringkat dalam proses penyelidikan ini dapat dilihat seperti berikut: Menerusi rajah yang dipaparkan setiap peringkat berkait dengan peringkat-peringkat lain dan saling mempengaruhi antara satu sama lain. Pemerhatian merangsang persoalan-persoalan baru. Teori pula dapat dicabar oleh pemerhatian dan persoalan. Teori juga dapat menjurus kepada persoalan-persoalan baru dan sebahagian pemerhatian dikenal pasti sebagai teori. Ini dapat dilihat daripada proses pembentukan teori. Suatu teori ialah persoalan atau kenyataan sementara berkenaan sesuatu fenomena komunikasi yang perlu kita uji sebelum mendapat jawapan. Selepas suatu teori dibentuk, teori masih lagi diuji sehingga kepastian dapat dibuat. Proses menguji teori ialah proses penyelidikan. Tanpa penyelidikan kita tidak dapat membentuk teori yang mantap dan umum bagi menerangkan pelbagai aspek komunikasi.

    Peringkat dalam Proses Penyelidikan

    Persoalan

    Teori Pemerhatian