refleksi big ceramah

Upload: jesse-owens

Post on 14-Jan-2016

32 views

Category:

Documents


0 download

DESCRIPTION

hi

TRANSCRIPT

REFLEKSINAMA: LIM CHEN CHING (921012-12-6302)OPSYEN: PISMP PSV SEMESTER 6 AMBILAN JAN 2012Saya berasa bersyukur kepada Tuhan kerana dengan limpah kurnia-Nya, saya dapat mengikuti program ceramah Bina Insan Guru (BIG) Fasa 6 dengan baik dan lancar tanpa sebarang kecelakaan. Di sini saya juga ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua guru pelatih PISMP semester 6 ambilan Januari 2012 yang bekerjasama bagi menjayakan program BIG bagi fasa terakhir ini.

Program BIG pada kali ini telah diadakan pada 13 Oktober 2014 bertempat di Dewan Wawasan IPGKKB. Terdapat dua individu yang telah dijemput untuk menyampaikan dua tajuk ceramah iaitu Dr. Hjh. Zunoriah Mohamed dan Encik Tengku Abdullah B. Tengku Ismail. Seminar pada kali ini telah dibahagikan kepada dua bahagian iaitu slot ceramah yang pertama bermula dari jam 8 pagi hingga 10 pagi manakala slot ceramah yang kedua pula adalah dari jam 11 pagi sehinggalah jam 1 tengah hari. Slot ceramah yang pertama telah disampaikan oleh Dr. Hjh. Zunoriah dengan tajuk ceramah Guru dan Inovasi. Banyak input dan pengetahuan baharu yang didapati melalui ceramah tersebut dan salah satunya adalah berkaitan dengan bagaimana guru mampu membuat perubahan kepada sekolah dan juga sistem pendidikan dengan berfikiran kreatif dan inovatif. Inovatif bermaksud kemampuan dalam membuat transformasi ataupun mencipta sesuatu yang baharu sama ada dalam bentuk semasa ke arah penjanaan dan perkembangan minda yang lebih dinamik. Sifat sebegini dapat dijadikan sebagai suatu aspirasi dalam profesion keguruan. Sepertimana yang telah disampaikan oleh Dr., gaya pengajaran dan pembelajaran (PdP) Chalk and Talk lapuk dan tidak mampu menarik perhatian murid terutama sekali kepada generasi Y. Guru yang bersifat statik dan membosankan akan menyebabkan murid cepat hilang perhatian dan ilmu juga tidak dapat diserap dengan baik. Sistem pendidikan pada masa kini memerlukan guru menjadi pembimbing kepada murid supaya mereka mempunyai kemahiran berfikir, menyelesaikan masalah, berkomunikasi dan berkolaborasi. Oleh itu, amat penting bagi guru untuk membuat inovasi dan transformasi dari segi PdP supaya pembelajaran murid menjadi lebih berkesan.

Melalui ceramah pertama ini juga Dr. telah menyatakan bahawa guru perlu berani dalam menyahut cabaran semasa dan menghadapinya dengan positif dan terbuka. Ini kerana ia merupakan suatu langkah terbaik dalam menimba ilmu dan kemahiran untuk penyuburan dan pemantapan diri dalam usaha mengaplikasikan kemahiran-kemahiran ini dalam bilik darjah. Justeru, imaginasi telah memainkan peranan yang penting dalam proses mencerna minda murid. Inovasi tidak semestinya menghasilkan sesuatu objek ataupun benda-benda maujud tetapi juga boleh diaplikasikan di dalam gaya penyampaian seseorang guru. Cara penyampaian dan penyoalan guru yang kreatif dan inovatif semestinya mampu membantu membuka minda murid dan berfikir di luar kotak di mana murid boleh memberikan pandangan ataupun pendapat seluas mungkin tanpa dihadkan. Dari situ, murid dilatih untuk berfikir secara global dan mampu mengaitkan dengan isu dalam pembelajaran dan seterusnya mengaplikasikan pengetahuan tersebut di dalam kehidupan seharian. Selaras dengan tema hari guru tahun 2014 iaitu Guru Pencetus Kreativitim Penjana Inovasi, guru merupakan individu yang berada di barisan utama dalam melahirkan modal insan berkualiti. Guru perlu membuat perubahan selaras dengan peredaran zaman dengan membuat penambahbaikan dalam proses PdP seperti memasukkan unsur multimedia dan memperbanyakkan pembelajaran yang berteraskan inkuiri diri dan pengalaman sebenar. Oleh itu, apa yang telah disampaikan oleh Dr. Hjh. Zunoriah amatlah berguna dan membantu saya untuk membuka minda dengan lebih luas dan memandang berat daya kreativiti dan inovasi di dalam diri untuk membuat perubahan ke dalam sistem pendidikan Negara.

Seterusnya, slot ceramah yang kedua telah disampaikan oleh Encik Tengku Abdullah B. Tengku Ismail dengan tajuk ceramahnya Budaya Guru Cemerlang. Guru merupakan individu yang bertanggungjawab bukan sahaja untuk menyampaikan ilmu pengetahuan kepada murid, tetapi juga memikul tugas mendidik murid untuk membentuk insan yang seimbang dan harmonis dari segi jasmani, emosi, rohani, intelek dan sosial. Guru yang cemerlang bukan sahaja dilihat pada gaya pengajarannya yang berkesan tetapi juga mempunyai personaliti yang mampu dijadikan sebagai tauladan kepada orang lain. Sepertimana yang telah disampaikan oleh Encik Abdullah, seseorang guru yang cemerlang akan mempunyai beberapa personaliti yang baik seperti gaya komunikasi yang baik, pengurusan kerja yang teratur, mempunyai kemahiran melayan, menunjukkan komitmen yang tinggi terhadap tugas dan lain-lain. Personaliti yang baik amat penting dalam diri seseorang guru kerana ia merupakan suatu aset penting supaya murid mampu mengikuti dan menghormati guru yang mengajarnya. Semasa dalam sesi PdP, guru boleh memasukkan unsur kecindan supaya murid tidak berasa bosan dan tertarik. Guru juga perlu pandai bercerita dan memberikan dorongan untuk merangsang pemikiran dan minda murid yang lebih luas. Ini kerana, guru yang tidak menunjukkan sifat profesionalisme keguruan di hadapan muridnya tidak akan mampu untuk menarik perhatian murid bahkan mungkin akan memberikan imej yang tidak baik kepada murid dan juga masyarakat. Oleh itu, guru perlu menjaga imej dan juga memupuk personaliti yang baik dan seesuai dengan profesion keguruan.

Selain itu, guru yang cemerlang bukan sahaja menunjukkan komitmen dalam aspek PdP tetapi juga menerapkan sifat kasih sayang dan banyak mengambil berat terhadap muridnya tidak kira semasa berada di dalam sekolah mahupun latar belakang murid. Ini kerana latar belakang murid banyak memberi kesan kepada prestasinya di sekolah. Justeru, guru perlu banyak mengambil perhatian dan sentiasa memerhatikan muridnya. Guru yang cemerlang akan sentiasa memberi dorongan dan bertanya khabar kepada murid. Guru perlu mempunyai sifat penyayang supaya murid lebih berani untuk mendekatkan diri dan berkongsi pengalaman dan pendapatnya dengan guru. Dari situ, guru memberikan suatu perasaan yang harmoni dan peramah kerana senang didekati dan mudah bercerita tetapi masih menghormatinya sebagai seorang pendidik. Di samping itu, guru yang cemerlang juga perlu bersifat tegas dalam melaksanakan rutin dan peraturan di dalam bilik darjah. Tegas tidak semestinya garang ataupun memarahi murid. Tegas adalah suatu sifat di mana guru berpegang kepada pendirian dan bersifat logik dalam melaksanakan peraturan yang telah dipersetujui di awal proses PdP. Sifat tegas seseorang guru mampu membantu murid melatih diri untuk menjadi lebih berdisiplin dan mengikuti peraturan. Di situ juga dapat membina tahap kepercayaan murid terhadap guru dan menghormati guru sebagai seorang insan yang mulia dalam mendidik mereka. Jadi, ianya amat penting bagi guru untuk memupuk budaya guru yang cemerlang dalam diri supaya mampu membantu sistem pendidikan kebangsaan ke tahap yang lebih tinggi.

Secara keseluruhannya, banyak pengetahuan dan perkongsian pengalaman daripada kedua-dua penceramah sepanjang program ini berlangsung. Saya akan banyak mengambil pengajaran dan sentiasa memperbaiki diri dari semasa ke semasa untuk membina jati diri yang tinggi ke arah bidang keguruan dan seterusnya mampu membantu dalam memperkembangkan lagi bidang pendidikan Kebangsaan dan mencapai matlamat Falsafah Pendidikan Kebangsaan.