mt2 refleksi

27
REFLEKSI MINGGU 2 (9/1 -13/1/2011) Pada minggu ini, kuliah dimulakan dengan tajuk ‘Maksud dan Peranan Matematik’. Matematik dikaitkan dengan kajian pola, kajian perhubungan, cara berfikir, seni, bahasa dan alat dalam kehidupan seharian. Proses pembelajaran dimulakan dengan aktiviti di dalam kelas berkaitan dengan pemikiran pelajar tentang maksud matematik itu sendiri. 30 makna umum dihasilkan oleh para pelajar dan dikelaskan mengikut kumpulan tertentu dalam sesi perbincangan berkumpulan. Melalui gerak kerja berkumpulan, keyakinan diri dalam berkomunikasi antara sesama rakan dapat diperkukuhkan. Sikap malu atau berat mulut sama sekali diletak ke tepi. Ini akan melatih para pelajar sebagai guru pelatih supaya bersedia dalam situasi sebagai bakal guru. Dalam aktiviti ini juga para pelajar dilatih berfikir secara kreatif dan kritis dalam mengklasifikasikan makna umum yang terhasil dalam beberapa kumpulan. Hasil kerja dalam peta minda amat memberangsangkan dan menarik dengan pelbagai gaya yang tersendiri daripada setiap kumpulan. Nilai kreativiti ini penting dalam melahirkan guru yang cakna memikirkan daya tarikan untuk para pelajar dalam menanam minat mereka dalam subjek tersebut.

Upload: noor-asiah

Post on 27-Sep-2015

41 views

Category:

Documents


5 download

DESCRIPTION

7

TRANSCRIPT

REFLEKSI MINGGU 1 (9/1 -13/1/2011)

REFLEKSI MINGGU 2 (9/1 -13/1/2011)

Pada minggu ini, kuliah dimulakan dengan tajuk Maksud dan Peranan Matematik. Matematik dikaitkan dengan kajian pola, kajian perhubungan, cara berfikir, seni, bahasa dan alat dalam kehidupan seharian. Proses pembelajaran dimulakan dengan aktiviti di dalam kelas berkaitan dengan pemikiran pelajar tentang maksud matematik itu sendiri. 30 makna umum dihasilkan oleh para pelajar dan dikelaskan mengikut kumpulan tertentu dalam sesi perbincangan berkumpulan.

Melalui gerak kerja berkumpulan, keyakinan diri dalam berkomunikasi antara sesama rakan dapat diperkukuhkan. Sikap malu atau berat mulut sama sekali diletak ke tepi. Ini akan melatih para pelajar sebagai guru pelatih supaya bersedia dalam situasi sebagai bakal guru. Dalam aktiviti ini juga para pelajar dilatih berfikir secara kreatif dan kritis dalam mengklasifikasikan makna umum yang terhasil dalam beberapa kumpulan. Hasil kerja dalam peta minda amat memberangsangkan dan menarik dengan pelbagai gaya yang tersendiri daripada setiap kumpulan. Nilai kreativiti ini penting dalam melahirkan guru yang cakna memikirkan daya tarikan untuk para pelajar dalam menanam minat mereka dalam subjek tersebut.

Hasil pembelajaran kali ini menyedarkan saya bahawa matematik adalah satu bahasa yang bukan sekadar nombor semata-mata tetapi bahasa yang menghubungkan simbol-simbol tertentu yang membawa makna tertentu. Simbol ini hanya akan difahami istilahnya jika dipelajari. Malahan saya menyedari bahawa matematik juga adalah satu seni. Jika dahulu, saya hanya menganggap seni ini hanya mempunyai perkaitan dengan lukisan, lakaran dan warna. Tetapi matematik adalah salah satu seni yang tidak dijangka kehebatan keseniannya. Matematik telah menghasilkan kesenian yang menarik dengan konsep geometri yang mana binaan serta corak-corak yang terhasil diteliti setiap sudutnya. Kekemasan dalam penghasilan kesenian ini amat mengkagumkan. Malahan seni bina majoritinya terhasil dengan penggunaan geometri serta perkiraan kestabilan dan sampingan yang lain-lain.

Kesan daripada mempelajari makna dan peranan matematik telah menyedarkan dan memberikan saya idea untuk menghasilkan suatu medium pembelajaran yang interaktif. Medium yang dihasilkan semestinya mempunyai kesenian dan keunikan tersendiri supaya dapat menarik minat dan tumpuan pelajar. Bukan sekadar dipenuhi dengan kesenian semata-mata tetapi penuh dengan kefahaman dan penerangan secara mudah. Justeru itu, tumpuan yang baik akan melahirkan kanak-kanak atau murid-murid yang mudah memahami dan seterusnya berjaya. Lantaran itu, kegagalan sebagai warga pendidik tidak mungkin menjadi pendamping dalam kehidupan kita.

Saya juga menyedari bahawa pentingnya matematik dalam kehidupan. Jika dulu saya hanya mengetahui matematik hanyalah untuk pengiraan mata wang dan sebagainya, namun sekarang pemahaman berkaitan dengan matematik telah meluaskan pandangan saya terhadap matematik itu sendiri.

Setiap topik yang dipelajari akan diaplikasikan dalam kehidupan sebenar. Matematik membawa kemudahan dan manfaat dalam kehidupan seharian sama ada kita sedar atau tidak kehadirannya.REFLEKSI MINGGU 3

Pada minggu ini kuliah berkisarkan sejarah sistem nombor. Percambahan dan pemodenan sistem nombor ini secara berperingkat-peringkat bermula dengan zaman Babylion, Mesir, Amerika Asli, Greek, Roman, Cina, Hindu dan Arab. Terdapat juga zaman peralihan, abad pembangunan, awal kemodenan dan zaman moden hingga sekarang. Fasa-fasa ini berkembang secara berperingkat dengan pelbagai penghasilan yang membantu kepada sistem nombor pada zaman moden kini. Proses penyampaian kuliah kali ini berteraskan kepada pembentangan berkumpulan mengenai sejarah sistem nombor beserta aktiviti yang berkaitan dengan sistem nombor masa dahulu.

Melalui gerak kerja berkumpulan ini, pemupukan kerjasama dan kreativiti serta susun atur penyampaian maklumat yang dianalisis daripada artikel telah diterapkan kepada semua guru pelatih termasuk saya. Kumpulan saya ditugaskan bagi menghasilkan beberapa soalan berkaitan dengan sistem penomboran zaman dahulu. Kumpulan kami cuba mencari sesuatu nombor yang mencabar dan menyeronokkan agar dapat menyerikan proses pembelajaran. Disamping itu, penerapan latihan penyampaian ilmu pada bakal-bakal guru juga turut diterapkan dalam aktiviti ini. Dalam masa yang sama, penyampaian maklumat kepada semua ahli kelas telah membentuk keyakinan diri dan kelantangan penyampaian idea dan suara.

Melalui penimbaan ilmu kali ini, saya dapat mengenali sistem penomboran pada zaman terdahulu yang telah banyak menyumbang kepada sistem penomboran kini. Melalui proses pembelajaran ini dapat melahirkan erti kesyukuran dan penghargaan berkait dengan usaha-usaha tokoh yang terdahulu. Mengenali sistem nombor ini memberikan idea kepada saya sebagai bakal guru agar menggunakan simbol-simbol tertentu dalam mempamerkan bilangan sesuatu nombor agar dapat melatih murid-murid membilang menggunakan bayangan objek maujud di atas kertas. REFLEKSI MINGGU 4

Pada minggu ini pengajaran dan pembelajaran memfokuskan pengenalan kepada sifat matematik - penyelesaian masalah, logik, pengiraan, nombor, ukuran dan nilai matematik itu sendiri. Proses pembelajaran kali ini menggabungkan penggunaan bahan bacaan yang telah disediakan beserta dengan perbincangan bersama pensyarah yang berwajib. Dalam proses penyelesaian masalah diketengahkan Model Polya, penaakulan induktif dan deduktif, anggaran dan scientific notation serta penyelesaian masalah melalui set. Model Polya hadir melalui 4 langkah iaitu memahami soalan, merangka jalan, menyelesaikan soalan berdasarkan jalan yang dirangka dan akhir sekali memeriksa jawapan kembali melalui working backwards. Penaakulan induktif adalah melalui pemerhatian pertama dan mengagak jawapan untuk soalan yang sukar berdasarkan fakta tertentu atau pandangan individu berkaitan konjektur. Konjektur pula adalah penyataan yang difikirkan benar. Penaakulan deduktif pula adalah penemuan penyelesaian dengan penggunaan struktur asas yang sedia dalam sebutan tak diketahui (undefined terms). Penaakulan ini bersifat umum ke khusus.

Notasi saitifik adalah nombor yang didarab dengan kuasa 10, contohnya: 9.42x104=94 200. Notasi eksponen pula adalah ringkasan kepada nombor yang diulang contohnya, 2x2x2 = 23. Anggaran pula melibatkan proses anggaran nilai menghampiri jawapan yang sebenar. Penyelesaian masalah melalui set masih menekankan kepada Model Polya.

Sifat logik pula menekankan penaakulan deduktif. Penaakulan deduktif yang diperlihatkan melihatkan rumusan daripada umum kepada khusus. Dalam soal matematik, gambaran ini diperlihatkan apabila satu rumus umum yang mampu digunakan dalam penyelesaian masalah matematik untuk mencari jawapan bagi penyelesaian masalah yang perlu diselesaikan. Sifat pengiraan menjuruskan kepada pengenalan mengenai sistem nombor terdahulu, sistem Hindu-Arab, perbezaan sistem nombor, sistem binari dan sejarah alatan mengira.

Sifat nombor pula memfokuskan kepada jenis-jenis nombor yang wujud iaitu nombor jati, nombor perdana, integer, nombor nisbah, nombor bukan nisbah, nombor bulat, matematik diskrit dan kriptografi. Sifat pengukuran memperihalkan pembelajaran berkaitan perimeter, luas dan luas permukaan, isipadu dan kapasiti.

Nilai matematik yang ditonjolkan pula adalah rasional, empirik, kawalan, perkembangan, keterbukaan dan misteri. Rasional adalah berkaitan dengan pemikiran logik, empirik berkaitaan dengan penemuan kendiri, kawalan melibatkan aturan atau prinsip yang perlu dipatuhi, perkembangan adalah penerimaan dalam penerapan kemajuan, keterbukaan adalah kemampuan menerima serta berdiskusi dalam satu-satu hal yang timbul dan misteri adalah sesuatu yang mengkagumkan.

Berdasarkan pembelajaran yang telah dipelajari, saya mengenali nilai matematik itu sendiri beserta dengan sifat yang dibawa olehnya. Saya mulai sedar bahawa matematik berkisar kepada penyelesaian masalah, logik, ukuran, nombor dan pengiraan. Matematik menggabungkan sifat-sifat ini dalam dirinya. Malahan, matematik juga membawa kepada penerapan nilai-nilai yang hadir dalamnya.

Melalui pembelajaran ini, saya sedar bahawa saya sebagai bakal guru harus mengaplikasikan perkara ini dengan mendedahkannya dalam pengaplikasian pengajaran dan pembelajaran (P&P) saya pada masa akan datang. Dalam soal penyelesaian masalah, pengaplikasian Model Polya boleh digunakan, walaupun tidaklah secara memfokuskannya dengan kaku. Pemahaman harus diterapkan berkaitan model ini. Malahan, dalam P&P nilai matematik juga harus diselitkan walaupun tidak secara jelas tetapi boleh secara tersembunyi. Ini akan memanfaatkan para pelajar sendiri. Kaedah P&P yang menjurus kepada pemikiran logik dan keterbukaan akan membuka kotak pemikiran pelajar dengan meluas berdasarkan kawalan yang ditetapkan. Malahan, mereka juga boleh mengikuti perkembangan kemodenan tersebut yang melibatkan pelbagai kemudahan teknologi.REFLEKSI MINGGU 5

Minggu ini membawa kepada pengenalan kurikulum Matematik sebelum kemerdekaan. Proses pembelajaran kali ini menggunakan kaedah pembentangan berserta perbincangan bersama. Secara kasarnya kurikulum Matematik di Malaysia dipengaruhi oleh Laporan Razak (1956), Projek Khas (1970), Sukatan Matematik Moden, Sukatan Baru Matematik Sekolah Rendah (1983), Sukatan Bersepadu Matematik Sekolah Rendah (1989) dan Wawasan 2020. Pembelajaran kali ini membawa kepada sejarah pembentukan kurikulum yang tersedia ada kini. Kurikulum yang terbina melalui beberapa fasa tertentu dan sering menerima penambahbaikan dari semasa ke semasa.

Laporan Razak membawa kepada pencetusan kurikulum kebangsaan dan menjurus kepada KBSR. Manakala, projek khas pula membantu memantapkan sistem P&P matematik. Kurikulum yang terbina membawa kepada satu misi memenuhi Wawasan 2020. Kurikulum yang terbina menjadi panduan dan alat bantu kepada pembangunan modal insan yang terdiri daripada para pelajar. Kurikulum membawa kepada jalan yang jelas terlihat di pandangan dan mampu dicapai bersama.

Kefahaman dan mengenali struktur sejarah kurikulum memberikan kesedaran betapa besar pengorbanan pembina kurikulum untuk menjadikan masyarakat yang berbilang kaum hidup dalam satu rumpun. Malahan, kurikulum yang terbina adalah memenuhi pemantapan kendiri manusia. Dalam pengaplikasian hidup sebagai bakal guru, kefahaman dalam perubahan kurikulum ini memberikan kesediaan kepada diri saya dalam menerima sebarang perubahan dari semasa ke semasa. Saya seharusnya tidak pernah merungut dan mempertikaikan sebarang perubahan yang berlaku, kerana saya sedar setiap tindakan yang dilakukan adalah usaha yang baik dan harus dipuji. Namun, ini tidaklah bermakna saya akan menerima bulat-bulat sebarang perubahan jika ia memberikan impak yang negatif. Sebagai bakal guru, saya harus tahu kemampuan diri pelajar untuk menggunakan kurikulum yang tersedia mengikut kemampuan mereka.REFLEKSI MINGGU 6

Setelah mengenali sejarah perkembangan kurikulum matematik, kini pembelajaran menyingkap pengaruh negara luar yang memberi kesan kepada pembentukan kurikulum matematik di Malaysia. Projek luar yang dimaksudkan adalah Projek Matematik Nuffield, Kumpulan Matematik Scottish, Projek Matematik Sekolah, Kumpulan Kajian Matematik Sekolah dan NCTM.

Projek Matematik Nuffield membawa pendekatan dan kaedah dalam P&P matematik sekolah rendah berdasarkan Teori Piaget. Penekanannya adalah dalam pengalaman konkrit, strategi pemusatan murid dan bahan, kaedah inkuiri-penemuan dan kaedah projek. Projek ini juga membawa konsep pembelajaran dari mudah ke sukar, dari konkrit ke abstrak dan dari pengalaman dekat ke pengalaman jauh. Melalui projek ini juga terhasil buku-buku panduan guru dan modul-modul pengajaran. Bahan P&P yang lain juga seperti kad kerja. Projek ini juga menjadi rujukan kepada Projek Khas.

Kumpulan Matematik Scottish pula membawa kepada pengenalan kandungan buku teks bagi sekolah menengah yang terdiri daripada matematik moden. Sukatan yang terbina berkaitan dengan penyelesaian masalah harian.Bahan-bahan daripada kumpulan ini menjadi rujukan utama dalam Projek Matematik Moden sekolah menengah rendah 1970.

Projek Matematik Sekolah Scotland, kandungan projek ini dijadikan rujukan penghasilan buku teks tingkatan 4 dan 5 iaitu Ilmu Hisab. Pendekatan aksiomatik diketepikan dan mengutamakan pendekatan bersepadu antara bidang aritmetik, algebra dan geometri. Kumpulan Kajian Matematik Sekolah pula bertugas dalam mengkaji sukatan pelajaran matematik, penyedian sukatan dan bahan baru dan meningkatkan mutu setanding dengan negara maju. Kumpulan ini telah membawa kesan dalam pembentukan buku aktiviti bagi matematik KBSR tahap 1.

Teras pembelajaran kali ini telah menukarkan persepsi negatif dalam diri saya bahawa semua kandungan dan pandangan barat mempunyai identiti yang akan merosakkan negara serta mendatangkan impak negatif. Saya mula sedar bahawa setiap yang hadir harus diterima dan menaakul serta menganalisis secara halus antara baik dan buruk sesuatu perkara sebelum memberikan persepsi yang umum yang sudah semestinya tidak adil bagi yang lain.

Perincian berkaitan projek dari luar yang membawa kepada pengaruh kurikulum kini membuka mata saya sebagai bakal guru untuk mengaplikasikan kaedah penemuan-inkuiri dalam P&P yang bakal dirancang dan dijalankan. Malahan, penggunaan aktiviti yang mungkin memberangsangkan serta menarik minat pelajar juga harus saya olah dengan jaya. Aktiviti yang mungkin boleh digunakan adalah perkaitan buku-buku aktiviti yang bertepatan dengan perkembangan tahap pelajar itu sendiri. Contohnya dalam seusia bermulanya pendedahan pelajar dengan alam sekolah dalam usia 7 tahun pendekatan aktiviti boleh berfokus kepada penggunaan gambar rajah yang menarik agar mampu menarik minat pelajar. Malahan, penggunaan gambar rajah dalam subjek tertentu lebih memberikan kefahaman dan daya ingatan yang tinggi kepada para pelajar. Saya juga lebih menggemari konsep peta minda daripada ayat berangkai-rangkai kerana pasti mengalami kesulitan dalam proses mengulangkaji pelajaran. Saya yakin bahawa minda manusia juga mudah menerima isi-isi yang terpampang daripada perlu merungkai ayat satu persatu. Dalam penyedian peta minda ini juga saya selitkan bersama dengan gabungan warna yang menjdai daya penarik serta pemberangsang pada minda. REFLEKSI MINGGU 7

Pada minggu ini, setelah menyusuri sejarah kurikulum dan pengaruh negara luar dalam pendidikan di Malaysia, kini saya didedahkan dengan 5 tunjang pembentukan KBSR dan KBSM serta program-program yang membina perkembangan matematik kanak-kanak di Malaysia iaitu sempoa mental aritetik, kaedah Mokhdar, Geometry Sketch Pad dan Graphic calculator.

Dalam proses P&P kali ini, saya mendapat pendedahan tentang kewujudan sempoa serta kaedah Mokhdar. Jika dulu, saya tidak mengetahuinya melainkan hanya bergantung kepada kalkulator. Pada zaman saya, penggunaan kalkulator sudah pun bermula. Kebergantungan pada kalkulator sudah menjadi sebati dalam diri, walaupun saya akui bahawa ada impak negatif dalam diri. Walaupun kalkulator tidaklah memberikan jawapan secara terus kepada soalan namun, ia membawa kepada pengiraan yang tidak lagi perlu difikirkan. Pada zaman dahulu, pengiraan congak dan kaedah manual digunakan. Walaupun mengambil masa dalam menjalankan penyelesaian masalah, sebenarnya ia lebih membina daya fikir serta intelek pelajar.

Sebagai bakal guru, saya pasti dan yakin bahawa besar tanggungjawab dalam mendepani kemodenan yang mendatang. Kepesatan dan kewujudan alat-alat teknologi sama sekali tidak mampu dihalang. Penggunaan teknologi sudah pasti tidak salah, namun dalam P&P pada tahap sekolah rendah adalah tidak digalakkan kerana pada masa ini percambahan daya fikir pelajar baru dibina. Saya sedar bahawa persepsi pelajar sukar dicanggah dan diubah dalam menyatakan bahawa matematik adalah subjer sukar. Rungutan ini juga saya terima daripada rakan-rakan dan malahan juga terdetik dalam diri saya sendiri. Namun, bagi saya kerana minat saya dalam bidang ini, kesukaran tidak menjadi penghalang. Justeru, saya sedar bahawa dalam P&P yang dijalankan sebenarnya penerapan minat terhadap subjek tertentu memainkan peranan yang besar. Sebagai bakal guru yang meninginkan keberhasilan dan kejayaan dalam diri setiap pelajar, intipati P&P perlulah memenuhi citarasa pelajar dan tahap pemikiran mereka. Kaedah-kaedah yang mudah juga perlu didedahkan. Dalam kesedaran seperti ini, saya terasa terpanggil untuk menghadiri seminar Kaedah Mokhdar dalam membina dan memahami skop yang dibawa agar saya mampu memenuhi dan menyampaikannya kepada pelajar-pelajar saya. Saya yakin bahawa bermulanya keberhasilan dan kejayaan seseorang pelajar adalah melalui guru itu sendiri, justeru, sebagai guru, pemantapan diri saya adalah amat bermakna dan perlu dipandang berat.

REFLEKSI MINGGU 8

Pada pembelajaran kali ini, saya didedahkan dengan 5 tunjang pengajaran dan pembelajaran dalam matematik. 5 tunjang pembentukan adalah penyelesaian masalah matematik, komunikasi matematik, penaakulan, perkaitan matematik dan aplikasi teknologi. Penyelesaian masalah matematik masih berkisar dan berteraskan pengaplikasian Model Polya manakala komunikasi matematik melibatkan perbincangan serta diskusi bersama dalam membincangkan masalah yang timbul. Malahan, kaedah mendengar juga memainkan peranan yang besar. Ia juga membawa gambaran kaedah oral atau lisan dengan melibatkan aktiviti seperti bercerita mahupun pembentangan.

Penaakulan pula berkait dengan pemikiran secara logik dalam memahami dan menyelesaikan masalah matematik yang timbul. Penaakulan melibatkan proses intelek dan komunikasi pelajar dalam penyelesaian masalah. Perkaitan matematik pula menjurus kepada topik-topik kurikulum yang saling berhubung dengan antara satu sama lain. Pengaplikasian teknologi pula membawa kepada penciptaan teknologi moden yang membantu pembelajaran matematik seperti kalkulator, kalkulator graf dan GSP.

Gabungan 5 tunjang ini sebenarnya sudah lama diaplikasi dalam kurikulum kini. Pada masa kini juga, pembelajaran masih bertunaskan tunjang tersebut. Pembelajaran berdasarkan tunjang ini akan membantu memantapkan lagi pembelajaran dalam diri pelajar. Pembentukan kurikulum yang tersedia juga mencakupi kelima-lima asas ini walaupun ianya tidak secara terus dan terselit dalam penyampaian kurikulum itu sendiri. Komunikasi tidak pernah putus dalam proses pembelajaran. Kesahihan ini juga dalam pembelajaran pada kali ini yang melibatkan pembentangan.

Dalam mendepani masa depan sebagai bakal guru, 5 tunjang ini haruslah saya fahami dengan jelas dan mampu mengaplikasikannya. Dalam penaakulan misalnya, saya seharusnya mengajak serta merangsang pemikiran pelajar agar mereka mampu berfikir sendiri secara logik dalam penyelesaian masalah yang diberi. Saya hanya bertindak sebagai pembantu yang hanya membuka jalan kepada penyelesaian serta memperbetulkan konsep dan pemahaman pelajar. REFLEKSI MINGGU 9Pada minggu ini, pembelajaran menjurus kepada mengenali falsafah metematik KBSR serta kurikulum matematik sekolah rendah. Falsafah matematik KBSR yang dibawa menjurus kepada daya usaha dalam memberikan peluang pendidikan serta kemahiran 3M membaca, mengira dan menulis. Komponen kurikulum adalah komunikasi, manusia dengan alam sekeliling serta perkembangan individu. Falsafah matematik memberikan penekanan sepenuhnya kepada kemahiran mengira. Pembentukan sukatan kurikulum juga memberikan penekanan padu kepada perkara ini. Kurikulum yang terbentuk bertepatan dengan tahap perkembangan pelajar.

Dalam pembelajaran kuliah kali ini, penyampaian dan penerangan serta pendedahan diberikan oleh pensyarah. Penerangan yang diberikan membuka mata saya bahawa selama saya belajar matematik, matlamat yang ingin diterapkan dalam diri amat bernilai dan bermanfaat sekali. Tanpa kemahiran mengiraa sudah pasti saya mudah tertipu dengan proses niaga pada masa kini. Malahan, saya juga mungkin diperbodohkan dan disalahguna untuk perkara-perkara yang keji dan jijik.

Justeru itu, kemahiran matematik begitu tinggi nilainua dan perlu mendapat penekanan serta usaha sama. Sebagai bakal guru matematik, saya harus bersikap progresif dalam menanamkan rasa cinta dan minat dalam kalangan pelajar dan tidak sama sekali memberikan gambaran negatif bahawa matematik subjek yang amat sukar.REFLEKSI MINGGU 10

Pada minggu ini pembelajaran diteruskan dalam memahami skop falsafah matematik KBSR serta sukatan matematik sekolah rendah. Falsafah matematik sekolah rendah memfokuskan kepada peluang kepada setiap murid, penyemaian dan penyuburan pengetahuan, minat, sikap dan nilai estetik, kemahiran berfikir dan kemahiran belajar, penguasaan konsep, proses dan bahasa matematik, latihan mencongak, teknik pengajaran dan pembelajaran serta gaya pembelajaran.

KBSR dijadikan wahana pendidikan asas dalam membina kemahiran berfikir serta belajar melalui proses P&P dalam kelas. Suasana belajar juga mendapat penekanan dalam skop P&P. KBSR juga menerapkan pembelajaran aktif, konstruktivisme, penyelesaian masalah, keseimbangan serta penilaian.

Pendedahan yang diberikan secara terperinci ini membantu memberikan gambaran keseluruhan dalam P&P di sekolah. Perincian menyeluruh dalam penekanan terhadap suasana belajar membuka mata bahawa suasana memberikan impak dalam P&P. Sebagai bakal guru, tidak asing dan aneh jika tugas ini harus dipikul dan dipertanggungjawabkan kerana guru sebagai pengemudi kelas. Justeru, suasana kelas akan saya berikan penekanan sepenuhnya agar P&P saya memberikan keselesaan serta keselamatan disamping intipati pengajaran yang bermutu.REFLEKSI MINGGU 13

Pada minggu ini, pembelajaran masih tertumpu kepada KBSR. Penerapan yang diterapkan adalah dalam pemahaman dan pengetahuan, kemahiran operasi, kemahiran-kemahiran lain, matematik dalam kehidupan, bahasa matematik, teknologi dan matematik, penyertaan bermakna, arah tuju pengajaran dan latihan. Dalam masa yang sama, pengenalan secara jelas skop kurikulum untuk pra sekolah juga diajar.

Kemahiran operasi sudah semestinya melibatkan operasi asas iaitu tambah, bahagi, darab dan tolak. Kemahiran-kemahiran lain pula adalah seperti dalam menterjemahkan data dalam bentuk graf, jadual dan sebagainya. Manakala, matematik dalam kehidupan lebih menjurus kepada penggunaan matematik dalam kehidupan seharian dan bahasa matematik pula menuntut pemahaman terhadap bahasa matematik yang terdiri daripada simbol-simbol yang membawa maksud tertentu.

Pendedahan ini memperjelaskan lagi tugas saya sebagai bakal guru. Sebagai bakal guru saya perlu cakna dalam perkara ini terutama bahasa matematik. Saya harus memberikan fahaman yang jelas dan menerangkan perbezaan antara simbol-simbol tersebut beserta kegunaannya yang sebenar dan betul. Kekeliruan dalam bahasa matematik akan menggugat operasi kefahaman pelajar.

REFLEKSI MINGGU 14

Pada minggu ini, pembelajaran berfokus kepada penganalisisan sukatan pembelajaran KBSR bagi darjah 1 6. Sukatan pembelajaran KBSR berbeza pada setiap darjah. Namun, dari satu tahap ke satu tahap adalah dalam proses menambaikkan kemahiran pelajar. Kemahiran pelajar dibina dari awal dan berkesinambungan dari satu darjah ke satu darjah. Justeru itu, kegagalan dalam tahap-tahap tertentu memberikan impak yang besar kepada peringkat yang seterusnya.

Kefahaman dalam skop yang perlu dicapai memperjelaskan lagi bidang tugas guru dalam menjalankan proses P&P dengan jaya. Sebagai bakal guru, penyedian skop panduan kurikulum secara teliti ini memberikan panduan yang jelas dan sempurna bagi memperjelaskan lagi skop yang perlu disampaikan. Malahan, ini akan menghalang keterpesongan P&P daripada landasan yang sepatutnya. Ini juga membantu saya untuk mengetahui topik-topik yang perlu diajar seiringan dengan kemahiran pelajar itu sendiri.

REFLEKSI MINGGU 15

Pada minggu ini, pembelajaran diteruskan dengan KBSM. Minggu ini saya mengenali falsafah KBSM, kurikulum Matematik sekolah menengah dan mengenalpasti perkaitan KBSR dengan KBSM.

Falsafah KBSM menjurus kepada perkembangan jasmani, emosi, rohani dan intelek, termasuk pembelajaran sepanjang masa. Secara kasarnya, dalam peringkat menengah ini lebih menjurus kepada pembentukan diri pelajar untuk memantapkan diri. Malahan, penerapan nilai juga dilakukan dalam membina peribadi pelajar.

KBSR dan KBSM memberikan jalinan padu antara satu sama lain. Skop pengajian untuk KBSM berkait dengan asas-asas yang terbina waktu dalam KBSR. Kesinambungannya jelas dalam setiap topik yang baru. Contohnya, kemahiran asas dalam KBSR yang dibina seawal umur 7 tahun semestinya dan pasti akan digunakan sampai bila-bila.

Pembelajaran berkaitan KBSM walaupun sebenarnya bukan bidang tugas saya lantaran saya hanya bakal guru sekolah rendah, namun, menyedarkan saya bahawa betapa besar peranan saya yang akan mendatangkan impak kepada kehidupan pelajar saya pada masa akan datang. Lantaran itu, saya harus sedar dan membina kesabaran daripada sekarang agar tidak mudah jemu dan buntu mahupun berhenti untuk terus berusaha agar para pelajar saya memahami P&P yang saya jalankan.

REFLEKSI MINGGU 16

Pada minggu ini, pendedahan terhadap wacana akademik seperti seminar, bengkel, perbincangan, buku serta jurnal serta badan akademik seperti Persatuan Guru Matematik, NCTM dan PERSAMA.

Seminar adalah kursus yang mana hanya berintikan pengisian penyampaian tanpa praktikal. Sebaliknya bengkel pula membina kemahiran dalam diri peserta. Setiap wacana akademik berbeza antara satu sama lain namun mempunyai nilai yang begitu tinggi dalam memantapkan diri dengan ilmu yang berguna. Dengan menghadirkan diri dalam wacana akademik serta menggunakan sepenuhnya wacana ini, sudah pasti pelbagai manfaat besar yang dapat kita perolehi.

Badan akademik seperti Persatuan Guru Matematik, NCTM dan PERSAMA membawa kepada satu matlamat dalam membangunkan matematik itu sendiri di samping menyediakan kemudahan kepada pelajar jurusan matematik mahupun guru-guru matematik.

Pembelajaran kali ini juga membuka mata saya berkaitan wacana akademik dan ini telah memberikan jalan kepada saya sebagai bakal pendidika agar bersedia memenuhi jemputan wacana tersebut yang sama sekali pasti akan bermanfaat kepada diri sendiri serta mempertingkatkan profesion perguruan. Saya juga menyedari wujudnya badan-badan akademik yang menyediakan bahan-bahan yang bermutu dalam skop pengajian saya iaitu matematik. Ini telah memberikan rangsangan kepada saya agar sumber-sumber ini dijadikan bahan rujukan dalam tugasan yang diberikan kepada saya dalam proses pengajian ini bagi menghasilkan tugasan yang bermutu dan memenuhi kehendak pensyarah.

REFLEKSI MINGGU 17

Pada minggu ini, saya mempelajari peranan guru matematik serta pendidikan sepanjang hayat. Peranan guru matematik mengcakupi sebagai panitia matematik serta guru matematik. Guru panitia matematik bertindak sebagai pengemudi kepada guru-guru matematik serta urusan bagi matematik disekolah. Pendidikan sepanjang hayat pula membawa kepada usaha sendiri atau inisiatif dalam memiliki serta memperolehi ilmu pengetahuan yang berkait dengan profesional. Pendidikan sepanjang hayat ini juga membina identiti penerima. Maka, pembentukan identiti yang terhasil akan membina jati diri individu.

Pembelajaran kali ini semakin memberikan gambaran jelas dan terperinci dasar peranan bagi guru matematik di sekolah-sekolah. Saya yakin ini memberikan manfaat yang besar kepada diri saya serta rakan-rakan. Sebagai bakal guru, ini sudah pasti memberikan panduan umum dan langkah awal untuk mengenali serta memahami peranan yang harus dipikul dalam organisasi sekolah. Saya akan cuba memberikan sepenuh perhatian terhadap tanggungjawab yang telah disenaraikan.

Pendidikan sepanjang hayat pula adalah satu gambaran jelas bahawa menuntut ilmu itu satu kepentingan. Jelas bahawa melengkapkan diri dengan ilmu adalah satu tanggungjawab yang besar kepada guru. Ilmu yang mantap dan menyakinkan dalam diri guru akan memberikan ilmu yang bermakna kepada pelajar kerana intipati yang sahih. Malahan, dengan penambahan ilmu yang diperoleh juga akan membantu kepada pencetusan idea untuk menghasilkan medium-medium yang baru dan mampu membantu sesi pembelajaran dan pengajaran di kelas.

REFLEKSI MINGGU 18

Pada minggu akhir ini, pembelajaran tertumpu kepada isu-isu pendidikan yang timbul dalam sistem pendidikan di Malaysia. Isu yang hangat diperkatakan sudah semestinya soal pengajaran dan pembelajaran sains dan matematik dalam bahasa inggeris (PPSMI), sekolah bestari serta kemajuan teknologi (ICT).

Pada masa kini, isu PPSMI telah dipertikaikan dengan keberhasilannya kerana statistik memperlihatkan bahawa pencapaian pelajar dalam matematik dan sains semakin merundum. PPSMI juga mendapat pertikaian bagi pendidikan luar bandar yang sukar memahami bahasa inggeris. Lantaran itu, kerajaan telah menetapkan pembubaran bagi PPSMI bermula pada 2012. Selepas itu, sains dan matematik akan diajar kembali dalam bahasa ibunda.

Dalam soal sekolah bestari juga mendapat pertikaian dalam membezakan antara sekolah dengan sekolah yang lain. Namun, perkara ini tidak mencetuskan sebarang bantahan kerana memperlihatkan usaha penerapan kemajuan dalam pendidikan. Kemajuan ICT kini juga dipertikaikan kerana berlaku penyelewangan web tertentu dan akan menggugat kerja guru sebagai pendidik kerana hampir segala cabangan ilmu mampu diperoleh melalui internet.

Pendedahan berkaitan dengan isu ini membuka daya fikir serta merangsang untuk sama-sama berfikir tentang baik buruk setiap yang diputuskan. Ini juga sudah pasti menyediakan kekuatan mental kepada saya agar bersedia menerima sebarang kemungkinan perubahan yang berlaku dalam tempoh khidmat saya sebagai guru nanti. Saya harus menanamkan dalam diri agar tidak merungut dan bersedia untuk menjalankan tugas walaupun sebesar mana perubahan tersebut. Saya pasti dan yakin, wacana akademik akan membantu dalam membina kemahiran dalam bidang profesional nanti.