refleksi big sem 1 yana

Click here to load reader

Post on 05-Jul-2015

2.308 views

Category:

Documents

4 download

Embed Size (px)

TRANSCRIPT

INSTITUT PENDIDIKAN GURU MALAYSIA KAMPUS TENGKU AMPUAN AFZAN (IPGMTAA)

REFLEKSI BINA INSAN GURU FASA 1 SIRI 2 PISMP SEMESTER 1

NAMA: NUR LIYANA BINTI ZABRI NO K/P: 890314 02 5524 UNIT: PISMP MATEMATIK AMBILAN JANUARI 2009 FASILITATOR: CIK HALIMAH BINTI HALIMI

PENGHARGAANAssalamualaikum W.B.T. Pertama sekali,saya bersyukur ke hadrat Ilahi kerana dengan izin dan limpah kurnia-Nya dapat saya menyelesaikan refleksi program Bina Insan Guru (BIG) ini. Masa dua minggu yang diberikan itu mencukupi bagi saya menulis refleksi ini. Di sini, saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada para pensyarah dan juga para fasilitator yang terlibat dalam program BIG ini. Mereka telah banyak memberi tunjuk ajar dan pengajaran yang amat bernilai buat saya. Mereka merupakan orang yang penting kepada guru-guru pelatih terutamanya dalam membentuk jati diri seorang guru pada masa akan datang. Saya juga ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada Cik Halimah binti Halimi merangkap fasilitator kumpulan saya. Beliau merupakan seorang fasilitator yang begitu prihatin dan memahami perasaan anak-anak buahnya. Segala nasihat yang diberikan kepada saya dan rakan-rakan amat berguna. Tidak dilupakan juga kepada rakan-rakan daripada kumpulan saya yang banyak memberikan kerjasama dan bantuan sepanjang program BIG ini berlangsung. Saya amat bersyukur kerana mendapat rakan-rakan seperti mereka sebagai ahli kumpulan saya. Saya juga ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada rakan-rakan daripada kumpulan lain yang tidak melupakan tanggungjawab mereka sebagai seorang sahabat untuk menolong saya semasa saya berada dalam kesusahan. Terima kasih juga saya ucapkan kepada semua pihak yang terlibat secara langsung ataupun tidak langsung dalam membantu saya dan rakan-rakan sepanjang kami berada di Kg. Mambang. Terima kasih.

MATLAMAT DAN OBJEKTIF PROGRAM BINA INSAN GURU (BIG) Program ini merupakan salah satu usaha pencetus kepada usaha pembinaan insan guru yang berakhlak mulia, bersemangat juang yang tinggi, mempunyai ketahanan fizikal dan mental, dan bermanfaat kepada diri, keluarga, masyarakat serta negara selaras dengan nilai-nilai keguruan. Melalui program BIG ini pelajar dapat mencapai objektif berikut : 1) Menunjukkan ciri-ciri insan yang berakhlak mulia dan patuh kepada ajaran agama. 2) Meningkatkan semangat berpasukan dan mengamalkan hidup bersepakat, bekerjasama dan bertanggungjawab kepada pasukan. 3) Meningkatkan ketahanan fizikal dan mental. 4) Meningkatkan dan menguasai interpersonal dan intrapersonal serta perpaduan masyarakat. 5) Meningkatkan kemahiran mengurus diri, kumpulan dan masa dengan berkesan. 6) Meningkatkan pengembangan potensi diri sebagai insan berakhlak mulia melalui amalan refleksi dan penilaian kendiri dalam semua aspek kehidupan seharian.

Pada semester ini, saya dan rakan-rakan daripada Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan (PISMP) semester 1 diwajibkan untuk mengikuti program Bina Insan Guru (BIG) di chalet Harapan Riverview Kampung Mambang,Pekan, Pahang. Saya merupakan salah seorang peserta program BIG fasa 1 siri 2. Program ini disertai oleh 3 unit bagi setiap siri. Pada kali ini, unit saya iaitu unit PISMP Matematik ditempatkan bersama-sama unit PISMP Pengajian Sosial dan unit PISMP Pengajian Tamil. Program BIG fasa 1 siri 2 ini diadakan pada 17/7/2009 sehingga 20/7/2009 iaitu selama empat hari tiga malam.

Pada 17/7/2009, program BIG bermula. Para peserta BIG berkumpul di Dataran Bestari pada pukul 7.30 pagi. Sebelum bertolak ke chalet Harapan Riverview Kampung Mambang, Pekan, kami dikehendaki untuk memeriksa segala peralatan yang perlu dibawa ke tempat program ini dijalankan. Setelah pemeriksaan selesai dijalankan, pada jam 8.30 pagi kami pun bertolak ke destinasi yang ingin dituju. Para peserta program BIG dihantar ke tempat program ini dijalankan dengan dua buah bas. Perjalanan ke Mambang memang agak mencabar kerana jalannya berliku-liku. Selain itu, perjalanan ke sana juga melalui kawasan-kawasan yang banyak dikelilingi oleh pokok-pokok. Pemandangan sepanjang perjalanan juga amat cantik. Saya dapat menikmati keindahan alam dan kagum dengan ciptaan yang Maha Pencipta. Selepas lebih kurang tiga jam perjalanan, kami singgah di salah sebuah kedai makan di Maran untuk menjamu makan tengah hari. Kemudian, kami meneruskan perjalanan tanpa menyedari bahawa dua orang kawan kami tidak berada di dalam bas pada ketika itu. Ketiadaan mereka disedari oleh salah seorang daripada kami setelah bas mula bergerak agak

jauh dari tempat kami menjamu selera. Rakan kami yang ditinggalkan itu terpaksa mengejar bas yang dinaiki. Akhirnya, kami bersyukur kerana rakan-rakan kami sempat mengejar bas ini. Dari sini saya mendapat pengajaran bahawa kita mestilah peka terhadap keadaan sekeliling kita. Hal-hal seperti ini mungkin akan berlaku pada masa akan datang apabila saya berada di alam persekolahan. Penting bagi kami untuk memeriksa bilangan peserta terlebih dahulu sebelum bergerak dari satu tempat ke tempat yang lain. Kemudian, kami meneruskan perjalanan ke Mambang. Semasa kali pertama sampai di hadapan jalan masuk ke chalet Harapan Riverview Kampung Mambang, saya amat terkejut kerana kami terpaksa masuk jauh ke dalam lagi untuk sampai di tempat program dijalankan. Walaubagaimana pun, pemandangan di sekitar tempat itu amat cantik. Walaupun hati saya agak berdebar-debar untuk mengikuti program ini, saya tetap kuatkan semangat saya. Secara jujurnya, saya tidak pernah mengikuti program seperti ini atau perkhemahan di luar. Jadi, bermacam-macam andaian bermain di fikiran saya. Tambahan pula, saya mendengar pelbagai cerita daripada senior-senior dan juga rakan-rakan yang telah pun menjalani program BIG ini. Saya menjadi bertambah risau apabila mendengar cerita daripada mereka tentang aktiviti yang memerlukan para peserta untuk mengharungi sebuah paya yang agak dalam. Ini disebabkan ketinggian yang saya yang kurang jika dibandingkan dengan guru-guru pelatih lain. Walaubagaimana pun, saya mengambil perkara itu sebagai satu cabaran bagi saya. Setelah lebih kurang lima jam perjalanan, akhirnya kami sampai dengan selamat ke destinasi kami. Inilah kali pertama saya sampai ke tempat ini. Ini juga merupakan kali pertama saya melihat Sungai Pahang dengan mata saya sendiri. Memang benar bahawa Sungai Pahang merupakan sungai yang terpanjang di Semenanjung Malaysia.

Semasa kami sampai di chalet Harapan Riverview Kampung Mambang, saya dan rakan-rakan mendapati tiada sesiapa pun di sana. Kami tertanya-tanya tentang apa yang harus dilakukan di sana kerana tiada seorang pensyarah pun yang sampai ketika itu. Jadi, kami cuba meninjau kawasan berhampiran. Tempat perkhemahan ini memang cantik dan selesa bagi sebarang perkhemahan. Sementara menunggu kedatangan pensyarah yang bertugas, saya dan rakan-rakan menunaikan solat jamak Zohor dan Asar terlebih dahulu. Selepas selesai menunaikan solat, pensyarah pertama yang tiba di tempat tersebut ialah En. Shafie bin Majid. Segala aktiviti kami diuruskan oleh beliau pada ketika itu.

Pada jam 2.30 petang, kami diminta berkumpul di dewan chalet Harapan Riverview Kampung Mambang untuk diberi taklimat tentang perjalanan program BIG ini oleh En. Shafie. Dalam taklimat ini, En. Shafie ada menyebut tentang peraturanperaturan yang harus kami patuhi sepanjang program BIG ini dijalankan. Antara peraturan-peraturan tersebut ialah berkenaan batas-batas pergaulan antara peserta lelaki dan peserta perempuan,kawasan-kawasan larangan yang berada di dalam dan di luar kem bagi para peserta, soal disiplin,keselamatan diri,penggunaan telefon bimbit sepanjang program ini dijalankan dan lain-lain lagi. En. Shafie telah menasihatkan kami supaya mematuhi peraturan-peraturan yang telah ditetapkan supaya tidak ada sebarang masalah yang berlaku sepanjang program ini berlangsung. En. Shafie juga mendedahkan kami dengan jadual yang perlu kami patuhi sepanjang program BIG ini. Menurut beliau, kami sebagai para peserta harus mematuhi jadual yang telah ditetapkan oleh beliau.

Setelah selesai menerangkan tentang peraturan-peraturan dan jadual program BIG ini secara terperinci, kami telah diarahkan untuk melantik seorang penghulu dan seorang penghuluwati yang terdiri daripada kalangan para peserta sendiri. Sesi pemilihan calon ini bermula dengan para peserta tidak kira lelaki atau perempuan mencadangkan calon-calon untuk jawatan penghulu. Hanya terdapat dua orang calon untuk jawatan penghulu iaitu Mohamad Ridhauddin bin Jamian dari unit PISMP Matematik dan Muhd Fadzli bin Ismail yang juga merupakan guru pelatih dari unit PISMP Matematik. Bagi peserta perempuan pula, calon-calon penghuluwati yang dicadangkan ialah Nurul Atikah binti Abdul Rahim dari unit PISMP Matematik, Salmah binti Edi dari unit PISMP Pengajian Sosial dan Anis Nawar binti Muhammad Abu Hanipah dari unit PISMP Pengajian Sosial. Setelah undian dilakukan, akhirnya keputusan diperoleh. Jawatan penghulu disandang oleh saudara Muhd Fadzli bin Ismail dan jawatan penghuluwati disandang oleh saudari Nurul Atikah binti Abdul Rahim. Kemudian,mereka diminta untuk memberi sepatah dua kata setelah dilantik sebagai penghulu dan penghuluwati yang akan mewakili para peserta sepanjang program ini dijalankan. Agenda seterusnya ialah pembahagian kumpulan. Bilangan para peserta yang menyertai BIG Siri 2 ini ialah seramai 67 orang. Pada mulanya, kami diminta oleh En. Shafie untuk duduk mengikut unit masing-masing diselang-seli oleh peserta lelaki dan perempuan mengikut tiga unit yang ada. Seterusnya, untuk pembahagian kumpulan kami diarahkan untuk menyebut nombor antara 1 hingga 6 mengikut turutan yang betul dan diulang sehingga peserta terakhir. Setelah itu, kami diarahkan untuk menyusun kedudukan kumpulan mengikut nombor-nombor yang telah disebut sebentar tadi. Setelah selesai berada dalam kumpulan masing-masing yang terdiri daripada kumpulan satu hingga kumpulan enam, kami diarahkan pula untuk mengira bilangan ahli dalam kump