pendahuluan - tsis

9

Upload: others

Post on 03-Oct-2021

11 views

Category:

Documents


0 download

TRANSCRIPT

Page 1: Pendahuluan - TSIS
Page 2: Pendahuluan - TSIS
Page 3: Pendahuluan - TSIS

Impak Pemanasan Global Terhadap Alam Sekitar| 1

Terengganu Strategic & Integrity Institute (TSIS)

Pendahuluan

Pada abad ke-21 ini, isu pemanasan global adalah antara topik permasalahan yang besar dibincangkan

di peringkat dunia. Merujuk kepada laporan World Meteorological Organization (WMO), perubahan

suhu global terkini telah melebihi 1.2 °C berbanding zaman pra-industri pada tahun 1850-an. Dalam

pada itu, 2020 juga direkodkan sebagai salah satu tahun yang terpanas (World Meteorological

Organization, 2021). Peningkatan suhu bumi berlaku kesan daripada aktiviti manusia yang tidak

terkawal terutama pelepasan gas rumah hijau.

Definisi pemanasan global (global warming) adalah satu fenomena peningkatan suhu bumi yang

melebihi paras normal. Fenomena ini telah membentuk satu ketidakseimbangan ekosistem di muka

bumi apabila peningkatan suhu berlaku dan terasa lebih panas dari biasa. Manakala, definisi alam

sekitar pula membawa maksud semua benda hidup (biotik) dan benda bukan hidup (abiotik) yang wujud

secara semula jadi di sekeliling manusia. Antara contoh biotik seperti tumbuhan, haiwan dan bakteria

manakala abiotik merangkumi matahari, air dan udara (Subyanto, 2012).

Umum mengetahui, trend peningkatan kepekatan gas rumah hijau (greehouse gases) ekoran kegiatan

manusia telah mempengaruhi kesan rumah hijau (greenhouse effect) yang semula jadi sehingga

menyebabkan pemanasan global berlaku sehingga ke hari ini. Secara tidak langsung, pemanasan

global juga telah memberi banyak impak negatif terutamanya terhadap alam sekitar sehingga boleh

menjejaskan kehidupan manusia. Sehubungan itu, penulisan ini akan menyentuh sedikit berkaitan

sejarah pemanasan global berserta punca-punca berlakunya fenomena ini. Selain itu, impak

pemanasan global terhadap alam sekitar juga akan dihuraikan dalam penulisan ini.

Polemik Pemanasan Global

1. Sejarah Pemanasan Global

Sejarah membuktikan bahawa sejak era

Revolusi Perindustrian pada abad ke-18

hingga ke-19, telah bermula peningkatan

pemanasan global hingga ke hari ini.

Sumber semula jadi seperti petroleum dan

arang batu dijadikan bahan bakar utama

dalam menggerakkan sektor ini (Rashid,

2018). Sesuatu yang tidak mustahil

sekiranya aktiviti manusia yang tidak

terkawal dalam menyumbang pelepasan

gas rumah hijau, boleh menyebabkan

pemanasan global mencapai suhu

melebihi 1.5 °C iaitu melebihi suhu pra-

industri. Perkara ini juga disokong oleh

kenyataan Pertubuhan Meteorologi Dunia

(WMO) yang menyatakan berkemungkinan

suhu dunia akan meningkat lebih dari 1.5

°C dalam tempoh masa lima tahun akan datang.

Merujuk rajah 1 dapat dilihat pemanasan global bermula dengan kegiatan manusia pada zaman pra-

industri. Pada masa yang sama, trend pemanasan jangka panjang sejak zaman pra-industri antara

tahun 2006 hingga 2015 dianggarkan kira-kira 0.87 °C. Ia dilihat lebih tinggi berbanding purata suhu

sepanjang tempoh 1850 hingga 1900.

Rajah 1: Trend kenaikan suhu global (Sumber: IPCC)

Page 4: Pendahuluan - TSIS

Impak Pemanasan Global Terhadap Alam Sekitar| 2

Terengganu Strategic & Integrity Institute (TSIS)

2. Punca Pemanasan Global

Kesan rumah hijau adalah proses semula jadi yang

berperanan dalam mengekalkan suhu bumi agar

lebih sesuai untuk hidupan. Sekiranya kesan rumah

hijau tidak wujud, maka bumi akan menjadi beku dan

tidak boleh dihuni. Walau bagaimanapun, pelepasan

gas rumah hijau yang meningkat ekoran aktiviti

manusia telah meningkatkan kesan semula jadi

rumah hijau yang menyebabkan pemanasan global

(Britannica, 2012).

Berdasarkan kenyataan Ahli Kaji Iklim (Climatologist)

menyatakan sejak tahun 1800-an lagi pemanasan

global mula berlaku dan aktiviti manusia yang

menghasilkan gas rumah hijau merupakan penyebab

utama fenomena ini berlaku. Aktiviti manusia tanpa

kawalan dalam perindustrian, pengangkutan,

pembakaran terbuka, penyahhutanan dan pertanian adalah penyebab utama pelepasan gas rumah

hijau meningkat secara mendadak setiap tahun.

Umum mengetahui, pelepasan gas rumah hijau seperti karbon dioksida, gas metana, nitrogen

monoksida dan nitrus oksida ke atmosfera telah menghalang haba yang terhasil di bumi daripada

terbebas keluar ke angkasa. Antara pelepasan gas rumah hijau yang paling ketara adalah gas karbon

dioksida yang dihasilkan melalui pembakaran bahan api fosil seperti arang batu dan petroleum secara

global. Berdasarkan rajah 2 yang merujuk carta pie, peratusan pelepasan gas rumah hijau secara

global pada tahun 2010 dalam laporan IPCC, 2014 menunjukkan 76 peratus gas karbon dioksida dan

gas metana ialah 16 peratus manakala nitrus oksida pula sebanyak 6 peratus.

Dalam pada itu, data dalam rajah 3 pula merangkumi pelepasan karbon dioksida daripada pembakaran

bahan api fosil dan pembuatan simen. Sumber-sumber ini telah menghasilkan sebahagian besar

pelepasan karbon dioksida dunia. Antara negara yang menyumbang kadar peratusan tinggi pelepasan

karbon dioksida pada tahun 2014 ialah China (30 peratus) dan dikuti Amerika Syarikat (15 peratus),

Kesatuan Eropah (9 peratus), India (7 peratus) dan Rusia (5 peratus).

Rajah 2: Pelepasan gas rumah hijau global (Sumber: IPCC, 2014)

Rajah 3: Pelepasan gas rumah hijau global daripada bahan api fosil

(Sumber: IPCC, 2014)

Page 5: Pendahuluan - TSIS

Impak Pemanasan Global Terhadap Alam Sekitar| 3

Terengganu Strategic & Integrity Institute (TSIS)

Impak Pemanasan Global

Dunia hari ini mengetahui bahawa impak pemanasan global yang berlaku telah memberi kesan yang

besar terhadap alam sekitar. Ia termasuk berlakunya pencairan ais kutub sekali gus menyebabkan

paras laut meningkat. Pada masa yang sama, pemanasan global turut menyebabkan ekosistem

terganggu, cuaca kering berpanjangan, pembakaran hutan secara meluas dan perubahan iklim yang

ketara turut berlaku pada hari ini.

1. Pencairan ais kutub, kenaikan paras laut

Suhu bumi yang panas berterusan setiap tahun telah

mendorong pencairan bongkah-bongkah ais atau

glasier di kedua-dua kutub, kutub utara dan kutub

selatan. Keadaan ini sekali gus menyebabkan paras

air laut meningkat. Merujuk Najiah Musa dan Nadirah

Musa (2021) menjelang 2100, IPCC meramalkan

permukaan laut akan meningkat antara 30 hingga 60

sentimeter dan dianggarkan 10 juta populasi dunia

yang berdekatan dengan pantai, dan pulau tanah

rendah dikhuatiri akan kehilangan tempat tinggal

berikutan kenaikan paras air laut.

Hampir dua pertiga permukaan bumi didominasi oleh

lautan manakala keluasan kawasan lautan boleh

mengakibatkan gelombang ombak yang besar dan tiupan angin yang kencang. Situasi ini boleh

menyebabkan hakisan pantai dan banjir besar berlaku. Kesan daripada hakisan pantai dan banjir besar

ini bukan sahaja memusnahkan harta benda malah mengancam nyawa manusia.

Menurut King et al. (2005) glasier iaitu timbunan besar ais yang bergerak perlahan-lahan menuruni

cerun atau merebak ke permukaan bumi di Greenland telah melepasi tahap pengurangan disebabkan

salji yang mengisi lapisan ais setiap tahun tidak berlaku seperti biasa. Tambahan lagi, kehilangan

lapisan ais Greenland yang semakin meningkat pada abad ke-21 merupakan penyumbang utama

kenaikan permukaan air laut global sekiranya trend pemanasan global berterusan.

2. Ekosistem terganggu

Sementara itu, pemanasan global juga turut mempengaruhi biodiversiti dan ekosistem haiwan dan

tumbuhan. Perkara ini dapat dilihat di kawasan Artik yang mengalami pencairan ais di laut sehingga

menyebabkan populasi beruang kutub, walrus dan anjing laut terancam. Merujuk kajian Pemantauan

Geologi Amerika Syarikat menyatakan dua pertiga beruang kutub di dunia termasuk di Alaska akan

pupus menjelang 2050 ekoran pencairan ais di laut yang berterusan berlaku (Britannica, 2012). Pada

masa yang sama, pemanasan global turut mempengaruhi ekosistem laut apabila populasi alga dan

plankton terganggu yang menyebabkan kehidupan ikan dan haiwan lain turut terancam. Berhampiran

Antartika pula, sumber makanan bagi anjing laut dan penguin iaitu kril semakin berkurangan ekoran

pemanasan air laut yang turut berlaku. Ahli biologi juga meramalkan dua pertiga spesies akan pupus

sekiranya pemanasan global melebihi 4.5 °C.

3. Cuaca kering yang berpanjangan

Seterusnya, pemanasan global turut menyebabkan kemarau yang teruk dan taburan hujan yang tidak

menentu. Dalam situasi udara yang kering dengan kadar penurunan hujan yang kurang berserta

persekitaran yang panas berterusan telah mengakibatkan bencana jerebu dan gelombang haba mudah

terjadi yang sekali gus menjejaskan kesihatan manusia. Pada tahun 2019, India pernah menghadapi

Rajah 4: Rekahan glasier di Greenland (Sumber: Berita Harian)

Page 6: Pendahuluan - TSIS

Impak Pemanasan Global Terhadap Alam Sekitar| 4

Terengganu Strategic & Integrity Institute (TSIS)

gelombang haba sehingga suhu melepasi 50 °C yang menyebabkan strok haba dan sumber air terjejas.

Pada masa yang sama, tanah-tanah yang subur pula akan menjadi tandus dan tidak subur. Ia boleh

menjejaskan produktiviti tanaman dan menjejaskan bekalan makanan sesebuah negara.

Di samping itu, pemanasan global juga boleh menyebabkan peningkatan suhu di Lautan Pasifik.

Apabila suhu di Lautan Pasifik meningkat secara mendadak, fenomena El Nino juga mudah terjadi yang

membawa perubahan besar dalam sistem iklim terutama taburan hujan. Dalam pada itu, pola tiupan

angin dari barat ke laut juga akan mengalami perubahan. Kesannya, angin kencang bertiup ke barat

Pasifik menyebabkan cuaca panas dan angin lembab pula bertiup ke timur Pasifik menyebabkan

kejadian ribut, banjir dan taufan. Dapat dilihat, kawasan barat Pasifik seperti Peru dan Amerika Syarikat

telah mengalami hujan lebat yang menyebabkan bencana seperti banjir dan tanah runtuh berlaku. Pada

masa yang sama, kawasan bahagian timur iaitu Australia dan Asia Tenggara pula berdepan dengan

cuaca kering dan panas sehingga mengakibatkan kebakaran hutan dan sumber air terjejas teruk.

4. Pembakaran hutan

Pemanasan global yang berterusan boleh

menyebabkan pembakaran hutan secara

besar-besaran berlaku. Apabila keadaan ini

berlanjutan dan tidak dapat dikawal, fenomena

jerebu yang teruk juga akan melanda seluruh

negara. Pembakaran hutan secara global

pernah berlaku di hutan hujan Amazon yang

memusnahkan sebanyak 11.088 km persegi

kawasan hutan pada Ogos 2019 hingga Julai

2020. Peningkatan ini berlaku sebanyak 9.5

peratus dari tahun sebelumnya (Shukman,

2020). Selain itu, pembakaran hutan di

Australia tenggara juga antara yang terbesar

apabila lebih daripada 23 peratus musnah

pada tahun 2019 (Abram, 2020). Pada masa

yang sama, hampir 10.7 juta hektar kawasan hutan Australia musnah malah ia telah menjejaskan kira-

kira 3 bilion spesies haiwan mamalia, burung dan reptilia pada tahun 2019 dan 2020.

Pembakaran hutan secara besar-besar merupakan satu cabaran yang besar dalam memulihkan

pemanasan global yang berlaku pada hari ini. Apatah lagi, pembakaran hutan yang berlaku telah

mengakibatkan jerebu yang teruk sehingga menjejaskan kesihatan manusia dan memusnahkan

kepelbagaian biodiversiti termasuk spesies tumbuhan-tumbuhan dan haiwan yang terancam.

5. Perubahan iklim

Merujuk definisi daripada NASA, perubahan iklim membawa maksud perubahan jangka panjang dalam

iklim bumi atau suatu kawasan di bumi. Perubahan iklim yang berlaku pada hari ini pastinya memberi

satu tekanan persekitaran yang menjejaskan sistem politik, ekonomi mahupun sosial sesebuah negara.

Lazimnya, pemanasan yang berterusan berlaku bukan sahaja menghasilkan corak cuaca baru yang

kekal pada jangka masa yang panjang tetapi iklim juga akan berubah. Contohnya fenomena gelombang

haba yang pernah melanda negara-negara Eropah. Fenomena ini mungkin akan terus kekal bukan di

Eropah sahaja tetapi mana-mana negara sekiranya tiada tindakan mitigasi dilaksanakan dalam

menangani isu perubahan iklim. Selain itu, kesan perubahan iklim juga turut menyebabkan migrasi

haiwan berlaku secara besar-besaran untuk mencari habitat yang sesuai. Perubahan iklim yang berlaku

juga boleh mempengaruhi kesuburan tanah sekali gus menjejaskan hasil tanaman sesebuah negara.

Permasalahan ini boleh menyebabkan bekalan makanan negara terjejas sekiranya tiada tindakan yang

dilaksanakan.

Rajah 5: Pembakaran hutan Amazon, Brazil (Sumber: Reuters)

Page 7: Pendahuluan - TSIS

Impak Pemanasan Global Terhadap Alam Sekitar| 5

Terengganu Strategic & Integrity Institute (TSIS)

Penutup

Tuntasnya, pemanasan global memberi kesan yang begitu banyak kepada persekitaran kehidupan

sama ada manusia mahupun alam semula jadi. Bahkan juga, kesan-kesan daripada pemanasan global

boleh menjejaskan politik, ekonomi dan sosial negara sekiranya tiada tindakan yang proaktif

dilaksanakan oleh negara-negara besar. Pemanasan global merupakan masalah besar dan polemik

isu ini sering diperdebatkan di dunia. Pengurangan kesan-kesan pemanasan global boleh dilakukan

sekiranya mengehadkan pembalakan hutan simpan, meningkatkan aktiviti penanaman semula pokok,

meningkatkan penggunaan tenaga diperbaharui dan mengamalkan budaya kitar semula serta

mengurangkan kebergantungan penggunaan kenderaan persendirian tetapi lebih mengamalkan

pengangkutan awam. Ironinya, kesedaran mengenai hal ini dalam kalangan masyarakat amat kurang

dan tidak hairan ada dalam kalangan masyarakat, langsung tidak tahu mengenai isu pemanasan global.

Oleh itu, semua pihak hendaklah memainkan peranan masing-masing dalam memastikan impak

negatif pemanasan global dapat dikurangkan.

Page 8: Pendahuluan - TSIS

Impak Pemanasan Global Terhadap Alam Sekitar| 6

Terengganu Strategic & Integrity Institute (TSIS)

Senarai Rujukan

Abram, N. J. (2020). Connections of climate change and variability to large and extreme forest fi res in southeast Australia. https://doi.org/10.1038/s43247-020-00065-8

Britannica, C. by. (2012). Perubahan Alam Sekitar Bumi (A. L.Green (ed.)). ITBM.

King, M. D., Howat, I. M., Candela, S. G., Noh, M. J., Jeong, S., Noël, B. P. Y., Broeke, M. R. Van Den, Wouters, B., & Negrete, A. (2005). Dynamic ice loss from the Greenland Ice Sheet driven by sustained glacier retreat. Communications Earth & Environment, 2020, 1–7. https://doi.org/10.1038/s43247-020-0001-2

Muhi, A. H. (2002). Pemanasan Global (Global Warming). Jurnal Teknologi Lingkungan, 3(189), 1–11.

http://ejurnal.bppt.go.id/index.php/JTL/article/view/189

NASA. (2021). in general, any increase in the speed or rate at which some process occur; in technical

use acceleration and speed are not synonymous. 4, 12.

https://earthobservatory.nasa.gov/glossary/all

Najiah Musa & Nadirah Musa. (2021). Tangani perubahan iklim pelihara sektor perikanan. Berita

Harian. https://www.klik.com.my/item/story/18818219/tangani-perubahan-iklim-pelihara-sektor-

perikanan-

Noorazuan Md Hashim. (2017). Kecelaruan iklim global: Satu analisis awal. Malaysian Journal of

Society and Space, 11(11), 24–35.

Olivier, J. G. J., & J.A.H.W, P. (2020). TRENDS IN GLOBAL CO 2 AND TOTAL GREENHOUSE GAS

2019 Report. 2020(May). https://www.pbl.nl/sites/default/files/downloads/pbl-2020-trends-in-

global-co2-and-total-greenhouse-gas-emissions-2019-report_4068.pdf

Rashid, M. A. A. (2018). Pemanasan global di tahap kritikal. 1–5. http://archive.sinarharian.com.my/karya/pendapat/pemanasan-global-di-tahap-kritikal-1.912846

Shukman, D. (2020). Brazil ’ s Amazon : Deforestation ’ surges to 12- year high ’. BBC News, July 2020,

2019–2022. https://www.bbc.com/news/world-latin-america-55130304

Subyanto. (2012). Komponen Biotik dan Abiotik. 16. http://pustaka.pu.go.id/ new/infrastruktur-bendungan-detail.asp?id=159

Sugiarto, A. (2019). Pemanasan Global Sebagai Pertanda Akhir Zaman. 1910, 1–5. https://doi.org/10.31227/osf.io/p2wb7

Tampin, B. (2021). El Nino 2016 bukan sekadar panas , kering. 29–32.

United States Environmental Protection Agency. (2017). Global Emissions by Gas Global Emissions. Gas Emission, 2014, 1–6. https://www.epa.gov/ghgemissions/global-greenhouse-gas-emissions-data.

World Meteorological Organization. (2021). 2020 was one of three warmest years on record. April, 1–6.

Page 9: Pendahuluan - TSIS