kegagalan fasa transisi serlah faktor ketidakstabilan ... · kegagalan fasa transisi serlah faktor...

9

Upload: others

Post on 18-Oct-2020

7 views

Category:

Documents


0 download

TRANSCRIPT

Page 1: Kegagalan Fasa Transisi Serlah Faktor Ketidakstabilan ... · Kegagalan Fasa Transisi Serlah Faktor Ketidakstabilan Politik Libya | 1 Terengganu Strategic & Integrity Institute (TSIS)
Page 2: Kegagalan Fasa Transisi Serlah Faktor Ketidakstabilan ... · Kegagalan Fasa Transisi Serlah Faktor Ketidakstabilan Politik Libya | 1 Terengganu Strategic & Integrity Institute (TSIS)
Page 3: Kegagalan Fasa Transisi Serlah Faktor Ketidakstabilan ... · Kegagalan Fasa Transisi Serlah Faktor Ketidakstabilan Politik Libya | 1 Terengganu Strategic & Integrity Institute (TSIS)

Kegagalan Fasa Transisi Serlah Faktor Ketidakstabilan Politik Libya | 1

Terengganu Strategic & Integrity Institute (TSIS)

Pendahuluan

Libya merupakan antara negara simpanan minyak terbanyak di Timur Tengah dengan

simpanan minyak mentah mencecah 48.4 bilion barel berdasarkan data pada tahun

2018. Namun, meskipun disebalik kekayaan yang dimilikinya, masa depan politik di

Libya terus menjadi persoalan. Libya masih diambang ketidakstabilan politik meskipun

selepas hampir satu dekad menumbangkan rejim autoritarian Muammar Gaddafi pada

tahun 2011.

Sejak tahun 2014, pentadbiran di Libya telah terbahagi kepada dua; Majlis Presiden

(Presidency Council) yang dipimpin Fayez al-Sarraj dan berpusat di Tripoli dan satu

lagi badan pentadbiran adalah Dewan Perwakilan (House of Representative - HoR)

yang berpusat di Tobruk. Majlis Presiden ditubuhkan selepas Perjanjian Politik Libya

(Perjanjian Skhirat) yang ditandatangani pada tahun 2015 dan majlis ini berkuasa

untuk melantik badan eksekutif iaitu Government of National Accord, manakala HoR

pula adalah sebuah badan legislatif. Kedua-dua badan pentadbiran ini mempunyai

paksi dan fungsi yang berbeza, tetapi kedua-duanya juga membawa hala tuju yang

berbeza.

Perpecahan badan-badan pentadbiran ditambah lagi dengan suasana politik yang

tidak menentu menyebabkan konflik yang berterusan. Persoalannya, apakah yang

berlaku disebalik sebuah revolusi yang menjatuhkan seorang pemimpin agung Libya?

Bagaimana proses transisi berlaku pasca revolusi tersebut sehingga mendorong

kepada perpecahan dan ketidakstabilan berpanjangan Kerajaan di sana? Apakah

faktor kepada konflik yang berpanjangan? Persoalan-persoalan ini masih

membelenggu politik Libya.

Penulisan ini cuba mengambil pendekatan merungkai semula latar belakang sejarah

(historical background) bagi meneliti fasa transisi politik di Libya selepas kejatuhan

Gaddafi bermula tahun 2011. Ia akan lebih menjurus kepada menghuraikan

hubungkait kepada tercetusnya konflik politik yang berlaku di Libya pada hari ini.

Fenomena Arab Spring Melanda Libya

Revolusi yang berlaku di Libya telah menamatkan 42 tahun pemerintahan Gaddafi.

Terdapat beberapa sebab yang mendorong tercetusnya revolusi menumbangkan

pemerintahan autokratik di sana. Erdag (2017) menjelaskan bahawa revolusi di Libya

dicetuskan oleh kegagalan sistem pemerintahan Gaddafi itu sendiri. Pemusatan dan

pembahagian kuasa yang tidak seimbang selain amalan nepotisme yang begitu

berakar dalam sistem pemerintahan beliau menjadi bom jangka kepada kebangkitan

rakyat.

Walaupun terdapat garis yang jelas kelemahan politik domestik yang menjadi

pendorong kepada kebangkitan rakyat Libya, suasana politik dunia Arab ketika itu juga

Page 4: Kegagalan Fasa Transisi Serlah Faktor Ketidakstabilan ... · Kegagalan Fasa Transisi Serlah Faktor Ketidakstabilan Politik Libya | 1 Terengganu Strategic & Integrity Institute (TSIS)

Kegagalan Fasa Transisi Serlah Faktor Ketidakstabilan Politik Libya | 2

Terengganu Strategic & Integrity Institute (TSIS)

tidak dapat dinafikan sebagai sebab yang kuat terhadap revolusi yang berlaku.

Gelombang kebangkitan rakyat yang berlaku di negara-negara sekitar Timur Tengah

dan Afrika Utara seperti Tunisia dan Mesir turut menimpa rakyat Libya. Situasi ini telah

memberikan pengaruh kepada kebangkitan rakyat Libya yang mengalami nasib yang

sama ditindas oleh pemerintah negara masing-masing.

Pada 15 Februari 2011, sekumpulan anak muda telah memulakan demonstrasi yang

dikenali sebagai Hari Kemarahan (Day of Rage). Ketika revolusi di beberapa negara

lain bermula di bandar-bandar utama, titik mula kebangkitan rakyat Libya pula

sebaliknya berlaku di Benghazi, bukan di Tripoli yang menjadi pusat pemerintahan

Gaddafi ketika itu.

Rejim Gaddafi menggunakan kekerasan bagi memadamkan kebangkitan rakyat.

Ketiadaan bekalan senjata yang mencukupi daripada kumpulan penentang

menyebabkan revolusi menjadi berat sebelah dan akhirnya memberikan kelebihan

kepada rejim Gaddafi. Keadaan ini akhirnya mendapat perhatian masyarakat global

yang mula mempertikaikan tindakan Gaddafi terhadap rakyatnya sendiri. Majlis

Keselamatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) meluluskan Resolusi 1970

yang meletakkan embargo persenjataan terhadap Gaddafi dan konco-konconya

selain pembekuan terhadap harta dan aset beliau. Pada 17 Mac 2011, Majlis

Keselamatan PBB sekali lagi meluluskan Resolusi 1973 yang menguatkuasakan zon

larangan penerbangan (no-fly zone) di Libya.

Penentangan terhadap rejim Gaddafi menyaksikan campur tangan ketenteraan

daripada pihak luar khususnya dibawah Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO)

yang mahu memastikan resolusi Majlis Keselamatan PBB dikuatkuasakan. Kehadiran

NATO khususnya Perancis yang turut mendapat sokongan daripada Liga Arab seperti

Qatar hanya berlapikkan alasan Responsibility to Protect (R2P) yang telah menjadi

doktrin utama dalam PBB (Boduszyński, 2015).

Tindakan NATO terutamanya Perancis, United Kingdom (UK) dan Ameriksa Syarikat

(AS) yang menguatkuasakan zon larangan penerbangan, mengebom pusat

pemerintahan Gaddafi serta menyalurkan bantuan persenjataan kepada kumpulan

penentang di sana berjaya mempercepatkan langkah menumbangkan rejim Gaddafi.

Campur tangan asing ini adalah catalyst kepada tumbangnya sebuah rejim yang

berkuasa selama beberapa dekad di sana.

Meskipun prinsip R2P itu diterima sebagai suatu sokongan kemanusiaan ketika krisis

melanda sesebuah negara, namun penyertaan NATO tersebut tidak memulihkan

suasana di sana. Ia sebaliknya menyebabkan peningkatan ketegangan politik

domestik khususnya dalam kalangan puak kabilah di Libya serta menampakkan sikap

pendakwaan terpilih (selective prosecution) Barat terhadap dunia Arab. Hal yang

demikian kerana NATO sendiri tidak bertindak melakukan intervensi ketenteraan di

Page 5: Kegagalan Fasa Transisi Serlah Faktor Ketidakstabilan ... · Kegagalan Fasa Transisi Serlah Faktor Ketidakstabilan Politik Libya | 1 Terengganu Strategic & Integrity Institute (TSIS)

Kegagalan Fasa Transisi Serlah Faktor Ketidakstabilan Politik Libya | 3

Terengganu Strategic & Integrity Institute (TSIS)

negara-negara Arab sekitarnya yang turut menghadapi kebangkitan rakyat seperti

yang dilakukan terhadap Libya.

Pada Ogos 2011, pakatan pembangkang Libya bersatu dibawah National Transitional

Council (NTC) ketika rejim Gaddafi berada dalam keadaan yang semakin lemah.

Pakatan ini telah berjaya menguasai Tripoli, pusat pemerintahan Gaddafi dan

meneruskan langkah menguasai Sirte. NTC yang dipimpin Musfata Abdul Jalil turut

mendapatkan pengiktirafan daripada Rusia dan China. Misi Sokongan PBB di Libya

(UNSMIL) juga turut mula menguatkuasakan resolusi baharu terhadap Libya bagi

memastikan pembangunan politik dan sosio ekonomi rakyat Libya pasca revolusi

berjalan dengan lancar.

Akhirnya, kejatuhan rejim Gaddafi menemui titik noktah dengan terbunuhnya

pemimpin Libya tersebut pada Oktober 2011 di Sirte, wilayah yang juga merupakan

tempat kelahirannya menjadikan wilayah ini sebagai suatu simbol yang penting

kepada Libya sehingga hari ini.

Transisi Politik: Sebuah Persoalan Masa Depan

Walaupun rejim Gaddafi telah tumbang sepenuhnya, namun Libya tidak bangkit

selepasnya sebagai sebuah negara baharu. Bahkan Libya menjadi negara yang lebih

teruk berbanding sebelumnya. Suasana ketidakstabilan (instability) serta tidak

selamat (insecurity) terus membelenggu suasana politik Libya pasca revolusi.

Meskipun proses revolusi telah berjaya menumbangkan rejim Gaddafi, namun fasa

yang lebih penting adalah proses transisi bagi membangunkan semula sistem politik

dan sosio-ekonomi yang menjadi antara pencetus kepada kebangkitan rakyat

sebelum ini. Ia menjadi suatu titik persimpangan yang penting bagi Libya. Walau

bagaimanapun, konflik berpanjangan yang sedang dihadapi Libya pada hari ini

menggambarkan kelemahan proses transisi yang berlaku.

Kebangkitan kumpulan bersenjata di Libya (lihat Erdag, 2017; Asseburg & Wimmen,

2016; Silvestri, 2018) semasa revolusi berlangsung semakin tidak terkawal selepas

revolusi di sana telah berakhir. Antara kumpulan bersenjata yang lahir selepasnya

adalah seperti Libyan Dawn serta Libyan National Army yang kekal menjadi kumpulan

penentang bersenjata sehingga hari ini. Kumpulan-kumpulan bersenjata ini menerima

bantuan persenjataan daripada kuasa-kuasa asing semasa revolusi berlangsung

sehingga menyebabkan keberadaan mereka lebih kukuh dan sukar untuk dikawal

(Mather, 2014). Situasi ini menyebabkan langkah pembinaan semula politik dan

pentadbiran di sana menjadi tergendala.

Kewujudan kumpulan bersenjata yang berakar dan tidak terkawal dalam medan politik

di Libya ini telah mendorong kepada usaha membangunkan Libya pasca revolusi tidak

mencapai hasrat yang sepatutnya. Malah, usaha PBB untuk memobilisasi resolusi

Page 6: Kegagalan Fasa Transisi Serlah Faktor Ketidakstabilan ... · Kegagalan Fasa Transisi Serlah Faktor Ketidakstabilan Politik Libya | 1 Terengganu Strategic & Integrity Institute (TSIS)

Kegagalan Fasa Transisi Serlah Faktor Ketidakstabilan Politik Libya | 4

Terengganu Strategic & Integrity Institute (TSIS)

Majlis Keselamatan mengenai keselamatan awam dan pembangunan politik dan

ekonomi di sana juga akhirnya menemui jalan buntu. Situasi ini menyebabkan kepada

ketidakstabilan politik yang berpanjangan, ditambah lagi dengan situasi badan-badan

antarabangsa yang juga tidak lagi berminat untuk mengambil bahagian terhadap

perkembangan yang berlaku di Libya (Erdag, 2017).

Selain faktor penguasaan kumpulan bersenjata, ketidakstabilan institusi-institusi

politik dan pentadbiran di Libya juga menjadi penyebab utama kepada kegagalan

proses transisi. Parti-parti politik yang terbentuk pasca revolusi masing-masing

mempunyai agenda dan kepentingan tersendiri (Silvestri, 2018). Ketiadaan satu

piagam yang jelas menjarakkan lagi perpecahan dalaman yang wujud. Kelemahan

institusi-institusi politik ini juga telah menyebabkan proses pembentukan kerangka

perlembagaan negara juga tidak mempunyai hala tuju yang jelas (Boduszyñski &

Pickard, 2013) apatah lagi NTC sendiri tidak dapat berfungsi dengan baik.

Perpecahan Politik Domestik Libya

Perpecahan sistem politik di Libya semakin jelas selepas pilihanraya pada Jun 2014.

Libya terbahagi kepada dua bentuk pentadbiran iaitu House of Representative (HoR),

badan legislatif yang berpusat di Tobruk manakala Majlis Presiden yang mempunyai

kuasa melantik badan eksekutif, Government of National Accord yang berpusat di

Tripoli.

Usaha membentuk struktur politik Libya yang lebih stabil masih menemui jalan buntu.

Hal yang demikian kerana keretakan sistem politik dalaman terus menjadi faktor

utama yang menyumbang ketidakstabilan di negara berkenaan. Badan legislatif HoR

sendiri menolak keanggotaan Government of National Accord walaupun berdasarkan

perjanjian Politik Libya yang ditandatangani pada tahun 2015 menunjukkan HoR perlu

memberikan persetujuan terhadap pelantikan Government of National Accord.

Walaupun begitu pihak Government of National Accord masih mengekalkan kuasa di

Tripoli sehingga ke hari ini, namun badan pemerintah tersebut masih gagal menguasai

keseluruhan wilayah di Libya sendiri khususnya Sirte dan Benghazi yang dikuasai

kelompok bersenjata Libyan National Army. Situasi ini secara tidak langsung

menunjukkan pengaruh angkatan bersenjata masih kuat sehingga menggugat kepada

keselamatan di negara berkenaan.

Libya Dan Masa Depan

Tentunya sukar untuk menjelaskan masa depan Libya ketika ini. Pertamanya tembok

besar yang menghalang kepada keutuhan politik adalah berpunca daripada

ketidakstabilan dan perpecahan politik domestik yang berlaku. Usaha UNSMIL untuk

merundingkan genjatan senjata bagi membina tapak-tapak penyatuan kedua-dua

kumpulan yang bertelagah tersebut masih diperingkat awal. Usaha penyatuan ini

Page 7: Kegagalan Fasa Transisi Serlah Faktor Ketidakstabilan ... · Kegagalan Fasa Transisi Serlah Faktor Ketidakstabilan Politik Libya | 1 Terengganu Strategic & Integrity Institute (TSIS)

Kegagalan Fasa Transisi Serlah Faktor Ketidakstabilan Politik Libya | 5

Terengganu Strategic & Integrity Institute (TSIS)

melibatkan beberapa aktor utama dalam politik Libya itu sendiri antaranya Fayez al-

Sarraj, Perdana Menteri Government of National Accord, Aguila Saleh, pemimpin HoR

yang mempunyai hubungan rapat dengan Komander Khalifa Haftar, pemimpin Libyan

National Army serta Khaled Mishri, pemimpin Majlis Negeri (State Council), sebuah

badan konsultansi yang berpusat di Tripoli.

Apa yang lebih sukar adalah pengaruh kuasa-kuasa asing yang begitu kuat berakar

di Libya ketika ini. Government of National Accord sendiri mendapat sokongan Turki,

manakala Libyan National Army pula mendapat sokongan Rusia, Mesir dan UAE.

Terbaru, badan legislatif HoR yang bersekutu dengan Libyan National Army bersetuju

untuk membenarkan campur tangan Mesir bagi menangkis kemaraan Government of

National Accord. Penglibatan kuasa-kuasa asing ini khususnya pertembungan

kepentingan di antara Turki dan Rusia telah menjadi salah satu topik penting yang

sentiasa dibangkitkan pemerhati antarabangsa.

Pertemuan Presiden Rusia, Vladimir Putin dan pemimpin Turki, Recep Tayyip

Erdogan pada 8 Januari awal tahun lalu menegaskan bahawa kedua-dua pihak perlu

memainkan peranan bagi memastikan kestabilan dan kesalamatan di Libya harus

dicapai bersama. Namun, ia tidak memberikan apa-apa kesan kepada kestabilan

politik di Libya. Bahkan penyaluran senjata asing serta peningkatan askar upahan

menunjukkan kedua-dua pihak berusaha memastikan kepentingan pihak Government

of National Accord dan Libyan National Army masing-masing terus dipelihara.

Hakikatnya masa depan Libya terletak di tangan rakyat itu sendiri. Rundingan demi

rundingan adalah kunci kepada kestabilan politik di sana. Walaupun sukar untuk

menolak penglibatan kuasa luar yang sentiasa mengintai peluang, kewujudan campur

tangan asing telah membina tembok kepada penyelesaian masalah di sana. Negara-

negara berkepentingan sewajarnya menyokong usaha yang dimainkan UNSMIL

ketika ini serta berusaha menyatukan kedua-dua pihak Government of National

Accord, House of Representative (HoR) mahupun Libyan National Army ke meja

rundingan. Malah, inilah masanya Libya kembali sebagai sebuah negara dengan

sistem politik baharu selepas hampir satu dekad revolusi.

Page 8: Kegagalan Fasa Transisi Serlah Faktor Ketidakstabilan ... · Kegagalan Fasa Transisi Serlah Faktor Ketidakstabilan Politik Libya | 1 Terengganu Strategic & Integrity Institute (TSIS)

Kegagalan Fasa Transisi Serlah Faktor Ketidakstabilan Politik Libya | 6

Terengganu Strategic & Integrity Institute (TSIS)

SENARAI RUJUKAN

Boduszyński, M. P. (2015). The external dimension of Libya’s troubled transition: the international community and ‘democratic knowledge’ transfer. Journal of North African Studies, 20(5), 735–753. https://doi.org/10.1080/13629387.2015.1081462

Boduszyñski, M. P., & Pickard, D. (2013). Libya starts from scratch. Journal of Democracy, 24(4), 86–96. https://doi.org/10.1353/jod.2013.0073

Gledhill, J. (2013). Conclusion: Managing (In)security in post-arab spring transitions. PS - Political Science and Politics, 46(4), 736–739. https://doi.org/10.1017/S1049096513001194

McQuinn, B. (2013). Assessing (In)security after the Arab Spring: The Case of Libya. PS - Political Science and Politics, 46(4), 716–720. https://doi.org/10.1017/S1049096513001170

Erdağ, R. (2017). Libya in the Arab Spring: From Revolution to Insecurity. In Palgrave Macmillan. https://doi.org/10.1057/978-1-137-58772-5

Buckley, C. A. (2012). Learning from Libya, Acting in Syria. Journal of Strategic Security, 5(2), 81–104. https://doi.org/10.5038/1944-0472.5.2.5

Silvestri, M. A. S. (2018). The Conflict Resolution, Security and State-Building Process in Libya. ILIRIA International Review, 8(2), 149–169.

Mather, Y. (2014). The Arab spring and its unexpected consequences. Critique, 42(1), 73–86. https://doi.org/10.1080/03017605.2014.909977

Asseburg, M., & Wimmen, H. (2016). Dynamics of transformation, elite change and new social mobilization in the Arab World. Mediterranean Politics, 21(1), 1–22. https://doi.org/10.1080/13629395.2015.1081448

Page 9: Kegagalan Fasa Transisi Serlah Faktor Ketidakstabilan ... · Kegagalan Fasa Transisi Serlah Faktor Ketidakstabilan Politik Libya | 1 Terengganu Strategic & Integrity Institute (TSIS)