edu 3093 asg.docx

Upload: lee-yih-chuinn

Post on 09-Oct-2015

146 views

Category:

Documents


3 download

TRANSCRIPT

1.0 Pengenalan Dengan globalisasi yang semakin rancak menguasai dunia-dunia dalam pelbagai bidang seperti politik, sosial, pendidikan dan ekonomi ianya memberikan kelebihan menerusi perkembangan profesionalisme keguruan dalam bidang pendidikan khasnya. Sebagai contoh, menerusi globalisasi dalam pendidikan ia dapat meluaskan peluang kepada guru dalam perkhidmatan dan guru dalam latihan dari aspek pendidikan guru dan peningkatan taraf profesionalisme. Ini dilihat menerusi adanya peluang melanjutkan pelajaran dalam bidang-bidang yang ditawarkan bagi memantapkan diri dengan ilmu dan kemahiran dalam sesuatu tempoh yang telah ditetapkan mampu meningkatkan lagi taraf profesionalisme keguruan.Selain itu, menerusi globalisasi ianya dapat meluaskan pengetahuan guru secara global. Seperti yang kita sedia tahu, guru perlu sentiasa mengekalkan nilai intelektualnya kerana guru merupakan agen perubahan dalam menghasilkan produk berkualiti atau modal insan yang diperlukan di Negara kita. Guru perlulah peka dengan perkembangan semasa kerana selain daripada memikul tanggungjawab untuk menyalurkan ilmu kepada murid, guru turut menjadi sumber rujukan dan teladan bagi masyarakat di sekeliling.Dengan globalisasi guru juga dapat meningkatkan kemahiran ICT dan interaksi global yang mana ianya meluaskan konsep pembelajaran mengatasi bilik darjah. Contohnya, dengan kemahiran teknologi maklumat dan komunikasi, guru dapat melaksanakan proses pengajaran dan pembelajaran yang merentasi penyediaan pengalaman murid tanpa terbatas. Contohnya, murid berpeluang melihat keadaan gunung berapi, keadaan di kutub utara dan menyelami di dasar laut menerusi carian laman web bagi video pendidikan di internet.Proses globalisasi ini dapat meletakkan profesion keguruan sebagai satu profesion yang penting. Ini kerana kemajuan sesebuah negara adalah diukur dengan sama ada berjayanya sesebuah negara itu untuk menghasilkan modal insan berguna yang akan membangunkan negaranya setaraf dengan negara maju yang lain.

2.0 DefinisiGlobalisasi Pendidikan adalah merupakan satu daripada cabaran yang berlaku dalam pendidikan masa kini yang perlu sentiasa dikaji dan diperhalusi. Sebelum dikaji dengan lebih mendalam tentang cabaran dalam globalisasi pendidikan, definisi globalisasi pendidikan perlu difahami dengan jelas agar isu ini dapat ditangani dengan baik dan mendasari dari peringkat akar umbi. Di dalam kamus dewan edisi keempat, globalisasi adalah didefinisikan sebagai proses yang membolehkan sesuatu aktiviti seperti ekonomi, kebudayaan dan sebagainya disebarkan atau diperluas ke peringkat antarabangsa atau keseluruh dunia, terutamanya dengan adanya kemudahan sistem komunikasi serta dasar terbuka. (Kamus Dewan Edisi 4, 2005) Menurut Syed Ismail dan Ahmad Subki (2010), globalisasi membawa maksud satu cara hidup dunia tanpa sempadan dan saling berkaitan antara satu sama lain. Selain itu, ia merujuk kepada perpindahan nilai, terutamanya cara berfikir dan gaya bertindak dari satu daerah dunia kepada daerah dunia yang lain (Syed Ismail dan Ahmad Subki,2010). Pandangan Mok Soon Sang (2007) pula menyatakan globalisasi bermaksud merentasi sempadan dan media. Bagi Michael Gibbons (2003) dalam Mok Soon Sang (2007), Setiausaha Agong Persatuan Universiti Komanwel (ACU) berpendapat bahawa globalisasi merupakan suatu proses berterusan dalam perindustrian pendidikan yang telah berlaku lama dahulu. Maka, globalisasi pendidikan membawa definisi proses perubahan untuk amalan dan pelaksanaan pengajaran yang berkualiti (Michael Gibbons,2003). Menurut beliau lagi, globalisasi pendidikan akan memberi tekanan kepada guru agar dapat mengubah cara pengajaran tradisional kepada pengajaran moden serta berpandukan kepada hasil dapatan penyelidikan pendidikan yang terkini. Globalisasi dalam sistem pendidikan negara telah memberi banyak kesan terhadap pendidikan negara pada hari ini.Tindak balas daripada keterbukaan idea dalam keperluan dunia pendidikan hari ini telah memberi kesan yang baik kepada kualiti hidup masyarakat pelbagai kaum di negara ini.Scholte (2000), menyatakan globalisasi ialah satu proses menyingkirkan batasan atau sekatan kerajaan mengenai pergerakan antara Negara supaya mewujudkan satu ekonomi dunia yang terbuka dan tanpa sempadan. Berdasarkan himpunan penulisan dan pandangan bekas Perdana Menteri kita, Tun Dr. Mahathir Mohamed sewaktu beliau menjadi Perdana Menteri Malaysia, beliau telah mengingatkan agar masyarakat Malaysia supaya tidak dipengaruhi dengan arus globalisasi sehingga berjaya menghancurkan mereka, dan sebaliknya kita perlu membina kekuatan dan menangkis segala unsur-unsur negatif yang membawa kesan buruk kepada kita.

3.0 Isi JawapanArtikel yang memetikucapan Tan Sri Muhyiddin Yassin di Forum Pembelajaran dan Teknologi Baru 2010 di Pusat Persidangan Queen Elizabeth II berkenaan dengan penguasaan guru dalam teknologi maklumat dan komunikasi turut mengulas serba sedikit berkenaan dengancabaran teknologi maklumat dan komunikasi dalam pendidikan.Menurut Wan Mustama (2004), cabaranteknologi maklumat dan komunikasi dalam pendidikan terbahagi kepada lima aspek. Apek pertama adalah berkenaan dengan kesukaran menghabiskan sukatan pelajaran. Aspek kedua adalah halangan pihak pentadbiran sekolah. Aspek ketiga adalah berkaitan dengan sikap negatif guru. Aspek kedua terakhir adalah maklumat dan laporan tidak tepat serta aspek terakhir adalah berkaitan dengan jurang digital.Apek pertama adalah berkenaan dengan kesukaran menghabiskan sukatan pelajaran. Sukatan pelajaran merupakan satu garis panduan bagi setiap warga pendidik. Amnya perancangan yang baik amat perlu dititikberatkan dalam menyusun atur waktu proses pengajaran dan pembelajaran agar mencakupi kesuluruhan topik dan aspek yang telah dimuatkan di dalam sukatan pelajaran. Keadaaan ini secara tidak langsung telah menjadi satu cabaran bagi guru-guru dalam menerapkan penggunaan teknologi maklumat dan komunikasi dalam pendidikan.Menurut Naim Hj. Ahmad (2000), penggunaan internet untuk diakses dan dilayari memerlukan masa yang agak lama untuk diaplikasikan sewaktu proses pengajaran dan pembelajaran. Beliau juga telah mengutarakan penyediaan alatan teknologi seperti LCD mengambil masa yang lama terutamanya kepada guru-guru lama yang tidak mempunyai pengetahuan dan kemahiran berkenaan teknologi. Hal ini dilihat mampu menjejaskan waktu proses pengajaran dan pembelajaran sekaligus menganggu perancangan bagi menghabiskan sukatan pelajaran.Seterusnya adalah berkenaan dengan aspek kedua cabaran teknologi maklumat dan komunikasi dalam pendidikan iaitu berkenaan dengan halangan pihak pentadbiran sekolah. Penyampaian ilmu pengetahuan kepada murid sememangnya diakui dapat dipercepatkan dan dipermudahkan melalui pengaplikasian teknologi maklumat dan komunikasi.

Realitinya menurut Muhamad Hasan Adul Rahman (2000) terdapat segelintir pihak pentadbiran sekolah yang meletakkan prosedur yang ketat kepada para guru yang ingin menggunakan alatan-alatan teknologi sebagai bahan bantu mengajar. Hal ini adalah kerana alatan tersebut memerlukan infrastruktur yang berkos tinggi dan penyelenggaraan yang baik. Implikasinya guru-guru lebih selesa menggunakan kaedah pengajaran dan pembelajaran biasa berbanding bahan teknologi maklumat.

Aspek ketiga bagi cabaranteknologi maklumat dan komunikasi dalam pendidikan adalah berkaitan dengan sikap negatif guru. Kebanyakan guru telah sebati dengan kaedah pengajaran tradisional dan sukar menyesuaikan diri dengan teknologi intruksional. Yusup Hasyim (1998) mempersetujui kenyataan yang telah dikeutarakan oleh Becker & Watt (1966) iaitu ledakan teknologi maklumat dan komunikasi memberi cabaran baharu kepada profesion guru dan sistem pendidikan.

MenurutBecker & Watt (1966) juga, ada kalangan guru yang buta teknologi maklumat dan komunikasi, menyebabkan timbul sikap negatif dan tidak berminat mengajar menggunakan teknologi maklumat dan komunikasi selain sikap malas menyediakan bahan atau peralatan teknologi maklumat dan komunikasi untuk pengajaran.

Cabaran berkenaan sikap negatif guru dapat diselesaikan apabila pemikiran guru lebih bersifat keterbukaan dalam menerima perubahan-perubahan baru dalam dunia pendidikan. Maizun Binti Jamil (2009) menyokong pendapat Steers & Black (1994) iaitu persediaan mental, pengetahuan dan kemahiran dalam kalangan anggota adalah penting ke arah sesuatu perubahan dalam sesebuah organisasi. Latihan yang cukup akan membantu guru menambahkan pengetahuan dan kecekapan terhadap alatan teknologi maklumat dan komunikasi sekaligus menimbulkan minat dikalangan guru-guru tersebut.

Aspek keempatcabaranteknologi maklumat dan komunikasi dalam pendidikan adalah maklumat dan laporan yang tidak tepat.Amnya tugas guru tidak hanya meliputi proses pengajaran dan penyampaian ilmu pengetahuan malahan juga melibatkan kerja-kerja pengkeranian yang memerlukan guru-guru merekodkan dan memasukkan data-data berkenaan prestasi murid dalam sistem. Namun proses memasukkan data yang dikendalikan melalui sesuatu perisian terdedah kepada pemprosesan dan penganalisisan laporan serta maklumat yang tidak tepat. Hal ini mungkin disebabkan oleh proses kemasukan data yang terlalu banyak dan berterusan. MenurutZoraini Wati Abas (1993),kesilapan juga boleh berlaku terhadap data prestasi murid sekiranya berlaku kecuaian semasa memasukkan data atau kesilapan dalam pembangunan sistem data itu sendiri kerana kompleksnya sesuatu sistem data tersebut.

Aspek terakhir bagicabaranteknologi maklumat dan komunikasi dalam pendidikan adalah jurang digital. Jurang digital terbentuk apabila berlakunya ketidakseimbangan yang wujud di kalangan masyarakat. Ketidakseimbngan ini amnya merangkumi aspek ekonomi, kemudahan infrastruktur, pendapatan, pemodenan, pendidikan dan sebagainya dan hal ini secara tidak langsung turut memberikan impak terhadap kemajuan teknologi maklumat dan komunikasi dan digital di sekolah.

Ab. Rahim Selamat (1992) menyatakan bahawa situasi jurang digital menyebabkan pengajaran guru kurang berkesan dan tidak dapat diaplikasi di luar bilik darjah memandangkan sosioekonomi murid murid di luar bandar yang rendah. Penggunaan komputer yang terhad dan tidak berterusan boleh membantutkan penerimaan ilmu pengetahuan yang hendak disampaikan.Selain itu, Ab. Rahim Selamat juga mengakui wujudnya jurang perbezaan dari segi taburan penggunaan teknologi maklumat dan komunikasi di antara kawasan Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak serta kawasan Lembah Klang dan kawasan lain di Semenanjung Malaysia.

4.0 Kepentingan isu/ cabaran yang dipilih

Menurut Hallinger (1998), globalisasi telah mendorong berlakunya anjakan paradigma yang amat ketara di kebanyakan negara dalam konteks untuk mencari makna terhadap kualiti pendidikan dan juga kurikulum yang ditawarkan. Ini bermaksud, terdapat perubahan kurikulum terutama dari segi strategi pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran telah diperkenalkan seperti:-a) Sekolah Bestari: Tumpuan kepada proses pengembangan dan pemupukan pembelajaran dengan menggunakan komputer dan penggunaan multimedia.

b) Projek Sekolah Net: Penggunaan komputer peribadi dan persekitaran Local Area Network (LAN). Guru berfungsi sebagai penerima maklumat sesuatu bahan kurikulum dan pembelajaran daripada luar dan kemudiannya menyalur kepada pelajar. Ini memberi peluang kepada pelajar mendapat kemahiran dan maklumat sesuai dengan keupayaan mereka dan aplikasi pelbagai stail pembelajaran.

c) Projek Smart Lab: Menggunakan jaringan komputer bagi membolehkan pelajar mengakses ilmu dan maklumat daripada pelbagai sumber dengan guru berfungsi sebagai pemandu, pelayar dan pemudahcara.

d) Projek Sekolah Vista: Perisian aplikasi bagi pengurusan bilik darjah untuk pengajaran dan pembelajaran. Ini bagi membolehkan guru menguruskan bilik darjah dengan berkesan dan memberi peluang kepada pelajar berkomunikasi secara elektronik dengan rakan dan guru.

Tambahan pula, perkembangan dari segi penggunaan teknologi maklumat, kurikulum di Malaysia juga telah disemak dan diberi nilai tambah supaya kurikulum tersebut adalah relevan dan berupaya untuk menyediakan pelajar dengan kemahiran tertentu bagi menghadapi persekitaran global setelah mereka melepasi alam persekolahan.

Cabaran yang seterusnya adalah dalam pengurusan pendidikan. Dalam hal ini, pengurusan pendidikan telah mengalami transformasi dalam perkembangan dunia global terutama dari segi penggunaan teknologi telekomunikasi dan pengkomputeran. Beberapa perisian baru telah diaplikasikan yang dikenali sebagai Pengurusan Maklumat Sekolah(School Management InformationSystem)bagi meningkatkan kecekapan dalam pengurusan pendidikan.Menurut Rahmad Sukor (2006), aplikasi tersebut sedikit sebanyak membantu dalam pengurusan pendidikan seperti:- Membantu dan mempermudahkan pengurus sekolah membuat keputusan. Meningkatkan kecekapan pengurusan dan pentadbiran. Mengurangkan beban pengurus dalam melaksanakan tugas yang pelbagai. Meningkatkan kecekapan sistem pengurusan fail. Memudah dan menjimatkan masa dari segi mengumpul, memproses dan Menyimpan data seperti laporan kehadiran pelajar. Meningkatkan kecekapan dalam penyediaan gred/markah peperiksaan pelajar. Penempatan pelajar dalam kelas. Membuat agihan jadual waktu mengajar guru. Pembinaan jadual waktu guru. Membuat agihan sumber kewangan, buku teks, dan sebagainya. Menyimpan data mengenai stok dan inventori sekolah serta pelbagaiurusan rutin yangdikendalikan pentadbir dan guru.

Hussein Ahmad (2001) memberi penegasan bahawa proses globalisasi yang melanda dunia telah membawa perubahan yang mendadak kepada perlakuan hidup dan norma kehidupan manusia di seluruh dunia. Sama ada sesebuah Negara itu kecil atau besar, pedalaman benua mahupun di kepulauan kecil, di pergunungan tinggi mahupun di lereng, kaki dan lembah bukit, kesemuanya telah menerima tempias dan pengaruh fenomena globalisasi. Kesan yang paling ketara akibat daripada pengaruh globalisasi adalah perubahan gaya hidup terutama dalam kalangan anak-anak remaja di bangku sekolah yang begitu terpengaruh dengan amalan negatif kehidupan Barat.

Seterusnya, usaha yang dilihat menerusi cabaran globalisasi dalam perkembangan profesionalisme keguruan ialah dapat meningkatkan kualiti guru sama ada dari segi kelayakan akademik, kepakaran dalam pengajaran, kualiti professional dan kualiti personal atau kepimpinan guru dalam organisasi sekolah dan masyarakat, meluaskan pengetahuan guru bersifat global, kemahiran ICT dan interaksi global membolehkan guru meluaskan konsep pembelajaran mengatasi halangan bilik darjah dan birokrasi sekolah, meluaskan peluang kepada guru perkhidmatan dan guru-guru dalam latihan dari segi pendidikan guru dan peningkatan taraf profesionalisme dan sebagainya.

5.0 Ciri-ciri guru dalam menyahut cabaran

Untuk menangani cabaran-cabaran yang dihadapi tersebut, seseorang guru itu perlulah mempunyai ciri dan kualiti yang professional sesuai dengan proses globalisasi ini. Cabaran guru untuk merealisasikan Misi Kementerian Pendidikan, khasnya meningkatkan kualiti sekolah ialah guru haruslah sentiasa meningkatkan taraf professional melalui latihan dalam perkhidmatan, pelaksanaan penyelidikan tindakan secara kolaborasi, membuat refleksi kendiri, memupuk budaya ilmu, menambah ilmu dan kemahiran melalui e-pembelajaran dan mengaplikasikan pengetahuan dan kemahiran yang terkini untuk merancang serta melaksanakan aktiviti pengajaran dan pembelajaran secara berkesan.

Oleh itu, untuk mencapai matlamat tersebut, seorang guru hendaklah memiliki beberapa ciri khas dalam cabaran globalisasi pendidikan. Ciri-ciri seperti iltizam, mempunyai wawasan, berpandangan positif, berpengetahuan, fleksibel dan mudah menyesuaikan diri dalam reformasi, inovasi dan perubahan pendidikan serta mahir dalam IT adalah penting sekali untuk dimiliki oleh seorang guru untuk menangani cabaran globalisasi pendidikan.

Ciri yang pertama iaitu bersikap iltizam ataupun komited adalah menjalankan tugas dengan penuh semangat dan dedikasi. Skop tugasan guru adalah pengajaran dan pembelajaran murid. Tugasan ini perlu dirancang dan dilaksanakan dengan terperinci dan teliti. Guru perlulah melaksanakan tugasan dan tanggungjawab dengan sepenuh hati tanpa mengira masa.

Sebagai contoh, seorang guru mungkin dikehendaki menjalankan aktiviti pada hujung minggu. Pada ketika ini guru tidak haruslah menganggapnya sebagai beban yang amat berat tetapi harus difikirkannya sebagai ianya bukan selalu dan adalah sebahagian daripada tugas kita untuk menyampaikan ilmu kepada murid-murid kita. Seorang guru juga haruslah memastikan bahawa potensi diri berjaya dipupuk dan direalisasikan selain daripada menjadikan diri sendiri sebagai contoh dan teladan kepada murid-murid.

Selain itu, seorang guru juga perlu berpandangan jauh dan mempunyai visi ataupun wawasan terutamanya dalam perkembangan pendidikan demi mencapai matlamat kecemerlangan pendidikan Negara dalam alaf baru. Seorang guru yang berwawasan akan senantiasa bercita-cita tinggi bahawa murid-murid dan dirinya sendiri akan dapat mencapai sesuatu yang terbaik pada masa akan datang. Guru sedemikian tidak akan berputus asa untuk mendidik anak muridnya, dan sebaliknya hanya akan lebih berusaha sahaja untuk menaiktaraf ataupun mengubahsuaikan cara mengajarnya dari semasa ke semasa demi memastikan bahawa anak murid yang dididiknya adalah memperoleh satu pendidikan yang paling lengkap dan berkualiti sekali.

Tambahan pula, guru juga perlu berpandangan positif iaitu memperlihatkan reformasi dan inovasi pendidikan serta perubahan kurikulumnya dalam perspektif yang positif yang boleh mendatangkan manfaat kepada diri, murid-murid, masyarakat dan Negara contohnya peka kepada perubahan dalam setiap aspek, sedar tentang keperluan Negara dan bersikap positif terhadap pembelajaran. Seseorang guru juga perlu menunjukkan inovasi dalam tugasnya dengan menggunakan cara pengajaran yang terdiri daripada pelbagai variasi dan dimensi dalam proses P&P. Ini disusuli dengan ciri guru yang seharusnya berpengetahuan, fleksibel dan mudah menyesuaikan diri dalam reformasi, inovasi dan perubahan pendidikan. Guru yang mempunyai ciri sedemikian akan adanya inovasi dalam menjalinkan hubungan sosial dengan orang lain. Sebagai contoh, dia akan mendekati murid-muridnya dengan caranya yang tersendiri yang tidak akan memberikan tekanan kepada murid-murid tersebut. Guru juga akan bersikap berperkerti mulia, mudai suai serta mempunyai daya kepimpinan untuk memimpin murid-murid ataupun sesuatu jawatankuasa. Selain itu, guru tersebut juga peka dan menyedari tentang perubahan persekitaran dari semasa ke semasa dan mengamalkan sifat toleransi terhadap anak muridnya dalam bilik darjah.Di samping itu, satu ciri lagi yang tidak boleh diabaikan oleh guru dalam menghadapi cabaran globalisasi pendidikan adalah mahir dalam ICT. Menurut Abd. Rahim (2000), menyatakan bahawa Malaysia sebagai pusat kecemerlangan pendidikan memerlukan satu rombakan baharu dalam dasar pendidikan tinggi khususnya dari segi liberalisasi, pendemokrasian dan reformasi pendidikan tinggi.Justeru, guru hari ini perlu menguasai konsep pengajaran berbantukan komputer agar pemahaman yang mantap terhadap konsep tersebut dapat memberi kesan kepada mutu pengajaran dan pembelajaran guru. Kajian yang dijalankan oleh Saad Al Kahtani (1999) menunjukkan penggunaan komputer dalam pengajaran menulis karangan dapat memberi kesan terhadap pencapaian pelajar. Masalah dalam penggunaan komputer perlu dihadapi dengan memberikan penekanan kepada penggunaan ICT dalam pengajaran sebagaimana yang ditekankan oleh Kementerian Pelajaran. Sukatan pelajaran Bahasa Melayu perlu dirujuk untuk melihat keperluan menggunakan komputer dalam pengajaran. Selain itu, penekanan pengajaran secara integrasi dalam mata pelajaran yang lain juga mampu untuk membantu pelajar mahir dalam sesuatu tajuk (Hokanson & Hooper, 2004).Kepercayaan kini perisian multimedia berbantukan komputer adalah cara mentransformkan pendidikan yang paling efisien dan berkesan. Menurut Ismail (2002), perisian multimedia boleh menjadi pemudah cara yang kuat bagi pengajaran dan pembelajaran dengan sebab-sebab dan kebijaksanaan untuk berjaya. Sebagai contoh, seorang guru boleh menggunakan aplikasiMicrosoft Exceldalam subjek matematik untuk memperolehi nilai tambah, tolak, bahagi dan darab melalui simbolAutosum. Keadaan ini bukan sahaja dapat memberi satu pendekatan pengajaran yang baharu tetapi memberi satu nilai tambah kepada para pelajar terutamanya murid-murid di sekolah rendah bagi meminati subjek matematik yang dikatakan susah.

5.0 Sumbangan/tanggungjawab guru kepada anak murid

Dalam alaf baru, guru hendaklah bersifat dinamik. Guru dinamik adalah guru yang sentiasa responsif dan berupaya menyesuaikan diri untuk menghadapi perubahan dari masa ke masa. Guru dinamik penting kerana hanya guru dinamik sahaja yang dapat mengatasi cabaran baru yang sering timbul, contohnya cabaran dalam globalisasi pendidikan. Selain itu, sebuah sekolah yang dinamik turut berkebolehan memainkan peranannya dengan berkesan demi memenuhi aspirasi dan kehendak individu, masyarakat dan Negara.Guru pada asasnya hendaklah mempunyai pengetahuan yang mendalam tentang sesuatu mata pelajaran yang diajarnya. Ini ditambah lagi dengan guru tersebut yang mengetahui serta menguasai kaedah yang ingin digunakan dalam setiap pengajarannya. Kebanyakan kualiti kecekapan dan sahsiah serta kecerdasan emosi guru adalah hasil daripada latihan yang membolehkan seseorang guru menguruskan pengajarannya dengan berkesan. Latihan yang dimaksudkan di sini adalah termasuk kefahaman terhadap sifat kejasmanian dan sifat psikologi kanak-kanak serta teori penyampaian pelajaran.Di samping itu, guru juga adalah diharapkan untuk menjadi pengganti ibu bapa di sekolah. Sekolah adalah merupakan rumah yang kedua kepada murid-murid selepas rumah sendiri dan guru pula merupakan salah satu orang yang paling kerap dijumpai oleh murid-murid selepas ibu bapa mereka di rumah. Maka, adalah penting bahawa guru dapat menggalas cabaran sebagai pengganti watak ibu bapa di sekolah dengan menjaga segala hal kerenah anak murid yang diajarnya. Guru seharusnya menjaga dengan baik beberapa perkara berkaitan dengan anak muridnya seperti displin, kesihatan, kebajikan dan lain-lain lagi demi menyahut cabaran tersebut dengan jayanya. Tambahan pula, guru juga berperanan sebagai kaunselor kepada murid-murid. Dalam aspek ini, guru haruslah senantiasa peka terhadap perkembangan emosi murid-murid yang sensitif dari masa ke masa. Setelah mengenal pasti murid-murid yang mempunyai masalah baik dalam pembelajaran ataupun dibelenggu masalah keluarga, maka guru perlulah mengadakan sesi bimbingan dan kaunseling dengan murid-murid tersebut. Sokongan dan galakan daripada guru adalah penting sekali kepada murid-murid untuk mengatasi masalah mereka selain daripada menghantar mesej bahawa mereka sebenarnya bukanlah bersendirian dalam menghadapi masalah tersebut. Oleh itu, guru perlulah bersifat empati dan penyayang kepada semua anak muridnya dan menganggap mereka semua sebagai anak sendiri.Selain itu, guru juga dipertanggungjawabkan untuk menjadi pengamal dan penyebar nilai kebudayaan yang elok seterusnya menjadi contoh sahsiah yang baik dalam masyarakat. Oleh itu, sebelum guru hendak menanamkan nilai-nilai murni ke dalam diri murid-murid, guru sendiri hendaklah memastikan bahawa diri sendiri adalah memiliki sahsiah yang baik dan boleh dicontohi terlebih dahulu. Ini adalah kerana guru adalah umpama seorang role model kepada murid-murid dalam bilik darjah dan segala gelagat guru dalam percakapan, pemakaian mahupun konsep masa akan diperhatikan dengan teliti sebelum dipelajari oleh anak muridnya. Guru juga merupakan penasihat dan pembimbing dalam pembentukan sahsiah diri murid-murid di sekolah. Pepatah kata seperti melentur buluh biarlah dari rebungnya, dan murid-murid yang masih lagi di bangku sekolah adalah umpama sehelai kertas putih yang belum dicorakkan lagi. Maka, adalah penting bagi guru untuk memupuk kesemua anak muridnya dengan displin kendiri serta sahsiah diri yang baik pada masa tersebut. Ini boleh dijalankan semasa proses P&P dalam bilik darjah di mana guru yang berdisplin dan tegas akan digeruni namun dihormati oleh anak muridnya. Tambahan pula, guru yang berdisplin juga akan berjaya melahirkan anak murid yang berdisplin dan taat setia serta menghormati sesuatu peraturan yang ditetapkan baik di dalam bilik darjah ataupun di sekolah. Tambahan pula, guru juga bertindak sebagai agen pembaharuan bagi masyarakatnya. Pendidikan adalah suatu proses dan aktiviti yang bertujuan membawa perubahan kepada seseorang individu supaya mengikut norma dan nilai masyarakat. Maka, pada zaman moden ini, guru adalah bertanggungjawab untuk memberi pendidikan kepada murid-murid lalu menghasilkan perubahan tingkah laku ke atas diri murid-murid. Mereka haruslah memahami idea perubahan dengan sempurna, secukupnya dan menyusun strategi yang rapi untuk memastikan perubahan dapat dilaksanakan dengan jayanya. (Mok Soon Sang & Lee Sok Mee 1988).

7.0 Rumusan

Kualiti perkhidmatan perlu ditingkatkan atas sebab pelanggan pendidikan seperti ibu bapa murid-murid yang mendesak supaya peningkatan mutu perkhidmatan. Oleh itu, seseorang guru perlu memberi perkhidmatan bermutu, kemahiran yang pelbagai dengan tanggapan yang luas dan mendalam. Warga guru perlulah peka dengan perubahan, budaya pendidikan, misi pendidikan dan bersedia menerima perubahan menggunakan peralatan canggih. Faktor-faktor di atas seakan mendesak guru agar berubah. Mereka perlu peka dan bertindak kepada perubahan supaya perubahan tidak membawa padah yang buruk. (Zainal Abidin, 1999).

Sebahagian penulis dalam Jurnal Pendidikan dan Pembangunan Antarabangsa (IJED) berpendapat bahawa perubahan dapat dijayakan dengan berkesan jika projek dan agenda perubahan yang dirancang itu dijalankan sebaiknya serta diuruskan oleh kakitangan yang komited dan berkemahiran.

Dalam menjayakan perubahan dalam pendidikan, semua pihak harus bekerjasama dalam memastikan setiap perancangan yang dibuat terlaksana sebaiknya. Guru perlu seharusnya benar-benar menjadi agen kepada perubahan dan dalam masa yang sama bersikap responsif dan kritis terhadap pelbagai perkembangan dan dinamika peradaban yang berlaku dari semasa ke semasa (Najeemah, 2006).

Guru dengan kerjasama dari pihak pentadbiran pendidikan juga seharusnya menjadikan sekolah sebagai magnet yang mampu mengundang tarikan kepada murid-murid untuk berinteraksi, berdialog dan saling bertukar-tukar pendapat dalam suasana pengajaran dan pembelajaran yang menarik. Dengan cara sedemikian barulah tidak akan berlaku keadaan di mana institusi sekolah dijauhi oleh masyarakat akibat daripada ketidakberjayaan sekolah dalam mewujudkan suasana pembelajaran yang baik di era globalisasi.

9.0 PenutupSememangnya diakui bahawa sistem pendidikan sekolah di Malaysia hari ini dikatakan dapat menyediakan murid-murid yang serba boleh bagi menghadapi masa depan yang lebih mencabar. Peranan teknologi maklumat sangat penting dalam sistem pendidikan yang semakin mencabar dan menghadapi persaingan global ini. Dunia yang dianggap sudah tidak bersempadan daripada sudut pergerakan maklumat telah memberikan inspirasi supaya setiap sekolah menerima tanpa soal jawab aplikasi dan implimentasi ICT dalam organisasi berkenaan.Hal ini telah disedari oleh kerajaan dan kerajaan mula mengatur langkah bagi menghadapi situasi tersebut. Dari masa ke semasa, kerajaan akan sentiasa mencari jalan supaya pendidikan di Malaysia dapat dipertingkatkan. Kerajaan mula mengorak langkah dengan menyediakan barisan guru yang mantap dan berpengetahuan luas terutamanya dalam bidang teknologi maklumat dan komunikasi.

Perkembangan pendidikan baharu dalam pengetahuanteknologi maklumat dan komunikasimemerlukan anjakan peranan pendidikan dan profesion keguruan. Untuk mencapai matlamt menjadikan negara sebagai negara yang maju, kita memerlukan lebih ramai guru yang mempunyai pengkhususan bidang pengetahuan komunikasi maklumat (TMK)

Justeru, adalah penting bagi guru-guru untuk membuat persediaan yang mencukupi agar dapat memenuhi tuntutan dan jangkaan masyarakat untuk menggabungkan ICT dalam pengajaran. Keyakinan dan efikasi yang tinggi membantu mempermudahkan proses peningkatan kemahiran dalam pelaksanaan ICT dalam proses pengajaran dan pembelajaran.

Dalam keghairahan menggunakan teknologi maklumat dalam pendidikan, kita harus berwaspada terhadap bahaya dan kesan negatif akibat penggunaan yang tidak terkawal. Walau apapun pandangan kita, penggunaan teknologi maklumat dalam pengajaran dan pembelajaran sedikit sebanyak sudah pasti akan mengubah corak pendidikan masa depan dan tingkah laku kanak- kanak.