siap

Upload: mujahidfisabilillah

Post on 10-Jan-2016

235 views

Category:

Documents


0 download

DESCRIPTION

esaimen

TRANSCRIPT

1.0 PENDAHULUAN

Tugasan kali ini membincangkan tentang Sejarah kepelbagaian etnik di Alam Melayu. Alam Melayu sebenarnya telah lama wujud sebelum zaman Kesultanan Melayu Melaka lagi dan kesan daripada kewujudan Alam Melayu ini maka wujudlah kepelbagaian etnik-etnik yang datang pada masa itu seperti etnik Orang Asli, etnik Melayu, etnik Cina, etnik India, etnik Sabah, etnik Sarawak dan dari pelbagai pelusuk Negara dengan pelbagai tujuan dan cara. Bermula dari situlah, Alam Melayu ini semakin berkembang sehingga ke pelusuk negeri yang dikenali sebagai Alam Melayu atau Kepulauan Melayu.

Pada masa ini boleh dilihat bahawa Alam Melayu telah banyak berkembang dan berlaku penambahbaikan dari sudut pentadbiran, ekonomi, dan muamalat. Terdapat beberapa faktor yang membantu wujudnya kepelbagaian etnik di Alam Melayu iaitu faktor geografi, faktor pelabuhan, faktor penyebaran agama dan faktor perkahwinan. Kesemua ini akan dikupas dengan lebih mendalam didalam tiga topik utama iaitu yang pertama, Sejarah Kewujudan Alam Melayu dan Asal Usul Bangsa Melayu. Kedua, Faktor Kewujudan Etnik Di Alam Melayu dan ketiga Kewujudan Etnik Di Alam Melayu.

2.0 SEJARAH KEWUJUDAN ALAM MELAYU DAN ASAL USUL BANGSA MELAYU

2.1 Sejarah Kewujudan Alam MelayuBerdasarkan kajian ahli-ahli sejarah, kebanyakan mereka tidak dapat mencapai persetujuan tentang pembukaan negeri Melaka yang sebenarnya. Selepas dikaji terdapat pelbagai pendapat yang menyatakan bahawa ada pelbagai tarikh mengenai pembukaan negeri Melaka. Akhirnya, tahun 1402 menjadi tarikh yang munasabah bagi tarikh pembukaan negeri Melaka, dengan memberi masa kepada Parameswara kurang daripada setahun untuk melakukan peristiwa membunuh raja di Temasik, kemudian lari ke Muar dan kesudahannya bersama-sama dengan kaum nelayan Seletar di Melaka. (Joginder singh jessy,1980, hlm 3-4)Oleh demikian, sejarah kewujudan Alam Melayu sebenarnya telah lama wujud sebelum zaman Kesultanan Melayu Melaka lagi. Namun begitu, kebanyakan buku hanya mencatat dan menceritakan permulaan Alam Melayu bermula pada zaman pembukaan Negeri Melaka sehingga berkembangnya dan terdapat pelbagai etnik-etnik yang datang pada masa itu seperti orang Arab, Cina, India dari pelbagai pelusuk Negara dengan pelbagai tujuan dan cara. Bermula dari situlah, Alam Melayu ini semakin berkembang sehingga ke pelusuk negeri dan di kenali sebagai Alam Melayu atau Kepulauan Melayu. Sejarah awal tamadun manusia di Tanah Melayu telah bermula tidak kurang 200,000 tahun dahulu di mana bukti-bukti kewujudan manusia dapat di jumpai sekitar Kota Tampan di Lenggong, Perak. Antara penemuan terbesar yang pernah di rekodkan dalam kajian sejarah Malaysia ialah penemuan rangka manusia yang berumur sekitar 11,000 tahun di Leggong yang diberi nama Perak Man atau Orang Tampan. Di kawasan sekitar Lenggong juga, ditemui beberapa kawasan pembuatan peralatan-peralatan batu bagi membuat tandas dan tukul-tukul batu bagi kegunaan manusia pra-sejarah yang masih terpelihara dengan baik. Kewujudan manusia pra-sejarah Tanah Melayu di Lenggong Perak, antara penemuan terbesar Malaysia juga terdapat di sekitar Gua Niah, Sarawak. Bukti-bukti yang berusia lebih kurang 40,000 tahun ini menunjukkan bahawa sudah ada penempatan manusia sejak sekian lama.

2.2 Asal-Usul Bangsa MelayuSecara amnya, terdapat dua teori mengenai asal-usul bangsa Melayu iaitu: Teori Bangsa Melayu berasal dari Yunnan ( Teori Yunnan ) Teori Bangsa Melayu berasall dari Nusantara ( Teori Nusantara )

2.2.1 Teori Bangsa Melayu Berasal Dari YunanTeori ini merupakan teori yang popular dan diterima umum. Berdasarkan teori ini, dikatakan Orang Melayu ini berasal dan datang daripada Yunnan dan telah bermigrasi ke Kepulauan Melayu menerusi tiga gelombang migrasi yang utama, yang dimulai dengan perpindahan Orang Negrito, Melayu Proto dan juga Melayu Deutro. Berikut adalah huraiannya :Orang NegritoOrang Negrito merupakan penduduk paling awal di Kepulauan Melayu. Mereka diperkirakan ada di sini sejak 1000 MS berdasarkan penerokaan arkeologi di Gua Cha, Kelantan. Daripada orang Negrito telah diperturunkan orang Seman yang mempunyai ciri-ciri fizikal berkulit gelap, berambut kerinting, bermata bundar, berhidung lebar, berbibir penuh serta saiz badan yang pendek.Melayu ProtoPerpindahan orang Melayu Proto ke Kepulauan Melayu berlaku pada 2,500 SM. Mereka mempunyai peradaban yang lebih maju daripada orang Negrito dan mereka juga mempunyai kemahiran bercucuk tanam. Terdapat satu lagi persamaan antara Melayu Proto di mana dikenali Melayu Negosiddek di mana kebanyakan terdapat di sebuah pulau yang dikenali sebagai Pinang. Melayu Negosiddek ini mahir dalam bidang lautan tetapi tidak pandai berenang.Melayu DeutroPerpindahan orang Melayu Deutro merupakan perpindahan orang Melayu Kuno yang kedua berlaku pada tahun 1,500 SM. Mereka merupakan manusia yang hidup di pantai dan mempunyai kemahiran belayar.

2.2.2 Teori Bangsa Melayu Berasal Dari NusantaraTeori ini disokong oleh serjana-sarjana terkemuka seperti John Crawfurd, K.Hilmy, Sutan Takdir Alisjahbana dan juga Gorys Keraf. Teori ini disokong adalah dengan alasan-alasan seperti di bawah :1. Bangsa Melayu dan Bangsa Jawa mempunyai tamadun yang tinggi pada abad ke-19. Taraf ini hanya dapat dicapai setelah perkembangan budaya yang lama. Taraf ini menunjukkan orang Melayu tidak berasal dari mana-mana tetapi berasal dan berkembang di Nusantara.2. K.Hilmy tidak bersetuju dengan pendapat yang mengatakan bahawa Bahasa Melayu serumpun dengan Bahasa Champa. Baginya, persamaan yang berlaku di kedua-dua bahasa adalah satu fanomena ambilan.3. Manusia kuno Homo Wajakensis terdapat di Pulau Jawa. Penemuan manusia kuno ini di Pulau Jawa menunjukkan bahawa adanya kemungkinan orang Melayu itu keturunan daripada manusia Kuno tersebut, yakni berasal dari Jawa dan mewujudkan tamaddun bersendirian.4. Bahasa di Nusantara (Bahasa Austronesia) mempunyai perbezaan yang ketara dengan bahasa yang berada di Asia Tengah (Bahasa Indo-Eropah).

Dalam teks Sejarah Melayu (Sulalatul Salatin) ada disebut bahawa Melayu adalah nama sungai di Sumatera Selatan yang mengalir di sekitar bukit Si Guntang dekat Palembang. Si Guntang merupakan tempat kemuncalan tiga orang Raja yang datang ke Alam Melayu. Mereka adalah asal keturunan raja-raja Melayu di Palembang, Singapura, Melaka dan Johor, Minangkabau dan Tanjung Pura. (http://redzuan-ridz.blogspot.com/2010/12/asal-usul-kewujudan-bangsa-melayu.html?m=1)

3.0 FAKTOR KEWUJUDAN ETNIK DI ALAM MELAYUTerdapat empat faktor mengapa wujudnya kepelbagaian etnik di Alam Melayu iaitu faktor geografi, faktor pelabuhan, faktor pengaruh orang islam dan faktor perkahwinan. Berikut adalah huraiannya :

3.1 Faktor Geografi Melaka merupakan tempat pertemuan semula jadi angin monson. Disebabkan itu saudagar Cina dan India menjadikan Melaka tempat persinggahan yang sangat dikehendaki oleh mereka. Dan yang paling penting kedudukannya di Selat Melaka. Selat Melaka merupakan tempat belayar perdagangan diantara negeri India dan Cina yang masyhur. Melaka menguasai segala kapal-kapal yang melaluinya. Setiap kapal yang melalui Melaka akan singgah dan berehat disitu. Di antara keistimewaan yang lain ialah Melaka berada ditengah-tengah kawasan rempah yang paling terkenal di Asia Tenggara. Oleh itu, faktor ini memainkan peranan penting dalam wujudnya kepelbagaian etnik di Alam Melayu.

3.2 Faktor PelabuhanFaktor lain yang menolong Melaka dalam perkembangannya ialah pelabuhannya. Pelabuhan Melaka mempunyai kemudahan yang sangat baik dan juga keselamatan yang terjamin untuk saudagar yang singgah disitu sama ada mahu berehat atau berdagang. Disebabkan oleh tempoh pelabuhannya tiada memakan tempoh masa yang lama, ini telah membolehkan Melaka mengatasi bandar-bandar yang lain yang bertanding dengannya terutama di sepanjang Pantai Sumatera yang berhampiran dengan Melaka. Dengan kejayaan ini membuatkan Parameswara patut dipuji kerana dialah orang yang telah menamatkan ancaman Siam dengan mencadangkan agar mengikat tali persahabatan dengan negeri Cina yang kebetulan pada masa itu Dinasti Ming telah menjalankan dasar mengembangkan pengaruhnya. Dengan adanya pelabuhan yang sistematik, maka semakin ramai etnik yang datang ke Melaka pada masa itu. 3.3 Faktor Penyebaran AgamaSepanjang abad ke-14, saudagar Islam dari negeri Arab dan India yang paling banyak menguasai perdagangan. Kebanyakkan saudagar ini bertapak di bandar pelabuhan Sumatera Timur. Pada tahun 1414, Parameswara sendiri telah memeluk Islam secara tidak langsung akibat daripada hubungan perdagangan yang dijalankan antara Melaka dengan pedagang Arab. Oleh itu, berlakulah percampuran budaya dan etnik yang wujud pada masa itu sehingga kekal hingga ke hari ini dan kesannya seperti wujudnya masyarakat Melayu yang berketurunan daripada Arab iaitu keturunan Syed dan Syarifah. (Haji Ahmad Bin Haji Saleh,1979, hlm 5.)

3.4 Faktor PerkahwinanAntara faktor kewujudan etnik yang lain ialah melalui perkahwinan Sultan Mansor Shah dengan puteri Raja China yang bernama Hang Li Po. Perkahwinan ini dilangsungkan setelah Maharaja China sendiri melihat kebijaksanaan dan kelebihan orang Melaka. Keistimewaan perkahwinan ini ialah Sultan Mansor Shah sendiri tidak payah pergi ke China malah Raja China sendiri yang menghantar puterinya ke Melaka. Dengan perkahwinan ini wujudlah hubungan muhibbah dan keamanan diantara kerajaan Melaka dan China. Melalui perkahwinan antara dua etnik yang berbeza, maka berlaku penambahan etnik dan wujudlah pelbagai etnik-etnik yang baru hasil daripada perkahwinan campur. (Abu Hassan Shah., 1977, hlm 58-59)

4.0 KEWUJUDAN ETNIK DI ALAM MELAYUTerdapat pelbagai etnik yang wujud di Alam Melayu dan boleh dikatakan kekal hingga masa kini seperti di Malaysia dan juga negara-negara yang lain serta menjadi antara etnik yang utama dan mempengaruhi. Antaranya ialah etnik Orang Asli, etnik Melayu, etnik Cina, etnik India serta beberapa etnik yang wujud di Sabah dan Sarawak (Malaysia), dan juga beberapa penceritaan ringkas yang berkaitan dengan etnik yang wujud di Negara-Negara Klasik seperti Negara Siam, Burma, Vietnam, Kampuchea, dan Laos . Berikut adalah huraiannya :

4.1 Etnik Orang AsliOrang-orang asli daripada suku kaum Negrito, Senoi dan Melayu Asli dianggap sebagai penduduk asal kawasan Kepulauan Melayu. Ini bermakna penduduk asal di Tanah Melayu dan kawasan kepulauan yang lain terdiri daripada pelbagai suku kaum. Tidak hairanlah terdapat orang Melayu dari keturunan Banjar, Boyan, Bugis, Jawa, Kampar, Kerinci, Mendaling, Minangkabau, Rawa, Johor-Riau yang mendiami daerah-daerah tertentu di Kepulauan Melayu. Kajian oleh Wilkinson dalam Peninsular Malays dan juga History of Perak menjelaskan tentang hubungan baik yang wujud di antara orang Melayu yang mendiami kawasan pantai dengan orang Sakai di kawasan pedalaman. Antara barangan utama yang dibawa oleh orang Sakai ini ialah rotan, gutta, wax, ivory dan lain-lain hasil hutan. Orang Sakai ini juga menjadi tenaga pekerja. (Rozeyta Bt Omar, Paimah Bt Atoma, 2009, hlm 57-58)

4.2 Etnik MelayuPetempatan manusia di Alam Melayu masih banyak yang bersifat hipotesis kerana bukti-bukti nyata yang ditinggalkan oleh masyarakat lampau tidak banyak diketahui. Aktiviti migrasi, terutamanya migrasi luaran, merupakan aktiviti utama yang bertanggungjawab mengubah keseluruhan keadaan masyarakat Tanah Melayu hingga memberi kesan yang begitu besar terhadap pelbagai aspek kehidupan masyarakat. Teori yang masih popular tentang proses kedatangan dan pembentukan awal masyarakat Melayu di Tanah Melayu menjelaskan bagaimana pada zaman sebelum masihi orang Melayu daripada selatan benua Asia berhijrah beramai-ramai ke Semenanjung dan Kepulauan Borneo. Kedatangan mereka ini telah menyebabkan penduduk pribumi (orang Asli) ketika itu berpindah ke kawasan pedalaman. Orang Melayu inilah yang telah mendiami kawasan pantai dan kuala sungai. Mereka menjadi penghuni tertua selepas orang pribumi di Tanah Melayu. Kawasan tepi pantai dan sungai kemudiannya telah berkembang menjadi pelabuhan-pelabuhan penting, terutama kerana kedudukan Tanah Melayu dan beberapa kepulauan Melayu yang lain di jalan perdagangan antara China, India dan Arab. Pedagang-pedagang India telah berdagang di kawasan Kepulauan Melayu sejak zaman sebelum masihi lagi dan menggelar Semenanjung Tanah Melayu sebagai Suvarnabumi (bumi emas). Kepulauan Melayu merupakan kawasan geopolitik rumpun Melayu. Penduduknya bergerak dan berpindah dari satu kawasan ke kawasan lain. Kemudahan pergerakan ini dipertingkatkan lagi dengan wujudnya satu bahasa iaitu bahasa Melayu yang menjadi bahasa lingua franca dan berbudaya Melayu. Di peringkat dalaman orang Melayu terbahagi kepada dua kategori, iaitu mengikut kumpulan etnik dan geopolitik (negeri, provinsi dan wilayah) di mana mereka bermastautin sejak bergenerasi lalu. Di peringkat kumpulan etnik, masyarakat-masyarakat yang mengenalkan diri sebagai orang Melayu itu adalah terdiri daripada orang Jawa, orang Minang, orang Bugis, orang Banjar, orang Boyan, orang Mendiling, orang Krinchi, orang Acheh dan orang Jambi (sekadar beberapa). Di peringkat geopolitik (dalaman), mereka terdiri daripada orang Patani, orang Pahang, orang Kedah, orang Kelantan, orang Terengganu, orang Perak, orang Selangor, orang jelas, orang Riau, dan orang Sarawak.

4.2.1 Arkeologi Etnik MelayuSejarah awal penduduk di Alam Melayu ini terbukti dengan beberapa penemuan artifak seperti di Kuala Tampan, Perak; Gua Niah, Sarawak,dan Tingkayu, Sabah. Penemuan ini menjelaskan tentang wujudnya manusia zaman paleolitik (lebih kurang 35000 tahun lalu). Penemuan di Gua Cha, Kelantan; Gua Kecil, Pahang; Guar Kepah, Kedah, dan Gua Mandai, Sabah pula menjadi bukti kewujudan masyarakat mesolitik (11000 tahun lalu). Kajian-kajian seterusnya di beberapa tempat seperti Gua Kecil, Pahang; Jenderam Hilir, Selangor; Gua Gamantang, Sabah; Gua Tengkorak, Sarawak; Sungai Lang, Selangor; Sungai Tembeling, Pahang, dan Sungai Muar, Johor, juga telah membuktikan kewujudan masyarakat zaman neolitik dan zaman logam (antara 5000 hingga 2500 tahun lalu). (Rozeyta Bt Omar, Paimah Bt Atoma, 2009, hlm 56-57)

4.3 Etnik IndiaOrang India dipercayai datang ke kawasan Kepulauan Melayu lebih kurang 2000 tahun yang lalu. Kedatangan mereka khususnya untuk berdagang di Melaka telah menyebabkan beberapa petempatan orang-orang India wujud, seperti di Kampung Kling. Kebanyakan mereka terdiri daripada orang Tamil dari India Selatan, Malayali (dikenali juga sebagai orang Malabari) dari pantai Malabar, dan orang Telegu dari Andra Pradesh. Hubungan perdagangan antara Tanah Melayu dengan India telah terjalin sejak kurun kedua Masihi lagi. Agama Buddha dipercayai telah sampai ke Tanah Melayu dan kemudian tersebar luas ke Nusantara semasa India diperintah oleh Maharaja Asoka dari Dinasti Maurya (330-180 S.M.). Agama Hindu pula telah dibawa oleh golongan pedagang India (vaisya). Bukti kewujudan beberapa kerajaan Hindu-Buddha (Indianized States) ialah seperti kerajaan Funan (1-6 Masihi), Angkor (10-15 Masihi), Srivijaya (7-13 Masihi), Mataram (7-10 Masihi), Majapahit (1293-1528), Gangga Negara (5-10 Masihi) dan Langkasuka (2-14 Masihi). Agama Buddha Mahayana menjadi tumpuan imigran Cina dan orang Sinhalese dari Sri Lanka yang datang ke Pulau Pinang. Mereka telah membina beberapa tokong yang terkenal di Pulau Pinang. Di negeri Kelantan pula, orang Siam yang ramai mendiami Kelantan telah membawa agama Buddha Teravada. Peringkat dan proses petempatan penduduk kemudiannya berkembang ketika wujudnya kerajaan-kerajaan Melayu awal.Antara kerajaan Melayu awal yang wujud di Tanah Melayu ialah Kerajaan Tun-Sun, Ko-Lo, Pan-Pan di Segenting Kra, Kerajaan Langkasuka di Pattani, Kerajaan Chih-Tu di Kelantan, Kerajaan Tan-Tan di Terengganu, Kerajaan Gangga Nagara di Perak. Selain dari itu kerajaan awal yang muncul di Gugusan Kepulauan Melayu pula ialah Kerajaan Kutei, di Borneo, Kerajaan Majapahit, Kerajaan Funan di lembah Sungai Mekong, Kerajaan Champa di Vietnam, dan Kerajaan Sri Vijaya di Sumatera. Kemunculannya mempunyai kaitan dengan kegiatan perdagangan yang pesat di jalur maritim antara China dengan India. (Rozeyta Bt Omar, Paimah Bt Atoma, 2009, hlm 62-63)

4.4 Etnik CinaMenurut Liang Liji dalam bukunya Empayar Melaka Dinasti Ming Abad ke-15 Masih, hubungan antara negara China dengan Alam Melayu sudah lama wujud iaitu sebelum permulaan tahun Masihi sejak zaman Dinasti Han (140-117 sebelum Masihi) lagi. Semasa pemerintahan Sun Quan (222-252 Masihi), dua orang utusannya telah melawat Funan dan negeri-negeri lain di Semenanjung Tanah Melayu dan Kepulauan Melayu serta mengadakan hubungan diplomatik dengan Amerika. Namun pada zaman Srivijaya hubungan China dengan Asia negara menjadi amat pesat dengan kedatangan para pedagang dan juga penuntut agama Buddha yang belajar di Srivijaya sebagai pusat pengajian agama Buddha iaitu pada zaman China dibawah pemerintahan Dinasti Tang (618-907 Masihi).Kepentingan Semenanjung Tanah Melayu kepada China ialah kerana kedudukannya yang terletak dijalan perdagangan antara India dengan negara China. Langkasuka sebuah bandar yang terletak di Semenanjung Tanah Melayu telah berada dibawah naungan Funan pada abad ke-7 Masihi, bandar ini menurut keterangan sejarah China merupakan sebuah bandar yang maju dan bertamadun serta mempunyai kekayaan sumbernya. Bandar ini telah mengadakan hubungan langsung dengan China sehingga tahun 1300 Masihi.Hubungan yang gemilang antara Alam Melayu dengan China ialah apabila tertubuhnya negeri Melaka yang diasaskan oleh Parameswara pada tahun 1403 Masihi. Maharaja Dinasti Ming (1368-1643) telah menghantar Yin Ching sebagai utusan China ke Melaka untuk mewujudkan hubungan persahabatan perdagangan dan diplomatik dengan Melaka. Berdasarkan pembuktiaan ini, maka jelaslah pada kita bahawa kewujudan etnik China telah lama bertapak di Alam Melayu sejak zaman Kesultanan Melaka apabila berlaku perhubungan diplomatik diantara kedua-dua pihak sebagaimana yang diterangkan di atas iaitu melalui faktor perdagangan, faktor perkahwinan dan sebagainya. (Abdul Halim Ramli, 2009, hlm 6-7)

4.5 Etnik di Sabah dan Sarawak Selain itu, terdapat juga etnik-etnik yang wujud di Alam Melayu akibat daripada pecahan-pecahan etnik Orang Asli seperti yang wujud di Sabah dan Sarawak.

4.5.1 Etnik di SabahPenduduk peribumi Sabah juga berasal dari tanah besar Asia dan bertutur menggunakan rumpun bahasa Austronesia. Peribumi Sabah biasanya tertumpu di pantai barat dan pantai timur, di muara dan lembah sungai serta di kawasan pedalaman dan di kawasan tanah tinggi. Masyarakat Sabah pada awalnya adalah terdiri daripada beberapa suku etnik peribumi asli yang kemudiannya telah berubah menjadi sebuah masyarakat majmuk terutamanya ekoran daripada proses migrasi yang mula berlaku seawal-awalnya pada kurun ke 10 Masihi daripada Tanah Besar China ,India,Kepulauan Filipina dan Sulu,Kepulauan Cocos dan Maluku, Indonesia dan lain-lain. Di Sabah terdapat suku kaum pribumi seperti: (Abdul Halim Ramli, 2009, hlm 26) Kadazan (bilangan terbesar di Sabah, berasal dari Kalimantan serta tertumpu di kawasan lembah Ranau dan Tambunan), Bajau (berasal dari Pulau Mindanao dan Sulu, dikenali juga sebagai orang laut dan orang Samal, tertumpu di kawasan Semporna, Kota Belud dan Pulau Timbang di teluk Sandakan), Dusun Murut (kebanyakan tinggal di kawasan pedalaman seperti di Tenom, Rundu dan Pensiangan. Kebanyakan mereka masih mengamalkan hidup berpindah randah) Bisaya Kadayun Orang Sungai Suang Laut Orang Brunei (Rozeyta Bt Omar, Paimah Bt Atoma, 2009, hlm 58)

4.5.2 Etnik di SarawakPenduduk peribumi Sarawak menggunakan bahasa rumpun Austronesia iaitu mengikut rumpun bahasa yang sama dengan orang Melayu di Semenanjung. Asal usul mereka boleh dikaitkan dengan gelombang penghijrahan dari tempat-tempat lain di benua Asia. Di Sarawak tidak terdapat satu kelompok etnik yang dominan secara mutlak sama ada dari segi populasi atau status perundangan. Etnik terbesarnya ialah Iban (Dayak Laut), Cina, Melayu, Bidayuh (Dayak Darat), Melanau dan Orang Ulu serta beberapa etnik lain yang kecil seperti Kayan, Kenyah, Kelabit dan lain-lain. Kebiasaannya etnik ini tinggal di suatu kawasan yang tertentu seperti pesisiran pantai, lembah sungai, kawasan tanah tinggi dan daerah pedalaman. Kawasan yang paling padat penduduk ialah di dataran pantai dan di lurah-lurah bahagian barat Sarawak, iaitu di Kuching dan di kawasan di antara sungai Kayan dan Mukah. Di Sarawak terdapat suku kaum pribumi seperti: ( Abdul Halim Ramli, 2009, hlm 24 ) Bidayuh Iban Kayan Kedayan Kelabit (mereka tertumpu di kawasan Sungai Baram dan Sungai Rejang. Perkampungan mereka yang terkenal ialah di Bario. Kebanyakan mereka masih tinggal di rumah panjang), Kenyah Melanau (kebanyakan tinggal di Sungai Igan, Sungai Oya, dan Sungai Mukah. Ramai di antara mereka ini beragama Islam. Mereka merupakan suku kaum yang telah banyak berasimilasi dengan orang Melayu dan mengamalkan cara hidup orang Melayu) Melayu (berasal dari Sumatera. Mereka ini banyak tinggal di kawasan pesisir pantai dan beragama Islam) Murut (Rozeyta Bt Omar, Paimah Bt Atoma, 2009, hlm 59)

4.6 Negara-Negara Klasik di Alam MelayuSeterusnya, terdapat juga di sana Negara-Negara klasik di Alam Melayu yang mempunyai etnik yang tersendiri. Namun etnik yang wujud di Negara-Negara Klasik ini mungkin juga sama seperti di Tanah Melayu tetapi rujukkan yang didapati kurang menceritakan etnik-etnik yang wujud di Negara-Negara ini. Walaubagaimanapun, sejarah mendedahkan pada awalnya, Negara-Negara klasik ini lebih memegang kepada pegangan agama Hindu-Buddha. Oleh yang demikian rumusan di buat kemungkinan etnik yang utama di katakan mempengaruhi di Negara-Negara tersebut ialah etnik India dan Cina. Negara-Negara Klasik itu ialah :

4.6.1 SiamJumlah penduduk Siam pada awal abad ke-19 tidak dapat ditentukan dengan tepat tetapi anggaran yang paling munasabah ialah sekitar 5-6 juta orang. Penempatannya berselerak di seluruh Negara dan mengerjakan pertanian sara diri. Hasil utama pertanian termasuklah padi, kapas, tembakau, sutera, tebu dan buah-buahan. Bentuk asas dan susunan masyarakat Thai pada zaman awal Bangkok ialah penguasaan ke atas buruh. Rakyat Thai disusun dalam satu bentuk pyramid dengan raja di peringkat atas diikuti oleh nai atau bangsawan /pembesar , phrai som (rakyat biasa), phrai luang (rakyat biasa yang dikuasai raja kerana tidak berdaftar) dan that (hamba). Terdapat undang-undang yang ketat bertujuaan menentukan bentuk masyarakat ini berkekalan pada zaman awal Bangkok. Setiap golongan dalam masyarakat ini dihubungkan dengan pihak yang lebih atas melalui konsep patron-klien yang merangkumi beberapa tanggungjawab dan kewajipan yang telah pun ditetapkan. Susunan hierarki masyarakat klasik ini ditentukan oleh konsep-konsep agama seperti bun (pahala) dan bab (dosa). Jenis-jenis perlakuan manusia telah pun ditetapkan sama ada akan memberikan pelakunya bun atau bab dan ini dihubungkaitkan dengan karma di mana seseorang itu dilahirkan semula dalam berbagai-bagai bentuk mengikut bun dan babnya. Seterusnya, wat merupakan nadi perkembangan sosial masyarakat tempatan. Di Wat, petani menyerahkan hartanya untuk kebajikan, berpesta dan mencari pasangan hidup. Di Wat ini juga, petani belajar membaca, menghayati moral yang tinggi untuk menjadi rahib. Selepas kematiannya, mayatnya dibakar dan disimpan di wat. (Abu Talib Ahmad, 1991, hlm 13-15)

4.6.2 Burma Masyarakat Burma zaman klasik dibahagikan kepada kepada tiga pegawai (pegawai tinggi dan rendah serta pekerja mahir) , dan rakyat biasa yang dipecahkan pula kepada 3 kumpulan iaitu mereka yang bebas (asan), mereka yang terikat kepada institusi agama (purakywan) dan mereka yang terikat kepada kerajaan (kywan-to). Golongan ini terus-menerus memberikan sumbangan tenaga kepada Negara. Manfaat-manfaat tertentu juga diberikan kepada kumpulan-kumpulan ketiga serta pecahan-pecahannya. Contohnya pura-kywan mendapat faedah ekonomi dan sosiopolitik di samping dibebaskan daripada membayar cukai negeri dan berhak pula untuk mengerjakan tanah. Rakyat biasa ini tinggal di desa yang menjadi teras pentadbiran daerah dan mereka menanam padi sawah. Hasil-hasil keluaran dalam negeri merangkumi jenis-jenis logam, buah-buahan, sayur-sayuran, ikan dan beras. Perniagaan dalam negeri dibenarkan tetapi dikawal oleh pemerintah. Malah kawasan Burma hulu selepas tahun 1855 masih berupaya untuk mengekalkan keadaan pengasingan dengan dunia luar kerana bahan-bahan makanan seperti beras, sekoi, minyak sayur, ikan, garam, buah-buahan, buluh dan kayu untuk pembinaan masih dikeluarkan dengan banyaknya. Rangoon dan Mandalay merupakan dua Bandar utama Burma klasik. Dua Bandar ini boleh dikatakan sebagai tempat tumpuan atau pusat dalam perkara ekonomi, sosial dan politik. Sementara itu, organisasi masyarakat pinggir serta keadaan sosioekonominya dapat dilihat seperti di utara Burma. Masyarakat ini berasaskan kepada pertanian pindah dan perburuan. (Abu Talib Ahmad, 1991, hlm 28-33)

4.6.3 VietnamMasyarakat Vietnam klasik boleh dibahagikan kepada dua kumpulan besar iaitu cendekiawan-pentadbir dan petani pengeluar. Di samping itu terdapat juga dua kumpulan yang agak penting iaitu rahib agama Buddha dan sekumpulan kecil para peniaga Cina yang berpengaruh. Seterusnya, golongan cendekiawan diberi keutamaan untuk mendapat pelajaran ke peringkat setinggi mungkin. Sementara rakyat yang lain memadai hanya diberikan latihan sivik. Oleh yang demikian, rakyat hanya diberi pelajaran yang paling minimum. Pelajaran juga merupakan punca utama terdapatnya pengasingan di antara golongan petani dan quan atau mandarin. Pada mulanya, agama Buddha mula tersebar di Vietnam sekitar abad ke 3-6 masihi dan begitu berpengaruh di istana. Pemilihan quan dibuat berasaskan peperiksaan tentang tamgiao 9 (Tiga Agama) iaitu Konfucianisme, Buddhisme dan Taoisme tetapi selepas itu hanya Konfucianisme sahaja dikekalkan. Sementara itu, perkembangan perbandaran di Vietnam tertumpu di tiga buah Bandar utama iaitu Saigon, Hanoi dan Hue. (Abu Talib Ahmad, 1991, hlm 42-44).

4.6.4 KampucheaRakyat Kampuchea terdiri daripada orang Khmer dan juga kelompok minority yang lain seperti orang Melayu dan Cina. Kelompok-kelompok ini memounyai fungsi ekonomi yang tersendiri. Rakyat bangsa Khmer umumnya terlibat dengan perniagaan, penanaman sayur-sayuran dan perdagangan luar. Orang Melayu yang dikatan berasal dari Jawa dan Champa pula terlibat dengan perdagangan ternakkan, bertenun dan perikanan secara komersial. Terdapat juga kehadiran orang Portugis yang terlibat dengan peralatan ketenteraan yang dipunyai oleh raja. (Abu Talib Ahmad, 1991, hlm 52)

4.6.5 LaosLaos mempunyai sejarah zaman klasik yang tidak kurang menariknya berbanding jika dibandingkan dengan Negara-negara lain di Tanah Besar. Pada awal abad ke-19, negeri ini terdiri daripada kumpulan beberapa pusat politik yang dipanggil muong (muang di Negara Thai). Pada umunya muong ini terdapat di lembah-lembah sungai dan ketua muong ini menguasai penduduk di bahagian pusat dan juga di pinggir ataupun wilayah. Namun begitu, penguasaan ini bergantung pada keadaan sumber semula jadiserta kewibawaan pemimpin berkenaan. Muong yang penting termasuklah Vientiane di bahagian tengah, Luang Prabang di barat laut, Champasak dan Savannakhet di bahagian selatan, dan Xieng Khoung di timur laut. Orang Laos mempunyai pertalian ras yang rapat dengan orang Siam kerana mereka berasal dari rumpun bangsa yang sama. Kemudian terdapat juga kelompok-kelompok Mon-Khmer dan Tibeto-Burman seperti Kha dan Meo. Kelompok Kha merupakan kelompok asal, tetapi kelompok Meo hanya berhijrah ke Laos secara beramai-ramai pada aad ke-18 dari Yunnan. Kelompok Lao menganut agama Buddha Theravada dan ini agak berbeza dengan kelompok-kelompok lain yang mempunyai campuran agama Budhha, Hindu, dan Phi (pemujaan agama) iaitu kepercayaan yang penting dalam kehidupan petani. Walaubagaimanapun, wat (biara) tetap penting dan sebelum sesuatu upacara phi dijalankan, petani-petani akan bersembahyang terebih dahulu di wat. Asas ekonomi Laos ialah tanaman padi yang melibatkan kelompok majoriti dan minoriti. Di samping itu,rakyat Laos juga mnternak kerbau, babi dan juga ayam itik serta menanam bunga popi untuk membuat candu. (Abu Talib Ahmad, 1991, hlm 55-56)

5.0 PENUTUP

Kesimpulanya, perkembangan dan pembentukan masyarakat majmuk telah berlaku sebelum kedatangan penjajahan Barat ke Alam Melayu lagi. Melaka umpamanya, telah menjadi tempat persinggahan dan penempatan pelbagai kaum dan bangsa dari bermacam-macam kebudayaan dan asal-usul. Kedatangan mereka di dorong oleh pelbagai faktor. Antara faktor tersebut ialah faktor geografi, faktor pelabuhan, faktor penyebaran agama dan faktor perkahwinan.Namun terdapat perbezaan proses pembentukan masyarakat majmuk tersebut di antara zaman sebelum penjajahan Barat dengan selepas penjajahan Barat. Alam Melayu sebenarnya telah lama wujud sebelum zaman Kesultanan Melayu Melaka lagi, maka dengan itu wujudlah kepelbagaian etnik yang datang pada waktu itu seperti etnik Orang Asli, etnik Melayu, etnik Cina, etnik India, serta beberapa etnik yang wujud di Sabah dan Sarawak ( Malaysia ), dan juga beberapa penceritaan ringkas yang berkaitan dengan etnik yang wujud di Negara-Negara Klasik seperti Negara Siam, Burma, Vietnam, Kampuchea, dan Laos.Bermula dari situlah, Alam Melayu ini semakin berkembang sehingga ke pelusuk negeri yang dikenali sebagai Alam Melayu atau Kepulauan Melayu. Pada masa ini boleh dilihat bahawa Alam Melayu telah banyak berkembang dan berlaku penambahbaikan dari sudut pentadbiran, ekonomi, dan muamalat pada masa itu.Namun begitu, apa yang boleh dilihat pada masa kini yang mana telah berlaku perubahan yang sangat ketara sehingga sudah tiada lagi Alam Melayu apabila berlaku penjajahan oleh kuasa Barat di Alam Melayu dan hanya tinggal sejarah pada masa kini. Sebagai rakyat Malaysia seharusnya kita bersyukur walaupun rakyat Malaysia terdiri daripada pelbagai etnik namun, kita berjaya mengekalkan keamanan dan kesejahteraan dalam hidup pada hari ini. Akhir kata, melalui pendedahan tentang sejarah ini masyarakat dapat mengetahui asal usul kewujudan kepelbagaian etnik di Alam Melayu dan kesannya dapat kita lihat sehingga ke hari ini.

6.0 BIBLIOGRAFIAbu Hassan Shah, 1977, Beberapa Aspek Dari Sejarah Melayu, Utusan Publications & Distributors : Kuala Lumpur Haji Ahmad Bin Haji Saleh, (1979), Sejarah Tanah Melayu 1400-1959, Dewan Bahasa Dan Pustaka: Kuala LumpurMohamed Anwar Omar Din, 2011, Asal-Usul Orang Melayu, Menulis Semula Sejarahnya : Jurnal Melayu (7) 1-8Rozeyta Bt. Omar, Paimah Bt. Atoma, 2009, Hubungan Etnik Di Malaysia : Perspektif Teori Dan Praktik ; Bab 3, Pluraliti Budaya Dan Etnik Di Alam Melayu Zaman Awal, Dewan Bahasa dan Pustaka: Kuala LumpurAbu Talib Ahmad, cetakan pertama 1991, Sejarah Tanah Besar Asia Tenggara, Dewan Bahasa dan Pustaka: Kuala Lumpur Joginder singh jessy, 1979, Sejarah Tanah Melayu 1400-1959, Syarikat percetakan Lian Hup : Kuala LumpurIshak Saat, Adnan Jusoh, 2011, Isu-Isu Terpilih Alam Melayu, UTHM : JohorAbdul Halim Ramli, 2009, Hubungan Kaum di Malaysia (Sejarah dan Asas Perpaduan), Pusat Penerbitan Universiti (UPENA) Universiti Teknologi MARA: Shah AlamAbdul Rahman Abdullah, 2012, Sejarah dan Tamadun Asia Tenggara, Utusan Publications & Distributors : Kuala LumpurW.G.Shellabear, 1983, Sejarah Melayu, Fajar Bakti Sdn,Bhd: SelangorAbdul Rahman Hj Abdullah, 2006, Sejarah dan Kebudayaan Asia Tenggara Tradisional, Karisma Production Sdn.Bhd: Shah Alam Selangor. http://redzuan-ridz.blogspot.com/2010/12/asal-usul-kewujudan-bangsa-melayu.html?m=1

7.0 LAMPIRANKewujudan Pelbagai Etnik Di Alam Melayu

Etnik VietnamEtnik Orang Asli

Etnik Siam Peta Kepulauan Melayu

(sumber dari internet)

24