kesusteraan dan kebudayaan melayu

Upload: tippi-mann-der-ehre

Post on 07-Jul-2018

244 views

Category:

Documents


0 download

TRANSCRIPT

  • 8/19/2019 KESUSTERAAN DAN KEBUDAYAAN MELAYU

    1/18

    1

    MENJEJAKI MANUSKRIP MELAYU DAN SURAT-SURAT FRANCIS LIGHT

    DI PERANCIS

    Dr. Jelani Harun

    Universiti Sains Malaysia

    Abstrak

    Pengajian Melayu sudah mendapat tempat di Perancis sekitar pertengahan abad ke-19 yang

    lalu melalui tokoh-tokoh awalnya seperti Adouard Dulaurier, Pierre Farve dan Aristide

     Marre. Mereka bukan sahaja mengajar bahasa dan sastera Melayu, mengumpul dan

    membuat salinan manuskrip, malah juga menterjemahkan beberapa buah karya penting

     Melayu ke dalam bahasa Perancis. Adouard Dulaurier juga telah membuat salinan terhadap

    surat-surat Francis Light yang berasal dari Pulau Pinang yang kini tersimpan di Paris dan

    Tournus. Kertas kerja ini akan meneliti kembali sejarah awal penyalinan manuskrip Melayudi Perancis khususnya dalam konteks hubungan Perancis dengan Pulau Pinang.

    Perbincangan adalah berdasarkan penjejakan kembali beberapa buah manuskrip Melayu

    dari Pulau Pinang yang terdapat di beberapa buah perpustakaan di Perancis termasuk

    salinan surat-surat Francis Light. Perbincangan turut membicarakan bagaimana penyalinan

    manuskrip Melayu dan surat-surat Francis Light telah berlaku di Perancis pada pertengahan

    abad ke-19 yang lalu untuk keperluan pengajian Melayu di Perancis ketika itu. 

    Kata kunci : bahasa dan sastera Melayu, manuskrip, surat-surat Francis Light, Perancis,

    Pulau Pinang

    Pengenalan

    Sebuah katalog awal tentang koleksi manuskrip Melayu di Perancis telah pun dibuat oleh

    Cabaton pada tahun 1912. Pada tahun 1973, katalog yang dibuat oleh Cabaton telah

    dihuraikan semula oleh Voorhoeve secara lebih sistematik dan mendalam. 1

     

    Tidak kurang

    daripada 110 buah manuskrip Melayu telah disenaraikan oleh Voorhoeve tersimpan dalam

    koleksi Manuscrits Orientaux, Departement des Manuscrits (Division Orientale),

    Perpustakaan Rechelieu, Paris, sebagai sebahagian daripada rangkaian Bibliotheque Nationale de France. Semua manuskrip Melayu yang tersimpan di Perpustakaan Richelieu

    diberi singkatan nombor panggilannya “Mal-Pol” yang bermaksud “Malayo-Polynes”. Walau

     bagaimanapun, jumlah sebenar karya yang terdapat dalam simpanan Perpustakaan Richelieuadalah jauh lebih banyak berbanding dengan jumlah manuskripnya kerana kebanyakan

    manuskrip mengandugi tiga hingga lima buah kompilasi karya yang berbeza-beza di

    dalamnya. Kedua-dua tulisan oleh Cabaton dan Voorhoeve diterbitkan dalam bahasa

    Perancis. Sebuah katalog ringkas tentang koleksi manuskrip di Perancis telah diterbitkan

    kemudiannya oleh Perpustakaan Negara Malaysia dengan judul Katalog Manuskrip Melayu

    di Perancis  (1991) dan sebuah lagi oleh Henri Chambert-Loir dalam bukunya Khazanah

     Naskah (1999) yang mengandungi maklumat ringkas tentang manuskrip di Paris, Marseille,

    Rouen dan Tournus.

    cipta Terpelihara © 2014 - Perpustakaan Negara Malaysia

    Hakcipta Terpelihara © 2014 - Perpustakaan Negara Malaysia

  • 8/19/2019 KESUSTERAAN DAN KEBUDAYAAN MELAYU

    2/18

    2

    Tanda Jalan Menuju ke Perpustakaan Richelieu, Paris

    Dari segi jumlahnya, koleksi manuskrip Melayu di Paris tidaklah sebanyak yang

    terdapat di London atau di Leiden. Sungguh pun begitu, penghargaan harus diberikan kepada

    minat awal sarjana-sarjana Perancis terhadap manuskrip Melayu. Berdasarkan huraian

    Voorhoeve (1973), sekurang-kurangnya 24 buah manuskrip dikaitkan d engan nama Edouard

    Dulaurier (1807-1881) dan 5 buah kepada Pierre Favre (1812-1887).2 Kedua-dua tokoh ini

    adalah antara sarjana awal Perancis yang banyak melibatkan diri dalam pengajian bahasa dan

    sastera Melayu termasuk sebagai pensyarah bahasa Melayu di Ecole des Langues Orientales

    (Sekolah Tinggi Bahasa-bahasa Timur), Paris.3

     

    Antara manuskrip penting yang terdapat dalam simpanan Perpustakaan Richelieu

    ialah Bustan al-Salatin, Undang-Undang Melaka, Undang-Undang Laut Melaka, Adat Raja- Raja, Hikayat Muhammad Hanafiah, Hikayat Isma Yatim dan Hikayat Iskandar Zulkarnain.

    Di perpustakaan tersebut juga terdapat salinan  Hikayat Abdullah dan Syair Kampung Gelam

    Terbakar   oleh Abdullah bin Abdul Kadir Munshi. Malah tidak kurang pentingnya juga,

    Perpustakaan Richelieu turut menyimpan beberapa buah syair karangan Tuan Simi di

    Singapura berjudul Syair Dagang Berjual Beli, Syair Potong Gaji dan Syair Tengku Perabu.

    Voorhoeve dalam katalognya turut menyenaraikan sebanyak 20 buah manusk r ip yang

    tersimpan di Musee national des Arts asiatiques-Guimet (Musee Guimet), Paris. 4

     

    Antara

    manuskrip yang utama termasuklah  Hikayat Indera Putera, Syair Bidasari,  Syair Ken

    Tambuhan,  Hikayat Indera Bangsawan,  Bustan al-Salatin  dan  Hikayat Sultan Ibrahim ibn

     Adham. Agak menariknya, dalam koleksi manuskrip di muzium ini terdapat cerita-ceritanasihat tentang kisah ikan di dalam air dan raja gajah (Mal-Pol. 266) yang tiada ditemui di

    tempat lain. Dalam Mal-Pol. 274 pula, terdapat dua buah syair yang ditulis dengan gaya

    tulisan Jawi yang berseni berjudul Syair Orang Dagang di Selangor dan Syair Belalang dan

    Kumbang.

    Kedua-dua koleksi manuskrip yang tersimpan di Perpustakaan Richelieu dan Musee

    Guimet adalah sumber terpenting manuskrip Melayu yang terdapat di Perancis. Tidak banyak

    yang diketahui tentang nilai sebenar karya-karya tersebut kerana belum banyak kajian khusus

    dibuat terhadap manuskrip-manuskrip yang ada sama ada dari sudut isi mahu pun dari aspek

    keaslian naskhah, pengarang atau penyalinnya. Di samping karya-karya yang telah

    cipta Terpelihara © 2014 - Perpustakaan Negara Malaysia

    Hakcipta Terpelihara © 2014 - Perpustakaan Negara Malaysia

  • 8/19/2019 KESUSTERAAN DAN KEBUDAYAAN MELAYU

    3/18

    3

    disebutkan di atas, terdapat juga puluhan cerita tentang Nabi Muhammad, hikayat, syair,

     pantun, surat dan pelbagai bentuk karya lainnya yang telah disenarikan dalam katalog

    Catabon (1912) dan Voorhoeve (1973).

    Selain di Perpustakaan Richelieu dan Musee Guimet, koleksi manuskrip Melayu di

    Paris turut dikesan tersimpan di Archives Des Missions Etrangeres, Paris. Penulis telah berpeluang meneliti dua buah manuskrip Melayu yang tersimpan di situ yang terdiri daripada

    sebuah cerita panji (MS 1080) dan  Hikayat Pelanduk Jenaka  (MS 1085). Manuskrip cerita

     panji bertarikh tahun 1820 dan disalin oleh penyalin bernama Syeikh Ali al-Din. Sementara

     Hikayat Pelanduk Jenaka bertarikh 1237 Hijrah (1828), berukuran 19.5 sm x 14.5 sm, terdiri

    daripada 78 halaman. Tulisan menggunakan dakwat hitam dan merah. Manuskrip berasal dari

    Melaka. Besar kemungkinan, manuskrip-manuskrip tersebut telah  dibawa ke Paris oleh

     paderi yang pernah berkhidmat di Tanah Melayu pada masa dahulu.5

     

    Dulaurier dikesani pernah membuat salinan terhadap  Hikayat Raja Pasai, mungkin

    merupakan manuskrip yang kini tersimpan di Perpustakaan Richelieu (Mal-Pol. 50). Hal ini

    telah dibicarakan oleh Monique-Zaini Lajoubert (2004 & 2008) sewaktu beliau membuatkajian semula terhadap  Hikayat Raja Pasai. Menurutnya, pada tahun 1849, Dulaurier telah

    membuat sebuah salinan Jawi manuskrip Hikayat Raja Pasai yang tersimpan di Royal Asiatic

    Society, London (Raffles Malay 67). Pada tahun 1874 manuskrip Jawi salinan oleh Dulaurier

    itu telah diterjemahkan ke dalam bahasa Perancis oleh Aristide Marre (1823-1918) yang

    merupakan buat julung-julung kalinya  Hikayat Raja Pasai  boleh dibaca dalam bahasa

    Perancis. Pada tahun 2004, terjemahan  Hikayat Raja Pasai  dalam bahasa Perancis tersebut

    telah diedit semula oleh Monique Zaini-Lajoubert dan diterbitkan dengan judul  Histoire des

    rois de Pasey.6

     

    Selepas menterjemahkan  Hikayat Raja Pasai, Aristide Marre menterjemahkan pula

     Makota Radja-Radja (Taj al-Salatin) pada tahun 1875, Sejarah Melayu pada tahun 1896 dan

     Hikayat Jauhar Manikam  pada tahun 1897. Misalnya, terjemahan Taj al-Salatin  dibuat

    dengan judul  Makota Radja-Radja Ou La Couronne Des Rois Par Bokhari De Djohore,

    terdiri daripada 24 bab lengkap dengan cacatan dan indeks. Teks diterbitkan oleh penerbitan

    Maisonneuve di Paris. Agak menariknya, Aristide Marre mengatakan teks  Makota Radja-

     Radja itu dikarang oleh Bokhari dari Johor, dan bukannya Bukhari al-Jauhari.

    Pierre Favre terkenal dalam sejarah pengajian Melayu kerana usaha beliau

    menerbitkan Kitab Qamus Bahasa Melayu Dengan Bahasa Perancis  (1875) dan Kitab

    Qamus Bahasa Perancis Dengan Bahasa Melayu  (1880).7

     

    Dalam Kitab Qamus Bahasa

     Melayu Dengan Bahasa Perancis  (1875, hlm. xxv-xxvi), Pierre Farve menyenaraikan beberapa buah teks kesusasteraan Melayu yang telah digunakannya sebagai bahan rujukan

    iaitu  Hikayat Amir Hamzah, Hikayat Bispu Raja, Hikayat Raja Pasai, Hikayat Abdullah,

     Hikayat Hang Tuah, Hikayat Isma Yatim, Hikayat Kalilah dan Daminah, Syair Ken

    Tambuhan, Makota Raja-Raja, Hikayat Seri Rama, Syair Bidasari, Hikayat Sultan Abdul

     Muluk, Hikayat Sultan Ibrahim dan Sejarah Melayu. Hal ini menunjukkan Pierre Favre telah

    membaca sebahagian daripada karya kesusasteraan Melayu yang utama ketika itu.

    Selain Hikayat Raja Pasai, Dulaurier juga telah membuat salinan Jawi bagi Undang-

    Undang Melaka dan pelbagai undang-undang adat Melayu yang lain,  Hikayat Raja Banjar

    dan Kotaringin, Syair Perang Inggeris di Betawi, Syair Selindung Delima, Syair Ken

    Tambuhan, Syair Bidasari, Hikayat Hatim Tai, Hikayat Si Miskin, Hikayat Indera Putera,

    cipta Terpelihara © 2014 - Perpustakaan Negara Malaysia

    Hakcipta Terpelihara © 2014 - Perpustakaan Negara Malaysia

  • 8/19/2019 KESUSTERAAN DAN KEBUDAYAAN MELAYU

    4/18

    4

     Hikayat Tuan Puteri Jauhar Manikam, Hikayat Pencuri, Syair Dagang Berjual-beli, surat-

    surat Francis Light dan beberapa buah karya yang lain lagi (lihat Voorhoeve, 1973). Usaha

    dan keupayaan Dulaurier menyalin manuskrip Melayu dalam tulisan Jawi adalah sesuatu

    yang agak istimewa sifatnya kerana lazimnya sarjana Eropah akan menggunakan khidmat

     pengarang atau penyalin Melayu bagi melaksanakan kerja-kerja penyalinan manuskrip yang

    rumit dan memakan masa itu. Malah, Dulaurier pernah menerbitkan sebuah hasil tulisan beliau yang menceritakan usahanya dalam membuat pengumpulan dan penyalinan manuskrip

    Melayu termasuk daripada koleksi manuskrip yang terdapat di London sekitar tahun 1841-

    1842. Penerbitan dalam bahasa Perancis itu ialah :

    Dulaurier, E., 1843.  Memoire, Lettres Et Rapports Relatifs Au Cours De Langues

     Malaye Et Javanaise Fait a la Bibliotheque Royale Pendant Les Annees 1840-1841,

    1841-1842, Et A Deux Voyages Litteraires Entrepris En Angleterre Pendant Les

     Annees 1838 Et 1840. Paris: B. Duprat.

    Surat-surat Francis Light di London

    Maklumat awal tentang kewujudan surat-surat Francis Light ( Light Letters) di London

    adalah melalui sebuah tulisan oleh Kratz pada tahun 1987. Dalam tulisannya, Kratz telah

    mengenengahkan  Light Letters  yang terdiri daripada koleksi 1,200 pucuk surat-surat

    Francis Light yang kini tersimpan di School of Oriental and African Studies / SOAS (MS

    40320) dalam sebelas buah fail (volume).8 Antara lain, surat-surat tersebut mengandungi

    maklumat-maklumat yang sangat berharga tentang hubungan Francis Light dengan raja-raja

    Melayu, meliputi urusan diplomatik, perdagangan, pertikaian, persahabatan, bantuan

    kewangan, keselamatan dan sebagainya.9

     

    Penelitian yang menyeluruh terhadap surat-surat

    tersebut akan menuntut waktu dan usaha yang besar, apatah lagi dalam keadaan surat-surat

    yang masih belum tersusun secara sistematik, sebaliknya bercampur-campur dalamkesebelasan failnya. Dalam konteks sejarah Pulau Pinang, surat-surat Francis Light pastilah

    sangat penting sekali untuk diketahui isinya, khususnya tentang situasi yang berlaku di

    Pulau Pinang sekitar tahun 1786-1794.

    Sebahagian Jilid Surat-surat Francis Light di SOAS, London

    cipta Terpelihara © 2014 - Perpustakaan Negara Malaysia

    Hakcipta Terpelihara © 2014 - Perpustakaan Negara Malaysia

  • 8/19/2019 KESUSTERAAN DAN KEBUDAYAAN MELAYU

    5/18

    5

    Mengikut catatan Kratz (1987), surat-surat Francis Light yang tersimpan di SOAS

    adalah koleksi yang diserahkan oleh William Marsden, pegawai Inggeris yang pernah

     berkhidmat di Sumatera sekitar tahun 1771-1779. Pada tahun 1835, surat-surat tersebut telah

    diserahkan oleh William Marsden (1754-1836) kepada Perpustakaan King College, London.

    Apabila SOAS ditubuhkan pada tahun 1916 (ketika itu dikenali dengan nama School of

    Oriental Studies), keseluruhan surat-surat tersebut dipindahkan ke Perpustakaan SOASsehingga sekarang. Tidak banyak yang diketahui tentang isi surat-surat Francis Light tersebut

    sehinggalah diketengahkan oleh Kratz pada tahun 1987 dengan tumpuan khusus kepada

    urusan perdagangan Francis Light dengan raja-raja Melayu. Dalam tulisannya, Kratz

    membahagikan surat-surat Francis Light kepada lima kumpulan berikut :

    1.  Letters sent to Light

    2.  Letters sent to Light’s business partner Scott

    3.  Originals, copies and drafts of letters sent by Light

    4. 

    Internal Malay correspondence

    5.  Other documents (bills, receipts, petitions, business contracts)

    Di samping koleksi surat, bahagian “Other documents” tidak kurang mengandungi

     berbagai-bagai catatan penting tentang Pulau Pinang masa lalu, antara lain termasuklah

    sekeping dokumen perjanjian Sayid Hussain Aidid dengan Francis Light yang dibuat pada

    tahun 1791. Selain itu, terdapat juga “Babat suku orang Kelang yang anak bini dalam pekan

    Pulau Pinang” (MS 40320 / Vol. 1) yang memuatkan senarai nama saudagar-saudagar yang

    tinggal di Pulau Pinang berserta dengan jumlah kedai, ahli keluarga dan hamba sahaya yang

    mereka miliki. Walau bagaimanapun, jauh sebelum kajian oleh Kratz, surat-surat Francis

    Light tersebut telah menarik minat seorang sarjana pengajian Melayu dari Perancis bernama

    Edouard Dulaurier (1807-1881).

    Salinan Surat-surat Francis Light di Perancis

    Salinan surat-surat Francis Light oleh Dulaurier kini terkumpul dalam manuskrip Mal-Pol. 97

    yang tersimpan di Perpustakaan Richelieu. Manuskrip mengandungi kira-kira 100 salinan

    surat-surat Francis Light ketika di Pulau Pinang dengan raja-raja dan pembesar Melayu dalam

     pelbagai urusannya. Dalam kebanyakan surat, nama Francis Light disebut sebagai

    “Gurnadur” atau “Sinyor Gurnadur”. Di samping itu, terdapat juga dua surat yang ditujukan

    kepada Kapten Askat (Captain James Scott). Selain surat-surat Francis Light, manuskrip turut

    mengandungi surat-surat beberapa orang pegawai Inggeris di Sumatera (Fort Malborough)

    dengan raja-raja dan pembesar Melayu dari Moko-Moko, Bangkahulu, Andalas, Padang dan

     juga sepucuk surat Sultan Alauddin Mansur Shah dari Aceh kepada “Raja Perancis yang

    nama Louis Phillip”.

    Tidak dapat dipastikan apa sebenarnya yang telah menarik minat Dulaurier untuk

    membuat salinan surat-surat Francis Light kerana belum pernah ditemui suatu tulisan khusus

    Dulaurier terhadap surat-surat tersebut. Penulis hanya dapat membuat andaian, ketika tahun

    1840-an itu, Dulaurier sangat berminat membuat salinan terhadap manuskrip-manuskrip

    Melayu yang terdapat di London untuk dibawa pulang ke Paris sebagai sebahagian daripada

    dokumen sejarah Alam Melayu, di samping sebagai bahan pengajarannya di Ecole des

    Langues Orientales ketika itu.10

     

    cipta Terpelihara © 2014 - Perpustakaan Negara Malaysia

    Hakcipta Terpelihara © 2014 - Perpustakaan Negara Malaysia

  • 8/19/2019 KESUSTERAAN DAN KEBUDAYAAN MELAYU

    6/18

    6

    Lebih menarik lagi, kepentingan surat-surat Francis Light turut mendapat perhatian

    seorang lagi pengarang atau penyalin manuskrip Melayu di Perancis yang masih belum dapat

    dikenal pasti identitinya. Sebuah manuskrip yang mengandungi 38 salinan surat-surat Francis

    Light telah pun berjaya ditemui tersimpan di Bibliotheque Municipale de Tournus, Perancis.

    Penulis telah berpeluang berkunjung ke Bibliotheque Municipale de Tournus yang terletak

    kira-kira 350 kilometer dari Paris. Tournus sebuah bandar lama dalam wilayah Burgundy diselatan Paris, sebuah lokasi tumpuan pelancong yang ingin melawat kompleks bangunan dan

    gereja lama “Abbaye Saint-Philibert” yang sangat bersejarah. Di kawasan kompleks lama itu

     juga terletaknya Bibliotheque Municipale de Tournus, sebuah perpustakaan yang menyimpan

    sejumlah besar buku dan dokumen lama yang berhubungan dengan sejarah dan

     perkembangan sosio-budaya masyarakat Perancis.

    Bibliotheque Municipale de Tournus

    cipta Terpelihara © 2014 - Perpustakaan Negara Malaysia

    Hakcipta Terpelihara © 2014 - Perpustakaan Negara Malaysia

  • 8/19/2019 KESUSTERAAN DAN KEBUDAYAAN MELAYU

    7/18

    7

    Penelitian mendapati, Bibliotheque Municipale de Tournus memiliki tiga buah

    manuskrip Melayu yang tercatat dalam sebuah buku katalog tulisan tangan berjudul

     Bibliotheque de la Ville de Tournus. Katalog tersebut telah disusun oleh Jean Martin pada

    tahun 1886 yang bertugas selaku ketua Bibliotheque Municipale de Tournus ketika itu. Tiga

     buah manuskrip Melayu itu tercatat pada halaman 387 katalog dengan diberi nombor

     panggilan sebagai M 29, M 30 dan M 31. Tidak dapat dipastikan bagaimana ketiga-tiga

     buah manuskrip Melayu itu berada di Tournus, tetapi apa yang lebih pasti, koleksi karya

    Melayu di Tournus tersebut belum pernah mendapat penelitian sarjana Melayu sehingga

    kini.

    Tiga Buah Manuskrip Melayu di Tournus, Perancis

    Manuskrip M 29 berukuran 25 sm x 19 sm, berjilid kertas kadbod dengan tulisan

    Jawi berdakwat hitam dan merah. Manuskrip terdiri daripada 105 halaman dan

    mengandungi 22 baris ayat pada satu halaman. Kertas agak lusuh dengan watermarks lambang tiga bulan sabit. Manuskrip tiada mempunyai pengenalan dan kolofon, sementara

    isinya mengandungi 17 kisah dan riwayat yang bersumber daripada cerita-cerita dalam

    sejarah Islam. Matlamat penulisan kisah dan riwayat adalah memberi pengetahuan dan

    nasihat kepada pembaca tentang pengajaran baik dan buruk dalam kehidupan, sebuah corak

     penulisan yang lazim ditemui dalam karya-karya seperti Taj al-Salatin,  Bustan al-Salatin 

    dan sebagainya. Nama penyalin dan tahun penyalinan tiada dicatatkan.

    Manuskrip M 31 pula mengandungi salinan dua buah karya berjudul Syair Si

     Burung Nuri serta Si Bunga Chempaka  (hlm. 1-52) dan Syair Ikan Tambera berganding

    sama Kakap  (hlm. 53-87). Syair Si Burung Nuri serta Si Bunga Chempaka  mencatatkan

    tarikh pada kolofonnya 7 haribulan Ogos 1728 M sementara  Syair Ikan Tambera

    cipta Terpelihara © 2014 - Perpustakaan Negara Malaysia

    Hakcipta Terpelihara © 2014 - Perpustakaan Negara Malaysia

  • 8/19/2019 KESUSTERAAN DAN KEBUDAYAAN MELAYU

    8/18

    8

    berganding sama Kakap mempunyai kolofon bertarikh bulan Rejab tahun 1235 H (1826

    M). Manuskrip berukuran 22 sm x 17 sm, terdiri daripada 112 halaman, dengan tulisan Jawi

     berdakwat hitam. Semua gaya tulisan Jawi adalah sama dan adalah dipercayai hasil buah

    tangan seorang penyalin manuskrip yang sama.

    Selepas kedua-dua buah syair di atas, M 31 turut mengandungi salinan sepucuksurat Sultan Ibrahim di Selangor kepada pemerintah Inggeris di Bengal (hlm. 90-91),

    sepucuk surat daripada Raja Benchana (hlm. 93-95), sepucuk surat Sultan Mansur Syah di

    Terengganu kepada pihak Inggeris (hlm. 95-97), sepucuk surat saudagar Qamar al-Din

    kepada Gurnadur di Pulau Pinang (hlm. 97-100), salinan petikan daripada sebuah hikayat

     berunsur Hindu (hlm. 100-103) dan diakhiri dengan beberapa rangkap pantun kasih sayang

    (hlm. 106-112). Secara keseluruhannya, manuskrip M 31 terdiri daripada kompilasi

     beberapa buah karya dan surat raja-raja Melayu yang pelbagai sifatnya. Siapa pun

     penyalinnya, beliau adalah seorang yang melakukan kerja-kerja penyalinan dengan begitu

     berhati-hati sehingga tiada terdapat sebarang tanda kesalahan pada karya atau surat yang

    disalinnya.

    Dalam koleksi manuskrip Melayu yang tersimpan di Perpustakaan Richelieu

    terdapat sebuah karya yang berjudul Syair Ikan Tambera  (Mal-Pol. 88) yang merupakan

    salinan oleh Dulaurier dan Syair Nuri  (Mal-Pol. 92) yang berasal dari Batavia. Menurut

    catatan Voorhoeve (1973: 44), Syair Ikan Tambera  adalah salinan yang dibuat oleh

    Dulaurier daripada manuskrip asal di RAS (Raffles Malay 7). Berdasarkan maklumat ini,

    tidak mungkin pula manuskrip M 31 yang tersimpan di Tournus adalah salinan yang dibuat

    oleh Dulaurier kerana beliau sudah pun membuat sebuah salinan Syair Nuri. Besar

    kemungkinannya, penyalin manuskrip M 31 yang tersimpan di Tournus adalah seorang

    yang lain, yang telah membuat salinan manuskrip sama ada bersumber daripada manuskrip

    yang terdapat di Perpustakaan Richelieu atau langsung daripada sumber yang asal di

    London atau pun daripada sumber-sumber yang lainnya.

    Persoalan tentang penyalin manuskrip M 31 ada hubungannya pula dengan

    manuskrip M 30 yang tersimpan di Bibliotheque Municipale de Tournus. Manuskrip

     berukuran 22 sm x 17 sm, tertulis dalam kertas tanpa watermarks dan berjilid kemas.

    Tulisan Jawi menggunakan dakwat hitam, sangat kemas, rapi dan agak berseni. Gaya

    tulisan Jawi adalah sama bagi keseluruhan manuskrip dan dipercayai daripada tangan

    seorang penyalin manuskrip yang sama. Malah, gaya tulisan Jawi pada manuskrip M 30

    adalah sama dengan tulisan Jawi yang terdapat pada manuskrip M 31, dan besar

    kemungkinan kedua-dua manuskrip tersebut disalin oleh orang yang sama. Terdapat 15

     baris ayat pada satu halaman yang keseluruhannya berjumlah 235 halaman.

    Isi kandungan manuskrip M 30 terbahagi kepada dua bahagian. Bahagian pertama

    terdiri daripada salinan Syair Ken Tambuhan yang lengkap dengan pengenalan dan kolofon.

    Syair tertulis dalam 137 halaman dengan kolofon bertarikh 20 haribulan Jamadil Akhir

    tahun 1235 Hijrah (1826 M). Nama penyalin dan sumber asal syair tiada dicatatkan. Di

    Perpustakaan Richelieu terdapat dua buah salinan Syair Ken Tambuhan yang telah dibuat

    oleh Dulaurier berasaskan manuskrip yang tersimpan di London. Manuskrip tersebut ialah

    Mal-Pol. 71 yang bersumber daripada manuskrip SOAS 12914B dan Mal-Pol. 72 yang

     bersumber daripada RAS Raffles Malay 7 (Voorhoeve, 1973: 43-44). Ada kemungkinan,

     penyalin M 30 telah membuat salinan berdasarkan manuskrip yang tersimpan di Paris

    ataupun terus daripada manuskrip yang berada di London.

    cipta Terpelihara © 2014 - Perpustakaan Negara Malaysia

    Hakcipta Terpelihara © 2014 - Perpustakaan Negara Malaysia

  • 8/19/2019 KESUSTERAAN DAN KEBUDAYAAN MELAYU

    9/18

    9

    Bahagian kedua manuskrip M 30 adalah sebenarnya yang berhubungan secara

    langsung dengan Pulau Pinang, dengan Francis Light khususnya, kerana mengandungi

    sebanyak 38 salinan surat-surat Francis Light dengan raja-raja dan pembesar Melayu.

    Bahagian ini dimulai dengan judul (hlm. 148) “Inilah segala surat dari Tanah Melayu”.

    Sumber asal surat-surat tersebut tiada dinyatakan oleh penyalinnya. Semua surat disalin

    dengan kemas dan berhati-hati tanpa meninggalkan sebarang tanda kesalahan ejaan atauayat. Penelitian mendapati, kesemua 38 salinan surat-surat Francis Light ini adalah

    menyamai seperti yang terdapat dalam Mal-Pol. 97. Penulis tidak ragu-ragu untuk

    mengatakan salinan surat-surat Francis Light dalam manuskrip M 30 di Tournus adalah

     bersumber daripada manuskrip Mal-Pol. 97 yang tersimpan di Perpustakaan Richelieu,

    Paris. Senarai bagi keseluruhan salinan 38 surat tersebut dapat diringkaskan seperti berikut:

    1. hlm.152-155 Surat daripada Datu Kaya Batu Bahara kepada

    Gurnadur yang memerintah Bandar Pulau Pinang.

    2. hlm. 155-157 Surat Encik Longok yang bermukim di Bandar Perlis

    Kota Indera Kayangan Negeri Kedah Dar al-Aman

    kepada Kapitan Askat di Negeri Salang. Surat bertarikh 1199 (1788).

    3. hlm. 157-159 Surat daripada Tengku Kejuruan Muda yang duduk

    dalam Negeri Langkat kepada Gurnadur yang duduk

    dalam Negeri Pulau Pinang.

    4. hlm. 159-161 Surat daripada Raja Long Omar di Negeri Kedah Dar

    al-Aman kepada Datuk Gurnadur yang arif bijaksana

    dan yang empunya perintah di dalam Bandar Pulau

    Pinang. Surat meminta Francis Light memeriksa

     pertikaian perniagaan antara dua orang saudagar di

    Pulau Pinang.

    5. hlm. 162-163 Surat Raja Selangor kepada Kapitan Thomas Forest

    meminta beliau membantu Selangor untuk membuat

     perhubungan persahabatan dan perdagangan dengan

     pihak Inggeris di Benggala (Bengal, India).

    6. hlm. 163-165 Surat Francis Light kepada Tengku Raja Pidir,

     bertarikh 1203 Hijrah (1792), tentang penipuan wang yang

    dibuat oleh seorang Kapitan Belanda.

    7. hlm. 165-167 Surat sembah saudagar Dato’ Marikan Kandu minta

    Francis Light menyelesaikan pertikaian beliau dengan

    seorang saudagar dari Kelang.

    8. hlm. 168-169 Surat Datuk Paduka Seri Indera penghulu di dalamLima Laras kepada Gurnadur Pulau Pinang.

    9. hlm. 170-171 Surat Encik Piah dari Selangor kepada anakanda

     perempuan Gurnadur di Pulau Pinang.

    10. hlm. 172-173 Surat Datuk Bayan kepada Gurnadur di Pulau

    Pinang.

    11. hlm. 174-176 Surat Raja Muda Perlis Indera Kayangan kepada

    Gurnadur di Pulau Pinang berkaitan perniagaan

     belerang dan minta diperbaiki tiga utas jam tangan

    yang rosak.

    12. hlm. 176-177 Surat Datu Kaya Batu Bahara kepada Gurnadur di

    Pulau Pinang.

    cipta Terpelihara © 2014 - Perpustakaan Negara Malaysia

    Hakcipta Terpelihara © 2014 - Perpustakaan Negara Malaysia

  • 8/19/2019 KESUSTERAAN DAN KEBUDAYAAN MELAYU

    10/18

    10

    13. hlm. 178-179 Surat daripada Mahmud kepada Gurnadur di Pulau

    Pinang.

    14. hlm. 180-181 Surat daripada Datu Batu Bahara kepada Gurnadur di

    Pulau Pinang.

    15. hlm. 182-184 Surat Laksamana kepada Gurnadur di Pulau Pinang.

    16. hlm. 185-187 Surat Syahbandar Selangor kepada Sinyur GurnadurMister Light, bertarikh 1196 (1786), tentang

     perniagaan tembakau dan kain di Pulau Pinang.

    17. hlm.187-189 Surat Orang Kaya Buluh China kepada Gurnadur di

    Pulau Pinang.

    18. hlm. 190-191 Surat daripada isteri Tengku Raja Muda wakil Sultan

    Ibrahim Syah yang memerintah Bandar Negeri

    Selangor kepada Gurnadur di Pulau Pinang.

    19. hlm. 191-193 Surat kepada Gurnadur Pulau Pinang berkaitan urusan

    kapal ke Tanah Arab.

    20. hlm. 194-195 Surat daripada Tengku Langkat kepada Gurnadur di

    Pulau Pinang.21. hlm. 196-197 Surat tentang perniagaan bijih timah.

    22. hlm. 198-200 Surat daripada Salang kepada Kapitan Askat (Captain

    James Scott).

    23. hlm. 201-203 Surat daripada saudagar di Negeri Kelantan kepada

    hakim Bandar yang empunya perintah di bawah

    Gurnadur dalam Pulau Pinang. Pada kolofon tercatat

    “Ini surat daripada rahsia raja dari Negeri Kelantan”.

    24. hlm. 203-205 Surat daripada Paduka Maharaja Kedah kepada

    Gurnadur di Pulau Pinang.

    25. hlm. 206-208 Surat Pangeran Palembang kepada Gurnadur di Pulau

    Pinang.

    26. hlm. 208-210 Surat Raja Ali kepada Gurnadur di Pulau Pinang

    tersurat di Negeri Selangor.

    27. hlm. 210-212 Surat Raja Selangor Badar al-Din kepada Gurnadur di

    Pulau Pinang tentang hal hutang-piutang.

    28. hlm. 212-214 Surat Sultan Selangor kepada Sinyor Gurnadur di

    Pulau Pinang, bertarikh 1201 Hijrah (1790), tentang

     baginda ingin bertemu Francis Light berbincang

    tentang hal perniagaan.

    29. hlm. 214-215 Surat Francis Light kepada Tok Saudagar Nasar al-

    Din minta dikirimkan timah dan lada ke Pulau Pinang.30. hlm. 215-216 Surat Francis Light kepada Tengku Raja Pidir

     berkaitan hal perdagangan.

    31. hlm. 217-219 Surat daripada Long Ismail kepada Gurnadur di Pulau

    Pinang.

    32. hlm. 219-221 Surat dari Batu Bahara kepada Gurnadur di Pulau

    Pinang.

    33. hlm. 221-222 Surat dari Langat kepada Gurnadur di Pulau Pinang.

    34. hlm. 222-225 Surat daripada saudagar rahsia Raja Kelantan kepada

    Gurnadur di Pulau Pinang.

    35. hlm. 225-228 Surat daripada Datuk Saudagar Nasar al-Din kepada

    Gurnadur di Pulau Pinang.

    cipta Terpelihara © 2014 - Perpustakaan Negara Malaysia

    Hakcipta Terpelihara © 2014 - Perpustakaan Negara Malaysia

  • 8/19/2019 KESUSTERAAN DAN KEBUDAYAAN MELAYU

    11/18

    11

    36. hlm. 228-230 Surat Encik Khamas di Johor kepada Gurnadur di

    Pulau Pinang.

    37. hlm. 230-233 Surat Syahbandar wakil sultan kepada Gurnadur di

    Pulau Pinang.

    38. hlm. 234-235 Surat Laksamana di Negeri Perak kepada Gurnadur di

    Pulau Pinang, bertarikh tahun 1206 (1794).

    Daripada senarai surat di atas, memberikan sedikit-sebanyak maklumat berkaitan

    hubungan Francis Light dengan raja-raja dan pembesar Melayu masa lalu, terutamanya bagi

    negeri-negeri Selangor, Kedah, Perak, Kelantan, Johor, dan beberapa buah kesultanan

    Melayu di Sumatera seperi Langkat, Batu Bahara dan Palembang. Isi surat merangkumi

     berbagai-bagai persoalan berhubungan dengan perdagangan, permohonan bantuan

    kewangan, pertikaian jual-beli dan juga hal-hal yang lebih bersifat persahabatan dan

     peribadi. Walaupun pendudukan Inggeris di Pulau Pinang masih lagi baharu ketika itu,

    tetapi kelihatannya Francis Light sudah pun memberi pengaruh yang kuat kepada raja-raja

    Melayu, sehingga beliau diberikan aneka puji-pujian oleh raja-raja dan pembesar Melayu.

    Suatu contoh tergambar dalam mukadimah surat yang diberikan oleh Raja Long Omar dariKedah kepada Francis Light (hlm. 159-160) seperti berikut :

    Omar ibn Muhammad Taha

    Surat kasih sayang tulus ikhlas daripada beta Raja Long Omar di Negeri Kedah Dar

    al-Aman sampai pada sahabat beta Dato’ Gurnadur yang arif bijaksana dan yang

    mempunyai perintah di dalam Bandar Pulau Pinang serta yang amat mengasihani

    segala hamba Allah yang teraniaya supaya jadi ramailah segala dagang masuk

     berniaga ke dalam Pulau Pinang itu dengan sebab baik bicara dan tuah sahabat beta

     jadi makmurlah di dalam Bandar Pulau Pinang itu.

    Koleksi salinan surat Francis Light yang terdapat dalam manuskrip M 30 turut

    mengandungi tiga salinan surat Francis Light kepada raja-raja dan pembesar Melayu, iaitu

    dua pucuk surat Francis Light kepada Tengku Raja Pidir (hlm. 163-165 & hlm. 215-216)

    dan sepucuk surat Francis Light kepada Tok Syahbandar Nasar al-Din (hlm. 214-215).

    Dalam ketiga-tiga surat ini, Francis Light memperlihatkan konvensi penulisan surat yang

    agak seragam, dengan kata-kata mukadimah yang manis penuh puji-pujian, diikuti dengan

    maksud surat dan ungkapan penutup serta tarikhnya. Francis Light pastinya memiliki

     jurutulis surat Melayu yang berpengalaman bagi membantu beliau berurusan dengan raja-

    raja dan pembesar Melayu.

    Contoh yang ketara tergambar dalam surat Francis Light kepada Tengku Raja Pidir(hlm. 163-165), dalam mana Tengku Raja Pidir telah diberikan puji-pujian sebagai orang

    yang bijaksana dan masyhur namanya. Walau bagaimanapun, isi surat adalah berkaitan

    dengan peristiwa seorang Kapitan Belanda yang dikatakan telah menipu Francis Light

    sebanyak 368 riyal, wang yang sepatutnya diberikan kepada Tengku Raja Pidir. Siasah

    Francis Light begitu terserlah dengan janji beliau akan membayar ganti wang itu kepada

    Tengku Raja Pidir dan menghukum Kapitan Belanda tersebut. Sebagai balasannya, Francis

    Light memohon agar Tengku Raja Pidir memberikan bantuan kepada Kapitan Askat

    (Captain James Scott) yang sedang berurusan dagang di Pidir. Tengku Raja Pidir pastinya

    gembira dengan surat daripada Francis Light ini dan terus saling berkerjasama dalam

    urusan politik dan dagang antara Pidir dengan Pulau Pinang. Surat bertarikh tahun 1203

    Hijrah (1792), yakni kira-kira selepas enam tahun Francis Light di Pulau Pinang.

    cipta Terpelihara © 2014 - Perpustakaan Negara Malaysia

    Hakcipta Terpelihara © 2014 - Perpustakaan Negara Malaysia

  • 8/19/2019 KESUSTERAAN DAN KEBUDAYAAN MELAYU

    12/18

    12

    Dalam pada itu, koleksi salinan surat yang tersimpan di Bibliotheque Municipale de

    Tournus turut mengandungi sepucuk surat yang agak berlainan cara penulisan dan

    matlamatnya. Surat tersebut datangnya daripada seorang yang bernama Marikan Kandu

    yang ditujukan kepada Francis Light ataupun kepada seorang pegawai Inggeris yang

    dipanggil “qadam Dato’ Gurnadur”. Dalam suratnya, Marikan Kandu mengadu tentang

    seorang yang digelarnya sebagai “fakir Saba” dari Kelang yang telah menipunya dan tidakmahu membayar hutangnya sebanyak 210 riyal, walaupun setelah mendapat perintah

    daripada pihak pengadilan (daftar). Surat tanpa tarikh ini memberi gambaran tentang

     bagaimana pertikaian-pertikaian dalam perniagaan yang berlaku di Pulau Pinang masa lalu

    yang memerlukan pengadilan daripada pihak Inggeris. Agak menariknya, surat adalah

    ditulis oleh Marikan Kandu, sebagai suatu maklumat penting tentang kehadiran keturunan

    “Merican” atau “Marican” pada zaman awal Pulau Pinang. Cara penulisan surat dan

     penggunaan bahasa Melayu juga agak kurang teratur, berbeza daripada kelaziman surat-

    surat yang datang dari raja-raja atau pembesar Melayu.

    Rumusan

    Pengajian Melayu sudah mendapat tempat di Perancis sekitar pertengahan abad ke-19 yang

    lalu melalui tokoh-tokoh awalnya seperti Adouard Dulaurier, Pierre Farve dan Aristide

    Marre. Mereka bukan sahaja mengajar, malah juga mengumpul, membuat salinan manuskrip

    Jawi dan menterjemahkan beberapa buah karya penting Melayu ke dalam bahasa Perancis.

    Usaha Dulaurier membuat salinan Jawi terhadap sebahagian daripada surat-surat Francis

    Light yang tersimpan di London telah menyebar-luaskan surat-surat tersebut ke Paris. Dari

    Paris, sebahagian daripada surat-surat Francis Light itu disalin semula dan dibawa pula ke

    Tournus, sebuah bandar lama yang sungguh asing dengan dunia pengajian Melayu. Melalui

    salinan surat-surat itu, nama Francis Light dan Pulau Pinang pernah berada dalam koleksi

    manuskrip di Bibliotheque Municipale de Tournus dan sehingga kini masih abadi di sana.

    Penelitian lebih lanjut wajar dilakukan terhadap koleksi manuskrip Melayu dan surat-surat

    Francis Light yang terdapat di Perancis sebagai sebahagian daripada kesinambungan sejarah

     pengajian bahasa dan sastera Melayu yang pernah wujud antara Perancis dengan Tanah

    Melayu secara amnya, dan hubungan Perancis-Pulau Pinang secara khususnya.

    cipta Terpelihara © 2014 - Perpustakaan Negara Malaysia

    Hakcipta Terpelihara © 2014 - Perpustakaan Negara Malaysia

  • 8/19/2019 KESUSTERAAN DAN KEBUDAYAAN MELAYU

    13/18

    13

    Lampiran 1 :

    Salinan surat Francis Light kepada Tengku Raja Pidir

    [Sumber: Manuskrip M 30, Bibliotheque Municipale de Tournus, hlm. 163-165]

    Al-qamr wa al-syamsSurat tulus ikhlas muafakat yang tiada berkesudahan selagi ada chakrawala matahari dan

     bulan daripada beta Gurnadur yang memerintahkan di kota Bandar Pulau Pinang, barang

    disampaikan Tuhan seru alam apalah kiranya kepada pihak sahabat beta Tengku Raja Pidir

    yang aqil bijaksana, telah masyhur gah kepujian sampai ke mana-mana.

    Wa ba’du dari itu ahwal akan surat sahabat beta dibawa kerani itu sampailah kepada beta

    dengan sempurnanya. Maka akan perintah piutang Kapitan Belanda pada sahabat beta itu

    maka sudah beta periksanya akunya tiga ratus enam puluh dulapan riyal itu kepada sahabat

     beta serta dengan surat beta pun dibawanya sama pergi. Maka ini khabarnya ia sudah pergi

    ke Benggala.

    Maka pasal riyal tiga ratus enam puluh dulapan riyal seperti akuan Kapitan Belanda itu

     betalah ganti bayar. Apabila ia datang dari Benggala boleh beta kerasi ambil riyal itu kerana

    ditipunya beta hendak pergi bayar kepada sahabat beta.

    Sebermula Kapitan Askat pun beta suruh pergi ke Pidir, itu pun minta sahabat beta tolong

     barang sesuatu hal-ahwal mereka itu, boleh balik dengan segeranya. Amin.

    Perbuat surat ini pada dua hari timbul bulan Rejab hari Ahad sanat 1203 tahun Ba. Tamat.

    cipta Terpelihara © 2014 - Perpustakaan Negara Malaysia

    Hakcipta Terpelihara © 2014 - Perpustakaan Negara Malaysia

  • 8/19/2019 KESUSTERAAN DAN KEBUDAYAAN MELAYU

    14/18

    14

    Lampiran 2 :

    Salinan surat Marikan Kandu kepada Francis Light

    [Sumber: Manuskrip M 30, Bibliotheque Municipale de Tournus, hlm. 165-167]

    Ya Aziz

    Ampun hamba Dato’, Marikan Kandu sakai hamba yang teramat hina maklumkan sembah

     pada ke bawah qadam Dato’ Gurnadur yang teramat mulia. Hamba Dato’ maklumkan

    ahwal hal diri hamba Dato’ duduk selama makan pagi sekalian anak-beranak hamba Dato’

     pun dengan ‘asar rahim qadam Dato’.

    Di dalam antara itu datang fakir Saba dari Negeri Kelang tanya pada hamba Dato’ andak

    duduk dengan hamba Dato’, maka modalnya pun tiada. Kemudian hamba Dato’ kasihan

    sebab dia orang tiada modal, hamba Dato’ ajak tiarah di dalam kedai, sekalian sambut-

    menyambut pada orang kapal atau kepada orang di negeri pun hamba Dato’ seorang. Maka

    fakir Saba itu duduk di kedai sahaja.

    Kemudian ia antar pergi ke Pidir dua ratus riyal pun dagangan kain-kain di kedai itu pun

    tiada ia beri tahu kepada hamba Dato’, orang datang kata kepada hamba Dato’, kemudian

    hamba Dato’ tahu. Dan lagi beberapa pulak ia antar pergi ke Negeri Kelang itu pun tiada

    hamba Dato’ tahu, kemudian hamba Dato’ tahu.

    Budi perangai fakir Saba hamba Dato’ ajak selesaikan daftar berhadapan saudagar Banna

    Saba dan berhadapan Mira Lebai, selesai sekalian daftar tinggal lagi baki atas fakir Saba

    dua ratus sepuluh riyal. Maka sekarang ia pulak tengah duduk kiranya daftar banyak sangat

     pulasnya.

    Sebab pun hamba Dato’ teriak kepada qadam Dato’ suruh selesaikan berhadapan nakhoda

    kapal Kelang itu pun Takdur Husin pun mau panggil sekalian nakhoda itu. Sebab pun

    hamba Dato’ datang mari teriak pada ke bawah qadam Dato’ jika dengan benar qadam

    Dato’ pinta qadam Dato’ suruh pada nakhoda kapal Kelang selesaikan daftar itu, kemudian

     boleh qadam Dato’ tahu ia kepada salah benar hamba Dato’.

    Adapun duduk hamba Dato’ anak-beranak melainkan harap kepada qadam Dato’. Ahwal

    inilah hamba Dato’ maklumkan pada ke bawah qadam Dato’. Tamat.

    cipta Terpelihara © 2014 - Perpustakaan Negara Malaysia

    Hakcipta Terpelihara © 2014 - Perpustakaan Negara Malaysia

  • 8/19/2019 KESUSTERAAN DAN KEBUDAYAAN MELAYU

    15/18

    15

    Lampiran 3 :Mukadimah Surat Raja Long Omar kepada Francis Light

    [Sumber: MS M 30, Bibliotheque Municipale de Tournus, hlm. 159]

    Lampiran 4 :

    Mukadimah Surat Francis Light kepada Tengku Raja Pidir

    [Sumber: MS M 30, Bibliotheque Municipale de Tournus, hlm. 215]

    cipta Terpelihara © 2014 - Perpustakaan Negara Malaysia

    Hakcipta Terpelihara © 2014 - Perpustakaan Negara Malaysia

  • 8/19/2019 KESUSTERAAN DAN KEBUDAYAAN MELAYU

    16/18

    16

    1 Menurut Chambert-Loir (1999: 167), senarai manuskrip Melayu di Perancis pernah dibuat oleh Dulaurier

     pada tahun 1894 dan kemudiannya oleh Feer pada tahun 1898 tetapi tidak diterbitkan. Menurutnya lagi,

    sebanyak 12 buah manuskrip adalah diperolehi daripada P.P. Roorda van Eysinga (1796-1856).

    2 Dalam  Memorial Societe Des Missions-Etrangeres  (Launay, 1916: 238), nama Pierre Favre diberikan

    dengan lengkapnya sebagai Pierre-Etienne-Lazare Favre, lahir pada tahun 1812 dan meninggal dunia padatahun 1887. Beliau pernah berada di Melaka sebelum ke Pulau Pinang pada tahun 1856.

    3  “pengajian bahasa dan sastera Melayu” dalam tulisan ini merujuk kepada pengajian bahasa dan sastera

     berbahasa Melayu di Malaysia dan Indonesia, walaupun pada hakikatnya terdapat dalam kalangan sarjana di

    Perancis yang hanya mengkhusus dalam pengajian bahasa Melayu di Malaysia atau pengajian bahasa Melayu

    di Indonesia. Ecole des Langues Orientales sekarang dikenali dengan nama Institut National des Langues et

    Civilisations Orientales atau INALCO. Edouard Dulaurier adalah pensyarah bahasa Melayu yang pertama,

    Pierre Fevre yang kedua dan Aristide Marre yang ketiga (Zaini-Lajoubert, 2008).

    4 Maklumat manuskrip Melayu di Musee Guimet ini berdasarkan keterangan dalam Voorhoeve (1973: 68-73).

    Sewaktu penulis membuat pesanan beberapa buah manuskrip di Perpustakaan Richelieu, manuskrip-

    manuskrip yang diminta dikatakan berada dalam simpanan Musee Guimet. Walau bagaimanapun, kunjungan

     penulis ke Musee Guimet pada Julai 2011 tidak berjaya membaca manuskrip-manuskrip Melayu yang

    dikatakan berada di situ kerana masalah data lokasi penyimpanan manuskrip yang tidak lengkap (berdasarkan

    keterangan Bibliothecaire, Aroquiadasse Adeikalam). Penulis hanya membaca manuskrip-manuskrip tersebut

    melalui mikrofilem.

    5  Di Archives Des Missions Etrangeres juga terdapat sebuah buku cetakan Rumi berjudul  Le Roman De

    Pelandok Le Chevrotain yang diterbitkan di Bruges (Belgium) pada tahun 1935. Buku mengandungi

    terjemahan  Hikayat Pelanduk Jenaka  ke dalam bahasa Perancis yang dibuat oleh R.P. R. Cardon, salah

    seorang paderi yang pernah berada di Pulau Pinang. Di arkib yang sama terdapat sebuah buku berjudul  Bahua

    Terteralah Kitab ini di Pulo Pinang dengan izin Terhormati Tuan J.B.   Boucho. Buku diterbitkan di Pulau

    Pinang pada tahun 1860 yang mengandungi bahan-bahan pengajaran Roman Catholic dalam bahasa Melayu.

    Boucho juga pernah menjadi paderi di Pulau Pinang. Beliau meninggal dunia pada tahun 1871 (Launay, 1916:

    204).

    6 Monique Zaini-Lajoubert (2008) dalam perbincangannya terhadap terjemahan bahasa Perancis bagi Hikayat

     Raja Pasai yang dibuat oleh Aristide Marre mendapati beberapa kesalahan dan kesilapan makna bagi teks

    tersebut yang antara lain berpunca daripada kesilapan atau kesalahan Dulaurier membuat salinan Jawi pada

    tahun 1849.

    7 Lihat perbincangan terhadap kamus tulisan Pierre Farve oleh Labrousse (1976) secara membandingkannya

    dengan kamus tulisan Pijnappel dan Wilkinson. Pierre Favre juga telah menterjemahkan Syair Singapura

    Terbakar  karya Abdullah Munshi ke dalam bahasa Perancis (lihat Favre, 1883).

    8 E.U. Kratz, bekas profesor Pengajian Melayu di Faculty of Languages and Cultures, SOAS, London.

    9

     Kesemua surat dan dokumen dijilid dalam sebelas volume berbentuk fail berwarna biru pelbagai saiz, sudahdipulihara dengan baik oleh pihak Perpustakaan SOAS.

    10 Buat masa ini, tidak dapat dipastikan dengan tepat sumber asal surat-surat Francis Light yang disalin oleh

    Dulaurier, sama ada berasaskan koleksi  Light Letters  yang tersimpan di School of Oriental and African

    Studies, London (MS 40320) atau bersasaskan surat-surat Francis Light yang lain. Penelitian terhadap  Light

     Letters akan dilakukan kemudian.

    cipta Terpelihara © 2014 - Perpustakaan Negara Malaysia

    Hakcipta Terpelihara © 2014 - Perpustakaan Negara Malaysia

  • 8/19/2019 KESUSTERAAN DAN KEBUDAYAAN MELAYU

    17/18

    17

    RUJUKAN

    Cabaton, A., 1912. Catalogue sommaire des manuscripts Indiens, Indochinois et Malayo-

    Polynesiens de la Bibliotheque Nationale. Paris: Leroux.

    Cardon, R.P.R., 1935. Le Roman De Pelandok Le Chevrotain. Bruges: Librairie De L’oevre

    Saint-Charles.

    Chambert-Loir, H., 1999. Khazanah Naskah: Panduan Koleksi Naskah-Naskah Indonesia

    Sedunia. Jakarta: Ecole Francaise D’Extreme-Orient & Yayasan Obor Indonesia.

    Dalrymple, A., 1886. “Formation of the Establishment on Poolo Peenang” dlm.

     Miscellaneous Papers Relating to Indo-China. Vol. 1. W.E. Maxwell (ed.). London: Trubner

    & Co. and Ludgate Hill.

    Dulaurier, E., 1843. Memoire, Lettres Et Rapports Relatifs Au Cours De Langues Malaye Et

     Javanaise Fait a la Bibliotheque Royale Pendant Les Annees 1840-1841, 1841-1842, Et A

     Deux Voyages Litteraires Entrepris En Angleterre Pendant Les Annees 1838 Et 1840. Paris:

    B. Duprat.

    Favre, L’abbe P., 1845.  An Account of the Wild Tribes Inhabiting the Malayan Peninsula,

    Sumatra and a few Neighbouring Islands, with a Journey in Johore and a Journey in the

     Minangkabaw of the Malayan Peninsula. Paris: The Imperial Printing Office.

    Favre, L’abbe P., 1875. Kitab Qamus Bahasa Melayu Dengan Bahasa Perancis. Dictionnaire

     Malais-Francais. Vienne. Imprimerie Imperiale Et Royalle.

    Favre, L’abbe P., 1880. Francais-Malais. Kitab Qamus Bahasa Perancis Dengan Bahasa Melayu. Vienne: Imprimerie Imperiale Et Royalle.

    Favre, L’abbe P., 1883. L’incendie De Singapour En 1828: Poeme Malais De Abdullah bin

    Abd. Kader” dlm. Malanges Orientaux. Paris: Ernest Leroux, hlm. 127-166.

    Garnier, Revd. K., 1923. “Early Days in Penang” JMBRAS  (1): 5-12.

     Histoire des rois de Pasey. Aristide Marre (Trad. par) & Monique Zaini-Lajoubert (Pres.

     par), 2004. Toulouse: Anacharsis.

    Jelani Harun, 2013. Pulo Ka Satu: Warisan Sejarah Awal Persuratan Melayu di Pulau

    Pinang. Kuala Lumpur: Perpustakaan Negara Malaysia.

    Johns, R., 1987. Hikayat Raja Pasai. Petaling Jaya: Fajar Bakti.

    Katalog Manuskrip Melayu di Perancis, 1991. Kuala Lumpur: Perpustakaan Negara

    Malaysia.

    Kratz, E.U., 1987. “Some Malay Letters on Trade” Indonesia Circle (44): 3-16.

    Labrousse, P., 1976. “Histoire Des Dictionnaires Du Malais Et De L’Indonesien”.  Archipel 

    (12): 9-45.

    cipta Terpelihara © 2014 - Perpustakaan Negara Malaysia

    Hakcipta Terpelihara © 2014 - Perpustakaan Negara Malaysia

  • 8/19/2019 KESUSTERAAN DAN KEBUDAYAAN MELAYU

    18/18

    18

    Launay, A., 1916.  Memorial Societe Des Missions-Etrangeres. Paris: Seminaire Des

    Missions-Etrangeres.

     Makota Radja-Radja Ou La Couronne Des Rois Par Bokhari De Djohore: Traduit Du Malais

     Et Annote. Aristide Marre (Trad. Par), 1878. Paris: Maissonneuve.

    Marre, A., 1875. Kata-Kata Malayou Ou Recueil Des Mots Malays Francises. Paris:

    Maisonneuve.

    Martin, J., 1886. Bibliotheque de la Ville de Tournus. (belum diterbitkan).

    Moussay, G., 1995. Dictionnaire Minangkabau Indonesien-Francais. Paris: L’Harmattan.

    Reid, A., 2009. “Fr Pecot and the Earliest Catholic Imprints in Malay” dlm.  Lost Times and

    Untold Tales from the Malay World . Jan van der Putten & Mary Kilcline Cody (eds.).

    Singapore: NUS Press, hlm. 177-185.

    Voorhoeve, P., 1973. “Les Manuscrits Malais de la Bibliotheque Nationale de Paris” Archipel

    (6): 42-80.

    Zaini-Lajoubert, M., 2008. “ Hikayat Raja Pasai  dalam bahasa Perancis karya terjemahan

    Aristide Marre (1874)” dlm. Psosiding Persidangan Antarabangsa Penterjemahan Ke-11.

    Kuala Lumpur: Institut Terjemahan Negara Malaysia.

    cipta Terpelihara © 2014 - Perpustakaan Negara Malaysia