kepentingan penguasaan usul fiqh: satu analisis

14
1 KEPENTINGAN PENGUASAAN USUL FIQH: SATU ANALISIS UMUM Oleh: Mustafa Shamsuddin Jabatan Fiqh & Usul Fiqh, UIAM PENDAHULUAN: Hakikat bahawa semalam adalah berbeza dengan hari ini dan hari ini adalah tidak sama dengan esok merupakan titik tolak dalam menelusuri kertas kerja ini. Dengan penuh rasa percaya kita menerima dan mentaati firman Allah s.w.t yang bermaksud: “Dan hari - hari itu kami pergilirkan di antara manusia” (Ali Imran: 140), bahawa di dalam penggiliran ini ada perubahan. Perubahan yang mendatang ini memaksa kita untuk bergerak bersamanya supaya kita tidak terasing dari realiti yang mencorak suasana dan kehidupan. Sebagai seorang Muslim, kita mempercayai bahawa Islam adalah panduan yang sesuai untuk semua tempat, masa dan orang. Islam tidak terbatas untuk tempat, masa dan orang yang tertentu yang mana perubahan pada ketiga - tiga unsur ini boleh menyebabkan Islam dikesampingkan. Penafian keatas perkara ini memerlukan satu metodolgi yang kukuh yang mana ia berdiri di atas dasar dan sumber yang diterima. Perubahan yang kita hidup bersamanya telah mengajukan banyak persoalan, sedangkan jawapan - jawapannya masih belum di temui. Permasalahan - permasalahan yang kita tiada pilihan melainkan menghadapinya menggoyahkan diri kita dari mengambil pendirian tertentu dalam keadaannya yang belum terjawab. Maka dengan memberi perhatian kepada Ilmu Usul Fiqh dan mengambil kiranya sebagai metodologi untuk menghadapi perubahan, kertas kerja ini membincangkan kepentingan Ilmu Usul Fiqh dalam mendepani arus perubahan semasa. Dalam menggariskasarkan topik yang akan dipelajari di mukasurat - mukasurat akan datang penulis ingin mengetengahkan beberapa perkara, pertama: Pengaplikasian Usul Fiqh dalam kehidupan seharian kita, kedua: Kepentingan penguasaan Usul Fiqh dalam mendepani arus semasa, ketiga: Contoh kepentingan penguasaan Usul Fiqh pada masa kini. Kertas kerja ini dibentangkan di Seminar Usul Fiqh anjuran KUIM pada Disember 2005.

Upload: hoangnga

Post on 08-Dec-2016

223 views

Category:

Documents


1 download

TRANSCRIPT

Page 1: KEPENTINGAN PENGUASAAN USUL FIQH: SATU ANALISIS

1

KEPENTINGAN PENGUASAAN USUL FIQH: SATU ANALISIS UMUM

Oleh:

Mustafa Shamsuddin

Jabatan Fiqh & Usul Fiqh, UIAM

PENDAHULUAN:

Hakikat bahawa semalam adalah berbeza dengan hari ini dan hari ini adalah tidak sama dengan esok

merupakan titik tolak dalam menelusuri kertas kerja ini. Dengan penuh rasa percaya kita menerima dan

mentaati firman Allah s.w.t yang bermaksud: “Dan hari - hari itu kami pergilirkan di antara manusia”

(Ali Imran: 140), bahawa di dalam penggiliran ini ada perubahan. Perubahan yang mendatang ini

memaksa kita untuk bergerak bersamanya supaya kita tidak terasing dari realiti yang mencorak suasana

dan kehidupan.

Sebagai seorang Muslim, kita mempercayai bahawa Islam adalah panduan yang sesuai untuk

semua tempat, masa dan orang. Islam tidak terbatas untuk tempat, masa dan orang yang tertentu yang

mana perubahan pada ketiga - tiga unsur ini boleh menyebabkan Islam dikesampingkan. Penafian

keatas perkara ini memerlukan satu metodolgi yang kukuh yang mana ia berdiri di atas dasar dan

sumber yang diterima.

Perubahan yang kita hidup bersamanya telah mengajukan banyak persoalan, sedangkan

jawapan - jawapannya masih belum di temui. Permasalahan - permasalahan yang kita tiada pilihan

melainkan menghadapinya menggoyahkan diri kita dari mengambil pendirian tertentu dalam

keadaannya yang belum terjawab.

Maka dengan memberi perhatian kepada Ilmu Usul Fiqh dan mengambil kiranya sebagai

metodologi untuk menghadapi perubahan, kertas kerja ini membincangkan kepentingan Ilmu Usul Fiqh

dalam mendepani arus perubahan semasa. Dalam menggariskasarkan topik yang akan dipelajari di

mukasurat - mukasurat akan datang penulis ingin mengetengahkan beberapa perkara, pertama:

Pengaplikasian Usul Fiqh dalam kehidupan seharian kita, kedua: Kepentingan penguasaan Usul Fiqh

dalam mendepani arus semasa, ketiga: Contoh kepentingan penguasaan Usul Fiqh pada masa kini.

Kertas kerja ini dibentangkan di Seminar Usul Fiqh anjuran KUIM pada Disember 2005.

Page 2: KEPENTINGAN PENGUASAAN USUL FIQH: SATU ANALISIS

2

ILMU USUL FIQH DALAM KEHIDUPAN SEHARIAN:

Secara sedar atau tidak ada beberapa amalan seharian kita yang bertepatan dengan disiplin - disiplin

Ilmu Usul Fiqh, atau dengan kata lainnya Ilmu Usul Fiqh telah terjemah di beberapa aspek kehidupan

kita. Apa yang penulis maksudkan di sebalik perkara ini ialah untuk menunjukkan sesungguhnya Usul

Fiqh itu berpijak di alam yang nyata, dan ia terselit di celah - celah kehidupan yang kita hayati.

Untuk membawakan satu - persatu gambaran bagi penghayatan Ilmu Usul Fiqh ini

berkehendakkan helaian yang berbilang, sedangkan bukan ini yang menjadi fokus utama dalam kajian

ini. Penulis berharap beberapa contoh yang akan dikemukakan di bawah ini memadai untuk mereka

yang berkeras menafikan kenyataan ini sebagai bukti salahnya tanggapan mereka, dan mencukupi bagi

mereka yang bersungguh mengiakan kenyataan ini sebagai penguat sokongan mereka.

Kepelbagaian bidang tugas dengan masing - masing mengkhususkan dirinya untuk satu

profesien kerja yang diminati adalah di antara citrawarna kehidupan seharian kita. Dari setinggi - tinggi

jawatan yang disandang hinggalah serendah - rendahnya, kita bersama - sama membentuk satu sistem

kemasyarakatan yang saling berkaitan. Seandainya satu daripada tugas masyarakat ini kosong tidak

dipikul oleh mana - mana inidividu kesejahteraannya pasti akan bergoyah. Apakah yang akan terjadi

sekiranya mereka yang ditugaskan untuk mengutip sampah tidak menjalankan kewajipan mereka? Pasti

semua akan menerima akibatnya. Di dalam Usul Fiqh tanggungjawab ini diletakkan di bawah makna

Fardu Kifayah yang membawa konsep kewajipan khusus yang mesti dilaksanakan oleh orang yang

memikulnya demi memelihara kestabilan umum.1

Di dalam menjalani kehidupan, kita mempunyai kewajipan yang begitu banyak, sejak awal

hari sehinggalah ke malam kita tertakluk kepada tugas dan tanggungjawab. Kita lakukan semua ini

adalah kerana melihat kesan yang akan terjadi akibat pelaksanaan atau pengabaian kewajipan -

kewajipan ini. Kebiasaannya, natijah dari pelaksanaan adalah kebaikan, manakala natijah dari

pengabaian adalah keburukan. Tetapi satu perkara yang kita tidak nafikan ialah kewujudan kerja - kerja

yang tidak bersifat tugasan atau kewajipan yang mana kita mempunyai pilihan untuk melaksanakan

atau mengabaikannya. Kita adalah bebas - dalam keadaan yang biasa - untuk meneguk segelas air atau

menjamah sepinggan nasi, pelaksanaan atau pengabaiannya adalah di satu tingkat tuntutan. Seandainya

ada di antara kita yang cuba meletakkan perlakuan seperti ini di peringkat kewajipan yang mana

pelaksanaan dan pengabaian terikat dengan kemestian, maka dengan langsung kita akan menyangah

usahanya. Sandaran yang kita gunakan telah begitu jelas terkandung di dalam Usul Fiqh, bahawa

keharusan (al-Ibahah) tidak termasuk di dalam ruang lingkup tuntutan dan pertanggungjawaban (al-

Taklif).2

Kita menerima banyak arahan (al-Amr) untuk melakukan sesuatu dan larangan (al-Nahy)

untuk meninggalkan sesuatu. Perintah dan larangan yang kita terima dan fahami memerlukan tindakan

yang semestinya bertepatan dengan maksudnya demi mengelakkan perlanggaran. Tindakan yang

sewajarnya ialah memenuhi maksud perintah dengan melakukan perkara yang diperintahkan, dan

1 Al-Zuhayli, Wahbah, Usul al-Fiqh al-Islami, Beirut, Darul Fikr, cetakan ke 2, 2001. Jld. 1. m/s. 62. 2 Al-Amidi, Ali bin Muhammad, Al-Ihkam Fi Usul al-Ahkam, tahqiq: Sayyid Al-Jumayli, Beirut, Dar al-Kutub Al-‘Arabi, cetakan ke 3, 1998. Jld. 1. m/s. 170.

Page 3: KEPENTINGAN PENGUASAAN USUL FIQH: SATU ANALISIS

3

memenuhi maksud larangan dengan meninggalkan perkara yang dilarang. Di dalam memberi timbal

balas kepada perintah dan larangan ini kita mungkin mempersoalkan; adakah perintah untuk melakukan

sesuatu itu mengandungi larangan untuk meninggalkan lawannya, atau adakah larangan untuk

meninggalkan sesuatu itu mengandungi perintah untuk melakukan lawannya? Dengan penuh yakin kita

akan menjawab ya. Persoalan ini telah disentuh oleh Ilmu Usul Fiqh ketika membicarakan perintah dan

larangan Syara’ terhadap manusia. Jawapan yang diberikan oleh jumhur ahli Usul adalah sama dengan

jawapan yang kita berikan sebentar tadi.3

Kita sering melihat simbol - simbol atau tanda - tanda yang memenuhi kehidupan kita. Tanpa

mengira tempat, simbol - simbol ini diletakkan sebagai panduan kepada kita untuk sampai kepada

maksud tertentu. Apakah kita pernah bertanya bagaimana kita menafsirkan simbol - simbol ini dan

kenapa kita mesti mengikutinya untuk sampai kepada tujuan kita? Adakah kita boleh dipersalahkan

kerana memandu dengan kelajuan 80 km sejam sedangkan di kiri kita terdapat simbol 60 km/s? dan

apabila dipersalahkan kita berhujahkan bahawa tiada pemberitahuan tentang itu secara perkataan atau

tulisan. Tetapi kita tetap dipersalahkan. Kita memahami di sebalik kejadian ini bahawa simbol itu boleh

menggantikan perkataan, tuntutan untuk mematuhi simbol itu adalah sama dengan tuntutan mematuhi

perkataan. Simbol boleh menggantikan perkataan. Kita mendapati perkara ini menepati beberapa sudut

dari salah satu cara istinbat hukum yang terdapat di dalam Ilmu Usul Fiqh, iaitu Isharat al-Nass. Ia

bermaksud cara yang menunjuk kepada maksud melalui kelaziman maknanya,4 ini termasuklah

menggunakan simbol dan tanda kerana simbol itu melazimkan kita kepada maknanya.

KEPENTINGAN ILMU USUL FIQH:

Neraca yang biasanya digunakan dalam memberi nilai kepada sesuatu itu ialah kepentingannya, jika

banyak kepentingan sesuatu ilmu itu maka tinggilah nilainya. Dengan tidak bermaksud melebihkan

Ilmu Usul Fiqh keatas ilmu - ilmu yang lain penulis di sini ingin menyenaraikan sedikit sebanyak

kepentingan Ilmu ini. Penulis mengakui bahawa setiap ilmu mempunyai kepentingannya sendiri dalam

membentuk peradaban dan pemikiran umat Islam, tetapi penulis juga mengakui bahawa Usul Fiqh

mempunyai apa yang tidak ada pada ilmu - ilmu yang lain.

Sekiranya penerimaan ini yang kita cernakan di dalam langkah pertama untuk memasuki

perbincangan mengenai kepentingan Ilmu Usul Fiqh, maka kita akan bebas dari belenggu kesempitan

berfikir yang mengatakan bahawa inilah satu - satunya ilmu yang hak. Apa yang lebih penting ialah

kita dapat sampai kepada matlamat utama penciptaan kita iaitu pengabdian kepada Allah yang Esa

dengan cara yang dikehendaki olehNya.

3 Al-Sarakhsi, Abu Bakr Muhammad bin Ahmad, Usul al-Sarakhsi, tahqiq: Rafiq al-‘Ajm, Beirut, Dar al-Ma’rifah, cetakan ke 1, 1997. Jld. 1. m/s. 109. 4 Al-Durayni, Muhammad Fathi, al-Manahij al-Usuliyah Fi al-Ijtihad Bi al-Ra’y Fi al-Tashri’ al-Islami, Beirut, Muassasah al-Risalah, cetakan ke 3, 1997. m/s. 226, 229.

Page 4: KEPENTINGAN PENGUASAAN USUL FIQH: SATU ANALISIS

4

Penulis bukanlah orang yang pertama dan terakhir dalam mengenengahkan topik ini, bahkan

ia disedari oleh mereka yang menerima bahawa Usul Fiqh itu menyampaikan manusia kepada hukum

Allah. Dan inilah kepentingan yang paling asas dalam Ilmu Usul Fiqh.5

Kepentingan Penguasaan Ilmu Usul Fiqh Pada Suasana Semasa:

Sebagai Muslim kita berbangga dengan kekayaan khazanah ilmu yang kita miliki sekalipun ia

lebih tergambar sebagai satu sejarah yang sukar berulang. Dunia telah terhutang budi dengan ilmuan -

ilmuan Islam dalam segala bidang kerana berjaya membina sebuah tamadun ilmu yang telah menjamin

keberlangsungan peradaban manusia setelah runtuhnya tamadun - tamadun purba dan sebelum

terbinanya tamadun barat. Kita juga berbangga kerana Ilmu Usul Fiqh merupakan di antara ilmu - ilmu

yang telah mengasah pemikiran umat Islam.

Bagi mereka yang sering membelek - belek hasil tulisan ahli Usul akan melihat satu

metodologi penggabungan beberapa ilmu yang lain di dalamnya iaitu: ‘Ilm al-Lughah, ‘Ilm al-Mantiq,

‘Ilm al-Falsafah, ‘Ilm al-Kalam, ‘Ulum al-Quran, ‘Ulum al-Hadith, ‘Ilm al-Fiqh, ‘Ilm al-Jadal, dan

‘Ulum al-Insan. Asas penggabungan yang di atasnya terbina metodologi ini ialah pencapaian hukum

Syara’, ini bererti ada beberapa sudut dari ilmu - ilmu tersebut yang dititikberatkan oleh ahli Usul

untuk membantunya dalam menggeluarkan hukum dari Nusus.

Walaubagaimanapun, ini tidaklah bermaksud Ilmu Usul Fiqh itu tidak mempunyai identiti

sendiri tetapi hanya penciplakan ilmu - ilmu lain. Dan ini juga tidak bermaksud Ilmu Usul Fiqh itu

menjadikan kita tidak berhajat untuk mendalami dan menguasai ilmu - ilmu ini.

Perkembangan corak pemikiran semasa serta permasalahan yang timbul darinya sedikit

sebanyak memberi kesan dalam penulisan Ilmu Usul Fiqh. Kesan yang tampak jelas ialah penekanan

terhadap cabang - cabang ilmu yang tergarap di dalam Ilmu ini, di mana ahli Usul terkemudian telah

menggugurkan beberapa cabang ilmu ini dan meluaskan beberapa cabang ilmu yang lain.6 Ilmu - ilmu

yang telah diketepikan dalam penulisan Ilmu Usul Fiqh semasa ialah ‘Ilm al-Falsafah, ‘Ilm al-Kalam,

dan ‘Ilm al-Jadal, manakala ilmu - ilmu yang diutamakan ialah ‘Ilm al-Fiqh dan ‘Ulum al-Insan.

Dalam melakukan pengenepian dan penekanan ini ahli - ahli Usul telah mengambil kira

tuntutan terkini dari kehidupan manusia. Ini kerana semua perkara baru memerlukan hukum dan

Muslim berkehendakkan untuk mengetahui dimensi Syara’ yang menilai hasil pemikiran dan

penemuan mereka. Untuk sampai kepada hukum - hukum ini dengan mengembalikannya kepada Nas

memerlukan Ilmu Usul Fiqh. Inilah asas perkaitan dua ilmu; Fiqh dan Usul Fiqh,7 dan ia menjadi

penggerak utama dalam penekanan Ilmu Fiqh dalam pengajian Ilmu Usul Fiqh semasa.

5 Al-Syawkani, Muhammad bin Ali bin Muhammad, Irsyad al-Fuhul Ila Tahqiq Ilm al-Usul, tahqiq: Abu Mus’ab Muhammad Sa’id al-Badri, Beirut, Muassasah al-Kutub al-Thaqafiyah, cetakan ke 6, 1995. m/s. 22. 6 Lihat perkembangan penulisan Ilmu Usul Fiqh di: Abu Sulayman, Abdul Wahab Ibrahim, Al-Fikr al-Usuli: Dirasah Tahliliyah Naqdiyah, Jaddah, Dar al-Syuruq, cetakan ke 2, 1984. 7 Al-Ghazali, Abu Hamid Muhammad bin Muhammad bin Muhammad, al-Mustasfa Min ‘Ilm al-Usul, I’tina’: Najwa Dawwu, Beirut, Dar Ihya’ al-Turath al-‘Arabi, cetakan ke 1, 1997. Jld. 1. m/s. 15.

Page 5: KEPENTINGAN PENGUASAAN USUL FIQH: SATU ANALISIS

5

Ilmu kedua yang telah diluaskan penekanannya di dalam Ilmu Usul Fiqh semasa ialah ‘Ulum

al-Insan. Tentu tidak asing bagi mereka yang mempelajari Usul Fiqh perbahasan al-Mahkum ‘Alayhi

yang menjadikan manusia sebagai subjek pokoknya.8 Inilah salah satu sudut dari ‘Ulum al-Insan atau

lebih dikenali sebagai Sains Kemasyarakatan (Human Sciences) yang dikaji oleh Ilmu Usul Fiqh

dengan mengaitkan manusia itu sebagai pelaku hukum - hukum Syara’.

Penulis tidak bermaksud dengan perenggan - perenggan ini untuk lari dari tajuk perbincangan,

tetapi penulis melihat perkara ini memerlukan pembuka kata yang agak panjang supaya pemahamannya

segera hadir di pemikiran kita. Di beberapa baris akhir di perenggan yang lalu memperlihatkan kepada

kita bagaimana persediaan yang dimiliki oleh Ilmu Usul Fiqh untuk mendepani perubahan semasa, dan

juga keselarian yang terkandung di dalamnya dengan apa sahaja bentuk permasalahan yang timbul

akibat perubahan hidup.

Usaha kita menjadikan Ilmu Usul Fiqh sandaran untuk menghadapi perubahan akan sedikit

tergoyah seandainya kita terpedaya dengan soalan - soalan ini: Apakah kepentingan penguasaan Ilmu

Usul Fiqh pada era teknologi maklumat? Adakah kita terlalu lekeh berpegang dengan kaedah - kaedah

usang Ilmu Usul Fiqh dan pada masa yang sama orang lain ghairah dengan kecanggihan sains? Adakah

tanpa Ilmu Usul Fiqh kita tidak mampu memberikan hukum untuk perkara - perkara baru pada zaman

ini? Jawapannya Insya Allah terkandung di perenggan - perenggan yang berikut.

Pertama: Kita mengakui bahawa perubahan melahirkan permasalahan, permasalahan

memerlukan jawapan, dan jawapan berkehendakkan cara mendapatkannya. Menentukan jawapan

dengan tidak bersandar dengan sebarang cara dan sebab adalah mustahil, ini bertepatan dengan kaedah

mantik “al-Tarjih bila Murajjih Muhal” yang bermaksud melebihkan sesuatu keatas yang lain tanpa

menyatakan sebab kelebihannya adalah mustahil.9 Untuk mengelakkan diri dari menyalahi kaedah ini

kita mengakui dengan terpaksa atau tidak kemestian memiliki cara untuk mendapatkan jawapan bagi

permasalahan hidup kita. Dengan kelebihan penggarapan beberapa bidang ilmu yang dimiliki, Usul

Fiqh dilihat lebih terkedepan dalam membekalkan cara - cara yang diperlukan untuk menyelesaikan

permasalahan - permasalahan baru. Oleh itu kita sewajarnya menerima kenyataan bahawa pentingnya

menguasai Ilmu Usul Fiqh pada masa sekarang. Inilah yang telah cuba dipertahankan oleh Al-Imam

Al-Syafie dalam kata - kata beliau “setiap apa yang berlaku keatas Muslim itu maka padanya hukum

yang melazimi”,10 dan ini termasuklah segala permasalahan semasa yang kita hadapi. Cuba kita

perhatikan dengan teliti bagaimana fatwa - fatwa semasa yang dikeluarkan oleh Ulama’ berlaku.

Contoh yang terdekat ialah isu pengharaman peraduan SMS yang diwartakan oleh Majlis Fatwa

Kebangsaan baru - baru ini, dengan cara apa hukum ini disandarkan kepada nas - nas Syara’?11

Kedua: Keadaan semasa yang kita alami menyaksikan ummat Islam semakin mensia-siakan

Nusus Syara’, dengan beralasankan ketidaksesuaiannya pada masa sekarang mereka membelakangkan

8 Al-Amidi, Al-Ihkam, sumber terdahulu. Jld. 1. m/s. 199. 9 Al-Maydani, ‘Abdul Rahman Hasan Habnakah, Dawabit al-Ma’rifah wa Usul al-Istidlal wa Al-Munazarah, Dimashq, Dar al-Qalam, cetakan ke 4, 1993. m/s. 320. 10 Al-Syafie, Muhammad bin Idris, Al-Risalah, tahqiq: Ahmad Muhammad Syakir, Beirut, al-Maktabah al-‘Ilmiyah, tanpa cetakan dan tahun, m/s. 477. 11 Hukum pengharaman peraduan SMS telah difatwakan oleh beberapa orang ulama’ seperti Sheikh Yusuf Al-Qaradawi sebelum pengharamannya diwartakan di Malaysia. Sila layari laman web: http://mufti.perak.gov.my.

Page 6: KEPENTINGAN PENGUASAAN USUL FIQH: SATU ANALISIS

6

Al-Quran dan Al-Sunnah dan menggantikannya dengan akal dan hawa nafsu ataupun kepentingan

peribadi. Sebab yang paling kuat menyokong pendapat ini ialah dakwaan mereka bahawa Nusus Syara’

bercanggah dengan Maslahah,12 oleh itu Maslahah mesti diutamakan. Bagaimana kita hendak

menyakinkan golangan ini bahawa satu - satunya rujukan dalam Islam bagi segala perkara ialah Nusus?

Tiada cara yang penulis rasakan lebih berkesan untuk membuktikan kepada mereka bahawa Nusus

adalah segala - galanya melainkan dengan apa yang diajarkan oleh Ilmu Usul Fiqh. Matlamat untuk

menjadikan Nusus yang terbatas sumber hukum bagi masalah - masalah yang tidak terbatas bilangan

dan rupanya mendominasi pengajian Ilmu ini. Bermula dari kaedah - kaedah istinbat yang begitu

berbilang dan terperinci sehinggalah kepada dalil - dalil hukum yang disepakati dan tidak disepakati,

semuanya cuba membuktikan bahawa hanya Nusus yang boleh memberi hukum bagi sebarang perkara

lama atau baru. Istihsan contohnya adalah salah satu dalil hukum yang tidak disepakati, sekalipun ia

secara zahirnya tidak bersandar kepada Nas tetapi sebenarnya ia berdiri diatas tuntutan Nas khas untuk

berkecuali dari kaedah umum Syara’.13

Ketiga: Di samping golongan yang meninggalkan Nusus ini ada satu golongan lain yang kita

temui pada masa ini iaitu mereka yang tidak meninggalkan Nusus tetapi menyesuaikannya dengan akal

dan hawa nafsu mereka. Mereka dengan sewenang - wenangnya menghukum dengan beristidlalkan

Nusus tanpa bersandar kepada mana - mana metod yang benar dan diterima. Lalu hukum yang

dikeluarkan jauh melangkaui dan jelas menyalahi Maqasid Syara’ kerana kepincangan dalam cara

mengeluarkannya. Dengan dakwaan memiliki kelayakan Ijtihad mereka memporak - perandakan sistem

Hukum Islam sehinggakan masalah yang jelas hukumnya menjadi kabur dan dipertikaikan. Di sini kita

melihat perlunya diletakkan disiplin - disiplin yang kukuh dan diterima dalam mengeluarkan hukum

dari Nusus Syara’, dan bukannya mengikut akal, nafsu dan kepentingan. Kekukuhan displin - disiplin

dalam mengeluarkan hukum dari Nas ini telah dikaitkan oleh Al-Imam Al-Syatibi dengan Ilmu Usul

Fiqh, beliau bertkata: “Sesungguhnya Usul Fiqh dalam Agama itu adalah qat’iyah dan bukan

zanniyah”.14 Isu aurat wanita Islam yang digembar - gemburkan tidak lama dahulu boleh dijadikan

contoh bagi ketempangan mengistinbat hukum dari Nas akibat kelemahan dalam menguasai Ilmu Usul

Fiqh.

Keempat: Setelah menerima kemestian menguasai disiplin - disiplin yang diperlukan untuk

mengembalikan permasalahan kepada penghukuman Nusus, kita mempersoalkan adakah hanya Ilmu

Usul Fiqh yang memiliki disiplin - disiplin ini? Apakah ilmu - ilmu lain terlepas pandang dari memiliki

apa yang dimiliki oleh Ilmu Usul Fiqh? Ahli Usul yang sebenar tidak pernah mendabik dada dengan

menyatakan bahawa Usul Fiqh itu adalah segala - galanya, ia adalah sekadar ilmu yang berdiri diatas

pengiktirafan Syara’ dan disokong dengan hujah - hujah, sebegitu juga dengan ilmu - ilmu lain. Ahli

Usul yang sebenar juga tidak mengatakan bahawa ilmu - ilmu lain langsung tidak memiliki apa yang

dimiliki oleh Usul Fiqh. Bahkan Ilmu Usul Fiqh seperti mana yang dinyatakan dahulu menggarap

12 Al-Raysuni, Ahmad dan Muhammad Jamal Barut, al-Ijtihad: al-Nass, al-Waqi’, al-Maslahah, Beirut, Dar al-Fikr, cetakan ke 1, 2000. m/s. 27. 13 Ia berlaku kebiasaannya dengan meninggalkan Qiyas kerana tuntutan pengecualian dari Nas, Ijma’ atau Darurah. Rujuk: Al-Sarakhsi, Usul al-Sarakhsi, sumber terdahulu. Jld. 2. m/s. 192. 14 Al-Syatibi, Abu Ishaq Ibrahim bin Musa, Al-Muwafaqat fi Usul al-Syari’ah, tahqiq: ‘Abdullah Daraz, Beirut, Dar al-Kutub al-‘Ilmiyah, tanpa cetakan dan tahun. Jld. 1. m/s. 19

Page 7: KEPENTINGAN PENGUASAAN USUL FIQH: SATU ANALISIS

7

beberapa ilmu yang lain. Apa yang dimaksudkan di sini ialah penekanan, penumpuan dan penelitian

terhadap disiplin - disiplin istinbat ini, dan inilah yang mengakar tunjang di dalam Usul Fiqh. Disiplin -

disiplin ini diselidiki dengan penuh mendalam dan mendirikannya di atas Nusus. Penggunaan disiplin -

disiplin ini keatas Nas Syara’ berlaku dalam dua cara: al-‘Itibar bil-Mabna dan al-‘Itibar bil-Ma’na.15

Dengan cara pertama muncullah cara - cara istinbat seperti ‘Ibarat al-Nas yang mengambil kira zahir

Nusus, dan dengan cara kedua muncullah cara - cara istinbat seperti Dilalat al-Nas dan dalil - dalil

hukum seperti al-Qiyas yang menitikberatkan makna Nusus. Ahli Usul telah memberi penekanan yang

lebih terhadap cara yang kedua kerana potensinya yang lebih dalam mendepani perubahan. Isu

pengharaman rokok yang mendapat sanggahan hebat daripada penagih - penagihnya tidak mungkin

disandarkan kepada Nas dengan cara yang pertama, dan amat mungkin untuk disandarkan kepada

beberapa cara istinbat dan dalil hukum dari cara yang kedua.

Kelima: Pada zaman yang serba canggih ini manusia telah menobatkan akalnya sebagai raja

yang berkuasa melakukan segala - galanya. Kepelbagaian hasil pemikiran akal yang kita nampak hari

ini menguatkan lagi dakwaan ini. Kita merasakan seolah - olah akal kita bebas melakukan apa sahaja

terhadap dunia ini termasuklah agama. Fahaman ini jika diterima amat berbahaya terhadap kesucian

agama kita. Ini tidaklah bermaksud menafikan seratus peratus peranan akal dalam memahami Syara’,

tetapi kita sewajarnya mengerti akal kita amat terbatas. Oleh itu kita berhajatkan satu garis sempadan

yang jelas dalam membatasi ruang lingkup pemikiran akal manusia khasnya dalam perkara Agama.

Ada tiga pasang teori yang dibincangkan oleh Ilmu usul Fiqh berkemampuan menjadi garis sempadan

ini, iaitu: teori al-Thubut dan al-Taghayyur, teori al-Ta’abbud dan al-Ta’lil, dan teori al-Qat’ dan al-

Zann.16 Bahagian pertama dari setiap pasangan teori ini mewakili kawasan yang dilarang akal dari

memasukinya, manakala bahagian kedua adalah kawasan yang dibenarkan akal memasukinya dengan

bersyarat. Apa yang kita lihat sekarang akal manusia telah mula memasuki kawasan larangan ini, dan

mengakibatkan ketidakharmonian sistem Hukum Islam. Contohnya, pada tahun 1961 Presiden Tunisia

Al-Habib Borqibah telah melarang penduduk Islam negaranya daripada berpuasa Ramadhan demi

menjaga ekonomi negara yang dikatakan temasuk di dalam Jihad yang besar.17

Keenam: Di antara perkara yang ditangisi kehilangannya oleh ummat Islam hari ini ialah

pangamalan Ijtihad. Sejak beberapa dekad lamanya ummat Islam terhimpit di dalam cengkaman Taqlid

dan kesempitan berfikir. Kepesatan pembangunan Ilmu yang pernah dimiliki dahulu telah terkubur.

Suara - suara yang mengajak kearah menggilapkan kembali sinar Ijtihad di akhir - akhir ini

menunjukkan keinginan ummat Islam untuk membangun semula. Untuk menyahut seruan ini kita

memerlukan persediaan dan alat, persediaan untuk memulakan usaha ini dan alat untuk

meneruskannya. Apakah ilmu yang menyediakan kita persediaan ini, dan apakah ilmu yang

membekalkan kita alat ini? Perbahasan yang penuh terperinci mengenai Ijtihad telah terbentang luas di

helaian - helaian buku Usul Fiqh, bahkan ia telah disentuh oleh Al-Imam Al-Syafie di dalam kitabnya

15 Cara yang pertama menjadi asal dan asas bagi semua kaedah istinbat, ini kerana menyalahi zahir Nas Syara’ adalah khilaf al-Asl dan memerlukan qarinah. Cara yang kedua menjadi pendokong cara yang pertama dengan memahami maksud zahir Nas Syara’. Rujuk: Al-Durayni, al-Manahij al-Usuliyah, sumber terdahulu. m/s. 49. 275. 16 Sekalipun ketiga - tiga teori ini berbeza di antara satu sama lain dari segi cara dan tempat pengaplikasiannya, namun ada titik persamaan, iaitu pembatasan campur tangan manusia dalam menentukan hukum - hukum Syara’. 17 Al-Raysuni, Al-Ijtihad, sumber terdahulu, m/s. 39.

Page 8: KEPENTINGAN PENGUASAAN USUL FIQH: SATU ANALISIS

8

Al-Risalah. Beliau menyebut “dan daripadanya (Al-Bayan) apa yang telah difardukan Allah keatas

makhluqNya berijitihad di dalam menuntutnya”.18 Persediaan yang dimaksudkan di sini meliputi

konsep sebenar Ijitihad, prasyarat - prasyarat untuk memikul tanggungjawab ijtihad dan perkara -

perkara yang diijtihadkan.19 Manakala alat yang dimaksudkan di sini merangkumi cara - cara

berijitihad bagi perkara yang dinaskan dan perkara yang tidak dinaskan, serta pemahaman terhadap

manusia dalam keadaannya sebagai penyebab dan pelaksana hukum yang diijtihadkan.20 Ini bermakna

kita sewajarnya menjadikan penguasaan Ilmu Usul Fiqh sebagai langkah pertama dalam usaha

menghidupkan semula Ijtihad pada masa kini.

Ketujuh: Saban hari kita menggunakan hasil kecanggihan teknologi untuk menyokong

kehidupan semasa kita. Persoalannya, apakah kita tidak boleh mengeksploitasi keupayaan teknologi ini

dan menjadikannya sebagai alat untuk menyempurnakan maksud dalam Agama kita, setelah kita

menerimanya untuk hidup kita? Sekiranya boleh, dengan pendekatan apa yang kita perlukan untuk

mengadaptasi teknologi ke dalam dimensi Agama kita? Kita merasakan kejanggalan untuk bersikap

menerima terhadap kemampuan teknologi dalam membantu amalan Ijtihad mendapatkan hukum.

Rentetan daripada itu kita berasa aneh mendengar kenyatan bahawa perlunya pengamal Ijtihad itu

mengetahui dan mengikuti arus sains dan teknologi, dan menguasainya jikalau mampu demi

memastikan hukum yang terhasil berpijak di alam yang nyata. Dr. Yusuf Al-Qaradhawi pernah

menyuarakan perkara ini, kata beliau: “dan bagaimana seorang al-Faqih Muslim itu mampu untuk

memberikan fatwa dalam permasalahan penguguran atau pemindahan janin atau penentuan jantina

janin, dan selainnya daripada isu - isu baru sekiranya dia tidak memiliki pengetahuan yang ditemui oleh

ilmu Sains tentang sperma dan ovum, cara pencantuman sperma dan ovum, pembentukan sel -sel

daripadanya, isu genetik dan faktor - faktor warisan dan sebagainya …”21 Ilmu Usul Fiqh mendidik

pengkajinya untuk bersikap terbuka dalam perkara ini, dan memberikannya ruang yang cukup luas

untuk melakukan pengadaptasian ini. Beberapa orang Ahli Usul dengan jelasnya memasukkan syarat

memiliki ilmu pengetahuan semasa di dalam senarai syarat - syarat kelayakan Ijtihad.22 Contohnya,

fatwa pengharaman bahan makanan dan minuman yang dihasilkan melalui teknik Bioteknologi yang

diwartakan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan pada 12 Julai 1999 tidak mungkin berlaku tanpa

mengendahkan pandangan Ilmu Sains.23

Kelapan: Unsur yang dititikberatkan oleh pengkaji - pengkaji Nusus Syara’ dalam

mendapatkan pemahaman yang tepat ialah al-Waqi’ atau keadaan persekitaraan. Oleh kerana itu kita

melihat adanya ilmu Asbabun Nuzul dan ilmu Asbabul Wurud yang membahaskan al-Siyaq al-Khariji

al-Ijtima’i (keadaan masyarakat) yang melazimi Nas. Maksud yang ingin dicapai di sebalik kita

mengetahui keadaan persekitaran yang mana turun keatasnya Ayat al-Quran dan keluar di dalamnya

18 Al-Syafie, Al-Risalah, sumber terdahulu, m/s. 22. 19 Al-Amidi, Al-Ihkam, sumber terdahulu, Jld. 4. m/s. 169. 20 Ilmu Usul Fiqh telah membekalkan peralatan yang lengkap untuk kita berijithad, walaupun begitu ada beberapa alat ini yang tidak disepakati oleh Ahli Usul dalam menggunakannya. 21 Al-Qaradhawi, Yusuf, al-Ijtihad fi al-Syari’ah al-Islamiyah, Ma’a Nazarat Tahliliyah fi al-Ijtihad al-Mu’asir, Kuwait, Dar al-Qalam, cetakan ke 1, 1985. m/s. 48 - 49. 22 Sano, Qutb Mustafa, Adawat al-Nazar al-Ijtihadi al-Mansyud fi Daw’ al-Waqi’ al-Mu’asir, Beirut, Dar al-Fikr al-Mu’asir, cetakan ke 1, 2000. m/s. 130 - 149. 23 Sila layari laman web: http://ii.islam.gov.my/e-fatwa/default.asp.

Page 9: KEPENTINGAN PENGUASAAN USUL FIQH: SATU ANALISIS

9

Hadis al-Rasul ialah memberikan keadaan persekitaraan ini ruang dan peluang untuk bersama - sama

Mujtahid dalam mendapatkan hukum Syara’ dari Nususnya. Ini tidaklah bermaksud memperhambakan

Nusus Syara’ yang suci di bawah kemahuan keadaan, tetapi mengambil kira keadaan ini ketika

pemahaman maksud Nas dan pelaksanaan tuntutannya. Di samping itu, kita perlu peka dengan keadaan

hidup manusia yang menjadi pelaksana hukum, penyesuaian Nas dengan keadaan semasa dalam ruang

lingkup yang terhad dan syarat yang ketat seharusnya diambil kira sebelum berijtihad. Ilmu Usul Fiqh

yang menggariskan ruang lingkup ini dan menyenaraikan syarat - syarat ini sewajarnya dikuasai, lebih

- lebih lagi pada keadaan hari ini yang begitu meruncing. Contohnya, teori al-Darurah dan konsep al-

Maslahah di dalam Usul Fiqh ternyata berkemampuan dalam menyesuaikan pelaksanaan tuntutan Nas

dengan keadaan semasa. Isu pemindahan organ yang satu ketika dahulu menjadi isu polemik boleh

dijadikan contoh di sini. Larangan yang jelas daripada Nas Syara’ mengenai haramnya merosakkan

tubuh mayat difahami oleh mereka yang bersetuju dalam pemindahan organ sebagai satu tuntutan yang

perlu dinilai melalui teori dan konsep ini dan keadaan hidup manusia semasa.24

Kesembilan: Pendirian yang kita ambil terhadap kemajuan dan pembangunan semasa

seharusnya tidak merugikan kita di dunia dan akhirat. Kita akan rugi di dunia sekiranya kita

memejamkankan mata dari mengikutinya, dan kita akan rugi di akhirat seandainya kita hanyut di

lambung ombaknya. Pendirian yang sebenarnya ialah menggariskan kriteria - kriteria untuk menerima

perkara baru dalam kehidupan Muslim. Setelah menyakini kesyumulan Agama kita, kita perlu

membuktikan bahawa segala perkara yang kita lalui adalah sebahagian dari Agama, dan kita akan

diganjari dengan sebabnya. Menyempitkan Agama dengan beberapa perbuatan ritual dan tempat -

tempat tertentu mewujudkan fahaman sekularisme yang tidak disedari. Apakah kerja yang kita lakukan

di pejabat atau di kedai tidak dikira sebagai tuntutan Agama? Apakah kita hanya berdiam diri dari

sebarang pandangan apabila bertemu dengan perkara - perkara baru? Untuk tidak dikatakan ‘seperti

katak bawah tempurung’ kita mesti menerima hasil perubahan kehidupan hari ini yang tiada pada

semalam, tetapi dengan mengikuti kriteria - kriteria yang telah disebut oleh Ilmu Usul Fiqh agar kita

tidak terjerumus kedalam lingkungan Bid’ah yang dikecam oleh Syara’. Apakah kita boleh menerima

pakai transaksi - transaksi terkini dalam jual beli dan menggantikannya dengan aqad - aqad yang kita

warisi? Adakah segala Nas Syara’ yang berkaitan dengan jual - beli atau dengan kata lainnya ekonomi

hanya terbatas pada zaman penurunannya? Lalu kita menolak semua pembaharuan yang berlaku dalam

sistem ekonomi semasa hanya kerana tidak dinaskan penghalalannya! Penapisan yang disediakan oleh

Ilmu Usul Fiqh untuk menilai perkara - perkara baru dan mengiktirafnya sebagai satu aspek dalam

Agama amat jelas dan terperinci. Sebagai contohnya, perkara baru yang memiliki maksud

kemaslahatan umum dan tidak dinaskan secara khusus pada dirinya tetapi dinaskan secara umum pada

maksudnya adalah diterima dengan bersyarat. Dengan kriteria inilah kita mendapati Ulama’ semasa

menghukumkan halal bagi penggunaan wang kertas di dalam urus niaga seharian kita sekalipun ia tidak

dinaskan, dan menghukumkan haram riba dengan wang kertas ini sekalipun ia tidak dinaskan.

24 Yasin, Muhammad Nu’aim, Abhath Fiqhiyah fi Qadaya Tibbiyah Mu’asirah, Amman, Dar al-Nafais, cetakan ke 3, 2000. m/s. 135 - 187.

Page 10: KEPENTINGAN PENGUASAAN USUL FIQH: SATU ANALISIS

10

Kesepuluh: Ilmu Usul Fiqh mengajar kita tentang al-Kulliyat dan al-Usul yang tidak mungkin

manusia berbeza pendapat dalam menerimanya. Apa yang boleh kita manfaatkan dari perkara ini pada

zaman Ummat Islam berpecah - belah dan masing - masing mementingkan diri seperti seperti hari ini?

Ya, kita boleh mewujudkan langkah - langkah untuk menyatukan Ummat Islam dengan menjadikan al-

Kulliyat dan al-Usul ini sebagai titik tolak yang pertama. Seandainya semua Muslim bersepakat untuk

menerima ini, maka jurang perpecahan itu sekurang - kurangnya boleh dikecilkan. Bahkan al-Kulliyat

dan al-Usul yang diperkatakan oleh Ilmu Usul Fiqh mendapat penerimaan daripada ummat yang bukan

Islam. Ini memudahkan lagi kerjasama dan persefahaman di antara Ummat Islam dan bukan Islam

dalam beberapa perkara yang dibenarkan Syara’. Kita mengakui sebab yang paling utama bagi segala

masalah global yang melanda Ummat Islam ialah ketiadaan penyatuan, ataupun jika ada penyatuan,

kita bersatu di atas dasar yang tidak termasuk di dalam al-Kulliyat dan al-Usul ini. Dari sini kita

merasakan perlunya dikuasai al-Kulliyat dan al-Usul ini agar matlamat menyatukan Ummat Islam

dapat disegerakan dan dijayakan. Ummat Islam pada era semasa pernah bersatu dalam beberapa

perkara samaada yang melibatkan soal politik ataupun agama. Isu pengklonan manusia contohnya,

serata dunia Islam tanpa mengira perbezaan mazhab dan fahaman telah bulat suara mengharamkan

perbuatan mengklonkan manusia. Keputusan ini juga telah disokong oleh ilmuan - ilmuan bukan Islam

yang berpegang dengan sandaran saintifik, agama dan moral.25 Persepakatan ini terbina di atas dasar

memelihara diri manusia daripada menjadi bahan kajian akal manusia lain. Memelihara unsur diri (al-

Nafs) adalah di antara al-Kulliyat al-Khams yang menjadi teras di dalam al-Daruriyat, tingkat maslahah

yang tertinggi di dalam Maqasid al-Syar’.26

Sepuluh sebab mengapa pentingnya menguasai Ilmu Usul Fiqh pada masa kini yang penulis

bentangkan di kertas kerja ini dirasakan memadai, masih ada lagi beberapa sebab lain yang tidak dapat

penulis kemukan di sini. Sebenarnya cukup satu sebab sahaja mengapa kita perlu menguasai Ilmu ini,

iaitu ia adalah warisan kita yang perlu dipertahankan demi membina semula kegemilangan tradisi

ilmuan Islam.

25 Zawawi, Majdah, The Legal and Ethical Aspects of Human Cloning: A Comparative Study, Tesis Master, Kulliyah Undang - Undang, Universiti Islam Antarabangsa, April 2000. m/s. 132 - 147. 26 Al-Syatibi, Abu Ishaq Ibrahim bin Musa, Al-Muwafaqat fi Usul al-Syari’ah, syarah: ‘Abdullah Daraz, Beirut, Dar al-Kutub al-‘Ilmiyah, tanpa cetakan dan tahun. Jld. 2. m/s. 8.

Page 11: KEPENTINGAN PENGUASAAN USUL FIQH: SATU ANALISIS

11

Contoh Kepentingan Penguasaan Usul Fiqh Pada Masa Kini:

Beberapa contoh yang disebut terdahulu disentuh secara tidak mendalam, dan ini memaksa

penulis memperuntukkan dua tiga helaian di akhir kajian ini untuk membawakan contoh - contoh

kepentingan penguasaan usul Fiqh pada era semasa dengan lebih terperinci. Satu persoalan yang

penulis rasakan berpotensi menterjemahkan maksud ini ialah bagaimana Ilmu Usul Fiqh melihat

manusia. Ini kerana manusia adalah unsur yang paling penting dalam pembangunan yang kita kecapi

sekarang. Ini bertepatan dengan tujuan Allah menciptakan manusia di atas muka bumi ini, sebagai

wakilNya yang berusaha memakmurkan alam ciptaanNya.

Jika kita amati dengan penuh cermat kandungan Ilmu Usul Fiqh, kita dapati bahawa manusia

adalah subjek yang paling asas dan utama yang dibicarakannya melalui pelbagai teori, kaedah dan

konsep. Setiap segi, sudut dan dimensi kehidupan manusia diletakkan oleh Ilmu Usul Fiqh dibawah

penilaian dan pengamatan Syara’. Boleh dikatakan hanya beberapa helaian dari ilmu ini yang

dikecualikan daripada tertakluk kepada unsur manusia, yang lainnya berkaitrapat secara langsung atau

tidak dengannya.

Ilmu Usul Fiqh menitikberatkan soal diri manusia itu sendiri atau secara istilahnya (al-

Mahkum ‘Alayhi) di samping memberi perhatian kepada perbuatan manusia atau secara istilahnya (al-

Mahkum Fihi). Sebelum seseorang itu dipertanggungjawabkan dalam setiap perbuatannya, dia mestilah

layak dan mampu untuk bertanggungjawab. Mempertanggung-jawabkan seorang yang tidak layak dan

mampu bertangungjawab adalah satu ketidakadilan dan kezaliman, Maha Suci Allah daripada sifat ini.

Teori al-Ahliyah merupakan pembahasan yang penting dalam al-Mahkum ‘Alayhi atau diri

manusia sebagai pelaksana hukum Syara’. Secara umumnya, al-Mahkum ‘Alayhi bermaksud “individu

yang perbuatannya tertakluk kepada khitob Allah Taala”.27 Syarat kedua bagi al-Mahkum ‘Alayhi ialah

keadaan individu itu layak untuk ditaklifkan, dan inilah yang diertikan sebagai teori al-Ahliyah.28

Persoalannya, kenapa kita harus menguasai teori ini secara sempurna pada masa kini? Apakah

sumbangan Ilmu Usul Fiqh dalam mengembangkan teori ini sehinggakan ia perlu dikuasai oleh mereka

yang berkecimpung dalam institusi Ijtihad dan Fatwa pada masa kini?

Manusia, walau bagaimanapun keadaannya dan walau di manapun letaknya berhajatkan

perhubungan dengan manusia lain. Kecanggihan teknologi sekalipun tidak mampu membatalkan fitrah

penciptaan manusia ini, iaitu hidup secara berkait sesama jenisnya. Ini memberi implikasi di dalam diri

manusia sebagai pemilik hak diri sendiri dan pemikul kewajipan keatas orang lain, di mana manusia

tidak mungkin terlepas dari dua perkara ini. Untuk menjadi pemilik hak dan pemikul kewajipan yang

diiktiraf oleh Syara’ manusia mesti memenuhi syarat - syaratnya. Istilah Ahliyah al-Wujub digunakan

oleh Ilmu Usul Fiqh bagi perkara pertama, manakala istilah Ahliyah al-Ada’ bagi perkara kedua.29

27 Al-Zuhayli, Wahbah, Usul al-Fiqh, sumber terdahulu. Jld. 1. m/s. 158. 28 Al-Ghazali, al-Mustasfa, sumber terdahulu. Jld. 1. m/s. 84. 29 Al-Sarakhsi, Usul al-Sarakhsi, sumber terdahulu. Jld. 2. m/s. 305, 311.

Page 12: KEPENTINGAN PENGUASAAN USUL FIQH: SATU ANALISIS

12

Persoalan manusia sebagai pemilik hak dan pemikul kewajipan sangat penting untuk

dibincangkan pada masa manusia melaungkan slogan pembelaan hak - hak manusia (Human Rights)

seperti yang kita lihat di akhir - akhir ini. Persoalan - persoalan yang bersifat global seperti hak - hak

ummat manusia sejagat sehinggalah yang bersifat peribadi seperti hak - hak bayi dalam kandungan

diletakkan oleh Ilmu Usul Fiqh di bawah pembahasannya dengan mengaitkan semuanya dengan

penilaian dan pengamatan Syara’. Seandainya boleh untuk penulis kemukan beberapa permasalahan

semasa yang berkaitan dengan teori al-Ahliyah ini, maka ia adalah seperti: masalah pelaburan dan

simpanan untuk bayi dalam kandungan, masalah jenayah dan kesalahan yang dilakukan oleh golongan

bawah umur, masalah jenayah dan kesalahan yang dilakukan oleh golongan tua, dan masalah

penjagaan dan pengurusan harta golongan yang tidak berupaya. Semua masalah ini memerlukan

penyelesaian dan hukum yang mana sandaran yang diberikan oleh Usul Fiqh bagi tujuan ini termaktub

dibawah pembahasan al-Ahliyah.

Di antara soal diri manusia yang dititikberatkan oleh Ilmu Usul Fiqh ialah kemampuannya

memikul tanggungjawab Syara’ (al-Taklif). Ini kerana, pada ketika - ketika tertentu manusia

berhadapan dengan situasi atau keadaan yang mendatang yang menyebabkan tanggungjawabnya berat

untuk dipikul. Syara’ yang Maha Bijaksana meletakkan manusia yang berkeadaan ini di satu ruang

khas, di mana dia dibolehkan untuk berlepas dari tanggungjawab ini dengan syarat - syarat tertentu.

Konsep ini dihuraikan dengan terperinci oleh Ilmu Usul Fiqh dengan mengistilahkannya sebagai al-

Rukhsah atau keringanan, bahkan syarat - syaratnya juga dibahaskan dengan penuh mendalam.30

Apa yang kita fahami mengenai al-Rukhsah sebenarnya adalah lebih bersifat praktikal dan

bukan teoritikal. Secara automatik gambaran - gambaran seperti; memendekkan (al-Qasr) solat atau

menggumpulkannya (al-Jam’) ketika bermusafir, meninggalkan puasa Ramadhan kerana sakit,

mendirikan solat dengan cara duduk atau berbaring kerana sakit, mengambil makanan dan minuman

yang haram ketika keadaan terpaksa dan bertayamum ketika ketiadaan air untuk mandi atau berwuduk

menjadi garis batasan bagi ruang lingkup pemahaman kita mengenai al-Rukhsah. Memang tidak

dinafikan bahawa perkara -perkara yang disebut lalu adalah contoh - contoh al-Rukhsah di dalam

Syara’, tetapi bukan ini sahaja yang dibahaskan oleh Ilmu Usul Fiqh mengenai konsep ini. Pemahaman

yang cetek inilah yang telah menyebabkan beberapa orang terjerumus kedalam kepincangan membuat

Hukum Syara’ sehingga menyebabkan keporak - perandaan sistem pensyaria’tan Hukum Islam.

Sebagai contoh, mereka menjadikan perkara al-Rukhsah ini asal bagi perkara baru untuk diqiyaskan

hukumnya, sedangkan perkara ini disanggah oleh ahli - ahli Usul.31 Lalu keluarlah hukum dari mereka

bahawa tidak wajib menutup kepala dan rambut bagi wanita Muslimah, dan hukum ini diperolehi

dengan mengqiyaskannya kepada hukum tidak wajib bagi wanita yang sudah berumur untuk menutup

aurat.

30 Al-Syatibi, al-Muwafaqat, sumber terdahulu, Jld. 1. m/s. 224. 31 Al-Amidi, Al-Ihkam, sumber terdahulu. Jld. 3. m/s. 217, 218.

Page 13: KEPENTINGAN PENGUASAAN USUL FIQH: SATU ANALISIS

13

Contoh yang ketiga berkisar di ruang lingkup perbuatan manusia atau al-Mahkum fihi, di

mana Ilmu Usul Fiqh membahaskan perbuatan - perbuatan yang dilakukan oleh manusia dari segi

perkaitannya dengan Hukum Syara’.32 Ahli Usul telah meletakkan syarat dalam menentukan kesahihan

pertanggungjawaban manusia keatas perbuataannya, dan salah satu daripadanya ialah kemungkinan

manusia untuk dipertanggungjawabkan keatasnya.33

Satu perbahasan lain yang timbul rentetan dari syarat ini ialah masalah dhihab mahal al-hukm

(hilangnya perkara yang dihukum). Apabila perkara yang dihukumkan hilang, maka adalah tidak

mungkin seorang mukallaf itu dituntut untuk mendapatkan dan melaksanakan maksudnya. Contohnya,

tidak dikenakan had potong tangan keatas pencuri jika anggota yang wajib dipotong hilang samaada

kerana sakit atau qisas atau jenayah.34 Ini kerana perkara yang dihukumkan itu telah hilang, maka

hukumnya juga hilang (gugur) bersamanya. Inilah hujah yang sering diperdengarkan oleh beberapa

pihak yang bermaksud menggugurkan hukum - hukum Syara’ seperti yang kita lihat pada hari ini.

Dengan mengatakan hukum - hukum Syara’ hanya lebih bersifat sejarah dan budaya, dan ia telah

hilang bersama peralihan masa dan tempat, mereka menyatakan bahawa hukum jenayah Islam adalah

tidak sesuai dengan tempat dan suasana sekarang, ini kerana hukum ini adalah untuk orang Arab yang

hidup di padang pasir dan tidak bertamadun.

32 Al-Ghazali, al-Mustasfa, sumber terdahulu. Jld. 1. m/s. 86. 33 Al-Syawkani, Irsaydal-Fuhul, sumber terdahulu, m/s. 29. 34 Abu Rakhiyah, Majid, al-Wajiz fi Ahkam al-Hudud wa al-Qisas, Amman, Maktabat al-Aqsa, cetakan ke 1, 2001. m/s. 148.

Page 14: KEPENTINGAN PENGUASAAN USUL FIQH: SATU ANALISIS

14

RUJUKAN:

Abu Rakhiyah, Majid, al-Wajiz fi Ahkam al-Hudud wa al-Qisas, Amman, Maktabat al-Aqsa,

cetakan ke 1, 2001.

Abu Sulayman, Abdul Wahab Ibrahim, al-Fikr al-Usuli: Dirasah Tahliliyah Naqdiyah, Jaddah, Dar

al-Syuruq, cetakan ke 2, 1984.

Al-Amidi, Ali bin Muhammad, al-Ihkam Fi Usul al-Ahkam, tahqiq: Sayyid Al-Jumayli, Beirut, Dar

al-Kutub Al-‘Arabi, cetakan ke 3, 1998.

Al-Durayni, Muhammad Fathi, al-Manahij al-Usuliyah Fi al-Ijtihad Bi al-Ra’y Fi al-Tashri’ al-

Islami, Beirut, Muassasah al-Risalah, cetakan ke 3, 1997.

Al-Ghazali, Abu Hamid Muhammad bin Muhammad bin Muhammad, al-Mustasfa Min ‘Ilm al-Usul,

I’tina’: Najwa Dawwu, Beirut, Dar Ihya’ al-Turath al-‘Arabi, cetakan ke 1, 1997.

Al-Maydani, ‘Abdul Rahman Hasan Habnakah, Dawabit al-Ma’rifah wa Usul al-Istidlal wa Al-

Munazarah, Dimasyq, Dar al-Qalam, cetakan ke 4, 1993.

Al-Qaradhawi, Yusuf, al-Ijtihad fi al-Syari’ah al-Islamiyah, Ma’a Nazarat Tahliliyah fi al-Ijtihad

al-Mu’asir, Kuwait, Dar al-Qalam, cetakan ke 1, 1985.

Al-Raysuni, Ahmad dan Muhammad Jamal Barut, al-Ijtihad: al-Nass, al-Waqi’, al-Maslahah, Beirut,

Dar al-Fikr, cetakan ke 1, 2000.

Al-Sarakhsi, Abu Bakr Muhammad bin Ahmad, Usul al-Sarakhsi, tahqiq: Rafiq al-‘Ajm, Beirut, Dar

al-Ma’rifah, cetakan ke 1, 1997.

Al-Syafie, Muhammad bin Idris, al-Risalah, tahqiq: Ahmad Muhammad Syakir, Beirut, al-Maktabah

al-‘Ilmiyah, tanpa cetakan dan tahun.

Al-Syatibi, Abu Ishaq Ibrahim bin Musa, al-Muwafaqat fi Usul al-Syari’ah, syarah: ‘Abdullah Daraz,

Beirut, Dar al-Kutub al-‘Ilmiyah, tanpa cetakan dan tahun.

Al-Syawkani, Muhammad bin Ali bin Muhammad, Irsyad al-Fuhul Ila Tahqiq Ilm al-Usul, tahqiq:

Abu Mus’ab Muhammad Sa’id al-Badri, Beirut, Muassasah al-Kutub al-Thaqafiyah, cetakan ke

6, 1995.

Al-Zuhayli, Wahbah, Usul al-Fiqh al-Islami, Beirut, Darul Fikr, cetakan ke 2, 2001.

Sano, Qutb Mustafa, Adawat al-Nazar al-Ijtihadi al-Mansud fi Daw’ al-Waqi’ al-Mu’asir, Beirut,

Dar al-Fikr al-Mu’asir, cetakan ke 1, 2000.

Yasin, Muhammad Nu’aim, Abhath Fiqhiyah fi Qadaya Tibbiyah Mu’asirah, Amman, Dar al-

Nafais, cetakan ke 3, 2000.

Zawawi, Majdah, The Legal and Ethical Aspects of Human Cloning: A Comparative Study, Tesis

Master, Kulliyah Undang - Undang, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, April 2000.