kepentingan mengintegrasikan bahan sastera dalam pengajaran dan pembelajaran murid pemulihan

Upload: riduan-ewan

Post on 10-Jan-2016

35 views

Category:

Documents


3 download

DESCRIPTION

kepentingan mengintegrasikan bahan sastera dalam PdP murid pemulihan

TRANSCRIPT

4.0 KEPENTINGAN MENGINTEGRASIKAN BAHAN SASTERA DALAM PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN MURID PEMULIHANPelaksanaan pengajaran dan pembelajaran kelas pemulihan dengan mengintegrasikan elemen sastera mempunyai kesan atau impak positif yang sangat baik bukan sahaja buat pengajaran seorang guru malah turut menjadikan pembelajaran murid lebih menyeronokkan terutama sekali murid pemulihan yang mempunyai tumpuan yang sangat singkat semasa sesi pengajaran dan pembelajaran berlangsung. Ia dianggap sebagai satu bentuk pendekatan didik hibur jika dikaitkan dengan pedagogi dalam KSSR. Menurut Shamsudin dan Abdul Rasid (2014), pengajaran dan pembelajaran seni bahasa akan menjadi lebih menarik jika dilaksanakan dengan penyerapan unsur atau genre-genre sastera berbentuk puisi seperti pantun, syair, gurindam, seloka dan sajak.

Antara kepentingan mengintegrasikan elemen sastera dalam pengajaran adalah menjadikan sesi pengajaran dan pembelajaran lebih menyeronokkan. Integrasi elemen sastera juga dianggap sebagai satu bentuk didik hibur dalam pengajaran dan pembelajaran. Hal ini demikian kerana dalam karya-karya sastera seperti pantun, seloka, cerpen dan sebagainya mengandungi unsur-unsur seperti kelakar, kecindan, unsur estetik, permainan muzik, lakonan dan banyak lagi. Penting bagi seorang guru memastikan pengajaran dan pembelajaran adalah menarik dan menyeronokkan terutama sekali bagi murid pemulihan yang mempunyai tumpuan yang sangat terhad. Maka dengan itu, integrasi bahan sastera akan mempelbagaikan aktiviti pembelajaran menjadikan aktiviti pembelajaran lebih menarik dan berkesan. Jika hal ini berlaku maka sudah tentu murid pemulihan akan dapat dibantu mengatasi kelemahan dirinya serta membolehkan mereka mencapai objektif pembelajaran yang telah ditetapkan.

Seterusnya, menerusi pengintegrasian elemen sastera, murid juga dapat belajar dalam suasana pembelajaran yang kondusif tanpa sebarang perasaan takut dan bimbang terhadap pengajaran dan pembelajaran guru. Hal ini kerana, penggunaan sastera sebagai satu elemen dalam pengajaran akan menjadikan sesi pengajaran lebih santai dan tenang. Ia juga merupakan satu bentuk didik hibur yang sudah tentu memberikan keseronokan tanpa murid perlu berasa takut ataupun bimbang. Kepentingan yang seterusnya adalah pengintegrasian elemen sastera sebagai Medium untuk pengajaran secara penerokaan, pengembangan kreativiti, proses-proses berfikir secara kritis dan kreatif dalam penyelesaian masalah dan merangsang pembinaan keyakinan diri dan imej kendiri yang utuh. Dalam elemen sastera, terdapat pelbagai unsur yang diterapkan yang mampu memberikan murid pengetahuan, pengalaman dan kemahiran tertentu yang membolehkan mereka berkembang dengan baik. Ia juga secara tidak langsung menyemai kemahiran berfikir secara kreatif dan kritis serta mampu mencipta pelbagai bentuk bahan seni dengan bimbingan guru seperti guru pemulihan yang menggunakan kreativitinya menggunakan pelbagai bahan untuk mengajar murid pemulihan di sekolah.

Selain itu, pengintegrasian bahan sastera juga dapat membantu mengembangkan kemahiran kognitif dan emosi murid. Penggunaan bahan sastera ini mempunyai unsur-unsur yang menyeronokkan yang membolehkan murid tidak berasa tertekan semasa pembelajaran berlangsung. Sebagai contoh, nyanyian rakyat yang digunakan oleh guru dalam pengajaran mampu memberikan murid kepuasan melalui nyanyian dan pergerakan. Pengintergasian ini juga memberikan manfaat kepada murid dalam usaha mengembangkan kemahiran kognitifnya terutama murid pemulihan yang lemah dalam aspek kognitifnya. Hal ini bermaksud murid pemulihan pada hari tersebut bukan sahaja mempelajari perkataan yang guru berikan malah turut mampu menerapkan unsur-unsur yang ditunjukkan oleh guru menerusi elemen sastera seperti pantun. Menerusi pantun, murid bukan sahaja belajar perkataan baharu yang boleh mengembangkan perbendaharaan katanya malah turut mampu melatih murid untuk berpantun dengan betul.

Kepentingan pengintegrasian elemen sastera yang seterusnya adalah ia mampu memberikan contoh teladan yang baik kepada murid pemulihan yang seterusnya mampu meningkatkan motivasi serta keyakinan diri mereka. Motivasi belajar dan keyakinan diri inilah merupakan faktor utama murid pemulihan menghadapi masalah atau lemah dalam pembelajaran mereka. Tiada dorongan kepada mereka yang mampu menaikkan semula semangat mereka untuk belajar. Tetapi hal ini dapat diatasi jika guru dapat mengintegrasikan elemen sastera dengan baik dalam sesi pengajaran dan pembelajarannya. Ia bergantung sepenuhnya kepada kreativiti seorang guru dalam menguruskan segala bahan-bahan pengajaran yang menggalakkan kepada pembelajaran yang berkesan dalam diri murid. Misalnya guru menggunakan cerita seperti cerita binatang dan jenaka yang dekat dan mudah difahami oleh murid. Cerita ini perlulah mempunyai maksud tersurat dan tersirat yang boleh dijadikan teladan. Contohnya kebijaksanaan Sang Kancil dalam menyelesaikan masalah. Ia juga akan lebih menarik jika guru menggunakan kaedah main peranan dan mengajak murid pemulihan untuk terlibat dalam penceritaan tersebut seperti menggunakan topeng, baju binatang dan sebagainya. Di samping itu, pengintegrasian elemen sastera dalam pengajaran juga mampu memberikan murid menjadi seorang yang lebih aktif, mempunyai semangat kerjasama, dan sebagainya. Hal ini demikian kerana pelaksanaan aktiviti yang mengandungi elemen sastera kebiasaannya memerlukan kerja dalam kumpulan yang memerlukan semangat kerjasama yang tinggi bagi melaksanakannya. Ia akan dapat mengembangkan kemahiran komunikasi dan interpersonal murid pemulihan yang kebiasaannya lebih pendiam dan pemalu. Sebagai contoh, dalam mendeklamasikan sebuah sajak atau menyampaikan pantun, murid akan melaksanakannya dengan intonasi dan sebutan yang betul. Maka sudah tentu ia menggalakkan kepada perkembangan komunikasi murid pemulihnan. Ia dapat dilaksanakan melalui aktiviti membaca bahan sastera seperti pantun secara kuat dengan bimbingan guru. Penglibatan aktif murid akan dapat dilihat melalui aktiviti perkongsian yang dilakukan oleh guru misalnya setelah guru bersama murid membaca bahan sastera, murid pemulihan diminta untuk menyatakan pendapat, idea dan perasaan mereka selepas mendengar ataupun membaca bahan tersebut.

Aspek penting yang perlu diberikan perhatian kepada murid pemulihan adalah mereka memerlukan perhatian yang lebih daripada guru berbanding rakan mereka yang lain. Justeru itu, melalui pengintegrasian elemen sastera ini, ia akan dapat membantu murid berasa dihargai menerusi aktiviti yang dijalankan yang melibatkan murid sama ada secara langsung ataupun tidak langsung dalam aktiviti tersebut. Penglibatan ini memberikan tanggapan bahawa guru mempercayai serta sayang pada mereka maka dengan itu mereka akan lebih bersemangat untuk terus belajar. Unsur kerohanian dalam karya-karya sastera juga memberikan murid pemulihan pendedahan dan meningkatkan moral mereka. Hal ini adalah sangat penting kerana pembentukan seorang modal insan yang berminda kelas pertama bukan sahaja penguasaan ilmu pengetahuan yang ditekankan malah turut menekankan unsur moral, etika, nilai dan perilaku yang positif. Sebagai contoh dalam kisah Nabi Yunus Ditelan Ikan Nun yang menunjukkan kekuasaan Allah S.W.T dalam menyelamatkan orang yang memohon pertolongan daripada-Nya.

Mendedahkan dan memberikan murid pemulihan tentang semangat cintakan tanah air juga dapat disemai melalui elemen-elemen sastera yang digunakan dalam pengajaran dan pembelajaran. Semangat cintakan tanah air ini penting diterapkan ke dalam jiwa anak-anak muda bagi memastikan kedamaian, perpaduan, kesejahteraan, dan kemerdekaan Negara dapat dipertahankan. Terdapat pelbagai bentuk gangguan dan penjajahan yang cuba dilakukan pada masa kini untuk menjajah semula tanah air kita ini. Jika kita tidak menyedari betapa pentingnya erti perpaduan dan kemerdekaan maka sudah tentu Negara kita akan kembali di jajah. Banyak karya sastera yang menunjukkan nilai-nilai patriotisme misalnya dalam karya prosa tradisional Kepahlawanan Hang Tuah dan penulisan biografi oleh tokoh-tokoh terkenal tanah air seperti Tun Dr. Mahathir Bin Mohamad dalam penulisan biografinya bertajuk Doktor Umum. Meskipun murid pemulihan tidak dapat membaca dengan baik tetapi guru boleh berperanan sebagai pembimbing dalam membimbing murid untuk memahami maksud di sebalik cerita-cerita tersebut. Dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) juga menekankan pentingnya semangat patriotisme ini menerusi enam aspirasi murid yang ditetapkan iaitu pengetahuan, kemahiran berfikir, kemahiran memimpin, kemahiran dwibahasa, etika dan kesusilaan serta identity nasional.

Begitulah pentingnya pengintegrasian elemen sastera dalam aktiviti pengajaran dan pembelajaran bukan sahaja di kelas perdana malah turut melibatkan murid-murid pemulihan. Ia bukan sahaja memberi impak yang positif kepada diri murid malah turut mempelbagaikan kaedah pengajaran bagi seorang guru. Peningkatan dari aspek kepelbagaian strategi, kaedah dan teknik pengajaran guru secara tidak langsung mampu menaikkan martabat profesion perguruan. Dengan adanya guru-guru yang kreatif yang mampu mengintegrasikan pelbagai bentuk pengajaran dapat membantu mengurangkan jumlah murid pemulihan seterusnya membantu ke arah pembentukan modal insan berminda kelas pertama yang dihasratkan kerajaan yang mampu mendepani cabaran globalisasi dunia. 30