kajian kes devian

8
UNIVERSITI PENDIDIKAN SULTAN IDRIS Fakulti Pendidikan & Pembangunan Manusia SEMESTER 1 - SESI 2014/15 KPS 6034 ANALISIS SOSIOLOGI TERHADAP DISIPLIN DAN DEVIAN KUMPULAN KULIAH: TAJUK/TUGASAN 1 KAJIAN KES: PUNCA DAN INTERVENSI DISEDIAKAN OLEH: NAMA NO. MATRIK NO. TELEFON ANIS SYAHIRAH BT RAJUDDIN M20151000013 012571596 5

Upload: anissya

Post on 23-Jan-2016

25 views

Category:

Documents


0 download

TRANSCRIPT

PENGURUSAN KURIKULUM BILIK DARJAH

KAJIAN KES: PROFIL KES

1.0 PROFIL PELAJAR

Kajian kes ini berkisar tentang dua orang pelajar dari sekolah yang sama tetapi dari aliran yang berbeza iaitu aliran perdana dan aliran pendidikan khas.

1.1 Profil Pelajar I

Pelajar yang belajar di aliran perdana ini bernama Fakhrul Razi kini berada di tingkatan 4. Pelajar ini merupakan anak ketiga daripada lima orang adik beradik dan ibu bapanya adalah kakitangan kerajaan. Melihat daripada latar belakang keluarganya, dia berasal dari keluarga pertengahan. Kedua-dua kakaknya sedang melanjutkan pelajaran di institut pengajian tinggi awam dan dua adiknya masing-masing berada di tingkatan 2 dan tahun 6.

Di sekolah, pelajar ini sering tidur di dalam kelas dan tidak menyiapkan kerja rumah yang diberi oleh guru serta pernah terlibat dalam pergaduhan sehingga di gantung sekolah. Dari segi pencapaian akademik, pelajar ini menunjukkan prestasi yang agak cemerlang semasa berada di tingkatan 1 dan 2. Akan tetapi semakin merosot sejak terlibat dengan pergaduhan tersebut semasa di tingkatan 3. Pelajar ini mempunyai karekter yang pendiam dan suka bersendiri semasa di sekolah. Malah dia juga sukar untuk membuka mulut apabila diajukan soalan. Dari temu bual dengannya, di rumah juga pelajar ini sememangnya pendiam dan hanya menjadi pendengar jika bersama ahli keluarga yang lain.

Di dalam kes ini, ramai guru-guru yang mengajarnya mengadu tidak suka dengan sikap negatifnya itu dan ada juga guru-guru yang hairan dengan perubahan sikap pelajar ini yang tidak seperti mana ketika dia berada di tingkatan 1 dan 2. Dalam usaha untuk mendapatkan pelajar ini membuka mulut untuk menjawab soalan temu bual juga agak sukar pada mulanya akan tetapi setelah kali kedua bersua muka pelajar ini mula memberikan kerjasama. Dari temu bual yang dibuat, pelajar ini berkata dia senang untuk memilih menjadi seorang yang pendiam kerana sudah terbiasa untuk tidak bercakap walaupun dengan ahli keluarga. Hal ini kerana, kedua ibu bapanya kurang memberi peluang dia bercakap dan jarang bersedia untuk mendengar dia bercakap. Adik beradiknya juga begitu, masing-masing sibuk dengan hal pembelajaran dan menyebabkan sesama mereka kurang berinteraksi serta tidak pernah berkongsi hal-hal peribadi. Apabila di sekolah, dia menjadi tidak betah untuk bergaul dengan rakan-rakan dan adakalanya cubaannya untuk berkawan di rasakan kekok serta sering mendapat tolakan dari rakan sebaya.

Apabila ditanya sebab berlakunya pergaduhan pada tahun lepas, dia mengatakan bahawa pelajar yang di pukulnya itu sering membulinya sebelum ini. Akan tetapi dia tidak pernah mengadukan hal ini kepada guru apatah lagi kedua ibu bapanya. Pada hari kejadian, dia sudah tidak dapat mengawal kemarahannya dan bertindak memukul pelajar berkenaan. Di sebabkan pelajar itu agak teruk di pukul dan kedua ibu bapa pelajar yang dipukul itu bertegas untuk dia diambil tindakan maka dia telah digantung persekolahan selama seminggu. Alasan dia yang mengatakan pelajar itu sering membulinya di pandang sepi kerana tiada bukti yang menyokong. Kedua ibu bapanya juga apabila di panggil ke sekolah untuk di jelaskan perlakuan dia dan hukuman yang diterima hanya mengangguk setuju dan tidak pernah membangkitkan hal itu apabila pulang ke rumah.

Rentetan daripada kejadian itu, dia dilabel sebagai pelajar bermasalah oleh guru-guru dan juga rakan-rakan sekolah. Kejadian itu sering di ungkit dan di perkatakan sehingga menyebabkan dia merasakan tiada siapa yang menyebelahinya. Setelah dia kembali ke sekolah usai tempoh hukuman, dia dipulaukan dan sering disindir di dalam kelas. Contohnya, apabila dia bertanyakan soalan kepada guru yang mengajar apa yang dia tidak faham, guru tersebut akan berkata, itulah, mana nak faham..orang yang buat salah memang susah nak dapat ilmu... Dia juga berkata sering dipinggikan dari apa sahaja aktiviti pembelajaran di dalam kelas. Disebabkan itulah dia merasakan lebih baik tidur didalam kelas dan tidak perlu untuk membuat kerja rumah kerana tiada siapa yang ambil peduli. 1.2 Profil Pelajar II

Pelajar kedua ini berada di aliran Pendidikan Khas yang di beri nama Muhd Ridzuan. Pelajar ini merupakan pelajar berkeperluan khas bermasalah pembelajaran. Pelajar ini merupakan anak kedua dari empat orang adik beradik dan dua orang adik di bawahnya juga merupakan pelajar Pendidikan Khas. Pelajar ini berumur 17 tahun dan di Pendidikan Khas dia di kategorikan sebagai pelajar berkefungsian tinggi. Masalah pelajar ini adalah selalu ponteng sekolah dan jika hadir sekali pun akan tidur didalam kelas sepanjang waktu persekolahan. Ibunya bekerja sebagai pembantu kedai di sebuah kedai runcit dan bapanya pula bekerja sebagai buruh seperti yang dinyatakan dalam rekod pelajar. Walaubagaimanapun, pelajar ini tidak tinggal bersama dengan ibu bapanya tetapi tinggal bersama neneknya dengan alasan untuk menemani neneknya yang tinggal keseorangan. Akan tetapi rumah neneknya dan rumah ibu bapanya masih dalam kawasan yang sama.

Setelah diselidiki, pelajar ini mengatakan dia cenderung untuk ponteng sekolah kerana melakukan beberapa kerja sambilan untung menampung kehidupannya sendiri dan wang untuk membeli rokok. Atas sebab yang sama juga yang menyebabkan dia tidur di dalam kelas adalah kerana penat bekerja sehingga lewat malam. Seperti yang sedia maklum, pelajar Pendidikan Khas menerima Elaun Murid Khas sebanyak RM150 sebulan dan jika diikutkan cukup untuk perbelanjaan pelajar ini tanpa perlu dia bekerja. Tetapi pelajar ini mengatakan bahawa bapanya tidak lagi keluar bekerja dan hanya bergantung harap pada elaun pelajar ini dan dua lagi adiknya sahaja. Disebabkan pelajar ini tinggal berasingan, jadi dia tidak dihiraukan dan terpaksa berdikari sendiri. Sememangnya, individu yang berhak untuk mengeluarkan wang elaun pelajar khas ini hanyalah ibu bapa atau penjaga pelajar sahaja. Nyatalah bapa pelajar ini telah menyalah guna wang elaun tersebut yang sepatutnya untuk perbelanjaan persekolahan pelajar tersebut.

2.0 REKOD KESALAHAN DAN TINDAKAN YANG TELAH DIAMBIL

2.1 Pelajar I

Kesalahan : Memukul dan mencederakan rakan sekolah (2014)

Tindakan: 1) Digantung persekolahan selama seminggu.

2) Sesi kaunseling oleh kaunselor sekolah

i.Respon kanselor : Pelajar tidak memberikan kerjasama

yang baik dan bertindak berdiam diri sepanjang 3 kali

sesi kaunseling.

ii.Respon pelajar : Pelajar masih merasakan dia diperlakukan dengan tidak adil dan tidak nampak dimana perlunya dia hadir sesi kaunseling.

Kesalahan: Tidur dalam kelas dan tidak menyiapkan tugasan (2014-kini).

Tindakan: 1) Dirujuk kepada Penolong Kanan HEM

2) Sesi Kaunseling

3) Mentor Mentee

Hasil

: Tindak balas yang sama, pelajar hanya berdiam diri dan masih

berterusan melakukan masalah yang sama.

2.2 Pelajar II

Kesalahan : Ponteng sekolah dan tidur didalam kelas.

Tindakan: 1) Sesi kaunseling oleh guru kaunseling Pendidikan Khas.

i.Pelajar berjanji akan cuba berubah dan tidak bekerja sehingga lewat malam tetapi setelah dua bulan masih tidak menunjukkan perubahan positif.

2) Sesi kaunseling oleh kaunselor sekolah

i.Respon kanselor : Pelajar bertindak berdiam diri sepanjang sesi kaunseling.

ii.Respon pelajar : Pelajar rasa tidak selesa berhadapan guru lain selain guru Pendidikan Khas.

3.0 ANALISIS SALAH LAKU DEVIAN

3.1 Pelajar I

Daripada profil kes pelajar ini dapat dilihat terdapat dua teori devian yang terlibat iaitu Teori Proses Sosial dan Teori Psikologi. Teori Proses Sosial adalah dimana tindakan antisosial berlaku apabila berlaku gangguan interaksi antara pelaku dengan agen utama dalam proses sosialisasi. Ini dapat dilihat dari segi hubungan dan pergaulan pelajar dengan keluarga, guru dan rakan yang kurang berinteraksi dan seterusnya menyebabkan pelajar ini tiada kemahiran bersosialisasi. Kesan daripada itu boleh disimpulkan bahawa proses sosialisasi pelajar ini menjadi tidak sempurna kerana anggota keluarganya, guru-guru dan rakan sekolah yang tidak memainkan peranan sebagai agen sosialisasi yang baik kepada pelajar ini.

Boleh difokuskan lagi punca pelajar ini berterusan melakukan devian dengan melihat kepada Teori Reaksi Sosial (Teori Perlabelan) kerana persepsi negatif guru-guru dan rakan-rakan terhadap pelajar ini selepas kejadian pergaduhan tersebut yang melabelkan pelajar ini adalah peajar yang bermasalah menyebabkan pelajar ini melakukan kesalahan yang kedua. Dimana menepati teori ini yang berpendapat bahawa perlabelan seringkali mengubah perilaku masyarakat terhadap seseorang yang menyimpang sehingga apabila seseorang itu melakukan penyimpangan primer maka lambat laun akan melakukan penyimpangan sekunder.

Teori Psikologi pula, yang mengatakan tingkah laku antisosial adalah disebabkan oleh terdapat gangguan dalam perkembangan personaliti individu yang berpunca daripada kemiskinan, keruntuhan institusi keluarga, keretakan hubungan dengan guru, rakan, dan jiran, konflik dengan pihak berkuasa. Pelajar ini mempunyai masalah personaliti. Individu yang normal sepatutnya mempunyai personaliti yang seimbang dari segi introvert dan ekstrovert tetapi berbeza bagi pelajar ini yang hanya mempunyai personaliti introvert sahaja. Menurut Carl Jung (1951), ciri-ciri yang terdapat pada personaliti ekstrovert ialah suka bergaul, bersikap terbuka dan peramah manakala ciri-ciri personaliti introvert pula ialah personaliti yang pemalu, tidak banyak bercakap, bersendirian dan suka memikirkan hal-hal peribadi sendiri secara subjektif. Jika dilihat dari segi teori ini juga sangat menepati keadaan pelajar ini yang menjadi punca dia melakukan devian. Berpunca daripada sikap keluarganya yang tidak ambil peduli dan seterusnya konfliknya dengan rakan yang suka membuli serta pihak pentadbiran sekolah yang terus menjatuhkan hukuman tanpa memberi peluang untuknya membela diri membawa kepada perkembangan psikologinya sedikit terganggu dan seterusnya membentuk personaliti dirinya yang antisosial dan hilang tujuan untuk terus berada dalam norma masyarakat sekolah.

3.2 Pelajar II

Daripada profil kes pelajar ini pula juga dilihat terdapat dua teori devian yang terlibat iaitu Teori Struktur Sosial dan Teori Pilihan Rasional. Menurut Teori Struktu Sosial ini devian berlaku keran fungsi dan kedudukan pelaku dalam struktur sosial dan ekonomi. Jika dilihat dari profil pelajar ini yang berhadapan dengan masalah kewangan kerana mempunyai ibu bapa yang tidak bertanggungjawab. Pelajar ini terpaksa keluar bekerja pada usia persekolahan kerana tuntutan meneruskan kelangsungan hidupnya dan sekali gus terpaksa menjadi ketua keluarga kepada neneknya. Bebanan tanggungjawab yang tidak seharusnya dia pikul menyebabkan dia meletakkan mencari pendapatan itu adalah perkara utama berbanding untuk hadir ke sekolah.

Walaubagaimanapun, setelah menjalani sesi kaunseling tetapi masih tidak menunjukkan perubahan positif dan dia masih melakukan devian yang sama ini menunjukkan sebenarnya pelajar ini telah sedar kesalahan yang dia lakukan tetapi atas sebab pertimbangannya lebih kepada perlukan kepada mencari sumber pendapatan. Hal ini sangat menepati Teori Pilihan Rasional (Teori Aktiviti Rutin) yang mana mengatakan bahawa pesalah adalah individu yang telah pun membuat pertimbangan secara sedar bahawa aktiviti antisosial yang dilakukannya itu memberikan kelebihan dan kepuasan kepada diri sendiri. Dalam kes pelajar ini, selagi masalah bapanya yang tidak bertanggungjawab itu di atasi selagi itulah pelajar ini akan terus melakukan devian.

4.0 KESIMPULAN

Berdasarkan kepada profil kes dua orang pelajar tersebut dapat disimpulkan bahawa setiap punca seseorang itu melakukan devian itu faktor utamanya adalah dorongan dari aspek luaran seperti keluarga dan masyarakat sekeling sebelum hadinya dorongan atau keinginan individu itu sendiri. Kedua-dua pelajar ini mempunyai institusi keluarga yang tidak sempurna yang mengakibatkan perkembangan pelajar ini terganggu dari aspek psikologi dan sosialnya. Peranan guru yang tidak bertindak sebagai pendidik yang sebenar-benarnya juga amat mengecewakan yang mana sepatutnya tiada prejudis terhadap apa sahaja keadaan pelajarnya.

UNIVERSITI PENDIDIKAN SULTAN IDRIS

Fakulti Pendidikan & Pembangunan Manusia

SEMESTER 1 - SESI 2014/15

KPS 6034

ANALISIS SOSIOLOGI TERHADAP DISIPLIN DAN DEVIAN

KUMPULAN KULIAH:

TAJUK/TUGASAN

1

KAJIAN KES: PUNCA DAN INTERVENSI

(PROFIL KES)

DISEDIAKAN OLEH:

NAMANO.

MATRIKNO.

TELEFONANIS SYAHIRAH BT RAJUDDINM201510000130125715965

PENSYARAH: DR ABDUL TALIB HASHIM

PAGE