guru stress oleh anis binti zakaria

18
GURU STRESS oleh ANIS BINTI ZAKARIA ULASAN ARTIKEL PENDAHULUAN Tekanan atau stress adalah satu tindakbalas fisiologikal dan psikologikal ke atas permintaan terhadap seseorang. Ini bermaksud, tekanan yang melanda seseorang akan menyebabkan fikiran dan fizikal individu tersebut bertindak balas mengikut keadaan dan tahap tekanan tersebut. Sekiranya tahap tekanan tersebut adalah rendah maka tindakbalas individu terbabit juga tidak terlalu besar dan begitu juga sebaliknya. Smither (1994), Kenyataan ini disokong oleh Schafer (1992), yang menyatakan bahawa tekanan sebagai kebangkitan minda dan fizikal seseorang dalam memberi tindakbalas kepada sesuatu permintaan terhadap diri seseorang. Tambahan pula, Fontana (1989), juga menyatakan bahawa tekanan adalah satu bentuk permintaan yang dibuat ke atas keupayaan untuk menyesuaikan minda dan fizikal serta seterusnya menjelaskan sekiranya seseorang itu dapat menerima dan menangani permintaan tersebut, maka tekanan tersebut akan mendatangkan kesan yang positif. Hal ini menunjukkan bahawa cara seseorang menangani tekanan bergantung kepada tahap kesediaan minda dan fizikal seseorang untuk menerima atau menyerap sesuatu tekanan yang diterima. Sekiranya individu terbabit tidak bersedia dari segi fizikal dan mental, maka sudah pastinya tekanan yang datang dalam bentuk permintaan ini tidak mampu dihadapi dengan sempurna yang akhirnya akan menyebabkan individu tersebut tertekan dan menghadapi masalah yang lebih besar. Sementara itu, menurut Levine dan Ursin (2009), tindakbalas tekanan ini adalah satu perubahan fisiologi dan perlakuan yang berlaku terhadap mereka

Upload: zaini-md-saad

Post on 24-Dec-2015

21 views

Category:

Documents


3 download

DESCRIPTION

stress

TRANSCRIPT

Page 1: Guru Stress Oleh Anis Binti Zakaria

GURU STRESS oleh ANIS BINTI ZAKARIA

ULASAN ARTIKEL 

PENDAHULUAN

            Tekanan atau stress adalah satu tindakbalas fisiologikal dan psikologikal ke atas

permintaan terhadap seseorang. Ini bermaksud, tekanan yang melanda seseorang akan

menyebabkan fikiran dan fizikal individu tersebut bertindak balas mengikut keadaan dan tahap

tekanan tersebut. Sekiranya tahap tekanan tersebut adalah rendah maka tindakbalas individu

terbabit juga tidak terlalu besar dan begitu juga sebaliknya. Smither (1994), Kenyataan ini

disokong oleh Schafer (1992), yang menyatakan bahawa tekanan sebagai kebangkitan minda

dan fizikal seseorang dalam memberi tindakbalas kepada sesuatu permintaan terhadap diri

seseorang. Tambahan pula, Fontana (1989), juga menyatakan bahawa tekanan adalah satu

bentuk permintaan yang dibuat ke atas keupayaan untuk menyesuaikan minda dan fizikal serta

seterusnya menjelaskan sekiranya seseorang itu dapat menerima dan menangani permintaan

tersebut, maka tekanan tersebut akan mendatangkan kesan yang positif. Hal ini menunjukkan

bahawa cara seseorang menangani tekanan bergantung kepada tahap kesediaan minda dan

fizikal seseorang untuk menerima atau menyerap sesuatu tekanan yang diterima. Sekiranya

individu terbabit tidak bersedia dari segi fizikal dan mental, maka sudah pastinya tekanan yang

datang dalam bentuk permintaan ini tidak mampu dihadapi dengan sempurna yang akhirnya

akan menyebabkan individu tersebut tertekan dan menghadapi masalah yang lebih besar.

Sementara itu, menurut Levine dan Ursin (2009), tindakbalas tekanan ini adalah satu

perubahan fisiologi dan perlakuan yang berlaku terhadap mereka yang menghadapi tekanan.

Oleh itu, boleh dikatakan bahawa, tekanan bukanlah satu perkara yang boleh diambil ringan

kerana seseorang itu akan menghadapi risiko untuk berubah perlakuannya dengan melakukan

perkara-perkara yang tidak sepatutnya seperti bercakap kasar, memulakan pertengkaran,

terlibat secara fizikal dalam pergaduhan, penyalahgunaan dadah, terlibat dalam jenayah dan

sebagainya yang membuktikan walau sekecil mana sekalipun tekanan tersebut sekiranya tidak

diuruskan dengan betul mampu membawa malapetaka yang lebih dahsyat lagi kepada mereka

yang terlibat. Namun semuanya bergantung kepada kekuatan mental dan fizikal seseorang

kerana ianya dapat membantu seseorang untuk menyerap tekanan dan dapat menerima

tekanan tersebut secara positif.

Page 2: Guru Stress Oleh Anis Binti Zakaria

            Daripada beberapa definisi yang diberikan di atas, maka boleh dikatakan tekanan

terbukti mempunyai hubungan dengan faktor dalaman dan luaran seseorang. Faktor luaran ini

bermaksud persekitaran fizikal seperti tugasan dan tanggungjawab di pejabat, tahap

perhubungan dengan manusia lain, keadaan fizikal kediaman, tahap kebisingan, kesesakan

jalanraya dan sebagainya yang berkaitan dengan kehidupan seharian manusia. Faktor dalaman

pula bermaksud faktor yang mempengaruhi seseorang di dalam menangani faktor-faktor luaran

tadi seperti tahap kesihatan fizikal dan mental, emosi dan perasaan serta rehat yang

mencukupi. Bagi mereka yang mempunyai tahap kesihatan yang tinggi, kemungkinan untuk

mereka menghadapi tekanan disebabkan perkara yang remeh-temeh adalah rendah dan cara

mereka bertindakbalas juga adalah secara sederhana. Manakala mereka yang mempunyai

tahap kesihatan yang rendah mempunyai kemungkinan untuk mengalami tekanan dan

bertindakbalas secara agresif walaupun atas sebab-sebab yang kecil akibat ketahanan mental

dan fizikal yang lemah.

            Di Malaysia, profesion keguruan merupakan satu bentuk perkhidmatan sosial yang

sungguh mencabar. (Ibrahim Ahmad Bajunid, 1995). Semenjak beberapa tahun kebelakangan

ini, pelbagai usaha dijalankan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia sebagai satu usaha dalam

meningkatkan mutu sistem pendidikan di Malaysia. Dengan pelaksanaan pelbagai-bagai

reformasi ini, tugas, peranan dan tanggungjawab guru menjadi semakin mencabar.Tekanan

terhadap guru memang berkecenderungan untuk menyebabkan guru berada dalam keadaan

murung, mengalami tekanan jiwa, kekecewaan dan kebimbangan. Guru yang gagal mengawal

diri akibat tekanan akan memberi kesan kepada perhubungan guru dengan pelajar dan juga

mutu pengajaran dan pembelajaran seterusnya boleh menjejaskan kualiti pendidikan dan juga

profesion perguruan. Bukan sekadar itu, masalah ini akan membantutkan usaha mewujudkan

sebuah masyarakat yang mampu membawa Malaysia ke tahap kecemerlangan dan

kegemilangan mutu pendidikan. (Dr.Sapora Sipon, 2007). Peratusan kadar stress dalam

kalangan pekerja di Malaysia yang telah dicatatkan pada tahun 2011 juga menunjukkan

bahawa  guru berada pada tempat keempat dengan peratusan sebanyak 45.8 % berbanding

pekerjaan-pekerjaan yang lain seperti jururawat, doktor dan sebagainya. Statistik ini

membuktikan bahawa tugas guru ini bukan tugasan biasa dan mudah seperti yang diperkatakan

oleh sesetengah pihak. Satu kajian telah dijalankan oleh Mohamad Abdillah Royo dan Woo

Sew Fun dari Fakulti Pendidikan Universiti Malaya bagi mengenalpasti punca sebenar dan jalan

penyelesaian bagi masalah ini. Hasil kajian menunjukkan bahawa pelbagai perkara yang

Page 3: Guru Stress Oleh Anis Binti Zakaria

dikenalpasti menyumbang kepada masalah ini antaranya bebanan tugas, kerenah murid,

kurang motivasi dan sebagainya.

PERKEMBANGAN HUJAH-HUJAH

            Stress boleh berlaku kepada semua guru samada guru sekolah menengah mahupun

rendah. Satu kajian yang dijalankan oleh Azizi Yahya dan Norliza Othman mengenai  punca

sebenar berlakunya masalah stress dalam kalangan guru matematik di negeri Johor. Hasil

kajian mendapati bahawa faktor yang paling  mempengaruhi stress adalah faktor masalah

disiplin pelajar yang mencatatkan nilai min keseluruhan tertinggi iaitu 3.83. Kajian juga

dijalankan oleh Azrul Hisham Abdul Manaf pada tahun 2009  menunjukkan bahawa guru tidak

terlepas daripada perlakuan dan sikap segelintir pelajar yang kadangkala menyakitkan hati.

Antara contoh perlakuan pelajar yang membangkitkan kemarahan guru termasuklah datang

lewat ke kelas, membuat bising ketika sesi pengajaran dan pembelajaran bermula, tidak hadir

ke sekolah tanpa alasan yang munasabah dan bersikap biadap dengan guru. Perkara ini

menyebabkan guru mengambil keputusan yang agak drastik dan berasaskan emosi untuk

menyelesaikan masalah yang berkaitan dengan disiplin pelajar. Walaupun tindakan ini

melanggar etika dan tatatertib seorang pendidik, namun kadangkala emosi yang tidak stabil

boleh menguasai kekuatan akal fikiran yang waras. Terdapat banyak contoh sebenarnya yang

berkaitan dengan tindakan disiplin berdasarkan emosi yang dilakukan oleh guru yang berkait

dengan masalah disiplin pelajar. Antaranya ialah kejadian di mana 200 orang pelajar Sekolah

Menengah Kebangsaan Bawang Assan di Sarawak yang telah dihukum dengan cara berendam

di dalam sebuah kolam yang kotor oleh warden asrama mereka disebabkan masalah disiplin

(Utusan Malaysia, 28 Julai 2007). Setahun sebelum itu,seorang guru disiplin di sebuah sekolah

menengah di Kelantan telah bertindak memukul seorang pelajar berulang kali di kawasan

sekolah kerana memakai seluar jeans pada hari terakhir peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia

(SPM) ( Berita Harian, 20 Mei 2006 ).

           

            Guru bukan sahaja terpaksa berhadapan dengan para pelajar yang bermasalah tetapi

juga berhadapan dengan ibu bapa pelajar yang memberikan harapan yang amat tinggi kepada

para guru untuk menjadikan anak-anak mereka cemerlang dalam pelajaran. Hal ini dapat

dibuktikan menerusi kajian yang telah dijalankan oleh Unit Kaunseling Jabatan Psikologi,

Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) pada tahun 2006 yang mendapati bahawa 83% daripada

guru telah mengalami tekanan akibat harapan tinggi yang diletakkan oleh ibu bapa pelajar yang

Page 4: Guru Stress Oleh Anis Binti Zakaria

mengharapkan guru-guru di sekolah boleh membantu untuk menjadikan anak-anak mereka

sebagai pelajar yang cemerlang dalam akademik. Kajian yang sama juga menyatakan bahawa

kebanyakan ibu bapa akan melepaskan sepenuhnya tanggungjawab untuk mendidik anak-anak

mereka kepada guru sekolah sambil mengharapkan anak mereka memperoleh keputusan yang

cemerlang dalam peperiksaan. Abu Bakar Hamzah dalam artikelnya yang dimuatkan dalam

akhbar Berita Harian bertarikh 23 Februari 2007 mengatakan bahawa ibu bapa kebiasaannya

akan mengukur kejayaan mutlak seseorang pelajar berdasarkan kecemerlangan akademik

semata-mata tanpa mengira aspek-aspek lain yang tidak kurang pentingnya seperti kemahiran

dalam bidang vokasional. Akibat daripada harapan yang terlampau tinggi, kebanyakan guru

terpaksa menghabiskan banyak masa mereka di sekolah untuk mengadakan kelas-kelas

tambahan di luar waktu persekolahan bagi memastikan harapan ibu bapa dipenuhi.

            Selain itu, faktor bebanan kerja yang terlampau banyak juga menyebabkan guru-guru

mengalami masalah stress. Menurut Esah Sulaiman (2003), guru merupakan pengurus

pembelajaran yang bertanggungjawab untuk merancang pengetahuan, kemahiran dan nilai

yang hendak diajar kepada pelajar setiap hari. Ini menunjukkan tanggungjawab guru untuk

menyediakan maklumat-maklumat untuk diajar tidak semudah yang disangkakan. Guru juga

dibebankan dengan tugas-tugas lain seperti tugas pentadbiran sekolah contohnya merancang

dan menjalankan aktiviti sekolah, menjadi penasihat persatuan dan kelab, menjalani kursus

yang telah ditetapkan oleh pihak sekolah atau Jabatan Pendidikan Negeri dan sebagainya.

Perkara ini mungkin dilihat mudah oleh sesetengah pihak namun ia merupakan bebanan yang

amat tinggi kepada para guru kerana mereka terpaksa melakukan pelbagai jenis kerja yang

berkaitan dengan akademik, kokurikulum dan pentadbiran sekaligus setiap hari. Tambahan

pula, adakalanya tugas-tugas ini perlu diselesaikan pada hari minggu sehingga menyebabkan

guru tidak mendapat ruang waktu untuk berehat dan bersama keluarga. Ia menjadi menjadi

satu masalah yang besar dan dipandang serius oleh Kementerian Pelajaran Malaysia sehingga

wujudnya satu Jawatankuasa Khas bagi mengkaji bebanan tugas guru yang terlampau banyak.

Menurut Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd Don yang mempengerusikan

jawatankuasa itu, beberapa cadangan sudah dikenalpasti bagi menangani masalah ini.

Jawatankuasa ini ditubuhkan bagi memberi maklumbalas terhadap aduan yang dibuat oleh

Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) terhadap bebanan tugas guru dalam

satu sidang media yang diadakan pada tarikh 30 Mac 2010. Ini membuktikan bahawa banyak

pihak yang menyedari akan bebanan tugas guru yang semakin mencabar.

Page 5: Guru Stress Oleh Anis Binti Zakaria

            Bagi pekerja di setiap organisasi, etika kepimpinan seseorang pemimpin atasan

memainkan peranan yang penting dalam memajukan organisasi tersebut. Perkara yang sama

juga berlaku di sekolah apabila etika kepimpinan pengetua atau guru besar yang memainkan

peranan yang sangat penting di dalam kemajuan dan pembangunan sekolah serta sumber

manusianya. Guru sememangnya bergantung harap kepada guru besar untuk memastikan

kelancaran pentadbiran di sekolah di samping menjaga kenajiakn mereka sebaik-baiknya.

Sekiranya perkara ini tidak berlaku, guru akan mengalami tekanan kerana persekitaran tempat

kerja yang tidak membantu mereka untuk menjadi lebih produktif di dalam perkhidmatan. Hal ini

kerana, adakalanya dalam melaksanakan sesuatu program di sekolah, terdapat corak

pentadbiran dan tindakan pengetua yang kurang disenangi di sekolah. Malahan, ada juga

program yang diatur bukanlah untuk kepentingan sekolah atau pelajar sebaliknya untuk

kepentingan peribadi pengetua semata-mata. Keputusan-keputusan tentang peraturan dan

dasar sekolah yang tidak adil dan kerap berubah juga akan membangkitkan ketidakpuasan hati

guru. (Hamedah binti Wok Awang, 2004). Selain itu, ada juga pengetua yang menyalahgunakan

peruntukan sekolah untuk kegunaan peribadi seperti hanya menumpukan usaha membesar dan

mencantikkan bilik guru besar sahaja walaupun peruntukan tersebut sebenarnya harus

digunakan untuk pembangunan fizikal sekolah serta kebajikan kakitangan dan pelajar. Isu ini

telah dilaporkan oleh BERNAMA pada 17 Februari 2000, apabila Kementerian Pendidikan akan

mengambil tindakan segera terhadap pengetua yang menyalahgunakan kuasa mereka

termasuk yang terlibat dalam rasuah. Menurut mantan Menteri Pelajaran Malaysia, hal ini

kerana terdapat beberapa kes yang diterima oleh pihak kementerian setiap tahun yang

menyebabkan tindakan tegas perlu diambil secara serta merta. Hal ini secara langsung akan

mengundang tekanan emosi terhadap guru kerana mereka akan berasa kurang senang dengan

keputusan-keputusan yang dibuat tanpa mengambil kira kebajikan perkhidmatan mereka.

Apabila keadaan ini semakin berlarutan, ianya akan menghakis kepercayaan guru terhadap

kredibiliti dan ketelusan pengetua terbabit. Akhirnya perasaan hormat guru akan hilang dan

mereka akan kehilangan motivasi untuk terus berkhidmat dengan cemerlang.

IMPLIKASI HUJAH-HUJAH

            Punca-punca seperti yang dinyatakan di atas akan membawa kepada tekanan terhada

guru dan menyebabkan mereka mengambil jalan-jalan tertentu untuk menyelesaikannya. Guru

yang tertekan akan melakukan apa sahaja untuk memastikan tekanan yang melanda mereka

Page 6: Guru Stress Oleh Anis Binti Zakaria

berakhir. Ini termasuklah melakukan perkara yang menyalahi undang-undang dan etika

pengurusan.

            Ponteng kerja adalah perkara serius yang dilakukan oleh individu-individu yang tertekan

( Akhiar Pardi dan Shamsina Shamsuddin, 2011 ). Perkara ini dibuktikan melalui pendedahan

yang dibuat oleh akhbar Berita Harian bertarikh 12 Disember 2009 iaitu seramai lima peratus

daripada keseluruhan penjawat awam di Malaysia terlibat dalam kes ponteng kerja di mana ada

sesetengahnya yang tidak hadir ke tempat kerja selama tiga bulan. Satu laporan akhbar

daripada Berita Harian bertarikh 27 Mac 2008 menyebutkan isu seorang guru di Perak yang

tidak menghadirkan diri ke sekolah selama lebih dari 30 hari tanpa alasan yang kukuh. Akibat

dari perlakuan tersebut, pihak Kementerian Pelajaran akan mengambil tindakan disipilin yang

tegas terhadap guru terbabit dan mungkin akan memecat beliau dari perkhidmatan perguruan.

Hal ini disokong melalui pernyataan yang dibuat oleh Ho (1997) bahawa guru yang ponteng

kerja akan menyebabkan proses pembelajaran terganggu untuk satu jangka masa yang

panjang. Akibatnya, banyak perkara yang tidak dapat diselesaikan dengan segera seperti

kegagalan menghabiskan sukatan pelajaran dan kelewatan menganjurkan aktiviti-aktiviti ko

kurikulum di sekolah. Selain itu, rancangan pengajaran yang telah ditetapkan juga tidak dapat

diikuti lagi kerana telah tersasar dari perancangan asal menyebabkan perancangan baru perlu

disusun semula. Akhirnya, pelajar-pelajar akan mendapat impak yang sangat negatif apabila

mereka tidak mampu menjawab soalan-soalan peperiksaan dengan baik terutamanya apabila

melibatkan peperiksaan-peperiksaan umum seperti UPSR, PMR dan SPM kesan dari proses

pengajaran dan pembelajaran yang tidak lancar.

            Selain daripada ponteng kerja, guru-guru juga akan cenderung untuk melakukan

tindakan yang lebih besar iaitu berhenti kerja kerana tidak lagi mampu untuk bertahan dalam

kerjaya ini. Tekanan-tekanan yang datang dari bebanan tugas yang melampau, etika

kepimpinan pihak atasan sekolah dan tahap disiplin pelajar yang rendah merupakan faktor

utama mengapa guru berniat meninggalkan kerjaya utama mereka. (Azrul Hisham Abdul Manaf,

2009). Isu ini turut disentuh oleh satu kajian kes yang telah dijalankan oleh Erkultu dan Chafra

(2006) yang menyebut bahawa tekanan yang terlampau tinggi boleh mengakibatkan pekerja

berfikir untuk meletakkan jawatan. Justeru, tidak hairanlah para guru yang sememangnya

berhadapan dengan bebanan kerja yang tinggi akan berniat untuk menarik diri daripada jawatan

ini. Kajian juga telah dijalankan oleh Jesus (2000), beliau mendapati 50 peratus daripada guru

yang menjawab borang soal selidik mengakui bahawa mereka mahu mencari kerja lain akibat

Page 7: Guru Stress Oleh Anis Binti Zakaria

tekanan yang berlebihan di sekolah. Pada pandangan saya, adalah menjadi satu kerugian yang

sangat besar sekiranya kebanyakan guru yang menghadapi masalah tekanan ini meneruskan

niat untuk meletakkan jawatan kerana ianya akan mengganggu keseluruhan proses pendidikan

di sekolah. Selain itu, kerajaan juga terpaksa mengeluarkan kos yang besar dan menghabiskan

masa yang panjang untuk memberi latihan kepada guru-guru baru bagi menggantikan

kekosongan tersebut.

            Pelbagai langkah yang telah diambil bagi menangani masalah stress dalam kalangan

guru yang semakin parah. Antaranya ialah memperkenalkan program latihan fisioterapi khas

untuk golongan-golongan guru di seluruh Negara. Menurut pengarah urusan Great Life Physio

and Rehabilation, Mohd Rozaimi Che Kamaruddinata, program itu disediakan khas oleh pakar-

pakar fisioterapi untuk para guru dalam memberi panduan bagaimana menguruskan stress

semasa bertugas. Program ini telah berjaya dijalankan di Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit

Gading, Sungai Buloh Selangor dengan melibatkan 135 orang guru dan kakitangan sekolah

tersebut. Program ini disokong penuh oleh pengetua sekolah tersebut, Siti Endon Mohamad

Dahlan yang berpendapat bahawa program itu banyak memberi kesedaran kepada guru dalam

menangani masalah stress di tempat kerja.

            Selain daripada itu, guru sepatutnya diberi pengkhususan tugas iaitu memberikan

tumpuan kepada pengajaran sahaja. Memetik ucapan presiden NUTP, Hashim bin Adnan,

beliau mengatakan bahawa pada hari ini, kita dapat melihat bahawa tugas guru bukan sahaja

mengajar sebaliknya melakukan tugas-tugas pengurusan yang lain, di mana tugas-tugas

tersebut sepatutnya dijalankan oleh individu lain. Umpamanya, pengurusan data-data murid dan

sekolah menggunakan aplikasi atas talian yang baru sahaja diperkenalkan baru-baru

ini .Menurut Jaafar Muhammad (2003), kebanyakan individu bekerja selama 45 jam dalam

masa seminggu. Baki masa yang selebihnya pula sepatutnya digunakan untuk mengukuhkan

perhubungan sosial dengan masyarakat setempat seperti berkomunikasi, menyelesaikan

masalah dan melakukan aktiviti bersama keluarga, jiran tetangga dan rakan-rakan mahupun

ahli bagi persatuan yang disertai oleh mereka. Sekiranya guru tidak mempunyai masa yang

cukup untuk dihabiskan bersama masyarakat setempat, mereka akan membawa masalah-

masalah di luar pejabat ke sekolah untuk diselesaikan. Perkara ini seterusnya akan

mengganggu pula komitmen mereka terhadap tugas-tugas hakiki di sekolah. Hal ini akan

menjadi semakin serius apabila murid-murid mendapat implikasi negatif seperti gagal dalam

Page 8: Guru Stress Oleh Anis Binti Zakaria

peperiksaan utama dan seterusnya negara mengalami kerugian besar terhadap penghasilan

sumber manusia.

CADANGAN DAN RUMUSAN

Seorang guru yang gagal menjalankan tanggungjawab dan tugas akan memberi

mudarat kepada seluruh generasi ( Chek Mat, 2008 ). Guru yang baik mestilah sentiasa sedar

akan kepentingan diri dan amanah yang dipikul mereka. Oleh yang demikian, guru mestilah

memastikan diri mereka terlepas dari masalah stress yang memudaratkan ini.

Pemeriksaan kesihatan yang berkala perlu sentiasa dijalankan oleh para guru dalam

memastikan tahap kesihatan mereka berada dalam keadaan yang baik. Guru mestilah

berusaha menjaga tahap kesihatan mereka kerana hal ini memberikesan yang amat mendalam

kepada seorang guru. Umpamanya, guru yang mengalami masalah kesihatan akan lebih

cenderung mengalami masalah stress di sekolah sekaligus memberi mudarat kepada profesion

secara umumnya dan murid secara khususnya. Guru juga perlu meningkatkan perbincangan

dan bersosial dengan rakan-rakan sejawatan sekiranya berlaku sebarang masalah berkaitan

tugas di sekolah. Hal ini mungkin dapat menghilangkan sedikit tekanan yang dihadapi oleh

guru. Sekiranya masalah-masalah yang dialami disimpan bersendirian, ia akan menyebabkan

guru lebih mudah menghadapi tekanan di tempat kerja. Bagi pihak ibu bapa dan pengurusan

sekolah, mereka tidak sepatutnya meletakkan harapan yang terlalu tinggi kepada guru-guru di

sekolah. Hal ini kerana, tugas mendidik anak adalah tanggungjawab ibu bapa dibantu oleh guru

di sekolah. Adalah menjadi satu kesilapan besar sekiranya tugas mendidik anak-anak sekadar

diletakkan di bawah tanggungjawab guru dan hal ini secara tidak langsung memberikan

tekanan hebat kepada para guru di sekolah.

Secara kesimpulannya kerjaya sebagai seorang guru adalah satu kerjaya yang cukup

mencabar. Banyak pengorbananyang perlu dilakukan oleh seorang guru untuk memberi yang

terbaik kepada para pelajar. Sesuatu yang positif perlu dilakukan segera oleh pihak atasan

sekolah dan juga guru bagi mengelakkan punca-punca tekanan ini membawa kesan yang lebih

teruk sekiranya dibiarkan berterusan. Boleh dikatakan tekanan dapat dikawal dengan baik oleh

guru sekiranya mereka mementingkan kepada cara-cara untuk menguruskan tekanan tersebut.

Pengurusantekanan amat kritikal atau diperlukan oleh guru bagi memastikan mereka sentiasa

bersedia untuk menghadapi segala cabaran dalam dunia perguruan yang mendatang.

Page 9: Guru Stress Oleh Anis Binti Zakaria

Perubahan demi perubahan yang pantas berlaku akan menjadikan kerjaya seorang guru

lebih sukar ataupun complicated. Sekiranya guru tidak mampu mengawal diri dan tekanan

mereka dengan baik, sudah pastinya kerjaya mereka bukan sahaja akan berakhir lebih awal

malahan dikenakan tindakan-tindakan disiplin yang keras pula atas segala kesalahan yang

dilakukan. Perubahan demi perubahan yang berlaku dalam persekitaran dunia pendidikan pada

hari ini pula ternyata menyebabkan guru juga perlu berubah, namun tidak ramai yang mampu

untuk membuat perubahan secara drastik menyebabkan tekanan mula menguasai mereka dan

akhirnya membawa kesan yang besar kepada sistem pendidikan yang dilaksanakan di sekolah

amnya dan di Malaysia khasnya.

            Akhirnya, sokongan yang berterusan daripada pihak pengetua sehinggalah kepada

kakitangan pentadbiran amat penting bagi menjamin persekitaran tempat kerja yang harmoni

dan aman untuk semua pihak. Konflik yang sedang berlaku akan berterusan tanpa noktah

sekiranya masih tiada ruang untuk bekerjasama dibuka seluas-luasnya untuk kedua-dua belah

pihak iaitu pentadbiran dan akademik. Keprihatinan terhadap beban tugas guru perlu

ditingkatkan oleh segenap lapisan masyarakat demi memastikan kelangsungan sistem

pendidikan di Malaysia seterusnya usaha melahirkan generasi pewaris negara berterusan dan

tidak terhenti.

REFLEKSI

Alhamdulillah, bersyukur ke hadrat Illahi akhirnya tugasan ini berjaya dilaksanakan dengan

jayanya. Jutaan terima kasih kepada semua pihak yang membantu secara langsung dan tidak

langsung terutamanya pensyarah, Puan Salina binti Mokhtar.

Pada mulanya, tugasan ini dilihat sebagai satu tugasan yang sangat mencabar buat

saya. Saya ditugaskan untuk menganalisis satu artikel dan membina satu laman blog untuk

memuatkan artikel yang dihasilkan. Tugasan ini sangat mencabar kerana ini merupakan

pengalaman pertama saya menghasilkan blog, apatah lagi blog yang bersifat ilmiah seperti ini.

Namun Alhamdulillah, tugasan berjaya disiapkan sepenuhnya. Kami berganding bahu

mempelajari cara-cara membuat blog dengan menggunakan aplikasi atas talian yang sangat

banyak di laman sesawang. Kami bersama-sama meneroka maklumat-maklumat dan tutorial

Page 10: Guru Stress Oleh Anis Binti Zakaria

yang disediakan dan akhirnya tugasan tersebut berjaya dijalankan. Kami juga meminta bantuan

rakan-rakan yang mahir dalam bidang ini untuk mengajar kami cara menghasilkan sebuah

laman blog yang menarik dan berkualiti.

Selain daripada itu, saya juga menghadapi masalah apabila berlaku kekangan masa

dalam usaha menyiapkan tugasan ini. Tambahan pula, cuti hari raya yang diperuntukkan agak

padat dengan jadual-jadual lain menyebabkan saya tergesa-gesa menyiapkan tugasan ini.

Namun, berkat sokongan dan dorongan rakan-rakan sekumpulan, saya berjaya mengatasi

masalah ini. Saya juga berpuas hati kerana berjaya menghasilkan satu penulisan artikel yang

pada hemat saya sebuah artikel yang baik untuk menjadi rujukan semua pembaca.

Pelbagai kemahiran baru yang diperolehi dalam tugasan ini. Antaranya ialah kemahiran

menggunakan ICT sebagai medium menyampaikan maklumat kepada seluruh masyarakat.

Selain itu, kemahiran yang saya perolehi ialah kemahiran menganalisis sesuatu isu

menggunakan bukti-bukti kukuh bagi memantapkan hujah-hujah yang dilontarkan atau lebih

dikenali sebagai penulisan ilmiah. Kemahiran ini juga sangat penting buat saya dalam usaha

untuk menyelesaikan penulisan kajian tindakan pada semester ini.

Secara keseluruhannya, tugasan ini memberi saya semangat baru untuk lebih giat

menulis artikel ilmiah setelah memasuki alam kerjaya kelak. Seterusnya, menggunakan medium

ICT sebagai wadah untuk menyebarkan idea dan penulisan tersebut. Hal ini bukan sahaja

dapat meningkatkan mutu pendidikan, tetapi juga membantu memajukan diri sendiri dalam

bidang yang menjadi pilihan ini. Penulisan artikel ilmiah juga merupakan satu cara terbaik bagi

seorang guru meluahkan masalah-masalah dan mengetengahkan isu-isu pendidikan kepada

masyarakat umum.

Sekian, terima kasih.

BIBLIOGRAFI

Akhiar Pardi & Shamsina Shamsuddin. (2011). Pengendalian Disiplin Remaja di Sekolah dan di

Rumah. Penerbitan Multimedia. Kuala Lumpur

Page 11: Guru Stress Oleh Anis Binti Zakaria

Azizi Yahya & Norliza Othman (2010), Stres Dalam Kalangan Guru Sekolah Menengah Di

Empat Buah Negeri Di Malaysia. Asia Pacific Journal of Educators and Education. Kuala

Lumpur

Azrul Hisham Abdul Manaf (2009), Faktor-Faktor Tekanan Dan Kesannya Kepada Guru

Sekolah Menengah Kebangsaan : Satu Kajian Di Daerah Timur Laut, Pulau Pinang. UPM.

Kuala Lumpur

Chek Mat (2008). Ujian Psikologi & Pengurusan. Unipress Printer Sdn Bhd. 2008

Dr  Sapura Sipon (2007). Tekanan Kerja Di Kalangan Guru-Guru Di Sebuah Sekolah

Menengah Kerajaan Dan Sebuah Sekolah Menengah Swasta. Kertas Projek Bacelor Sains:

Serdang. Universiti Putra Malaysia.

Erkutlu, H.V. & Chafra, J. (2006), Relationship Between Leadership Power Bases And Job

Stress Of Subordinates : Example From Boutique Hotels. Journal Management

Research News, London

Esah Sulaiman (2003), Modul Pengajaran : Asas Pedagogi. Skudai: Jabatan Asas

Fontan, D. (1989), Managing Stress. British Psychological Society & Routledge Ltd

Hamedah Wok Awang. (2004), Cerita-Cerita Motivasi Untuk Guru. PTS Millenia Sdn Bhd. Kuala

Lumpur

Ho, J. (1997), Corporate Wellness Programmes in Singapore: Effect on Stress,

Ibrahim Ahmad Bajunid (1995). Tinjauan Tahap Tekanan dan Punca Stress di Kalangan Guru

Sekolah Sabak Bernam. Universiti Teknologi Malaysia. Tesis Sarjana Muda.

Jaafar Muhammad, (2003), Kelakuan Organisasi. Kuala Lumpur. Leeds Publications

Mohd Abdillah Royo & Woo Sew Fun (2010), Faktor-Faktor yang Mendorong Tekanan Kerja

( Stress ) di Kalangan Guru-Guru SJK(C) : Satu Kajian. Universiti Teknologi Mara. Selangor

Page 12: Guru Stress Oleh Anis Binti Zakaria

Smither, R. (1994). Stress and teachers: Old wine in new bottle. Urban Education,London

Smither, R.D. (1994), The Physchology of Work And Human Performance (2nd ed.). Journal of

Managerial Psychology

Guru Alami Tekanan Mental & Emosi, Kata NUTP. (18 Ogos 2005). BERNAMA

Kementerian Akui Ada Masalah Kekurangan Guru. (17 Disember 2003). BERNAMA

Tip Mengatasi Stres. (25 Jun 2006). Utusan Malaysia

Guru Di Bandar Lebih Tertekan. (18 Disember 1997).Utusan Malaysia

Tuala Wanita: 200 Pelajar Direndam Dalam Kolam Kotor. (28 Julai 2007). Utusan

Malaysia.

Ibu Bapa Punca Guru Tertekan. (23 Februari 2007). Berita Harian

Ramai Guru Berpenyakit Akibat Stres .( 20 Mei 2006), Utusan Malaysia

Lima Peratus Penjawat Awam Ponteng Kerja. (21 April 2009). Berita Harian

Guru Ponteng Sebulan Boleh Diberhenti Kerja. (12 Mei 2008). Berita Harian

Guru Ponteng : Tindakan Tegas akan Diambil. (12 Mei 2008). Berita Harian

Pengetua Sekolah Yang Langgar Arahan Akan Dikenakan Tindakan Disiplin. (1 Jun

1997). BERNAMA

Pengetua Salahguna Kuasa Akan Dikenakan Tindakan. (4 Mac 2000). BERNAMA

           

http://www.nutp.org/new/ms/

http://www.jpa.gov.my/index.php?lang=ms

http://www.utusan.com.my/utusan/Pendidikan/20120424/pe_01/Guru-lebih-stres

Page 13: Guru Stress Oleh Anis Binti Zakaria