bml 3012-sejarah bahasa melayu (esei ilmiah-bahagian a)

20
PPGPJJ SEMESTER 1 SESI 2012/2013 BML3012 – SEJARAH BAHASA MELAYU BAHAGIAN A (ESEI ILMIAH) (a) Buat satu kajian mengenai suku bangsa atau etnik anda dan hubungannya dengan rumpun bahasa Melayu. (b) Berdasarkan kajian terhadap suku bangsa atau etnik yang dikaji, beri contoh-contoh kata, ayat atau apa sahaja yang sesuai untuk membuktikan hubungan kekerabatan dengan bahasa Melayu. KUMPULAN: UPSI 03 (A121PJJ) DISEDIAKAN OLEH NAMA NO. MATRIK NITO ANAK TONY D20112055167

Upload: nitotony73

Post on 03-Aug-2015

2.330 views

Category:

Documents


4 download

DESCRIPTION

PPGPJJ SEMESTER 1 SESI 2012/2013BML3012 – SEJARAH BAHASA MELAYU BAHAGIAN A (ESEI ILMIAH)(a) Buat satu kajian mengenai suku bangsa atau etnik anda dan hubungannya dengan rumpun bahasa Melayu. (b) Berdasarkan kajian terhadap suku bangsa atau etnik yang dikaji, beri contoh-contoh kata, ayat atau apa sahaja yang sesuai untuk membuktikan hubungan kekerabatan dengan bahasa Melayu.KUMPULAN: UPSI 03 (A121PJJ) DISEDIAKAN OLEH NAMA NITO ANAK TONY NO. MATRIK D20112055167NAMA TUTOR E-LEARNING: ENCIK

TRANSCRIPT

Page 1: BML 3012-Sejarah Bahasa Melayu (Esei Ilmiah-Bahagian A)

PPGPJJ SEMESTER 1 SESI 2012/2013

BML3012 – SEJARAH BAHASA MELAYU

BAHAGIAN A (ESEI ILMIAH)

(a) Buat satu kajian mengenai suku bangsa atau etnik anda dan hubungannya dengan rumpun

bahasa Melayu.

(b) Berdasarkan kajian terhadap suku bangsa atau etnik yang dikaji, beri contoh-contoh kata,

ayat atau apa sahaja yang sesuai untuk membuktikan hubungan kekerabatan dengan bahasa

Melayu.

KUMPULAN: UPSI 03 (A121PJJ)

DISEDIAKAN OLEH

NAMA NO. MATRIK

NITO ANAK TONY D20112055167

NAMA TUTOR E-LEARNING: ENCIK RAZALI BIN AYOB

TARIKH SERAH: 11 NOVEMBER 2012

Page 2: BML 3012-Sejarah Bahasa Melayu (Esei Ilmiah-Bahagian A)

PENGHARGAAN

Pertama sekali, saya ingin mengucapkan syukur kepada Tuhan kerana dengan izin-Nya,

tugasan ini dapat disiapkan tepat pada masanya. Dalam menyiapkan tugasan ini saya

mendapat sokongan dan bantuan daripada pelbagai pihak yang bersungguh-sungguh dalam

membantu saya supaya dapat menyiapkan tugasan ini dengan jayanya..

Saya ingin menyampaikan penghargaan yang setinggi-tingginya kepada Encik Razali

bin Ayob kerana membantu saya dalam memberikan maklumat dan penjelasan yang sejelasnya

untuk membuat tugasan ini.

Tidak ketinggalan juga penghargaan untuk rakan-rakan guru yang turut sama membantu

dari segi memberi tunjuk ajar dan idea dalam usaha untuk memahami dan menyiapkan tugasan

yang diberikan mengikut had masa yang ditetapkan.

Saya juga merakamkan ucapan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat secara

langsung ataupun tidak langsung sepanjang usaha saya menyiapkan tugasan ini.

Sekian, terima kasih.

Page 3: BML 3012-Sejarah Bahasa Melayu (Esei Ilmiah-Bahagian A)

Kandungan

Bil. Perkara Muka surat

1. Pengenalan. 1

2. Latar belakang suku bangsa. 2

3. Kedudukan lokasi dan geografi. 3

4. Asal-usul suku bangsa atau etnik. 5

5. Proses penghijrahan. 6

6. Hubungan dengan rumpun bahasa Melayu. 8

7. Perkaitan atau persamaan dengan bahasa Melayu. 10

8. Rumusan. 15

Page 4: BML 3012-Sejarah Bahasa Melayu (Esei Ilmiah-Bahagian A)

Pengenalan

Asal-usul perkataan ‘Melayu’ mengikut R.O Winstedt dalam bukunya The Malays, A Cultural

History membahagikan pengertian Melayu kepada dua makna iaitu pertama, orang Melayu

adalah bumiputera di sekitar Semenanjung Tanah Melayu dan Sumatera. Makna kedua pula

orang Melayu adalah penduduk asal kepulauan Melayu, Farmosa, Filipina dan beberapa puak

yang mendiami wilayah Indo-China. Menurut Zuber Usman, perkataan Melayu berasal daripada

perkataan ‘Himalaya’ yang telah disingkatkan kepada ‘Malaya’ dan kemudian menjadi Melayu.

Berdasarkan Slametmuljana, kata Melayu sebenarnya berasal daripada perkataan Sanskrit

yang berkembang di dua tempat yang berbeza. Pertama di seberang Utara Selat Melaka,

perkataan tersebut mengekalkan sebutan aslinya iaitu ‘Malaya’ manakala kedua di seberang

sebelah Selatan mengalami perubahan bunyi kepada ‘Melayu’.

Bukti seterusnya ialah catatan dalam tulisan Cina (Tiongkok) dianggarkan ditulis sekitar

tahun 644 Masihi yang menyatakan bahawa ada utusan yang mempersembahkan hasil bumi

kepada Kaisar Tiongkok yang datangnya dari kerajaan Mo-lo-yeu. Nama Melayu bagi kerajaan

Melayu itu berasal dari nama sebuah sungai yang terletak di sekitar kawasan tersebut iaitu

sungai Melayu. Penamaan kerajaan atau negeri daripada nama sungai sudah menjadi

kebiasaan dalam budaya Melayu seperti nama Negeri Johor, Pahang, Kelantan, Sarawak,

Selangor, Perak, Siak, Terengganu dan Inderagiri. Mengikut cerita, air sungai itu mengalir

begitu deras arusnya selaju orang yang berlari. Oleh itu, nama Melayu diberikan berdasarkan

nama sungai itu. Melayu yang dimaksudkan adalah sama dengan pengertian dalam bahasa

Jawa bermakna lari. Hal ini boleh dipadankan dengan orang Indo-Melayu (Austronesia) yang

bergerak dari Yunan.

Bangsa Melayu adalah bangsa termuda di antara bangsa-bangsa lain di dunia. Menurut

Kamus Dewan (2006) mendefinisikan Melayu merujuk kepada nama suatu bangsa dan bahasa

terutama di Semenanjung Malaysia. Mengikut UNESCO (1972) merumuskan bangsa Melayu

adalah satu keluarga bangsa yang mempunyai satu keluarga bahasa yang sama; bentuk fizikal

tubuh badan yang hampir sama, berkulit sawo matang, rambut halus, mempunyai ketinggian

sederhana; dan penduduk asli di satu kawasan yang sangat besar iaitu dari Madagaskar di

pantai timur benua Afrika di barat hingga ke Pulau Paskah (Easter Islands) di Lautan Pasifik

berhampiran dengan Republik Chile di timur kemudian dari kepulauan Hawaii dan Taiwan di

utara hingga ke Pulau New Zealand di selatan.

1

Page 5: BML 3012-Sejarah Bahasa Melayu (Esei Ilmiah-Bahagian A)

Latar belakang suku bangsa

Malaysia merupakan sebuah negara yang didiami oleh masyarakat majmuk iaitu terdiri

daripada pelbagai kaum atau bangsa. Terdapat tiga bangsa utama atau majoriti di dalam

negara kita yang terdiri daripada kaum Melayu, Cina dan India. Manakala di dalam

kepelbagaian bangsa ini pula terdapat lagi kaum-kaum lain seperti Iban, Melanau, Kadazan,

dan sebagainya. Negeri Sarawak merupakan salah satu negeri dalam Malaysia yang

mempunyai penduduk pelbagai bangsa iaitu Melayu, Cina, Dayak dan sebagainya. Manakala di

dalam masyarakat Dayak pula dibahagikan kepada dua iaitu Dayak Laut yang terdiri daripada

suku bangsa Iban dan Dayak Darat merupakan suku bangsa Bidayuh.

Semua kaum di Malaysia telah menggunakan satu bahasa rasmi atau bahasa

kebangsaan kita iaitu Bahasa Malaysia. Bahasa yang digunakan mengikut kaum masing-

masing adalah berlainan seperti bangsa Melayu menggunakan bahasa Melayu, kaum Cina

dengan bahasa Mandarin atau Kantonis, dan kaum India menggunakan bahasa Tamil. Di

Sarawak pula, kaum Iban dengan bahasa Iban, kaum Melanau menggunakan bahasa Melanau

dan kaum Bidayuh dengan bahasa Bidayuh mereka. Namun suku bangsa Bidayuh sendiri

terdapat tiga pecahan bahasa mereka mengikut dialek seperti dialek Biatah, dialek Bau Jagoi

dan dialek Bukal Sadong.

Masyarakat Bidayuh adalah salah satu suku kaum atau suku bangsa yang terdapat di

negara kita, Malaysia. Suku bangsa Bidayuh merupakan salah satu kaum minoriti yang terdapat

di negeri bumi kenyalang ini. Namun di dalam bangsa Bidayuh pula boleh dibahagikan lagi

kepada suku etnik lain yang mengikut kawasan seperti Selakau di sebelah Lundu, Bidayuh Bau

di kawasan Bau, Bidayuh Padawan di kawasan Padawan, Bidayuh Siburan-Penrissen di

kawasan Siburan dan Penrissen, dan Bidayuh Serian di kawasan Serian termasuklah Gedong.

Suku bangsa Bidayuh di Bau sendiri dapat lagi dibahagikan kepada kawasan seperti Singai,

Bau-Lundu, Jagoi, Krokong dan Serumbu. Setiap kawasan akan menggunakan bahasa dialek

yang tersendiri di mana terdapat persamaan makna tetapi sedikit perbezaan dari segi bunyi

sebutan.

Singai merupakan salah satu kawasan yang menjadi pilihan kajian saya pada kali ini.

Kawasan Singai adalah tempat kelahiran saya yang mengandungi banyak cerita lama dan

kesan sejarahnya. Mengikut cerita dongengnya daripada nenek moyang dahulu menyatakan

2

Page 6: BML 3012-Sejarah Bahasa Melayu (Esei Ilmiah-Bahagian A)

bahawa Gunung Singai adalah sebuah kapal yang terbalik pada suatu ketika dahulu dan satu

lagi cerita dongeng menceritakan bahawa Gunung Singai adalah sebuah lesung gergasi yang

telah diterbalikkan pada zaman dahulu. Oleh sebab itulah jika dilihat dari jarak jauh kita akan

nampak bentuk gunung itu seperti sebuah kapal atau lesung yang terbalik. Peninggalan sejarah

yang paling terkenal sehingga ke hari ini di Gunung Singai ialah sebuah tempat beribadat bagi

penganut agama Kristian yang terawal semasa penyebaran agama tersebut di Sarawak.

Tempat ini yang terletak di kaki gunung itu adalah tidak jauh dari salah sebuah kampung di

kawasan ini iaitu kampung Tanjung yang bersebelahan dengan kampung Atas.

Sebenarnya nama kawasan Singai adalah berasal daripada nama gunungnya iaitu

Gunung Singai. Menurut W. J. Charter (1994) menyatakan bahawa Singghi atau nama yang

biasa disebut penduduk tempatan adalah Singai kebanyakannya mengenai tempat

perlindungan bagi suku bangsa Bidayuh di kawasan berkenaan. Kawasan Singghi atau Singai

jika dibandingkan dengan kawasan Bidayuh yang lain mempunyai sejarahnya yang lebih tua.

Singghi atau lebih dikenali dengan sebutan Singai adalah di kawasan Dayak Darat iaitu suku

bangsa Bidayuh. Sementara mengikut Patrick Rigep Nuek (2002) menyatakan bahawa asal

penempatan Kampung Singai adalah bersamaan dengan nama gunungnya yang telahpun

wujud sehingga tahun 1963. Selepas beberapa lama, semenjak orang Bidayuh meninggalkan

kampung lama telah menyebabkan rumah panjang lama menjadi usang dan runtuh. Persamaan

Dayak Darat (Bidayuh) dengan Dayak Laut(Iban) adalah pada masa dahulu mereka menetap di

rumah yang disebut sebagai rumah panjang. Manakala keunikan suku bangsa Bidayuh ialah

mereka membina sebuah lagi rumah yang disebut sebagai ‘baruk’ yang berbentuk bulat dan

pada zaman dahulu digunakan sebagai tempat menyimpan tengkorak kepala musuh mereka.

Kedudukan lokasi dan geografi

Singai yang meliputi kawasan di sekitar gunung Singai adalah penempatan suku bangsa

Bidayuh iaitu Dayak Darat. Sebenarnya kawasan ini adalah terletak di bawah kuasa

pentadbiran daerah Bau dan berada dalam bahagian pertama iaitu Kuching di negeri Sarawak

(Patrick Rigep Nuek, 2002). Terdapatnya kawasan yang bergunung, berbukit, tanah rata dan

kawasan sawah di tempat tersebut. Gunung Singai terletak bersebelahan dengan Gunung

Serapi yang merupakan salah satu stesen pemancar di negeri Sarawak. Di sebelah selatan

kawasan ini adalah Bandar Raya Kuching, di sebelah timurnya adalah Matang dan di sebelah

3

Page 7: BML 3012-Sejarah Bahasa Melayu (Esei Ilmiah-Bahagian A)

barat pula adalah Lundu. Sungai yang mengalir dari kawasan pergunungan ini melalui Sungai

Kayan yang bersambung ke Sungai Sarawak kanan dan seterusnya sampai di Laut China

Selatan. Pada masa dahulu, kebanyakan orang Bidayuh melibatkan diri dengan aktiviti

pertanian seperti menanam padi, menoreh getah dan menanam lada. Kemudian, akibat

daripada arus pembangunan di bandar Kuching memnyebabkan mereka telah menukar bidang

pekerjaan daripada pertanian kepada kerja di sektor awam dan swasta yang berhampiran.

Tempoh perjalanan dari bandar Kuching ke Singai akan mengambil masa lebih kurang

30 minit manakala masa perjalanan dari pekan Bau ke Singai ialah 15 minit dengan kenderaan.

Gunung Singai dapat dilihat dari jauh terutama apabila anda sudah mendarat di Lapangan

Terbang Antarabangsa Kuching di Sarawak. Gunung ini merupakan salah satu daripada

sambungan yang terdapat pada banjaran Kalimantan. Ketinggian Gunung Singai adalah 1,600

kaki (W. J. Charter, 1994) atau lebih kurang 562 meter di atas paras laut (Patrick Rigep Nuek,

2002). Menurut Patrick Rigep Nuek (2002) menyatakan bahawa terdapat lapan buah kampung

iaitu Giang yang sekarang dipanggil Kampung Tanjung, Daun yang kini masih dikenali

Kampung Daun, Tubon, Saga yang sekarang disebut Kampung Sagah, Sajuong, Moti, Somu

yang juga dipanggil Kampung Atas dan Puot yang kini dikenali sebagai Kampung Segong.

Pada asalnya, Singai merupakan sebuah kampung yang dipanggil sebagai Kampung

Singai. Kemudian Kampung Singai ini telah berpecah kepada lapan buah kampung seperti yang

tersebut di atas tadi. Penempatan perkampungan suku bangsa Bidayuh yang mengelilingi

hampir setengah kawasan pergunungan itu. Wujud perkampungan yang menggunakan rumah

panjang telah dibina di kawasan tanah rata atau di cerun yang agak landai. Walaupun orang

Bidayuh tinggal di rumah panjang, namun mereka menganggapnya sebagai sebuah kampung

walaupun hanya terdapat sebuah rumah panjang di situ. Berdasarkan kepada lapan buah

kampung sebagai satu kumpulan atau kawasan yang digelar “Singai” menyebabkan mereka

menggelarkan diri mereka sebagai “Bisingai”. Pada masa ini, perkataan Bidayuh tidak biasa

digunakan lalu mereka merujuk diri mereka dalam kumpulan yang lebih besar iaitu “Daya”.

Perkataan ini juga biasa digunakan oleh orang ramai secara umum di Sarawak. Apabila

merujuk kepada hubungan mereka dengan kampung dalam kawasan Singai, mereka menyebut

nama kampung itu seperti Bigiang, Bidaun, Bitubon, Bisaga, Bisajuong, Bimoti, Bisomu dan

Bipuot. Begitu juga apabila mereka menggelar bangsa lain seperti orang Cina disebut Bisina,

orang India daripada perkataan Tamil disebut Bitami, orang putih atau Eropah disebut Biputis,

4

Page 8: BML 3012-Sejarah Bahasa Melayu (Esei Ilmiah-Bahagian A)

orang Melayu disebut Kirieng dan orang Iban disebut Sikorang.

Asal-usul suku bangsa atau etnik

Menurut W. J. Charter (1994), cerita tentang Singghi atau Singai adalah kebanyakannya

mengenai tempat perlindungan. Singghi merupakan kawasan yang didiami oleh Dayak Darat

iaitu suku bangsa Bidayuh. Setelah sekian lama orang-orang Dayak Darat selalu diserang oleh

musuh mereka yang lebih ramai bilangannya dan lebih kuat dari segi fizikal iaitu Dayak Laut

bermaksud orang Iban yang datang dari Sungai Saribas. Inilah sebabnya orang-orang Dayak

Darat yang hanya mampu menentang secara kecil-kecilan telah berlindung di atas gunung

Singai mempunyai tepi curam dan rata di puncaknya. Teknik bertahan di puncak mempunyai

kelebihan kerana laluan yang curam dan sempit itu hanya membolehkan pihak musuh mendaki

dalam satu barisan. Oleh kerana keadaan ini sama seperti binaan-binaan kota dalam sejarah

awal Eropah, mereka yang berada di atas hanya membaling batu ke atas musuh yang cuba

naik dan dalam pertarungan satu lawan satu di laluan yang sempit itu maka mereka yang

berada di atas sentiasa mempunyai kelebihan.

Percubaan serangan terakhir yang diketahui tetapi nasib baik gagal yang berlaku tidak

lama setelah ketibaan Rajah pertama iaitu James Brooke pada kira-kira tahun 1840. Pada kali

ini, giliran orang-orang Dayak Skrang (Iban) yang datang ke hulu Sungai Sarawak dengan bot-

bot perang seperti kebiasaan mereka telah dipimpin oleh dua orang ketua yang terkenal iaitu

Bulan dan Mata Hari. Dayak Skrang menganggap bahawa Rajah seorang pemurah dan

sederhana orangnya, mereka meminta kebenaran untuk menyerang orang-orang Dayak

Singghi. Namun Rajah tidak bersetuju dan tidak membenarkan Dayak Skrang menyerang

Dayak Singghi kerana beliau berpendapat bahawa Dayak Singghi tidak pernah menyerang

mereka. Pada ketika itu, Rajah masih belum ditabalkan secara rasmi dan hanya bergelar

sebagai Tuan Besar. Oleh itu, mereka berjumpa dengan Raja Muda Hashim yang masih

menjadi wizurai di Sarawak di bawah naungan Sultan Brunei. Raja Muda Hashim bersetuju

dengan syarat bahawa orang-orang Dayak Skrang akan mengambil kepala manakala orang

Melayu mengambil barangan rampasan termasuk wanita-wanita cantik dan kanak-kanak

sebagai hamba. Hal seperti ini sudah menjadi satu kebiasaan sejak bertahun-tahun.

Walau bagaimanapun, Rajah menghantar beberapa orang utusan untuk menghubungi

dan memberi amaran bahawa sekiranya mereka menyerang orang-orang Dayak Singghi, dia

5

Page 9: BML 3012-Sejarah Bahasa Melayu (Esei Ilmiah-Bahagian A)

akan menyerang rumah-rumah mereka di Sungai Skrang. Maka serangan itu pun dapat

dihalang. Tetapi orang-orang Dayak Singghi sentiasa hidup dalam ketakutan dan terus tinggal

di puncak gunung itu untuk kira-kira seratus tahun selepas ancaman ini. Akhirnya, sekarang

dengan keamanan dan keselamatan di kalangan semua ras dan suku kaum di Sarawak,

kebimbangan lama bahawa mereka akan diserang sudah hilang dan telah meninggalkan kubu

lama mereka dan menetap di kaki gunung Singghi. Menurut laporan yang mutakhir, tempat

perlindungan lama mereka sudah ditinggalkan dan dengan cepat tempat itu telah ditumbuhi

hutan.

Sementara itu mengikut Patrick Rigep Nuek (2002), penempatan asal Kampung Singai

adalah terletak di atas Gunung Singai yang telah wujud sehingga tahun 1963. Kemudian hanya

tinggal beberapa keluarga yang menetap di kampung asal tersebut dan peninggalan rumah

panjang lama itu menjadi usang dan runtuh. Selepas itu, penduduk Bidayuh mula memindahkan

penempatan mereka ke kaki pergunungan tersebut yang bermula seawal tahun 1929 kesan

daripada pembinaan gereja Katolik, penyebaran dan pemelukan agama Kristian oleh penduduk

kampung yang meninggalkan kepercayaan tradisional. Peristiwa ini berlaku semasa dan

selepas Perang Dunia Kedua apabila Sarawak berada di bawah jajahan Jepun kemudiannya di

bawah pentadbiran British iaitu sebelum menyertai Malaysia.

Proses penghijrahan

Pendapat yang menyatakan bahawa asal bangsa dan bahasa Melayu adalah dari Tanah

Besar atau lebih dikenali sebagai Teori Yunan telah diterima umum dan lebih popular. Secara

keseluruhannya, alasan-alasan yang menyokong teori ini adalah penemuan Kapak Tua di Asia

Tengah dan di Kepulauan Melayu menunjukkan adanya proses migrasi penduduk daripada

Asia Tengah ke Kepulauan Melayu; adat resam bangsa Melayu mirip kepada adat resam yang

diamalkan oleh suku Naga di daerah Assam yang terletak berhampiran dengan sempadan India

dengan Myanmar; dan bahasa Melayu adalah serumpun dengan bahasa di Kemboja iaitu

bahasa Cham. Ini mengukuhkan kepercayaan penduduk di Kemboja mungkin berasal daripada

dataran Yunan dengan menyusuri Sungai Mekong. Secara tidak langsung hal ini menunjukkan

pertalian bangsa Melayu dengan bangsa Kemboja dan sekaligus pertaliannya dengan dataran

Asia Tengah atau Yunan.

Berpandukan teori ini, mengatakan orang Melayu datang dari Yunan ke Kepulauan

6

Page 10: BML 3012-Sejarah Bahasa Melayu (Esei Ilmiah-Bahagian A)

Melayu menerusi tiga gelombang yang utama iaitu ditandai dengan perpindahan orang Melayu

Negrito, Melayu Proto dan diikuti Melayu Deutro. Sebelum perpindahan penduduk Asia berlaku,

Kepulauan Melayu iaitu Nusantara ini telah ada penghuninya yang dikenali sebagai penduduk

asli. Ahli sejarah mengandaikan orang Melayu Negrito telah ada sejak tahun 8000 SM di Tanah

Semenanjung. Mereka tinggal di dalam gua dan sumber pencarian mereka adalah berburu

binatang. Alat perburuan mereka diperbuat daripada batu dan zaman ini disebut sebagai

Zaman Batu Pertengahan. Sebagai contoh di Kedah pada tahun 5000 SM iaitu pada Zaman

Paleolit dan Mesolit telah didiami oleh orang Austronesia yang menurunkan orang Negrito,

Sakai dan Semai. Orang Negrito adalah penduduk paling awal di Kepulauan Melayu mengikut

data arkeologi yang ditemui di Gua Cha, Kelantan. Kemudian daripada orang Negrito telah

diperturunkan pula orang Semang yang mempunyai ciri-ciri fizikal berkulit gelap, berambut

kerinting, bermata bundar, berhidung lebar, berbibir penuh dan saiz badan yang pendek.

Penghijrahan orang Melayu Proto ke Kepulauan Melayu dianggarkan berlaku pada

2,500 SM. Mereka mempunyai peradaban yang lebih maju daripada orang Negrito seperti

kemahiran bercucuk tanam. Kedatangan Melayu Deutro menyebabkan kelompok Melayu Proto

berundur ke kawasan pendalaman iaitu memasuki hutan, lembah dan kawasan-kawasan

pergunungan. Walaupun kelompok ini telah melarikan diri ke kawasan pedalaman, namun

kelompok ini masih wujud sehingga kini dan keturunan mereka dikenali sebagai orang asli yang

terdiri daripada orang asli Negrito, Senoi, Jakun dan Temuan. Penempatan Melayu Proto ini

telah terpisah-pisah namun begitu bahasa yang dituturkan oleh mereka telah berkembang dan

melahirkan dialek-dialek dan bahasa yang berlainan.

Penghijrahan orang Melayu Deutro adalah gelombang perpindahan orang Melayu kuno

yang kedua berlaku pada 1,500 SM. Mereka adalah manusia yang hidup di pantai dan

mempunyai kemahiran berlayar. Golongan Melayu Deutro pula dikatakan mempunyai

peradaban lebih tinggi daripada Melayu Proto. Golongan ini mempunyai kemahiran dalam

bidang membina petempatan di pesisiran pantai dan terus menetap serta kemahiran yang tinggi

dalam bidang pelayaran. Kemahiran yang dimiliki ini membolehkan mereka telah membuka

penempatan baru dan seterusnya berkembang di kawasan tersebut.

Encyclopedia Britannica mencatatkan bahawa “bangsa Melayu merupakan kelompok

yang berasal dari Yunan dan telah merantau di antara tahun 2500 S.M. hingga 1500 S.M.

7

Page 11: BML 3012-Sejarah Bahasa Melayu (Esei Ilmiah-Bahagian A)

Mereka bertaburan mendiami dari Malagasi hingga ke pulau Hawaii di lautan Pasifik. Mereka

bertutur dalam pelbagai dialek dari rumpun bahasa Austronesia dalam keluarga bahasa

Melayo-Polynesia”. Di sini jelas membuktikan bahawa sarjana-sarjana barat sendiri telah

mengakui tentang wujudnya bangsa Melayu yang bertaburan di sekitar dua buah lautan yang

besar iaitu lautan Pasifik dan lautan Hindi.

Hubungan dengan rumpun bahasa Melayu

Pengetahuan mengenai asal-usul bangsa Melayu sebagai rumpun bahasa Melayu

diperoleh dari bahan-bahan peninggalan purbakala. Maka dengan itu, orang-orang Melayu dan

orang-orang yang seketurunan dengannya di seluruh Kepulauan Melayu dikatakan berasal dari

Tanah Besar Asia (Asmah Haji Omar, 1985). Alat-alat yang mereka gunakan seperti kapak dan

gendang tembaga pernah ditemui di gua-gua di Semenanjung dan di Sungai Tembeling di

Pahang telah memperlihatkan persamaan peralatan yang terdapat di Tonkin di negeri China,

Jawa dan Bali. Gendang-gendang yang ditemui di Tonkin menunjukkan lukisan perahu yang

sama dengan perahu yang digunakan oleh suku-suku bangsa di Borneo dalam upacara

kematian. Sementara pada gendang-gendang itu terdapat lukisan orang menumbuk padi atau

meniup alat muzik seperti seruling yang sama dengan alat muzik orang Dayak.

Perpindahan bangsa Melayu dari daratan Asia itu berlaku secara berperingkat-

peringkat. Peninggalan-peninggalan purbakala yang dijumpai itu ada yang berasa dari budaya

palaeolit, mesolit dan neolit. H. Kern, seorang sarjana Belanda berpendapat bahawa

perpindahan itu bermula kira-kira 1500 tahun sebelum Masihi. Kepercayaan dan adat

kebiasaan juga dapat menunjukkan arah gerak perpindahan dan perkaitan antara suku-suku

bangsa di seluruh kepulauan yang dikenali sebagai kepulauan Melayu itu. Kepercayaan dan

adat-adat kebiasaan itu juga boleh dikaitkan kepada kepercayaan dan adat yang terdapat di

dataran Asia. Suku-suku bangsa dalam rumpun Melayu ini juga percaya pada petanda-petanda

baik dan buruk dari binatang seperti burung, ular dan rusa serta bunyi binatang tersebut. Adat-

adat dalam menyambut anak yang baru lahir, kematian dan menanam padi serta rentak irama

dalam tarian menunjukkan persamaan-persamaan dari suku bangsa ke suku bangsa.

Bukti-bukti kebahasaan juga boleh mengaitkan suku-suku bangsa yang dikatakan

termasuk dalam rumpun yang sama. Walaupun bahasa-bahasa yang dituturkan oleh suku-suku

bangsa di kawasan bukit iaitu orang Bidayuh di Sarawak ini berlainan dengan bahasa Melayu

8

Page 12: BML 3012-Sejarah Bahasa Melayu (Esei Ilmiah-Bahagian A)

sekarang ini dan berlainan dengan bahasa-bahasa lain yang kawasannya membentang dari

Madagaskar ke Kepulauan Easter dan dari Taiwan (Farmosa) ke New Zealand yang

keseluruhannya dikenal sebagai kawasan Austronesia. Terdapat persamaan-persamaan

terutama sekali dalam perbendaharaan kata dan menurut pola-pola tertentu yang berlaku

secara teratur itu tidak mungkin wujud dari pinjaman. Tidak ada penjelasan lain tentang

persamaan-persamaan itu selain daripada asal-usul yang sama. Dalam perkataan lain, bahasa-

bahasa yang berkenaan itu berasal dari sumber yang sama iaitu sekarang dikenal sebagai

bahasa Austronesia Purba.

Mengikut Ismail Hussein (1998) ketiga-tiga rumpun bahasa iaitu Bahasa Austronesia,

Bahasa Tibet Cina dan Bahasa Austroasia menguasai lebih separuh daripada bahasa benua

Asia. Filum bahasa ini merupakan bahasa yang awal berdasarkan kebudayaan Dongson di

Yunan. Ensiklopedia Bahasa Utama Dunia (1998), menjelaskan istilah “Austronesia” terbentuk

daripada unsur formatif bahasa Yunani yang bermaksud “pulau-pulau selatan”. Jumlah bahasa

dalam keluarga bahasa ini dianggarkan dalam lingkungan 500 hingga 1000 bahasa.

“Austronesia” meliputi Madagaskar, Indonesia, Filipina, Farmosa dan kelompok pulau

Melanesia, Mikronesia dan Polinesia di Pasifik. Dari segi geografi, secara mudah Austronesia

merentasi kira-kira 130 garis bujur timur, satu garis yang melalui barat Pulau-pulau Caroline dan

New Guinea. Kawasan barat mempunyai 300 bahasa dengan jumlah penutur lebih 170 juta

orang. Bahasa yang terdapat dalam rumpun bahasa Austronesia seperti bahasa Jawa dengan

bilangan penuturnya 60 juta orang, bahasa Melayu, bahasa Aceh, Batak, Minangkabau di

Sumatera, bahasa Sunda di Jawa Barat, bahasa Madura, Bali, Sasak di pulau-pulau timur

Jawa, bahasa Iban, bahasa Ngadju, bahasa Madagaskar dan bahasa Bugis di Sulawesi.

Mengikut Asmah Haji Omar (1988), istilah “Austronesia” untuk rumpun bahasa Melayu

pertama kali digunakan oleh sarjana linguistik bandingan iaitu Wilhem Schamidt. Beliau

menyimpulkan bahawa bahasa-bahasa itu satu ketika dahulu berasal dari satu sumber yang

sama tetapi perkaitan kekeluargaan itu disusur-galurkan kepada jarak masa yang lama iaitu

5,000 tahun ke atas. Sumber yang menurun bahasa-bahasa di daratan dan pulau-pulau diberi

nama Filum Austrik. Istilah ini merujuk kepada kelompok bahasa yang lama waktunya 5,000

atau lebih. Filum Austrik dipecahkan kepada dua cabang iaitu rumpun Austronesia dan rumpun

Austroasia. Istilah “Austronesia” dibentuk dari unsur Latin austru dan unsur Yunani nesos iaitu

“pulau” dengan itu “Austronesia” bermaksud “pulau-pulau selatan”. Walaupun bahasa Melayu

9

Page 13: BML 3012-Sejarah Bahasa Melayu (Esei Ilmiah-Bahagian A)

bukan sebuah tetapi bahasa Melayu dan bahasa bangsa asli iaitu Jakun dan Temuan

digolongkan dalam bahasa Austronesia. Sebelum istilah Austronesia digunakan, Austronesia

dikenali sebagai Malayu-Polinesia. Istilah ini telah dicipta oleh Wilhelm Von Humboldt.

Perhubungan ketiga-tiga rumpun bahasa dalam filum bahasa Austrik ialah rumpun

bahasa Austronesia, rumpun bahasa Tibet dan rumpun bahasa Austroasia. Rumpun bahasa

Austronesia terdiri daripada empat keluarga iaitu bahasa-bahasa Nusantara (Kepulauan

Melayu), Polinesia, Melanesia dan Mikronesia. Semua rumpun bahasa Austronesia mempunyai

persamaan dan kelainan yang terdapat dalam kalangan keluarga bahasa ini berdasarkan

sistem bunyi, pembentukan kata, perbendaharaan kata dan pembentukan ayat. Cabang bahasa

Nusantara dipercayai mempunyai jumlah bahasa yang paling banyak iaitu kira-kira 200-300

bahasa. Keluarga bahasa Nusantara atau keperluan Melayu dibahagikan kepada kelompok-

kelompok dan setiap kelompok boleh dibahagikan lagi kepada beberapa bahagian mengikut

kawasan. Bagi memudahkan penelitian, keluarga bahasa Nusantara dibahagikan mengikut

daerah dan pulau iaitu Sumatera, Jawa, Kalimantan, Sulawesi, Filipina, Nusa Tenggara,

Maluku, Madagaskar dan Tanah besar Asia Tenggara. Kelompok Kalimantan atau Borneo

terdapat pelbagai jenis bahasa yang tersebar luas di pelbagai daerah dari Kalimantan Indonesia

hingga ke Sarawak, Sabah dan negara Brunei. Kelompok bahasa Kalimantan terdiri daripada

Melayu, Dayak, Melanau, Bisaya, Murut, Dusun, Bajau, Sulu, Tidung, Basap, Labu, Kenyah dan

Kayan. Bahasa Dayak mempunyai beberapa jenis seperti Iban, Bidayuh, Kedayan, Mualang,

Ambawang, Selakau dan lain-lain.

Perkaitan atau persamaan dengan bahasa Melayu

Bahasa-bahasa bumiputera di Malaysia khususnya di negeri Sarawak telah

memperlihatkan perkaitan yang erat antara satu sama lain. Persamaan yang sangat ketara dan

sangat dekat kelihatan pada ganti nama diri, kata bilangan, nama anggota tubuh dan nama

kekeluargaan. Sebagai contoh, sila lihat senarai nama anggota tubuh badan yang mempunyai

perkaitan di antara bahasa Bidayuh dengan bahasa Melayu seperti di bawah ini:

Nama anggota tubuh dalam Bahasa Melayu Bahasa Bidayuh (Singai)

Kepala Bak

Badan Gonan

10

Page 14: BML 3012-Sejarah Bahasa Melayu (Esei Ilmiah-Bahagian A)

Perut Toin

Tangan Tongan

Kaki Peen

Rambut Buok

Mata Boten

Telinga Kojit

Mulut Boba

Hidung Nung

Gigi Jupen

Lidah Jola

Kerongkong Gaguong

Jari Trinyu

Kuku Silun

Siku Siku

Paha Kupang

Betis Tigieng

Lutut Koluob

Pinggang Kupuong

Punggung Rubat

Perkaitan kata bilangan dalam bahasa Bidayuh (Singai) di Sarawak dengan bahasa

Melayu adalah seperti berikut:

11

Page 15: BML 3012-Sejarah Bahasa Melayu (Esei Ilmiah-Bahagian A)

Kata bilangan dalam Bahasa Melayu Bahasa Bidayuh (Singai)

Sifar atau kosong Kosong

Satu Ni

Dua Dueh

Tiga Taruh

Empat Pat

Lima Limuh

Enam Nuom

Tujuh Ju

Lapan Moih

Sembilan Prii

Sepuluh Smuung

Sebelas Smuung ni

Dua belas Smuung dueh

Tiga belas Smuung taruh

Empat belas Smuung pat

Lima belas Smuung limuh

Enam belas Smuung nuom

Tujuh belas Smuung ju

Lapan belas Smuung moih

Sembilan belas Smuung prii

12

Page 16: BML 3012-Sejarah Bahasa Melayu (Esei Ilmiah-Bahagian A)

Dua puluh Dueh pulu

Seratus Siratus

Seribu Siribu

Sejuta Sijuta

Persamaan dari segi penjodoh bilangan di antara bahasa Melayu dengan bahasa

Bidayuh (Singai) adalah seperti berikut:

Penjodoh bilangan dalam Bahasa Melayu Bahasa Bidayuh (Singai)

Sebaris Ni baris

Sebakul Ni bakul

Sebatang Ni botang

Sebiji Ni kiruang

Sebotol Ni bokam

Sebuah Ni buan

Sebungkus Ni muos

Seekar Ni ikar

Seekor Ni pereng

Segulung Ni gulung

Segenggam Ni gaguom

Semangkuk Ni makuok

Seorang Ni urang

Sepintu Ni tiban

Sepohon Ni puun

13

Page 17: BML 3012-Sejarah Bahasa Melayu (Esei Ilmiah-Bahagian A)

Seraga Ni raga

Seruas Ni ruas

Sesenduk Ni sonuk

Setitik Ni tatieg

Setingkat Ni tikat

Sementara persamaan dari segi kata nama dan nama kekeluargaan di antara bahasa

Melayu dengan bahasa Bidayuh (Singai) adalah seperti di bawah ini:

Kata nama dan nama kekeluargaan Bahasa Bidayuh (Singai)

Aku Oku

Awak Muu

Dia Yeh

Kami Koih

Kamu Ingan

Kita Otto

Mereka Nyaa de munu

Adik Sudik

Abang Sikie de dari

Kakak Sikie de dayung

Emak Sine

Bapa Samak

Nenek Sumuk

Datuk Babai

14

Page 18: BML 3012-Sejarah Bahasa Melayu (Esei Ilmiah-Bahagian A)

Pakcik Soma

Makcik Noyung

Cucu Sukun

Sepupu Sinoken

Anak buah Onak buah

Rumusan

Di Malaysia pengertian “Melayu” mempunyai implikasi keagamaan Islam sebab dalam

Perlembagaan, orang Melayu ditakrifkan sebagai orang yang bertutur dalam bahasa Melayu,

menganut agama Islam dan mengamalkan cara hidup Melayu. Jika dilihat dari sudut yang lebih

luas, takrifan “Melayu” itu telah menjadikan suku bangsa Melayu sebagai satu “sistem terbuka”

bermaksud sesiapa sahaja dapat menjadi ahli suku bangsa Melayu asalkan dia memenuhi

keperluan-keperluan dalam takrifan itu. Ungkapan “masuk Melayu” dapat menggambarkan

konsep ini seperti suku bangsa lain yang memeluk agama Islam. “Sistem terbuka” juga

diterapkan di Sarawak terutama di kalangan kaum bumiputera yang terdiri dari pelbagai suku

bangsa dan agama. Apabila seseorang dari suku bangsa lain memeluk agama Islam maka dia

dikenal sebagai orang Melayu. Di samping itu, di Sarawak terdapat suku-suku bangsa tertentu

yang dikenal sebagai suku bangsa Melayu kerana ahli-ahlinya menganut agama Islam. Di

Sarawak juga, suku bangsa Narom yang sebenarnya ahli dari subkeluarga Kenyah dikenal

sebagai orang Melayu sedangkan orang-orang Kenyah lainnya menganut agama lain dan tidak

dirujuk sebagai “Melayu”.

Berdasarkan huraian dan perbincangan di atas itu, jelaslah kepada kita bahawa bahasa-

bahasa yang berkenaan mempunyai persamaan dan juga perbezaan antara satu sama lain.

Menurut ciri-ciri bahasanya, kita boleh membuat kesimpulan bahawa bahasa-bahasa tersebut

dalam beberapa subkelompok. Ciri-ciri bahasa menunjukkan perkaitan yang erat antara bahasa

Bidayuh dengan bahasa Melayu yang melebihi perkaitan kedua-dua bahasa ini dengan bahasa-

bahasa lainnya. Demikianlah juga perkaitan antara bahasa Bidayuh Singai dengan bahasa Bau

Jagoi, bahasa Biatah dan bahasa Bukal Sadong atau Bidayuh Serian. Pemecahan kepada

subkelompok-subkelompok memberi kemungkinan kemasukan beberapa lagi anggota bagi tiap-

15

Page 19: BML 3012-Sejarah Bahasa Melayu (Esei Ilmiah-Bahagian A)

tiap subkelompok seperti bahasa Selakau yang termasuk dalam subkelompok bahasa Bidayuh.

Subkelompok-subkelompok Melayu, Bidayuh, Kelabit dan Kenyah juga boleh ditambah

anggota-anggotanya.

Pengkelompokan seperti di atas menunjukkan bahawa bahasa Melayu dan bahasa

Bidayuh memasuki subkelompok yang berbeza. Perkara ini nampak menyimpang sedikit dari

apa yang tergambar dalam tulisan-tulisan ahli-ahli kebudayaan orang-orang ini. Biasanya

tulisan-tulisan menyatukan kedua-dua subkelompok ini semata-mata mengikut ciri-ciri budaya

mereka. Bagaimanapun, ciri-ciri bahasa menunjukkan bahawa perkaitan antara bahasa

Bidayuh dengan bahasa Melayu hampir sama darjatnya dengan perkaitan antara mana-mana

satu di antara keduanya dengan bahasa Iban, Kayan, Kenyah, Melanau, Kelabit dan

sebagainya.

Saya berpendapat bahawa ciri-ciri bahasa lebih asas dalam penentuan subkelompok

dibandingkan dengan ciri-ciri kebudayaan. Ini disebabkan pengambil-alihan sesuatu bahasa

asing dan penguasaannya itu lebih sukar dicapai dibandingkan dengan pengambil-alihan cara

hidup dan ciri-ciri kebudayaan. Dalam hubungan ini kita boleh membuat kesimpulan bahawa

antara orang-orang Melayu dan orang-orang Bidayuh terdapat saling pinjam meminjam ciri-ciri

kebudayaan dan kehidupan kemasyarakatan secara menyeluruh. Hal ini tidak menghairankan

disebabkan kawasan kediaman mereka yang sama dan letaknya rumah-rumah mereka yang

berdekatan atau di dalam satu negara iaitu dengan satu slogan “Satu Malaysia” dan “Satu

Bahasa Satu Bangsa” di mana Bahasa Malaysia sebagai bahasa kebangsaan di negara kita.

16

Page 20: BML 3012-Sejarah Bahasa Melayu (Esei Ilmiah-Bahagian A)

Rujukan

Asmah Haji Omar (1998). Susur galur bahasa Melayu. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan

Pustaka.

Azhar Wahid dan Razali Ayob (2011). Sejarah Bahasa Melayu. Perak Darul Ridzuan : Universiti

Pendidikan Sultan Idris.

Ensiklopedia Bahasa Utama Dunia. (1998). Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka.

Ismail Hussein (1966). Sejarah pertumbuhan bahasa kebangsaan kita. Kuala Lumpur : Dewan

Bahasa dan Pustaka.

Nik Safiah Karim et.al, (2004). Tatabahasa Dewan: edisi semakan. Kuala Lumpur : Dewan

Bahasa dan Pustaka.

Patrick Rigep Nuek (2002). A Dayak Bidayuh Community:Rituals, Ceremonies & Festivals.

Sarawak : Lee Miing Press Sdn. Bhd.

W. J. Charter (1994). Sarawak Zaman Dahulu. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka.