assignment 1 -pengenalan

Upload: nurul-nadia

Post on 18-Jul-2015

7.804 views

Category:

Documents


0 download

TRANSCRIPT

PENDAHULUANNegara kita Malaysia terkenal di mata dunia sebagai sebuah negara yang sedang pesat membangun. Kejayaannya bukan sekadar menangani isu-isu tempatan, bahkan ia turut terlibat dalam menangani permasalahan yang menimpa dan dialami oleh masyarakat antarabangsa. Malaysia turut dikenali sebagai sebuah Negara Islam yang unik. Penduduknya berbilang bangsa dan kaum serta mempunyai kepercayaan dan pegangan agama yang berbeza. Majoriti terbesar warganya terdiri dari kaum Melayu beragama Islam. Bumi Malaysia adalah tanah asal tempat tumpah darah mereka. Walaupun rakyatnya berbilang etnik dan bangsa, tetapi mereka dapat hidup aman dan damai, tidak seperti penduduk di negara-negara lain yang tidak sunyi dengan perbalahan, pertikaian dan permusuhan sedangkan mereka terdiri dari bangsa, keturunan dan kepercayaan yang sama. Kehidupan rakyat negara ini pernah diuji. Keharmonian hidup mereka tidak bertahan lama kerana dicemburui banyak pihak. Beberapa kawasannya telah diserang dan dijajah oleh pelbagai kuasa seperti Portugis, Belanda, Siam, Jepun, dan Inggeris. Segala bentuk, rupa dan rasa keperitan dan kesukaran telah dilalui oleh ramai pemastautin tempatan apabila mereka cuba menentang penjajahan asing demi memelihara tanah air tercinta. Begitu juga semasa mereka berada di bawah cengkaman kuasa asing. Pada tahun 1948, seorang pakar astropologi, J.S Funival pernah menulis dan menghuraikan pandangan beliau berhubung masyarakat majmuk. Definisi masyarakat majmuk mengikut Furnival merujuk kepada pelbagai jenis manusia yang bercampur tetapi tidak bersatu. Mereka hidup berdekatan tetapi terpisah dalam sistem politik yang sama. Masing-masing berpegang kepada kebudayaan, agama, bahasa, idea dan kaedah sendiri. Mereka berinteraksi secara minima dalam urusan tertentu seperti di pasar tetapi kemudian balik ke kelompok masing-masing. Pekerjaan juga dibahagikan mengikut garis perkauman. Masyarakat majmuk di Malaysia terjadi secara tidak sengaja. Pada awal abad ke-19, lebih 90% penduduk di Tanah Melayu adalah Melayu. Namun pada pertengahan abad ke-19, penghijrahan masuk kaum Cina dan India secara beramai-ramai ekoran dasar liberal Inggeris telah mengubah struktur kependudukan asal Tanah Melayu. Masyarakat majmuk di Malaysia terdiri dari pelbagai etnik yang dikategorikan mengikut cara hidup, pola penempatan, pekerjaan dan pendidikan. Penonjolan kelompok etnik juga boleh dikenalpasti kepada wilayah-wilayah tertentu: i. Semenanjung = Melayu, Cina dan India ii. Sarawak = Dayak Iban, Melayu, Dayak Bidayuh, Dayak Ulu, Melayu-Melanau, Cina iii. Sabah = Kadazan, Dusun Cina & Melayu

KONSEP PERPADUAN DAN INTEGRASI Perpaduan dapat diertikan sebagai hubungan erat bersifat toleransi yang diwujudkan secara sengaja dalam kalangan kaum dan etnik yang berbeza untuk mencapai matlamat bersama secara jujur dan ikhlas. Dalam kata lain perpaduan adalah proses menyatupadukan seluruh masyarakat untuk membentuk satu identiti dan nilai bersama serta perasaan cinta dan banggakan negara. Integrasi dirujuk kepada proses penyatuan masyarakat berbilang kaum, daerah dan wilayah tempat tinggal, budaya, adat resam, cara hidup, latar belakang, kepercayaan dan pegangan agama yang berlainan untuk menjadi satu entiti yang terikat oleh norma dan nilai murni masyarakat sejagat demi mencapai tujuan dan kepentingan bersama secara adil dan saksama. Perpaduan dan integrasi juga boleh didefinisikan sebagai Satu proses bagi mewujudkan identiti nasional di kalangan kumpulan yang terpisah dari segi kebudayaan, sosial dan lokasi dalam sesebuah unit politik. Perpaduan amat mustahak untuk mengekalkan keharmonian dan kedamaian di sesebuah negara. Negara yang aman dan damai dapat menjamin kebahagiaan dan keselamatan rakyatnya. Negara yang mengamalkan perpaduan dapat mencapai kemajuan dengan mudah serta tidak mudah ditakluki kuasa asing. Dan ini dibuktikan oleh pendapat Tun Abdul Razak iaitu; Perpaduan dan integrasi penting supaya tenaga negara dapat disalurkan untuk memajukan negara daripada digunakan untuk menyelesaikan masalah yang wujud daripada kepelbagaian tersebut Pelbagai proses yang dikaitkan dengan konsep perpaduan dan integrasi seperti proses asimilasi, amalgamasi dan pluralisme. a) Asimilasi proses perpaduan satu hala yang akan menghasilkan kelompok dengan satu budaya, satu bahasa da satu agama. b) Amalgamasi proses perpaduan yang melibatkan percantuman biologi (perkahwinan campur) yang akan membentuk kelompok baru dengan budaya baru. c) Pluralisme proses perpaduan yang membenarkan setiap kelompok yang terlibat mengekalkan budaya masing-masing di samping membentuk perpaduan.