prosiding kt - kak nor

Upload: cikgu-nor-ummu-iman

Post on 06-Jan-2016

230 views

Category:

Documents


0 download

DESCRIPTION

Kajian Tindakan

TRANSCRIPT

PENGGUNAAN KAEDAH KASIFIK DALAM OPERASI DARAB NOMBOR DUA DIGIT DAN TIGA DIGIT DENGAN NOMBOR SATU DIGIT DENGAN MENGUMPUL SEMULA BAGI MURID BERKEPERLUAN KHASSK RANTAU PANJANG

Oleh:NOR SHAKIAH BINTI HUSSAINInstitut Pendidikan Guru Malaysia

ABSTRAKOperasi Darab merupakan salah satu kemahiran asas matematik. Kemahiran ini penting dan perlu dikuasai oleh murid. Sekiranya kemahiran ini tidak dikuasai oleh murid-murid di peringkat sekolah rendah, murid akan menghadapi masalah dalam penguasaan kemahiran-kemahiran matematik yang lain pada peringkat yang lebih tinggi. Kajian ini dijalankan bertujuan untuk membantu murid pendidikan khas meningkatkan kemahiran menyelesaikan soalan pendaraban. Kaedah baru telah digunakan yang diberi nama kaedah KASIFIK. Di samping itu, kajian ini juga dapat memastikan bahawa dengan penggunaan kaedah yang sesuai, murid masih mampu menyelesaikan soalan pendaraban walaupun murid tidak menghafal sifir darab. Kajian ini menggunakan instrumen ujian pra, ujian pos, pemerhatian, soal selidik dan menggunakan kaedah KASIFIK sebagai kaedah rawatan. Ujian pra dibuat untuk mengenalpasti kelemahan murid dalam menguasai sifir darab. Ujian pos pula digunakan untuk menentukan tahap kemajuan murid dalam menguasai sifir darab selepas kaedah rawatan dijalankan. Kajian mendapati penggunaan kaedah KASIFIK telah dapat meningkatkan kemahiran responden kajian dalam menyelesaikan soalan melibatkan operasi darab.

Kata Kunci : Operasi darab, murid pendidikan khas, kad sifirLATAR BELAKANG KAJIANKanak-kanak berkeperluan khas merupakan kumpulan kanak-kanak yang mengalami ketidaknormalan sama ada dari segi fizikal, mental, emosi atau tingkah laku. Mereka merupakan kumpulan kanak-kanak yang telah dikenal pasti dan disahkan oleh pakar-pakar professional klinikal sebagai mengalami kecacatan yang mengganggu proses pembelajaran. Matematik adalah satu mata pelajaran yang diwajibkan ke atas setiap pelajar bermula daripada usia pembelajaran di tadika hinggalah ke sekolah menengah. Bagi murid berkeperluan khas, Matematik merupakan satu mata pelajaran yang sukar. Melalui kajian yang telah pengkaji jalankan di sebuah sekolah, pengkaji dapati terdapat dua murid dari kelas Pendidikan Khas yang mempunyai kemahiran asas Matematik yang baik tetapi gagal menyempurnakan soalan melibatkan operasi darab. Oleh itu pengkaji telah menjalankan kajian yang menggunakan kaedah KASIFIK bagi membantu kedua-dua murid tersebut menyelesaikan soalan yang melibatkan operasi darab antara dua nombor.

Tinjauan LiteraturDi Malaysia dan di seluruh dunia, matematik telah dikenal pasti sebagai satu mata pelajaran yang penting dan oleh kerana itu, ia diajar di semua peringkat pendidikan. Namun, matematik terkenal sebagai mata pelajaran yang tidak menarik, kering, sukar dan membosankan jika dibandingkan dengan mata pelajaran lain seperti bahasa, sastera, latihan fizikal (Aplin dan Saunders,1996; Lee dan Cockman, 1995) dan juga sains (Allchin, 1999; Proctor, 1991). Matematik dianggap sebagai satu subjek yang susah serta membosankan. Keberkesanan kaedah petak sifir adalah selari dengan teori yang dikemukakan oleh Skemp (1971), yang menyatakan untuk mempelajari matematik murid itu haruslah mempunyai kebolehan membina idea-idea yang abstrak. Jadi kaedah ini adalah mengubah cara iaitu dari bentuk hafalan kepada bentuk pembinaan sifir. Ini juga disokong oleh David P. Asubel dari Amerika Syarikat yang menggunakan kaedah pembelajaran resepi yang didapati lebih berkesan daripada kaedah inkuari. Kaedah resepi adalah kaedah membina sendiri sesuatu konsep ataupun idea. Kajian oleh Harries dan Bramby (2008) berpendapat bahawa perwakilan konsep darab dengan cara susunan adalah lebih baik berbanding dengan perwakilan lain. Hal ini kerana cara susunan dapat menunjukkan sifat komutatif operasi darab, manakala konsep yang lain seperti garis nombor, set atau kumpulan dan nisbah tidak dapat menunjukkan sifat tersebut dengan jelas. Zainudin Bin Abu Bakar dan Mohd. Rashidi Bin Mat Jalil (2007) dalam kajian mereka membincangkan tahap penguasaan fakta asas darab dapat dikuasai oleh pelajar jika kaedah Petak Sifir diperkenalkan berbanding dengan kaedah tradisional yang hanya menekankan kepada kaedah hafalan sifir matematik.

Fokus KajianKajian ini berfokus kepada murid-murid pendidikan khas yang menghadapi masalah untuk menghafal sifir darab seterusnya gagal menyelesaikan soalan yang melibatkan operasi darab. Dalam kajian ini, pengkaji memfokuskan kepada kemahiran mendarab bagi nombor hingga 3 digit dengan nombor 1 digit dalam bentuk lazim. Teori pendekatan konstruktivisme telah menarik minat pengkaji untuk diaplikasikan dalam kajian yang dijalankan. Konstruktivisme merupakan satu teori mengenai pengetahuan dan pembelajaran yang menarik minat, memotivasikan serta memudahkan pemahaman pelajar. Dengan menggunakan pendekatan konstruktivisme dan penekanan kepada penghasilan pola grafik, kajian ini akan berfokuskan kepada satu teknik rawatan iaitu pembinaan petak sifir bergrafik mengikut pola yang ditetapkan berdasarkan sifir darab yang hendak digunakan. Teknik ini diterjemahkan dalam bentuk kad kecil yang diberi nama Kad Sifir Grafik (KASIFIK). Objektif KajianKajian ini dijalankan untuk mencuba menjawab beberapa objektif di bawah:i. Meningkatkan kemahiran murid dalam menyelesaikan soalan operasi darab bagi nombor dua digit dengan nombor satu digit dengan mengumpul semula menggunakan Teknik KASIFIK dalam bentuk lazim.ii. Meningkatkan kemahiran murid dalam menyelesaikan soalan operasi darab bagi nombor tiga digit dengan nombor satu digit dengan mengumpul semula menggunakan Teknik KASIFIK dalam bentuk lazim.

METODOLOGI KAJIANPengumpulan DataKajian yang dilakukan memerlukan data yang tepat dan berkaitan secara langsung dengan tajuk dan persoalan kajian yang dijalankan. Untuk memperoleh data tersebut, perlulah menggunakan alat ukur ataupun instrumen kajian yang sesuai. Dalam kajian ini, pengkaji menggunakan pemerhatian, ujian pencapaian iaitu ujian pra dan ujian pos serta soal selidik sebagai alat ukur bagi memperoleh data kajian.

Analisis DataPengkaji menganalisis data yang dikumpulkan selepas responden menggunakan kaedah KASIFIK untuk menyelesaikan soalan yang melibatkan operasi darab. Data dari ujian pra dan pos dianalisis menggunakan jadual dan graf. Bagi melihat perbezaan pencapaian peratus penguasaan subjek menyebut perkataan pengkaji menggunakan jadual graf bar.

TINDAKAN YANG DIJALANKAN1. MerancangLangkah merancang melibatkan pemilihan 2 orang murid daripada kumpulan sasaran yang terdiri daripada murid Pendidikan Khas Bermasalah Pembelajaran. Pemilihan murid kumpulan sasaran adalah berdasarkan tinjauan masalah yang telah dijalankan. Saya menggunakan teknik Kad Sifir Grafik (KASIFIK) yang merupakan pembinaan pola grafik di dalam kad sifir bagi mewakili sifir 1 hingga sifir 9. Melalui kad sifir yang dihasilkan, akan membantu murid untuk menyelesaikan soalan yang melibatkan operasi darab dengan lebih mudah tanpa memerlukan mereka menghafal sifir. Seterusnya hasil daripada penggunaan teknik ini, diharapkan dapat meningkatkan kemahiran menyelesaikan operasi darab di kalangan responden walaupun mereka tidak menghafal sifir darab. Ujian pra dan pos akan dijalankan bagi melihat tahap pencapaian murid dalam menyelesaikan soalan yang berkaitan.

2. Bertindak dan MemerhatiBerdasarkan perancangan yang telah dibuat, sebelum memulakan kaedah KASIFIK, responden diberi satu set ujian pos secara bertulis melibatkan 10 soalan operasi darab sebarang nombor dengan nombor satu digit dengan / tanpa mengumpul semula. Pemerhatian akan dibuat semasa responden megikuti ujian ini. Butiran pemerhatian adalah berdasarkan senarai semak yang telah disediakan. Selepas itu, sesi pengajaran dan pembelajaran menggunakan KASIFIK mula dilaksanakan. Pada minggu pertama, responden diperkenalkan kepada KASIFIK dan dibimbing untuk membina KASIFIK mengikut setiap sifir darab bermula sifir dua hingga 9. Pada minggu kedua, responden akan diberikan beberapa soalan latihan pendaraban dan mengaplikasikan penggunaan teknik KASIFIK semasa menyelesaikan soalan latihan yang diberi. Selepas seminggu menyelesaikan latihan pendaraban dengan menggunakan teknik KASIFIK, responden diberikan pulan set Ujian Pos bagi melihat sejauh mana keberkesanan kaedah rawatan yang dijalankan mampu membantu responden menyelesaikan soalan yang melibatkan operasi darab.

3. MereflekLangkah mereflek penting dalam menilai keberkesanan sesuatu kaedah rawatan yang digunakan. Dalam langkah ini pengkaji akan melihat kembali keputusan-keputusan yang telah dianalisis. Saya juga akan menyatakan implikasi kajian terhadap murid dengan menyatakan perubahan-perubahan yang telah berlaku. Kesimpulan dan rumusan dapatan akan dibincangkan dalam bahagian akhir bagi merumuskan hasil keseluruhan dapatan

DAPATAN KAJIAN

Analisa Perbandingan Pencapaian Ujian Pra dan Ujian Pos

Analisis Perbandingan Keputusan Ujian Pra dan Ujian Pos

Graf Analisis Perbandingan Keputusan Ujian Pra dan Ujian PosJadual dan graf menunjukkan perbezaan pencapaian markah untuk kedua-dua responden dalam Ujian Pra dan Ujian Pos. Kedua-dua responden menunjukkan peningkatan yang ketara dalam ujian yang dijalankan. Responden M1 memberi gambaran yang positif terhadap penggunaan teknik KASIFIK berdasarkan markah yang telah diperoleh. Jika dalam ujian pra, responden M1 hanya sekadar memperoleh markah 20%, namun peningkatan sebanyak 70% telah dicapai apabila memperoleh markah 90% dalam Ujian Pos yang diikuti. Manakala bagi responden M2, pencapaian 20% semasa Ujian Pra telah meningkat sebanyak 80% apabila berjaya menjawab kesemua soalan dengan betul yang membawa markah penuh 100% dalam Ujian Pos. Daripada analisis ini, ia dapat menunjukkan bahawa penggunaan kaedah rawatan menggunakan teknik KASIFIK amat membantu meningkatkan pemahaman dan kemahiran responden dalam menjawab soalan melibatkan operasi darab dengan mengumpul semula. Ia juga dapat menyediakan satu asas yang kuat untuk meningkatkan keyakinan murid dalam menyelesaikan soalan berkaitan operasi darab.

Analisa Data Soal Selidik

Analisa data soal selidik tentang keberkesanan teknik KASIFIK

Berdasarkan jadual di atas, data soal selidik yang dibuat ke atas kedua-dua responden memberikan gambaran yang baik tentang penggunaan teknik KASIFIK dalam menyelesaikan soalan pendaraban. Secara keseluruhan, kedua-dua responden memberi jawapan yang positif terhadap penggunaan teknik KASIFIK. Walaupun salah seorang responden tidak meminati mata pelajaran Matematik, namun memberi respon yang positif terhadap soal selidik yang dijalankan.

KESIMPULANHasil kajian yang telah dijalankan juga menunjukkan pencapaian prestasi responden meningkat dalam ujian pos berbanding dengan keputusan dalam ujian pra. Minat dan sikap responden terhadap mata pelajaran matematik juga meningkat berdasarkan soal selidik yang telah dianalisis. kajian tindakan yang pengkaji jalankan ini telah berjaya meningkatkan penguasaan kedua-dua pelajar dalam kemahiran mendarab. Berdasarkan carta dan jadual analisis yang ditunjukkan, pengkaji telah berjaya membuktikan bahawa penggunaan teknik KASIFIK dalam sesi pengajaran dan pembelajaran di dalam bilik darjah dalam kajian ini telah dapat dilaksanakan dengan jayanya. Ini dapat dibuktikan dengan peningkatan dalam peratusan ujian yang telah dijalankan di antara dua ujian iaitu Ujian Pra dan Ujian Pos. Aktiviti-aktiviti yang dijalankan dapat membina keyakinan diri yang tinggi dalam diri pelajar. Secara tidak langsung aktiviti tersebut dapat menimbulkan minat murid terhadap mata pelajaran matematik dan memberikan keyakinan yang tinggi kepada mereka dalam menjawab soalan pendaraban.Prestasi pelajar yang telah mengikuti program ini menunjukkan peningkatan yang ketara. Program ini berjaya menarik minat pelajar untuk mempelajari matematik yang mana sebelum ini pelajar beranggapan bahawa matematik adalah sukar dan membebankan mereka. Pengkaji berpendapat bahawa, guru-guru yang mengajar matematik seharusnya mahir dan dapat menggunakan kaedah yang sesuai dalam pengajaran mereka. Ini adalah kerana dalam kehidupan harian, seseorang itu tidak akan terlepas daripada menggunakan matematik sama ada secara langsung ataupun tidak.

CADANGAN KAJIAN LANJUTANBerdasarkan dapatan kajian yang dijalankan, beberapa cadangan telah dibuat untuk melihat keberkesanan penggunaannya di semua peringkat pelajar. Memandangkan keberkesanan alat bantu mengajar yang menggunakan teknik KASIFIK ini terbukti dapat meningkatkan tahap penguasaan dan pemahaman murid untuk menyelesaikan operasi darab, maka ianya boleh dicadangkan kepada semua guru-guru atau bakal-bakal guru yang akan mengajar mata pelajaran Matematik, terutamanya kepada pelajar berkeperluan khas dan pelajar-pelajar lemah yang tidak dapat menghafal sifir darab. Untuk kajian selanjutnya teknik ini akan dimurnikan lagi dengan pengintegrasian dalam bentuk interaktif dengan menggunakan unsur multimedia agar lebih menarik dan afektif. Teknik ini juga boleh digunakan oleh murid untuk dilanjutkan penggunaan untuk menghasilkan Petak Sifir yang lengkap. Penghasilan Petak Sifir boleh dihasilkan dengan memasukkan jawapan bagi setiap sifir yang diperoleh menggunakan teknik KASIFIK ke dalam kotak-kotak jawapan pada Petak Sifir. Dengan itu kemahiran menggunakan Petak Sifir yang lengkap boleh dipraktikkan oleh murid-murid berkeperluan khas agar penggunaan lebih mantap dengan bimbingan dan panduan oleh guru. Diharapkan teknik ini dapat digunakan oleh guru-guru pemulihan dan guru-guru pendidikan khas yang lain ke atas murid-murid yang lemah dan tidak mampu menghafal sifir darab sebagai alternatif kepada kemahiran menyelesaikan operasi darab

SENARAI RUJUKANAllchin, D. (1999). Values in Science: An Educational Perspective. Science and Education. 8: 1-12.

Aplin, N., dan J. Saunders. (1996). Values and Value Priorities of Singaporean and Australian Swimmers., [Online].Australian Association for Research in Education. :http://www.swim.edu.au/aare/conf96/APLIN96.422.

Ausubel, D. P. (1963). The psychology of meaningful verbal learning. New York: Grune & Stratton Inc.

Harries, T. &Barmby, P. (2008).Representing multiplication. Education- Teaching Methods and Curriculum Mathematics, 206, 37-41.

Jamila K.A Mohamed. (2005). Pendidikan Khas Untuk Kanak-Kanak Istimewa. Pahang Darul Makmur : PTS Professional Publishing Sdn. Bhd.

K.A.Razhiyah. (2006). Mengapa Kanak-Kanak Sukar Belajar?. Kuala Lumpur : PTS Profesional Publishing Sdn. Bhd.

Nik Azis Nik Pa (1999). Pendidikan Konstruktivisme Radikal Dalam Pendidikan Matematik. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka.

Shamsina Shamsuddin. (2013). Panduan Melaksanakan Kajian Tindakan di Sekolah. Kuala Lumpur : Freemind Horizons Sdn. Bhd.

Skemp, R. (1971). The phsychology of mathematics. Baltimore, MD: Penguin Books

Zainudin Bin Abu Bakar & Mohd. Rashidi Bin Mat Jalil. (2007). Keberkesanan kaedah petak sifir dalam penguasaan fakta asas darab dalam MatematikTahun 4: Satu kajian di Sekolah Kebangsaan Mersing Johor. Tesis Sarjana Muda Pendidikan yang belum diterbitkan. Johor: Fakult iPendidikan Universiti Teknologi Malaysia.