laporan bengkel & lawatan

Upload: nadia-atylia

Post on 18-Oct-2015

87 views

Category:

Documents


0 download

TRANSCRIPT

NURLIYANA BINTI MUHAMMADPISMP PAI 2BIG FASA 5 \ 2014

Laporan BIG Bengkel Pengurusan PendidikanTarikh: 2 Mac 2014Tempat: Dewan Ibnu Khaldun, IPG Kampus DarulamanAktiviti: - Motivasi Bakal Guru Peranan Guru Dalam Merialisasikan Harapan Pekeliling Perkhidmatan Untuk Bakal Pendidik

Program Bina Insan Guru (BIG) Fasa 5 bagi aktiviti pertama iaitu aktiviti bengkel telah berjaya dilaksanakan pada 2 Mac 2014 bertempat di dewan Ibnu Khaldun, IPG Kampus Darulaman. Semua pelatih guru PISMP Semester 5 Ambilan Januari 2012 telah terlibat secara langsung dalam bengkel ini iaitu seramai 322 orang dari 16 buah kelas. Bengkel ini juga telah dihadari oleh mentor bagi setiap kelas iaitu seramai 16 orang. Bengkel ini telah berjalan selama 5 jam iaitu bermula jam 8.00 pagi sehingga 1.00 tengah hari. Sebelum program BIG ini dilaksanakan, kami telah mengadakan satu perjumpaan pertama di Kem Sri Banai, IPG Kampus Darulaman bagi melantik ahli jawatankuasa pelaksana yang akan menggerakkan aktiviti ini. Kesemua ahli BIG daripada 16 buah kelas telah berjaya menghadirkan diri dalam perjumpaan tersebut. Hasilnya, sebuah jawatankuasa pelaksana berjaya ditubuhkan. Majoriti suara telah memilih Mohd Irfan Bin Mohd Khalil dari kelas Pemulihan sebagai pengerusi bagi BIG bengkel ini. Beliau dipilih kerana cekap dan cemerlang dalam melaksanakan sebarang aktiviti yang dilberikan. Kemudian, perjumpaan-perjumpaan kecil dilaksanakan oleh ahli jawatankuasa pelaksana bagi membuat perancangan dan persiapan sebelum bermulanya bengkel ini. Semua ahli jawatankuasa pelaksanaan telah menjalankan tanggungjawab dan tugas dengan begitu baik sekali. Selain itu, kami juga telah menubuhkan satu group di laman sosial facebook. Tujuannya adalah untuk memudahkan kami berinteraksi dan berkomunikasi antara satu sama lain.Pada hari berlangsungnya BIG ini, kesemua ahli yang terlibat telah menghadirkan diri ke Dewan Ibnu Khaldun seawal jam 7.45 pagi untuk tujuan pendaftaran. Sesi pendaftaran ini telah dikendalikan oleh ahli jawatankuasa pendaftaran. Pada pukul 8.00 pagi, kesemua peserta mengambil tempat masing-masing. Bengkel ini telah bermula tepat jam 8.20 pagi dengan perarakan masuk dewan 2 orang penceramah bengkel diiringi oleh En. Mohd Nashri Bin Yaakub dan En. Wan Aziz Bin W Muhammad @ Wan Ahmad selaku penyelaras bagi BIG bersama Saudara Mohd Irfan Bin Mohd Khalil dan mentor-mentor bagi setiap kelas. Majlis bermula dengan nyanyian lagu Negaraku, lagu Negeri Kedah dan lagu Kami Guru Malaysia. Kemudian, diteruskan pula dengan bacaan doa daripada Muhamad Khalil Bin Mokhtar bagi memohon keberkatan majlis daripada Allah.Selesai membaca doa, pengerusi majlis iaitu Mohd Amirul Hairin telah menjemput dan mempersilakan penceramah pertama iaitu En. Amran Bin Mahadi selaku Ketua Jabatan Kurikulum dan Kokurikulum, Institut Aminuddin Baki bahagian utara untuk menyampaikan ceramah beliau dalam bengkel slot pertama ini. Tajuk yang telah beliau kemukakan dalam slot ini ialah Motivasi Bakal Guru. Dalam bengkel ini, beliau banyak mengemukakan peranan-peranan dan cabaran-cabaran yang guru perlu hadapi dalam era pendidikan zaman sekarang. Antara isi-isi yang telah saya peroleh dalam penyampaiannya ialah setiap guru itu perlulah ikhlas dalam menyampaikan sesuatu pengajarannya. Guru perlu menjadikan muridnya faham terhadap isi pelajaran yang disampaikan dan janganlah hanya melihat kepada wang ringgit semata-mata. Apabila berada di sekolah kelak, seseorang bakal guru itu mestilah serba boleh dalam setiap aktiviti yang diberi. Pelatih guru keluaran IPG sudah dipandang tinggi oleh guru-guru di sekolah dan beranggapan bahawa pelatih guru ini adalah serba boleh dalam segala hal. Oleh itu, sekali pun seseorang bakal guru itu tidak tahu, maka pertanyaan dan persoalan bagaimana untuk mengendalikan sesuatu itu haruslah dikemukakan.Sebagai bakal guru, seseorang itu perlu peka terhadap anak didiknya untuk mengelak daripada berlakunya kecuaian dalam pendidikan. Antaranya kecuaian yang sering guru lakukan ialah tidak begitu ambil perhatian terhadap murid apabila membawa membawa mereka keluar dari sekolah untuk sesuatu aktiviti seperti perlawanan bola sepak. Kadang-kadang guru lalai dengan keselamatan anak muridnya itu. Selain itu, guru juga sering terdedah dengan kecuaian ketika mengajar. Guru tidak mengajar murid dengan cara yang betul dan menyampaikan pengajaran yang tidak sepatutnya diajar. Oleh itu, sebagai guru baru, pendedahan begini begitu penting supaya perkara sebegini dapat dielakkan ketika berada di sekolah. Banyak lagi ilmu yang telah saya peroleh daripada slot ini.Slot pertama ini telah berakhir pada pukul 10.30 pagi. Para penceramah bersama kesemua ahli BIG dijemput untuk menjamu selera di Kafeteria Kantan. Kemudian, slot kedua diteruskan pula pada pukul 11.00 pagi. Pengerusi majlis telah menjemput penceramah kedua iaitu En. Abdullah Bin Hassan untuk menyampaikan ceramah bengkel beliau yang bertajuk Pekeliling Perkhidmatan Untuk Bakal Guru. En. Abdullah Bin Hassan juga merupakan tenaga pengajar di Institut Aminuddin Baki (IAB) iaitu di Jabatan Bahasa dan Komunikasi sebagai Ketua Jabatan. Menurut beliau dalam penyampaiannya, pekeliling perkhidmatan perlu diketahui oleh setiap guru di Malaysia. Ia merupakan satu akta undang-undang kepada guru yang perlu dipatuhi dan jika guru melanggarnya, beberapa tindakan akan diambil oleh pihak yang berkuasa. Antara tiga perkara yang boleh diambil tindakan terhadap perlakuan salah seseorang guru ialah pelanggaran guru berkaitan pekeliling, ketidakcekapan dan kelalaian.Dalam slot kedua ini juga, beliau telah menekankan bahawa setiap bakal guru haruslah memahami dan mengetahui kandungan mandat yang diguna pakai dalam pengurusan di sekolah. Selalunya, mandat ini terdapat dalam urusan surat-menyurat. Sekiranya, guru mendapat sesuatu surat daripada pihak luar, surat tersebut perlulah diberikan kepada guru besar terkebih dahulu bagi mendapat mandat ataupun kesahan daripadanya. Mandat guru besar mungkin juga dalam bentuk tulisan tangan yang bertulis seperti En.., sila hadir. Sekiranya, guru tidak mendapat mandat daripada guru besar dan guru tersebut tetap juga melaksanakan aktiviti tersebut, guru besar tidak akan bertanggungjawab terhadap perkara-perkara yang menimpanya. Pengetahuan sebegini begitu penting untuk diketahui oleh guru baru terutamanya.Dalam bengkel pekeliling perkhidmatan ini juga, saya telah mendapat pengetahuan mengenai cara-cara untuk membuat laporan minit mesyuarat mengikut apa yang telah ditetapkan. Antara perkara-perkara yang perlu ada dalam sesuatu minit mesyuarat ialah apa perkara yang dibincangkan, apa keputusan yang dibuat dan apa cadangan yang diberikan. Selain itu juga, di dalam sesuatu penulisan surat rasmi perlu ada complementry di akhir surat tersebut seperti jasa baik tuan. Selain itu, saya juga telah didedahkan dengan surat-surat siaran yang terdapat dalam bidang pendidikan. Surat siaran adalah suatu surat yang dikeluarkan oleh pihak sekolah. Contohnya, surat pemberitahuan hari ganti sekolah. Surat ini perlu ditunjukkan kepada ibu bapa atau waris murid. Di akhir slot ini, kami diingatkan supaya bakal guru mematuhi akta-akta yang terdapat dalam bidang pendidikan.Dalam bengkel ini juga, kami diberi kesempatan untuk mengemukakan beberapa soalan kepada penceramah. Alhamdulillah, segala persoalan yang bermain diminda telah kami dapat jawapannya. Sebelum program ini selesai, telah dilangsungkan upacara penyampaian cenderamata kepada para penceramah. Alhamdulillah, program ini telah berjaya ditamatkan pada pukul 1 tengah hari. Sebelum pulang, kami dijemput sekali lagi untuk menjamu selera di Cafeteria Kantan. Akhir sekali, daripada program ini saya amat mengharapkan segala ilmu yang diperoleh akan diamalkan sepenuhnya dalam kehidupan ini.

Laporan BIG Lawatan Penanda Aras (Benchmarking)Tarikh: 9 Mac 2014Tempat: Sekolah Kebangsaan Ibrahim, Sungai Petani, KedahAktiviti: Lawatan Penanda Aras ke Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT)

Program Bina Insan Guru (BIG) Fasa 5 bagi aktiviti kedua iaitu aktiviti Lawatan Penanda Aras ke Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT) telah berjaya dilaksanakan pada 9 Mac 2014 bertempat di Sekolah Kebangsaan Ibrahim, Sungai Petani, Kedah. Sebanyak 4 buah kelas dari pelatih guru PISMP Semester 5 Ambilan Januari 2012 telah mengambil bahagian secara langsung dalam lawatan ini. Kelas-kelas tersebut ialah Pendidikan Islam 1, Pendidikan Islam 2, Pendidikan Khas 1 dan Pendidikan Khas 4. Kesemua pelatih guru yang terlibat adalah seramai 84 orang. Lawatan ini juga telah dihadari oleh mentor bagi setiap kelas iaitu seramai 4 orang. Perjalanan lawatan ini bermula pada jam 7.30 pagi. Pada waktu itu, semua pelatih guru di hadapan Bangunan Gerko, IPG Kampus Darulaman. Setelah cukup bilangan ahli, kami memulakan perjalanan dengan menggunakan 2 buah bas yang telah disediakan. Kelas Pendidikan Islam 1 dan 2 menaiki sebuah bas yang sama manakala kelas Pendidikan Khas 1 dan 4 pula menaiki sebuah bas yang sama. Perjalanan ini bermula tepat jam 7.45 pagi dan ia mengambil masa selama 1 jam 15 minit untuk sampai ke sekolah tersebut. Pada pukul 9.00 pagi, kami telah tiba di sekolah ini dengan selamatnya. Kedatangan kami ke sekolah ini telah disambut sendiri oleh guru besar SK Ibrahim iaitu En. Rusli Bin Md Tahir bersama dengan beberapa orang guru yang lain di hadapan pagar sekolah. Sambutan yang diterima adalah begitu mesra sekali dan membuatkan kami berasa sungguh terharu. Setelah bersalaman dengan guru-guru, kami dijemput ke tapak perhimpunan untuk sesi fotografi. Sesi fotografi ini telah disediakan sendiri oleh pihak sekolah. Kedudukan-kedudukan kerusi untuk sesi ini juga telah disusun oleh guru-guru SK Ibrahim. Kami hanya perlu mengambil kedudukan masing-masing. Setelah selesai sesi fotografi, kami dibawa oleh pihak sekolah ke dewan. Majlis bermula dengan ucapan alu-aluan daripada pengerusi majlis iaitu Pn. ___. Dalam ucapan tersebut, beliau mengalu-alukan kedatangan kami ke sekolah tersebut dan menyatakan perasaan gembira akan kedatangan kami. Kemudian, majlis diteruskan dengan persembahan qasidah dan nasyid daripada murid-murid dari sekolah ini. Persembahan yang ditunjukkan adalah begitu semangat sekali memandangkan sekolah ini hanya terdiri daripada murid-murid lelaki sahaja. Kumpulan nasyid ini akan mewakili sekolah ke peringkat Yan Muda 2 pada minggu hadapan. Kumpulan nasyid ini telah dibimbing oleh Ustazah Norliza Bt Ismail. Setelah selesai persembahan, kami dijemput untuk menjamah kudapan pagi yang telah disediakan. Kudapan pada pagi itu ialah berupa mihun, 2 biji kuih berserta air teh. Kemudian, kami masuk semula ke dalam dewan untuk mendengar beberapa taklimat mengenai sekolah ini. Pada pukul 10.15 pagi, guru besar pula memberi ucapan alu-aluan terhadap kedatangan kami. Dalam ucapan serba ringkas itu, guru besar telah menceritakan serba sedikit mengenai sekolah berprestasi tinggi ini. Menurut beliau, apabila sekolah ini telah diiktiraf sebagai sekolah berprestasi tinggi pada tahun 2012, suasana sekolah adalah berbeza dari dahulu. Beliau juga turut memberitahu peruntukan yang telah diberikan kepada sekolah ini dan ke mana peruntukan itu digunakan. Menurut beliau lagi, sekolah ini terdiri daripada murid-murid lelaki sahaja dan keseluruhan guru penolong kanan juga adalah dari kalangan lelaki. Beliau mengharapkan bahawa lawatan ini dapat mengeratkan lagi hubungan silaturahim antara satu sama lain dan segala input yang diperoleh hasil daripada lawatan ini akan digunakan sebaiknya dan manakala yang buruk dijadikan sempadan. Setelah tamat ucapan ringkas daripada guru besar, majlis diteruskan dengan penyampaian taklimat mengenai pengurusan sekolah berprestasi tinggi oleh guru Penolong Kanan Pentadbiran iaitu En. Khairil Anuar Bin Kasim. Taklimat permulaan beliau bermula dengan sejarah penubuhan sekolah. Sekolah ini merupakan antara sekolah yang tertua di Malaysia. Antara keistimewaan sekolah ini yang telah menjadi tradisi ialah pada setiap tahun, Tuanku Sultan Kedah akan mengunjungi sekolah ini untuk majlis pencapaian anugerah cemerlang kepada murid. Kemudian, beliau menerangkan mengenai data maklumat murid sekolah ini yang mana muridnya terdiri daripada 867 orang dan daripada bangsa Melayu, Cina dan India. Sebagai sebuah sekolah berprestasi tinggi, beliau turut berkongsi langkah-langkah untuk mengekalkan kecemerlangan sekolah tersebut. Antara langkah-langkahnya ialah murid yang ingin mendaftar ke sekolah ini mestilah menduduki satu ujian tapisan untuk mengetahui sama ada murid tersebut layak atau tidak untuk belajar di sekolah ini. Kebiasaannya, ujian ini menggunakan aras pemikiran tinggi. Selain itu, beliau juga berkongsi program-program peningkatan UPSR yang dilaksanakan di sekolah ini dan terdapat beberapa guru yang lain yang mengambil idea aktiviti ini untuk dilaksanakan di sekolah mereka. Antara program-programnya ialah Program Segar Minda, teknik menjawab soalan, Kelas ICU, Program Gerak Gempur, motivasi murid, Klinik UPSR, Putera Pintar, Latihan Sisipan dalam didik, Bacaan Yassin dan solat hajat, Buku Impian Harapan, kelas tambahan masa cuti dan banyak lagi. Ada di antara aktiviti-aktiviti ini yang dilaksanakan di luar sekolah seperti di hotel untuk memberi keselesaan belajar dan membangkitkan semangat mereka untuk terus belajar. Selain itu juga, sekolah ini selalu membuat jaringan sekolah dengan sekolah-sekolah di negara jiran. Pada tahun lepas, mereka telah pergi ke Medan, Indonesia dan menetap serta mengikuti pembelajaran sekolah di sana selama sepuluh hari.Sekolah ini telah ramai melahirkan insan-insan dan tokoh-tokoh terkenal dan terkemuka di Malaysia. Antaranya ialah Datuk Khalid sebagai tokoh koprat terkenal, CEO pemilik helikopter, Naib Canselor UPSI, doktor-doktor pakar, peguam dan lain-lain lagi. Sekolah ini turut melahirkan banyak kejayaan dalam setiap aktiviti yang diikuti. Selesai taklimat daripada beliau, majlis diteruskan lagi dengan taklimat kedua daripada Guru Panitia Pendidikan Islam iaitu Pn. Nasriah Bt Che Adnan. Taklimat beliau lebih menekankan kepada pengurusan mata pelajaran Pendidikan Islam di sekolah tersebut. Pengurusan Panitia Pendidikan Islam akan dipantau oleh pentadbiran setiap masa. Selain itu, beliau turut berkongsi cara-cara penyusunan fail panitia. Antara fail-fail yang perlu disediakan ialah fail minit mesyuarat, fail bank soalan, fail post-moterm exam, fail surat masuk/keluar, fail pengurusan headcount dan banyak lagi.Selesai sahaja taklimat kedua ini, guru besar sekolah ini membuka sesi soal jawab kepada kami sekiranya ingin bertanya mengenai kemuskilan atau apa-apa sahaja yang berkaitan dengan sekolah ini. Banyak persoalan yang telah kami kemukakan dan kami mendapat jawapan yang baik daripada guru besar sendiri. Majlis tidak selesai di situ sahaja. Majlis penyampaian cenderamata kepada pihak sekolah dan kami sendiri telah berlangsung. Kemudian, kami dijemput untuk melawat pameran-pameran hasil kerja sekolah ini dari peringkat rendah sehinggalah keperingkat antarabangsa. Kesemua bukti-buktinya telah dimuatkan ke dalam folio-folio tertentu mengikut aktiviti yang dijalankan. Setelah itu, kami berjalan melawat keseluruhan kawasan sekolah. Apa yang dapat saya lihat di sini, bangunan-bangunan akademik lama masih kekal hingga ke hari ini. Sekolah ini mempunyai kawasan persekitaran yang sungguh cantik, selesa dan kondusif. Di kesempatan ini, kami juga turut melawat bilik j-Qaf yang serba selesa.Pada pukul 1 tengah hari iaitu selepas selesainya melawat kawasan sekolah, kami menjamu selera di kantin sekolah. Kami menjamu selera bersama-sama. Selesai makan, aktiviti diteruskan lagi dengan sesi refleksi hasil daripada lawatan ini. Setiap kelas dikehendaki untuk menghantar seorang wakil untuk membentangkan refleksi di hadapan. Selesai sahaja sesi refleksi ini, maka berakhirlah aktiviti lawatan penanda aras. Sebelum pulang, kami bersalaman dengan guru-guru yang telah banyak membantu dalam menjayakan lawatan ini. Kami mengucapkan ribuan terima kasih atas kesudian menerima kehadiran kami sebagai tetamu pada hari itu. Kami bertolak pulang pada pukul 1.30 tengah hari.