kkp matematik
DESCRIPTION
1TRANSCRIPT
Dalam proses menyediakan warganegara Malaysia dengan pendidikan yang lengkap
bagi mengisi dua keperluan utama iaitu keperluan individu dan keperluan negara, kurikulum
perlu dirancang dan diurus dengan teliti. Ini amat penting untuk menentukan supaya kurikulum
ini sesuai dengan keperluan dan berkualiti cemerlang. Pembangunan tenaga manusia dan
tenaga rakyat menjelang abad ke 21 tidak terhad kepada penyediaan dan pembekalan tenaga
pekerja yang berketrampilan dalam sektor-sektor perindustrian dan perdagangan sahaja.
Kurikulum bagi abad ke-21 perlu dibentuk supaya relevan dan koheran dengan keadaan
pada masa itu dan boleh memenuhi matlamat-matlamat yang ditentukan. Garis panduan
tentang bentuk, isi dan pelaksanaan kurikulum itu pastinya ditentukan oleh senario yang dapat
dilihat dari aliran pembangunan dan kemajuan teknologi.
Perancangan kurikulum abad ke-21, mestilah bersifat futuristik, fleksibel dan dinamik
supaya dapat menentukan corak masyarakat dan profil bangsa dan warganegara Malaysia.
Warganegara Malaysia bagi abad ke-21 mestilah dapat menangani cabaran yang akan dibawa
arus oleh globalisasi, ledakan ilmu dan maklumat. Warganegara berupaya merancang masa
depan mereka dan mampu membuat pilihan yang bijak dan tepat sesuai dengan budaya dan
nilai-nilai semasa.
Matematik adalah satu bentuk komunikasi yang melengkapi perbendaharaan kata
bahasa seharian atau sedia ada sebagai satu alat untuk menerangkan dunia yang kita diami.
Dengan bahasa tersebutlah, maka kita boleh saling berkomunikasi dengan alam semulajadi,
tentang pola pertumbuhan dan percambahan biji benih, tentang perubahan musim, dan
sebagainya. Selain daripada itu, matematik adalah bahasa yang jitu dan tepat untuk dunia
perdagangan dan perniagaan. Ahli-ahli koporat dan ekonomi berkomunikasi sesama sendiri
dengan bahasa matematik untuk menerangkan tentang untung-rugi, turun-naik prestasi syarikat
atau negara masing-masing. Jelaslah, matematik itu adalah suatu proses yang kreatif dan aktif,
bukannya sekadar suatu proses penguasaan konsep dan prosedur secara pasif. Ianya adalah
satu tabiat minda yang membantu menjelaskan situasi yang kompleks. Ianya merupakan satu
cabang ilmu yang dinamik, yang sentiasa mengalami perubahan atau revolusi.
Matematik dan pemikiran kritis tidak boleh dipisahkan antara satu sama lain jika ingin
pembelajaran yang bermakna (Aizikovitsh & Amit, 2010). Guru boleh menyediakan peluang
yang sangat bermanfaat kepada murid dengan menyediakan banyak peluang untuk murid
terlibat di tiga aras kognitif tertinggi Taksonomi Bloom. Satu kerangka konseptual untuk Infusi
KBAT dalam pengajaran dan pembelajaran Matematik adalah perlu untuk merealisasikan
proses pengajarandan pembelajaran Matematik yang berfikrah. Justeru itu, kajian Infusi
Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT) dalam Pengajaran dan Pembelajaran Matematik (Nor
Jannah Hassan, Fakulti Pendidikan, Universiti Kebangsaan Malaysia) mencadangkan
penggabungan Model Pengajaran 5E dan pendekatan Infusi KBAT (Swartz & Parks, 1994)
yang didasari oleh teori konstruktivisme sebagai kerangka konseptual untuk pelaksanaan di bilik
darjah untuk membantu pencapaian dalam Matematik dan meningkatkan kemahiran berfikir
aras tingg untuk mengaplikasikan pengetahuan, kemahiran dan nilai dalam membuat
penaakulan dan refleksi bagi menyelesaikan masalah, membuat keputusan, berinovasi dan
berupaya mencipta sesuatu. (KPM, 2013).
Dalam pembelajaran kemahiran matematik elemen penaakulan dalam pengajaran dan
pembelajaran perlu dikaitkan supaya mengelak murid dari menganggap matematik sebagai
hanya satu set prosedur atau algoritma yang eprlu diikuti bagi mendapatkan penyelesaian,
tanpa memahami konsep matematik yang sebenar. Penaakulan bukan sahaja mengubah
paradigma murid dari sekadar belajar kepada berfikir,malah memberi pengupayaan intelektual
apabila murid dibimbing dan dilatih untuk membuatkonjektur, membuktikan konjektur,
memberikan penerangan logikal, menganalisa, menilai dan memberi justifikasi terhadap semua
aktiviti matematik. Latihan sedemikin membentuk murid yang yakin dengan diri sendiri dan
tabah selaras dengan hasrat untuk membentuk pemikir matematik yang berkeupayaan.
Penaakulan matematik adalah antara amalan kognitif dalam P&P matematik. Penaakulan
merupakan suatu proses membuat penekaan dalam menentukan sesuatu penyelesaian bagi
sesuatu masalah. Ini merupakan asas dalam membuat dan memahami Matematik. Penaakulan
penting kepada murid-murid supaya mereka dapat mengembangkan bukan sahaja kapasiti
pemikiran logikal malah turut meningkatkan kapasiti pemikiran kritis yang merupakan asas
kepada pemahaman matematik secara mendalam dan bermakna. Maka, pelaksanaan
penaakulan matematik di sekolah rendah perlu diadakan secara berperingkat.
Pendekatan induktif seperti yang dicadangkan oleh Stacey amat sesuai dalam
pelaksanaan penaakulan matematik. Kefahaman murid terhadap konsep matematik yang
sedang ditaakulkan boleh didengar dan cuba difahami oleh gurunya. Penaakulan matematik
boleh diaplikasikan dalam pengajaran dan pembelajaran matematik mengikut kesesuaian dan
kreativiti guru itu sendiri. Murid-murid di sekolah rendah terutamanya masih lagi belum boleh
menguasai kemahiran menaakul. Maka, guru amat memainkan peranan penting bagi
memastikan murid-murid dapat berfikiran secara kritis dan kreatif. Guru-guru boleh
menggalakkan murid untuk menaakul dengan memberikan soalan-soalan atau gambarajah
yang berkaitan. Dari bahan-bahan tersebut guru dan murid akan bersoaljawab dan murid-murid
akan memberikan pelbagai jawapan dan juga menyumbangkan idea. Sebagai contoh dalam
pembelajaran topik pecahan, guru boleh mengajukan soalan seperti apakah perbezaan antara
pecahan wajar dengan pecahan bercampur. Berdasarkan soalan yang diberi, murid akan
memberikan pelbagai jawapan yang mereka rasakan bersesuaian. Guru pula perlu menerima
kesemua jawapan yang diberi terlebih dahulu sebelum mempertikaikannya. Bahan bantu
belajar seperti carta atau bahan maujud dapat membantu murid dalam menaakul. Guru boleh
menanyakan soalan yang bercapah seperti apakah yang akan berlaku, mengapakan ianya
boleh berlaku dan bagaimana perkara tersebut boleh diselesaikan. Sebagaimana para guru
ketahui, matapelajaran matematik amat luas untuk dipelajari. Maka, kemahiran menaakul amat
penting dalam sesi pengajaran dan pembelajaran.
Matematik sering dianggap sebagai subjek yang kompleks, penuh dengan prosedur dan
peraturan serta hanya memberikan jawapan betul atau salah terhadap permasalahan
matematik. Tanggapan salah ini menyebabkan ruang untuk melaksanakan amalan pengajaran
kreatif dalam matematik seolah-olah tertutup berbanding subjek lain seperti seni dan bahasa.
Justeru, hasil daripada definisi kompetensi, tiga domain kompetensi guru matematik
dalammempengaruhi amalan pengajaran kreatif dipecahkan kepada tiga domain iaitu
pengetahuan guru, kemahiran guru dan sikap dan personaliti guru.
Pengetahuan ialah domain kompetensi guru matematik yang mempunyai pengaruh
yang kuat ke atas amalan pengajaran kreatif. Guru matematik perlu menguasai pengetahuan
kandungan matematik dengan baik untuk menjadi guru matematik yang kreatif dan berkesan
(Borko & Putnam,1996). Guru matematik yang perlu menguasai kandungan subjek matematik
supaya dapat mengelak masalah untuk mengajar apatah lagi untuk menjadi kreatif. Ini berlaku
khususnya bagi guru baru yang memerlukan masa untuk menguasai kurikulum di sekolah
(Murray & Male,2005).
Guru yang menguasai kandungan matematik juga berjaya meningkatkan pencapaian
muridnya. Kajian oleh Hill, Rowan, & Ball (2005), mendapati terdapat hubungan yang signifikan
di antara penguasaan kandungan matematik dengan pencapaian murid dalam subjek
matematik. Kompetensi guru bukan sahaja dalam pengetahuan kandungan matematik malah
perlu juga mahir dalam bidang pedagogi. Menurut Shulman (1986), pengetahuan pedagogi
kandungan (PCK) akan membantu menggalakkan kefahaman konsep. Pengaruh pengetahuan
pedagogi kandungan perlu diberi perhatian kerana guru bukan sahaja harus menguasai
kandungan subjek yang diajar, malah perlu juga berkemahiran bagaimana untuk mengajar
subjek tersebut (Yu et al., 2012; Maher, 2011; R. Y. Kim, Ham,& Paine, 2011). Guru yang
mempunyai pengetahuan pedagogi kandungan matematik akan mudah memilih strategi dan
kaedah yang berkesan dalam pengajaran kreatif.
Guru perlu mengetahui kebolehan murid, keupayaan memilih sumber pengajaran seperti
bahan bantu mengajar dan kebikjasanaan dalam memilih objektif pengajaran turut
mempengaruhi amalan pengajaran kreatif. Guru matematik yang mengetahui kebolehan
muridnya seperti perbezaan gaya kognitif akan dapat menentukan keperluan pembelajaran
muridnya serta dapat memilih gaya pengajaran yang sesuai dengan tahap kognitif muridnya
(Zaleha &Nurul Liana, 2011; Ramdhani et al., 2012). Menurut Lin & Li (2009), pengajaran yang
baik dan kreatif haruslah mempunyai objektif pengajaran yang boleh dicapai. Objektif yang jelas
dan boleh dicapai akan memandu guru dalam memastikan pengajaran mereka tidak lari
daripada landasan yang telah ditetapkan. Contohnya dalam pengajaran matematik pecahan
guru Matematik berpengalaman menggunakan pendekatan secara konseptual bagi
menyampaikan konsep penambahan dan penolakan pecahan kepada pelajar. Mereka
menggunakan aktiviti konkrit yang berpusatkan pelajar bersama alat bantu seperti kertas dan
papan pecahan. Penggunaan kertas, kad jalur dan papan pecahan didapati berkesan untuk
menyampaikan konsep asas dan operasi pecahan kepada pelajar (Bezuk & Cramer 1989).
Selain itu pengajaran matematik bergantung kepada tahap penguasaan
pembelajaran, pelajar ditempatkan dalam beberapa kumpulan sama ada kumpulan
asas (basic), kumpulan umum (general) atau kumpulan maju (advance).
Pembelajaran juga dilaksanakan mengikut sistem banding iaitu 'vertical' dan
'horizontal'. Melalui sistem ini pelajar berubah kelas mengikut kebolehan dalam
mata pelajaran. Misalnya pelajar Tahun 2 sekolah rendah boleh mempelajari
matematik Tahun 3 sekiranya ia sudah menguasai kemahiran matematik Tahun 2.
Pelajar yang mengaplikasi KBAT dalam pembelajaran dapat berfikir secara kritis supaya
mereka lebih bersedia menghadapi masalah yang lebih konkrit dan lebih rumit atau dipanggil
masalah bukan rutin . Soalan bukan rutin adalah memerlukan tahap kognitif yang tinggi dan
diperlukan dalam melaksanakan pemikiran aras tinggi (KBAT) dalam pengajaran dan
pembelajaran. Ia dapat membantu pelajar tersebut mempunyai kebolehan diri untuk bertindak
secara efektif melalui pemikiran kritis . Penekanan kepada soalan bukan rutin kerana dapat
membentuk modal insan yang berfikrah dan merealisasikan hasrat negara untuk mencapai satu
pertiga teratas dalam TIMSS dan PISA .Mengikut data TIMSS 2007 , prestasi pelajar di
Malaysa adalah di bawah paras “TIMSS average achievement ” dalam subjek matematk dan
domain kognitif . Maka, wajarlah kementerian pendidikan Malaysia menekankan konsep KBAT
dalam pengajaran dan pembelajaransupaya pelajar generasi abad ke-21 yang berfikir secara
kritis dapat dihasilkan menjelang masa akan datang..Terdapat pelbagai cara untuk berfikir
secara kritis seperti menggunakan konsep membanding beza dalam pembelajaran topik
matematik tertentu untuk menggalakkan pelajar menjana idea dan membuat perbandingan
berdasarkan masalah yang diberi oleh guru yang berkaitan dengan topic – topic tertentu. Selain
itu, konsep mengklasifikasikan sesuatu idea kepada kumpulan berdasarkan ciri-ciri tertentu juga
menggalakkan pelajar lebih berfikir secara kritis. Konsep menganalisis masalah perlu
ditekankan dalam pembelajaran di mana pelajar dapat menentukan pilihan untuk
menyelesaikan masalah pengiraan tertentu dengan tepat. Pemikiran kritis juga bersifat tidak
bias atau tidak berat sebelah. Generasi abad ke-21 akan lebih bersedia dan mantap melalui
pemikiran kritis dapat melahirkan modal insan yang lebih kreatif dan inovatif dan mampu
menjadi penyelesai masalah yang terbaik bagi memenuhi cabaran abad ke-21 agar negara
dapat bersaing di persada dunia. Melalui pemikiran penyelesaian masalah akan menggalakkan
pelajar berfikir aras tinggi untuk menyelesaikan masalah yang kompleks dan masalah bukan
rutin.
Dalam melaksanakan kurikulum matematik, peluang untuk membuat kaitan perlu
diwujudkan supaya murid dapat mengaitkan pengetahuan konseptual dan prosedural serta
dapat mengaitkan topik-topik dalam matematik khususnya dan matematik dengan bidang lain
secara amnya. Ini akan meningkatkan kefahaman murid dalam matemaatik dan menjadikan
matemaatik lebih jelas, bermakna dan menarik bagi mereka.
Kurikulum Matematik umumnya terdiri daripada beberapa bidang diskrit seperti
penghitungan, geometri, algebra, pecahan, pengukuran dan penyelesaian masalah. Tanpa
membuat kaitan antara bidang-bidang ini, murid akan belajar dan mengingati secara
berasingan. Sebaliknya, dengan mengenali bagaimana konsep atau kemahiran dalm bidang
erbeza yang berhubung kait antara satu sama lain, matematik akan dilihat dan dipelajari
sebagai satu displin ilmu yang menyeluruh serta lebih mudah difahami.
Apabila idea matematik ini dikaitkan pula dengan pengalaman seharian di dalam dan di
luar sekolah, murid akan lebih menyedari kegunaan, kepentingan, kekuatan dan keindahan
matematik. Selain itu, murid berpeluang menggunakan matematik secara kontekstual dalam
bidang ilmu yang lain dan dalam kehidupan seharian mereka. Model Matematik digunka untuk
menerangkan situasi kehidupan sebenar secara matematik. Murid akan mendapati kaedah ini
boleh digunakan untuk mencari penyelesaian sesuatu masalah atau untuk meramalkan
kemungkinan sesuatu situasi berdasarkan model matematik tersebut.
Setiap murid-mruid harus mahir dalam kemahiran menghubungkait topic-topik dalam
matematik. Guru perlu mewujudkan masalah berorientasikan kelas agar mrurid –murid peka
dengan aplikasi matematik dalam kehidupan sebenar. Penekanan terhadap perkaitan
matematik akan membantu murid- murid mengenal pasti bagaimana idea dari bidang berbeza
dapat dikaitkan bersama. Kandungan matematik umumnya terdiri daripada beberapa bidang
diskrit seperti penghitungan, geometri, algebra, pengukuran dan penyelesaian masalah. Tanpa
membuat perkaitan antara bidang-bidang ini, murid akan belajar dan mengingati terlalu banyak
konsep dan kemahiran secara berasingan. Apabila murid-murid mampu mengaitkan konsep
Matematik dengan rutin kehidupan, mereka telah berjaya memahami tentang kepentingan
Matematik. Apabila idea matematik ini dikaitkan dengan pengalaman seharian di dalam dan di
luar sekolah, murid lebih menyedari kegunaan matematik.
Justeru itu, matematik perlu diajar sebagai satu seni, atau satu permainan, atau sebagai
sains semulajadi, ataupun berorientasikan teknologi. Aspek penting dalam pengajaran dan
pembelajaran matematik adalah menjadikan ianya sebagai satu penaakulan. Hal ini dicapai
melalui penyelesaian masalah. Setiap kali pelajar mencuba untuk menyelesaikan masalah,
mereka akan menggunakan akal mereka untuk menaakul. Selain daripada itu, aspek lain yang
perlu ditekankan dalam pengajaran matematik adalah matematik sebagai komunikasi. Pelajar
perlu dilatih untuk menyampaikan idea mereka yang diperolehi secara individu ataupun
kumpulan dengan jelas dan tepat agar orang lain boleh memahami dan membuktikan semula
pendapat mereka. Penyampaian idea sebegini membantu pelajar untuk membina konsep di
samping membina perkaitan idea yang tidak formal, intuitif, bahasa abstrak dengan simbol. Ia
menggalakkan aktiviti sosial di mana dalam proses penyampaian idea ini, pelajar akan
menerima idea melalui mendengar, membaca, dan visualisasi.
Aspek seterusnya adalah dalam pengajaran dan pembelajaran matematik melibatkan
penyelesaian masalah itu sendiri. Malah tujuan utama proses pengajaran dan pembelajaran
adalah menyelesaikan masalah. Justeru, wajarlah pengajaran dan pembelajaran di kelas
difokuskan kepada aspek ini. Penyelesaian masalah yang dimaksudkan di sini adalah
penyelesaian kepada masalah situasa yang tiada penyelesaian yang nyata. Ini akan
memangkinkan proses penaakulan pelajar yang bersistematik dan mengikut semantik yang
teliti. Kejayaan dalam menyelesaikan masalah tersebut adalah satu unsur motivasi dalaman di
mana pelajar akan berasa puas kerana telah menemui penyelesaiannya.
Pendidikan matematik sebenarnya adalah pendidikan yang banyak menekankan kepada
pembinaan konsep oleh pelajar sendiri dan pengaplikasian konsep yang dibina bagi
menyelesaikan masalah. Cara pemikiran yang tertentu hendaklah dibudayakan di kalangan
pelajar. Pelajar hendaklah dibiasakan dengan amalan untuk mengenalpasti pola atau binaan
kepada sesuatu situasi kerana itulah hakikat kehidupan kita di dunia. Pola berada di mana-
mana. Pola itulah bahasa yang digunakan untuk komunikasi di antara yang manusia dengan
alam semulajadi, baik ia pokok, mahupun kejadian alam semulajadi seperti pasang-surut dan
siang dan malam. Di samping mengenalpasti pola dan binaan, cara pemikiran yang kedua yang
perlu ditanam di hati pelajar adalah membuat generalisasi. Daripada pemerhatian tentang alam
semulajadi dengan tumpuan kepada pola, pelajar akan membuat generalisasi. Dalam proses
membuat generalisasi, pelajar hendaklah dibiasakan dengan amalan membuat penafian
(refutation). Cara pemikiran ketiga adalah membuat analogi. Sesuatu hubungan boleh dianalogi
kepada sesuatu yang lain. Penggunaan analogi ini tidak jauh dengan S-R dalam psikologi
tingkahlaku. Cara pemikiran seterusnya adalah pemikiran intuitif di mana penyelesaian dibuat
berdasarkan kepada pengalaman yang lalu. Selain daripada itu, pelajar juga harus didedahkan
dengan cara pemikiran induktif yang banyak meminta pelajar membuat konjektur dan
hipothesis. Konjektur dan hipothesis ini kemudiannya akan diuji untuk menentukan
keesahannya melalui proses penafian tadi. Akhir sekali, pelajar juga perlu didedahkan dengan
pemikiran berdasarkan pembuktian.
Perancangan bagi memilih kaedah yang bersesuaian dalam pengajaran Matematik perlu
mengambil kira situasi dunia yang sentiasa berubah. Pembelajaran Matematik pada hari ini
mesti menyediakan pelajar untuk memainkan peranan mereka pada masa hadapan dalam
masyarakat. Dalam dunia globalisasi sekarang, seorang yang cekap dalam Matematik boleh
meningkatkan lagi peluang dan pilihan bagi menentukan masa depan mereka (National Council
for Teachers of Mathematics, 2000). Ia mesti melengkapkan para pelajar dengan pengetahuan
dan kemahiran yang penting dalam bidang Matematik seperti kemahiran penaakulan,
menyelesaikan masalah, berkomunikasi dan yang paling penting ialah keupayaan dan inisiatif
untuk belajar sendiri dan berdikari.
Kaedah pengajaran yang menekankan kepada penyelesaian masalah berasaskan
situasi yang sebenar perlu diketengahkan. Ini kerana pelajar dapat mempelajari bidang
Matematik dengan lebih berkesan apabila mereka diberi peluang untuk menyiasat idea dan
konsep asas dalam Matematik seterusnya dipandu kepada konsep yang lebih abstrak. Pelajar
membina konsep dan kemahiran Matematik melalui pengetahuan dan pengalaman semasa
pembelajaran Matematik (Idris, 2005). Guru bertanggungjawab untuk membangunkan strategi
yang berkesan untuk membantu pelajar mencapai jangkaan pembelajaran mereka. Guru harus
memikirkan kaedah yang lebih baik bagi membantu pelajar menguasai kemahiran Matematik
mereka disamping setiap pelajar diberi peluang yang sewajarnya untuk mencuba. Oleh itu guru
atau tenaga pengajar hendaklah peka terhadap keadaan pelajar kerana Matematik amat
penting dalam kehidupan. Hal ini kerana Malaysia kini sedang menuju ke arah negara maju dari
segi teknologi dan ekonomi. Lebih ramai jurutera yang berkualiti dari segi pencapaian akademik
dan keseimbangan emosi diperlukan seiring dengan perkembangan ini,
Guru perlu memberi peluang dan pengalaman pembelajaran pelbagai dengan
menyediakan aktiviti yang melibatkan murid secara aktif dalam pembelajaran matematik,
membentuk murid membentuk kefahaman mendalam tentang konsep matematik, dan
membentuk pengertian yang lebih bermakna tentang idea matematik yang pelbagai.
Berlandaskan kefahaman dan pengertian yang dibentuk, murid berupaya membuat perkaitan
dan mengaplikasikan idea matematik, seterusnya menjadikan murid lebih yakin untuk meneroka
dan mengaplikasikan matematik. Penggunaan bahan bantu mengajar, peralatan teknologi dan
perlaksanaan tugasan, amali, kerja projek seharusnya dirangkum dalam pengalaman
pembelajaran yang disediakan untuk murid.
Pembelajaran Matematik yang berfikrah dijelmakan dalam amalan pengajaran dan
pembelajaran dilaksanakan berpandu kepada prinsip pembelajaran masteri dan pembelajaran
berlaku secara akses dan terarah kendiri serta mengikut kadar sendiri. Guru perlu
mendedahkan pelajar dalam penggunaan komputer di mana pelajar dapat meningkatkan
kemahiran berfikir secara kreatif dan kritis . Pelajar abad ke-21 lebih bersedia untuk menjadi
generasi „celik IT‟ yang mampu bersaing di dunia antarabangsa.
Secara kesimpulannya, pengajaran abad diperlukan pelajar memahami dan mengaplikasi
pemikiran kritikal, logikal, dan kreatif . Kesemua kemahiran tercetus apabila pelajar berhadapan
dengan masalah yang tidak biasa dihadapi ,persoalan dan dilema .Kejayaan mengaplikasi
kemahiran ini dalam pengajaran dan pembelajaran akan membuahkan penjelasan ,keputusan
yang tepat, pencapaian serta hasil yang sah dalam konteks pengetahuan . Sekaligus dapat
meningkatkan intelektul pelajar . Pendidik dan pihak kementerian pendidikan perlu mengatur
strategi dan melaksanakan metodologi pembelajaran berasaskan pemikiran kea rah abad 21
dalam institusi pendidikan langkah demi langkah disertai dengan panduan yang sempurna
supaya ditingkatkan terhadap generasi abad ke-21.
Rujukan
Idris, N. (2005). Penyelidikan dalam Pendidikan. Malaysia: McGrawHill.
Khairul Syafig Suhaiml. (2011). Pendidikan Matematik Abad Ke21. Diperolehi secara on-line di: https://khairulsyafiqsuhaimi.wordpress.com/2012/03/21/pendidikan-matematik-abad-ke-21/ (13 Oktober 2015)
Bezuk, N. & Cramer, K. 1989. New directions for elementary school mathematics. Reston, VA: National Council of Teachers of Mathematics.
Yahaya, A(2010). Kepentingan Kefahaman Konsep Dalam Matematik. Jurnal Pendidik dan Pendidikan.
Zaleha, I., & Nurul Liana, A. (2011). Pengaruh Gaya Kognitif Dan Kreativiti Terhadap Penyelesaian Masalah Geometri Di Kalangan Pelajar Tingkatan 4 Aliran Sains.Journal of Science and Mathematics Educational