kebudayaan neolitik

12
Pengenalan Neolitik boleh ditakrifkan sebagai suatu zaman yang merujuk kepada budaya yang tidak mempunyai artifak logam dan menghasilkan dua daripada tiga ciri-ciri berikut. Ciri-ciri itu ialah kapak penetak, tembikar, dan perkebunan. 1 Selain itu, Neolitik juga dapat diertikan sebagai zaman seramik tradisi. Ia merupakan peringkat kedua Zaman Holosen. Ianya boleh dianggap sebagai peringkat asas permulaan tamadun manusia. Pada zaman ini manusia Homo Sapiens mengalami perkembangan yang besar. Malah dari segi kebudayaannya ia dikatakan mengalami satu perubahan yang besar yakni suatu revolusi kebudayaan dalam prasejarah Asia Tenggara. Pentarikhan Zaman Neolitik adalah berbeza mengikut tempat, namun begitu kebanyakan para pengkaji arkeologi bersetuju bahawa Zaman Neolitik ini dianggarkan bermula kira-kira antara 8000 hingga 4000 tahun B.C. Walaubagaimanapun terdapat juga pendapat-pendapat lain yang cuba ditimbulkan oleh beberapa ahli arkeologi mengenai pentarikhan sebenar zaman ini. Kelompok yang wujud pada Zaman Neolitik ini dikatakan rumpun daripada Mongoloid Selatan yang dikatakan ras Australo- Melanesia. Ia adalah rentetan evolusi daripada masyarakat Zaman Hoabinh. Pentarikhan Zaman Neolitik ini berkait rapat dengan proses migrasi penduduk. Teori ini buat pertama kalinya diketengahkan oleh F. Sarasin dan P. E. Sarasin, yang mengatakan ada dua gelombang 1 Peter Bellwood, Man’s Conquest Of The Pacific, hlm. 453. 1

Upload: khafizee-kasa

Post on 24-Nov-2015

60 views

Category:

Documents


9 download

TRANSCRIPT

Pengenalan

Pengenalan

Neolitik boleh ditakrifkan sebagai suatu zaman yang merujuk kepada budaya yang tidak mempunyai artifak logam dan menghasilkan dua daripada tiga ciri-ciri berikut. Ciri-ciri itu ialah kapak penetak, tembikar, dan perkebunan. Selain itu, Neolitik juga dapat diertikan sebagai zaman seramik tradisi. Ia merupakan peringkat kedua Zaman Holosen. Ianya boleh dianggap sebagai peringkat asas permulaan tamadun manusia. Pada zaman ini manusia Homo Sapiens mengalami perkembangan yang besar. Malah dari segi kebudayaannya ia dikatakan mengalami satu perubahan yang besar yakni suatu revolusi kebudayaan dalam prasejarah Asia Tenggara.

Pentarikhan Zaman Neolitik adalah berbeza mengikut tempat, namun begitu kebanyakan para pengkaji arkeologi bersetuju bahawa Zaman Neolitik ini dianggarkan bermula kira-kira antara 8000 hingga 4000 tahun B.C. Walaubagaimanapun terdapat juga pendapat-pendapat lain yang cuba ditimbulkan oleh beberapa ahli arkeologi mengenai pentarikhan sebenar zaman ini.

Kelompok yang wujud pada Zaman Neolitik ini dikatakan rumpun daripada Mongoloid Selatan yang dikatakan ras Australo-Melanesia. Ia adalah rentetan evolusi daripada masyarakat Zaman Hoabinh. Pentarikhan Zaman Neolitik ini berkait rapat dengan proses migrasi penduduk. Teori ini buat pertama kalinya diketengahkan oleh F. Sarasin dan P. E. Sarasin, yang mengatakan ada dua gelombang kedatangan atau penghijrahan orang Melayu ke rantau ini. Pertama kedatangan Melayu Proto yang membawa kebudayaan Neolitik, dan yang kedua pula tentang kedatangan Melayu Deutro yang membawa kebudayaan logam. Terdapat juga pendapat mengatakan bahawa orang Neolitik berasal dari orang Zaman Hoabinh. Manakala pendapat kedua mengatakan bahawa orang Neolitik adalah pendatang yang datang kemudian dan bukan berketurunan orang Hoabinh tetapi merupakan tinggalan orang Neolitik. Ini menjelaskan tentang teori awal kewujudan manusia Neolitik di Asia Tenggara, iaitu ianya mempunyai dua pendapat. Pendapat pertama mengatakan manusia Neolitik berasal daripada kumpulan pendatang, dan teori kedua mengatakan manusia Neolitik adalah daripada tinggalan manusia Hoabinh yang berevolusi.

Zaman Neolitik adalah berbeza mengikut kawasan dan tempoh masa yang berbeza sebagai contohnya di Gua Kepah(Seberang Prai), Gua Tengku Lembu(Perlis), Jenderam Hilir(Selangor), di Semenanjung Malaysia adalah lebih kurang 4000 tahun dahulu, sementara di Gua Niah(Sarawak) dan Gua Madai serta Gua Tengkorak(Sabah) pula lebih kurang antara 8000 hingga 6000 tahun dahulu. Selain itu, di kawasan Tanah Besar Asia Tenggara seperti di Non Nok Tha(Thailand) adalah bermula daripada 5000 tahun B.C.

Pada Zaman Neolitik ini, dapatlah dikatakan bahawa ianya merupakan permulaan kepada revolusi budaya dalam sejarah peradaban manusia. Kebudayaan ini dapat diperhatikan dari pelbagai aspek seperti petempatan, teknologi dan peralatan, ekonomi dan sosial. Setiap aspek yang terdapat dalam kebudayaan ini akan menjadi satu anjakan kepada kemajuan yang lebih bertamadun. Petempatan

Masyarakat pada zaman ini mula hidup secara menetap dan tidak lagi mengamalkan budaya nomad, ianya ciri kepada masyarakat yang lebih bertamadun. Didapati bahawa sesetengah petempatan-petempatan di gua batu kapur masih digunakan yang ianya merupakan tinggalan daripada masyarakat Hoabinh seperti gua batu kapur di Malaysia. Selain itu, masyarakat Neolitik mempunyai kemahiran membina tempat kediaman yang lebih selesa dan selamat. Petempatan-petempatan ini kebanyakannya adalah berdekatan dengan sumber air yang penting untuk pertanian dan penternakan binatang.

Tapak kediaman Zaman Neolitik boleh dibahagikan kepada dua iaitu di kawasan pedalaman dan di kawasan pesisiran pantai serta tepi-tepi sungai. Mereka memilih kediaman seperti di banir-banir pokok, di celah-celah batu di gua batu kapur, dan pondok-pondok kecil. Masyarakat Neolitik juga menjadikan kawasan yang terbuka iaitu di pesisiran atau tepi sungai sebagai tempat kediaman. Bagi kediaman orang Neolitik di kawasan pesisiran pantai ini kesannya boleh dilihat berdasarkan tinggalan-tinggalan kulit kerang di kawasan pesisiran. Di samping itu, kebanyakan tapak kediaman orang Neolitik di tepi sungai berkemungkinan dilitupi oleh timbunan tanah yang tebal. Hal ini dapat diperhatikan bagi orang Neolitik yang tinggal di sepanjang sungai-sungai utama mudah diancam hakisan umpamanya di Tui, Kuala Lipis.

Bukti-bukti petempatan secara kekal ini dapat dilihat kepada tapak-tapak di kawasan seperti Gua kecil (Pahang), Gua Cha dan Gua Musang (Kelantan), Spirit Cave di Thailand. Ia merupakan kediaman bagi orang Neolitik yang tinggal di kawasan pedalaman. Contoh petempatan kekal bagi mereka yang tinggal di pesisiran pantai dan tepi-tepi sungai ialah Sungai Siput (Perak) dan Sungai Tembeling (Pahang). Didapati bahawa Muang Thai di Thailand adalah merupakan tapak terawal dijumpai, ianya dianggarkan berusia 2500 B.C. Rumah-rumah yang diperbuat daripada tanah liat dan mereka juga mendirikan tembok-tembok batu di kawasan sekeliling rumah sebagai perlindungan. Teknologi

Peralatan pada Zaman Neolitik tidak sepenuhnya tertumpu kepada peralatan yang berasaskan batu. Ciri-ciri peralatan pada zaman ini adalah pelbagai, lebih halus dan cantik buatannya berbanding dengan zaman sebelumnya. Kapak-kapak batu yang dihasilkan pada zaman ini kebanyakannya dilicinkan keseluruhannya. Antara contoh kapak-kapak batu yang dihasilkan adalah seperti kapak bahu yang berleher, kapak lonjong, kapak empat segi bujur yang dipercayai kebudayaannya berasal dari Yunan. Hasil tinggalan orang Neolitik yang dijumpai di Semenanjung dan Asia Tenggara menunjukkan penggunaan yang luas kapak empat segi bujur. Dalam Zaman Batu Baru (Neolitik) ianya dikenali sebagai Kebudayaan Kapak Empat Segi Bujur.

Selain daripada penemuan kapak-kapak tersebut, barang-barang lain yang dijumpai juga turut menunjukkan ciri-ciri budaya Neolitik di Alam Melayu. Alat-alat tersebut adalah seperti tembikar dan perhiasan yang diperbuat daripada kulit kayu. Alat tembikar yang dihasilkan adalah seperti periuk, belanga dan bekas air yang mempunyai aneka ragam. Contoh alat tembikar yang menarik itu dapat dilihat pada hasil penyelidikan yang dibuat oleh H.D.Noone di Gua Menteri (Kelantan), M.W.F.Tweedie di Gua Musang (Kelantan), de Sieveking di Gua Cha (Kelantan) dan di Gua Niah (Sarawak) oleh Harrison. Tetapi sebilangan tembikar yang ditemui itu mempunyai hiasan jenis tanda tali.

Para Arkeologi juga telah menemui sejenis tembikar yang mempunyai kaki tiga yang dijumpai di Gua Cha (Kelantan), Jenderam Hilir (Selangor) dan Gua Bukit Tengku Lembu (Perlis). Daripada segi teknologi, tembikar jenis ini ada persamaannya dengan tembikar yang terdapat di Thailand khususnya di Ban Kao dan hal ini menunjukkan terdapatnya interaksi antara masyarakat pada Zaman Neolitik. Di samping itu, masyarakat pada zaman itu juga mempunyai kemahiran untuk membuat perahu terutamanya bagi masyarakat yang tinggal di pesisiran pantai. Perahu ini berfungsi sebagai alat pengangkutan untuk berlayar ke tempat yang lebih jauh. Dengan itu juga, mereka mengeksploitasi sumber laut yang dijadikan sebagai sumber makanan. Kemungkinan juga, kulit kerang dan siput dijadikan sebagai bahan hiasan yang diperdagangkan dengan masyarakat lain. EkonomiPada Zaman Neolitik atau Zaman Batu Akhir telah wujud aktiviti ekonomi. Masyarakat pada zaman ini telah mempunyai kemahiran dalam bidang pertanian dan juga aktiviti berkaitan dengan aktiviti perdagangan. Pada peringkat puncak Zaman Neolitik perubahan budaya tidak hanya berlaku dari segi peralatanperalatan dan perubahan petempatan masyarakat tersebut, malah perubahan budaya dapat dilihat dari aspek ekonomi. Sebagai ciri utama budaya Neolitik kemajuan dalam kegiatan ekonomi terutamanya dalam pertanian telah mengubah cara hidup mereka daripada kegiatan mengumpul makanan kepada menghasilkan makanan. Perkara ini jelas disokong oleh Peter Bellwood, beliau berpendapat masyarakat Zaman Neolitik ini hidup terutamanya melalui kegiatan pertanian dan hasil laut, menternak binatang, menguasai teknologi membuat kanu, rumah kayu yang baik dan juga dalam pembuatan tembikar. Perubahan pada Zaman Neolitik yang dilakukan ini telah mewujudkan satu revolusi perusahaan kepada tahap yang lebih berbudaya. Namun begitu, masyarakat pada Zaman Neoitik juga bergantung kepada aktiviti menangkap ikan, memungut hasil hutan dan berburu binatang untuk menyara diri. Manakala mengikut teori Sauer (1952) , mengatakan bahawa kemunculan aktiviti pertanian awal dengan penanaman ubi dan tanaman lain yang ditanam secara tunas di kawasan monsun di Asia Tenggara. Selain itu, menurut Abdul Rahman Haji Abdullah, perubahan sistem ekonomi telah mewujudkan satu revolusi kebudayaan iaitu perubahan besar dalam bidang pertanian. Melalui kegiatan pertanian dan penternakan ini juga menjadikan mereka hidup menetap disesuatu tempat tertentu. Antara binatang yang diternak adalah seperti babi, monyet, rusa dan pelanduk. Bukti yang terpenting yang dapat dijelaskan ialah penemuan di Non Nok Thai dan juga di Spirit Cave di Utara Thailand oleh Wilhelm G.Solheim II dan Chester F.Gorman. Penggalian di kedua-dua tapak arkeologi ini dikatakan telah memperoleh dua penemuan penting. Pertama kesan penanaman padi yang berlaku lebih kurang 5000 B.C. Manakala penemuan kedua ialah melibatkan penggunaan logam gangsa. Di Sprit Cave pula, ditemui lebih daripada 10 kesankesan tumbuhan, seperti mentimun, lada hitam, pinang dan kekacang.

Selain daripada aktiviti penternakan, pada zaman Neolitik telah wujud kegiatan yang dipanggil perdagangan yang bersifat primitif. Kegiatan perdagangan berlangsung adalah disebabkan oleh teknologi penciptaan perahu dan pengetahuan tentang ilmu pelayaran. Menurut Nik Hassan Suhaimi perkembangan perdagangan dikalangan masyarakat Neolitik telah berkembang di seluruh kawasan Asia Tenggara. Oleh itu beliau menegaskan aktiviti perdagangan telah wujud lebih kurang 4000 tahun dahulu. Melalui aktiviti perdagangan ini juga telah mewujudkan satu interaksi antara masyarakat di pesisir pantai dengan masyarakat di kawasan pedalaman. Ianya telah menyebabkan ekonomi pertukaran barang iaitu Sistem Barter.

Selain daripada pertukaran barangan, kegiatan perdagangan juga secara tidak langsung telah menjadi aset pertukaran teknologi dan idea khususnya dalam teknologi pembuatan tembikar tanah. Contohnya teknologi membuat alat-alat batu yang lebih halus corak pembuatannya. Pertukaran teknologi ini dapat dilihat melalui kajian oleh Thiel pada tahun 1988-1989 di Filipina yang menemui sebuah tapak perkuburan bertarikh 1500 S.M. Penemuan tembikar di tapak tersebut menunjukkan terdapat satu persamaan teknologi pembuatan tembikar di Gua Cha, Kelantan. Di samping itu, kaedah untuk membuat tembikar tanah juga berkembang. Hal ini dijelaskan dengan penemuan roda yang diguna untuk menghasilkan tembikar tanah daripada jenis batu Anvil. Batu ini digunakan untuk proses menguli, menumbuk tanah liat untuk membuat tembikar. Ianya dijumpai di Jenderam Hilir(Selangor). Bukti-bukti tersebut menunjukkan bahawa masyarakat Neolitik Malaysia telah menjalinkan hubungan dengan masyarakat lain di Asia Tenggara khususnya dengan masyarakat Tanah Besar di Asia Tenggara. Hubungan itu dikatakan berkembang melalui aktiviti perdagangan. Sosial

Perkembangan sosial yang berlaku pada zaman Neolitik mengalami satu proses revolusi yang merangkumi pelbagai aspek. Salah satu daripadanya ialah kehidupan bermasyarakat orang Neolitik yang semakin baik. Pada zaman ini, masyarakat Neolitik telah hidup dalam kelompok dan rumpun yang dibentuk secara tidak langsung. Walaupun kehidupan mereka tanpa mencampuri urusan antara satu sama lain, namun telah wujud interaksi antara masyarakat di kawasan pedalaman dengan kawasan di pesisiran pantai atau sungai terutamanya membabitkan aspek perdagangan dan pertukaran barangan. Contohnya, masyarakat di Semenanjng Malaysia telah menjalinkan hubungan dengan masyarakat lain di Asia Tenggara khususnya di Tanah Besar Asia Tenggara seperti masyarakat di Jenderam Hilir (Selangor), Kodiang (Kedah), Bukit Chuping (Perlis) yang dipercayai mempunyai hubungan dengan masyarakat Neolitik di Ban Kao (Thailand).

Selain dari itu, masyarakat pada zaman Neolitik juga telah mempunyai satu sistem kepercayaan. Kewujudan sistem ini dapat dilihat melalui tradisi Megalitik iaitu batu-batu besar yang didirikan untuk keperluan pemujaan nenek moyang mereka sebelum ini. Kepercayaan Megalitik ini merupakan satu bentuk kepercayaan lanjutan dari zaman Neolitik awal. Tradisi Megalitik ini juga telah mencapai zaman kematangannya pada zaman Logam. Kebudayaan ini wujud di penghujung zaman Neolitik iaitu lebih kurang 3000 B.C. Masyarakat Neolitik telah pun mengamalkan kepercayaan animisme. Kepercayaan terhadap kuasa animisme diamalkan dalam kehidupan mereka.

Pentingnya kepercayaan ini dapat dilihat apabila mereka mengamalkan pemujaan semangat padi sawah yang mana ianya penting dalam usaha menanam padi sehingga suasana bising tidak boleh dibenarkan sama sekali, contohnya tinggalan padi yang dijumpai di Non Nok Tha(Thailand) dipercayai merupakan tanaman yang ditanam oleh masyarakat zaman Neolitik dan ianya mempunyai kaitan dengan juga dengan amalan pemujaan semangat padi.

Masyarakat pada zaaman Neolitik telah mengamalkan tradisi pengebumian mayat secara lebih teratur. Seandainya berlaku kematian dikalangan mereka., pengebumian mayat itu dikebumikan secara terlentang dan bersama-sama mayat itu dibekalkan dengan peralatan seperti periuk belanga, kapak batu, manik-manik berantai, tembikar-tembikar, cengkerang dan daging babi. Kepercayaan ini berkait rapat dengan amalan kehidupan selepas mati. Selain itu, terdapat juga di kalangan mereka yang kematian kanak-kanak ini dikebumikan di dalam pasu-pasu tembikar yang indah buatannya. Kepercayaan dan kesenian masyarakat Neolitik juga dapat dilihat pada lukisan yang terdapat di dinding-dinding gua. Kebanyakan lukisan yang tertera pada dinding gua ini, melambangkan kepada kepercayaan terhadap kuasa ghaib. Ia juga menerangkan kaedah atau cara hidup masyarakat pada zaman Neolitik, contohnya penemuan lukisan di Gua Tambon dan Gua Kelawar(Perak) yang di lukis dengan menggunakan arang yang mempunyai simbolisme berkaitan dengan pemburuan binatang. Masyarakat zaman Neolitik juga telah mempunyai alat-alat perhiasan yang tersendiri. Faktor ini dapat dilihat pada penemuan gelang tangan batu, pemukul kulit kayu, lesung, dan batu tumbuk yang dijumpai di Gua Cha Kelantan. Selain itu masyarakat Neolitik juga telah mementingkan alat perhiasan untuk kecantikan diri. Contohnya ialah kulit cengkerang, siput, batu-batu manik yang berwarna-warni yang di jumpai di Gua Niah (Sarawak) dan Gua Cha (kelantan) yang dipercayai digunakan untuk menghiaskan diri.Kesimpulan

Zaman Neolitik yang berlaku pada sekitar 8000 hingga 4000 tahun B.C telah mengalami perkembangan evolusi dari pelbagai sudut kebudayaan. Evolusi kebudayaan Neolitik ini merangkumi aspek petempatan, teknologi, ekonomi dan sosial dengan setiap satu mempunyai perkaitan yang rapat antara satu sama lain. Selain itu, evolusi ini tidak hanya dilihat dari aspek kebudayaan sahaja, tetapi ianya juga melibatkan proses evolusi manusia yang hidup pada zaman Hoabinh kepada zaman Neolitik dari pelbagai aspek.

Evolusi budaya yang berlaku pada zaman Neolitik atau Zaman Batu Akhir amat berkait rapat dengan pertanian. Kegiatan pertanian yang disebabkan oleh pertumbuhan penduduk secara tidak langsung menjadi asas kepada evolusi kebudayaan masyarakat Zaman Neolitik. Evolusi budaya yang berlaku pada zaman ini telah menjadi pemangkin ke arah kebudayaan yang lebih bertamadun dan bersistematik pada zaman seterusnya iaitu Zaman Logam. Oleh itu jelaslah bahawa zaman Neolitik atau zaman Batu Akhir telah menjadi zaman permulaan kepada Revolusi Budaya dalam sejarah peradaban manusia.BibliografiAbdul Rahman Haji Abdullah. 2000. Sejarah Dan Tamadun Asia Tenggara, Sebelum

Dan Sesudah Pengaruh Islam,Utusan Publications & Distributors, Kuala LumpurAdi Haji Taha.1989. Penemuan Artifek Arkeologi Dan Bersejarah Di Negeri Perlis

Indera Kayangan ,Jebat.Bil.4,Jabatan Muzium Kuala Lumpur

Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN).1996. Malaysia Kita, Kuala LumpurLeong Sau Heng .1979. Pengajian Dan Penyelidikan Arkeologi Di Malaysia Dan

Implikasinya Terhadap Pembangunan Negara, UKM Bangi, Selangor Nik Hassan Suhaimi Nik Abdul Rahman.1992. Malaysia warisan Dan Perkembangan ,

Dewan Bahasa dan Pustaka ,Kuala Lumpur Peter Bellwood.1979. Mans Conquest Of The Pacific, The Prehistory Of Southeast Asia

& Ocenia,Oxford University Press, New YorkPeter Bellwood .2000. Prasejarah Kepulauan Indo-Malaysia, PT Gramedia Pustaka

Utama ,JakartaZainal Abidin Abd Wahid.1996. Malaysia Warisan dan Perkembangan, Dewan BahasaDan Pustaka ,Kuala Lumpur Peter Bellwood, Mans Conquest Of The Pacific, hlm. 453.

Abdul Rahman Haji Abdullah, Sejarah Dan Tamadun Asia Tenggara, hlm. 18.

Adi Taha, Penemuan Artifak Arkeologi Dan Bersejarah Di Perlis, hlm. 3.

Abdul Rahman Haji Abdullah, Sejarah Dan Tamadun Asia Tenggara, hlm. 21.

Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN), Malaysia Kita, hlm.11.

Abdul Rahman Haji Abdullah, Sejarah Dan Tamadun Asia Tenggara, hlm. 21.

Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN), Malaysia Kita, hlm. 13.

Ibid.hlm. 13.

Zainal Abidin Abd Wahid, Malaysia Warisan dan Perkembangan, hlm. 9.

Peter Bellwood, Pra Sejarah Indo- Malaysia, hlm. 298.

Ibid, hlm. 300.

Abdul Rahman Haji Abdullah, Sejarah Dan Tamadun Asia Tenggara, hlm. 21.

Abdul Rahman Haji Abdullah, Sejarah Dan Tamadun Asia Tenggara , hlm. 21.

Nik Hassan Suhaimi Nik Abdul Rahman, Malaysia warisan Dan Perkembangan, hlm. 6.

Peter Bellwood, Prasejarah Kepulauan Indo-Malaysia, hlm. 324.

Leong Sau Heng, Pengajian Dan Penyelidikan Arkeologi Di Malaysia Dan Implikasinya Terhadap

Pembangunan Negara, hlm. 35.

Zainal Abidin Abd Wahid, Malaysia Warisan dan Perkembangan, hlm. 10.

Abdul Rahman Haji Abdullah, Sejarah Dan Tamadun Asia Tenggara, hlm. 22.

Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN), Malaysia Kita, hlm. 13.

PAGE 11