guru sebagai pembentuk insan artikel
DESCRIPTION
ArtikelTRANSCRIPT
Guru Sebagai Pembentuk Insan
Dalam usaha menyediakan tenaga kerja yang berkualiti untuk mencapai
kecemerlangan negara yang berterusan, Perdana Menteri Malaysia kelima telah
membangkitkan mengenai Konsep Modal Insan dalam pembentangan Rancangan Malaysia
KE 9 (RMK 9). Hasrat kerajaan adalah tinggi dalam melahirkan generasi pelapis yang
berkualiti dalam menerajui negara ke arah kemajuan yang bakal dicapai terutamanya dalam
menghadapi Wawasan 2020.
Apabila harapan kerajaan ini difokuskan kepada generasi pelapis, sudah tentu
mereka ini adalah golongan yang sedang berada di universiti dan sekolah pada masa
sekarang. Merekalah yang bakal menerajui negara dalam segenap lapangan. Merekalah
yang akan jadi pemimpin, pengurus, penggerak pembangunan negara seterusnya
merekalah yang akan menjadi golongan yang akan berusaha memajukan negara di samping
menikmati apa juga kejayaan yang telah diusahakan oleh generasi terdahulu.
Dalam penulisan ini saya tertarik untuk membincangkan peranan guru secara
langsung dalam membentuk generasi pewaris tampuk kepimpinan negara ini berteraskan
konsep modal insan yang digagaskan oleh kerajaan. Seperti mana yang kita telah maklum,
adalah menjadi tanggungjawab guru dalam menyediakan dan mempersiapkan generasi
pelapis ini dalam era revolusi informasi abad ke 21. Cabaran-cabaran yang dihadapi oleh
guru dalam pembentukan “knowledge worker” dalam era kepesatan teknologi ini sangat
luas sehingga tak terdaya untuk dikawal oleh guru-guru, walaupun dalam sekolah.
Jika kita lihat fenomena yang berlaku dalam masyarakat Malaysia kini, guru-guru
sering dipersalahkan jika anak-anak tidak mencapai kecemerlangan. Ini bermaksud
masyarakat telah memandang rendah terhadap profesionalisme perguruan di Malaysia
sekarang, berbanding pada zaman dahulu. Orang ramai semakin kerap mempersoalkan
kualiti pendidikan di sekolah, seolah-olah tidak lagi menaruh keyakinan kepada kewibawaan
sekolah dalam hal ehwal mendidik, terutamanya apabila mendapati kelakuan murid lepasan
sekolah tidak seperti yang diharapkan oleh masyarakat dan negara. Kecemerlangan pada
sijil peperiksaan mereka secara realitinya tidak memperlihatkan kematangan berfikir,
kepetahan berkomunikasi, ketokohan sebagai pemimpin, kemurnian tingkah laku,
keupayaan mencipta dan menyumbang kepada kemajuan negara-bangsa dan global.
Jika kita kaji, banyak aspek ditekankan oleh pihak pentadbiran sekolah dalam rangka
melahirkan pelajar yang berkualiti dari sudut akademik terutamanya aspek pembangunan
fizikal di sekolah. Pihak pentadbiran menuntut bangunan yang selesa, komputer yang
cukup, makmal komputer yang lengkap, makmal Sains yang banyak sudah cukup untuk
membuktikan komitmen pihak sekolah untuk melahirkan insan yang cemerlang di bidang
pelajaran. Tetapi, pada masa yang sama mereka mengabaikan mengenai aspek
pembentukan akhlak pelajar di sekolah menyebabkan selepas sekolah bukan Universiti yang
dijejaki oleh para peljar ini, tetapi Penjara dan Pusat Serenti yang menanti.
Walaupun dalam usaha melahirkan sebuah negara yang maju, kebanyakan perbincangan
lebih dominan memperdebatkan hal-hal fizikal, namun aspek pembentukan akhlak amat
perlu dititikberatkan terutamanya bermula di peringkat persekolahan. Mengambil contoh
fenomena terkini yang berlaku dalam sistem pendidikan sebuah negara maju iaitu Amerika
Syarikat menunjukkan bilangan murid-murid yang belajar di rumah “homeschooling”
semakin meningkat dari setahun ke setahun sebagai manifestasi ketidakpercayaan ibubapa
dan orang awam terhadap kualiti dan prestasi pendidikan yang ditunjukkan oleh sekolah-
sekolah awam. Perkara ini berpunca akibat kebimbangan ibubapa terhadap sistem
persekolahan yang boleh menjejaskan aspek fizikal, mental dan spritual anak-anak mereka.
Tidakkah anda semua terfikir bahawa Malaysia juga akan mengalami kedaaan yang sama
apabila mencapai taraf negara maju nanti?
Oleh itu, guru seharusnya memahami akan peranan mereka sepenuhnya dalam
menjayakan modal insan ini. Segalanya perlu bermula dari diri guru tersebut. Menjadi
seorang guru yang cemerlang bukan sahaja dinilai dari aspek luaran semata-mata, tetapi
yang lebih penting adalah keperkasaan dari aspek profesionalismenya, prinsipnya, keutuhan
peribadinya, kecekapan dan ketrampilan mental dan intelektualnya, kestabilan emosi dan
spiritualnya seta kebijaksanaan kepimpinannya. Usaha-usaha ini penting dalam menyiapkan
diri mereka sebagai role-model utama terhadap generasi bakal peneraju kemajuan negara
suatu hari nanti.