contoh karangan amalan gaya hidup sihat
TRANSCRIPT
-
8/12/2019 Contoh Karangan Amalan Gaya Hidup Sihat
1/2
http://www.bumigemilang.com/contoh-contoh-karangan-bahasa-melayu-bm-spm/Amalan Gaya hidup Sihat
Amalan membentuk gaya hidup sihat dalam kalangan masyarakat.
Gaya hidup sihat bolehlah ditakrifkan sebagai satu amalan kehidupan yang membawa impak positif kepada diri seseorang,
keluarganya dan masyarakat. Antara contoh kehidupan yang sihat ialah individu tersebut hidup dengan penuh ceria tanpa mengalami sebarang
masalah yang boleh menjejaskan kehidupannya untuk satu tempoh tertentu pula. Sudah pasti dalam kehidupan era moden yang begitu banyak
tekanan ini gaya hidup sihat menjadi satu matlamat yang perlu dicapai segera. Oleh itu, terdapat pelbagai tindakan yang boleh dilakukan untuk
mencapai matlamat ini.
Tindakan awal ialah seseorang itu perlu mengamalkan satu bentuk pemakanan yang seimbang dalam kehidupannya. Dalam keadaan
kehidupan sebenar, orang ramai lebih suka mengambil makanan yang bersifat mudah seperti mengamalkan pengambilan makanan ringan
ataupun makanan segera. Tidak kurang juga masyarakan kita hari ini yang lupa kesan pengambilan makanan berlemak ataupun makanan yang
mempunyai kandungan garam, gula atau sodium glutamit yang tinggi. Hal ini boleh mendatangkan pelbagai penyakit kronik seperti sakit
jantung, darah tinggi ataupun kencing manis yang juga menjadi punca kematian tertinggi di negara kita. Orang ramai juga mesti menjauhi
amalan buruk seperti merokok atau meminum arak kerana kesannya amat membahayakan. Jelaslah, diet yang seimbang membolehkan kita
semua mencapai kehidupan yang ceria kerana semua nutrien yang diperlukan oleh badan diperoleh menerusi pemakanan yang seimbang.
Selain itu, aktiviti senaman yang berkala mampu menjadikan kehidupan yang dijalani oleh seseorang itu lebih sihat dan menceriakan.
Kita boleh menjalankan aktiviti seperti bersukan, berekreasi, berjalan atau berlari bersendirian atau bersama-sama keluarga ketika hujung
minggu. Aktiviti senaman seperti ini diakui oleh pakar perubatan mampu menjadikan sistem peredaran darah manusia lebih baik serta
menjadikan sistem imunisasi mereka tinggi. Mereka yang gemar bersukan biasanya memiliki badan yang sihat dan minda yang cerdasberbanding dengan orang yang jarang bersukan. Jelasnya, semakin kerap senaman dilakukan maka semakin tinggilah tahap kesihatan
seseorang itu kerana minda yang cerdas datangnya daripada badan yang cergas.
Orang ramai juga perlu mengutamakan kebersihan diri pada setiap masa bagi memastikan mereka terhindar daripada sebarang
penyakit. Keperluan asas seperti menggosok gigi, mandi, berpakaian bersih, waktu tidur dan rehat yang cukup juga perlu dijadikan amalan
hidup seharian. Bagi mengelakkan jangkitan kuman atau penyakit, mereka juga perlulah mengamalkan budaya mendisiplinkan diri dengan
asas-asas kebersihan seperti mencuci tangan dengan bersih sebelum makan, menutup makanan dengan baik agar tidak diharung lalat
mahupun memilih gerai atau tempat makan yang bersih semasa menjamu selera. Sikap sambil lewa masyarakat dalam aspek berkenaan
mungkin boleh membawa padah. Justeru, amalan sebegini harus diutamakan agar dapat membentuk gaya hidup yang sihat dalam kalangan
masyarakat.
Pada masa yang sama selain mengutamakan kesihatan diri dan makanan, masyarakat juga perlu menjaga kebersihan persekitaranmereka. Persekitaran yang bersih perlu dijadikan amalan dan gaya hidup agar kita terhindar daripada sebarang penyakit. Umpamanya, orang
ramai digalakkan mengadakan gotong-royong untuk membersihkan kawasan taman perumahan dengan membersihkan sampah-sarap atau
memastikan kawasan persekitaran mereka sentiasa bersih. Amalan seperti ini dapat mengelakkan pembiakan agen-agen pembawa penyakit
seperti nyamuk, lipas, lalat dan sebagainya. Tempat-tempat pembiakan nyamuk di dalam atau di luar rumah seperti pelapik pasu bunga
ataupun tempat takungan air mestilah kerap dibersihkan ataupun ditukar. Dengan cara demikian, orang ramai akan dapat menjauhkan diri
mereka daripada pelbagai penyakit serta membentuk kehidupan yang sihat..
Gaya hidup yang sihat juga melibatkan aspek psikologi dan sosial seseorang itu. Mereka yang lebih terbuka dan bersedia untuk
berkongsi masalah dengan orang lain didapati lebih bermakna kehidupannya berbanding dengan individu yang suka bersendirian atau
menyimpan masalah mereka. Sikap berkawan dan menghabiskan masa bersama-sama mereka menjadikan keperluan psikologi manusia
dipenuhi dengan efektif. Masyarakat digalakkan menjalin hubungan komunikasi yang mesra bersama-sama rakan atau jiran tetangga.
Hubungan baik yang berkekalan biasanya dapat melahirkan satu bentuk kehidupan yang ceria dan menggembirakan. Sesungguhnya, aspekpsikologi dan sosial manusia perlu dipenuhi bagi memperoleh gaya hidup yang sihat ini.
Pada masa yang sama sikap atau mentaliti positif penting untuk dimiliki oleh seseorang itu bagi menangani tekanan kehidupan dalam
era moden ini. Pemikiran yang positif menjadikan seseorang itu mampu menyelesaikan pelbagai kemelut yang melanda kehidupannya dengan
baik tanpa tertekan. Kehidupan zaman moden yang penuh cabaran terutama tekanan di pejabat memerlukan satu persepsi positif daripada
ahli masyarakat kita. Kepada mereka yang menghadapi tekanan hidup, mereka mungkin boleh mendapatkan bantuan daripada pakar motivasi
ataupun rakan-taulan di sekeliling mereka. Hal ini perlu kerana tekanan yang dialami boleh menjuruskan seseorang pada perlakuan negatif
seperti mendera, menagih dadah atau melakukan sesuatu perkara di luar jangkaan. Jadi, semakin positif minda seseorang itu maka semakin
tinggilah gaya hidup sihat yang mampu dicapainya kelak.
Kesimpulannya, gaya hidup yang sihat ini boleh diperoleh menerusi semua amalan yang dipaparkan tadi. Gaya hidup sihat hanya
boleh dicapai sekiranya masyarakat mengamalkan semua aspek kehidupan berlandaskan ciri-ciri manusia sihat. Cuma sikap masyarakat yang
masih memandang rendah kepentingan gaya hidup sebeginilah yang menyebabkan pelbagai masalah kesihatan timbul kelak. Kita semua
perlulah memahami bahawa mencegah lebih baik daripada mengubatinya.
-
8/12/2019 Contoh Karangan Amalan Gaya Hidup Sihat
2/2
http://www.bumigemilang.com/contoh-contoh-karangan-bahasa-melayu-bm-spm/http://www.bumigemilang.com/contoh-contoh-karangan-bahasa-melayu-bm-spm/