97550283-refleksi-bmm
DESCRIPTION
bmmTRANSCRIPT
REFLEKSI
Pada setiap semester, semua guru pelatih akan diberikan tugasan sebagai syarat
untuk menghabiskan semester. Kali ini, saya dan rakan-rakan seperjuangan telah
diberi tugasan dalam subjek ”Pengajian Sukatan Pelajaran Bahasa Melayu Sekolah
Rendah BMM 3101”. Saya dan dua orang lagi rakan seperjuangan saya Nur Atikah
Remali dan Shezwani Mohd Saed telah diberikan tugasan untuk memilih Rancangan
Pengajaran Harian (RPH), menganalisis RPH tersebut dan seterusnya membuat
ulasan mengenai kerelevanan kemahiran bahasa dan kemahiran bernilai tambah
dalam RPH.
Dalam usaha untuk menyelesaikan tugasan ini, saya dan rakan-rakan
seperjuangan saya terpaksa bertapa di dalam perpustakaan bagi mencari buku
rujukan yang mencukupi. Saya dan rakan saya tidak boleh bergantung kepada
maklumat yang terdapat di internet sahaja kerana maklumat yang ada belum
mencukupi. Tambahan pula, apabila membaca pelbagai buku, kami akan mendapat
lebih banyak maklumat, sekaligus lebih memahami mengenai konsep kemahiran
bahasa dan kemahiran bernilai tambah. Kadangkala kami perlu menunggu giliran
meminjam kerana buku yang ada adalah terhad. Namun, hal itu tidak mematahkan
semangat saya dan rakan-rakan seperjuangan untuk terus berusaha menyiapkan
tugasan ini. Bak kata pepatah, ”Manakan dapat sagunya, kalau tak dipecahkan
ruyungnya”.
Dalam tugasan kali ini, saya dan rakan sekumpulan dikehendaki menganalisis
kemahiran bahasa dan kemahiran bernilai tambah yang terdapat dalam RPH yang
telah dipilih. Justeru, sebelum menganalisis RPH tersebut, sudah tentulah saya dan
rakan-rakan perlu memahami konsep kedua-dua kemahiran tersebut. Walaupun
kadangkala, hal ini memeningkan kepala kami, perjuangan tetap perlu diteruskan.
Apabila menemui jalan buntu, saya dan rakan-rakan sekumpulan akan berjumpa
dengan pensyarah pembimbing, Encik Jeyagobi bagi meminta penjelasan.
Kebiasaanya, Encik Jeyagobi akan dapat membantu merungkaikan masalah yang
ada dan beliau tidak pernah lokek untuk berkongsi ilmu yang ada.
Setelah memahami konsep kedua-dua kemahiran tersebut, barulah saya dan
rakan-rakan dapat menyambung kembali misi kami untuk menyelesaikan tugasan
ini. Saya mendapati bahawa kedua-dua kemahiran ini merupakan kemahiran yang
penting untuk diterapkan dalam sesi Pengajaran dan Pembelajaran (P&P). Seperti
yang telah diketahui umum, bahasa Melayu merupakan bahasa kebangsaan dan
semua rakyat Malaysia mestilah menguasainya. Oleh itu, tanpa ragu dan sangsi,
memang wajarlah kemahiran bahasa dimasukkan dalam RPH. Kemahiran Bernilai
Tambah ini pula menyahut seruan Falsafah Pendidikan Kebangsaan yang ingin
melahirkan rakyat yang seimbang dan harmonis.
Semasa berusaha menyelesaikan tugasan ini, saya mendapati bahawa bukan
senang untuk menjadi seorang guru yang benar-benar berjiwa pendidik. Sebagai
seorang guru, saya mestilah menjadi seorang yang sentiasa berfikiran terbuka dan
menghargai murid-murid yang ada di dalam kelas. Saya perlu sentiasa ingat
bahawa murid-murid di dalam kelas terdiri daripada pelbagai latar belakang dan
keupayaan. Justeru, Teori Pelbagai Kecerdasan perlu dipegang dan diaplikasikan di
dalam kelas.
Saya juga tertanya-tanya sama ada saya mampu atau tidak menjadi seorang
guru yang benar-benar berjiwa pendidik. Memetik kata-kata seorang pensyarah
saya, seorang guru mestilah seorang yang berilmu tinggi dan rajin membaca.
Dengan adanya ilmu yang tinggi, guru akan dapat memberikan kefahaman kepada
murid-murid. Ilmu yang ada mestilah dikongsikan dengan murid-murid tanpa
mengharapkan balasan. Kemahiran bahasa dan kemahiran bernilai tambah juga
perlu dikuasai dengan baik agar guru dapat menjadi contoh teladan yang baik.
Dalam usaha untuk menjadi seorang pendidik yang baik, hati mesti dijaga
agar sentiasa ikhlas dalam mendidik generasi yang akan membina negara ini.
Tanpa hati yang ikhlas, mungkin apa yang ingin disampaikan kurang masuk ke
dalam jiwa anak didik kita nanti. Dengan adanya keikhlasan dalam hati, saya yakin,
seorang guru pasti akan berjaya menyentuh hati anak didiknya dan sekaligus
berjaya menyediakan anak-anak didiknya untuk berhadapan dengan dunia sebenar.
Erti persahabatan juga semakin saya fahami sepanjang saya melalui liku-liku
perjalanan untuk menuju ke matlamat kami, iaitu untuk menyiapkan kerja kursus ini
sebaik mungkin. Sahabat-sahabat seperjuangan saya, Nur Atikah dan Shezwani
banyak menunjukkan nilai-nilai murni kepada saya. Saya semakin mengerti bahawa
dalam usaha kita untuk mencapai matlamat, sahabat amat diperlukan, terutama
ketika kita berasa lemah dan mula mahu mengalah. Sesungguhnya, persahabatan
yang murni amat diperlukan untuk menghasilkan sesuatu kerja yang lebih baik. Di
samping itu, kerjasama yang erat dan kukuh dalam kalangan rakan seperjuangan
juga sangat penting bagi membantu kita untuk menghadapi apa jua cabaran dan
dugaan. Sungguh, kata-kata “Wonderpets” (satu rancangan kartun di televisyen)
memang benar, apabila mereka mengata bahawa, “ Apa yang penting? Kerjasama!”.
Sesungguhnya, memang banyak pengalaman yang saya perolehi.
Tambahan pula, ada orang bijak pandai yang mengatakan bahawa pengalaman itu
adalah guru yang terbaik. Jadi saya merasakan bahawa pengalaman yang saya
perolehi ini, merupakan satu pengalaman yang tidak boleh ditukar ganti kerana
ianya amatlah berharga. Sesungguhnya, pengalaman ini tidak boleh dijual beli,
hatta dengan segunung emas dan selaut perak sekalipun.
Secara tuntas, apa yang saya dan rakan-rakan saya telah lakukan bukanlah
sesuatu yang sia-sia kerana ilmu itu luas dan perlu sentiasa kita timba. Walaupun
hanya bermula dengan paksaan, ianya menjadi sesuatu yang amat kami hargai.
Sekiranya kami bertindak untuk mengangkat bendera putih sebelum berjuang,
maka, kami akan menjadi orang yang paling malang sekali kerana melarikan diri
daripada ilmu. Semoga apa yang diperolehi ini, dapat memberi manfaat kepada
semua pihak, terutamanya bagi insan-insan yang mendahagakan ilmu.
(RUQAIYAH HANI BINTI FIRUZ DALILI)