wnha lwn mhi - jakess.gov.my lwn mhi.pdf · terlebih dahulu kerana ia akan member kesan kepada...

16
1 WNHA Lwn MHI [Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur, Selangor, Kes Mal Bil: 10007-006-0613-2017 (Tuan Shaiful Azli bin Jamaludin HMRS)] [29 Zulhijjah 1438 bersamaan 20 September 2017] Undang-undang Keluarga - Tafsiran -Anak Tak Sah Taraf - Seksyen 2,- Pemakaian - Seksyen 4 dan Tuntutan Pengesahtarafan Anak - Seksyen 111 Enakmen Undang-undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) Tahun 2003. Undang-undang Pentadbiran - Bidangkuasa mahkamah- Seksyen 61 (3) (b) (iii) dan 62 (2) (b) Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) Tahun 2003. Undang-undang Keterangan - Iqrar- Seksyen 17(1) (2) (a) Enakmen Keterangan Mahkamah Syariah (Negeri Selangor) Tahun 2003. Fakta Kes [1] Kes ini adalah permohonan pengesahtarafan anak yang difailkan oleh Plaintif WNHA merupakan seorang muallaf untuk anak lelaki bernama MEH Bin MHI yang dilahirkan pada 6 April 2012. Mengikut keterangan Plaintif, anak tersebut lahir selepas 2 bulan atau 60 hari selepas perkahwinan Plaintif dengan Defendan MHI. [2] Saman dan penyata tuntutan telah diserahkan kepada Defendan secara serahan Kediri pada 30 Julai 2017. Walau bagaimanapun, Defendan enggan menandatangani akuan penerimaan. Pada tarikh sebutan pertama 8 Ogos 2017 Defendan tidak hadir ke mahkamah tanpa alasan. Mahkamah telah mengarahkan satu Notis Amaran dikeluarkan kepada Defendan pada tarikh bicara akan datang iaitu 20 September 2017. Mahkamah percaya penyampaian saman telah sempurna dan kes diteruskan dengan perbicaraan sebelah pihak berdasarkan Seksyen 121 (1)

Upload: others

Post on 07-Sep-2019

21 views

Category:

Documents


2 download

TRANSCRIPT

1

WNHA Lwn MHI

[Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur, Selangor, Kes Mal Bil: 10007-006-0613-2017 (Tuan

Shaiful Azli bin Jamaludin HMRS)]

[29 Zulhijjah 1438 bersamaan 20 September 2017]

Undang-undang Keluarga - Tafsiran -Anak Tak Sah Taraf - Seksyen 2,- Pemakaian - Seksyen 4

dan Tuntutan Pengesahtarafan Anak - Seksyen 111 Enakmen Undang-undang Keluarga Islam

(Negeri Selangor) Tahun 2003.

Undang-undang Pentadbiran - Bidangkuasa mahkamah- Seksyen 61 (3) (b) (iii) dan 62 (2) (b)

Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) Tahun 2003.

Undang-undang Keterangan - Iqrar- Seksyen 17(1) (2) (a) Enakmen Keterangan Mahkamah

Syariah (Negeri Selangor) Tahun 2003.

Fakta Kes

[1] Kes ini adalah permohonan pengesahtarafan anak yang difailkan oleh Plaintif WNHA

merupakan seorang muallaf untuk anak lelaki bernama MEH Bin MHI yang dilahirkan pada

6 April 2012. Mengikut keterangan Plaintif, anak tersebut lahir selepas 2 bulan atau 60 hari

selepas perkahwinan Plaintif dengan Defendan MHI.

[2] Saman dan penyata tuntutan telah diserahkan kepada Defendan secara serahan Kediri pada

30 Julai 2017. Walau bagaimanapun, Defendan enggan menandatangani akuan penerimaan.

Pada tarikh sebutan pertama 8 Ogos 2017 Defendan tidak hadir ke mahkamah tanpa alasan.

Mahkamah telah mengarahkan satu Notis Amaran dikeluarkan kepada Defendan pada tarikh

bicara akan datang iaitu 20 September 2017. Mahkamah percaya penyampaian saman telah

sempurna dan kes diteruskan dengan perbicaraan sebelah pihak berdasarkan Seksyen 121 (1)

2

(b) Enakmen Tatacara Mal Mahkamah Syariah (Negeri Selangor) Tahun 2003. Plaintif dan

Defendan tidak diwakili oleh mana mana peguam syarie dalam mengendalikan kesnya.

[3] Di dalam kes ini Plaintif juga tiada mengemukakan sebarang saksi dalam menyokong

keterangannya, cuma mengemukakan dokumen-dokumen sebagai bayyinah dalam kes ini.

[4] Plaintif sebelum ini dalam kes berasingan pernah memfailkan kes faraq nikah dengan Defendan

pada 17 September 2014. Namun, kes tersebut telah dipinda kepada kes permohonan

pengesahan nikah di mana Defendan bertindak sebagai Plaintif dan Plaintif bertindak sebagai

Defendan. Kes tersebut telah diputuskan pada 14 November 2016, bahawa pernikahan antara

Plaintif dan Defendan yang berlangsung pada Februari 2012 di Negeri Kelantan adalah satu

pernikahan yang fasid mengikut Hukum Syarak. Plaintif dan Defendan telah difaraqkan mulai

dari tarikh tersebut (No. Kes: 10007-042-0772-2014).

[5] Plaintif kemudiannya telah memfailkan kes pengesahtarafan anak ini pada 26 Julai

2017 supaya Mahkamah mengisyhtiharkan bahawa anak tersebut adalah anak tidak

sah taraf sekaligus tidak boleh dinasabkan atau dibinkan kepada Defendan sebagai

bapa.

[6] Dalam iqrar Plaintif, sebelum berlakunya pernikahan antara Plaintif dan Defendan,

Plaintif sedang hamil 7 bulan lebih. Kemudian selepas 60 hari pernikahan berlaku,

Plaintif telah melahirkan seorang anak lelaki pada 6 April 2012 yang didaftarkan

dengan nama MEH Bin MHI (No. Sijil: CT78564) di Jabatan Pendaftaran Negara.

[7] Fakta yang menjadi isu di dalam kes ini adalah sama ada anak tersebut anak sahtaraf dan boleh

dinasabkan kepada Defendan ataupun tidak.

3

Diputuskan

Mahkamah setelah mendengar keterangan Plaintif dan Defendan dan setelah Mahkamah meneliti

perbahasan hukum syara’, maka dengan ini Mahkamah berpuashati untuk memerintahkan kes ini

seperti berikut:

(1) Mahkamah meluluskan permohonan Plaintif.

(2) Mahkamah mensabitkan bahawa anak yang bernama MEH Bin MHI (No. MyKid: XXX)

adalah anak tidak sah taraf serta tidak boleh dinasabkan kepada MHI.

(3) Mahkamah memerintahkan Jabatan Pendaftaran Negara membuat pindaan yang

sewajarnya pada Daftar Kelahiran anak tersebut.

Peguam Syarie

Plaintif dan Defendan tidak diwakili oleh mana mana Peguam Syarie.

Surah al-Quran yang dirujuk

1. Surah al-Ahzab : ayat 5

Kitab-kitab yang dirujuk

1. Al-Sayyid Abdul Rahman Nin Muhammad bin Hussain bin Umar, Bughyah Al-

Mushtarshidin, Beirut, Dar Al-Fikr 1994.

2. Al-Syafi'i Muhammad bin Idris, Ahkam al-Qur'an, sunt. 'Abd al-Ghani 'Abd al-Khaliq,

Beirut: Dar al-Kutub al-'Ilmiyah, 1980, jil. 2.

3. Wahbah al-Zuhaili, Al-Fiqh al-Islami wa Adillatuhu, Damsyik: Dar al-Fikr, 1989, juz. 7,

hlm. 681.

4

4. Suffian bin ‘Umar Buraq’ah, Al-Nasab wa Mada Ta’thir al-Mustajaddad al’Ilmiyyah fi

Ithbatihi, Riyadh: Dar Kanzu, 2007, hlm. 259-275.

5. Ibnu Abidin Muhammad Amin, Mughni al-Muhtaj, Kaherah: Maktabah al-Jumhuriyyah

al-Arabiyyah, hlm. 540.

6. Al-Syarbini, Shamsu ad-din Muhammad bin Al-Khatib, Mughni al-Muhtaj, Kaherah:

Sharikat wa Maktabat wa Matba’at Mustafa, hlm. 396.

7. Al-Ramli Shams al-Din Muhammad Ibn Abi al-Abbas Ahmad Ibn Hamzah Ibn Shihab al-

Din, Nihayat al-Muhtaj. Jilid 7. Kaherah: Sharikat wa Maktabat wa Matba’at Mustafa, hlm.

130.

8. Ali Ahmad an-Nadwi. Al-Qawaid al-Fiqhiyyah. Syria: Darul Qalam: 1994.

9. Ibn Qudamah Abu Muhammad Abdullah ibn Ahmad, Al-Mugni, Kaherah: Maktabah al-

Jumhuriyyah al-Arabiyyah, jil. 10, t.th, hlm. 141.

Undang-undang yang dirujuk

1. Arahan Amalan JKSM No. 9 Tahun 2001.

2. Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) Tahun 2003 - s. 62(2) (b) (iii) dan

s.52 (1) dan (2).

3. Enakmen Undang-undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) – s. 2, s.4 dan s.111.

4. Enakmen Keterangan Mahkamah Syariah (Negeri Selangor) – s. 17 (1) (2).

Kes-kes yang dirujuk

Mohd Hairy bin Hamdan lwn Rabiah binti Ishak (2013) 2 JH 36

Penghakiman oleh Tuan Shaiful Azli Bin Jamaludin, HMRS.

[8] Kes ini di pohon oleh Plaintif untuk mengesahtarafkan anaknya yang dilahirkan 60 hari selepas

pernikahan dengan Defendan.

5

Sebelum mahkamah memutuskan kes ini, mahkamah terlebih dahulu berpuashati dan

menjawab beberapa fakta yang menjadi isu di dalam kes ini iaitu:

(1) Adakah Mahkamah mempunyai bidangkuasa untuk mendengar dan memutuskan kes

ini?

(2) Isu sama ada anak tersebut sebagai anak sah taraf atau tidak?

Isu pertama: Adakah Mahkamah mempunyai bidangkuasa untuk mendengar dan

memutuskan kes ini?

[9] Mahkamah merujuk kepada Seksyen 62(2)(b)Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri

Selangor) No. 1 Tahun 2003 yang memperuntukkan:

(b) dalam bidang kuasa malnya, mendengar dan memutuskan semua tindakan dan

prosiding yang Mahkamah Tinggi Syariah diberi kuasa untuk mendengar dan

memutuskannya, jika amaun atau nilai hal perkara yang dipertikaikan itu tidak melebihi

seratus ribu ringgit atau tidak dapat dianggarkan dengan wang (tidak termasuk tuntutan

hadhanah atau harta sepencarian).

[10] Seksyen ini dibaca bersama dengan Seksyen 61 (3) (b) (iii) Enakmen yang sama

memperuntukkan:

(b) dalam bidang kuasa malnya, mendengar dan memutuskan semua tindakan dan

prosiding jika semua pihak dalam tindakan atau prosiding itu adalah orang Islam dan

tindakan atau prosiding itu adalah berhubungan dengan:

iii) nafkah orang-orang tanggungan, kesahtarafan, atau penjagaan atau jagaan

(hadhanah) budak-budak

6

[11] Selain dari itu, Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) Tahun 2003

melalui Seksyen 111 yang mana secara khusus memberi kuasa kepada Mahkamah Syariah

untuk menentukan kesahtarafan anak telah memperuntukkan :

Jika seseorang perempuan yang berkahwin dengan seseorang lelaki melahirkan

seorang anak lebih daripada enam bulan qamariah dari tarikh perkahwinannya

itu atau dalam masa empat tahun qamariah selepas perkahwinannya itu

dibubarkan sama ada oleh sebab kematian lelaki itu atau oleh sebab perceraian,

dan perempuan itu pula tidak berkahwin semula, maka lelaki itu hendaklah

disifatkan sebagai bapa anak itu, tetapi lelaki itu boleh, dengan cara li’an atau

kutukan, menafikan anak itu sebagai anaknya di hadapan Mahkamah.

[12] Permohonan ini juga telah memenuhi kehendak peruntukan Seksyen 4 Enakmen Undang-

Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) Tahun 2003. Peruntukan tersebut adalah mengenai

pemastautinan ketika permohonan dibuat adalah di dalam Negeri Selangor. Alamat

pemastautinan pihak Plaintif adalah di 9197A Jalan Negara, Taman Melawati, 53100 Kuala

Lumpur, W.P Kuala Lumpur seperti tertera di dalam Kad Pengenalan pihak Plaintif yang

dilampirkan dalam rekod Mahkamah adalah bidangkuasa Mahkamah ini untuk mendengar

dan membicarakan kes Plaintif.

Isu kedua: Isu sama ada anak tersebut sebagai anak sah taraf atau tidak?

[13] Sebelum mahkamah menentukan nasab anak tersebut, mahkamah terlebih dahulu perlu

menjelaskan tentang mazhab yang mana akan digunapakai dalam menentukan isu

pengesahtarafan anak tersebut.

[14] Berdasarkan Arahan Amalan JKSM No. 9 Tahun 2001 mengenai pemakaian

Pendapat Mazhab Fiqh hendaklah menggunakan pendapat Mazhab Mu’tabar

berpandukan kepada dasar yang telah ditetapkan oleh Raja Pemerintah bagi

negeri yang mengeluarkan tauliah kepada hakim hakim. Dalam Enakmen Undang

Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003, tiada tafsiran yang menjelaskan

7

tentang keperluan pemakaian pendapat mazhab kecuali hanya dijelaskan dalam

seksyen 2, mengenai tafsiran hukum syarak iaitu :

”Hukum Syarak” ertinya Hukum syarak mengikut Mazhab Shafie atau mengikut

mana-mana satu mazhab Maliki, Hanafi atau Hanbali.”

Tafsiran ini menjelaskan bahawa pendapat dari Mazhab Syafie terlebih dahulu dirujuk dalam

menentukan sesuatu masalah sebelum merujuk kepada mazhab yang lain. Bagaimanakah

keadaan yang membolehkan Mahkamah mengguna dan merujuk pandangan daripada

mazhab selain Syafie? Persoalan ini dijelaskan dalam Seksyen 52 (1) dan (2) Enakmen

Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003 iaitu :

Seksyen 54(1) - Dalam mengeluarkan apa apa fatwa dibawah seksyen 48 atau

memperakukan apa-apa pendapat dibawah seksyen 53 Jawatankuasa Fatwa

hendaklah pada lazimnya mengikut qaul muktamad (pendapat-pendapat yang

diterima) Mazhab Syafie.

Seksyen 52(2)- Jika Jawatankuasa Fatwa berpendapat bahawa dengan qaul

muktamad Mazhab Syafie suatu keadaan yang berlawanan dengan

kepentingan awam akan terhasil, Jawatankuasa Fatwa bolehlah mengikut

qaul muktamad Mazhab Hanafi, Maliki atau Hambali.

[15] Seksyen 52(1) ini menjelaskan bahawa qaul muktamad yang mesti diikuti oleh

Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor adalah qaul muktamad dari Mazhab Syafie.

Seksyen ini juga menjelaskan bahawa Jawatankuasa Fatwa mestilah

menggunakan qaul dari Mazhab Syafie yang merupakan mazhab bagi Raja

Pemerintah iaitu DYMM Sultan Selangor. Bersesuaian dengan peruntukkan

seksyen ini dan juga Arahan Amalan JKSM No.9 Tahun 2001 Mazhab bagi

DYMM Sultan Selangor adalah bermazhab Syafie.

8

[16] Oleh kerana Raja Pemerintah di Negeri Selangor bermazhab Syafie, maka adalah wajar

mahkamah ini memutuskan dan menentukan tentang isu pengesahtarafan anak ini mengikut

mazhab pemerintah DYMM Sultan Selangor. Isu penggunaan mazhab ini perlu dipastikan

terlebih dahulu kerana ia akan member kesan kepada keputusan yang akan diputuskan.

[17] Sekiranya dilihat berdasarkan seksyen 52(2) EPAIS, di sana undang undang memberi ruang

kepada Jawatankuasa Fatwa menggunakan pendapat dari mazhab lain dengan syarat

pendapat Mazhab Syafie berlawanan dengan kepentingan awam. Plaintif dalam hujahannya

tidak menimbulkan langsung tentang persoalan pemakaian pendapat mazhab ini berserta

alasannya, sebaliknya membiarkan Mahkamah menentukan persoalan ini. Oleh kerana tiada

hujahan pihak Plaintif dalam penentuan pemakaian pendapat mazhab dan juga tiada

persoalan kepentingan awam dibabitkan dalam isu ini bagi membolehkan mahkamah

menggunakan pendapat selain Mazhab Syafie, maka mahkamah mengambil pendirian untuk

menggunakan pendapat Mazhab Syafie dalam membuat penentuan pengesahtarafan anak

tersebut.

[18] Berdasarkan keterangan Plaintif, Plaintif mengakui semasa akad nikah dijalankan Plaintif

sedang mengandung 7 bulan lebih. Ini bermakna anak tersebut telahpun wujud dalam

kandungan Plaintif sebelum akad nikah dilafazkan. Defendan juga tahu hal keadaan itu.

[19] Selepas 60 hari dari pernikahan Plaintif dan Defendan pada Februari 2012, Plaintif telah

melahirkan anak tersebut pada 6 April 2012. Ini bermakna anak tersebut lahir kurang dari 6

bulan qamariah 2 lahzoh. Dapatan mahkamah daripada keterangan Plaintif, ada dua perkara

yang menjadi fakta penting yang perlu mahkamah lihat sebelum mahkamah menentukan sah

taraf anak tersebut. Fakta pertama adalah anak tersebut lahir 60 hari dari tarikh perkahwinan

dan kedua, Plaintif mengakui semasa pernikahan Plaintif sedang hamil dan Defendan turut

mengetahui hal ini. Seterusnya, masing-masing pihak mengambil keputusan untuk

berkahwin.

[20] Dalam membahaskan fakta yang pertama, Mahkamah telah merujuk kepada fatwa fuqaha’

Mazhab Syafie melalui kitab Bughyah Al-Mushtarshidin, Beirut, Dar Al-Fikr 1994 halaman

386. Daripada keadaan keadaan yang dijelaskan dalam fatwa tersebut ternyata anak yang

9

lahir kurang daripada 6 bulan adalah dilarang dihubungkan dengan lelaki yang menyetubuhi

ibu kepada anak tersebut. Begitu juga dengan pendapat Mazhab Hanafi yang menjelaskan

bahawa anak yang lahir kurang dari 6 bulan daripada tarikh pernikahan tidak boleh

dinasabkan kepada lelaki yang menyebabkan wanita itu hamil.

[21] Dalam Seksyen 2 Enakmen Undang-undang Keluarga Islam Negeri Selangor 2003 tafsiran

“anak tak sah taraf” adalah anak yang dilahirkan di luar nikah dan bukan dari persetubuhan

syubhah. Tafsiran ini juga selari dengan Fatwa Kebangsaaan dan Fatwa Negeri Selangor.

Dalam isu pengesahtarafan anak ini, kedua-dua fatwa ini mengambil pandangan Mazhab

Syafie demi maslahah umat Islam sejagat. Kedua-dua fatwa tersebut juga menjelaskan

takrifan anak tak sah taraf dengan jelas iaitu anak yang lahir kurang dari 6 bulan 2 lahzah

mengikut takwim qamariah daripada tarikh tamkin tidak boleh dinasabkan kepada lelaki

yang menghamilkan wanita itu.

[22] Fatwa Kebangsaan dalam muzakarah kali ke 57 telah membuat keputusan berkaitan anak

tidak sah taraf. Dalam keputusan yang dibuat pada 10 Jun 2003, Muzakarah telah

memutuskan seperti berikut :

a) Anak Tak Sah Taraf ialah:

1. Anak yang dilahirkan di luar nikah sama ada akibat zina atau rogol dan dia

bukan daripada persetubuhan syubhah atau bukan daripada anak perhambaan.

2. Anak dilahirkan kurang dari 6 bulan 2 lahzah (saat) mengikut Takwim

Qamariah daripada tarikh tamkin (setubuh).

b) Anak tak sah taraf tidak boleh dinasabkan kepada lelaki yang menyebabkan

kelahirannya atau kepada sesiapa yang mengaku menjadi bapa kepada anak

tersebut. Oleh itu, mereka tidak boleh pusaka mempusakai, tidak menjadi

mahram dan tidak boleh menjadi wali jika anak tersebut perempuan

10

[23] Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor pun memutuskan hal yang sama dalam keputusan

Muzakarah Fatwa Negeri Selangor pada 17 Januari 2005 yang telah diwartakan pada 28

April 2005. Keputusan muzakarah tersebut adalah seperti berikut :-

1. Anak yang dilahirkan tanpa nikah sama ada hasil daripada zina, rogol atau melalui cara

saintifik yang bertentangan dengan hukum syara'.

2. Anak yang dilahirkan kurang daripada 6 bulan 2 lahzah qamariah dari waktu 'Imkan ad

Dukhul' dan bukan hasil daripada persetubuhan syubhat.

3. Anak yang dilahirkan lebih daripada 6 bulan 2 lahzah qamariah dari waktu 'Imkan ad

Dukhul' selepas akad yang sah dan ada bukti dari segi syara' bahawa anak tersebut ialah

anak tanpa nikah melalui iqrar (pengakuan) mereka yang berkenaan (suami dan isteri

tersebut atau salah seorang daripadanya), atau 4 orang saksi yang memenuhi syarat-syarat

mengikut hukum syara'.

[24] Begitu juga keputusan-keputusan Jawatankuasa Fatwa di beberapa negeri yang lain yang juga

membuat keputusan yang sama iaitu Negeri Sembilan (tarikh warta 12 Januari 2002),

Melaka (tarikh warta 14 Oktober 2005), Terengganu (tarikh warta 6 Januari 2004), Pulau

Pinang (tarikh keputusan 10 Oktober 1986) dan Sarawak (tarikh keputusan pada 6 September

2005).

[25] Isu mengenai penasaban anak ini amat dititikberatkan dalam agama Islam. Malah, ia juga

termasuk dalam salah satu Maqasid al-Syariah yang perlu dipelihara. Nasab juga adalah satu

nikmat daripada Allah s.w.t kepada hambaNya hasil daripada suatu hubungan perkahwinan

yang disyariatkan. Maka, nikmat nasab ini adalah berdasarkan kepada ketaatan dan

bukannya kemaksiatan. Justeru, nasab tidak layak diberikan kerana penzinaan (al-Syafi'i

Muhammad bin Idris, Ahkam al-Qur'an, sunt. 'Abd al-Ghani 'Abd al-Khaliq, Beirut: Dar al-

Kutub al-'Ilmiyah, 1980, jil. 2, hlm. 189).

11

[26] Merujuk kepada salah satu Firman Allah SWT dalam surah al- Ahzab ayat 5 yang

bermaksud:

"Panggillah anak-anak angkat itu dengan ber"bin"kan kepada bapa-bapa

mereka sendiri. Cara itulah yang lebih adil di sisi Allah. Dalam pada itu, jika

kamu tidak mengetahui bapa-bapa mereka, maka panggillah mereka sebagai

saudara-saudara kamu yang seagama dan sebagai "maula-maula" kamu. Dan

kamu pula tidak dikira berdosa dalam perkara yang kamu tersilap

melakukannya, tetapi (yang dikira berdosa itu ialah perbuatan) yang

disengajakan oleh hati kamu melakukannya. Dan (ingatlah Allah maha

pengampun, lagi maha mengasihani."

Ayat ini secara jelas menyatakan tentang kepentingan nasab dalam Islam. Ini menunjukkan

Islam amat menitikberatkan tentang menjaga nasab keturunan manusia.

[27] Dalam menentukan nasab seseorang anak, mahkamah juga perlu melihat sama ada

pernikahan kedua ibu bapanya itu sah, fasid atau syubhah (Wahbah al-Zuhaili, Al-Fiqh al-

Islami wa Adillatuhu, Damsyik: Dar al-Fikr, 1989, juz. 7, hlm. 681). Maka, seseorang anak

boleh dinasabkan kepada bapanya berdasarkan tiga kaedah, iaitu firash (hamparan),

bayyinah (keterangan) dan iqrar (pengakuan) (Suffian bin ‘Umar Buraq’ah, Al-Nasab wa

Mada Ta’thir al-Mustajaddad al’Ilmiyyah fi Ithbatihi, Riyadh: Dar Kanzu, 2007, hlm. 259-

275).

[28] Menurut fuqaha, seseorang isteri yang melahirkan anak melalui perkahwinan yang sah atau

fasid hendaklah dinasabkan kepada suaminya. Jika berlaku perceraian bagi perkahwinan

fasid sebelum tamatnya tempoh hamil maksimum dari tarikh perceraian dan genap enam

bulan atau lebih dari waktu persetubuhan, maka hendaklah dinasabkan kepada lelaki

tersebut atau bekas suaminya itu (Ibnu Abidin Muhammad Amin, Mughni al-Muhtaj,

Kaherah: Maktabah al-Jumhuriyyah al-Arabiyyah, hlm. 540).

[29] Walau bagaimanapun, kaedah ini hendaklah memenuhi tiga syarat, iaitu:- pertama, suami

mampu menghamilkan isterinya setelah baligh menurut mazhab Hanafi, Maliki dan Syafie

ataupun hampir baligh (murahiq) menurut mazhab Hanbali. Suami juga mempunyai alat

12

kelamin yang sempurna, tidak cacat dan berkeupayaan untuk menyetubuhi isterinya (al-

Syarbini, Shamsu ad-din Muhammad bin Al-Khatib, Mughni al-Muhtaj, Kaherah: Sharikat

wa Maktabat wa Matba’at Mustafa, hlm.396). Kedua, suami dan isteri mempunyai keadaan

tertentu yang membolehkan mereka bersetubuh selepas diakadkan. Ketiga, anak tersebut

dilahirkan selepas enam bulan dari tarikh akad pada pandangan mazhab Hanafi, manakala

menurut jumhur pula mensyaratkan anak tersebut lahir setelah mencapai usia enam bulan

dari waktu bersetubuh (al-Ramli Shams al-Din Muhammad Ibn Abi al-Abbas Ahmad Ibn

Hamzah Ibn Shihab al-Din, Nihayat al-Muhtaj. Jilid 7. Kaherah: Sharikat wa Maktabat wa

Matba’at Mustafa, hlm. 130).

[30] Berdasarkan kes pengesahtarafan anak ini, perkahwinan di antara Plaintif dan Defendan

sebelum ini telah diputuskan oleh mahkamah adalah fasid dan hendaklah difaraqkan. Dalam

kes ini juga mahkamah melihat kaedah firash tidak memenuhi syarat-syarat yang yang

diperlukan. Hanya syarat yang pertama dan kedua sahaja telah dipenuhi oleh Plaintif dan

Defendan. Manakala bagi syarat ketiga, ia tidak memenuhi elemen yang telah dinyatakan

kerana anak tersebut lahir selepas dua bulan daripada tempoh akad pernikahan antara

Plaintif dan Defendan. Perbahasan mengenai hal ini telah dijelaskan sepertimana dalam

fatwa-fatwa yang diperincikan sebelum ini.

[31] Kaedah kedua dalam penentuan nasab anak iaitu bayyinah (keterangan). Bayyinah ialah

keterangan yang melibatkan orang yang didakwa bersama dengan pihak lain. Ulama

berbeza pendapat tentang bilangan saksi untuk memberikan sesuatu keterangan. Menurut

Imam Maliki, saksi yang diperlukan hanya dua orang lelaki sahaja. Menurut Abu Hanifah

dan Muhammad, boleh menggunakan dua orang saksi lelaki ataupun seorang saksi lelaki

bersama dengan dua orang saksi perempuan. Menurut Imam Shafie, Imam Hanbali dan

Abu Yusuf, kesaksian semua ahli waris sama ada lelaki atau perempuan dibuat berdasarkan

khabar yang didengar (tasamu’), iaitu berita yang tersebar luas dan masyhur dalam

kalangan orang ramai. Para ulama empat mazhab sepakat mengatakan nasab boleh

disabitkan dengan kesaksian berdasarkan berita yang didengar (Ibn Qudamah Abu

Muhammad Abdullah ibn Ahmad, Al-Mugni, Kaherah: Maktabah al-Jumhuriyyah al-

Arabiyyah, jil. 10, t.th, hlm. 141).

13

[32] Plaintif dan Defendan tidak mendatangkan mana-mana saksi sepanjang prosiding

perbicaraan kes ini berlangsung. Justeru, kaedah kedua ini tidak terpakai dalam

menentukan pengesahan taraf anak tersebut.

[33] Seterusnya kaedah ketiga, iaitu iqrar. Semasa pernikahan berlaku, Plaintif

mengaku sedang hamil 7 bulan lebih. Dan hal ini turut diketahui oleh Defendan.

Mahkamah merujuk Kitab Mughni al-Muhtaj, Jilid 2 halaman 238 yang

menyebut:

اإلقرار لغة اإلثبات وشرعا إخبار الشخص بحق عليه .ويسمى اعترافا

Maksudnya: Iqrar dari segi bahasa bererti mensabitkan, manakala menurut

syarak diertikan sebagai memberitahu hak seseorang atas dirinya. Iqrar

disebut juga sebagai I’tiraf.

[34] Dari sudut yang lain, pengakuan Plaintif ini telah mengikat dirinya selari dengan kaedah fiqh

yang berbunyi:

المرء مؤخذ بإقراره

Maksudnya: Seseorang itu dipegang berdasarkan pengakuannya.

[35] Elemen iqrar (pengakuan) telah wujud dalam kes ini. Iqrar bermaksud suatu bentuk

pengakuan dengan tujuan untuk membuktikan sesuatu perkara yang berkaitan dengan hak

orang lain ke atas orang yang berikrar. Umumnya, iqrar hanya mengikat dan memberi kesan

kepada orang yang melakukan iqrar sahaja. Merujuk sebuah hadis yang diriwayatkan oleh

Ahmad dan Abu Daud daripada Sahl bin Saad bahawa seorang lelaki telah datang kepada

Rasulullah S.A.W dan menyatakan bahawa dia telah berzina dengan seorang wanita.

Rasulullah S.A.W menghantar utusan kepada wanita tersebut untuk bertanya kepadanya

tentang apa-apa yang diiqrarkan oleh lelaki itu. Wanita tersebut menafikannya, maka

Rasulullah S.A.W tidak mengenakan hukuman ke atas wanita yang didakwanya melakukan

bersama. Hadis ini jelas menunjukkan bahawa iqrar akan memberi kesan ke atas orang yang

14

melakukan pengakuan (iqrar).

[36] Dalam kes ini, iqrar yang dilafazkan oleh Plaintif berkenaan dirinya telah hamil 7 bulan lebih

sebelum akad nikah dengan Defendan telah mengikat dirinya dari segi undang-undang.

Tambahan pula iqrar ini telah dibuat di hadapan Hakim Bicara di dalam mahkamah. Ianya

juga bertepatan dengan peruntukkan Seksyen 17 Enakmen Keterangan Mahkamah Syariah

(Negeri Selangor) 2003 yang memperuntukkan :

“1. Iqrar ialah suatu pengakuan yang dibuat oleh seseorang secara bertulis atau

lisan atau dengan isyarat menyatakan bahawa dia mempunyai obligasi atau

tanggungan terhadap mana-mana orang lain berkenaan dengan sesuatu hak.

2. Apa-apa iqrar hendaklah di buat –

a- dalam Mahkamah, di hadapan Hakim; atau

b- di luar Mahkamah di hadapan dua orang saksi lelaki yang aqil baligh

dan ’adil.”

[37] Selain itu, mahkamah juga berpuashati bahawa Plaintif telah memenuhi rukun-

rukun iqrar di sisi Hukum Syara’. Justeru berdasarkan kepada iqrar Plaintif

dalam keterangannya yang lalu, anak tersebut telah wujud terlebih dahulu dalam

kandunganya yang berusia 7 bulan lebih sebelum berlaku akad nikah antara

Plaintif dan Defendan.

[38] Oleh yang demikian, berdasarkan perbahasan perbahasan di atas ini, maka

Mahkamah berpuashati dan berpendirian untuk menentukan bahawa anak tersebut

tidak boleh dinasabkan kepada Defendan sebagai bapa. Mahkamah ini tidak boleh

mensabitkan nasab anak tersebut sebagai anak sah taraf kepada Defendan kerana

tidak menepati dengan kehendak hukum syara’.

15

Keputusan

Mahkamah setelah mendengar keterangan Plaintif dan setelah Mahkamah meneliti perbahasan

hukum syara’, maka dengan ini Mahkamah berpuashati untuk memerintahkan kes ini seperti

berikut:

(1) Mahkamah meluluskan permohonan Plaintif.

(2) Mahkamah mensabitkan bahawa anak yang bernama MEH Bin MHI (No. MyKid: XXX)

adalah anak tidak sah taraf serta tidak boleh dinasabkan kepada MHI.

(3) Mahkamah memerintahkan Jabatan Pendaftaran Negara membuat pindaan yang

sewajarnya pada Daftar Kelahiran anak tersebut.

16