zh lwn maba - jakess.gov.my v maba.pdf · [10] dalam hal ini juga mahkamah merujuk dalam kitab...

20
1 ZH Lwn MABA [Mahkamah Rendah Syariah Selangor, Di Shah Alam. Kes Mal Bil : 10002-021-0715- 2017 dan 10002-016-0716-2017 (Tuan Masnizar @ Mohd Nizar Bin Mohtar, HMRS)] [09 Zulhijjah 1439H bersamaan 21 Ogos 2018M] Undang-undang Keluarga Islam Tuntutan Nafkah Eddah dan Mut’ah dibawah Seksyen 66 dan Seksyen 58 Enakmen Undang-undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) No 2. Tahun 2003- Defendan tidak hadir perbicaraaan Perbicaraan selelah pihak berdasarkan Seksyen 121 Enakmen Tatacara Mal Mahkamah Syariah (Negeri Selangor) 2003 - Mahkamah menentukan mengikut kadar yang wajar pada pandangan Mahkamah- Lafaz Sumpah al-Istizhar - Bidangkuasa Mahkamah Rendah Syariah di bawah Seksyen 62(2) Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) No. 1 Tahun 2003. Fakta Kes [1] Terdapat 2 tuntutan yang difailkan oleh Plaintif terhadap Defendan iaitu tuntutan Nafkah Eddah dan Mut’ah. Dalam kes Nafkah Eddah Plaintif menuntut Defendan untuk membayar Nafkah Eddah sebanyak RM 9,150.00 dari tarikh perceraian talaq rajie dengan tiga bulan , manakala tuntutan Mut’ah, Plaintif menuntut Defendan untuk membayar sebanyak RM 104,400.00. [2] Plaintif telah bernikah dengan Defendan pada 07/12/1985 dan kemudiannya telah bercerai dengan kebenaran mahkamah di Mahkamah Rendah Syariah Daerah Klang dengan talaq 1 secara Rajie pada 14/10/2014. Perkahwinan mereka hanya bertahan selama hampir 29 tahun. Dalam tempoh perkahwinan Plaintif dan Defendan telah dikurniakan dengan dua (2) orang cahayamata lelaki iaitu MRMAB dan MDIMAB. [3] Pada peringkat awal kes ini difailkan, Mahkamah dapati Plaintif dan Defendan telah menghadiri Majlis Sulh sebagai usaha untuk mencari jalan penyelesaian di

Upload: vunhi

Post on 31-Mar-2019

279 views

Category:

Documents


1 download

TRANSCRIPT

1

ZH Lwn MABA

[Mahkamah Rendah Syariah Selangor, Di Shah Alam. Kes Mal Bil : 10002-021-0715-

2017 dan 10002-016-0716-2017 (Tuan Masnizar @ Mohd Nizar Bin Mohtar, HMRS)]

[09 Zulhijjah 1439H bersamaan 21 Ogos 2018M]

Undang-undang Keluarga Islam –Tuntutan Nafkah Eddah dan Mut’ah dibawah Seksyen

66 dan Seksyen 58 Enakmen Undang-undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) No 2.

Tahun 2003- Defendan tidak hadir perbicaraaan – Perbicaraan selelah pihak berdasarkan

Seksyen 121 Enakmen Tatacara Mal Mahkamah Syariah (Negeri Selangor) 2003 -

Mahkamah menentukan mengikut kadar yang wajar pada pandangan Mahkamah- Lafaz

Sumpah al-Istizhar - Bidangkuasa Mahkamah Rendah Syariah di bawah Seksyen 62(2)

Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) No. 1 Tahun 2003.

Fakta Kes

[1] Terdapat 2 tuntutan yang difailkan oleh Plaintif terhadap Defendan iaitu tuntutan

Nafkah Eddah dan Mut’ah. Dalam kes Nafkah Eddah Plaintif menuntut Defendan

untuk membayar Nafkah Eddah sebanyak RM 9,150.00 dari tarikh perceraian talaq

rajie dengan tiga bulan , manakala tuntutan Mut’ah, Plaintif menuntut Defendan

untuk membayar sebanyak RM 104,400.00.

[2] Plaintif telah bernikah dengan Defendan pada 07/12/1985 dan kemudiannya telah

bercerai dengan kebenaran mahkamah di Mahkamah Rendah Syariah Daerah

Klang dengan talaq 1 secara Rajie pada 14/10/2014. Perkahwinan mereka hanya

bertahan selama hampir 29 tahun. Dalam tempoh perkahwinan Plaintif dan

Defendan telah dikurniakan dengan dua (2) orang cahayamata lelaki iaitu MRMAB

dan MDIMAB.

[3] Pada peringkat awal kes ini difailkan, Mahkamah dapati Plaintif dan Defendan

telah menghadiri Majlis Sulh sebagai usaha untuk mencari jalan penyelesaian di

2

luar Mahkamah, namun majlis sulh tersebut gagal dan tidak merekodkan sebarang

persetujuan bersama kerana Defendan tidak hadir ke mahkamah. Saman dan

Penyataan Tuntutan bagi kedua-dua kes ini telah dapat disampaikan secara kediri

kepada Defendan pada 04 Januari 2018 melalui Affidavit Serahan bertarikh 23

Januari 2018 dan ditangguhkan kes ke 08 Februari 2018 bagi memberi peluang

kepada Defendan memfailkan pembelaan.

[4] Plaintif telah diwakili oleh Peguam Syarie Tuan Haji Sahrudin Bin Samsudin dari

Din Samsuddin Associates dan Defendan tidak hadir serta tidak diwakili oleh

mana-mana peguam. Kemudian kes ini diteruskan untuk sebutan pada 08 Februari

2018, Defendan tetap gagal hadir ke mahkamah dan tiada sebarang pembelaan

difailkan dan Mahkamah menetapkan 12 Mac 2018 untuk perbicaraan sebelah

pihak dijalankan. Plaintif telah memberikan keterangannya dan mengemukakan

dua orang saksi bagi menyokong keterangannya.

Diputuskan

Mahkamah setelah mendengar keterangan Plaintif dan saksi-saksinya, dan setelah

Mahkamah meneliti hujahan Plaintif, maka dengan ini Mahkamah memerintahkan seperti

berikut:

1. Mahkamah meluluskan tuntutan ini berdasarkan Seksyen 66 dan 58 Enakmen

Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003.

2. Mahkamah memerintahkan Defendan membayar nafkah ‘eddah bagi tempoh

‘eddah mengandung Plaintif berjumlah RM 3,000.00.

3. Mahkamah memerintahkan Defendan membayar RM 16,000.00 sebagai mut’ah

kepada Plaintif.

4. Mahkamah memerintahkan Defendan untuk membayar nafkah eddah dan mut’ah

yang berjumlah RM 19,000.00 secara ansuran sebanyak RM 1,000.00 sebulan

3

selama tempoh 18 bulan bermula September 2018 sehingga Mac 2020 dan

dimasukkan ke dalam akaun Maybank milik Plaintif No : 1121-0101-4957.

5. Mana-mana pihak yang tidak berpuashati dengan keputusan ini, hendaklah

mengemukakan notis rayuan ke Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam dalam

tempoh 14 hari mulai hari ini.

Peguam Syarie

Plaintif : diwakili oleh Tuan Haji Sahrudin Bin Samsuddin dari Din Samsuddin

Associates.

Defendan : Tidak diwakili oleh mana-mana paguam

Kitab-kitab yang dirujuk

1. Al-Quran Al-Karim, Surah Al-Talaq ayat 6-7, Surah Al-Baqarah ayat 233,

236 dan 241, surah Al- Ahzab ayat 49, Surah Al Maidah ayat 89.

2. Dr Wahbah al-Zuhaili, 1997. Al-Fiqh al-Islami Wa Adillatuhu. Juzuk 1.

halaman 76-77. Juzuk 10 halaman 7385-7394.

3. Muhammad bin Muhammad al-Khotib al-Syarbini, imam,1994. Mughni al-

Muhtaj, jilid 4 halaman 398-399. Jilid 5 halaman 179.

4. Syeikh Abdullah Basmeih. 2001. Tafsir Pimpinan al-Rahman. Cetakan 12.

Kuala Lumpur: Darulfikir.

5. Taqiyuddin Abi Bakr bin Muhammad, imam199. Kifayah Al-Akhyar juzuk

2 halaman 42.

Undang-undang yang dirujuk

1. Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) No. 1 Tahun 2003-

s.62(2)

2. Enakmen Undang-undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) No. 2 Tahun

2003- s.4, s.45, s.58, s.66, s.69 dan s.70.

3. Enakmen Tatacara Mahkamah Syariah (Negeri Selangor) No. 4 Tahun 2003

– s.121

4

4. Enakmen Keterangan Mahkamah Syariah (negeri Selangor) 2003.- s.3,

s.17,s.48, s.49, s.50, s.73, s.74, s.75, s.76 dan s.77.

Kes-kes yang dirujuk

1. Sharifah Laila bt Syed Shamsudin lwn Abdul Latif bin Arshad (1994) 9 bhg 1

J.H 16

2. Tengku Anum Zaharah lawan Dato Dr Hussein bin Mohamad Yusof (1980) 3

J.H 125

3. Piah binti Said lawan Che Lah bin Awang PP (1982) 2 JH (3) 220.

4. Halim Azman Sulaiman lwn Norizam binti Mohd Lazim (2004) CLJ (sya) 86

5. Norizam binti Mohd Lazim lwn Halim Azman Hj Sulaiman (1995) JH jld X (1)

65.

Alasan Penghakiman Tn. Masnizar @ Mohd Nizar Bin Mohtar [HMRS Shah Alam]

[6] Dalam alasan penghakiman ini mahkamah akan mengulas berkaitan kedua-dua

tuntutan ini secara berasingan dan saya akan mulakan dengan tuntutan Nafkah

Eddah dan Mutaah.

[7] Permohonan kedua-dua kes ini telah difailkan oleh Plaintif secara berasingan

namun Mahkamah telah memerintahkan prosiding perbicaraan kes ini disatukan

bagi memudahkan dan menjimatkan masa mahkamah dan pihak-pihak yang terlibat

di dalam kes ini. Oleh itu mahkamah juga akan memberikan alasan penghakiman

dan keputusan kes ini dalam satu prosiding yang disatukan seolah olah permohonan

ini dibuat dalam satu permohonan. Semoga dengan cara ini dapat memudahkan

semua pihak.

Bidangkuasa Mahkamah

[8] Mahkamah memutuskan bahawa mahkamah ini mempunyai bidangkuasa untuk

mendengar, membicara dan memutuskan tuntutan-tuntutan Plaintif. Mahkamah

berpuashati mahkamah ini berbidangkuasa adalah berdasarkan perkara perkara

berikut :-

5

(1) Plaintif bermastautin di Shah Alam, Selangor selaras dengan XXX, Taman

Alam Megah, 40400 Selangor Darul Ehsan..

(2) Permohonan Plaintif juga selaras dengan peruntukkan undang undang

misalnya Seksyen 66(1) Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri

Selangor) No.2 Tahun 2003. Seksyen tersebut menjelaskan secara khusus

tentang permohonan Nafkah Eddah.

Seksyen 66. Hak terhadap nafkah atau pemberian selepas perceraian

(1) Hak bagi seseorang isteri yang telah bercerai untuk menerima nafkah

daripada suaminya yang dahulu di bawah sesuatu perintah Mahkamah

hendaklah terhenti apabila tamat tempoh ‘eddah atau apabila isteri

menjadi nusyuz.

(3) Begitu juga dalam Seksyen 58 enakmen yang sama ada menjelaskan

berkenaan dgn Mut’ah.

Seksyen 58. Mut’ah atau pemberian saguhati kepada perempuan yang

diceraikan tanpa sebab yang patut.

Selain daripada haknya untuk memohon nafkah, seseorang perempuan

yang telah diceraikan tanpa sebab yang patut oleh suaminya boleh

memohon mut’ah atau pemberian saguhati kepada Mahkamah, dan

Mahkamah boleh, selepas mendengar pihak-pihak itu dan apabila berpuas

hati bahawa perempuan itu telah diceraikan tanpa sebab yang patut,

memerintahkan suami membayar sejumlah wang yang wajar dan patut

mengikut Hukum Syarak.

6

(4) Akhirnya, Seksyen 62 (2) (b) Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri

Selangor) No. 1 Tahun 2003 juga ada menjelaskan bidangkuasa mahkamah

ini seperti berikut :-

62(2)(b) dalam bidang kuasa malnya, mendengar dan memutuskan semua

tindakan dan prosiding yang Mahkamah Tinggi Syariah diberi kuasa untuk

mendengar dan memutuskannya, jika amaun atau nilai hal perkara yang

dipertikaikan itu tidak melebihi seratus ribu ringgit atau tidak dapat

dianggarkan dengan wang (tidak termasuk tuntutan hadhanah atau harta

sepencarian).

NAFKAH EDDAH

[09] Dalam tuntutan ini, Plaintif menuntut Defendan untuk membayar Nafkah Eddah

sebanyak RM 9150.00 selama tempoh 3 bulan.

Allah S.W.T berfirman di dalam surah Al-Talaq tentang kewajipan suami

memperuntukkan nafkah kepada isteri yang diceraikan dalam ayat 6 hingga 7 yang

bermaksud:

“Tempatkanlah isteri-isteri (yang menjalani idahnya) itu di tempat kediaman kamu

sesuai Dengan kemampuan kamu; dan janganlah kamu adakan sesuatu Yang

menyakiti mereka (di tempat tinggal itu) Dengan tujuan hendak menyusahkan

kedudukan mereka (supaya mereka keluar meninggalkan tempat itu). dan jika

mereka berkeadaan sedang mengandung, maka berikanlah kepada mereka

nafkahnya sehingga mereka melahirkan anak Yang dikandungnya; kemudian jika

mereka menyusukan anak untuk kamu, maka berikanlah kepada mereka upahnya;

dan berundinglah di antara kamu (dalam hal menyusunya) Dengan cara Yang baik.

dan (sebaliknya) jika kamu (dari kedua pihak) mengalami kesulitan, maka bolehlah

perempuan lain menyusukannya”.

“Hendaklah orang Yang mampu memberi nafkah menurut kemampuannya; dan

sesiapa Yang di sempitkan rezekinya, maka hendaklah ia memberi nafkah dari apa

Yang diberikan Allah kepadanya (sekadar Yang mampu); Allah tidak memberati

7

seseorang melainkan (sekadar kemampuan) Yang diberikan Allah kepadaNya.

(orang-orang Yang Dalam kesempitan hendaklah ingat bahawa) Allah akan

memberikan kesenangan sesudah berlakunya kesusahan”.

Sebagai ingatan bersama haruslah kita fahami apakah yang dimaksudkan oleh

hukum syarak terlebih dahulu berkenaan isu nafkah ini. Untuk itu, mahkamah

merujuk kepada kes Rosnani Lwn. Zulkifli di mana Hakim Bicara kes ini YA Tuan

Abu Bakar Ahmad telah menjelaskan panjang lebar berkaitan pengertian nafkah,

antaranya yang dinyatakan beliau ialah :

“Nafkah adalah segala yang dibelanjakan dan kata nafkah hanya

dipergunakan untuk kebajikan, sebab sebab wajib nafkah ada 3 iaitu

disebabkan nikah, qarabah dan milik. Hak isteri dari suaminya itu ada 7

iaitu makan, lauk,pakaian, kebersihan, perkakas rumah, tempat tinggal dan

khadam (jika biasa berkhadam). Kesimpulannya adalah wajib suami

memberi nafkah kepada isteri atau di dalam tanggungannya sepertimana

di dalam syarah Kitab Raudh at-Talibin Juzuk 3 Bhg an-Nikah Ms 426.”

[10] Dalam hal ini juga mahkamah merujuk dalam kitab “Ahkamul Nafaqotul Zauziyah

fi Syariatil Islamiah” jilid 17 halaman 76 karangan Dr Muhamad Yakob Talib ada

menyebut :

Apabila seorang isteri yang dibawah hak suami (termasuk dalam eddah rajie) dan

tujuan kebajikan dan kemanfaatannya, maka wajib ke atas suami untuk

memberikan nafkah kepada isteri tersebut seperti berikut :

1) Makanan

2) Pakaian

3) Tempat tinggal

4) Tilam

5) Orang gaji

6) Dan tiap-tiap sesuatu yang diperlukan oleh isteri mengikut adat

8

[11] Sebelum mahkamah memutuskan kes ini, mahkamah terlebih dahulu haruslah

berpuashati dan menjawab beberapa fakta yang menjadi isu ada pandangan

mahkamah di dalam kes ini iaitu:

(1) Adakah Plaintif layak untuk mendapat nafkah dalam tempoh eddahnya.

(2) Berapakah hari Plaintif menjalani tempoh Eddah.

(3) Berapakah kadar nafkah eddah yang wajar berdasarkan keperluan Plaintif.

(4) Sejauhmana kemampuan Defendan untuk menanggung nafkah eddah

Plaintif.

Isu pertama: Adakah Plaintif layak untuk mendapat nafkah dalam tempoh eddahnya

[12] Layak atau tidak layak Plaintif mendapat nafkah eddah adalah bergantung kepada

2 perkara :

1- Samada Plaintif nusyuz atau tidak dalam waktu bereddah.

2- Jika tidak nusyuz (taat) adakah Defendan gagal menyediakan nafkah eddah

kepada Plaintif.

Dan dalam mana-mana keterangan tiada satu pun membuktikan Plaintif itu seorang isteri

yang nusyuz yang menghalangnya untuk menerima Nafkah Eddah dan Defendan juga

gagal membuktikan bahawa dalam tempoh Eddah Plaintif, ada menyediakan nafkah

Plaintif.

Isu kedua: Berapakah hari Plaintif menjalani tempoh Eddah

[13] Plaintif telah menjalani eddah selama tiga (3) bulan. Pihak-pihak telah bercerai

pada 14 Oktober 2014 bersamaam 20 Zulhijjah 1435H dan berdasarkan kiraan

eddah 3 bulan, Eddah Plaintif tamat pada 21 Januari 2015 bersamaan 1 Rabiul

Akhir 1436H dan Plaintif telah menjalani Eddahnya selama tempoh 100 hari.

Mahkamah menegaskan nafkah eddah hendaklah dikira berdasarkan jumlah hari

Plaintif bereddah.

9

Isu Ketiga : Berapakah kadar nafkah eddah berdasarkan keperluan Plaintif

[14] Sebagaimana kes yang mahkamah rujuk sebelum ini, yang dikatakan nafkah adalah:

“Nafkah adalah segala yang dibelanjakan dan kata nafkah hanya

dipergunakan untuk kebajikan, sebab sebab wajib nafkah ada 3 iaitu

disebabkan nikah, qarabah dan milik. Hak isteri dari suaminya itu ada 7 iaitu

makan, lauk, pakaian, kebersihan, perkakas rumah, tempat tinggal dan khadam

(jika biasa berkhadam). Kesimpulannya adalah wajib suami memberi nafkah

kepada isteri atau di dalam tanggungannya sepertimana di dalam syarah Kitab

Raudh at-Talibin Juzuk 3 Bhg an-Nikah Ms 426.”

Plaintif di dalam keteragannya menuntut RM 91.50 sehari selama 100 hari

berjumlah RM 9150.00, merangkumi tempat tinggal, makan minum, keperluan

khas dan keperluan barangan kebersihan wanita, pakaian dan kenderaan/minyak.

Mahkamah setelah melihat keperluan yang wajar semasa Plaintif di dalam eddah

adalah tempat tinggal, pakaian termasuk keperluan peribadi yang lain serta kos

makan dan minum. Mahkamah menolak tuntutan selain daripada yang di atas.

Tempat tinggal selama 100 hari, pakaian dan makan minum dalam keadaan Plaintif

juga diceraikan tanpa haid.

i. Tempat tinggal semasa eddah tidak dinyatakan dengan terperinci oleh

Plaintif dan tuntutan RM 30 sehari adalah berlebihan. Tidak dibuktikan

di mahkamah ini apa-apa dokumen sewaan rumah yang Plaintif tinggal

selama tempoh eddah tersebut. Nilaian mahkamah adalah RM 15 sehari

(berdasarkan tempat kebiasaan Plaintif tinggal semasa eddah iaitu di

Shah Alam, Selangor) selama tempoh 100 hari bersamaan RM 1500.00

ii. Kos makan minum yang dituntut adalah sangat berlebihan. Nilaian

mahkamah RM 10.00 sehari x 100 hari : RM 1000.00

iii. Pakaian dan kelengkapan serta keperluan khas wanita selama tempoh

eddah mahkamah benarkan, ini kerana pakaian dan keperluan khas

tersebut diperlukan. Walaubagaimana pun tuntutan Plaintif adalah

sangat berlebihan tanpa dibuktikan di mahkamah ini. Nilaian

10

mahkamah RM 500.00 bagi pakaian dan keperluan tersebut selama

tempoh eddah Plaintif.

Jumlah keseluruhan keperluan semasa Plaintif menjalani eddah tiga kali suci

adalah RM 3000.00.

Isu Keempat : Kemampuan Defendan untuk menanggung nafkah eddah Plaintif.

[15] Dalam kes ini, tiada bukti pendapatan Defendan yang dibuktikan oleh Plaintif bagi

membolehkan mahkamah membenarkan keseluruhan nafkah yang dituntut. Keterangan

Plaintif dan saksi yang dikemukakan hanya berdasarkan bahawa selama pihak-pihak dalam

tempoh perkahwinan, Defendan adalah seorang yang suka membeli peralatan muzik

sehingga puluhan ribu ringgit, dan iainya juga tidak dibuktikan di mahkamah ini. Plaintif

juga hanya menyatakan bahawa Defendan sydah berkahwin baru dan telah mempunyai

pekerjaan yang stabil untuk menanggung keluarga baru, dan ianya juga tidak dibuktikan

sepenuhnya di dalam mahkamah ini. Oleh itu mahkamah memutuskan berdasarkan

keperluan sahaja di dalam hukum syarak yang mampu dibayar oleh Defendan atau boleh

dimampukan oleh Defendan.

MUTAAH

[16] Pertamanya, Mahkamah perlu menilai kewajaran tuntutan mut’ah itu sendiri

melalui penentuan kelayakan Plaintif dalam membuat tuntutan mut’ah

tersebut. Jika didapati bahawa Plaintif sememangnya layak dan berhak untuk

membuat tuntutan mut’ah ini, maka barulah suatu kadar atau jumlah yang

munasabah akan ditentukan oleh Mahkamah berdasarkan panduan-panduan yang

akan dikemukakan oleh Mahkamah nanti.

[17] Berdasarkan keterangan utama Plaintif di dalam perbicaraan, Mahkamah

mendapati bahawa Plaintif dalam keterangannya menyatakan bahawa beliau dan

Defendan telah bernikah pada 07/12/1985 dan kemudiannya telah bercerai dengan

11

kebenaran mahkamah di Mahkamah Rendah Syariah Daerah Klang dengan talak 1

secara Talaq Rajie pada 14/10/2014.

Isu Kedua : Berapakah penentuan kadar mut’ah tersebut?

Asas Penentuan Kadar Mutaah

[19] Peruntukan undang-undang tidak menyatakan panduan yang jelas bagaimana

Mahkamah menjalankan fungsi budi bicaranya untuk memutuskan kadar mut’ah

yang wajar dan patut mengikut Hukum Syarak. Sumber undang-undang yang sedia

ada tidak menjelaskannya dengan tepat, akan tetapi di dalam Al-Quran ada

menyatakan panduan asas tentang penentuan kadar mut’ah sebagaimana yang telah

dinyatakan di dalam Surah Al-Baqarah, ayat 236 yang bermaksud :

”Tidaklah kamu bersalah dan tidaklah kamu menanggung bayaran maskahwin) jika kamu

menceraikan isteri-isteri kamu sebelum kamu sentuh (bercampur) Dengan mereka atau

(sebelum) kamu menetapkan maskahwin untuk mereka. Walaupun demikian, hendaklah

kamu memberi "Mut'ah" (pemberian saguhati) kepada mereka (yang diceraikan itu).

iaitu: suami Yang senang (hendaklah memberi saguhati itu) menurut ukuran

kemampuannya; dan suami Yang susah pula menurut ukuran kemampuannya, sebagai

pemberian saguhati menurut Yang patut, lagi menjadi satu kewajipan atas orang-orang

(yang mahu) berbuat kebaikan”.

[20] Mahkamah juga merujuk kepada panduan yang ulama’ berikan di dalam kitab

I’anah al-Talibin, juzuk 3, muka surat 595 yang mana ia menyatakan :

بقدر حالهما من يساره وإعساره ونسبها وصفتها فإن تنازعا قدرها القاضى

Bermaksud :

“Sekiranya berlaku perselisihan mengenai kadar mutaah yang patut

dibayar oleh suami kepada isterinya, maka hakim hendaklah

12

bertindak sebagai penentu kadar mutaah itu berdasarkan kriteria-

kriteria berikut, kesenangan suami, kesusahan suami, keturunan

isteri dan sifat isteri itu”.

[21] Begitu juga disebut di dalam Kitab Al-Iqna’ Fi Hilli Alfaz Abi Sujak, Juzuk 2,

Darul Kitan Ilmiah, Beirut, Lubnan, halaman 271-212 menyatakan :

”Jika antara suami isteri berbeza pendapat mengenai banyaknya

mut’ah, maka banyaknya mut’ah ditentukan oleh hakim. Tentunya

menurut kebijaksanaan hakim tersebut disesuaikan degan

persekitaran serta disesuaikan dengan keadaan keduanya iaitu kaya

atau miskinnya suami, dengan nasab atau sifat isteri.

[21] Selain itu, Mahkamah ini juga merujuk kepada kes-kes terdahulu yang telah

diputuskan yang mengandungi prinsip-prinsip yang digunapakai sebelum sesuatu

kadar mut’ah ditentukan oleh Hakim Bicara. Di dalam kes Faridah Binti Sulaiman

lwn. Mohd. Noh Bin Othman, YA Hakim menyatakan :

“Dasar mut’ah adalah keredaan kedua-dua pihak tetapi jika tidak

tercapai persetujuan, maka penentuan boleh dibuat oleh Qadhi.

Penentuan kadar mut’ah telah digariskan oleh syarak dengan nilai

kedudukan kaya atau miskinnya suami serta sifat dan keadaan

isteri. Sifat ialah perwatakan dan keadaan pula ialah kedudukan

keluarga atau status keluarga dalam masyarakat. Kaya dan miskin

ialah nilai semasa dari segi perolehan dan pemilikan. Tentang kadar

yang harus diberikan tidaklah ditetapkan oleh hukum syarak tetapi

diserahkan mengikut keadaan semasa sebagaimana dinyatakan di

dalam ayat 236: surah Al-Baqarah”.

Dinyatakan lagi oleh YA Hakim :

13

“...Walaubagaimanapun tentang kadar mut’ah mengikut al-quran

yang dikemukakan diambil kira di atas kemampuan suami ketika

berlaku perceraian”.

[22] Di dalam kes Rusiah Bt. Ismail lwn. Mohd Rafi Heinges Bin Abdullah, JH 13

Bhgn. 2, Halaman 232 pula, Yang Arif Hakim Mahkamah Tinggi Syariah Negeri

Sembilan, Dato’ Hussin Bin Hj. Harun mengambil kira kemampuan suami dalam

menentukan kadar mut’ah yang tidak dipersetujui kedua pihak. Di dalam Alasan

Penghakimannya, YA Hakim menyatakan :

“Walaupun Defendan dalam kes ini tidak menafikan pembayaran

mut’ah tersebut tetapi kadar tuntutan yang tidak sepatutnya atau

merujuk kepada kehendak syarak bahkan keterlaluan malahan

Defendan dengan tidak mempunyai kemampuannya untuk

memberi mut’ah seperti yang dituntut’’

[23] Mahkamah mendapati terdapat dua (2) pertimbangan baru yang diketengahkan oleh

Hakim dalam menentukan jumlah mut’ah di dalam kes ini iaitu tempoh lama

perkahwinan dan kesengsaraan isteri semasa bersama suami. Berdasarkan

keseluruhan panduan yang dinyatakan di atas, Mahkamah membuat kesimpulan

bahawa penentuan kadar mut’ah boleh dilihat dan diambilkira dari sudut-sudut

yang berikut :

i. Keadaan kemampuan Defendan sama ada kaya atau miskin.

ii. Keadaan Plaintif dari sifat atau perwatakan Plaintif dan keadaan

atau kedudukan status keluarga Plaintif.

iii. Tempoh perkahwinan dan kesengsaraan isteri.

i.Kemampuan Suami (Defendan) ketika perceraian.

14

[24] Dalam menilai kemampuan suami atau Defendan, Mahkamah merujuk kepada

penghakiman dalam kes Faridah Binti Sulaiman lwn. Mohd. Noh Bin Othman

yang mana Yang Arif Hakim menjelaskan bahawa:

”Mut’ah diambil kira semasa berlaku perceraian atas kemampuan

suami atau ada juga pendapat yang lain menyatakan diambil kira

taraf kedua-dua pihak, tetapi walaubagaimanapun, tentang kadar

mut’ah mengikut al-Quran yang dikemukakan diambil kira di atas

kemampuan suami ketika berlaku perceraian”.

[25] Berdasarkan kes di atas, Mahkamah bersetuju dengan penghakiman tersebut

bahawa kemampuan suami ketika berlaku penceraian perlu diambil kira sebelum

sesuatu kadar Mut’ah ditentukan. Oleh yang demikian, Mahkamah ini perlu

menentukan terlebih dahulu tahap kemampuan Defendan samada susah, sederhana

atau senang atau kaya. Pada pandangan Mahkamah, inilah amalan yang berlaku di

dalam kes-kes terdahulu dan ia boleh dijadikan panduan walaupun Mahkamah ini

tidak terikat dengannya. Sebagai contoh di dalam kes Ningal @ Yang Chik lwn

Jamal Bin Abdul Rahman, JH 6 Bhgn. 2, halaman 146, di dalam penghakimannya,

Kadi Besar, Sheikh Ghazali Bin Abdul Rahman telah berkata :

“Kadar tuntutan mut’ah sebanyak RM 25,000 untuk menentukan

kadar mut’ah ini, saya telah meneliti pendapatan bulanan pihak

yang kena tuntut dan mendapati pendapatan beliau lebih kurang RM

1330 sebulan. Setelah ditolak potongan-potongan, pendapatan

bersih beliau lebih kurang RM 736. Saya kira yang kena tuntut

termasuk dalam golongan orang yang berpendapatan sederhana

sahaja dan tuntutan mut’ah sebanyak RM 25 ribu itu adalah tidak

munasabah.”

[26] Manakala, kes Nooraini Binti Rashid lwn. Hamzah Bin Zainudin, JH XVIII (2),

hlm. 294 di mana YA Hakim Mahkamah Tinggi Syariah Perak di dalam

penghakimannya menyatakan :

15

“Dalam kes ini Defendan seorang yang berkemampuan dan boleh

membayar tuntutan mut’ah Plaintif kerana kemampuan Defendan

dibuktikan dengan nilai saham semasa perkahwinan dengan

Defendan dalam beberapa Syarikat Hexagon sebanyak RM

3,013,957.00, Syarikat Evermaster Group Bhd. (EMB) sebanyak RM

24,478,307.00 dan syarikat Asia PAC Bhd. (APB) sebanyak RM 56,

682,000.00”.

[27] Apa yang Mahkamah ingin tekankan di sini adalah menjadi beban ke atas Plaintif

dalam kes tuntutan mut’ah ini untuk membuktikan kepada Mahkamah bahawa

Defendan mampu untuk membayar jumlah mut’ah yang dituntut olehnya sebanyak

RM 104,400.00. Prinsip beban pembuktian ini jelas dinyatakan di dalam kes

Norizam Binti Mohd Lazim lwn. Halim Azman Bin Hj. Sulaiman, di mana Kadi

Besar menyatakan :

“Kenyataan perbelanjaan yang dibuat oleh yang kena tuntut itu

tidak dipertikaikan oleh yang menuntut. Pihak menuntut pula tidak

dapat membuktikan kepada Mahkamah kemampuan sebenar

Pihak Kena Tuntut. Pihak Yang Menuntut pernah mengesyorkan

kadar tuntutannya daripada RM 10,800.00 kepada RM 5,000.00

dalam usaha mencari penyelesaian tetapi tidak dapat diterima oleh

Pihak Yang Kena Tuntut. Apabila tidak ada persetujuan atas kadar

mut’ah di antara Yang Menuntut dan Yang Kena Tuntut maka Kadi

akan menentukannya”

[28] Prinsip-prinsip beban pembuktian yang ditegaskan di dalam kes yang dirujuk

adalah selari dengan kehendak peruntukan seksyen 72 dan 73 EKMSS 2003 iaitu :

“72. Beban untuk mengemukakan keterangan dalam sesuatu kes

mal terletak pada orang yang mengatakan atau menegaskan sesuatu

16

fakta (Al-Mudda’ii) dan orang yang mengangkat sumpah untuk

menafikan atau mempertikaikan sesuatu fakta (Al-Muda’a ‘Alaih).

73. Sesiapa yang berhasrat supaya mana-mana Mahkamah

memberikan penghakiman tentang apa-apa hak atau tanggungan di

sisi undang-undang yang bergantung kepada kewujudan fakta yang

ditegaskan olehnya, mestilah membuktikan bahawa fakta itu wujud.

Apabila seseorang terikat untuk membuktikan kewujudan apa-apa

fakta, maka dikatakan bahawa beban membuktikan terletak pada

orang itu.”

[29] Plaintif dan saksi-saksinya hanya menyatakan bahawa Defendan sekarang telah

bekerja dan mempunyai pendapatan yang lumayan, juga Defendan mempunya aset

alat muzik bernilai puluhan ribu ringgit, namun plaintif telah gagal membuktikan

pendapatan bulanan mahupun pendapatan sampingan dan aset-aset Defendan di

dalam kes ini.

[30] Walaupun Defendan tidak hadir dan tidak menafikan tuntutan mutaah tersebut,

namun mahkamah ini wajar menilai satu persatu sebelum memutuskan jumlah

saguhati perceraian kepada Plaintif.

ii. Keadaan Plaintif dari sifat atau perwatakan Plaintif dan keadaan atau

kedudukan status keluarga Plaintif

[32] Faktor dari keadaan Plaintif akan dilihat dari segi dari perwatakan Plaintif dan juga

keadaan atau kedudukan status keluarga Plaintif. Faktor ini diambil kira menjadi

sandaran dalam menentukan kadar mut’ah berdasarkan kes Ismail lwn. Norsiah,

JH 2 Bhg.1, halaman 111, Kadi besar telah menghukum suami itu membayar RM

300 sebagi mut’ah dan suami telah merayu kepada Mahkamah Rayuan Syariah.

Mahkamah Rayuan telah menolak rayuan itu. Dalam keputusannya disebut :

17

”Memandangkan pihak menuntut (suami) sebagai seorang pekerja

yang berpendapatan sederhana dan pihak kena tuntut (isteri)

adalah seorang yang bertaraf dalam masyarakat maka Mahkamah

ini berpendapat bahawa kadar mut’ah patut dibayar oleh suami

lebih daripada kadar yang telah diputuskan oleh Hakim dalam

perbicaraan terdahulu, tetapi Mahkamah Ulangbicara enggan

mengubah hukuman itu dan menetapkan kadar mut’ah sebanyak RM

300 hendaklah dibayar sepenuhnya dalam tempoh 14 hari dari

tarikh hukuman”.

[33] Manakala di dalam kes Tengku Anum Zaharah Binti Tengku Abdul Hamid lwn.

Dato’ Dr. Hussein Bin Mohamed Yusof, JH 3 (1) hlm. 125, oleh sebab pihak-pihak

daripada keluarga yang berada dan isteri juga merupakan kerabat Diraja,

Mahkamah menetapkan jumlah yang diperuntukkan ialah RM 25,200.00.

[34] Secara asasnya, tiada penerangan panjang lebar dan jelas diberikan oleh ulama’

ketika menggariskan prinsip-prinsip menentukan kadar mut’ah terhadap faktor

status kedudukan keluarga isteri. Sebagai menambah panduan sebelum ini

dinyatakan di dalam kitab Bughyah al-Mustarsyidin oleh Syed Abdul al-Rahman

bin Muhammad bin Hussin bin Umar, cetakan akhir, 1952m – 1371h, halaman 214

yang bermaksud :

”...dan disunatkan (mut’ah) jumlahnya tidak kurang dari 30 dirham

maka sekiranya kedua pihak suami isteri bersetuju kadar mut’ah

tertentu dan jika tidak hakim hendaklah memerintahkan satu jumlah

yang wajar dengan mengambil kira hal keadaan suami dari sudut

susah senangnya dan juga hal keadaan isteri dari sudut nasab /

keturunan dan sifat (jamaalan) dan seumpama keduanya”.

[35] Mahkamah mendapati bahawa Plaintif adalah seorang isteri di kalangan orang

biasa, taraf sederhana, maka, kadar mut’ah Plaintif haruslah mengikut kadar orang

biasa kebanyakan.

18

iii. Tempoh Perkahwinan Dan Kesengsaraan Isteri.

[36] Oleh kerana sifat dan konsep mut’ah bukan sebagai pampasan (compensate),

faktor kesengsaraan tersebut bukan perkara utama dalam penentuan kadar mut’ah,

namun ianya wajar diambilkira kerana mut’ah juga sebagai satu perkara yang

mengembirakan hati isteri yang diceraikan. Mahkamah merujuk kepada kes Ida

Hidayati bt Taufiq lwn Ahmad Shukri b Kassim, Y.A Hakim berkata :

”Setelah mengambil kira lama tempoh perkahwinan dan

kesengsaraannya yang menjadi sejarah titik hitam yang mungkin

tidak dapat dilupakan seumur hayatnya”.

[37] Di dalam kes ini, Plaintif dan Defendan telah bernikah pada 07 Disember 1985 dan

telah bercerai dengan talaq rajie kali pertama pada 14 Oktober 2014. Berdasarkan

fakta ini, Mahkamah mendapati bahawa tempoh perkahwinan antara mereka telah

mencecah usia lebih kurang 29 tahun dan ianya adalah satu tempoh yang agak lama.

[38] Mahkamah juga mempertimbangkan sikap Plaintif yang sanggup bersusah senang

bersama Defendan selama tempoh lebih kurang 29 tahun perkahwinan mereka.

Dalam tempoh perkahwinan, Plaintif telah melahirkan 2 orang cahayamata. Selain

itu, Plaintif didapati turut membantu Defendan dari segi kewangan, kudrat dan

sokongan moral dan sentiasa menjalankan tanggungjawabnya sebagai isteri

walaupun Plaintif seorang yang mempunyai pekerjaan sebagai penjawat awam.

[39] Berdasarkan kepada tempoh perkahwinan pihak-pihak dan juga faktor

kesengsaraan yang ditanggung oleh Plaintif, maka Plaintif sememangnya layak

untuk mendapat bayaran mut’ah yang wajar bagi dirinya.

Penetapan Kadar Mutaah

19

[40] Mengikut undang-undang dalam penentuan kadar mut’ah kepada isteri adalah

mengikut kewajaran yang patut. Walaubagaimana pun, jika dibuat berdasarkan

hukum syarak, kadar mut’ah adalah tidak kurang dari 30 dirham. Kaedah itu

dinyatakan dalam dalam kitab I’aanah al-Talibin, juzuk 3, mula surat 357 ada

menyebut menyebut :

ويسن أن ال ينقص عن ثالثين درهما

Maksudnya :

“Sunat kadar mutaah itu tidak kurang dari tiga puluh dirham”

[41] Harus diingat bahawa Muta’ah bukanlah suatu bentuk tunggakan nafkah, bukan

juga suatu gantirugi perkahwinan. Muta’ah adalah sebagai saguhati wajib bagi

sebuah perceraian dan untuk menggembirakan hati perempuan yang diceraikan

dengan mengambil kira faktor-faktor, bukan sahaja sebelah pihak, tapi di kedua-

dua belah pihak.

[42] Mahkamah mendapati jumlah yang dituntut RM 104,400.00 adalah jumlah yang

berlebih-lebihan dalam keadaan tiadanya ciri-ciri khas dan faktor-faktor istimewa

dan luar biasa yang ada pada Plaintif bagi mewajarkan jumlah tersebut.

[43] Mahkamah telah meneliti keterangan di Plaintif dan saksi-saksi, Mahkamah

mendapati jumlah yang telah ditaksirkan oleh Mahkamah ini telahpun meliputi dan

mengambil kira faktor-faktor asas dalam pemberian Mutaah. Mahkamah juga

mendapati jumlah ini adalah dalam kemampuan Defendan atau sekurang-kurangnya

jumlah yang boleh dimampukan oleh Defendan.

[44] Mahkamah berpandangan berdasarkan keadaan Plaintif, pengorbanan Plaintif

sebagai seorang isteri serta tempoh perkahwinan Plaintif dan Defendan, maka adalah

wajar dan munasabah RM 16,000.00 diberikan sebagai bayaran mut’ah Defendan

kepada Plaintif kerana nilaian tersebut adalah tidak terlalu tinggi dan juga tidak

terlalu rendah serta bersesuaian dengan maksud mut’ah itu yang mana ia adalah

saguhati penceraian.

20

[45] Sebelum mahkamah ini memberikan keputusan bagi kes ini, mahkamah menawarkan

kepada Plaintif untuk bersumpah istizhar bagi mengelakkan tohmahan pada masa

akan datang kerana perbicaraan dijalankan secara sebelah pihak.

Keputusan

Mahkamah setelah mendengar keterangan Plaintif dan saksi-saksinya, dan setelah

Mahkamah meneliti hujahan Plaintif, maka dengan ini Mahkamah memerintahkan seperti

berikut:

1. Mahkamah meluluskan tuntutan ini berdasarkan Seksyen 66 dan 58 Enakmen

Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003.

2. Mahkamah memerintahkan Defendan membayar nafkah ‘eddah bagi tempoh

‘eddah mengandung Plaintif berjumlah RM 3,000.00.

3. Mahkamah memerintahkan Defendan membayar RM 16,000.00 sebagai mut’ah

kepada Plaintif.

4. Mahkamah memerintahkan Defendan untuk membayar nafkah eddah dan mut’ah

yang berjumlah RM 19,000.00 secara ansuran sebanyak RM 1,000.00 sebulan

selama tempoh 19 bulan bermula September 2018 sehingga Mac 2020 dan

dimasukkan ke dalam akaun Maybank milik Plaintif No : 1121-0101-4957.

5. Mana-mana pihak yang tidak berpuashati dengan keputusan ini, hendaklah

mengemukakan notis rayuan ke Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam dalam

tempoh 14 hari mulai hari ini.