wacana wanita dalam sajak-sajak sasterawan …

25
1 WACANA WANITA DALAM SAJAK-SAJAK SASTERAWAN NEGARA ZURINAH HASSAN DARI LENSA TEORI FEMINIS OLEH CHERI REGISTER Oleh Norhayati Ab. Rahman [email protected] PENDAHULUAN Wacana ialah keseluruhan tutur yang merupakan satu kesatuan, ucapan, pertuturan, percakapan. Wacana juga merujuk kepada perbincangan atau pertukaran idea (Kamus Dewan Edisi Empat, 2005). Dalam bahasa inggeris menyebutnya sebagai “a speech or piece of writing about a particular, usually serious, subject” (Cambridge Dictionary). Dari sudut linguistik, kata wacana merujuk kepada unit bahasa yang lebih panjang daripada satu ayat. Kata wacana berasal dari awalan Latin yang bermaksud "jauh" dan daripada kata dasar currereyang bermaksud "lari". Oleh itu, wacana bermaksud "lari" dan merujuk kepada cara percakapan yang mengalir. Mengkaji wacana adalah dengan menganalisis penggunaan bahasa lisan atau tulisan dalam konteks sosial. Dengan perkataan lain, wacana merujuk kepada suatu bentuk perbincangan memgenai sesuatu topik, sama ada dilakukan secara bertulis atau secara bersemuka atau lisan. Dalam konteks ini, topik wacana wanita dalam sajak- sajak SN Zurinah Hassan akan menampilkan subjek wanita dan kewanitaan yang akan dikenalpasti dan didiskusikan menggunakan satu teori yang relevan dengan subjek ini, iaitu Teori Feminis oleh Cheri Register. Mengikut hasil kajian para pengkritik feminis, karya sastera yang dihasilkan oleh pengarang lelaki cenderung menggambarkan wanita dengan imej yang stereotaip, pengalaman wanita dipinggirkan, suara wanita dibisukan dan bentuk- bentuk paparan yang hanya menyerlahkan male-centredness. Dengan perkataan lain,

Upload: others

Post on 23-Oct-2021

48 views

Category:

Documents


1 download

TRANSCRIPT

Page 1: WACANA WANITA DALAM SAJAK-SAJAK SASTERAWAN …

1

WACANA WANITA DALAM SAJAK-SAJAK SASTERAWAN NEGARA ZURINAH

HASSAN DARI LENSA TEORI FEMINIS OLEH CHERI REGISTER

Oleh

Norhayati Ab. Rahman

[email protected]

PENDAHULUAN

Wacana ialah keseluruhan tutur yang merupakan satu kesatuan, ucapan, pertuturan,

percakapan. Wacana juga merujuk kepada perbincangan atau pertukaran idea

(Kamus Dewan Edisi Empat, 2005). Dalam bahasa inggeris menyebutnya sebagai “a

speech or piece of writing about a particular, usually serious, subject” (Cambridge

Dictionary). Dari sudut linguistik, kata wacana merujuk kepada unit bahasa yang lebih

panjang daripada satu ayat. Kata wacana berasal dari awalan Latin yang bermaksud

"jauh" dan daripada kata dasar ‘currere’ yang bermaksud "lari". Oleh itu, wacana

bermaksud "lari" dan merujuk kepada cara percakapan yang mengalir. Mengkaji

wacana adalah dengan menganalisis penggunaan bahasa lisan atau tulisan dalam

konteks sosial. Dengan perkataan lain, wacana merujuk kepada suatu bentuk

perbincangan memgenai sesuatu topik, sama ada dilakukan secara bertulis atau

secara bersemuka atau lisan. Dalam konteks ini, topik wacana wanita dalam sajak-

sajak SN Zurinah Hassan akan menampilkan subjek wanita dan kewanitaan yang

akan dikenalpasti dan didiskusikan menggunakan satu teori yang relevan dengan

subjek ini, iaitu Teori Feminis oleh Cheri Register.

Mengikut hasil kajian para pengkritik feminis, karya sastera yang dihasilkan

oleh pengarang lelaki cenderung menggambarkan wanita dengan imej yang

stereotaip, pengalaman wanita dipinggirkan, suara wanita dibisukan dan bentuk-

bentuk paparan yang hanya menyerlahkan male-centredness. Dengan perkataan lain,

Page 2: WACANA WANITA DALAM SAJAK-SAJAK SASTERAWAN …

2

wanita telah dijadikan objek dan subjek dalam perbicaraan lelaki dengan berbagai-

bagai cara dan matlamat. Wanita juga telah dijadikan sebagai seribu satu pembayang

maksud dalam menyampaikan makna-makna tersurat dan tersirat dalam pemikiran

lelaki. Menurut Cheri Register, gambaran tentang wanita dalam karya yang dihasilkan

oleh pengarang lelaki adalah didorong oleh tiga perkara. Pertama, berlandaskan

model atau contoh umum yang pernah dilihat atau dikenali. Kedua, berdasarkan

produk keadaan sosial wanita dalam masyarakat itu sendiri. Ketiga, perlukisan watak

wanita sebagai simbol keinginan pengarang terhadap wanita yang dapat menghibur

(Cheri Register, 1989:5).

Oleh kerana itu, wanita dikatakan tidak memperolehi faedah daripada karya-

karya seumpama itu, kerana pengalaman sebenar wanita tidak diketengahkan.

Sebaliknya pemaparan sedemikian hanya menunjukkan bahawa wanita masih berada

dalam muted group dan sekali gus menyerlahkan apa yang disebut sebagai the

domination of men, and the subordination of women. Justeru, ini merupakan satu

bentuk permasalahan yang perlu dirungkai dan dileraikan. Caranya ialah dengan

mengalih tumpuan para pengkaji kepada penulisan oleh wanita tentang wanita

(women writing and writing about women). Kajian-kajian perlu dilakukan terhadap teks

sastera yang dihasilkan oleh pengarang wanita bagi mencari keseimbangan antara

gambaran pengarang lelaki dan pengarang wanita tentang wanita. Maksudnya tidak

hanya bergantung kepada gambaran pengarang lelaki semata-mata. Malah wanita

sendiri dilihat sebagai pihak yang paling wajar dan berwibawa untuk berbicara

mengenai untung nasib mereka dan bukannya lelaki. Sehubungan itu, kehadiran

penulis wanita dalam sastera dilihat sebagai usaha untuk mengubah corak perlukisan

wanita yang digarapkan oleh pengarang lelaki. Mereka sedar akan perlunya wanita

supaya tampil memaparkan sendiri pengalaman hidup mereka untuk dibaca.

Page 3: WACANA WANITA DALAM SAJAK-SAJAK SASTERAWAN …

3

Sebahagian mereka tidak ingin lagi melihat diri wanita dilukis dan diwarnakan secara

tidak adil oleh pengarang lelaki. Oleh yang demikian, timbul kesedaran dalam

kalangan pengarang untuk tampil bukan hanya sebagai pembaca malah sebagai

pengarang, pengeluar, penghasil dan juga sebagai pengkritik. Kajian terhadap karya

sastera yang dihasilkan oleh pengarang wanita dilakukan bagi membuktikan wanita

mempunyai imej, pengalaman, suara, keinginan, wawasan, bahasa dan budaya

mereka sendiri. Sifat-sifat women-centredness ini hanya akan dapat diketengahkan

kepada khalayak dengan mengkaji teks-teks yang dihasilkan oleh pengarang wanita.

Kajian terhadap karya pengarang wanita boleh dilakukan dengan menggunakan

beberapa pendekatan teori feminisme, seperti Teori Ginokritik gagasan Elaine

Showalter dan pendekatan feminis oleh Cheri Register. Walau bagaimanapun dalam

penulisan makalah ini, pendekatan yang lebih sesuai untuk melihat rakaman dunia

wanita dalam sajak-sajak Zurinah Hassan adalah pendekatan feminis oleh Cheri

Register, yang diguna pakai untuk membicarakan ciri-ciri karya sastera bercorak

feminis. Menurut Cheri Register (1989:1-27), beberapa ciri penting yang harus ada

dalam sesebuah karya sastera bercirikan feminis ialah karya yang memenuhi lima

prinsip berikut:

1. Sebagai forum membicarakan soal wanita (serve as a forum for women).

2. Membantu mewujudkan persefahaman budaya wanita-lelaki (help to

achieve cultural and androgony).

3. Menyediakan peranan contoh (provide role-models).

4. Memupuk semangat persaudaraan wanita (promote sisterhood).

5. Menimbulkan kesedaran kepada khalayak (augments consciousness-

rising).

Page 4: WACANA WANITA DALAM SAJAK-SAJAK SASTERAWAN …

4

ANALISIS DAN DAPATAN KAJIAN

Karya Sebagai Forum Membicarakan Soal Wanita

Prinsip pertama yang ditekankan oleh Register bagi sesebuah karya sastera untuk

dapat dikategorikan sebagai karya feminis ialah karya itu dapat menjadi forum (tempat

perbincangan secara terbuka) bagi wanita, iaitu dengan cara mendedahkan

pengalaman hidup dan nilai-nilai jati diri secara jujur mengikut perspektif wanita.

Pendedahan tentang kehidupan sebenar wanita tersebut tidak lagi mengikut garis

panduan dan tanggapan lelaki, supaya pembaca dapat memahami apa yang dialami

dan dideritai oleh golongan wanita. Pendedahan tentang kehidupan sebenar wanita

juga akan dapat mengubah pandangan negatif sesetengah masyarakat, khususnya

kaum lelaki terhadap wanita. Gerda Lerner (1979) menjelaskan bahawa bagi

memahami budaya wanita adalah penting untuk memeriksa pengalaman wanita

dalam konteks mereka sendiri. Hal ini memandangkan pengalaman wanita adalah

satu aspek penting yang boleh dilihat dalam budaya wanita, termasuk dalam hasil-

hasil penulisan wanita.

Melalui sajak-sajak yang dihasilkan, Zurinah Hassan mengetengahkan

pelbagai bentuk pengalaman dunia wanita dalam ruang yang bebas dan identiti yang

terbuka serta rencam. Pertama, sebagai wanita yang berkarya sejak awal tahun

1970-an, penyair memperlihatkan realiti pengalaman wanita dibisukan agar tidak

dapat menyampaikan suara, kemahuan, atau kebenaran yang dirasai oleh wanita. Ini

telah diwacanakan melalui beberapa buah sajak awal Zurinah Hassan, antaranya

yang bertajuk “Apabila Kata-kata Menjadi Sebuah Dosa”. Tajuk ini sendiri

memberikan gambaran tentang larangan berkata-kata kepada wanita sehingga jika

Page 5: WACANA WANITA DALAM SAJAK-SAJAK SASTERAWAN …

5

berkata-kata dianggap bagaikan suatu dosa bagi kaum wanita. Gambaran tersebut

antara lain diperlihatkan melalui petikan sajak berikut:

Bila kau bertanya sesuatu

Paling mudah menjawab ‘tidak tahu’

Kerana berkata benar

Telah menjadi sebuah dosa.

Apa lagi yang tinggal

Selain mulut yang bisu

Bila suaraku

Telah menjadi merbahaya

Dan kata-kata

Telah menjadi sebuah dosa.

(Di Sini Tiada Perhentian, 1977:11)

Petikan di atas memperlihatkan penyair menggambarkan situasi atau kedudukan

wanita yang ‘bisu’ atau ‘dibisukan’ oleh masyarakat, sehingga mencetuskan

tanggapan bahawa wanita tidak boleh menyuarakan apa yang dirasainya atau

dibebani oleh perasaannya. Jika pun diajukan pertanyaan, wanita hanya akan

menjawab sebagai ‘tidak tahu’ (berbanding menyatakan kebenaran) bagi

mengelakkan diri dianggap sebagai cuba untuk membantah, melawan atau mencabar

terhadap isu atau persoalan yang dikemukakan atau dihadapi oleh wanita. Ungkapan

frasa/larik ‘bila suaraku/telah menjadi merbahaya” menunjukkan kemungkinan yang

dijangkakan, iaitu sekiranya wanita ‘bersuara’ ia akan mencetuskan situasi

ketegangan atau menimbulkan konflik antara dirinya dengan si penanya (lazimnya

lelaki, sama ada ayah atau suami). Malah ungkapan pada larik berbunyi “dan kata-

kata/telah menjadi sebuah dosa” membayangkan bahawa wanita dilarang daripada

bersuara, sama ada untuk menyampaikan pandangan, meluahkan perasaan atau

menyatakan pendiriannya. Paparan pengalaman hampir sama juga boleh dikesan

Page 6: WACANA WANITA DALAM SAJAK-SAJAK SASTERAWAN …

6

dalam puisi berjudul “Rasa” (1975), “Salam Perempuan dari Penjara” (2010) dan

banyak lagi.

Apabila penyair mengungkapkan tentang keterbatasan wanita dalam bersuara

atau bertindak, melalui petikan sajak “Rasa” seperti dikesan pada ungkapan ini: “jika

suaranya menjadi sebuah dosa/gugurlah ia bagai sebutir bintang/yang tersisih dari

langitnya/untuk memulakan/ jalanan yang sayup dan sendiri/seperti Hawa yang hiba

membawa dosa/lalu menyuburkan dunia/ membesarkan anak cucunya/menjadi

golongan yang terinaya. (1977:32).

Demikian ungkapan suara Zurinah Hassan yang mewakili paparan

pengalaman jiwa wanita wanita pada tahun 1970-an yang merasakan diri mereka

disisih, dinafikan hak untuk bersuara, sehingga berasa berdosa untuk bersuara atau

berbuat sesuatu di luar kelaziman domestic dalam kehidupan mereka. Ini adalah

antara cebisan pengalaman yang diungkapkan oleh penyair melalui puisi-puisi awal

beliau. Kadangkala wanita berasa seolah-olah diri mereka sebagai warga kelas kedua

selepas lelaki.1 Dalam konteks ini, sarjana antropologis terkenal di Malaysia, Roziah

Omar dalam kajiannya terhadap kelompok wanita di suatu komuniti di negara ini yang

diterbitkan dalam bukunya berjudul The Malay Women in the Body: Between Biology

and Culture (1994) merumuskan sifat-sifat ideal wanita Melayu antaranya ialah wanita

yang kurang wibawa, tetapi setia dan menghormati suami sepenuhnya.2 Hakikat ini

1 Simone de Beauvoir dalam bukunya The Second Sex (1972) memperkatakan tentang wujudnya tentang ketidaksamaan umum yang ditentukan oleh jantina, kebudayaan dan sejarah. Beliau melihat wanita telah dijadikan dengan sifat-sifat rendah diri dan tekanan ini berlipat ganda kerana lelaki beranggapan bahawa sifat sedemikian memang wujud secara semula jadi. Lihat perbahasan Norhayati Ab.Rahman dalam Puitika Sastera Wanita Indonesiaa dan Malaysia: Satu Bacaan Ginokritik (2012:2). 2 Dalam kajiannya, Roziah Omar menyatakan “the Malay women’s body is entirely social constructed” (1994:31). Sifat-sifat ideal wanita Melayu daripada perspektif masyarakat ialah: i) wanita yang memenuhi tugas sebagai isteri, ibu, menantu dan anak perempuan, ii) wanita yang kurang wibawa, tetapi setia dan menghormati suami sepenuhnya, iii) wanita yang terdidik (berperilaku baik) serta menarik (cantik), dan iv) wanita yang subur dan mampu melahirkan zuriat. Rujuk perbincangan Norhayati Ab. Rahman(2012:202).

Page 7: WACANA WANITA DALAM SAJAK-SAJAK SASTERAWAN …

7

dapat difahami kerana puisi ini dihasilkan pada tahun 1974, iaitu suatu zaman yang

masyarakat di Malaysia, khususnya di kampung masih kuat dikuasai oleh kelompok

patriarki3. Konsep patriarki merujuk kepada sistem kekuasaan lelaki yang menindas

wanita melalui institusi sosial, politik, dan ekonomi. Maggie Humm (1989:159)

mentakrifkan patriarki sebagai penguasaan lelaki dan hubungan kuasa yang mana

lelaki menguasai wanita (male domination and the power relationships by which men

dominate women) dan lelaki mengawal reproduksi wanita (men control of women’s

reproduction). Situasi ini diperlihatkan oleh penyair ketika menyebut bahawa “kata-

kata telah menjadi sebuah dosa” dalam petikan puisi di atas. Ini adalah sebahagian

daripada paparan pengalaman wanita, khususnya pada suatu ketika dahulu yang

menunjukkan bahawa wanita perlu menunjukkan dirinya ‘lemah’ dan tidak berani

bersuara (dibisukan), terutama dalam hal-hal yang berada di bawah kekuasaan lelaki.

Ini merupakan satu isu penting yang sering diberi perhatian oleh pengkaji feminis, bagi

merungkai perasaan, dan pengalaman wanita, dengan cara memasuki dan

membugar karya wanita serta mewacanakannya. Pewacanaan sedemikian dilihat

perlu untuk dijadikan sebagai pemakluman dan pedomen kepada wanita lain.

Kedua, penyair juga memperlihatkan ketajaman daya fikir dan kritikan terhadap

beberapa pihak. Pertama, kritikan ke atas eksploitasi dan manipulasi lelaki terhadap

wanita, seperti yang dipaparkan melalui “Surat Teja Kepada Tuah” (2010:29). Melalui

sajak ini, penyair menyelar tindakan lelaki (Hang Tuah) yang memperdagangkan

kecantikan dan cinta seorang wanita demi untuk memenuhi cita-cita peribadi. Wanita

cantik jelita bernama Tun Teja, dipedayakan dengan cinta yang sebenarnya

merupakan suatu helah semata-mata, demi untuk meraih kepercayaan,

3 Konsep patriarki merujuk kepada system kekuasaan lelaki yang menindas wanita melalui institusi social, politik dan ekonomi. Patriarki juga didefinasikan sebagai ‘male domination and the power relationships by which men dominate women” dan “men control of women’s reproduction”. Lihat Maggie Humm, 1989:159.

Page 8: WACANA WANITA DALAM SAJAK-SAJAK SASTERAWAN …

8

penghormatan dan memenuhi kehendak Sultan. Suara Tun Teja sebagai wanita yang

digambarkan oleh penyair antara lain berbunyi:

Tuah, aku adalah perempuan malang

Yang harus merana kerana paras rupa

Kecantikanku bukanlah suatu dosa

Namun ia telah diperdagangkan

Dengan pintar percaturan lelaki

Seperti bunga pada sesedap gubahan

Di hujung lidah seorang sultan..

(Surat Teja Kepada Tuah, 2012:29)

Petikan sajak di atas memperlihatkan pengalaman suara batin seorang wanita yang

meluahkan rasa kekecewaan dan penderitaan hidup yang terpaksa dilalui oleh wanita

disebabkan kecantikan yang dimiliki. Kecantikannya yang menarik perhatian seorang

Sultan untuk memilikinya, dan kemudian menggunakan Hang Tuah untuk menawan

cinta Tun Teja. Teja yang telah jatuh cinta kepada Tuah, sanggup menyerahkan

hatinya dan mengikuti Hang Tuah pulang ke Melaka tanpa menduga bahawa cintanya

diperdagangkan, iaitu dibeli oleh Hang Tuah untuk dijual kepada Sultan.

Seterusnya penyair Zurinah Hassan juga menampilkan kritikan wanitanya

terhadap terhadap tindakan seorang raja/sultan yang sanggup menggadai

kebahagiaan seorang anak perempuan, demi mencapai kehendak peribadi dan

kekuasaan politik. Paparan ini banyak ditemui dalam sajak-sajak beliau, seperti yang

dapat ditelusuri pada sajak “Pelayaran Hang Li Po”, “Pesanan Puteri Gunung Ledang

Kepada Sultan Mahmud” dan lain-lain. Melalui sajak “Pelayaran Hang Li Po” misalnya,

penyair cuba menyelongkar dunia batin sang puteri dari China yang dihantar ke

Melaka untuk dipersembahkan sebagai seorang isteri oleh Sultan Melaka. Dari sudut

kaca mata umum, persembahan oleh Maharaja China tersebut adalah gambaran

hubungan diplomatic antara dua buah kerajaan besar China-Melaka, dan juga

Page 9: WACANA WANITA DALAM SAJAK-SAJAK SASTERAWAN …

9

paparan tentang keagungan Sultan Melaka kerana dapat memperisterikan puteri dari

sebuah benua jauh, berketurunan kerajaaan besar. Namun, tiada sesiapa yang

menyorot dari sudut penerimaan Hang Li Po sendiri, atau aspek kewanitaan puteri itu

sendiri. Hal ini telah disorot dan ditafsirkan oleh penyair melalui ungkapan sajak yang

antaranya berbunyi:

Apalah nasibnya badan

Sudah menjadi barang hantaran

Dibawa ke Melaka

Sebagai hadiah kepada Sultan

Kononnya untuk meneguhkan kerajaan.

Bondanya Maharani yang mulia

Berpesan dengan airmata,

Duhai Hang Li Po anak tercinta

Tabahlah menerima ketentuan ini

Inilah takdir kita

Menjadi puteri dan permaisuri

Perkahwinan kita bukan soal peribadi

Hidup kita bukan untuk diri.

Diri kita adalah milik negeri.

(Mengadap Ke Pelabuhan, 2010:25).

Gambaran di atas cuba mendedahkan pergolakan dunia batin secara monolog pada

diri dua orang wanita, iaitu Hang Li Po dan ibunya Maharani Negara China. Lukisan

jiwa secara monolog dalaman tersebut membayangkan tentang dua perkara, iaitu

pertama tentang kedudukan seorang anak perempuan atau wanita, yang berfungsi

sebagai barang hantaran atau hadiah untuk dipersembahkan kepada seseorang raja

atau sultan seperti tergambar pada larik-larik yang berbunyi: “Sudah menjadi barang

hantaran/di bawa ke Melaka/sebagai hadiah kepada Sultan/kononnya untuk

meneguhkan kerajaan”.

Yang kedua, petikan di atas juga memperlihatkan bahawa wanita langsung tidak

mempunyai hak dan kuasa untuk menentukan kehidupan peribadi mereka sendiri.

Page 10: WACANA WANITA DALAM SAJAK-SAJAK SASTERAWAN …

10

Sementelah pula bagi seorang puteri raja, yang harus akur dengan apa jua titah

perintah ayahnya/Sultan sendiri. Hal ini diingatkan oleh bondanya dengan

menyatakan bahawa: Inilah takdir kita/menjadi puteri dan permaisuri/perkahwinan kita

bukan soal peribadi/hidup kita bukan untuk diri/diri kita adalah milik negeri. Demikian

pewacanaan kritis dunia wanita yang dikemukakan oleh penyair secara kritikan

terhadap perlakuan pihak ayah/raja/Sultan terhadap wanita.

Ketiga, wanita dicitrakan sebagai seorang pemikir yang bukan hanya

memikirkan tentang diri dan kepompong kewanitaanya semata-mata, malah mereka

ikut berfikir soal bangsa dan negara. Pernyataan ini dipaparkan oleh penyair melalui

sajak-sajak seperti Bukit Nanas, Shah Alam (pelestarian alam di tengah-tengah

pembangunan kota), Hujan di Kuala Lumpur (masalah air dan banjir kilat) dan lain-

lain. Melalui puisi ‘Bukit Nanas’ misalnya, penyair menggambarkan tentang kepesatan

pembangunan kotaraya Kuala Lumpur yang menelan kehijauan alam lantas

menjadikannya sebagai kotaraya yang kering kontang. Namun penyair menyaksikan

masih ada sedikit ruang yang belum ditelan oleh pencakar langit, iaitu kawasan Bukit

Nanas. Penyair mengharap agar masih ada kawasan di kotaraya Kuala Lumpur yang

dibiarkan kekal secara alami, seperti ungkapan dalam larik-larik berikut:

Bukit Nanas

Tinggalkan sedikit embun

untuk menyejukkan mata

dari debu kota

di sini kau adalah amanah alam

untuk menjaga anak-anaknya.

(Mengadap Ke Pelabuhan, 2010:75)

Dalam contoh petikan sajak di atas, penyair mengharapkan agar kawasan Bukit

Nanas akan terus dikekalkan sebagai kawasan penampang berfungsi sebagai: ‘untuk

menyejukkan mata/dari debu kota/di sini kau adalah amanah alam/untuk menjaga

anak-anakmu. Ungkapan di atas membayangkan penyair wanita tidak semata-mata

berkisar tentang wanita dan kewanitaan semata-mata dalam teks mereka. Malah,

mereka telah keluar daripada jalur kewanitaan dan memasuki jalur isu sejagat,

terutama yang berlaku di tanahair. Wanita juga adalah pemikir dan perakam zaman

Page 11: WACANA WANITA DALAM SAJAK-SAJAK SASTERAWAN …

11

yang merakam permasalahan semasa masyarakatnya,seperti yang digambarkan

penyair dalam sajak berjudul “Rebolusi”. Melalui sajak ini penyair mengangkat

masalah kaum petani dan nelayan yang berdepan dengan cabaran kehidupan.

Antaranya dapat dilihat pada rangkap berbunyi:

Keruh air terusan Md Saman

Petani kelesuan dan kerbau keletihan

Dalam pesta gigih dan takwa

Menunggu bulan bersinar.

Perahu tertambat dialah tengkujuh

Kemiskinan menggigit tubuh

Sebulan di pondok bamboo

Jauh tersisih nasibnya..

(Sesayup Jalan,1974:52).

Petikan sajak di atas memperlihatkan bahawa penyair bukan hanya menulis tentang

kesedaran terhadap terpinggirnya nasib kaum wanita pada zaman tersebut, malah

turut memikirkan tentang kemiskinan yang dihadapi oleh masyarakatnya. Tentang

kaum petani yang kelesuan/kerbau keletihan, tentang musim tengkujuh yang

mengepung kehidupan nelayan menyebabkan mereka terus berada dlam kesusahan

dan kemiskinan, dan nasib mereka yang tidak dipedulikan oleh para pemerintah pada

ketika itu sehingga kekalah mereka ‘sebulan di pondok bamboo/jauh tersisih

nasibnya”. Persoalan hampir sama juga dapat ditemui pada puisiberjudul “Kuala

Muda” dalam kumpulan Mengadap ke Pelabuhan (2010). Dengan mengetengahkan

pengalaman dan pemikiran wanita dalam bidang sosial dan kemasyarakatan,

membuktikan peranan dan penglibatan wanita dalam kehidupan adalah luas dan tidak

terhad secara khusus kepada ruang domestic semata-mata. Justeru semua isu dan

pengalaman wanita yang diangkat dalam saja-sajak Zurinah Hassan ini dapat

dijadikan sebagai forum atau perbincangan yang boleh dikongsikan dengan pembaca

atau khalayak wanita lain.

Page 12: WACANA WANITA DALAM SAJAK-SAJAK SASTERAWAN …

12

Membantu Mewujudkan Persefahaman Budaya Wanita dan Lelaki

Menurut Register, sesebuah karya sastera feminis itu mestilah dapat membantu

mewujudkan persefahaman tentang pengalaman lelaki dan wanita, iaitu dengan cara

saling menghormati dan memahami pendirian, pendapat dan sebagainya yang sesuai

dengan fitrah kejadian masing-masing. Dengan persefahaman tersebut dapat

melahirkan perasaan kemanusiaan yang lebih positif dalam menjamin kebahagiaan

dan kesejahteraan hidup. Dengan perkataan lain, karya feminis tidak seharusnya

memupuk budaya tidak sihat seperti menganjurkan sikap anti-jantina yang berbeza.

Sebaliknya perlu berperanan memupuk persefahaman tentang pengalaman lelaki dan

wanita ke arah kehidupan berkeluarga dan bermasyarakat yang lebih sejahtera serta

harmoni. Gambaran tersebut agak sukar untuk dikesan pada sajak-sajak Zurinah

Hassan, namun soal hubungan tersebut turut dilukiskan penyair melalui sajak-sajak

beliau, antaranya seperti sajak “Dalam Perjalanan” dalam kumpulan puisi Sesayup

Jalan (1974:22). Melalui sajak ini penyair memaparkan hubungan “aku” dan “mu”

yang dapat ditafsirkan sebagai seseorang yang bermakna dalam hidup penyair,

seperti dapat dikesan melalui larik-larik berikut;

Aku berjalan bersamamu dan seribu bayang-bayang

Pohon-pohon kasih rimbun berpayung daun

Bergugur-guguran kuntum-kuntum rindu

Menghias taman hidupku.

Jalanan ini di pantai kebenaran

Terasa indah dalam menyerah

Bahagia dalam menghamba

Langkah ini di pantai kebenaran

Tapak kakiku dan tapak kakimu

Berbekas di pasir waktu.

(Sesayup Jalan, 1974:22)

Page 13: WACANA WANITA DALAM SAJAK-SAJAK SASTERAWAN …

13

Petikan sajak di atas menggambarkan satu bentuk hubungan mesra yang memberi

keceriaan dan kebahagiaan kepada penyair sehingga menerbitkan ‘kuntum-kuntum

rindu menghiasi taman hidupku’. Dapat difahamkan bahawa penyair atau wanita ini

telah membuat satu keputusan yang tepat dalam memilih pasangan hidupnya

sehingga menemukan kebenaran dan seperti ungkapan sajak berbunyi “Jalanan ini di

pantai kebenaran/Terasa indah dalam menyerah/Bahagia dalam

menghamba/Langkah ini di pantai kebenaran/Tapak kakiku dan tapak

kakimu/berbekas di pasir waktu.” Hakikat ini menggambarkan situasi persefahaman

antara ‘aku’ (wanita) dan pasangannya (lelaki) yang membayangkan kesesuaian

dengan prinsip teori feminis, iaitu mewujudkan persefahaman budaya wanita dan

lelaki. Persefahaman tersebut telah dikesan pada watak ‘aku’ dan pasangannya ‘mu’.

Melalui sajak ini, penyair memperlihatkan rasa persefahaman antara kedua-dua watak

wanita dan lelaki tersebut. Mereka berkongsi perasaan, pendirian dan rasa

tanggungjawab yang sama terhadap satu sama lain. Jalinan persefahaman tersebut

membuka jalan untuk mereka saling membantu membina semangat dan kekuatan

untuk berdepan dengan cabaran kehidupan.

Selain itu, sajak berjudul “Perkahwinan- kata seorang Perempuan” juga dapat

dilihat sebagai sebuah catatan yang memperlihatkan usaha wanita untuk

berkompromi dengan lelaki melalui ikatan sah bernama perkahwinan. Dalam konteks

ini, penyair mendedahkan bahawa naluri wanita tidak pernah menolak perkahwinan,

meskipun sedar dan mengetahui bahawa: “perkahwinan adalah

kesukaran/mengurangkan beberapa kebiasaan/yang kadang-kadang mengurangkan

kewujudan/dan seorang perempuan/selalu mengurangkan kewujudan/untuk

melengkapkan kejadian.” Ungkapan larik-larik tersebut menunjukkan kesediaan

Page 14: WACANA WANITA DALAM SAJAK-SAJAK SASTERAWAN …

14

wanita untuk melayari kehidupan bersama-sama suami, dan sedia berkompromi demi

sebuah kesejahteraan. Dengan perkataan lain, dalam beberapa keadaaan wanita

sedia untuk mengalah, demi mewujudkan hubungan yang harmoni dengan

pasangannya. Sekali gus memperlihatkan adanya usaha penyair untuk membantu

mewujudkan rasa persefahaman antara lelaki dan wanita. Hal ini diperteguhkan lagi

melalui sajak berjudul “Untuk Hidup Bersama” (Mengadap ke Pelabuhan, 2010:97)

yang antara lain mengungkapkan: “kita pun lebih/dari sekadar rupa dan kata-

kata/kadang-kadang dengan menyedari kelainan/membolehkan kita hidup bersama”.

Demikian antara pengakuan penyair mewakili suara wanita yang menampilkan

kesedaran perlunya menghargai perbezaan/kelainan untuk saling melengkapi antara

pasangan suami-isteri. Kesedaran wanita tentang perlunya seorang isteri untuk

sentiasa berada di samping suami, mencetuskan rasa ‘bersalah’ apabila sesekali si

isteri terpaksa meninggalkan suami untuk memenuhi cita-cita sendiri. Ini dapat

dihayati pada sajak-sajak berjudul “Catatan Untuk Suami” dan “Catatan Untuk Suami

(2)” dalam Mengadap ke Pelabuhan (2010).

Usaha yang dipaparkan melalui sajak-sajak beliau ini adalah selaras dengan

gagasan teori feminis oleh Cheri Register yang mensyaratkan sesebuah karya feminis

itu hendaklah bertujuan “help to achieve cultural androgyny” (1989:1-27). Berdasarkan

perbincangan terhadap teks di atas, memperlihatkan penyair berpendapat bahawa

persefahaman antara wanita dan lelaki adalah merupakan elemen penting dalam

kehidupan, yang berupaya menjana kejayaan dan kesejahteraan kehidupan.

Pemaparan sedemikian adalah sesuai dan selaras dengan pandangan Cheri Register

yang menyarankan karya sastera feminis seharusnya dapat membantu mewujudkan

persefahaman budaya wanita-lelaki (help to achieve cultural and androgony) dalam

masyarakat. Walaupun pemikiran feminis menekankan kemandirian wanita dalam

Page 15: WACANA WANITA DALAM SAJAK-SAJAK SASTERAWAN …

15

setiap aspek kehidupan, namun gagasan feminis oleh Cheri Register didapati lebih

praktikal dan melihat dari perspektif yang berbeza daripada fahaman feminis radikal

yang melihat bahawa wanita-lelaki berada dalam suatu permusuhan yang berkekalan.

Sebaliknya prinsip Register lebih terbuka, menyarankan karya sastera feminis dijana

bagi membantu mewujudkan persefahaman antara pengalaman lelaki dan wanita,

iaitu dengan cara saling menghormati dan memahami pendirian, pendapat dan

sebagainya yang sesuai dengan fitrah kejadian masing-masing.

Menyediakan Peranan Contoh (Role Model)

Menurut Register, watak-watak wanita yang ditonjolkan dalam karya haruslah menjadi

role-model untuk diteladani, terutama berhubung dengan identiti wanita yang

mempunyai self-actualizing, pandai berdikari (autonomous) dan tidak bergantung

sepenuhnya kepada lelaki. Kegiatan wanita juga tidak harus dikongkong oleh tradisi

yang dikuasai dan didominasi oleh lelaki sahaja. Hal ini ditegaskan oleh Register

seperti berikut;

a literary work should provide ‘role-models’, instill a positive sense of feminine

identity by portraying women who are ‘self-actualising’, whose identities are not

dependent on men (1989:20).

Berdasarkan sajak-sajak Zurinah Hassan, pengarang menampilkan beberapa

buah sajak yang boleh ditampilkan sebagai wanita yang mempunyai sifat-sifat sebagai

role-model yang dapat dicontohi oleh khalayak pembaca. Terdapat paparan wanita

yang tabah, dan gigih untuk berdepan dengan cabaran kehidupan sebagai seorang

wanita dan isteri. Melalui sajak “Seketika Terkenang Padamu Mama” misalnya,

seorang anak perempuan meyakinkan ibunya dengan kata-kata: aku telah

meninggalkan mamaku/dan kau telah menyerahkan anakmu/kerana kita adalah milik

Page 16: WACANA WANITA DALAM SAJAK-SAJAK SASTERAWAN …

16

waktu/yang tidak merelakan air mata”. Melalui ungkapan tersebut, watak wanitanya

positif bahawa dia akan menjadi seorang isteri yang kuat dan tidak akan menangis

apabila berdepan dengan cabaran hidup berumahtangga. Asuhan yang sama bagi

menjadikan anak gadisnya kuat dan cekal menghadapi kehidupan disampaikan juga

melalui sajak “Nyanyian Menidurkan Halini” yang menanamkan semangat kental

dalam diri anak perempuan supaya tidak mudah mengalah mendepani cabaran hidup.

Ini dapat dikesan pada ungkapan berbunyi : “Diam Halini diam/jangan menangis

lagi/kuaar kau mengawal air mata/jangan sampai tertumpah/ke ribaan yang tidak

menerima”.

Melalui petikan di atas, penyair memperlihatkan watak utamanya, seorang

anak perempuan dan juga watak Halini, sebagai wanita yang wajar dijadikan sebagai

contoh untuk diteladani. Kedua-dua wanita yang disebut dalam kedua-dua sajak di

atas, ditampilkan sebagai sosok yang bermotivasi, bijaksana dan tegas dalam

mempertahankan pendirian. Penampilan wanita dengan citra positif begini boleh

dijadikan sebagai ’role-model’ oleh wanita generasi muda di dalam dan di luar teks. Di

samping itu, sifat kebijaksanaan dan ketegasan adalah perlu untuk mempertahankan

sesuatu yang dianggap signifikan. Selain itu, sikap tabah dan tidak mudah mengalah

kepada apa jua bentuk tekanan serta cabaran yang mendatang harus disemai dalam

diri setiap wanita. Melalui strategi naratifnya, penyair memperlihatkan bahawa pada

hari ini wanita tidak lagi hanya ditempatkan dalam ruang peribadi (private space).

Melalui watak anak perempuan dan Halini dalam dua puisi yang diperkatakan di atas

menunjukkan bahawa wanita perlu bersifat tegas, berpendirian dan mandiri.

Dalam konteks ini menunjukkan penyair memanfaatkan penulisan sajak

sebagai medium untuk mendedahkan keinginan wanita bagi mencapai cita-cita dan

wawasan sebagai individu yang bersifat autonomous. Namun, meskipun naratif ini

Page 17: WACANA WANITA DALAM SAJAK-SAJAK SASTERAWAN …

17

memberi perhatian khusus kepada wanita (women-centred), tetapi watak lelaki masih

ditampilkan sesekali dalam sajak-sajak tersebut. Pendirian penyair yang disalurkan

dalam penggarapan sajak-sajak beliau adalah dengan tuntutan agama Islam dan nilai-

nilai masyarakat Melayu di negara ini.

Memupuk Semangat Persaudaraan Wanita (Sisterhood)

Menurut Register, sesebuah karya sastera bersifat feminis perlu memupuk semangat

persaudaraan sesama wanita (sisterhood). Pemaparan sebegini adalah bertentangan

dengan gambaran wanita yang streotaip oleh pengarang lelaki. Wanita perlu

digambarkan saling berkerjasama, memupuk dan menjalin persaudaraan serta

mempunyai sikap saling memahami di antara satu sama lain. Persaudaraan wanita

disebut juga sebagai perkumpulan (sorority) wanita. Ia merangkumi gagasan dan

pengalaman ikatan wanita (female-bonding), pengukuhan diri, identiti yang ditemui

dalam pandangan yang berpusat kepada wanita serta tafsiran mengenai wanita.

Persaudaraan wanita terbentuk berdasarkan kesedaran yang jelas bahawa semua

wanita, tanpa mengira kelas, ras atau bangsa berkongsi permasalahan yang sama,

iaitu patriarki (Humm, 1989:210-211). Persoalan ini seringkali diketengahkan oleh

pengarang wanita dalam penulisan atas kesedaran terhadap sifat kebersamaan

pengalaman wanita seluruhnya. Wanita melihat setiap wanita dalam masyarakat

menghadapi pengalaman dan permasalahan yang hampir sama. Justeru, pengarang

akan memetik dan menyaring sebahagian daripada pengalaman mereka sebagai

sebahagian daripada yang dilalui dan dirasai oleh wanita seluruhnya. Situasi ini agak

berbeza dengan penulisan lelaki, kerana kebanyakan pengarang lelaki didapati lebih

Page 18: WACANA WANITA DALAM SAJAK-SAJAK SASTERAWAN …

18

berminat untuk menggambarkan persaingan dan perbalahan dalam kalangan wanita,

khususnya dalam merebut perhatian kaum lelaki.

Gambaran persaudaraan wanita (sisterhood) dalam karya sastera prosa

seringkali menampilkan (kekuatan dan perpaduan) wanita sebagai salah satu

landasan penting yang mendasari pemikiran dan proses penciptaan karya sastera

wanita. Namun sebaliknya melalui sajak-sajak Zurinah Hassan penampilannya sedikit

berbeza, iaitu dengan mengemukakan kesedaran tentang kebersamaan nasib para

wanita pada zaman silam. Para wanita terkenal yang pernah wujud dalam catatan

sastera sejarah. Kesedaran akan kebersamaan nasib wanita tersebut dapat dikesan

dalam banyak sajak-sajak yang dihasilkan Zurinah Hassan, antaranya melalui sajak

“Pesanan Puteri Gunung Ledang kepada Sultan Mahmud”, “Pelayaran Hang Li Po”,

“Surat Teja Kepada Tuah”, “Salam Perempuan dari Penjara” dan lain-lain. Penyair

memaparkan kebersamaan nasib wanita bernama Tun Fatimah, Tun Kudu, Tun Teja,

Hang Li Po, Puteri Gunung Ledang, dan lain-lain yang menjadi mangsa kerana

kecantikan yang dimiliki, seterusnya mencetuskan percaturan nafsu dan politik lelaki.

Tun Fatimah misalnya, terpaksa menderita kerana terpaksa mengahwini Sultan yang

telah membunuh suami dan keluarganya disebabkan fitnah. Tun Kudu, diceraikan

suami sang Sultan untuk diserahkan kepada si tua renta bendahara Seri Nara Diraja,

semata-mata untuk mereda konflik antara bendahara tua dengan Bendahara Tun

Perak, saudara lelakinya sendiri. Tun Teja menjadi mangsa kepada kecintaanya

terhadap Hang Tuah, yang menawan cintanya untuk dipersembahkan kepada Sultan.

Puteri Hang Li Po, menjadi hadiah raja China dipersembahkan kepada Sultan Melaka

dan Puteri Gunung Ledang, satu-satunya wanita yang berjaya menundukkan nafsu

sang Sultan dengan syarat-syarat peminangan yang luar biasa.

Page 19: WACANA WANITA DALAM SAJAK-SAJAK SASTERAWAN …

19

Penyair Zurinah Hassan mengangkat persoalan kebersamaan nasib wanita

dalam sajak-sajaknya yang memperlihatkan semangat persaudaraan dengan para

wanita lain, khususnya para wanita yang muncul dalam catatan sastera sejarah.

Melalui penceritaan dengan nada sarat simpati dan empati ke atas nasib para wanita

klasik seperti Tun Fatimah, Tun Kudu, Tun Teja, Hang Li Po, Puteri Gunung Ledang,

dan lain-lain, secara tidak langsung penyair sebenarnya sedang mempamerkan

semangat persaudaraan wanita. Dengan cara memihak kepada setiap wanita tersebut

dan mengkritik para lelaki yang mengeksploitasi wanita, penyair menzahirkan

semangat persaudaraan melalui sajak-sajaknya. Dengan memaparkan para wanita

yang mendepani pelbagai cabaran, pengalaman penderitaan, dan kesedihan para

wanita lain, serta tekal memberi sokongan kepada mereka, meskipun mereka tidak

hidup bersama dan tidak saling melengkapi. Persaudaraan sesama wanita ini

mendedahkan apa yang disebut Firestone bahawa sebahagian daripada budaya

wanita terjalin dalam hubungan perasaan, naluri-keinginan, kasih sayang dan

perhubungan peribadi (Humm, 1989:42). Melalui sajak-sajak di atas, penyair

memperlihatkan walaupun para wanita mendepani pengalaman hidup yang sukar dan

terhimpit, tetapi mereka ditampilkan dengan hasrat, emosi, kecintaan dan hubungan

baik antara mereka, untuk bersama-sama menyokong antara satu sama lain.

Kisah-kisah hidup yang dilakar penyair melalui watak-watak wanita yang

berkongsi impian dan harapan, penderitaan, kesedihan, dan perjuangan, akan

mampu memartabatkan kedudukan wanita di mata masyarakat. Melalui pemupukan

semangat persaudaraan sesama wanita ini, membuktikan usaha pengarang wanita

memanfaatkan penulisan mereka sebagai wahana yang menjadi sumber kekuatan,

perpaduan dan persaudaraan wanita. Sekali gus membebaskan wanita daripada

kongkongan permasalahan hidup serta meletakkan kedudukan wanita pada taraf

Page 20: WACANA WANITA DALAM SAJAK-SAJAK SASTERAWAN …

20

yang lebih baik daripada sebelumnya. Penonjolan semangat persaudaraan sesama

wanita dalam sajak-sajak beliau adalah penting bagi meletakkan karya-karya beliau

sebagai sebahagian daripada karya bernada feminis. Ia selaras dengan gagasan teori

feminis oleh Register yang mahukan pengarang wanita memupuk semangat

persaudaraan sesama wanita, bagi membuktikan bahawa corak penulisan wanita

bertentangan dengan gambaran wanita oleh pengarang lelaki. Gambaran sikap

wanita yang saling bergaduh sesama mereka tentang lelaki, yang sering ditemui

dalam karya lelaki adalah bercanggah dengan fahaman feminis. Untuk

memartabatkan kedudukan wanita dalam masyarakat, wanita perlu digambarkan

memiliki sifat-sifat positif dengan bersikap saling bekerjasama, memupuk dan

menjalin persaudaraan serta sikap saling memahami antara satu sama lain. Wanita

diperlihatkan berkongsi pengalaman sesama mereka dan memperlihatkan sikap yang

saling membantu antara satu sama lain. Dengan cara sedemikian, kedudukan wanita

di mata masyarakat dapat diangkat dan dimartabatkan.

Menimbulkan Kesedaran Kepada Khalayak

Seterusnya menurut Register, sebuah karya feminis juga perlu menimbulkan

kesedaran dengan adanya perkembangan kendiri wanita dan persepsi diri wanita

terhadap cabaran-cabaran yang datang dari luar. Kisah-kisah wanita yang

berhadapan dengan segala rintangan dan cabaran dalam menempuh kehidupan,

sepatutnya dapat menimbulkan kesedaran dalam diri khalayak pembaca betapa

wanita itu masih mampu berdiri tegak mengharungi segala cabaran yang mendatang.

Antaranya ialah dengan memaparkan pengalaman wanita di tempat kerja, penderaan

atau pengalaman buruk wanita dalam rumah tangga dan pengalaman suka duka

wanita secara keseluruhannya. Dengan pemaparan sedemikian, dapat menimbulkan

kesedaran dan pengetahuan kepada khalayak pembaca agar lebih memahami

Page 21: WACANA WANITA DALAM SAJAK-SAJAK SASTERAWAN …

21

penderitaan dan masalah kaum wanita, sekali gus memberi kesedaran ke arah

mengambil langkah-langkah mencegah dan mengatasinya.

Melalui sajak-sajak Zurinah Hassan, pelbagai pengalaman wanita dipaparkan,

termasuk pengalaman wanita bergelar ibu yang bekerja di pejabat. Melalui sajak

berjudul “Kesal Seorang Ibu yang Bekerja” penyair memaparkan pengalaman naluri

keibuan yang dengan berat hati terpaksa meninggalkan anak kecil yang ingin

bermanja untuk keluar bekerja. Bagi seorang ibu, situasi tersebut adalah

menyedihkan, seperti paparan petikan berikut;

Anakku, maafkanlah ibu

Meninggalkanmu setiap pagi

Melepaskan pelukanmu

Ketika kau ingin bermanja.

..di meja ini mengadap tugas-tugas

Sesekali terganggu oleh matamu yang redup

Sesekali terpanggil suaramu yang sayup

Sekecil itu aku sudah meminta pengertianmu

Yang tidak dapat bermanja dengan hidup.

(Menghadap ke Pelabuhan, 2010:103).

Ungkapan dalam sajak di atas menggambarkan naluri keibuan yang begitu berat

untuk meninggalkan anak kecil di rumah bagi tujuan keluar bekerja, kerana

‘melepaskan pelukanmu, ketika kau ingin bermanja” adalah satu tindakan yang

melukakan hati seorang ibu. Rasa berat hati tersebut bukan hanya melukakan

perasaan si ibu, malah akan menyebabkan fikiran si ibu tidak berasa tenang dalam

bekerja, kerana ‘sesekali terganggu oleh matamu yang redup/sesekali terpanggil oleh

suaramu yang sayup”. Gambaran hubungan antara ibu dan anak peremuan agak

banyak ditemui dalam sajak-sajak seterusnya oleh Zurinah termasuk sajak berjudul

“Bersama Debu Maya”, “Seketika Terkenang Padamu Mama”, “Nyanyian Menidurkan

Halini”, “Catatan Untuk Siti”, “Kuali Hitam” dan lain-lain. Melalui sajak terkenal “Kuali

Page 22: WACANA WANITA DALAM SAJAK-SAJAK SASTERAWAN …

22

Hitam” misalnya, penyair memerihalkan hubungan tidk seimbang antara anak

perempuan dewasa dengan ibunya. Sajak ini memaparkan perspektif seorang anak,

tentang kuali hitam yang melambangkan kasih sayang dan pengorbanan seorang ibu

terhadap anak-anaknya. Seorang ibu tidak pernah mempedulikan kepedihan dan

kesakitan diri sendiri, melainkan tetap setia memasak untuk anak-anak

kesayangannya, seperti ungkapan berikut: seorang ibu yang menyayangi sebiji kuali/

sering memeluk kami/pernahkah kami perhatikan/matanya yang ditikam serbuk

arang/kulitnya yang dikoyak percikan minyak/lengannya yang diserap abu

hitam/dahinya yang disengat pucuk api/kami hanya tahu lena kekenyangan/ketika

tidur ibu diketuk-ketuk/oleh lelah dan batuk/setelah asap dan abu menggaru-garu/di

paru-paru.” Demikian gambaran kasih sayang dan pengorbanan seorang ibu yang

seringkali tidak diperhatikan oleh anak-anak. Malah setelah dewasa, si anak lebih

menyayangi kuali tebal dan mahal yang dibelinya, berbanding si ibu yang dimarahi

hanya kerana tersalah menyental kuali si anak yang dibimbangi akan mencalar dan

merosakkan kuali mahal si anak. Paparan kisah dalam sajak “Kuali Hitam”

menganjurkan kesedaran tertentu kepada khalayak pembacanya. Pertama,

menimbulkan kesedaran bahawa seorang wanita bergelar ibu akan sentiasa

menyayangi dan sanggup berkorban demi kesenangan anak-anaknya. Namun,

seorang anak seringkali lebih menyayangi koleksi barangan mahalnya, berbanding

menjaga perasaan si ibu tua. Kedua, rasa kehilangan dan kekesalan dalam diri kita

lazimnya hanya akan mencengkam di hati apabila si ibu telah tiada dalam kehidupan

kita. Semua gambaran yang dicitrakan penyair melalui sajak-sajak ciptaannya bukan

sahaja sekadar ungkapan perasaan dan pemikiran yang bersifat peribadi, malah lebih

daripada itu dapat memberi kesedaran dan manfaat yang besar kepada khalayak

pembaca, khususnya yang berhubung dengan pengalaman watak-watak wanitanya.

Page 23: WACANA WANITA DALAM SAJAK-SAJAK SASTERAWAN …

23

PENUTUP

Berdasarkan perbincangan di atas, dapatlah disimpulkan bahawa sebahagian sajak-

sajak oleh Zurinah Hassan boleh dikategorikan sebagai karya berunsur feminis,

khususnya mengikut takrifan dan pendekatan feminis Cheri Register. Ini kerana tema

dan persoalan yang diangkat melalui sajak-sajak “Rasa” (1975), “Salam Perempuan

dari Penjara”, “Apabila Kata-kata Menjadi Sebuah Dosa” dan lain-lain jelas

menampakkan percubaan penyair ke arah mengangkat kedudukan dan martabat

wanita daripada dipandang rendah kepada yang berani bersuara. Melalui

pendedahan pengalaman kehidupan wanita yang bersifat pelbagai dan rencam jelas

penyair menjadikan teks beliau sebagai suatu forum membicarakan soal wanita (serve

as a forum for women). Selain itu, dapat dikesan juga usaha-usaha ke arah

persefahaman antara wanita-lelaki dalam sajak-sajak beliau seperti yang ditemui

pada sajak “Untuk Hidup Bersama”, “Catatan Untuk Suami” dan “Catatan Untuk Suami

(2)” dan lain-lain memperlihatkan peranan penyair bagi mewujudkan persefahaman

budaya wanita-lelaki (help to achieve culultural and androgony), selaras dengan

gagasan teori feminis Register.

Sementara sajak berjudul “Seketika Terkenang Padamu Mama” dan sajak

“Nyanyian Menidurkan Halini” cuba menanamkan semangat kental dalam diri anak

perempuan supaya tidak mudah mengalah mendepani cabaran hidup. Penjanaan

watak wanita yang bersemangat kental, tabah, cekal dan akhirnya berjaya dalam

merealisasikan impian, secara tidak langsung dapat memberikan peranan contoh

(provide role-model) kepada pembaca, selain melukiskan dan menyarankan rasa

Page 24: WACANA WANITA DALAM SAJAK-SAJAK SASTERAWAN …

24

persaudaraan sesama wanita (promote sisterhood) melalui watak-watak wanita

ciptaannya.

Seterusnya, intipati persoalan yang digarapkan penyair melalui sajak “Kesal

Seorang Ibu yang Bekerja” “Bersama Debu Maya”, “Seketika Terkenang Padamu

Mama”, “Nyanyian Menidurkan Halini”, “Catatan Untuk Siti”, “Kuali Hitam” dan lain-lain

turut menekankan aspek-aspek penting berhubung dengan pengalaman dan

keperluan wanita secara tidak langsung berupaya memberi kesedaran kepada

khalayak pembaca (augments consciousness-rising). Sekali gus menunjukkan sajak-

sajak Zurinah Hassan hampir melengkapi semua ciri-ciri karya berunsur feminis.

Daripada hasil perbincangan berdasarkan teori feminis oleh Cheri Register di atas,

jelas memperlihatkan kepentingan dan peranan sajak-sajak Zurinah Hassan dalam

usaha mengangkat dan memartabatkan kedudukan wanita di mata masyarakat dari

pelbagai sudut dan aspek. Sekali gus mengangkat sajak-sajak Zurinah Hassan

sebagai koleksi karya yang harus diibaca, ditanggapi dan difahami sepenuhnya oleh

para khalayak, khususnya wanita.

RUJUKAN

Christine Campbell, 2004. Contrary Visions Women and Work in Malay Novel Written by Women. Bangi: Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia.

Ellmann, Mary, 1968. Thinking About Women, London: MacMillan. Eagleton, Mary. (ed.), 1986. Feminist Literary Theory: A Reader. 1st Edition.

Massachusetts: Basil Blackwell. Hooker, Virginia Matheson, 2003. Mencipta Masyarakat Baru: Perubahan Sosial

Menerusi Novel Melayu. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka. Humm, Maggie, 1986. Feminist Criticism: Women as contemporary Critic. Sussex:

Page 25: WACANA WANITA DALAM SAJAK-SAJAK SASTERAWAN …

25

The Harvestor. Humm, Maggie, 1989. The Dictionary of Feminist Theory. New York: Harvester

Wheatsheaf. Kamus Dewan Edisi Empat. (2005). Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka. Lerner, Gerda, 1979. The Challenge of Women’s History, in The Majority Finds It’s

Past: Placing the Women in History. New York: Oxford University Press. Norhayati Ab. Rahman, 2012. Puitika Sastera Wanita Indonesia Malaysia: Bacaan

Ginokritik. Pulau Pinang: Penerbit USM. Norhayati Ab.Rahman, 2006. “Pemerkasaan Wanita Dalam Novel-Novel Malaysia

dan Indonesia: Pertembungan Antara Tradisi dan Modeniti” dlm Puteri Roslina Abd.Wahid (Editor) Prosiding Persidangan Antarabangsa Pengajian Melayu. Akademi Pengajian Melayu: Universiti Malaya.

Peletz, Michael G, 1996. Reason and Passion: Contrasting Representations of

Masculinity in Malay Society. Berkeley: University of California Press. Register, Cheri, 1989. “American Feminist Literary Criticism: An Bibliografhical

Introduction” dlm Donovan, Josephine (peny.), Feminist Literary Criticism: Explorations in Theory. Kentucky: The University Press of Kentucky.

Zurinah Hassan,1977. Di Sini Tiada Perhentian. Kuala Lumpur: Penerbitan

Pewarna. Zurinah Hassan, 1974. Sesayup Jalan. Pulau Pinang: Penerbit USM. Zurinah Hassan, 2010. Facing the Harbour (Mengadap ke Pelabuhan). Kuala

Lumpur: ITBM.