seminar pemikiran sasterawan negara zurinah hassan …

21
1 SEMINAR PEMIKIRAN SASTERAWAN NEGARA ZURINAH HASSAN MOTIF BINATANG DALAM SAJAK-SAJAK PILIHAN ZURINAH HASSAN Dr. Maskiah Haji Masrom Ketua Pusat Penyelidikan dan Penerbitan Kolej Pengajian Islam Johor Abstrak Penghasilan sajak oleh Sasterawan Negara Zurinah Hassan tidak terlepas daripada penggunaan motif binatang. Binatang-binatang tersebut sama ada daripada kumpulan mamalia, reptilia, serangga, burung dan ikan, memainkan peranan penting untuk menyampaikan isi hatinya sebagai wanita Melayu yang merenung dan berfikir. Daripada 104 buah sajak Zurinah Hassan yang termuat dalam Kumpulan Sajak Menunggu Pesawat (DBP: 2021) dan 62 buah sajak dalam Kumpulan Puisi Cerita Dalam Cerita (ITBM: 2014), terdapat 12 buah sajak yang mengandungi motif binatang seperti semut, burung laut, arnab, kura-kura, kucing, itik, merak, gagak, kupu-kupu dan ikan. Pemerhatian terhadap tabiat dan habitat binatang daripada sekecil-kecil semut yang melata, unggas yang terbang, ikan yang berenang, digunakan untuk menyampaikan motif binatang sebagai perbandingan sifat keibuan, perbandingan nilai positif dan negatif serta perbandingan kekerdilan manusia. Justeru, sajak-sajak Zurinah Hassan yang masing-masing bertajuk “Di Kedai Haiwan,” “Kasih Ibu,” “Dua Tiga Kucing Berlari,” “Di Pinggir Rimba,” “Aku Sepatutnya Malu Menulis Surat Cinta Padamu,“Perlumbaan Arnab dengan Kura-kura,” “Semut,” “Belajar Dari Itik,” “Burung Laut,” “Burung Laut (2),” “Sengketa Merak dan

Upload: others

Post on 16-Oct-2021

32 views

Category:

Documents


1 download

TRANSCRIPT

Page 1: SEMINAR PEMIKIRAN SASTERAWAN NEGARA ZURINAH HASSAN …

1

SEMINAR PEMIKIRAN SASTERAWAN NEGARA ZURINAH HASSAN

MOTIF BINATANG DALAM SAJAK-SAJAK PILIHAN ZURINAH HASSAN

Dr. Maskiah Haji Masrom

Ketua Pusat Penyelidikan dan Penerbitan

Kolej Pengajian Islam Johor

Abstrak

Penghasilan sajak oleh Sasterawan Negara Zurinah Hassan tidak terlepas daripada

penggunaan motif binatang. Binatang-binatang tersebut sama ada daripada

kumpulan mamalia, reptilia, serangga, burung dan ikan, memainkan peranan penting

untuk menyampaikan isi hatinya sebagai wanita Melayu yang merenung dan berfikir.

Daripada 104 buah sajak Zurinah Hassan yang termuat dalam Kumpulan Sajak

Menunggu Pesawat (DBP: 2021) dan 62 buah sajak dalam Kumpulan Puisi Cerita

Dalam Cerita (ITBM: 2014), terdapat 12 buah sajak yang mengandungi motif

binatang seperti semut, burung laut, arnab, kura-kura, kucing, itik, merak, gagak,

kupu-kupu dan ikan. Pemerhatian terhadap tabiat dan habitat binatang daripada

sekecil-kecil semut yang melata, unggas yang terbang, ikan yang berenang,

digunakan untuk menyampaikan motif binatang sebagai perbandingan sifat keibuan,

perbandingan nilai positif dan negatif serta perbandingan kekerdilan manusia.

Justeru, sajak-sajak Zurinah Hassan yang masing-masing bertajuk “Di Kedai

Haiwan,” “Kasih Ibu,” “Dua Tiga Kucing Berlari,” “Di Pinggir Rimba,” “Aku Sepatutnya

Malu Menulis Surat Cinta Padamu,” “Perlumbaan Arnab dengan Kura-kura,”

“Semut,” “Belajar Dari Itik,” “Burung Laut,” “Burung Laut (2),” “Sengketa Merak dan

Page 2: SEMINAR PEMIKIRAN SASTERAWAN NEGARA ZURINAH HASSAN …

2

Gagak,” dan “Perbualan di Tepi Kolam Ikan,” dipilih untuk dibicarakan dengan

menggunakan Pendekatan Alamiah dalam Teori Pengkaedahan Melayu.

Kata kunci: Motif, Pendekatan Alamiah, Teori Pengkaedahan Melayu

Page 3: SEMINAR PEMIKIRAN SASTERAWAN NEGARA ZURINAH HASSAN …

3

1. PENGENALAN

“Binatang alah palu, manusia alah sindir.” Perumpamaan ini mempunyai makna

tersirat tentang perbezaan cara ‘mengajar’ manusia dan binatang. Dalam dunia

manusia, sindiran dan kiasan amat penting dalam mempengaruhi perubahan sikap.

Hal ini disebabkan manusia mempunyai hati, akal dan nafsu untuk memikirkan

segala perkataan dan tindakan. Binatang pula bertindak mengikut naluri dan lebih

bersifat mekanikal (Baha Zain, 2000: 1).

Kehidupan masyarakat Melayu yang sebahagian besarnya sentiasa terdedah

kepada alam semula jadi menyebabkan mereka memerhatikan perlakuan binatang-

binatang yang ditemui dalam kehidupan seharian mereka sama ada yang buas

mahupun yang jinak. Perbandingan yang dibuat adalah berdasarkan segala aspek

yang terdapat pada binatang itu seperti anggota badannya, perlakuannya, tabiat

semulajadi dan sebagainya. Hasil pengamatan yang teliti dan tajam oleh masyarakat

Melayu terhadap persekitaran telah melahirkan peribahasa. Fungsi peribahasa ialah

sebagai alat kawalan sosial dan pemantapan sesuatu sistem sosial dalam

masyarakat Melayu. (Siti Norain Mohamed Nor, 2012: 14)

Dalam memberi pengajaran, lahirlah pelbagai bentuk bahasa kiasan agar

pihak yang ditegur tidak tersinggung malah dapat menerimanya dengan baik.Selain

menggunakan bahasa kiasan, binatang juga dijadikan motif untuk menyampaikan

sindiran dan nasihat dalam kebanyakan karya khususnya sastera rakyat berbentuk

prosa seperti cerita lipur lara, cerita teladan, cerita binatang, cerita jenaka, mitos dan

lagenda; sastera rakyat berbentuk puisi pula seperti ungkapan rakyat, nyanyian

Page 4: SEMINAR PEMIKIRAN SASTERAWAN NEGARA ZURINAH HASSAN …

4

rakyat, ungkapan adat, teka-teki, pantun, seloka, mantera, teromba, talibun dan

gurindam. (Maskiah Masrom, 2013: 50-51).

Sajak-sajak oleh Zurinah Hassan anak kelahiran Bakar Bata, Alor Setar ini

juga tidak terlepas daripada penggunaan motif binatang. Binatang-binatang tersebut

sama ada dari kumpulan mamalia, reptilia, serangga, burung dan ikan, memainkan

peranan untuk menyampaikan isi hatinya sebagai wanita Melayu yang berilmu,

berbakat, banyak pengalaman dan tekun menjadikan alam sebagai sumber ilham.

2. MOTIF BINATANG DALAM SAJAK-SAJAK PILIHAN ZURINAH HASSAN

Daripada 104 buah sajak dalam Kumpulan Sajak Menunggu Pesawat dan 62 buah

sajak dalam Kumpulan Puisi Cerita Dalam Cerita terdapat 18 buah sajak yang

mengandungi motif binatang. Sajak-sajak yang tidak dikaji ialah “Lurah Bilut” (motif

harimau), “Runtuhnya Pentas Dikir Barat” (motif gajah dan tupai), “Rumahku Di

Padang Pasir” (motif serigala), “Si Dollah Celopar” (motif tikus), “Peribahasa Untuk

YB” (motif ayam dan kerbau), “Hartawan Hartanah” (motif ular dan lipan), “Bila

Hujan Telah Reda” (motif burung) dan “Suara” (motif burung). Sajak-sajak yang akan

dibicarakan seperti berikut:

Bil. Tajuk Sajak Kelompok

1

2

3

“Di Kedai Haiwan”

“Kasih Ibu”

“Dua Tiga Kucing Berlari”

mamalia (kucing)

4

5

“Di Pinggir Rimba”

“Aku Sepatutnya Malu Menulis Surat Cinta Padamu”

serangga (kupu-kupu)

6 “Perlumbaan Arnab dengan Kura-kura” mamalia (arnab)

reptilia (kura-kura)

Page 5: SEMINAR PEMIKIRAN SASTERAWAN NEGARA ZURINAH HASSAN …

5

7 “Semut” serangga (semut)

8 “Belajar Dari Itik” burung (itik)

9

10

“Burung Laut”

“Burung Laut (2)”

burung (burung laut)

11 “Sengketa Merak dan Gagak” burung (merak, gagak)

12 “Perbualan di Tepi Kolam Ikan” Ikan

Kelihatannya, Zurinah memilih binatang-binatang yang jinak, ada yang biasa

dijadikan binatang ternakan seperti itik dan arnab; dan ada juga yang lazim dijadikan

binatang peliharaan seperti kucing, burung dan ikan. Binatang yang bersaiz paling

besar ialah merak, dan yang paling kecil ialah semut. Kesemua sajak ini akan

dibicarakan menggunakan Teori Pengkaedahan Melayu yang digagaskan oleh

Hashim Awang semasa Seminar Antarabangsa Kesusasteraan Melayu 1 di

Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi pada 29 Oktober – 1 November 1989. Teori

ini terbahagi kepada dua bahagian iaitu Pendekatan Alamiah (Gunaan, Moral,

Firasat) dan Pendekatan Keagamaan (dakwah, kemasyarakatan dan seni).

Sehubungan itu, Pendekatan Alamiah akan digunakan dengan mengkhusus

kepada penekanan moral yang mengatakan sastera mengandungi pengalaman

hidup dan sastera merupakan pustaka pelbagai ilmu. Pengalaman terdiri daripada

dua hal yang utama iaitu peristiwa yang dilalui oleh manusia tertentu dan maklumat

yang berkaitan dengan manusia serta suasana persekitarannya. Dalam hal pertama

ini, penilaian aspek positif dan negatif ini dilakukan sebagai cermin perbandingan.

Manakala dalam hal yang kedua, sastera dapat menepati konsep pustaka atau

perpustakaan yang di dalamnya boleh ditimba pengetahuan dan pengajaran.

(Maskiah Masrom, 2003: 15)

Page 6: SEMINAR PEMIKIRAN SASTERAWAN NEGARA ZURINAH HASSAN …

6

2.1. Motif Binatang Sebagai Perbandingan Sifat Keibuan

Terdapat dua buah sajak Zurinah berkaitan kucing yang begitu jelas

menggambarkan sifat keibuan iaitu “Kasih Ibu” dan “Dua Tiga Kucing Berlari.”

Kedua-dua sajak ini terdapat dalam Kumpulan Puisi Cerita Dalam Cerita. Dalam

sajak “Kasih Ibu”, Zurinah menceritakan tentang ibu kucing yang kematian anak,

‘mengiau-ngiau, mencari-cari ke sana ke mari’, dengan ‘nada rintihan seorang ibu,

yang cemas dan rindu.’ Keadaan ‘si kucing itu belum menerima, hakikat kematian

anaknya’ mewakili keadaan insan bergelar ibu yang lazimnya enggan mempercayai

berita anaknya ditimpa tragedi, contohnya maut dalam kemalangan. Zurinah

menegaskan pada akhir sajak bahawa kasih sayang ibu merupakan sebuah kasih

yang penuh kelembutan walaupun ketika melalui detik yang paling sukar.

Menerusi sajak “Dua Tiga Kucing Berlari” pula diceritakan perasaan Zurinah

yang tersentuh ketika melihat tiga ekor anak kucing yang dibuang di pasar. Pada

waktu malam, Zurinah mempertikaikan sikapnya yang ‘telah memilih, seekor kucing

yang comel, dan tersangat putih,’ dan ‘telah meninggalkan dua ekor kucing hitam,

untuk mati kebuluran.’ Kucing disayangi tetapi, rasa sayang itu penuh dengan

diskriminasi. Zurinah turut menyelitkan kritikan pada dirinya sendiri dalam

memanifestasikan nilai kemanusiaan terhadap saudara seagama yang tertindas di

seluruh dunia dengan hanya terlibat dalam program ‘membaca seribu puisi’.

Sajak “Di Kedai Haiwan” mengisahkan seorang ibu membawa anaknya ke

kedai haiwan peliharaan. Si anak leka melihat kucing-kucing yang cantik gebu di

dalam sangkar. Keadaan kucing yang terkurung digambarkan seperti berikut,

Di sebuah kedai menjual haiwan

(yang mereka panggil haiwan-haiwan kesayangan)

Anakku leka memerhati

Page 7: SEMINAR PEMIKIRAN SASTERAWAN NEGARA ZURINAH HASSAN …

7

Seekor kucing Parsi

Berbulu gebu bersikat rapi

Anakku mengacah dan mengagah

Sesekali menyergah

Namun si comel tidak berbunyi

Ia tetap memandang

Dari dalam sangkar besi.

(Zurinah Hassan, 2013: 71)

Zurinah membandingkan keadaan kucing-kucing yang terkurung itu dengan

manusia yang kehilangan kemerdekaan diri. Sebagai ibu, Zurinah cuba mendidik

anaknya dengan mesej yang terkandung dalam baris, ‘Berapa pun mahal harganya,

mahallah lagi kemerdekaan kita.’ Begitulah nasib kucing-kucing di bandar, yang

biasanya dikurung kerana paras rupa yang ‘mahal’ berbanding dengan kucing-

kucing di kampung yang hidup lepas bebas kerana paras rupa yang ‘murah.’

Motif kucing untuk melambangkan perasaan kasih sayang amat sesuai

memandangkan masyarakat Melayu biasanya memilih kucing sebagai binatang

peliharaan. Peribahasa Melayu ada menyebut, “bagai kucing kehilangan anak” untuk

mengambarkan bagaimana tingkah laku seorang ibu yang kematian anak. Malah

masyarakat Melayu Islam percaya, memelihara kucing merupakan perbuatan yang

baik kerana pada zaman Rasulullah SAW terdapat seorang sahabat baginda

bernama Abu Hurairah digelar ‘Bapa Kucing’ kerana sangat menyayangi kucing.

Menerusi sajak “Belajar Dari Itik”, Zurinah menggambarkan,

Seorang ibu muda

Memimpin tangan anaknya

Di tepi tasik

Di sebuah taman cantik

Page 8: SEMINAR PEMIKIRAN SASTERAWAN NEGARA ZURINAH HASSAN …

8

Memegang tangan jangan terlepas

Si kecil yang cergas

Mahu berlari bebas

Takut tergelincir ke air

Takut tenggelam di kolam

Ini kerja sukar dia mesti bersabar

Sehingga anak membesar

Dia melihat di permukaan tasik

Di sana ada sekumpulan itik

Si ibu dengan anak-anak di belakang

Dalam barisan yang tenang

Dia pun bertanya

Wahai itik

Bagaimana kau mengajar anak-anakmu

Memahami kepatuhan dan ketertiban

Mematuhi peraturan

Menghayati indahnya kebersamaan

(Zurinah Hassan, 2013: 16)

Sajak dengan gaya bercerita ini amat mudah difahami. Tanggungjawab

sebagai ibu amat mencabar. Ibu yang berusia muda ini mendapat inspirasi

menyaksikan anak-anak itik berenang mengekori ibunya dan ingin belajar

bagaimana cara mendidik anak-anak agar patuh terhadap pesanan ibu. Hal ini

bermakna bagi seorang ibu muda, alam terbentang dijadikan guru, walaupun

terpaksa berguru dengan ibu itik. Kemungkinan besar sajak ini lahir dari persoalan

kekeluargaan dan pandangan hidup sebagai ibu yang dialami oleh Zurinah sendiri,

terutama pada tahun-tahun 80-an.

Terdapat beberapa peribahasa Melayu yang mengaitkan itik dan air.

Contohnya, “itik berenang dalam air mati kehausan”, “itik diajar berenang”, “itik

Page 9: SEMINAR PEMIKIRAN SASTERAWAN NEGARA ZURINAH HASSAN …

9

dimandikan takkan basah”, “itik mendapat air”, “memandikan itik”, “tak usah itik diajar

berenang” dan sebagainya. Motif itik sebagai cermin perbandingan sifat keibuan

amat sesuai digunakan. Zurinah menggunakan akal budinya untuk membandingkan

sifat semulajadi ibu itik dengan sifat semulajadi wanita bergelar ibu.

2.2. Motif Binatang Sebagai Perbandingan Nilai Positif dan Negatif

Seterusnya, Zurinah mengajak pembaca membuat tafsiran semula terhadap cerita

rakyat yang sangat terkenal dalam pustaka Melayu iaitu “Perlumbaan Arnab dengan

Kura-kura.” Sajak ini ditulis menurut pandangan sang arnab seperti berikut:

Hampir semua orang tahu kisah ini

Arnab dan kura-kura berlumba lari

Dan semua orang terperanjat

Bila kura-kura sampai dahulu

Di garis penamat.

Tapi mengikut cerita si arnab

Aku sengaja memilih kekalahan

Walau aku sedar aku akan diketawakan.

(Zurinah Hassan, 2021: 6)

Pemikiran yang ingin disampaikan oleh Zurinah adalah tentang maruah diri.

Apalah ertinya menang, jika ‘bersaing dengan yang lemah’ dan ‘andai melawan yang

tidak setara.’ Kemenangan palsu ini juga boleh menjadikan pihak lain ‘lalai, leka dan

sombong’ sehingga tidak melakukan sebarang usaha untuk meningkatkan diri dan

berpuas hati dengan apa yang dimiliki. Mereka yang bersikap seperti peribahasa

“kura-kura dalam perahu” yang bermaksud “pura-pura tidak tahu”, tidak mencapai

sebarang kemajuan dan hanya berbangga dengan sejarah nenek moyang mereka

yang pernah mengalahkan arnab. Sajak ini merupakan antara sajak Zurinah yang

Page 10: SEMINAR PEMIKIRAN SASTERAWAN NEGARA ZURINAH HASSAN …

10

mudah diingat kerana Zurinah telah melakukan ‘penukaran plot’ pada cerita asal

iaitu arnab kalah bukan disebabkan arnab ‘bangsa yang kuat tidur dan bongkak’

tetapi disebabkan arnab sengaja mencipta rekod kekalahan agar ‘cerita ini akan

diingat, dan lebih bermanfaat’ pada kemudian hari.

Seperkara yang menarik, tiada suatu peribahasa Melayu pun yang berkaitan

dengan arnab. Pepatah yang ada ialah pepatah Cina yang berbunyi “duduk santai

sambil menunggu kelinci mati” yang bermaksud “hanya orang yang malas sahaja

menginginkan daging kelinci tanpa berusaha.” Dalam bahasa Indonesia, kelinci

bermaksud arnab. Hal ini disebabkan arnab merupakan binatang asal Eropah.

Terdapat cerita dalam pustaka sastera Melayu yang berkaitan pertandingan yang

tidak setara, dan ‘menjuarakan’ binatang berpotensi kalah iaitu “Kancil Berlumba

Dengan Siput” atau “Helang Berlumba Dengan Siput.” Kancil, siput dan helang

merupakan binatang-binatang yang biasa dilihat dalam alam Melayu.

“Sengketa Merak dan Gagak” diolah berdasarkan cerita rakyat tentang

burung gagak dan burung merak yang asalnya bersahabat baik tetapi menjadi

musuh disebabkan tragedi mewarnakan bulu. Dalam masyarakat Melayu, motif

merak selalunya dikaitkan dengan imej negatif, angkuh seperti merak, sombong

seperti merak.’ Malah ada pula disebutkan dalam sebuah rancangan radio tentang

falsafah burung merak yang dikaitkan dengan manusia yang bersifat takbur.

Dikatakan bahawa merak menegakkan dan mengembangkan ekornya setiap kali

ada orang yang datang melihat. Sifat ini ditafsirkan sebagai suka menunjuk-nunjuk.

Jikalau ada yang positif sedikit tentang merak ialah peribahasa “apa gunanya merak

mengigal di hutan” yang bermaksud “tiada berfaedah menunjukkan kepandaian

kepada orang-orang yang tidak dapat menghargainya.”

Page 11: SEMINAR PEMIKIRAN SASTERAWAN NEGARA ZURINAH HASSAN …

11

Zurinah seakan-akan cuba membetulkan salah sangka yang berlaku sejak

sekian lama. Bagi Zurinah, motif merak melambangkan manusia yang memiliki

kecantikan rupa paras, merendah diri, ikhlas bersahabat tetapi disalah anggap

sebagai bongkak; sedangkan motif gagak yang suka berlagak, terbang ke sana ke

sini sesuka hati, mewakili manusia yang bersikap hasad dan gemar membuat fitnah.

Persengketaan kelompok manusia ‘gagak’ dan ‘merak’ ini berterusan sehingga hari

ini. Dalam situasi ketika media sosial menjadi penghubung komunikasi, maka usaha

‘gagak’ menjadi lebih rancak dalam menjatuhkan ‘merak.’ Bagaimanapun, motif

merak agak jarang ditemui dalam karya sastera Melayu berbanding dengan karya

sastera luar, terutamanya India. Hal ini barangkali disebabkan kelibat merak sangat

susah dilihat dalam persekitaran alam Melayu berbanding gagak.

Dalam Surah al-Maidah, ayat 31, terdapat nama burung gagak atau al-

Ghurab. Setelah Qabil membunuh saudara lelakinya, Habil, Allah telah

mendatangkan burung gagak untuk menunjuk cara mengebumikan jenazah. Dalam

masyarakat Melayu, terdapat kepercayaan jika ada gagak terbang di udara, itu

tandanya ada berlaku kematian (Shahrulazmi Sidek, 2009: 158). Dalam peribahasa

Melayu ada disebut, “menanti putih gagak hitam,” yang bermaksud “mengharap

sesuatu yang tidak mungkin.”

2.3. Motif Binatang Sebagai Perbandingan Kekerdilan Manusia

Kupu-kupu dalam sajak “Aku Sepatutnya Malu Menulis Surat Cinta Padamu”

melambangkan manusia yang leka dan angkuh. Dengan sepasang sayap yang

cantik, ia terbang ke sana ke mari tanpa mahu terikat kepada sebarang sekatan.

‘meninggalkan rimba lalu meluru pada lampu yang diperbuat pada kaca.’ Hal ini

menunjukkan ‘kupu-kupu’ ini memburu ‘cahaya malam.’ Kupu-kupu ini membawa

Page 12: SEMINAR PEMIKIRAN SASTERAWAN NEGARA ZURINAH HASSAN …

12

motif perbandingan manusia sebagai makhluk yang lemah, apabila ‘terhumban pada

kaca,’ lalu ‘carik-carik di kepak’(nya). Seperkara yang menarik, sekatan yang ingin

dibantah itu berkaitan ‘keragaman rahsia dalam mentaati kata-kata (firman Allah)

iaitu “Tidak kuberi ilmu melainkan sedikit sahaja.” Pemilihan kata-kata ini

disandarkan pada terjemahan Surah al-Isra’ ayat 85 iaitu,

“Dan mereka bertanya kepadamu tentang roh. Katakan: Roh itu dari perkara

urusan Tuhanku dan kamu tidak diberikan ilmu pengetahuan melainkan sedikit

sahaja.”

Dalam Al-Qur’an terdapat 31 ayat yang berkaitan tentang sedikitnya ilmu

yang diberikan kepada manusia. Perkara yang menjadi persoalan, mengapakah

‘kupu-kupu’ membawa motif keinginan manusia tentang ilmu berkaitan ‘roh’? Pada

akhir sajak, kupu-kupu ini menginsafi keupayaannya yang terhad dan kembali

menyerahkan ketaatan kepada Allah. Hal ini terlihat menerusi bait, ‘untuk aku lebih

terpegun, pada kesempurnaan jari-jari-Mu.’ Barangkali sajak ini ada kaitan dengan

keinginan Zurinah mencari erti kewujudan diri dan cuba berfalsafah tentang

kehidupan. Tema sajak seperti ini sering hadir dalam sajak-sajak beliau dari tahun

1972 hingga 1980.

Manakala kupu-kupu “Di Pinggir Rimba” digambarkan keluar malam ‘(di)

pinggir rimba dengan gema, tangisan para pencinta suria, sorak-sorai para

penyambut malam, menghimpun doa membelah angkasa, lalu bertafakurlah senja.’

Motif kupu-kupu ini mewakili manusia yang bersyukur dan menerima seadanya

kurniaan Allah SWT. Hal ini terlihat menerusi bait, ‘Tuhan, telah kau jadikan aku

kupu-kupu, di belantara kasih-Mu yang membuka tangannya.’

Page 13: SEMINAR PEMIKIRAN SASTERAWAN NEGARA ZURINAH HASSAN …

13

Barangkali, bebeberapa ganti nama perlu dilakukan dalam kedua-dua sajak

ini. Ganti nama diri “Padamu” dalam tajuk sajak ”Aku Sepatutnya Malu Menulis Surat

Cinta Padamu” lebih sesuai ditulis ‘Pada-Mu’ memandangkan ‘mu’ itu merupakan

ganti nama Allah. Selain itu, terdapat ganti nama ‘mu’ (sebanyak tiga kali digunakan)

dalam sajak sedangkan ‘mu’ itu merujuk kepada Allah. Begitu juga dalam sajak “Di

Pinggir Rimba,” huruf k pada “kau” menggunakan huruf kecil sedangkan ‘kau’ itu

ditujukan kepada Allah.

Zurinah kerap menggunakan motif kupu-kupu dan bukan rama-rama. Rama-

rama ialah serangga bersayap empat yang lebih banyak terbang pada waktu malam

dan tertarik pada cahaya (warna sayapnya agak gelap dan badannya lebih gemuk

daripada badan kupu-kupu. Kupu-kupu pula ialah serangga yang mempunyai

sepasang sesungut, empat sayap dan biasanya berwarna-warni dan terang

warnanya. Oleh itu, berdasarkan huraian tersebut, kupu-kupu ialah butterfly, dan

rama-rama ialah moth. Dalam kedua-dua sajak Zurinah di atas, terdapat gambaran

kupu-kupu yang keluar malam.

Sebenarnya, amat sukar menemui peribahasa Melayu berkaitan kupu-kupu

dan rama-rama kerana binatang ini walaupun biasa dilihat di alam Melayu, tetapi

motifnya lebih kerap muncul dalam kesusasteraan Barat. Malah bagi masyarakat

Melayu, serangga yang keluar malam mengejar cahaya lampu adalah kelkatu dan

bukan kupu-kupu. Sementelahan pula, ‘kupu-kupu malam’ membawa maksud yang

negatif. Kamus Dewan Edisi Keempat mendefinisikan ‘kupu-kupu malam’ sebagai

‘perempuan jahat atau pelacur’. Barangkali motif kupu-kupu yang ke-Inggerisan ini

datang daripada latar belakang Zurinah yang pernah belajar dalam aliran Inggeris di

Special Malay Class dan menguasai sejumlah besar puisi Inggeris.

Page 14: SEMINAR PEMIKIRAN SASTERAWAN NEGARA ZURINAH HASSAN …

14

Pemerhatian terhadap alam juga meliputi serangga kecil seperti semut.

Semut adalah serangga yang dikaitkan dengan sifat tekun, sehingga disebut dalam

peribahasa, “rajin macam semut”, atau “bagai semut menghimpun melukut.’ Semut

sukakan benda-benda manis, terutamanya gula. Bak bunyi peribahasa Melayu, “ada

gula, adalah semut” yang bermaksud ‘di mana banyak kesenangan, di situlah

banyak orang datang.’ Rangkap pertama sajak “Semut” memberi gambaran bahawa

semut dan gula berpisah tiada.

Sedikit manisan tertumpah di lantai

Seekor semut pun sampai

Beberapa detik lagi

Bertambah ramai menghampiri

Lama kelamaan

Beratur berderetan

Berduyun berbarisan.

Aku melihat dan merasa hairan

Tanpa suara dan tanpa kata

Semua memanggil kawan-kawan

Bila tercium makanan

Memang telah kupelajari

Haiwan juga berkomunikasi.

(Zurinah Hassan, 2021: 81)

Dalam al-Qur’an ada sebuah surah yang dinamakan Surah Semut (an-Naml).

Kisah seekor semut menyelamatkan nyawa koloninya daripada dipijak oleh bala

tentera Nabi Sulaiman (a.s) terdapat dalam ayat ke 18 dan ke 19.

“(Maralah angkatan itu) hingga apabila mereka sampai ke Waadin Naml

(Lembah Semut), berkatalah seekor semut: “Wahai sekalian semut,

masuklah ke sarang kamu masing-masing, jangan Sulaiman dan

Page 15: SEMINAR PEMIKIRAN SASTERAWAN NEGARA ZURINAH HASSAN …

15

tenteranya memijak serta membinasakan kamu, sedang mereka tidak

menyedari. Maka dia (Sulaiman) tersenyum lalu tertawa kerana

(mendengar) perkataan semut itu. Dan dia berdoa, “Ya Tuhanku,

anugerahkanlah aku ilham untuk tetap mensyukuri nikmaat-Mu yang

telah Engkau anugerahkan kepadaku dan kepada kedua orang tuaku

dan agar aku mengerjakan kebajikan yang Engkau redai; dan

masukkanlah aku dengan rahmat-Mu ke dalam golongan hamba-hamba-

Mu yang soleh.”

Nabi Sulaiman (a.s) dikurniakan mukjizat boleh memahami bahasa binatang.

Peristiwa memahami bahasa binatang ini juga digambarkan dalam sajak “Semut”.

Sedang aku leka terdengar semut berkata

“Janganlah lupa semut hanya haiwan

Sekadar tahu menyampai berita.

Yang benar sahaja

Tidak secanggih manusia

Kerana manusia adalah makhluk Tuhan

Yang memiliki kepandaian

Untuk mereka-reka cerita.”

(Zurinah Hassan, 2021: 81)

Semut yang boleh berkata-kata dan kata-kata itu difahami pula oleh manusia

membawa sindiran bahawa walaupun semut merupakan makhluk melata namun

tetap memiliki akhlak yang mulia iaitu berkata benar, sedangkan manusia yang

dianggap memiliki darjat yang mulia, sering kali berdusta dan mengadu domba.

Jelaslah, Zurinah mengambil kisah semut dalam al-Qur’an sebagai sumber ilham

Page 16: SEMINAR PEMIKIRAN SASTERAWAN NEGARA ZURINAH HASSAN …

16

dan memberi peringatan bahawa manusia seharusnya memerhatikan kejadian alam

dan mengambil iktibar. Semut yang kecil dijadikan motif agar manusia sedar

kekerdilan diri dan tidak sepatutnya lalai daripada mengingati kekuasaan Allah SWT.

Sajak “Burung Laut” mengungkap tiga pertanyaan Zurinah tentang ke mana

burung laut terbang, di mana sarangnya dan siapakah yang menjaganya dari jatuh

ke tanah. Pertanyaan-pertanyaan Zurinah itu ada jawapannya di dalam al-Qur’an

menerusi Surah an-Nahl, ayat 79.

“Tidaklah mereka memerhatikan burung-burung yang dimudahkan terbang di

angkasa bebas. Tidak ada yang menahannya selain daripada Allah.

Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda (kebesaran

Tuhan) bagi orang-orang yang beriman.”

.Dalam sajak “Burung Laut (2)” pula, Zurinah mengisahkan tentang

sekumpulan burung laut terbang dan ‘di hujung hari, burung laut, kembali berzikir, di

atas sejadah air.’ Sajak ini menjadikan burung laut sebagai motif menzahirkan

kekaguman manusia terhadap kebesaran Allah SWT. Selain itu, sifat burung laut

seperti tertib, hidup harmoni, teratur, beriman harus dijadikan sebagai contoh ikutan.

Terdapat banyak peribahasa Melayu berkaitan burung seperti “burung terbang

dipipiskan lada”, “bagaikan burung dalam sangkar”, “kuat burung kerana sayap”,

“satu sangkar dua burung” dan sebagainya.

Sajak “Perbualan di Tepi Kolam Ikan,” memaparkan ikan dalam dua motif.

Pertama, ikan sebenar yang tidak berhenti berkejar-kejaran. Kedua, ikan sebagai

perbandingan manusia yang leka dalam arus hidup. ‘Kolam ikan dengan fountain

kecil di tengahnya’ dibandingkan dengan kehidupan manusia yang mendepani

cabaran hidup di kota besar. ‘Curahan air menjadi manik-manik, bagai mutiara yang

Page 17: SEMINAR PEMIKIRAN SASTERAWAN NEGARA ZURINAH HASSAN …

17

terapung,’ yang terus menerus dikejar ikan merupakan perlambangan kota

metropolitan dengan seribu satu daya penarik, diburu dan dikejar oleh manusia

saban waktu, sedangkan hakikatnya kota itu sarat dengan kepalsuan dan penipuan.

Pada akhirnya, manusia akan menjadi seperti ikan yang kelelahan

mengharap dan ‘mengejar manik-manik cantik, yang cepat berpecah’ iaitu sesuatu

yang sia-sia sahaja. Perbualan di tepi kolam ikan ini merupakan perbualan fikiran

semata-mata antara Zurinah dengan orang yang dirinduinya. Hal ini dinyatakan

dalam baris ‘entah untuk kali ke berapa kita mengisi kerusi ini, sambil diam

memerhatikan ikan-ikan.’ Kehidupan di tengah kota yang penuh cabaran telah

memudarkan erti sebuah perhubungan lantaran masing-masing sibuk mengejar

‘pancutan masa yang tidak pernah kering, dengan tuntutan-tuntutannya.’ Kehilangan

komunikasi berkesan dalam perhubungan menjadikan manusia tidak ubah seperti

ikan-ikan yang tidak memiliki kebolehan berkata-kata. Menerusi sajak ini, Zurinah

cuba menelusuri persoalan masa depan bangsa Melayu di negara yang semakin

maju sekitar tahun 1990-an.

Masyarakat Melayu terutama yang bekerja sebagai nelayan dan petani

sangat mahir menangkap ikan sama ada di laut, sungai, kolam, lubuk dan sawah

padi. Antara peribahasa Melayu berkaitan ikan ialah “seperti ikan pulang ke lubuk”,

“lain lubuk, lain ikannya”, “nak menangguk ikan, tertangguk batang” dan sebagainya.

Antara ikan yang sangat mesra dengan alam Melayu ialah ikan keli, haruan, puyu,

sepat, kelah, seluang, baung, sembilang, patin, duri dan sebagainya. Bagaimanapun

disebabkan Zurinah menghabiskan sebahagian besar masa kehidupannya tinggal di

bandar, motif ikan yang muncul ialah ikan-ikan hiasan dalam kolam buatan.

3. KESIMPULAN

Page 18: SEMINAR PEMIKIRAN SASTERAWAN NEGARA ZURINAH HASSAN …

18

Rahman Shaari (2004) pernah mengatakan bahawa sajak-sajak Zurinah tebal

dengan konfesi (pengakuan). Muhammad Haji Salleh (2013) pula berpendapat,

bahasa Zurinah adalah percakapan yang berlapik logik atau hujah, malahan kita

lebih banyak mendapati “puisi pernyataan” (poetry of statement) dan, bukan sangat

puisi lukisan perasaan. Hal ini diakui oleh Zurinah sendiri. Kebanyakan sajak yang

diciptanya merupakan catatan tentang makna yang dikutip dalam perjalanan hidup.

Pada waktu-waktu tertentu, tertangkap pengertian hasil daripada renungan dan

tafsiran. Setiap kejadian alam mengandungi tamsil dan ibarat dan setiap manusia

ialah pengembara yang tidak mengetahui di mana penghujungnya.

Sesungguhnya pengalaman mengkaji sajak-sajak Zurinah bukan merupakan

sebuah pencarian yang resah. Kertas kerja tentang pustaka karya Zurinah

merupakan penemuan yang indah. Gaya bercerita Zurinah, bak penyampaian

‘pegawai penerangan’ mudah difahami dan diingati. Binatang-binatang yang dipilih

oleh Zurinah amat ‘ke-Melayu-an’ sifatnya dan sesuai dalam menyampaikan motif

berkaitan moral dalam Pendekatan Alamiah. Rujukan ‘peristiwa yang dilalui oleh

manusia tertentu dan maklumat yang berkaitan dengan manusia serta suasana

persekitarannya’ pula mudah dijejaki, terutamanya menerusi buku Memoir Zurinah

Hassan Menjejak Puisi dan Dewan Sastera terbitan terkini.

Hanya terdapat dua kekangan kecil dalam kajian ini. Pertama, kesukaran

mengaitkan sajak dengan latar belakang pengkaryaan kerana tiada catatan tahun

diletakkan dalam setiap sajak. Kedua, terdapat kesilapan pencetakan dalam

Kumpulan Sajak Menunggu Pesawat. Sajak “Semut” sebenarnya mengandungi 21

baris, tetapi disebabkan kesilapan pengulangan rangkap pertama, sajak ini menjadi

28 baris. Selain itu, terdapat kesilapan pencetakan bagi sajak “Burung Laut” iaitu

rangkap keduanya ‘hilang’ dan ‘dicantum’ dengan rangkap terakhir dalam sajak

Page 19: SEMINAR PEMIKIRAN SASTERAWAN NEGARA ZURINAH HASSAN …

19

“Burung Laut (2)”. Mujur pembetulan dapat dilakukan setelah menyemak buku

Kumpulan Puisi Cerita Dalam Cerita.

Akhirul kalam, buat Zurinah Hassan pujangga hebat, semoga dikurniakan

tubuh yang sihat, semangat yang jitu lagi kuat, akal budi yang bermartabat, karya

indah bertinta makrifat, membuatkan hamba-Nya dengan Allah sentiasa dekat,

ganjaran pahala sepanjang hayat, diberkati hidup dari dunia hingga akhirat, mohon

maaf segala yang tersurat dan tersirat. Amin Ya Rabbal Alamin.

Page 20: SEMINAR PEMIKIRAN SASTERAWAN NEGARA ZURINAH HASSAN …

20

RUJUKAN

Baha Zain. 2000. Berguru Pada Binatang. Kuala Lumpur: Pustaka Cipta.

Maskiah Masrom. 2005. Wajah-wajah Melayu Sepanjang Zaman: Satu Kajian

Terhadap Cerpen-cerpen S. Othman Kelantan 1960-2004 Menggunakan Teori

Pengkaedahan Melayu. Latihan Ilmiah Ijazah Sarjana. Tidak diterbitkan. Pusat

Pengajian Bahasa, Kesusasteraan dan Kebudayaan Melayu, UKM.

Maskiah Masrom. 2013. Pembangunan Akhlak: Satu Analisis Berdasarkan Model

Pembangunan Akhlak Al-Ghazali Terhadap Genre Cerita Adaptasi Binatang

Dalam Al-Qur’an. Latihan Ilmiah Ijazah Doktor Falsafah. Tidak diterbitkan.

Pusat Pengajian Bahasa, Kesusasteraan dan Kebudayaan Melayu, UKM.

Muhammad Haji Salleh. 2013. Bahawa Aku Pernah Hidup: Zurinah Hassan Sebagai

Pentafsir Waktu dan Peristiwa. Dlm Zurinah Hassan (pngr.). Catatan

Perjalanan Seni Zurinah Hassan. Kuala Lumpur: Institut Terjemahan & Buku

Malaysia.

Rahman Shaari. 2004. Sajak-sajak Konfesional Zurinah Hassan. Dewan Sastera.

Jilid 34 Bil. 12, Disember: 27- 29.

Sahrulazmi Sidek. 2009. Apabila Haiwan Menjadi Guru. Bangi: KarnaDya Solutions.

Page 21: SEMINAR PEMIKIRAN SASTERAWAN NEGARA ZURINAH HASSAN …

21

Siti Norain Mohamed Nor. 2012. Binatang Ternakan dan Belaan dalam Peribahasa

Melayu: Satu Perbincangan. Latihan Ilmiah Sarjanamuda. Tidak diterbirkan.

Pusat Pengajian Bahasa, Kesusasteraan dan Kebudayaan Melayu, UKM.

Zurinah Hassan. 2013. Catatan Perjalanan Seni Zurinah Hassan. Kuala Lumpur:

Institut Terjemahan & Buku Malaysia.

Zurinah Hassan. 2014. Kumpulan Puisi Cerita Dalam Cerita. Kuala Lumpur: Institut

Terjemahan & Buku Malaysia.

Zurinah Hassan. 2015. Memoir Zurinah Hassan Menjejak Puisi. Cetakan ke-3.

Bangi: Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia.

Zurinah Hassan. 2020. Membina Bakat Kreatif. Kangar: Penerbit UniMAP.

Zurinah Hassan . 2021. Kumpulan Sajak Menunggu Pesawat. Kuala Lumpur: Dewan

Bahasa dan Pustaka.

Zurinah Hassan. 2004. Zurinah Hassan: Antara Bas, Feri dan Kereta Api. Dewan

Sastera. Jilid 34 Bil 12, Disember: 6-11.