akal budi dalam sajak-sajak dharmawijaya

12
Akal Budi dalam Sajak-sajak Dharmawijaya Abdul Halim Ali Pengenalan ‘Akal budi’ dalam kamus Simpulan Bahasa susunan Abdullah Hussain (2005) bermaksud fikiran sihat. Daripada maksud ini dilebarkan cakupan maksudnya kepada berpemikiran tinggi yang bijaksana dan sihat. Kata ‘akal’ merujuk Kamus Dewan (2005) bererti budi atau fikiran. Manakala kata ‘budi’ pula bererti akal atau kebijaksanaan. ‘Akal’ juga bermaksud muslihat. Kerana itu, sering kedengaran da- lam banyak peribahasa Melayu yang menggunakan kata ‘akal’ bertujuan memba wa konotasi muslihat, bijaksana dan sebagainya. Contohnya, ‚Akal labah-labah, di gua buruk sukat merakut, akal akar berpulas tak patah, akal tak sekali datang, runding tak sekali tiba‛. Za’ba menurunkan enam simpulan bahasa yang berasaskan kata akal, iaitu, akal bengkok, akal kancil, hidup berakal mati berhantu, makan diakal, masuk diakal dan membuat akal. 1 Daripada perkataan budi pula terdapat banyak penggunaannya dalam peri- bahasa malah dalam pantun Melayu dikategorikan secara khusus pantun yang bera- saskan budi. Dengan itu, akal dan budi boleh dikatakan dua perkataan yang saling paut-memaut pada makna yang mencerminkan keelokan dan kebaikan manusia da- lam berfikir dan bertingkah laku. Ringkasnya, akal budi mencerminkan perbuatan, pemikiran dan sikap seseo- rang manusia yang mendokong kebijaksanaan, kehalusan jiwa dan keindahan. Per- buatan, pemikiran dan sikap seseorang ini diterjemahkan dalam pelbagai rupa, na- mun yang paling lazim ialah dalam bentuk penghasilan karya seni, khususnya dalam bentuk seni tampak dan seni sastera. Bagi tujuan kajian ini, akal budi dimak- sudkan sebagai bijaksana dalam menyampaikan idea dan pemikiran. Dalam seni sastera, pemikiran dan sikap seseorang pengarang atau penyair dapat dikesan menerusi penggunaan gaya bahasa. Gaya bahasa mengungkapkan perasaan dan pemikiran melalui daya yang khas untuk memperlihatkan jiwa dan keperibadian penulis. 2 Jiwa dan keperibadian penyair adalah akar yang 1 Za’ba, Ilmu Mengarang Melayu (Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1965), hlm.153. 2 Kamaruzzaman A. Kadir, Bunga Gerimis (Petaling Jaya: Penerbitan Fajar Bakti,1988), hlm.109. Jurnal Elektronik Jabatan Bahasa & Kebudayaan Melayu Jurnal e-Utama, Vol. 2 (2009)

Upload: truongdiep

Post on 12-Jan-2017

386 views

Category:

Documents


17 download

TRANSCRIPT

Akal Budi dalam

Sajak-sajak Dharmawijaya

Abdul Halim Ali

Pengenalan

‘Akal budi’ dalam kamus Simpulan Bahasa susunan Abdullah Hussain (2005) bermaksud fikiran sihat. Daripada maksud ini dilebarkan cakupan maksudnya kepada berpemikiran tinggi yang bijaksana dan sihat. Kata ‘akal’ merujuk Kamus Dewan (2005) bererti budi atau fikiran. Manakala kata ‘budi’ pula bererti akal atau kebijaksanaan. ‘Akal’ juga bermaksud muslihat. Kerana itu, sering kedengaran da-lam banyak peribahasa Melayu yang menggunakan kata ‘akal’ bertujuan membawa konotasi muslihat, bijaksana dan sebagainya. Contohnya, ‚Akal labah-labah, di gua buruk sukat merakut, akal akar berpulas tak patah, akal tak sekali datang, runding tak sekali tiba‛. Za’ba menurunkan enam simpulan bahasa yang berasaskan kata akal, iaitu, akal bengkok, akal kancil, hidup berakal mati berhantu, makan diakal, masuk diakal dan membuat akal.1

Daripada perkataan budi pula terdapat banyak penggunaannya dalam peri-

bahasa malah dalam pantun Melayu dikategorikan secara khusus pantun yang bera-saskan budi. Dengan itu, akal dan budi boleh dikatakan dua perkataan yang saling paut-memaut pada makna yang mencerminkan keelokan dan kebaikan manusia da-lam berfikir dan bertingkah laku.

Ringkasnya, akal budi mencerminkan perbuatan, pemikiran dan sikap seseo-

rang manusia yang mendokong kebijaksanaan, kehalusan jiwa dan keindahan. Per-buatan, pemikiran dan sikap seseorang ini diterjemahkan dalam pelbagai rupa, na-mun yang paling lazim ialah dalam bentuk penghasilan karya seni, khususnya dalam bentuk seni tampak dan seni sastera. Bagi tujuan kajian ini, akal budi dimak-sudkan sebagai bijaksana dalam menyampaikan idea dan pemikiran.

Dalam seni sastera, pemikiran dan sikap seseorang pengarang atau penyair

dapat dikesan menerusi penggunaan gaya bahasa. Gaya bahasa mengungkapkan perasaan dan pemikiran melalui daya yang khas untuk memperlihatkan jiwa dan keperibadian penulis. 2 Jiwa dan keperibadian penyair adalah akar yang

1 Za’ba, Ilmu Mengarang Melayu (Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1965), hlm.153. 2 Kamaruzzaman A. Kadir, Bunga Gerimis (Petaling Jaya: Penerbitan Fajar Bakti,1988), hlm.109.

Jurnal Elektronik

Jabatan Bahasa &

Kebudayaan Melayu

Jurnal e-Utama, Vol. 2 (2009)

Abdul Halim Ali

70

mencerminkan akal budinya. Daripada bahasa ini terolah inti sajak dan persoalan-persoalan yang berkait dengannya.

Tujuan dan Landas Perbincangan

Berlandaskan makna akal budi yang diterangkan di atas, makalah ini mengemukakan satu perbincangan yang bertujuan untuk 1) memahami akal budi penyajak berpandukan idea teori Struktural dan Respon Pembaca; dan 2) membincangkan aspek persoalan dalam sajak sebagai sumber yang mencerminkan akal budi.

Perbincangan tentang akal budi dalam sajak-sajak Dharmawijaya ini

didasarkan idea struktur dalam teori Struktural dan idea Respon-Pembaca (Reader Response). Idea struktur bertolak daripada andaian bahawa teks sastera terbangun hasil daripada struktur dalaman teks. Struktur teks kesusasteraan terdiri daripada tema, persoalan, watak, perwatakan, plot, gaya bahasa, teknik dan sebagainya. Tiap-tiap struktur ini berfungsi dalam ruang tekstual dengan beberapa proses iaitu perkaitan, regulasi diri, tranformasi dan berkeseluruhan. Manakala teori Respon-Pembaca bertitik tolak daripada tanggapan bahawa makna teks ditentukan oleh pembaca. Pembaca berkuasa memberi makna dan tafsiran isi teks dan idea pengarang. Bagi tujuan perbincangan ini, fokus analisis ditumpukan pada aspek persoalan, salah satu struktur yang membangunkan struktur tema sajak dan dikaitkan dengan pemahaman pembaca (pengkritik) terhadap idea atau pemikiran yang ingin disampaikan penyair. Gabungan dua idea ini penting supaya idea struktur yang terbatas hanya pada aspek tekstual dapat dikaitkan dengan idea dan pemikiran penyair. Selain itu, Respon-Pembaca memberi jalan kepada pengkritik untuk melihat dan menafsir terhadap kedua-dua pihak, sama ada teks ataupun penyair.

Sumber utama perbincangan ini ialah sebuah kumpulan puisi Dharmawijaya yang berjudul Derita Buana (1992) yang diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka. Kumpulan puisi Derita Buana mengandungi 61 buah sajak. Tidak dicatatkan sama ada sajak-sajak ini pernah diterbitkan oleh mana-mana media massa atau tidak. Sajak-sajak dalam kumpulan puisi Derita Buana dihasilkan dalam tempoh 16 tahun, iaitu bermula pada tahun 1974 hingga tahun 1990.

Latarbelakang Dharmawijaya

Dharmawijaya (atau nama sebenarnya, Kamaruzzaman bin Abdul Kadir) ialah seorang penyair Malaysia yang terkenal dan banyak melahirkan puisi-puisi tentang petani. Kampung Talang, tanah kelahirannya adalah wajah daripada suatu kehidupan masyarakat petani yang banyak terpancar dalam puisi-puisinya. 3 Dharmawijaya dilahirkan pada 23 Jun 1937 di Kampung Talang, Tanjung Ipoh, Negeri Sembilan. Beliau mendapat pendidikan awal pada tahun 1952 dengan lulus

3 Shamsuddin Jaafar (penyusun), Wajah: Biografi Penulis. Edisi Ketiga (Kuala Lumpur: Dewan

Bahasa dan Pustaka, 2005), hlm. 295.

Akal Budi dalam Sajak-sajak Dharmawijaya

71

Darjah 6. Pada tahun 1953, Dharmawijaya terpilih sebagai guru pelatih di sekolah rendah Melayu.

Pada tahun 1954-1956, Dharmawijaya mengikuti latihan perguruan di Maktab

Perguruan Sultan Idris (MPSI) Tanjong Malim. Dengan usaha sendiri, Dharmawijaya terus belajar sehingga lulus pula Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan (STP). Pada tahun 1973 beliau melanjutkan pengajian di Universiti Malaya (UM) dan memperolehi Sarjana Muda Sastera pada tahun 1976.

Sejarah penglibatan Dharmawijaya dalam bidang penulisan bermula pada

tahun 1960-an iaitu ketika menuntut di Maktab Perguruan Bahasa. Puisi terawal beliau ditulis dan diterbitkan pada tahun 1956 dalam antologi Bingkisan Angkatan Baru berjudul ‛Kerana Hati‛. Penglibatan aktif dalam dunia penulisan kreatif sebenarnya bermula di Maktab Perguruan Sultan Idris, Tanjong Malim, Perak.

Sungguhpun beliau mula menulis dalam tahun 1960-an dalam bentuk puisi,

drama, esei dan kritikan namun bidang yang paling sungguh-sungguh diberikan perhatian ialah bidang perpuisian. Penciptaan puisi-puisi telah mendapat tempat yang utama dalam jiwanya. Karya-karya puisi beliau telah disiarkan dalam pelbagai media seperti Mingguan Malaysia, Berita Minggu, Utusan Zaman, Dewan Bahasa, Dewan Sastera, Dewan Masyarakat dan Mastika. Dharmawijaya kekal dalam dunia puisi sebagai penyair, pengkritik, pendidik dan pembimbing puisi yang kental dengan semangat perpuisiannya.

Sepanjang penglibatan dalam dunia perpuisian, Dharmawijaya telah berjaya

menghasilkan dua buah kumpulan puisi persendirian yaqng berjudul Warna Maya (1974) dan Derita Buana (1992). Selain itu Dharmawijaya juga menghasilkan buku-buku kajian puisi seperti Nasionalisme dalam Puisi Melayu Moden 1933-1957 (1982), Tanggapan dan Kaedah Pengajaran Puisi (1987), Intisari Sejarah Kesusasteraan Melayu Moden (1987), Berkenalan dengan Puisi (1988) dan Dunia Puisi dalam Penelitian dan Pengajaran (1988). Setelah menyumbang jasa bakti selama lebih 40 tahun dalam dunia kesusasteraan Melayu, khususnya bidang puisi, Dharmawijaya kembali ke rahmatullah pada 21 April tahun 2005 dalam waktu masih gigih menunaikan tanggungjawab kesasteraannya.

Analisis dan Perbincangan

Salah satu kebijaksanaan manusia penyair ialah menggunakan dan memanipulasikannya sehingga terkesan pada persepsi dan kesedaran pembaca nilai keindahannya. Dalam waktu berkarya, penyair juga sering memikirkan tentang aspek muzikal. Penyair besar pula lebih menitikberatkan aspek pemikiran yang bertujuan menyampaikan perutusan yang mengesankan pengajaran agama dan sosial. Dari sudut inilah dapat dikesan nuansa akal budi penyair.

Meneliti secara terperinci sajak-sajak dalam kumpulan puisi Derita Buana

(1992), pengkaji memahami dan meyakini bahawa Dhamarwijaya dapat digolongkan dalam lingkungan penyair besar, iaitu mereka yang berkarya dengan tujuan melahirkan pemikirannya dengan bahasa yang indah. Inilah salah satu gambaran fikiran penyair yang bijaksana dalam berpuisi. Gambaran ini dapat dikesan pada empat persoalan, iaitu monolog pada diri, kesantunan berbahasa, kesedaran kemanusiaan dan sentuhan kerohanian.

Abdul Halim Ali

72

Monolog Pada Diri

Pemahaman pengkaji terhadap beberapa buah sajak yang menggambarkan sikap rendah diri Dharmawijaya ialah sajak ‛Beginilah aku‛, ‛Demi Hari yang Kutemui‛, ‛Kembali Kudratku‛, ‛Pada yang Hilang‛, ‛Selamanya‛, ‛Sejernih Kasih Semurni Budi‛, ‛Di Mercu Buana‛ dan ‛Berlaut Bimbang ke Sayup Bintang‛. Dharmawijaya banyak bercakap pada diri sendiri, mengia dan menyanggupi, menerima dan membenar sesuatu dalam hati sendiri. Pengkaji percaya, Dharmawijaya tidak bersedia memberitahu sesiapa keresahan dan kedukaan diri. Inilah kebijaksana Dharmawijaya meletakkan diri dalam ruang komunikasi yang bersifat self-pity, tetapi bernilai harga diri. Dalam sajak ‛Beginilah Aku‛, Dharmawijaya menyebutkan:

Lalu hari berhari aku beginilah dalam enggan meratapi hampa nestapa masa lalu gua hancur di rimba ngeri semakin hampir membukakan pintu. (b.16-21)

Nilai harga diri ini adalah nilai kebijaksanaan yang diperolehi daripada

kematangan fikiran. Dharmawijaya tidak selamanya bersikap self-pity, sebaliknya juga bercakap pada diri dengan sikap yang optimis. Lihat ungkapannya dalam sajak ‛Demi Hari yang Kutemui‛:

hari ini aku berdiri di sini bukan untuk meratap jendela waktu masa lalu yang membenamkan kaca derita ke debar dada. (b.1-7)

Dhamawijaya seorang yang banyak bercakap pada diri. Kerana itu, beliau tahu

mengurus keresahan dan kedukaan hati. Beliau tidak melepaskan emosi, sebaliknya mendidik emosi dengan penuh ramah. Lihat bagaimana Dharmawijaya menerima dan mengiakan bebanan diri untuk ditanggungnya dalam sajak ‛Pada yang Hilang‛ dengan mendepankan estetik bahasa secara hiperbola (”beban kehancuran”), personifikasi (”kudakap seksamu”, ”digoda bimbang”), dan metafora (”nafas kesetiaan”) namun dia tetap menaruh harapan supaya diri kembali gembira (”indah”):

Diri engkau yang menanggung beban kehancuran kudakap seksamu bersama nafas kesetiaan esok dalam perjalanan digoda bimbang kucari jua rimba indah yang hilang. (b.15-19)

Akal Budi dalam Sajak-sajak Dharmawijaya

73

Dalam sajak ‛Pada Setiap Ketika‛, Dharmawijaya mengucapkan terima kasih pada hatinya yang tetap setia, walau dirinya menghadapi suka dan duka sepanjang perjalanan hidupnya. Kebijaksanaan yang sukar dilihat ialah kebijaksanaan manusia menghargai diri dengan keupayaan yang ditakdirkan Tuhan untuknya, sekalipun keupayaan itu untuk menanggung beban derita. Tetapi Dharmawijaya tidak termasuk dalam kelompok itu. Penyajak dapat mengesan kerendahan diri terhadap hatinya sendiri yang tetap teguh dengan pendirian biarpun diri dilanda derita. Demikian Dharmawijaya membisikkan:

Terima kasihlah hati ketika bahagia kembara berkecai lerai di tembok jeriji kau tetap bersama merumahkan setia. (b.16-20)

Kekuatan Dharmawijaya ialah menyembunyikan perasaan duka dan derita

dalam sisipan gaya metafora dan personifikasi yang halus, tersembunyi tetapi mengesan keindahan dalam minda. Monolog menjadi pelunjur ekspresi naluri halus dan amat mengesan jiwa pembaca. Benarlah kata Atmazaki, bahawa sajak adalah bersifat monolog dan kekuatan sajak terletak pada kekuatan ekspresinya itu.4 Inilah kebijaksanaan Dharmawijaya yang secara berhalus menyusun gaya dalam monolog dirinya.

Kesantunan Berbahasa

Asmah Hj Omar menyebutkan, santun bahasa bermaksud menggunakan bahasa berpandukan peraturan-peraturan tertentu.5 Penggunaan bahasa ini menurut beliau lagi mempunyai tujuan-tujuan tertentu dan untuk mencapai tujuan itu pula perlu pada peraturan-peratuan yang tertentu. Untuk mencapai tujuan secara sopan tetapi berkesan ini dikenali sebagai peraturan pragmatik. Peraturan seperti inilah menurut Asmah lagi, sudah jauh ditinggalkan oleh orang, terutama sekali dalam kalangan mereka yang menyangka bahawa peraturan nahu itulah satu-satunya peraturan yang perlu dipatuhi.6

Berdasarkan sajak-sajak yang dibaca dan diteliti, pengkaji faham bahawa

Dharmawijaya tidak pernah lupa pada kesantunan berbahasa, biarpun, penyair mempunyai lesen untuk berbuat apa sahaja dengan bahasa, asal matlamat yang ingin disampaikan itu berhasil. Namun, Dharmawijaya memilih jalan menyantuni persoalan diri dan kehidupan dengan gaya bahasa yang indah dan mengesan jiwa. Dharmawijaya ialah pemilih diksi yang selektif. Hanya diksi yang benar-benar sesuai sahaja yang dipilih. Seperti kata Samuel Taylor Coleridge, puisi adalah kata-kata terbaik dalam susunan terbaik. 7 Kata-kata yang baik lazimnya memberi kesenangan langsung (immediate pleasure). Dharmawijaya dalam banyak sajaknya menyantuni persoalan diri dan persoalan sosial dengan santun bahasa yang cantik, disusun indah dengan hiasan gaya dan diksi yang indah.

4 Atmazaki, Analisis Sajak: Metodologi dan Aplikasi (Bandung: Penerbitan Angkasa, 1993), hlm.

12. 5 Asmah Hj. Omar, Kesantunan Bahasa (Tanjong Malim: Penerbit Universiti Pendidikan Sultan

Idris, 2002), hlm. 8. 6 Ibid., hlm. 10. 7 ‚Poetry: the best words in their best order.‛

Abdul Halim Ali

74

Kata-kata terbaik adalah kata-kata yang relatifnya cantik dan indah sesuai

dengan pemikiran penyair dan tujuan-tujuannya. Kerana itu, kata-kata yang cantik juga sewajarnya membayangkan fikiran penyair yang cantik juga. Demikianlah sifatnya puisi. Sepertimana kata Za’ba, puisi itu karangan berangkap yang khas dipakai untuk melafazkan fikiran yang cantik dengan bahasa yang indah serta melukiskan dengan kemanisan dan kecantikan bahasa. 8 Perhatikan fenomena kesantunan bahasa dalam sajak-sajak Dharmawijaya dalam Derita Buana seperti sajak ‛Mengucap Rahmat-Nya‛, ‛Bunga Buana‛, ‛Di Rumah Cinta‛, ‛Angin Waktu‛ dan lain-lain.

Angin waktu menyapa jendela renung resahku di senja nestapa berdada luka. (b.1-5)

Kesantunan bahasa dapat dikesan pada gaya metafora (”Angin waktu”) dan

personifikasi yang terjalin erat pada baris 1 dan 2 untuk menggambarkan keadaan penyair bermenung pada suatu petang yang menyedihkan. Dalam rangkap kedua sajak ‛Angin waktu‛ juga terkesan jelas kelembutan, dan sikap berhalus penyair menyusun kata, hingga terkesan nilai indah gaya bahasa yang santun itu. Perhatikan rangkai kata berikut:

Angin waktu meniti tangga debar sangsiku di malam lara berlangkah hampa. (b.6-10)

Rangkai kata di atas adalah pernyataan kehampaan hati yang dalam. Walau

bagaimanapun, kehampaan bagi penyair adalah asam garam yang dimatangkan oleh waktu itu mematangkan cintanya dan mematangkan hidupnya di dunia ini sepertimana kata penyair:

Angin waktu datang dan berlalu mendewasakan cinta kembara hidupku di jantung dunia. (b.16-20)

Penyair tidak terpengaruhi dengan emosi amaran tatkala menghadapi

kedukaan dan kehampaan. Dalam banyak keadaan, penyair kembali pada akal budinya, menjadi manusia penerima takdir yang berfikir dan manusia sedih yang bahagia. Inilah sifat manusia yang bijaksana.

Manusia yang bijaksana dalam berfikir ialah manusia yang memikirkan

bagaimana untuk membahagiakan orang lain. Penyair meskipun berdepan dengan kedukaan dan kehampaan, namun tetap bersedia memberi nasihat kepada manusia lain tentang kedukaan, kehampaan dan cabaran hidup. Dalam sajak ‛Pada Waktu-

8 Za’ba, Ilmu Mengarang Melayu, hlm, 218.

Akal Budi dalam Sajak-sajak Dharmawijaya

75

waktunya‛, penyair dengan dandanan gaya personifikasi dan metafora yang indah menyampaikan nasihat yang amat berguna, katanya:

kalaulah gelisah membelah tenteram dadamu teguh-teguhkanlah langkah kembaramu membenamkan duka di jalan terbuka. kalaulah sepi meningkah hayat kudratmu cekal-cekalkanlah lelah relamu melemparkan risau di angin pulau. kalaulah hampa mencecah pintu sentosamu tenangkanlah gementar hatimu bagai musafir mengucup takdir.

Kesedaran Kemanusiaan

Berdasarkan beberapa buah sajak dalam kumpulan puisi Derita Buana, pengkaji yakin bahawa penyair ialah manusia yang sedar tentang manusia dan kemanusiaan. Dalam kesedarannya, penyair menggalas kesusasteraan dan menghantarnya kepada manusia, kerana penyair faham erti manusia dan kemanusiaan manusia. Dharmawijaya salah seorang penyair yang tergolong dalam kelompok penyair yang faham erti manusia dan kemanusiaan ini. Lihatlah pada sajak-sajak beliau berjudul ‛Derita Perjalanan‛, ‛Petani Abadi‛, ‛Warga Petani‛ dan ‛Rakaman Rasa‛.

Sajak ‛Derita Perjalanan‛ mengisahkan pengalaman penyair berdepan dengan

suasana kemiskinan masyarakat kampung Banggul Derdap. Sebelum ini, penyair hanya mendengar kemiskinan Banggul Derdap menerusi watak Lahuma dan Jeha dalam novel Shahnon Ahmad, Ranjau Sepanjang Jalan (1966). Namun, kini penyair dapat melihatnya sendiri. Penyair menyebutkan dengan perbandingan simili (bagai) dan ungkapan yang puitis:

banggul derdap ketika resah bumi akan kutatap kuala lumpur yang kutinggalkan terasa angin petangnya bagai membisik betapa seorang ibu di kampung talang tunduk menampung rahsia tangis puteranya yang kehancuran citarasa yang kelak entah di mana bakal gantinya. (b.1-8)

Abdul Halim Ali

76

Ternyata kemiskinan dan penderitaan masyarakat Banggul Derdap menikam perasaan penyair dan penyair berasa amat terharu dan sedih melihatnya. Sentuhan kemanusiaan penyair merentas perasaan anak-anak kampung itu yang bakal besar nanti. Demikian penyair melahirkan rasa simpati dan terharunya:

kutanam simpati ke hati anak-anakmu yang bakal mengerti bahawa hangat darah lahuma dan jeha kini telah menjadi mahkota lagu perkasa marak membakar gua sengsara kebencianya. (b.25-29)

Tentang kehidupan manusia petani penyair menyatakan:

. . . siang malamnya bagai hujan badailah memancang ruang sawah ladang. (b.5-8)

tenang tenteramnya bagai imbau kemaraulah melesapkan padi muda berbuah hampa (b.13-16)

dan tentang harapan mereka pula, penyair menyebutkan:

engkau petani abadi berpucat bulan bermendung mentari meningkah tadbir di lidah takdir. (b.20-24)

Hanya manusia yang mengerti erti kemanusiaan sahaja yang dapat merasai

dan menafsir makna derita, harapan dan kehidupan manusia yang dihimpit kepayahan hidup seperti petani kampung Banggul Derdap ini. Rasa kemanusiaan benar-benar menyentuh dan membadai di jiwa penyair. Kerana rasa kemanusiaan itu jugalah penyair menumpahkan kasih sayang dan rasa hormat pada golongan petani. Ini dirakam oleh penyair dalam sajaknya berjudul ‛Warna Petani‛:

sepatutnyalah hamparan kasihku warga petani

kubentangkan di rumah relamu selag

ladang keringatmu mengisi

lapar kenyang siang malamku.

Selamanyalah junjung hormatku

Akal Budi dalam Sajak-sajak Dharmawijaya

77

warga petani kuletakkan di langkah setiamu

selagi lelah budimu

menjadi darah daging gelisah hidupku. (b.1-18)

Penyair memasuki ruang kemanusiaan yang jarang dimasuki manusia biasa.

Penyair dalam sajak-sajak ‛Warga Petani‛ dan ‛Petani Abadi‛ tidak sekadar menjelajah dunia penderitaan dan kesusahan petani, sebaliknya penyair amat mengkagumi dan memandang tinggi jasa bakti petani. Kerana dengan titik peluh dan usaha gigih petani itulah penyair terhindar dari kelaparan.

Penyair dalam sajaknya bukan sekadar menyanjung, tetapi turut menerima

susah payah petani sebagai sebahagian daripada susah payahnya sendiri. Demikian penyair menyatakannya pada baris 15-18 dalam sajak ‛Warga Petani‛:

lelah budimu menjadi darah daging gelisah hidupku.

Sentuhan Kerohanian

Secara umumnya, sajak-sajak Dharmawijaya kurang memperlihatkan keakraban diri dengan ketuhanan. Daripada sejumlah 61 buah sajak dalam kumpulan puisi Derita Buana, hanya tiga buah sajak sahaja yang berunsur keislaman, iaitu sajak ‛Di Lambaian Syawal‛, ‛Mengucup Rahmat-Nya‛ dan sajak ‛Di Rumah Cinta‛. Ketiga-tiga sajak ini adalah yang terkini dalam kumpulan puisi Derita Buana. Kerana diletakkan pada akhir halaman kumpulan puisi ini, sajak-sajak ini saya kira mendokong nilai agamawi yang amat syahdu.

Kesyahduan ini bukan terlihat pada ungkapan puitis sajak, namun yang lebih

terkesan dalam naluri keinsanan dan kemanusiaan, bahawa sajak-sajak jenis ini, biarpun tidak banyak namun, yang dapat dijadikan saksi atas keperihatinan penyair terhadap agama dan Tuhannya. Sajak ‛Mengucup Rahmat-Nya‛ adalah sebuah sajak yang amat dalam maknanya di sisi Islam. Penyair secara bersahaja, tetapi mengungkap pertanyaan yang mengertak iman manusia tentang ni’mat yang diterima selama ini tanpa ada rasa susah, malah berpilih-pilih. Dalam keadaan semudah itu Tuhan mengurniakan nikmat dan semudah itu pula manusia menerimanya, ia masih belum cukup untuk menyedarkan manusia untuk bersyukur kepada-Nya. Lihatlah bagaimana penyair mempertalikan pertanyaan dengan unsur simili (bagai) bahasa yang puitis:

kalaulah engkau menerima kurnia iradah-Nya bagai hujan yang boleh memilih waktu turunnya bagai burung yang boleh

Abdul Halim Ali

78

memilih letak sarangnya bagai bunga yang boleh memilih warna kembangnya bagai pohon yang boleh memilih arah rimbunnya akan masihkah tiada bersujud takwa engkau mengucup rahmat-Nya.

Dalam sajak ‛Di Rumah Cinta‛, sentuhan keimanan benar-benar menguasai

diri penyair, menjadi sumbu yang menyalakan rasa cinta dan rindu pada Tuhan. Rumah cinta lebih dekat dengan makna ruang munajat. Kunjungan dan kehadiran penyair bermaksud setiap ketika tatkala penyair menghadirkan di hadapan Tuhannya dengan bermunajat baik dalam solat atau pada waktu sepertiga malam atau juga pada waktu-waktu lainnya.

Munajat menjadi ruang tempat penyair berkomunikasi secara langsung

dengan Tuhannya. Pada ketika itulah, penyair merasakan kebesaran Tuhan. Penyair berasa lebih bertambah imannya dan lebih memahami ajaran Rasul tentang keagungan Tuhannya. Penyair menyebutkan dengan mengalas bahasa dengan gaya metafora yang amat cantik:

Setiap kali kukunjungi rumah cinta ini kurasakan pintu takwa semakin membuka sinar makna kandil wahyu titian keagungan-Mu. (b.1-8)

Kesedaran pada Kebesaran Tuhan adalah kesedaran yang sangat manis dalam

pengalaman manusia beragama. Sajak ‛Di Rumah Cinta‛ memperlihatkan kesedaran manusia (penyair) terhadap kekecilan dirinya dan agungnya Tuhan yang menciptanya. Kerana itu, setiap kali penyair berada dalam ruang munajat ini, dia akan membingkiskan janji setia berserah diri dan dalam perjalanan rohaninya penyair sentiasa mengingati waktu kepulangan yang kekal abadi di sisi Tuhan:

Setiap kali kutiduri rumah cinta ini kubingkaikan suara setia di kamar penyerahan rindu sentiasa pelayaran kalbu ke pelabuhan abadi-Mu. (b.9-16)

Akal Budi dalam Sajak-sajak Dharmawijaya

79

Rumusan

Berdasarkan perbincangan terhadap kumpulan puisi Derita Buana, pengkaji dapat memahami dan menunjukkan hubungan perkaitan dan regulasi diri aspek persoalan dengan gaya bahasa dan juga berkait pula dengan idea utama penyair. Dari sudut Respon-Pembaca, pengkaji percaya bahawa kefahaman terhadap sajak-sajak Dharmawijaya ada hubungan dengan struktur tekstual khususnya persoalan dan gaya bahasa, sehingga idea pokok sajak dapat mencerminkan akal budi penyair itu sendiri.

Pada kefahaman pengkaji juga, penyair melontar gugusan suara hatinya secara

terbuka khususnya tentang diri sendiri dan sedikit tentang manusia lain. Tidak mudah untuk mencari dan memahami akal budi Dharmawijaya dalam kumpulan puisi ini, kerana penyair terlalu banyak bermain dengan kata-kata yang bombastik iaitu berlebih-lebih dalam hiasan sajak dengan bunga-bunga bahasa yang diselit menerusi gaya metafora, personifikasi dan diksi puitis. Namun, menyelami jauh ke dasar puisi, ternyata Dharmawijaya seorang penyair yang suka menyembunyikan kebijaksanaan fikirannya terhadap diri dan manusia lain dengan mendepaninya dengan gaya metafora dan personifikasi dalam hampir kebanyakan sajak yang dianalisis dalam kumpulan puisi Derita Buana ini. Dengan itu, pengkaji bersetuju dengan catatan pada blurb buku ini yang berbunyi, ‛Kebanyakan puisi Dharmawijaya seperti dalam Derita Buana ini tidak ditemui amanat lahir secara ketara, tetapi terjalin halus dengan nilai-nilai puitis yang terukir segar‛. Amanat itu sebenarnya bertirai di sebalik bunga-bunga bahasa yang tumbuh puitis dalam gaya metafora, personifikasi dan simili.

Kesimpulannya, akal budi Dharmawijaya dalam Derita Buana tidak dapat

dilihat secara mudah dengan pandangan sambil lalu pada lukisan bahasa sajaknya, tetapi ia terjalin dan berakar pada empat perkara besar iaitu, monolog pada diri, kesantunan bahasa, kesedaran kemanusiaan dan sentuhan kerohanian. Dharmawijaya sentiasa kembali pada akal budinya sebagai penyair yang sedar, bahawa kebijaksanaan dalam berfikir itu bukan semata-mata perlu diperlihatkan pada keras dan kritikalnya sesebuah idea atau tajamnya kata-kata, tetapi perlu juga disembunyikan di sebalik tirai puitis gaya.

Bibliografi Abdullah Hussain. Simpulan Bahasa. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka,

2005.

Asmah Hj. Omar. Kesantunan Bahasa. Tanjong Malim: Penerbit Universiti Pendidikan

Sultan Idris, 2002.

Atmazaki. Analisis Sajak: Metodologi dan Aplikasi. Bandung: Penerbitan Angkasa, 1993.

Abdul Halim Ali

80

Dharmawijaya. Derita Buana. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1992.

Dharmawijaya. Bunga Gerimis. Petaling Jaya: Penerbit Fajar Bakti, 1988.

Shamsuddin Jaafar (penyusun). Wajah: Biografi Penulis. (Edisi Ketiga). Kuala Lumpur:

Dewan Bahasa dan Pustaka, 2005.

Za’ba. Ilmu Mengarang Melayu. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1965.