studies in education 2007 bahasa dan bahan sastera

15
BAHASA DAN BAHAN SASTERA (BAHTERA): TINJAUAN AWAL BAGI MEMENUHI KEPERLUAN SUKATAN PELAJARAN Rozaiman Bin Makmun Universiti Brunei Darussalam [email protected] Abstrak. Kepentingan penyerapan atau penggunaan bahan sastera sebagai bahan pengajaran dalam subjek Bahasa Melayu telah digariskan dengan jelas dalam Sukatan Pelajaran Bahasa Melayu di negara ini. Dari sudut kebahasaan, bahasa kesusasteraan merupakan peringkat kemahiran penggunaan bahasa yang tinggi. Dari sudut keperluan pendidikan pula, bahan kesusasteraan mengandungi nilai- nilai murni yang perlu disemai kepada pelajar. Namun, hakikat bahawa subjek Kesusasteraan Melayu sebagai subjek pilihan telah mengehadkan jumlah pelajar yang boleh mengikutinya. Dengan yang demikian, guru bahasa perlu memanfaatkan kedudukan subjek Bahasa Melayu sebagai subjek wajib di peringkat sekolah, sebagai wahana untuk menyerapkan bahan sastera. Berdasarkan temu bual yang dijalankan terhadap beberapa guru bahasa yang sedang mengikuti kursus dalam perkhidmatan di UBD, sebilangan guru bahasa enggan menggunakan bahan sastera dan mengabaikan bahan sastera yang terdapat dalam buku teks Bahasa Melayu kerana: mereka kurang berminat; mereka tidak memahami sastera; sukar untuk mendapatkan bahan sastera yang sesuai; dan mereka tidak dilatih secara khusus untuk menggunakan bahan sastera sebagai bahan ajar dalam subjek Bahasa Melayu. Melalui analisis terhadap beberapa bahan sastera yang terdapat di negara ini, didapati bahawa bahan-bahan tersebut sangat mencukupi dan sangat sesuai digunakan sebagai bahan ajar baik bagi peringkat rendah, mahupun bagi peringkat menengah. Pengenalan Kewujudan sastera sebagai dokumentasi kejadian alam dan aktiviti manusia diakui sebagai media yang mampu menampungi pelbagai disiplin ilmu lalu mencetuskan konsep sastera merentas kurikulum (Abdul Hamid dan Ab. Rahman, 2002). Jabatan Pendidikan Bahasa di Institut Pendidikan Sultan Hassanal Bolkiah juga menyedari hakikat ini sehingga jabatan ini berusaha menawarkan kursus-kursus yang berkaitan dengan kesusasteraan seperti kursus PL 1225 Cerita Merentas Kurikulum; kursus PL3233 Penyerapan Sastera dalam Pengajaran Bahasa; kursus PL3243 Pengajaran Gaya Bahasa; agar guru-guru yang terlatih dari jabatan ini memiliki ketrampilan untuk menyerapkan bahan sastera dalam pengajaran bahasa dan subjek-subjek yang lain. Dari sudut lain, kita mengakui bahasa dan sastera itu sebagai elemen kebudayaan bangsa. Mengajarkan bahasa dan sastera bermakna mengajarkan kebudayaan kepada pelajar. Jika hal ini kita persetujui, maka semua pelajar seharusnya diberi kesempatan untuk mempelajari bahasa dan sastera. Namun, hakikatnya budaya sekolah seolah-olah tidak begitu menekankan keperluan ini sehingga cuma sebahagian pelajar sahaja yang berpeluang untuk mempelajari subjek kesusasteraan sebagai subjek tunggal. Manakala pelajar-pelajar yang lain hanya sekali-sekala mempelajari sastera apabila guru Bahasa Melayu menggunakan bahan sastera untuk mengajarkan bahasa. Sedangkan, pentingnya penggunaan bahan sastera itu tercermin pada tujuan dan objektif dalam Sukatan Pelajaran Bahasa Melayu di semua peringkat. Di pihak guru pula, tidak semua cukup berinisiatif untuk menggunakan bahan sastera. Namun kita tidak boleh menyalahkan guru kerana tidak semua guru Bahasa Melayu dilatih untuk mengajarkan sastera. 1

Upload: rozaiman-makmun

Post on 07-Jun-2015

3.215 views

Category:

Documents


0 download

DESCRIPTION

boleh didapati di buku Studies in Education, terbitan Institut Pendidikan Sultan Hassanal Bolkiah, UBD.

TRANSCRIPT

Page 1: Studies in Education 2007 Bahasa Dan Bahan Sastera

BAHASA DAN BAHAN SASTERA (BAHTERA): TINJAUAN AWAL BAGI MEMENUHI KEPERLUAN SUKATAN PELAJARAN

Rozaiman Bin MakmunUniversiti Brunei Darussalam

[email protected]

Abstrak. Kepentingan penyerapan atau penggunaan bahan sastera sebagai bahan pengajaran dalam subjek Bahasa Melayu telah digariskan dengan jelas dalam Sukatan Pelajaran Bahasa Melayu di negara ini. Dari sudut kebahasaan, bahasa kesusasteraan merupakan peringkat kemahiran penggunaan bahasa yang tinggi. Dari sudut keperluan pendidikan pula, bahan kesusasteraan mengandungi nilai-nilai murni yang perlu disemai kepada pelajar. Namun, hakikat bahawa subjek Kesusasteraan Melayu sebagai subjek pilihan telah mengehadkan jumlah pelajar yang boleh mengikutinya. Dengan yang demikian, guru bahasa perlu memanfaatkan kedudukan subjek Bahasa Melayu sebagai subjek wajib di peringkat sekolah, sebagai wahana untuk menyerapkan bahan sastera. Berdasarkan temu bual yang dijalankan terhadap beberapa guru bahasa yang sedang mengikuti kursus dalam perkhidmatan di UBD, sebilangan guru bahasa enggan menggunakan bahan sastera dan mengabaikan bahan sastera yang terdapat dalam buku teks Bahasa Melayu kerana: mereka kurang berminat; mereka tidak memahami sastera; sukar untuk mendapatkan bahan sastera yang sesuai; dan mereka tidak dilatih secara khusus untuk menggunakan bahan sastera sebagai bahan ajar dalam subjek Bahasa Melayu. Melalui analisis terhadap beberapa bahan sastera yang terdapat di negara ini, didapati bahawa bahan-bahan tersebut sangat mencukupi dan sangat sesuai digunakan sebagai bahan ajar baik bagi peringkat rendah, mahupun bagi peringkat menengah.

Pengenalan

Kewujudan sastera sebagai dokumentasi kejadian alam dan aktiviti manusia diakui sebagai media yang mampu menampungi pelbagai disiplin ilmu lalu mencetuskan konsep sastera merentas kurikulum (Abdul Hamid dan Ab. Rahman, 2002). Jabatan Pendidikan Bahasa di Institut Pendidikan Sultan Hassanal Bolkiah juga menyedari hakikat ini sehingga jabatan ini berusaha menawarkan kursus-kursus yang berkaitan dengan kesusasteraan seperti kursus PL 1225 Cerita Merentas Kurikulum; kursus PL3233 Penyerapan Sastera dalam Pengajaran Bahasa; kursus PL3243 Pengajaran Gaya Bahasa; agar guru-guru yang terlatih dari jabatan ini memiliki ketrampilan untuk menyerapkan bahan sastera dalam pengajaran bahasa dan subjek-subjek yang lain.

Dari sudut lain, kita mengakui bahasa dan sastera itu sebagai elemen kebudayaan bangsa. Mengajarkan bahasa dan sastera bermakna mengajarkan kebudayaan kepada pelajar. Jika hal ini kita persetujui, maka semua pelajar seharusnya diberi kesempatan untuk mempelajari bahasa dan sastera. Namun, hakikatnya budaya sekolah seolah-olah tidak begitu menekankan keperluan ini sehingga cuma sebahagian pelajar sahaja yang berpeluang untuk mempelajari subjek kesusasteraan sebagai subjek tunggal. Manakala pelajar-pelajar yang lain hanya sekali-sekala mempelajari sastera apabila guru Bahasa Melayu menggunakan bahan sastera untuk mengajarkan bahasa. Sedangkan, pentingnya penggunaan bahan sastera itu tercermin pada tujuan dan objektif dalam Sukatan Pelajaran Bahasa Melayu di semua peringkat. Di pihak guru pula, tidak semua cukup berinisiatif untuk menggunakan bahan sastera. Namun kita tidak boleh menyalahkan guru kerana tidak semua guru Bahasa Melayu dilatih untuk mengajarkan sastera. Di peringkat universiti, guru Bahasa Melayu dibenarkan memilih minor mereka. Selain Kesusasteraan Melayu, ada yang memilih Pengajian Islam atau MIB sebagai minor. Barang kali ada baiknya jika subjek Kesusasteraan Melayu itu tidak diperiksakan namun diberikan status wajib agar semua pelajar berkesempatan untuk

1

Page 2: Studies in Education 2007 Bahasa Dan Bahan Sastera

menikmatinya seperti subjek MIB. Namun, hal ini memerlukan kajian yang lebih lanjut. Hal ini kerana subjek yang tidak diperiksakan cenderung pula diabaikan. Timbul pula persoalan baik atau buruknya sastera dan bahasa itu disatukan dengan alasan bahasa dan sastera juga disatukan di peringkat lanjutan (A’ Level).

Menyedari hakikat sastera sebagai ketrampilan berbahasa yang tinggi, bermula pada tahun 2000, secara berperingkat, kerajaan Malaysia mewajibkan penyerapan bahan sastera ke dalam pengajaran bahasa Melayu sebagai komponen wajib. Komponen ini diberikan istilah khusus sebagai KOMSAS. Di Brunei Darussalam, komponen sastera memang sejak dahulu telah diserapkan ke dalam pengajaran bahasa sebagaimana yang dimaksudkan dalam Sukatan Pelajaran Bahasa Melayu di semua peringkat. Namun, komponen ini sering pula diabaikan oleh kebanyakan guru kerana mereka tidak dilatih secara khusus untuk menggunakan bahan sastera dalam pengajaran bahasa, tambahan lagi, komponen ini tidak diwajibkan. Guru-guru lebih suka mengajarkan peribahasa kerana ia lebih ringkas dan mudah digunakan dalam pembinaan ayat atau karangan. Manakala genre sastera lain seperti cerpen, novel, drama, sajak, syair, hikayat dan sebagainya itu kurang diberi perhatian. Menyedari fenomena ini, Jabatan Pendidikan Bahasa, Institut Pendidikan Sultan Hassanal Bolkiah telah membentuk kursus teras PL3233 Penyerapan Sastera dalam Pengajaran Bahasa yang perlu diikuti oleh guru Bahasa Melayu dengan harapan bahan sastera akan digunakan dalam pengajaran bahasa dengan cara yang terancang dan berkesan.

Kajian awal ini dilaksanakan menggunakan kaedah analisis dokumen. Dokumen dan bahan-bahan yang dianalisis ialah Sukatan Pelajaran Bahasa Melayu, buku-buku terbitan DBP dan buku-buku teks Bahasa Melayu di Brunei Darussalam. Tujuan utama kajian ini ialah untuk memperkatakan tentang kepentingan bahan sastera dalam pengajaran bahasa bagi memenuhi sebahagian keperluan objektif yang tercatat dalam Sukatan Pelajaran Bahasa Melayu, Jabatan Perkembangan Kurikulum, Negara Brunei Darussalam.

Penulis memperkenalkan istilah singkat BAHTERA (KOMSAS di Malaysia) yang membawa maksud ‘penyerapan bahan sastera dalam pengajaran bahasa Melayu.’ Untuk menyedari hakikat pentingnya BAHTERA, tajuk ke-2 berikut ini akan membincangkan falsafah dan objektif pengajaran bahan sastera.

Falsafah dan Objektif Penggunaan BAHTERA

Fokus pengajaran bahasa menggunakan bahan sastera tidak begitu sama dengan fokus pengajaran sastera dalam subjek Kesusasteraan Melayu. Dalam kelas bahasa, karya sastera digunakan sebagai bahan. Hal ini bermakna fokus pengajaran tetap pada kemahiran berbahasa dan aspek bahasa. Sedangkan aspek sastera (bentuk dan isi) hanya menjadi fokus sampingan atau ilmu dan nilai yang diserapkan. Hal ini akan dibincangkan dalam bahagian strategi penggabungjalinan dengan lebih lanjut.

Keunikan BAHTERA ini dapat dilihat melalui tujuan pengajarannya yang merangkumi tujuan pengajaran bahasa dan sastera. Di samping peluang mempertingkat penguasaan pelajar terhadap kemahiran berbahasa dan aspek bahasa (kecekapan dan prestasi berbahasa), pelajar juga berpeluang mengapresiasi karya sastera, khususnya karya sastera tempatan.

Umum memaklumi betapa kayanya karya sastera dengan nilai-nilai kehidupan dan kemanusiaan. Ungkapan ‘sastera sebagai cerminan masyarakat’ tetap diperakukan oleh masyarakat kerana penciptaan karya sastera itu merupakan pengalaman (lahir dan batin) penulisnya ketika berinteraksi dengan masyarakat. Dengan menerima karya sastera sebagai cerminan masyarakat, ia juga berimplikasi penerimaan kita terhadap karya sastera sebagai sebahagian daripada dokumentasi kebudayaan (Rozaiman, 2000). Hal ini kerana kebudayaan itu adalah cara hidup. Karya sastera pula cebisan pengalaman hidup penulis.

Kekuatan dan ketelitian pengamatan penulis tentang kehidupan dan masyarakat inilah yang akan kita serapkan dalam pengajaran bahasa. Nilai-nilai seperti ketaatan, tolong-menolong, berawar galat, berdangansanak, memucang-mucang, kasih sayang, cinta, jujur,

2

Page 3: Studies in Education 2007 Bahasa Dan Bahan Sastera

amanah, ikhlas, usaha, cita-cita, iltizam, nasionalisme dan sebagainya itu perlu diserapkan ke jiwa pelajar-pelajar dengan harapan dijadikan benih untuk menyemai kekuatan akal, rohani dan jasmani.

Di samping itu, penggunaan gaya bahasa juga merupakan ketrampilan berbahasa yang tinggi yang perlu dipelajari oleh pelajar. Penggunaan bahasa yang halus dan sopan seperti yang digunakan dalam pantun dan peribahasa mampu membayangkan kehalusan akal budi masyarakat Melayu. Penggunaan bahasa perlambangan dalam sajak dan pembayang pantun menggambarkan keupayaan berfikir secara analogi dalam kalangan masyarakat Melayu. Kekuatan gaya bahasa dalam cerpen dan novel mampu menggamit jiwa pelajar untuk menghargai alam ciptaan Tuhan.

Pengalaman watak dan latar tempat dalam penceritaan pula mampu membawa pelajar-pelajar mengembara ke dunia sawah, laut, bukit, hutan, desa yang mungkin tidak dirasai oleh mereka lagi. Teknik-teknik penceritaan yang pelbagai aliran pula akan menyedarkan pelajar-pelajar bahawa penulis-penulis tempatan sudah maju. Karya-karya mereka sama hebatnya dengan karya penulis-penulis luar. Karya sastera tempatan tidak hanya menjadi wadah idea-idea romantisisme malah digunakan juga untuk membawakan persoalan-persoalan berat yang mampu merangsang keupayaan berfikir dalam kalangan pelajar.

Dalam Sukatan Pelajaran Kesusasteraan Melayu, Negara Brunei Darussalam ada digariskan tujuan dan objektif pengajaran dan pemelajaran kesusasteraan. Walaupun BAHTERA cuma menggunakan karya sastera sebagai bahan untuk mengajarkan bahasa, namun dari segi pendidikan bersepadu atau strategi penggabungjalinan, objektif dan tujuan mengajarkan kesusasteraan itu boleh dijadikan dasar pengajaran dan pemelajaran BAHTERA. Berikut ini, dipaparkan kembali objektif dan tujuan pengajaran dan pemelajaran kesusasteraan:

1. menanamkan semangat cintakan tanah air dan nilai-nilai kemanusiaan dengan memperkenalkan unsur-unsur kebruneian yang berlandaskan falsafah Melayu Islam Beraja;

2. mendidik pelajar mengamalkan keperibadian kebruneian dan mengenali sosiobudaya di sekelilingnya, seimbang dengan peranan mereka sebagai anggota masyarakat; dan

3. melahirkan individu yang berminat untuk mengenali karya sastera yang bermutu dan menikmati serta menghayati bahan-bahan yang berunsur sastera.

Tujuan yang dinyatakan di atas lebih merupakan objektif jangka masa panjang, sedangkan objektif di bawah ini merupakan objektif yang lebih khusus dan diharapkan mampu dicapai dalam masa yang terdekat:

1. memberi kefahaman tentang nilai-nilai kemanusiaan, kemasyarakatan dan kebudayaan yang terdapat dalam karya sastera;

2. menerapkan nilai-nilai moral yang dicerminkan melalui karya sastera; 3. menganalisis bentuk dan memberi kefahaman isi kesusasteraan serta menghargai nilai

keindahan bahasa dalam kesusasteraan;4. mengekalkan, menyuburkan dan memperkembangkan minat terhadap kesusasteraan;

dan5. membuat penilaian terhadap mutu sesuatu karya sastera dan menghasilkan karya

sastera yang sepadan dengan kemampuan pelajar.

Di samping objektif yang berkaitan dengan kesusasteraan di atas, objektif yang berkaitan dengan pengajaran dan pemelajaran bahasa juga ditekankan. Hal ini kerana, untuk mencapai tujuan dan objektif yang dinyatakan di atas sudah tentu memerlukan penguasaan pelajar terhadap kemahiran berbahasa yang tinggi, iaitu mendengar, bertutur, membaca dan menulis. Di samping itu, kemahiran lain seperti kemahiran berfikir, menganalisis, mengkategori, dan mengaplikasi juga diperlukan.

3

Page 4: Studies in Education 2007 Bahasa Dan Bahan Sastera

Penggunaan bahan sastera dalam pengajaran Bahasa Melayu telah diperakui kepentingannya sehingga keperluan ini telah digariskan sebagai objektif dan tujuan dalam Sukatan Pelajaran Bahasa Melayu bagi sekolah rendah, menengah bawah dan menengah atas (Jabatan Perkembangan Kurikulum, 1994a, 1994b dan 2006). Berikut ini dipaparkan kembali objektif tersebut dan perhatikan ayat yang digariskan.

Objektif yang termuat dalam Sukatan Pelajaran Bahasa Melayu (2006: 3) bagi sekolah-sekolah rendah adalah:

1. mengetahui peraturan bahasa Melayu terutama dari segi fonologi, morfologi, dan sintaksis;

2. bertutur dalam bahasa Melayu dengan lancar dan fasih serta memberi pendapat dan hujah-hujah yang kritis dan analitis dalam pelbagai situasi;

3. mendengar, memahami dan menilai pertuturan dalam apa jua siaran am dan media massa;

4. membaca, memahami dan menghayati pelbagai bahan termasuk bahan-bahan kesusasteraan dan ilmiah;

5. menghasilkan pelbagai bentuk penulisan.

Objektif yang tercatat dalam Sukatan Pelajaran Bahasa Melayu (1994a: 4) bagi sekolah menengah bawah adalah:

1. menguasai segala peraturan bahasa Melayu baku terutama dari segi fonologi, morfologi, dan sintaksis;

2. bertutur dalam bahasa Melayu baku dengan lancar dan fasih serta memberi pendapat dan hujah-hujah yang kritis dan analitis dalam pelbagai situasi;

3. mendengar, memahami dan menilai pertuturan dalam apa jua siaran am dan media massa;

4. membaca, memahami dan menghayati pelbagai bahan termasuk bahan-bahan kesusasteraan dan ilmiah; dan

5. menghasilkan pelbagai bentuk penulisan, darihal perkara-perkara yang bersangkut paut dengan kehidupan mereka dan berpadanan dengan peringkat umur mereka dan kebolehan mereka.

Objektif yang termuat dalam Sukatan Pelajaran Bahasa Melayu (1994b: xi) bagi sekolah menengah atas adalah:

1. menguasai segala peraturan bahasa Melayu dari segi fonologi, morfologi, sintaksis, semantik, wacana dan sosiolinguistik, sehingga pelajar-pelajar dapat mengungkapkan sesuatu dengan betul dan sesuai, menepati konteks dan tujuan pengungkapan;

2. memahami, mengesan, mengutip, mengumpul dan menilai secara kritis dan analitis akan buah fikiran atau idea yang termuat di dalam apa sahaja bahan yang mereka tatapi secara kritis dan analitis, baik bahan lisan mahupun persuratan, baik idea itu tersurat mahupun tersirat bagi tujuan menambah ilmu, mempertajam pemikiran dan mendapatkan hiburan;

3. menerbitkan atau menyatakan apa sahaja buah fikiran secara teliti, teratur, kemas, terpadu dan logis melalui saluran lisan dan persuratan sehingga dapat difahami dengan tepat oleh khalayaknya, yakni pendengar ucapannya dan pembaca tulisannya; dan

4. menerbitkan ungkapan-ungkapan baru ciptannya sendiri yang indah dan tidak semata-mata menerbitkan semula apa yang ditemui sebelumnya.

Dalam subjek Bahasa Melayu, terdapat pelajaran menulis karangan. Antara jenis karangan itu ialah karangan jenis naratif. Dengan mempelajari teknik penceritaan, pelukisan

4

Page 5: Studies in Education 2007 Bahasa Dan Bahan Sastera

watak, latar dan penyusunan peristiwa kronologi dan antikronologi, sudah tentu membantu pelajar untuk menghasilkan karangan naratif yang bermutu. Hal ini membuktikan pengajaran BAHTERA mampu melengkapkan pelajar dengan kemahiran bercerita.

Menurut Taksonomi Bloom (1956) terdapat tiga domain yang perlu dititikberatkan, iaitu domain kognitif, afektif dan psikomotor. Penggunaan BAHTERA mampu memenuhi tuntutan ini. Domain kognitif mampu dipenuhi melalui aktiviti membaca dan memahami karya sastera, berbincang, memberikan pendapat, mengulas, menyoal dan sebagainya. Domain afektif mampu dipenuhi dengan aktiviti mendeklamasi sajak, pantun, syair; melakonkan babak dan adegan dalam drama; mengupas nilai-nilai yang terkandung dalam watak dan perwatakan, latar tempat dan latar kebudayaan. Domain psikomotor pula mampu dipenuhi dengan aktiviti-aktivti yang dijalankan seperti lakonan, pantomim, main peranan, dan seumpamanya.

Pentingnya penyerapan bahan sastera dalam pengajaran bahasa diperkuatkan lagi dengan anggapan bahawa karya sastera sebagai dokumentasi ilmu kemanusiaan. Di dalamnya terkandung aspek-aspek psikologi, sosiologi, kebudayaan, kepercayaan, sejarah, selaku nilai-nilai yang perlu disemai dan disemadikan pada jiwa pelajar-pelajar. Namun apa yang mengecewakan ialah sikap sesetengah warga, pendidik bahkan ilmuan di negara ini yang tidak bersikap pemedulian terhadap kewujudan sastera tradisional negara ini. Hal ini pernah diungkapkan oleh Haji Hashim Haji Abdul Hamid (1998). Beliau pernah mencatatkan perihal ilmuan tempatan yang tidak cukup kenal dengan Syair Awang Semaun.

Melalui Syair Yang Di-Pertuan, Syair Awang Semaun, Silsilah Raja-Raja Brunei, dan Syair Rakis, pelajar-pelajar berkesempatan menikmati dokumentasi sejarah negara dalam bentuk karya sastera. Pendokumentasian karya sastera sejarah dalam gaya bahasa yang tidak kaku mampu memaparkan sedikit sebanyak aspek sejarah negara dengan cara yang berlainan sedikit dari buku-buku sejarah yang menggunakan gaya bahas ilmiah, baku namun kaku.

Karya sastera seperti lagu-lagu rakyat, diangdangan dan penglipur lara pula mampu menggambarkan corak hiburan masyarakat lampau. Pendedahan ini akan menyedarkan pelajar tentang kemajuan yang telah dicapai dan dinikmati oleh mereka. Masyarakat lampau tidak memiliki televisyen dan satelit seperti sekarang. Masyarakat dahulu mampu mengharungi keperitan hidup tanpa peralatan canggih. Pelajar hendaknya bersyukur dengan kemajuan yang telah diusahakan oleh kerajaan. Dengan kesedaran ini, pelajar akan menggunakan kemudahan yang ada sekarang dengan efisien dan tidak menyalahgunakan teknologi, khususnya telefon bimbit dan internet serta tidak membuang masa dengan menonton televisyen sehinga berjam-jam lamanya.

Melalui perbincangan di atas, kita melihat pengajaran BAHTERA semakin relevan dengan era globalisasi. Keperluan mendedahkan pelajar-pelajar dengan nilai-nilai kemanusiaan semakin mendesak agar dapat menyeimbangi kepantasan dunia sains dan teknologi. Unsur-unsur kebudayaan dan kepercayaan bangsa Melayu perlu sentiasa disemai pada jiwa pelajar agar tidak kering dengan tuntutan materialistik dan kebendaan. Dengan penyemaian nilai-nilai kemanusiaan ini, diharapkan mampu mengisi belahan emosi dan rohani pelajar di samping belahan akli dan jasmani, sehingga setiap belahan kemanusiaan itu mampu diperkembang dengan seimbang (jasmani, rohani, akli dan emosi). Karya sastera juga penting untuk memberikan pembentukan tarbiah dan kesedaran bernegara bangsa (Haji Hashim Haji Abdul Hamid, 1998).

Bahan sastera dalam buku teks Bahasa Melayu

Melalui analisis terhadap buku teks Bahasa Melayu peringkat menengah 1 hingga menengah 5, yang ditulis oleh Nik Safiah Karim, bahan sastera telah berjaya disediakan seperti yang diinginkan. Hal ini telah dijangkakan kerana penulis ini merupakan antara pejuang bahasa dan sastera yang terunggul di rantau kita. Bahan-bahan seperti pantun, dialog drama, perambahan Brunei, perumpamaan, pepatah, syair rakis, bidalan, nyanyian tradisional Brunei, cerita rakyat, sajak, pantun, simpulan bahasa, cerpen, kata-kata hikmat dan sebagainya telah disusun dengan

5

Page 6: Studies in Education 2007 Bahasa Dan Bahan Sastera

baik serta merangkumi aspek pengajaran kemahiran berbahasa dan aspek bahasa yang lain termasuk Jawi. Harapan kita seterusnya ialah agar bahan-bahan ini digunakan oleh guru bahasa sebaik mungkin. Namun bahan-bahan yang ada dalam buku teks itu masih terhad kerana terpaksa berbahagi ruang dengan bahan-bahan lain. Untuk itu, kita mengharapkan agar guru-guru bahasa mampu menggunakan bahan-bahan yang sedia ada yang diterbitkan oleh institusi tertentu, terutamanya Dewan Bahasa dan Pustaka. Bahan-bahan yang telah diterbit, seperti yang direntang di atas tadi, cukup banyak dan sesuai digunakan untuk keperluan bahan ajar Bahasa Melayu di sekolah. Melalui temu bual pengkaji bersama beberapa guru bahasa yang mengikuti kursus dalam perkhidmatan di Universiti Brunei Darussalam, bahan-bahan sastera yang terdapat di dalam buku teks Bahasa Melayu sering diabaikan dan tidak diajarkan kerana sebilangan guru bahasa kurang berminat dengan bahan sastera, tidak memahami bahan sastera dan ada pula yang beralasan tidak mendapat latihan khusus untuk mengajarkan dan menggunakan bahan sastera. Pada hemat pengkaji, hal ini perlu kajian yang lebih meluas dan mendalam. Dalam pada itu, inisiatif Jabatan Pendidikan Bahasa, IPSHB, UBD, menawarkan kursus terbaharu, PL3233 Penyerapan Sastera dalam Pengajaran Bahasa boleh disifatkan sebagai kena pada masanya. Apa yang diharapkan ialah agar guru-guru bahasa tidak hanya bergantung sepenuhnya kepada buku teks kerana bahan-bahan yang disediakan dalam buku itu masih terhad. Guru-guru bahasa hendaklah mengambil inisiatif untuk meneroka bahan-bahan sastera yang terdapat di negara ini, khususnya bahan-bahan yang telah diterbitkan oleh DBP. Bahagian berikut ini akan membincangkan bahan sastera yang terdapat di Brunei Darussalam, teknik, aktiviti dan strategi pengajaran bahan sastera.

Bahan Ajar Kesusasteraan di Brunei Darussalam

Bahan sastera yang boleh digunakan sebagai bahan ajar dalam pengajaran bahasa boleh terdiri daripada dua bahagian, iaitu buku-buku teks dan karya sastera umum. Buku-buku teks subjek Kesusasteraan Melayu di peringkat menengah di Brunei Darussalam kini menggunakan karya tempatan, iaitu:

a) Hikayat Awang Kamaruddin (penglipur lara)b) Pengabdian (novel)c) Cermin Diri (antologi sajak)d) Meniti Waktu (antologi cerpen)

Karya-karya di atas hanya dinikmati oleh pelajar-pelajar menengah empat dan lima yang mengambil subjek Kesusasteraan Melayu. Hal ini bermakna, pelajar-pelajar lain tidak berkesempatan untuk menikmati karya tersebut. Oleh itu, guru-guru bahasa perlu mengambil inisiatif bagi menggunakan karya-karya tersebut dalam pengajaran Bahasa Melayu namun perlu sesuai dengan aspek bahasa yang hendak diajarkan. Di samping karya-karya tersebut, karya-karya lain boleh digunakan.

Karya sastera yang ada di negara kita lebih daripada mencukupi. Ia terbahagi kepada dua kategori utama, iaitu Kesusasteraan Melayu Tradisional Brunei dan Kesusasteraan Melayu Moden Brunei.

Kesusasteraan Melayu Tradisional Brunei

Khazah kesusasteraan tradisional negara kita tidak ternilai harganya. Guru-guru boleh memilih bahan ajar antaranya yang berbentuk pantun, syair, perambahan, diangdangan, sastera sejarah atau historiografi, sastera epik dan sastera lagenda. Untuk permulaan, guru-guru boleh bertolak dari buku Pengantar Sastera Lama Brunei (Awang Bin Ahmad, 1989) sebagai panduan. Berikut ini disenaraikan beberapa buah buku terbitan DBP, penerbit lain dan terbitan persendirian yang boleh digunakan sebagai bahan ajar.

6

Page 7: Studies in Education 2007 Bahasa Dan Bahan Sastera

a) PantunBuku seperti Lanang Beladu Lanang boleh digunakan. Buku ini merupakan kumpulan pantun bangsa Melayu Brunei yang diungkayahkan oleh Prof. Madya Dr. Hj. Hashim. Pantun-pantun yang terkumpul terdiri daripada pelbagai jenis pantun dan sarat dengan persoalan dan pengajaran. Pembayang-pembayang maksud yang sarat dengan perlambangan boleh digunakan untuk mengajarkan kemahiran berfikir analogi kepada pelajar-pelajar.

b) SyairGuru-guru tidak perlu risau tentang bahan syair. Sudah banyak buku syair yang telah diterbitkan oleh DBP, antaranya Adun Nan Alun Sebahtera, Rampaian Laila Syair, Syair Asli Rajang Hari, Syair Nasihat, Syair Perlembagaan Negeri Brunei, Syair Kumala Syukur (syair remaja), Syair Madah Permata, Syair Rajang, Syair Ristaan, Syair Si Mercu Gunung. Di antara syair-syair yang kita miliki, Syair Rakis merupakan syair yang cukup berpengaruh. Namun, remaja-remaja kita pada masa ini tidak mengenali syair ini apatah lagi pernah mendengar bait-baitnya. Sedangkan, jika diteliti isinya, terlalu banyak nilai dan pengajaran yang perlu disemaikan kepada pelajar-pelajar (lihat Dr. Haji Hashim, 1995 dan Rozaiman Makmun, 2000).

c) PerambahanBuku bertajuk Perambahan Brunei kini telah diterbitkan oleh DBP pada tahun 1998. Buku ini berharga $4.00. Dengan harga sedemikian sudah tentu meringkankan guru-guru untuk membelinya. Walaupun perambahan sebenarnya peribahasa, namun istilah perambahan lebih mewakili pandangan hidup masyarakat Brunei, lebih-lebih lagi dari segi pemilihan kata. Selain mengajarkan maksud perbandingan, kosa kata Melayu Brunei juga boleh diajarkan.

d) Diangdangan / HikayatSeperti bangsa Melayu di negara jiran, bangsa Melayu di Brunei juga memiliki hikayat penglipur lara. Dahulu, hikayat ini disampaikan dengan iringan dombak secara berlagu (A.B. Ahmad, 1989). Genre ini dikenali sebagai diangdangan dalam kalangan bangsa Melayu Brunei dan balabai dalam kalangan Melayu Kadayan. Antara sumber yang boleh guru gunakan ialah Hikayat Awang Kamaruddin, Diangdangan Bujang Sigandam, Awang Si Linong, Si Bujang Maliwala, Hikayat Awang Si Ambok, Hikayat Awang Si Kanak, Hikayat Dang Suasa, Hikayat Seri Rama, dan sebagainya. Diangdangan disarati dengan gaya bahasa berirama. Gambaran kecantikan, pakaian, perkahwinan, ruang istana, ruang beradu, peralatan perang disampaikan melalui pemilihan kata yang hidup dan pemerian deskriptif yang jelas. Gaya ini boleh dijadikan asas pengajaran karangan deskriptif kepada pelajar. Dengan cara yang sama pelajar boleh menggambarkan suasana kampung, aktiviti gotong-royong, keindahan Bandar Seri Begawan dan sebagainya. e) Cerita RakyatCerita rakyat yang dibukukan sudah banyak, antaranya Ahmad dan Mohammad, Aman dengan Kemala Ular, Awang Alak Betatar, Asal Usul Padi, Buaya dengan Alu, Ikan Patin, Kisah Dua Beradik, Kisah Pulau Labi-Labi, Kisah Si Palui, Malik Sulaiman, Nakhoda Manis, Wasai Tujuh dan banyak lagi. Cerita rakyat sangat sesuai untuk dijadikan bahan ajar di peringkat rendah dan menengah bawah.

f) Sastera Sejarah atau HistoriografiSyair Yang Di-Pertuan merupakan karya historiografi Brunei. Karya ini, antaranya, mencatatkan keberangkatan Sultan Sir Muhammad Jamalul Alam ke Singapura (Rozaiman Makmun, 2000). Selain itu, Salsilah Raja-Raja Brunei mampu memberikan pengetahuan tentang perkembangan sejarah dan kekuatan pemerintahan raja-raja Brunei (Siti Hawa Haji Salleh, 1990) kepada pelajar.

7

Page 8: Studies in Education 2007 Bahasa Dan Bahan Sastera

g) Sastera EpikPelajar tingkatan enam disuguhkan dengan karya agung Hikayat Hang Tuah, sudah tiba masanya untuk menyuguhkan pelajar menengah bawah dengan Syair Awang Semaun sebagai epik Melayu Brunei. Keistemewaan Syair Awang Semaun terletak pada bentuk. Jika sastera epik di seluruh Nusantara menggunakan bentuk prosa, SAS pula wujud dalam bentuk puisi. Selain itu, watak Awang Semaun tidak hanya terdapat dalam SAS tetapi ada disebutkan dalam karya luar negara, iaitu Hikayat Datuk Merpati (Haji Abdul Hamid Jaludin, 1998). Jika selama ini kita hanya disuguhkan Hikayat Hang Tuah sebagai epik bangsa Melayu dan Hikayat Amir Hamzah sebagai epik Islam, sudah tiba masanya bangsa Melayu Brunei mengenali epiknya, iaitu Syair Awang Semaun. Selain itu, melalui syair ini, pelajar-pelajar akan mengetahui peranan wira ini dalam sejarah pemerintahan sultan Brunei pertama, iaitu Awang Alak Betatar atau Sultan Muhammad.

Kesusasteraan Melayu Moden Brunei

Dewan Bahasa dan Pustaka merupakan institusi kerajaan yang sudah sinonim dengan usaha penerbitan karya-karya kesusasteraan. Karya sastera seperti sajak, cerpen dan drama sentiasa mendapat ruang khusus yang diperuntukkan, antaranya dalam Bahana, Juara dan dalam bentuk antologi. Karya novel dan drama diterbitkan dalam bentuk buku tunggal. Berikut ini disenaraikan beberapa buah karya sastera yang boleh dijadikan bahan ajar dalam pengajaran bahasa.

a) Sajak / PuisiUntuk peringkat rendah, antologi sajak dan puisi yang boleh digunakan, antaranya ialah Azam dan Doa, Doa Anak Soleh, Laju Perahu Laju, Merpatiku Sayang, Naindong Anak Pintar dan Tanahairku. Bagi peringkat menengah pula, antara yang sesuai ialah Bulan Tanpa Madu, Dari Bintang Ke Bintang, Hasrat Merdeka, Kembara Merdeka, Pelari 3, Rindu Buat Seorang Ibu, Simfoni Batang Buruk, Suara Di Ambang Senja, dan Tiada Lagi Perjalanan.

b) CerpenDBP sudah menerbitkan puluhan antologi cerpen yang boleh digunakan untuk peringkat rendah, menengah bawah dan menegah atas. Antara antologi yang boleh digunakan ialah Apabila Sungai Mengalir, Basikal Idaman, Bumi Warisan, Di Hujung Pertemuan, Dunia Indahku, Harga Kemanusiaan, Jalan Bengkok Ke Rumah, Meniti Arus Badai, Meniti Gugusan Rasa (pernah dijadikan buku teks kesusasteraan), Periode Awal Brunei Darussalam, Titian, dan Sawah Warisan.

c) NovelNovel merupakan karya yang terbanyak diterbitkan oleh DBP. Novel-novel Brunei sudah begitu maju sehingga berjaya menggunakan pelbagai teknik dan aliran penulisan. Untuk peringkat rendah, novel Kapal yang Tersorok di Pantai dan Misteri Kapal Buruk boleh digunakan. Bagi peringkat menengah pula, terdapat banyak pilihan, antara yang sesuai ialah Kembali Mengabdi, Mencari Sinar Fajar, Meniti Jalur-jalur Impian, Meniti Sebuah Harapan, Segaya Kita Berjaya, Sebuah Pondok di Bukit Kota, Harapan dan banyak lagi.

d) DramaTerdapat beberapa buah antalogi drama dan teater yang diterbitkan oleh DBP, antaranya Dayang Ayang dan Tabung Pecah. Antologi drama untuk remaja pula, Ika, Kiambang Bertaut, Taman ‘O’ dan Sinar Sepanjang Jalan boleh dimanfaatkan. Manakala bagi peringkat menengah atas, antologi drama Pengiran Indera Mahkota dan Sasterawan Bangsa sangat sesuai digunakan.

8

Page 9: Studies in Education 2007 Bahasa Dan Bahan Sastera

Teknik dan Aktiviti BAHTERA

Teknik digunakan dalam proses pengajaran untuk melicinkan kaedah pengajaran yang telah dirancang. Teknik merupakan pelaksanaan pengajaran dan pemelajaran yang bersifat praktikal. Ia bukan berupa andaian (pendekatan) dan tatacara (kaedah). Hal ini bermakna teknik merupakan pelaksanaan praktis andaian dan tatacara yang telah dirancang. Teknik berkaitan secara langsung dengan langkah-langkah pengajaran guru dan aktiviti pemelajaran pelajar. Jika teknik perbincangan digunakan, maka guru akan memilih sama ada teknik itu digunakan dalam aktiviti perbincangan keseluruhan kelas, perbincangan secara berpasangan atau perbincangan berkumpulan. Jika teknik main peranan digunakan, guru akan memilih sama ada menggunakan aktiviti main peranan dalam bentuk lakonan, improvisasi, rekonstruksi, pantomin, atau simulasi. Berikut ini akan dijelaskan beberapa jenis teknik dan aktiviti sambil mengaitkannya dengan aspek pengajaran yang tertentu. a) Teknik dan aktiviti berkaitan pengetahuan bahasaBagi mengajarkan jenis ayat bahasa Melayu, bahan sastera seperti petikan dialog dari cerpen, novel, hikayat dan drama boleh dimanfaatkan. Dalam dialog terdapat penggunaan jenis ayat penyata, ayat tanya, ayat seru dan ayat perintah. Teknik dialog yang digunakan boleh dijalankan melalui aktiviti lakonan.

Bagi mengajarkan jenis kata bahasa Melayu atau kosa kata, bahan sastera seperti pantun, puisi tradisional dan sajak boleh digunakan. Contoh-contoh jenis kata bahasa Melayu seperti kata nama, kata kerja, kata adjektif dan kata sendi mudah didapati dalam bahan sastera di atas. Teknik pembedahan atau analisis teks dan medan kata boleh dijalankan melalui aktiviti perbincangan keseluruhan kelas atau perbincangan berkumpulan. Teknik ini dikenali juga sebagai teknik sumbang saran yang berasaskan kaedah koperatif.

Bagi mengajarkan penanda wacana atau kata hubung, bahan sastera berbentuk cerpen boleh digunakan. Dalam cerpen, penanda wacana seperti selepas itu, kemudian, sedang, lalu, sejak, namun, dan sebagainya itu digunakan oleh pengkarya dengan cara yang menarik, penuh gaya dan berkesan. Penggunaan penanda wacana dalam cerpen boleh menjadi model yang baik kepada pelajar. Teknik Model (Teks terpilih) ini boleh diaplikasikan dalam aktiviti mencipta atau menulis cerpen baik secara individu mahupun berkumpulan. b) Teknik dan aktiviti berkaitan kemahiran mendengar dan bertuturKemahiran mendengar dan bertutur boleh dipertingkatkan melalui teknik mendeklamasi puisi, teknik bercerita, teknik bersoal-jawab, teknik perbincangan dan sebagainya. Teknik-teknik ini boleh dijalankan melalui aktiviti mendengar atau menyampaikan cerita, aktiviti mendeklamasi puisi secara individu, berpasangan atau berkumpulan. Untuk menghidupkan suasana, deklamasi puisi boleh diiringi dengan latar muzik. Dengan teknik dan aktiviti ini, pelajar-pelajar akan dilatih tentang aspek sebutan, intonasi, nada, tekanan, penggalan suku kata dan hentian yang tepat dan sesuai. Bahan sastera yang boleh digunakan antaranya sajak, pantun, petikan dialog dalam cerpen, drama, novel dan hikayat. Aktiviti menambang syair dan nyanyian juga boleh dijalankan baik secara individu mahupun menggunakan teknik korus.

c) Teknik dan aktiviti berkaitan kemahiran membaca dan menulisKemahiran membaca dan menulis boleh diajarkan melalui pelajaran kefahaman. Guru boleh menggunakan cerpen, petikan novel atau hikayat. Teknik membaca mekanis dan korus bagi peringkat rendah boleh digunakan manakala bagi peringkat menengah teknik membaca akliah boleh dijalankan. Aktiviti perbincangan berpasangan atau berkumpulan boleh dilaksanakan diikuti aktiviti menjawab soalan kefahaman secara bertulis. Soalan kefahaman yang boleh diajukan kepada pelajar antaranya yang berkaitan dengan watak dan perwatakan, tindak-tanduk watak, latar, peristiwa yang berlaku, persoalan yang dikemukakan, tema dan nilai-nilai yang ingin disampaikan oleh pengkarya. Selain kefahaman, aktiviti menghasilkan cerpen boleh

9

Page 10: Studies in Education 2007 Bahasa Dan Bahan Sastera

dicuba. Melalui pembacaan dan kefahaman pelajar tentang teknik-teknik penceritaan, penggunaan gaya bahasa yang menarik, penyusunan peristiwa atau plot, pelajar-pelajar diminta untuk mengaplikasi pengetahuan tersebut untuk menghasilkan cerpen. Di samping cerpen, pelajar juga boleh mencuba untuk menghasilkan pantun, syair dan sajak.

d) Teknik dan aktiviti berkaitan kemahiran afektif dan psikomotorTeknik dan aktiviti yang melibatkan aspek afektif dan psikomotor merupakan kegiatan yang lebih praktis dan aktif. Antara aktiviti yang sesuai ialah lakonan, pantomin, drama muzikal, improvisasi dan rekonstruksi peristiwa. Melalui aktiviti ini, pelajar-pelajar berpeluang untuk melatih gerakan tubuh sesuai dengan tindakan watak serta menjiwai perwatakan watak serta penggunaan mimik muka, ekspresi bahasa dan nada suara yang sesuai dengan dialog yang diucapkan.

e) Teknik dan aktiviti berkaitan kemahiran berfikirTerdapat pula teknik dan aktiviti yang lebih menekankan aspek kemahiran berfikir, antaranya teknik sumbang saran, teknik analisis kesalahan bahasa, teknik pembedahan teks, teknik perbincangan, teknik soal jawab, teknik perbahasan, teknik komentar dan sebagainya. Teknik-teknik ini sebaiknya dilaksanakan melalui aktiviti berkumpulan menggunakan Kaedah Kolaboratif atau Kaedah Koperatif. Untuk menjalankan aktiviti ini, tugas setiap ahli kumpulan perlu ditetapkan terlebih dahulu. Arahan yang jelas perlu diberikan, begitu juga dengan objektif yang ingin dicapai.

Strategi Penggabungjalinan dan Penyerapan

Strategi dalam pengajaran dan pemelajaran diperlukan dengan harapan untuk menghasilkan kesan yang optimum. Proses pengajaran dan pemelajaran tidak hanya memerlukan penentuan pendekatan dan kaedah; tidak hanya memerlukan pelaksanaan teknik dan aktiviti; malah juga kebolehan memanipulasi strategi. Kini, pengajaran dan pemelajaran lebih berpusatkan pelajar; lebih melibatkan pelbagai kemahiran sekali gus; berlangsung dalam suasana yang lebih menyeronokkan dan merangsang minat pelajar; lebih memerlukan konteks; dan berupaya menghubungkan aspek atau isi pelajaran dengan pengalaman dan pengetahuan sedia ada pelajar. Berdasarkan tuntutan yang tersebut di atas, maka pengajaran dan pemelajaran lebih sesuai dilaksanakan menggunakan strategi penggabungjalinan dan penyerapan.

Pengajaran dan pemelajaran BAHTERA yang diharapkan mampu menggabungjalinkan unsur-unsur bahasa dan sastera; mampu menggabungjalinkan kemahiran berbahasa; dan mampu menggabungjalinkan pelbagai teknik dan aktiviti. Di samping itu, pengajaran dan pemelajaran BAHTERA juga mampu menyerapkan ilmu dan nilai yang terkandung dalam karya sastera. Berikut ini disediakan jadual yang menunjukkan penggabungjalinan dan penyerapan unsur-unsur yang telah dijelaskan di atas.

10

Page 11: Studies in Education 2007 Bahasa Dan Bahan Sastera

Jadual I: Gabungjalin dan Penyerapan Bahan Sastera

Bahan Sastera

Unsur Sastera

Aspek Bahasa

Kemahir-an Berbahasa

Peringkat Kognitif

Penyerapan Nilai

Teknik dan Aktiviti

Sajak

Pantun

Syair

Peri-Bahasa

TemaGaya BahasaPerlam- bangan

RimaJenis PantunPemba- yang maksudPersoalan

RimaPersoalan

Jenis Peribaha- saMaksudPerlam- bangan

Kosa kataJenis kataFrasaSeman- tik

Kosa kataJenis kata

Kosa kataJenis kata

Seman- tik

Men- dengarBertuturMembacaMenulis

Men- dengarBertuturMembacaMenulis

Men- dengarBertuturMembacaMenulis

Men- dengarBertuturMembacaMenulis

Mentafsir

Mentafsir

Apresiasi

Mentafsir

Nasional- ismeAkhlakKasih sayang

NasihatKasih sayangBudiKebudaya- an

NasihatKetaatanKetekunanUsahaSejarah

Mesra alamPandang- an hidup Melayu

Mendekla- masi

Berbalas pantunTeka-teki

Bersyair

Membina ayatMemadan- kan ayatMemadan- kan maksudMemadan- kan gambarKuizMenulis karangan

11

Page 12: Studies in Education 2007 Bahasa Dan Bahan Sastera

Jadual I: Sambungan

CerpenNovel

Drama

CeritaKlasik:HikayatBinatangEpikLagendaSejarah

TemaPersoalanTeknikWatak dan perwa- takan

TemaPersoalanWatak dan perwa- takanDialogMonologMultilog

TemaPersoalanPengajar- anWatak dan perwa- takanLatar tempatLatar masya- rakatLatar budayaLatar peralat- an

Karang- an Tataba- hasaSemantikKohesiKoheren

Kosa kataJenis kataIntonasiJenis ayatBinaan ayatRagam ayat

Memo- denkan bahasa

Men- dengarBertuturMembacaMenulis

Men- dengarBertuturMembacaMenulis

Men- dengarBertuturMembacaMenulis

Meng- aplikasi teknik penulis- anMeng- analisis

Meng- hayatiMenilaiMeng- kritik

Apresiasi

Nasional- ismeNasihatKasih sayangKekeluar- gaan

NasihatKasih sayangKekeluar- gaan

SejarahKebuda- yaanNasional- ismeKepahla- wananKeyakinanKeazamanKetaatanJati diri

BerceritaBerbin- cang

Berlakon Menghasil -kan skrip pendek

Berbin- cangImprovi- sasiMain perananTeater

12

Page 13: Studies in Education 2007 Bahasa Dan Bahan Sastera

Kesimpulan

Keperluan untuk menyerapkan bahan sastera dalam pengajaran bahasa sangat penting kerana tidak semua pelajar berkesempatan untuk menikmatinya. Kedudukan subjek Bahasa Melayu sebagai subjek wajib di peringkat sekolah perlu dimanfaatkan sebaik-baiknya oleh guru bahasa untuk menyerapkan bahan sastera. Hal ini sebenarnya telah dituntut pelaksanaannya seperti yang dimaksudkan dalam objektif Sukatan Pelajaran Bahasa Melayu. Sikap kurang berminat terhadap kesusasteraan pada sebilangan guru bahasa perlu diinsafi kerana bahasa kesusasteraan itu merupakan kemahiran penggunaan bahasa yang tertinggi yang perlu dikuasai, bukan sahaja oleh pelajar malahan guru bahasa itu sendiri. Di samping itu, nilai-nilai kehidupan bangsa Melayu yang terkandung dalam kesusasteraan perlu disemai ke dalam jiwa pelajar bagi menyeimbangi nilai-nilai kemajuan barat yang tidak akan terelakkan. Pelajar-pelajar perlu maju dalam Sains, Teknologi Komunikasi dan Maklumat, Ekonomi dan seumpamanya, namun, belahan jiwa kemanusiaan mereka perlu diisi dengan agama dan sastera.

Rujukan dan Bahan Bacaan

Ahmad, A.B. (1989). ‘Diangdangan sastera orang bunian’ dalam Budaya Bangsa. Halaman 33-37. Bandar Seri Begawan: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Abdul Hamid Mahmood, Ab. Rahman Ab. Rashid (2002). ‘Teknik pengajaran sastera dalam bahasa Melayu.’ Dalam Jurnal Dewan Bahasa. Jun 2002:12-17. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Mohammad Haji Timbang, A. (1995). ‘Siti Aida’ dalam Bahana. Julai 1995. Bandar Seri Begawan: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Ampuan Haji Brahim Ampuan Haji Tengah (1995). Pamor. Bandar Seri Begawan: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Awang Haji Yahya Haji Ibrahim, Yang Dimuliakan Pehin Siraja Khatib Dato Paduka seri Setia Ustaz (1998). Menghayati Sastera Islam Abad Ke-21. Bandar Seri Begawan: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Badaruddin H.O. (1998). Episod-episod Si Awang. Bandar Seri Begawan: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Dewan Bahasa dan Pustaka, (1993). Pelari 3: Antologi puisi remaja. Bandar Seri Begawan: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Dewan Bahasa dan Pustaka, (1993). Sasterawan Bangsa: Antologi Drama. Bandar Seri Begawan: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Abdul Hamid Jaludin, Haji (1998). ‘Perbandingan Syair Awang Semaun dengan Karya-karya dalam dan luar Negari’ dalam Pangsura, Januari-Jun 1998, Bil. 6 Jil. 4. Bandar Seri Begawan: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Hashim Haji Abdul Hamid, Dr. Haji (1998). ‘Sastera Brunei: Sarana Pembinaan Bangsa’ dalam Pangsura, Januari-Jun 1998, Bil. 6 Jil. 4. Bandar Seri Begawan: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Hashim Bin Haji Abd. Hamid, Dr. Haji (2001). Lanang Beladu Lanang. Bandar Seri Begawan: Jabatan Kesusasteraan Melayu, Universiti Brunei Darussalam.

Hashim Awang (1998). ‘Teori dan Kritikan Kesusasteraan Melayu Di Malaysia’ dalam Pangsura, Januari-Jun 1998, Bil. 6 Jil. 4. Bandar Seri Begawan: Dewan Bahasa dan Pustaka.

13

Page 14: Studies in Education 2007 Bahasa Dan Bahan Sastera

Jabatan Perkembangan Kurikulum, (1994a). Sukatan Pelajaran Bahasa Melayu: Sekolah Menengah Bawah (Menengah I, II dan III). Bandar Seri Begawan: Jabatan Perkembangan Kurikulum, Kementerian Pendidikan, Negara Brunei Darussalam.

Jabatan Perkembangan Kurikulum, (1994b). Sukatan Pelajaran Bahasa Melayu: Sekolah Menengah Atas (Menengah IV dan V). Bandar Seri Begawan: Jabatan Perkembangan Kurikulum, Kementerian Pendidikan, Negara Brunei Darussalam.

Jabatan Perkembangan Kurikulum, (2003). Cermin Diri: Antologi Sajak. Bandar Seri Begawan: Jabatan Perkembangan Kurikulum, Kementerian Pendidikan, Negara Brunei Darussalam.

Jabatan Perkembangan Kurikulum, (2006). Sukatan Pelajaran Bahasa Melayu: Sekolah-sekolah Rendah (Darjah I hongga VI). Bandar Seri Begawan: Jabatan Perkembangan Kurikulum, Kementerian Pendidikan, Negara Brunei Darussalam.

Lutfi Abas (1979). ‘Analisa Wacana Sebuah Cerpen’ dalam Dewan Sastera, Disember 1979. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Lutfi Abas (2004). Hujah Dalam Karangan. Bandar Seri Begawan: Universiti Brunei Darussalam.

Mahmudamit (1997). ‘Langit Senja’ dalam Bahana. Disember 1997. Bandar Seri Begawan: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Nik Safiah (2002). ‘Sastera dalam pengajaran bahasa Melayu.’ Dalam Jurnal Deawan Bahasa. Oktober 2002: 34-39. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Othman Puteh, (1993). Penulisan Cerpen: Visi dan Langgam. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Puasha (2002). ‘Temarok’ dalam Bahana. November-Disember 2002. Bandar Seri Begawan: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Rahim Dulani, (1987). Hikayat Awang Si Kanak. Bandar Seri Begawan: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Rozaiman Makmun (2000). ‘Kesusasteraan Klasik Brunei: Gambaran Masyarakat Brunei Masa Lalu.’ Dalam Pangsura. Julai-Disember 2000: 43-69. Bandar Seri Begawan: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Rozaiman Makmun (2000). Kajian Stilistik dan Tema Novel Sumbangsih Seni Berdasarkan Aliran Seni , Latihan Ilmiah di Jabatan Kesusasteraan Melayu, Fakulti Sastera dan Sain Sosial, Universiti Brunei Darussalam.

Shahnon Ahmad (1981). Kesusasteraan dan Etika Islam. Petaling Jaya: Fajar Bakti.

14