pernyataan profesional
DESCRIPTION
pernyataan professional praktikumTRANSCRIPT
PERNYATAAN PROFESIONAL
Nama : Mohd Hamdan Bin Pallao
Major : Pendidikan Jasmani
Sebelum Praktikum
Program praktikum saya telah diadakan di Sekolah Kebangsaan Sebandi Ulu,
Asajaya. Sebagai salah seorang guru pelatih di Institut Pendidikan Guru Kampus Tun
Abdul Razak, Kota Samarahan saya wajib menjalani latihan mengajar ataupun
praktikum selama Sebulan bagi Fasa 1 dari 13 April 2015 sehingga 08 mei 2015.
Praktikum ini adalah untuk subjek major iaitu Pendidikan Jasmani. Latihan praktikum ini
dilaksanakan sebagai memenuhi syarat yang telah ditetapkan oleh Institut Pendidikan
Guru.
Antara perkara yang saya perlu lalui sebelum menjalankan praktikum ini ialah
sesi taklimat bersama unit praktikum. Sesi taklimat ini telah berlangsung seminggu
sebelum kami semua berpraktikum di Dewan Sadong jaya IPGKTAR. Sesi taklimat
praktikum ini disampaikan oleh Encik Syawal bin Achong bagi memberikan maklumat
berkaitan praktikum fasa yang pertama ini. Untuk taklimat praktikum kali ini, penekanan
adalah berkenaan prosedur perlaksanaan praktikum peranan dan tanggungjawab
pelajar, kehadiran praktikum, wajaran praktikum dan garis panduan perlaksanaan
kokurikulum di sekolah.
Selain itu, antara persediaan penting yang telah saya lakukan sebelum
menjalankan sesi praktikum yang pertama ini adalah membuat persediaan dari segi
mental dan fizikal. Pengalaman semasa menjalani Pengalaman Berasaskan Sekolah
(PBS) pada semester-semester sebelum ini menjadi panduan untuk saya menyelami
dan menganalisis murid-murid nanti. Perasaan takut dan kekok bukan lagi masalah tapi
keinginan untuk lebih mesra dengan warga sekolah merupakan aspek yang ingin saya
tekankan kelak. Saya juga berharap sepanjang tempoh praktikum ini, saya akan dapat
menjalinkan hubungan baik dengan seluruh warga Sekolah Kebangsaan Sebandi Ulu
walaupun saya bukan berasal dari Sarawak . Untuk persediaan dari segi fizikal pula,
saya perlulah bersedia untuk sentiasa konsisten datang awal pada setiap hari
sepanjang tempoh praktikum. Walaupun jarak antara sekolah dan rumah sewa adalah
dalam 20 km, saya akan pastikan kehadiran sepanjang tempoh praktikum adalah
konsisten awal.
Sepanjang tempoh praktikum ini juga, saya berharap agar dapat sentiasa
mengemaskini portfolio praktikum dan semua buku rancangan pengajaran harian setiap
hari dan minggu tanpa bertangguh. Perkara ini penting agar dapat mendisiplinkan diri
selepas tamat praktikum kelak.
Antara harapan saya untuk membina jati diri guru ialah dapat menyesuaikan diri
dengan persekitaran sekolah. Selain itu, Kehadiran saya ke sekolah itu akan dapat
diterima oleh guru-guru, murid-murid dan kakitangan sekolah. Untuk itu, saya perlu
menunjukkan sikap mesra terhadap warga sekolah untuk membina hubungan baik
antara saya dan warga sekolah. Disamping itu, saya dapat menjalinkan hubungan
profesional dengan guru-guru dan kakitangan sekolah. Hubungan profesional ini dapat
dijalin dengan bekerjasama dengan pihak sekolah dalam melaksanakan aktiviti-aktiviti
yang berkaitan. Sebagai bakal guru, azam dan harapan saya melalui latihan praktikum
ini ialah untuk membina dan meningkatkan jati diri seorang guru. Untuk membina jati
diri ini, saya perlu memperolehi pelbagai pendedahan dalam pelbagai bidang berkaitan
perguruan dan pendidikan secara amnya, Pendidikan Jasmani di sekolah khususnya.
Selain itu, dalam praktikum ini juga, saya berharap akan dapat memahami dan
mengenali sedalamnya mengenai budaya murid dan guru serta suasana di sekolah
rendah sebagai pendedahan dan pengalaman awal sebelum saya ditauliahkan sebagai
seorang guru nanti.
Pendedahan awal sangat penting kepada bakal guru supaya teknik pengajaran
dapat dijalankan dengan betul mengikut ketetapan yang telah ditetapkan oleh
Kementerian Pelajaran Malaysia.
Semasa Praktikum
Setelah seminggu menjalani latihan praktikum, masih banyak perkara yang perlu
saya perbaiki terutamanya dari aspek penulisan rancangan pengajaran harian.
Berbekalkan panduan dari pensyarah penyelia, guru pembimbing serta rakan-rakan,
saya akan sentiasa cuba sedaya upaya untuk melakukan yang terbaik dan bersungguh-
sungguh sepanjang tempoh praktikum ini. Tempoh praktikum yang berbaki 3 minggu
sahaja lagi terasa semakin dekat namun masih banyak lagi tugasan-tugasan yang
belum saya laksanakan. Setiap kali selepas penyeliaan, pasti saya akan memperolehi
ilmu yang baru dan perlu saya perbaiki. Sepanjang tempoh praktikum juga, hubungan
saya dengan masyarakat sekitar semakin akrab. Malahan saya semakin rapat dengan
murid-murid saya. Saya juga perlu bijak menguruskan masa agar dapat menguruskan
semua tugasan dengan konsisten.
Sepanjang menjalani latihan praktikum, saya semakin jelas dengan kaedah dan
teknik yang perlu disesuaikan dengan latar belakang murid-murid saya. Aktiviti-aktiviti
yang dilaksanakan juga perlu bersifat dua hala agar saya dapat membentuk jati diri
murid-murid berani memberi jawapan mahupun pendapat. Saya sedar, murid-murid di
luar bandar agak rendah tahap keyakinan diri. Justeru, dengan perancangan
pengajaran dan pembelajaran yang konsisten, saya akan cuba sedaya upaya untuk
melatih mereka menjadi berani untuk mencuba sesuatu yang baik.
Selain itu, perkara penting yang perlu saya beri tumpuan adalah untuk kuasai
perancangan pengajaran dan pembelajaran. Saya sedar jika perancangan saya hanya
sekadar melepaskan batuk di tangga, pastinya anak murid saya pulang dengan “otak
kosong” bagi subjek saya. Prinsip yang cuba saya tanamkan bagi anak-anak didik saya,
saya akan pastikan mereka pulang dengan menguasai kemahiran yang saya ajar pada
hari tersebut dengan lakuan yang betul.
Dalam tempoh praktikum juga, saya sedar bahawa untuk mengajar kita perlu
membuat persediaan yang rapi agar pengajaran dan pembelajaran dapat dilaksanakan
dengan lancar dan mendapat hasil pembelajaran yang eksplisit. Jelas sekali kejayaan
pengajaran dan pembelajaran sesuatu sesi pembelajaran akan bermula dari guru yang
konsisten dengan perjuangannya. Dengan platform ini juga, sedikit sebanyak sikap
suka membuat kerja “last minute” dapat dikikis. Tambahan lagi, mengajar murid-murid
berkeperluan khas dapat melatih saya agar cuba berfikiran secara kreatif dan berfikir di
luar kotak. Walaupun saya sedar, saya agak sukar serta tidak mampu untuk melahirkan
idea yang sebegitu namun saya akan cuba sedaya upaya saya.
Seiring dengan perubahan zaman globalisasi menuntut saya agar lebih peka
dengan dunia teknologi, maklumat dan komunikasi (TMK) untuk diterapkan semasa
sesi pengajaran dan pembelajaran selain melakukan inovasi dalam PdP. Justeru saya
perlu sentiasa mencuba untuk mencari strategi yang menarik agar mereka
bersemangat ketika belajar dan berasa seronok.