assignment yew

17
Menurut Mohd Sohaimi Isa (2011), perpaduan merujuk sebagai satu proses yang menyatupadukan seluruh masyarakat dan negara supaya setiap anggota masyarakat dapat membentuk satu identiti dan nilai bersama serta perasaan cinta dan banggakan tanah air. Perpaduan dapat diertikan sebagai hubungan erat bersifat toleransi yang diwujudkan secara sengaja dalam kalangan kaum dan etnik yang berbeza untuk mencapai matlamat bersama secara jujur dan ikhlas. Dalam kata lain perpaduan adalah proses menyatupadukan seluruh masyarakat untuk membentuk satu identiti dan nilai bersama serta perasaan cinta dan banggakan negara. Perpaduan rakyat menjadi satu cabaran utama yang dihadapi oleh kerajaan Malaysia. Isu perpaduan adalah perkara utama dari sembilan cabaran utama untuk mencapai matlamat Wawasan 2020 yang berbunyi “ Mewujudkan bangsa Malaysia yang bersatu padu yang mempunyai matlamat yang serupa dan boleh dikongsi bersama, berintegrasi diperingkat wilayah dan antara kaum, berasaskan persamaan hak dan keadilan”. Sekolah merupakan satu pusat integrasi antara pelajar pelbagai kaum. Ia bukan sahaja tempat untuk menimba ilmu malah ia juga menjadi alat memupuk perpaduan di kalangan pelajar. Untuk itu, sekolah turut dapat mewujudkan perpaduan bagi membentukkan dan memperkukuhkan hubungan pelbagai kaum. Hal ini demikian agar perpaduan 1

Upload: noormardiana

Post on 03-Oct-2015

242 views

Category:

Documents


4 download

DESCRIPTION

j

TRANSCRIPT

Menurut Mohd Sohaimi Isa (2011), perpaduan merujuk sebagai satu proses yang menyatupadukan seluruh masyarakat dan negara supaya setiap anggota masyarakat dapat membentuk satu identiti dan nilai bersama serta perasaan cinta dan banggakan tanah air.

Perpaduan dapat diertikan sebagai hubungan erat bersifat toleransi yang diwujudkan secara sengaja dalam kalangan kaum dan etnik yang berbeza untuk mencapai matlamat bersama secara jujur dan ikhlas. Dalam kata lain perpaduan adalah proses menyatupadukan seluruh masyarakat untuk membentuk satu identiti dan nilai bersama serta perasaan cinta dan banggakan negara.

Perpaduan rakyat menjadi satu cabaran utama yang dihadapi oleh kerajaan Malaysia. Isu perpaduan adalah perkara utama dari sembilan cabaran utama untuk mencapai matlamat Wawasan 2020 yang berbunyi Mewujudkan bangsa Malaysia yang bersatu padu yang mempunyai matlamat yang serupa dan boleh dikongsi bersama, berintegrasi diperingkat wilayah dan antara kaum, berasaskan persamaan hak dan keadilan.

Sekolah merupakan satu pusat integrasi antara pelajar pelbagai kaum. Ia bukan sahaja tempat untuk menimba ilmu malah ia juga menjadi alat memupuk perpaduan di kalangan pelajar. Untuk itu, sekolah turut dapat mewujudkan perpaduan bagi membentukkan dan memperkukuhkan hubungan pelbagai kaum. Hal ini demikian agar perpaduan serta integrasi dapat dipupuk sejak dari bangku sekolah kepada pemimpin masa hadapan.

Banyak sekolah di negara ini mempunyai pelajar berbilang kaum, yang menjadi tempat mulanya perkenalan kanak-kanak dan remaja dengan rakan-rakan dan remaja pelbagai kaum. Awalnya di sekolah jugalah mereka belajar dan mula tahu mengenai adat resam, budaya dan agama rakan-rakan daripada kaum lain. Tambahan pula, persahabatan terjalin mesra dalam pergaulan mereka tanpa berasa harus ada pengasingan atau peminggiran atas dasar kelainan itu. Pengalaman berkawan dengan rakan daripada kaum lain di alam persekolahan ini membina perspektif unik dalam diri kanak-kanak dan remaja sehinggalah dewasa apabila mereka mudah menerima serta mesra dalam pergaulan dengan rakan-rakan dari kaum yang lain.Sebagai seorang pendidik, melalui pengalaman dan pemerhatian saya sendiri, didapati terdapat beberapa usaha dan inisiatif yang dijalankan di sekolah yang dapat mewujudkan kerjasama dalam perpaduan bagi membentukkan dan memperkukuhkan hubungan pelbagai kaum dalam kalangan murid-murid. Antaranya termasuklah, aktiviti kurikulum yang seragam, aktiviti pengajaran dan pembelajaran, gotong-royong, penggunaan kemudahan sekolah, sambutan perayaan, aktiviti kokurikulum, aktiviti sukan, perkhemahan, program anak angkat, program integrasi, penubuhan Kelab Rukun Negara, Program Penyayang, Pelaksanaan Rancangan Integrasi Murid Untuk Perpaduan (RIMUP) dan seumpamanya.Kurikulum seragam yang dibina bukan sahaja bertujuan untuk memberikan ilmu pengetahuan dan maklumat berbentuk akademik sahaja, bahkan memupuk semangat perpaduan. Kurikulum ini berorientasiakan suasana Malaysia. Misalnya, mata pelajaran Pendidikan Islam, Pendidikan Syariah Islamiah, Pendidikan Al-Quran dan As-Sunnah serta Pendidikan Moral yang diperkenalkan dapat mengukuhkan pegangan agama, menanam sifat-sifat mulia seperti tolong-menolong, bekerjasama dan berfikiran optimis serta membentuk tingkah laku yang bersopan santun dan saling menghormati sesama manusia. Mahukah rakyat negara kita bersikap seperti kacang hantu? Yang hanya menambahkan lagi masalah di negara kita secara tidak langsung mencemarkan nama baik negara. Janganlah kita semua memandang mudah terhadap peranan pendidikan seperti sekolah dalam mewujudkan semangat perpaduan kerana pendidikan merupakan benteng utama insan daripada ditipu oleh musuh-musuh negara yang berhajat untuk menghancurkan perpaduan kaum di negara kita. Mahukah perkara ini berlaku kepada kita dan generasi akan datang? Fikirkanlah, sesungguhnya melalui pendidikan sahaja yang dapat menjamin keutuhan perpaduan dalam kalangan masyarakat Malaysia. Hanya sistem pendidikan memainkan peranan penting dalam pemupukan semangat perpaduan agar negara terpelihara daripada tipu helah pihak musuh.

Selain itu, perpaduan di peringkat sekolah dapat dicapai melalui pelaksanaan kurikulum yang seragam untuk semua sekolah. Kurikulum boleh dikatakan sebagai bidang pelajaran di sekolah. Menurut Mok Soon Sang, kurikulum merangkumi pengalaman kehidupan nyata dan tidak nyata yang diplih, diorganisasi dan disusun oleh sarjana pendidikan dan pakar kurikulum dengan secara teliti dan profesional, demi menjadikan pelbagai jenis aktiviti pembelajaran nyata dan tidak nyata seperti yang dijalankan dalam dan luar bilik darjah, untuk semua peringkat persekolahan.

Selain itu, peranan guru juga memainkan peranan penting dalam menyuntik nilai-nilai perpaduan dalam kalangan murid-murid. Sebagai contoh, aktiviti pengajaran dan pembelajaran di sekolah sudah tentu melibatkan murid-murid secara menyeluruh dan berkumpulan yang tidak mengira latar belakang murid mahupun bangsa, agama murid tersebut. Guru sebagai fasilitator yang menggerakkan sesuatu aktiviti di dalam mahupun di luar bilik darjah agar terjadinya pola interaksi sosial dalam kalangan murid yang pelbagai bangsa. Di sini jelas dapat kelihatan terjalinnya kerjasama serta ruang untuk perkongsian ilmu merentasi kaum jelas terbuka sepanjang proses sesuatu pembelajaran. Secara tidak langsung, ini mewujudkan nilai-nilai perpaduan walaupun mereka terdiri daripada kaum yang berbeza.Selain itu, aktiviti gotong-royong yang dijalankan oleh pihak sekolah juga membawa kepada perpaduan dan integrasi nasional kerana murid-murid dan guru-guru bekerjasama membersihkan kawasan sekolah. Pada masa yang sama, mereka dapat berinteraksi semasa mereka dan mengenali rakan yang tidak dikenali. Keadaan ini secara tidak langsung mewujudkan perpaduan dan integrasi nasional antara murid dan guru. Seterusnya, di sekolah, murid-murid berpeluang menggunakan kemudahan-kemudahan yang tersedia tanpa mengira kedudukan dan kaum murid yang berbeza. Contohnya, kemmudahan pusat sumber diberikan kepada mereka tanpa mengambil kira latar belakang kaum. Keadaaan ini terang menunjukkan bahawa perpaduan dan integrasi nasional telah dipupuk dengan tidak mendiskriminasikan murid mengikut bangsa dan agama untuk menggunakan pusat sumber.

Pada setiap musim sesuatu perayaan, pihak sekolah juga mengadakan sambutan perayaan pelbagai kaum seperti Hari Raya Puasa, Tahun Baru Cina, Deepavali dan lain-lain. Melalui cara ini, setiap murid dapat mempelajari adat resam serta kepercayaan kaum-kaum di Malaysia ini. Sekolah turut akan mengadakan persembahan tarian tradisional yang daripada pelbagai kaum. Contohnya, tarian zapin, tarian kipas, tarian singa dan tarian india. Di sini, murid-murid sendiri yang akan memakai pakaian tarian tradisional kaum tertentu dan mempersembahkan tarian tradisional melalui tunjuk ajar guru. Tambahan pula, pihak sekolah juga mengadakan jamuan perayaan tersebut. Maka, murid dapat mencuba makanan tradisional sesuatu kaum tersebut di samping memahami budaya kaum berbeza daripadanya. Sedar tidak sedar, murid tersebut akan secara langsung memahami perbezaan kaum bukanlah dari segi perbezaan bahasanya dan pakaiannya sahaja, sebaliknya perbezaan dari aspek makanannya juga.

Selain aktiviti persembahan tarian tradisional, aktiviti sambutan perayaan di sekolah juga menyumbang kepada terbentuknya perpaduan dalam diri murid-murid. Hal ini demikian dapat dilihat melalui rasa hormat yang timbul dalam kalangan murid yang berlainan agama. Salah faham dan perbezaan kaum akan dapat dielakkan kerana mereka telah memahami budaya bangsa lain. Misalnya, sekolah saya yang merupakan Sekolah Jenis Kebangsaan yang tidak ketinggalan mengadakan sambutan Kuih Bulan di sekolah. Salah satu aktiviti yang diadakan adalah pertandingan merekacipta tanglung. Walaupun perayaan ini merupakan perayaan kaum Cina, namun, murid yang berlainan agama turut memeriahkan lagi aktiviti ini dengan menyertainya. Hal ini demikian memberi kesedaran kepada murid-murid bahawa sesuatu perayaan bukanlah hanya boleh diraikan oleh kaumnya sahaja malah bangsa dan agama lain juga boleh bersama-sama meraikannya tanpa halangan. Keadaan ini telah menunjukkan wujudnya perpaduan dalam diri mereka memandangkan sedikit sebanyak mereka telah mengetahui budaya yang berbeza di Malaysia.

Selain itu, murid-murid dibahagikan kerja atau tugas membersihkan bilik darjah semasa waktu rehat di sekolah. Melalui aktiviti ini, dengan jelas dapat kita lihat kerjasama yang diamalkan dalam diri setiap murid. Mereka saling membantu tanpa mengira kaum. Contohnya, seseorang murid telah menyiapkan tugasnya, secara automatiknya dia akan menolong rakannya yang masih belum siap tugasnya. Bukan itu sahaja, aktiviti Hari Kantin di sekolah juga memupuk sikap bekerjasama dalam kalangan murid. Kita dapat lihat kegigihan dan kerjasama yang ditunjukkan oleh mereka untuk menjayakan aktiviti tersebut dengan lancar, justeru perpaduan secara tidak lengsung telah tersemat di jiwa mereka.

Dalam merealisasikan matlamat untuk terus menjadikan sekolah sebagai platform terbaik memupuk semangat perpaduan di kalangan murid-murid, sekolah rendah memberi fokus kepada perkara asas kerana merekalah tempat pertama persinggahan anak-anak yang baru mula mengenali dunia luar selain rumah masing-masing. Inilah juga tempat pertama bagi murid-murid untuk beramah mesra, mengenali dan berkawan dengan rakan daripada agama dan bangsa lain secara bersama dalam satu-satu masa.Hakikatnya cabaran untuk terus menyemai semangat perpaduan menjadi lebih besar kepada guru sekolah menengah. Pada zaman kini, para guru berhadapan dengan kumpulan anak muda yang semakin bijak, justeru pelbagai aktiviti yang menarik dan kreatif diberikan kepada murid-murid agar dapat dipujuk secara lebih halus agar terus memahami dan menghayati semangat perpaduan nasional.Selain kurikulum, kokurikulum juga merupakan satu saluran pembelajaran yang berasaskan gerak kerja yang terancang. Kepentingan pelaksanaan aktiviti ini setara dengan kepentingan pelaksanaan aktiviti di dalam bilik darjah kerana peranannya juga turut menjadi penyumbang dan pelengkap kepada perpaduan di sekolah keseluruhannya. Aktiviti-aktiviti kokurikulum membantu pelajar untuk menambah, mengukuh dan mengamalkan pengetahuan, kemahiran dan nilai-nilai yang telah dipelajari di dalam bilik darjah. Peranan utama kokurikulum ialah untuk memupuk dan mengeratkan hubungan di kalangan pelajar dan juga antara sekolah dengan masyarakat. Dengan ini perpaduan mula berpucuk di kalangan pelajar dan secara langsung menuju ke arah integrasi nasional.

Aktiviti kokurikulum juga menekankan pemupukan dan perkembangan diri individu melalui psikomotor, kognitif dan efektif. Justeru, aktiviti kokurikulum yang dilaksanakan seperti program sukan, kelab, persatuan, badan beruniform dan sebagainya sentiasa dipergiatkan lagi dalam kalangan murid pelbagai kaum. Aktiviti kokurikulum yang dijalankan di sekolah juga melibatkan aktiviti sukan. Memandangkan sukan menjadi salah satu daripada alat perpaduan di peringkat sekolah, maka sukan yang dijalankan bukan semata-mata untuk kesihatan tetapi juga untuk perpaduan dalam kalangan murid-murid. Contohnya pelbagai jenis permainan sukan yang dijalankan dalam aktiviti sukan di sekolah. Melalui sesuatu permainan atau perlawanan, jelas sekali nilai-nilai yang dapat dipupuk dalam kalangan murid-murid tidak lain tidak bukan adalah kerjasama dan bersatu padu walaupun mereka terdiri dari pelbagai kaum.

Selain itu,hari sukan sekolah misalnya, matlamat utamanya adalah mewujudkan persefahaman, semangat kekitaan dan perpaduan di antara pelajar-pelajar sekolah. Pada hari sukan, semua murid akan terlibat dalam sesuatu pertandingan permainan, perarakan dan perhiasan khemah dengan bersatupadu tanpa mengira apa-apa jua faktor tetapi sebagai satu kumpulan yang majmuk. Ini menuju ke arah perpaduan dalam kalangan murid-murid.

Selain itu, perkhemahan juga merupakan salah satu aktiviti yang dijalankan oleh badan-badan beruniform seperti pengakap, pandu puteri, bulan sabit merah dan sebagainya. Tujuan utama aktiviti-aktiviti perkhemahan ini dianjurkan adalah untuk memupuk perpaduan dan membentuk integrasi di kalangan peserta-peserta perkhemahan. Semangat kekitaan akan mula wujud apabila menjalankan aktiviti-aktiviti secara kumpulan dan berkerjasama untuk mengharungi segala cabaran semasa aktiviti. Kerjasama antara satu sama lain dan tolong-menolong akan membentuk sikap bersatupadu. Dengan ini wujudlah perpaduan di antara peserta-peserta perkhemahan yang datang dari sekolah yang berbeza, latar belakang yang berbeza dan kebudayaan berbeza. Acara-acara yang dijalankan ialah seperti ceramah motivasi, pembinaan jati diri, kerohanian, kembara, ikhtiar hidup, kewarganegaraan dan riadah. Suasana perkhemahan yang dijalankan di luar kawasan sekolah sangat menyeronokkan para murid. Selain daripada mendapat maklumat dan kemahiran baru, mereka dapat merasai keindahan alam Malaysia, nikmat kehidupan dalam sebuah negara yang aman dan damai sementara bergaul dengan rakan-rakan yang lain bangsa.

Di luar sistem akademik, murid pula terlibat dalam aktiviti pelbagai kaum seperti program keluarga angkat. Program anak angkat selalunya berfokuskan kepada pembinaan perhubungan yang tidak mengira agama, bangsa dan negara atau dengan kata lain menuju perpaduan. Program anak angkat dijalankan oleh pihak sekolah contohnya ke sesuatu tempat membolehkan seseorang murid dapat mengenali ciri-ciri kehidupan dan kebudayaan sesuatu tempat. Dengan ini, wujudlah persefahaman dan perpaduan di antara murid dan penduduk sesuatu tempat. Ia juga menjurus kepada tercapainya integrasi nasional.

Mantan Perdana Menteri malaysia yang kelima Tun Abdullah Haji Ahmad Badawi pada masa pemerintahannya mahukan program integrasi di sekolah diteruskan bagi membolehkan perpaduan dan kerjasama antara pelajar pelbagai kaum ditingkatkan. Beliau berkata langkah ini perlu kerana melalui program tersebut akan membawa kebaikan kerana wujudnya perasaan saling hormat-menghormati antara kaum dapat dipereratkan. Antara kata-kata beliau ialah:

Kita nak kebaikan supaya setiap kemajuan negara dapat dinikmati semua kaum dan ia setiap kaum sama-sama menyumbang kepada negara dan menguntungkan semua pihak. Kalau kita tidak berusaha untuk memberi kesempatan kepada pelajar untuk melibatkan diri dalam kegiatan kokurikulum seperti sukan, debat, kegiatan alam sekitar dan landskap, hubungan antara mereka akan terpisahdan bersendirian menjadikan intergrasi sukar untuk dilaksanakan.

Selain program integrasi, sekolah juga mewujudkan program pertukaran pelajar sekolah. Program pertukaran ini diadakan di antara sekolah yang membawa perpaduan kerana murid-murid dapat mengenali dan memahami murid-murid dari sekolah lain. Misalnya, murid dari Sekolah Jenis Kebangsaan digalakkan supaya bergaul dengan murid dari Sekolah Kebangsaan melalui suatu program yang dianjurkan oleh pihak sekolah untuk suatu jangka masa tertentu. Keadaan ini membolehkan murid sekolah berpeluang berinteraksi dengan murid dari sekolah yang berlainan. Pada masa yang sama, hubungan harmoni terjalin dan perpaduan wujud antara mereka.

Walau bagaimanapun, pelancaran kempen, ceramah dan kem-kem motivasi turut diadakan oleh pihak sekolah. Aktiviti seperti ini berfokuskan perpaduan dan integrasi nasional. Murid-murid akan didedahkan kepada kepentingan kerjasama dan perpaduan di negara kita yang terdiri daripada pelbagai kaum dan etnik. Contohnya, murid-murid Tahap 2 terutamanya digalakkan menyertai kem-kem motivasi yang dianjurkan supaya dapat memahami dan mempelajari konsep perpaduan yang cuba diterapkan oleh pihak sekolah. Di samping itu, murid-murid juga akan tahu kepentingan bekerjasama tidak kira kaum dan sekali gus akan mengamalkannya.

Prinsip Rukun Negara hendaklah terus menjadi agenda dalam pembangunan modal insan dari generasi ke generasi bagi memastikan prinsip itu kekal diterima dan menjadi teras perpaduan masyarakat di negara ini. Hal demikian kerana ideologi yang terkandung di dalam Rukun Negara amat holistik dan mencakupi nilai-nilai bersama yang diamalkan oleh masyarakat pelbagai kaum di Malaysia. Bekas Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi ketika berucap dalam Majlis Tokoh Negara: Kolokium Sekretariat Rukun Negara anjuran Taylors Universiti berkata Oleh itu, penerapan prinsip ini dalam diri generasi muda amat penting sekali untuk pembangunan sahsiah golongan tersebut

Semasa merasmikan sambutan Hari Perpaduan Peringkat Kebangsaan 2000 di Melaka, Yang Amat Berhormat Dato Seri Abdullah Bin Haj Ahmad Badawi selaku Timbalan Perdana Menteri pada ketika itu, telah menyarankan supaya Kelab Rukun Negara ditubuhkan di sekolah.

Sebelum itu, dalam perasmian Hari Perpaduan Peringkat Kebangsaan 1999 di Pahang, beliau menyeru seluruh rakyat Malaysia agar sentiasa berpegang teguh kepada prinsip-prinsip Rukun Negara untuk menjamin perpaduan dan kemakmuran negara agar terus berkekalan. Dengan penubuhan Kelab Rukun Negara di sekolah, pelbagai aktiviti dijalankan dalam kalangan murid berbeza kaum dan agama. Maka, pengetahuan, pemahaman, penghayatan warga sekolah terutamanya murid-murid terhadap prinsip-prinsip Rukun Negara ke arah menjana semangat perpaduan yang lebih jitu dapat dipertingkat dan diperkukuhkan.

Bukan setakat itu sahaja, pihak sekolah sentiasa menerapkan prinsip-prinsip Rukun Negara terhadap murid-murid. Misalnya, pada setiap perhimpunan mingguan sekolah, terdapat seorang wakil murid yang mengetuai mambaca ikrar Rukun Negara. Ini secara langsung membolehkan murid-murid terus menghafal Rukun Negara. Buku latihan sekolah juga mempunyai Rukun Negara supaya murid-murid dapat membacanya dengan senang. Dengan ini, mereka akan mengetahui prinsip-prinsip yang terkandung dalam Rukun Negara. Ini juga akan menjadikan murid-murid saling menghormati serta memahami kepentingan hidup secara muhibah. Keadaan ini secara langsung telah menanam unsur perpaduan dalam diri murid tersebut melalui Rukun Negara yang dihafal dan diamalkan oleh mereka.

Selain itu, dalam mewujudkan perpaduan dan memperkukuhkan hubungan pelbagai kaum di sekolah, turut dilaksanakan satu program Sekolah Penyayang dengan menekankan konsep Sekolahku Syurgaku dan Yang Tua Dihormati, Yang Muda Disayangi dengan penyertaan bersama ibubapa murid-murid melalui Persatuan Ibubapa dan Guru. Amalan ini dapat mewujudkan golongan murid yang cinta kepada sekolah, membentuk peribadi murid yang suka menolong dan menghormati orang lain, berbudi pekerti mulia, serta menimbulkan perasaan kasih sayang dan hubungan mesra antara warga sekolah dan sesama ibubapa murid-murid. Contohnya, di sekolah yang saya mengajar, setiap pagi guru bertugas di pintu sekolah akan menyambut kedatangan dan menyapa murid-murid ke sekolah dengan mesra, tidak kira bangsa atau agama murid tersebut. Ini memberi kesan dan contoh positif kepada murid-murid justeru dijadikan contoh teladan dengan mengamalkan tabiat sapaan terhadap rakan-rakan yang berbeza kaum.Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) telah melancarkan program Rancangan Integrasi Murid Untuk Perpaduan (RIMUP) sejak tahun 1986. Program ini pada awalnya telah dilaksanakan di peringkat sekolah rendah dan kini diperluaskan ke semua sekolah rendah dan menengah pada tahun 2005. KPM memandang berat akan pentingnya dijalin hubungan yang rapat antara murid pelbagai kaum di sekolah supaya wujud kesefahaman dan perpaduan antara mereka.

RIMUP merupakan program yang menggalakkan penglibatan murid, guru dan masyarakat setempat dalam pelbagai aktiviti yang dirancang di sekolah. Program ini memberi penekanan kepada bidang kokurikulum, sukan dan khidmat masyarakat. Ia bermatlamat melahirkan generasi Malaysia yang berilmu, memiliki jiwa dan peribadi unggul, bersemangat muhibbah serta mampu menghadapi cabaran secara kolektif dan bersepadu.

Sekolah yang saya mengajar pernah mengadakan program RIMUP ini bersama-sama peserta-peserta dari sekolah lain. Melalui program ini, peluang murid yang terdiri daripada pelbagai kaum tersedia untuk bergaul mesra secara sedar dan terancang. Dengan ini, secara tidak langsung murid dari berlainan kaum dan agama dapat menjalankan aktiviti yang dirancang oleh pihak sekolah dengan baik dan lancar hasil daripada pergaulan dan kerjasama antara mereka. Proses perpaduan sebegini turut dapat dipupuk dan dibina agar semangat tersebut dapat diamalkan dalam diri mereka. Dengan ini, akan timbul suasana hormat-menghormati terhadap agama, budaya dan adat resam sesuatu kaum dengan kaum yang lain.

Setiap tahun sekolah mengadakan pelbagai program sempena memperingati hari ulangtahun kemerdekaan Negara. Begitu juga dengan sekolah saya, turut mengadakan aktiviti yang mempunyai nilai-nilai patriotism dan perpaduan. Acara yang dilaksanakan ialah pakaian tradisional berbilang bangsa dalam kalangan murid, kibaran Jalur Gemilang serta hiasan bilik darjah. Secara tidak langsung, murid dapat memahami bahawa pelbagai kaum di negara kita dapat hidup dengan harmoni dan bersatu padu. Aktiviti ini juga dapat membina keyakinan mereka berkaitan pembinaan bangsa Malaysia yang merdeka, bersifat patriotisme yang tinggi dan cintakan kehidupan bersatupadu.

Dengan itu, bidang pendidikan merupakan bidang terpenting bagi menjadi alat perpaduan antara pelbagai kaum. Hanya menerusi pendidikan saja, rakyat Malaysia yang berbilang etnik dapat disemai rasa semangat kekitaan dari sejak kecil hinggalah dewasa. Generasi awal terutamanya para pelajar sekolah rendah perlu didedahkan betapa pentingnya perpaduan dalam arus masyarakat Malaysia yang besifat majmuk ini. Mahu tidak mahu, perkara ini turut melibatkan sistem pendidikan negara kerana melalui pendidikanlah, generasi pelajar dapat membentuk dan mencorakkan masyarakat Malaysia pada masa hadapan. Ianya selaras dengan pepatah Melayu iaitu melentur buluh biarlah dari rebungnya. Mereka ini perlu dan semestinya didedahkan bahawa perpaduan kaum begitu bermakna dan akibat buruk yang akan timbul daripada sikap curiga mencurigai di antara mereka. Seperti yang telah dibincangkan sebelum ini, sekolah merupakan unit yang terpenting dalam sistem pendidikan kita bagi mewujudkan integrasi di antara kaum. Kegagalan proses integrasi di sekolah, khasnya di peringkat rendah akan menyebabkan juga gagalnya proses integrasi peringkat menengah dan seterusnya di universiti. Ini seterusnya akan menghasilkan masyarakat Malaysia bukan saja berlainan kaum tetapi tidak bersatupadu dan berlainan kefahaman. Oleh itu, pelbagai cara harus digunakan bagi membentukkan dan memperkukuhkan hubungan pelbagai kaum di sekolah. Sekolah juga harus relevan dengan kehendak semasa yang sentiasa berubah. Seandainya terdapat perubahan yang berlaku, sekolah sebagai pusat integrasi etnik terpenting jangan sesekali hilang upayanya. Dapat disimpulkan bahawa, peranan sekolah dan seseorang guru dalam mewujudkan perpaduan dalam kalangan para pelajar amatlah besar. Namun, kerjasama dari pihak yang lain juga perlu dalam merialisasikan perpaduan ini.

(3011 p.p)

1