artikel

18
ALICE TANG MEE HUONG PENGGUNAAN ‘BUNGA DARAB’ DALAM PENGUASAAN SIFIR DARAB BAGI MURID PEMULIHAN TAHUN DUA Abstrak Kajian tindakan ini dijalankan untuk meningkatkan penguasaan sifir darab dalam kalangan murid pemulihan Tahun Dua dengan menggunakan ‘Bunga Darab’. Kumpulan sasaran terdiri daripada tiga orang murid pemulihan Tahun Dua yang tidak lulus ujian saringan (LINUS) dan perlu mengikuti program pendidikan pemulihan. Data dikumpulkan melalui instrumen ujian penguasaan, ujian pra dan ujian pasca, temu bual, rekod anekdot dan soal selidik. Ujian penguasaan yang dijalankan sebelum tindakan intervensi menunjukkan penguasaan sifir darab responden hanya 10.0% hingga 20.0%. Tetapi, hasil temu bual menunjukkan tahap penguasaan sifir darab responden meningkat selepas tindakan intervensi dijalankan selama empat minggu. Ini disokong oleh keputusan ujian pasca responden yang menunjukkan peningkatan sekurang- kurangnya 60.0% hingga 80.0% berbanding dengan keputusan ujian pra. Dapatan rekod anekdot dan soal selidik pula menunjukkan murid-murid bersetuju bahawa mereka lebih memahami, seronok dan berminat untuk mempelajari sifir darab dengan menggunakan ‘Bunga Darab’. Kesimpulannya, ‘Bunga Darab’ dapat meningkatkan penguasaan sifir darab dalam kalangan murid pemulihan Tahun Dua. 1.0 PENDAHULUAN 1.1 Pengenalan Menurut Malaysia Kini (2013), Programme for International Student Assessment (PISA) 2012 menunjukkan lebih separuh daripada pelajar Malaysia (51.8%) yang terbabit dalam program penilaian antarabangsa tersebut tidak mempunyai keupayaan asas yang mencukupi dalam subjek Matematik dan

Upload: gjot

Post on 14-Nov-2015

30 views

Category:

Documents


3 download

DESCRIPTION

artikel

TRANSCRIPT

ALICE TANG MEE HUONG

PENGGUNAAN BUNGA DARAB DALAM PENGUASAAN SIFIR DARABBAGI MURID PEMULIHAN TAHUN DUA

Abstrak

Kajian tindakan ini dijalankan untuk meningkatkan penguasaan sifir darab dalam kalangan murid pemulihan Tahun Dua dengan menggunakan Bunga Darab. Kumpulan sasaran terdiri daripada tiga orang murid pemulihan Tahun Dua yang tidak lulus ujian saringan (LINUS) dan perlu mengikuti program pendidikan pemulihan. Data dikumpulkan melalui instrumen ujian penguasaan, ujian pra dan ujian pasca, temu bual, rekod anekdot dan soal selidik. Ujian penguasaan yang dijalankan sebelum tindakan intervensi menunjukkan penguasaan sifir darab responden hanya 10.0% hingga 20.0%. Tetapi, hasil temu bual menunjukkan tahap penguasaan sifir darab responden meningkat selepas tindakan intervensi dijalankan selama empat minggu. Ini disokong oleh keputusan ujian pasca responden yang menunjukkan peningkatan sekurang-kurangnya 60.0% hingga 80.0% berbanding dengan keputusan ujian pra. Dapatan rekod anekdot dan soal selidik pula menunjukkan murid-murid bersetuju bahawa mereka lebih memahami, seronok dan berminat untuk mempelajari sifir darab dengan menggunakan Bunga Darab. Kesimpulannya, Bunga Darab dapat meningkatkan penguasaan sifir darab dalam kalangan murid pemulihan Tahun Dua.

1.0 PENDAHULUAN1.1Pengenalan

Menurut Malaysia Kini (2013), Programme for International Student Assessment (PISA) 2012 menunjukkan lebih separuh daripada pelajar Malaysia (51.8%) yang terbabit dalam program penilaian antarabangsa tersebut tidak mempunyai keupayaan asas yang mencukupi dalam subjek Matematik dan hanya 1.3% pelajar tergolong sebagai pelajar berpencapaian terbaik. Dalam Trends in International Mathematics and Science Study (TIMSS) 2011 pula, 35.0% murid Malaysia gagal mencapai tahap kemahiran minimum bagi subjek Matematik (Berita Harian, 2011). Keadaan menjadi lebih membimbangkan apabila jurang perbezaan antara Malaysia dan negara-negara yang berpencapaian terbaik semakin lebar dalam program penilaian antarabangsa tersebut. Justeru, kerajaan telah melaksanakan Program LINUS 1.0 pada tahun 2010 dan berikutannya, LINUS 2.0 dilancarkan pada tahun 2013.

1.2Refleksi Pengajaran dan Pembelajaran

Sepanjang sesi praktikum fasa pertama, kedua dan ketiga di dua buah sekolah aliran Bahasa Cina yang berlainan di daerah Bintangor dan Sarikei, pengkaji mendapati kebanyakan murid pemulihan tidak dapat menguasai sifir darab. Ini disebabkan oleh kekeliruan antara konsep tambah dan darab. Soalan-soalan yang melibatkan operasi darab sering diselesaikan dengan cara tambah. Murid-murid turut mempunyai daya ingatan yang lemah dan tidak bermotivasi untuk belajar. Dalam usaha mengatasi masalah murid-murid pemulihan ini, pengkaji mengambil inisiatif untuk membina satu bahan bantu mengajar yang kreatif dan inovatif untuk membantu proses pengajaran dan pembelajaran guru dan murid. Bahan bantu mengajar yang ingin dihasilkan melibatkan kemahiran berfikir membuat urutan dan pergerakan kinestatik murid-murid pemulihan. Bahan bantu mengajar tersebut dikenali sebagai Bunga Darab.

1.3Refleksi Nilai Pendidikan

Program LINUS mensasarkan 100.0% murid-murid Tahun Tiga menguasai kemahiran literasi dan numerasi setelah melalui tiga tahun persekolahan tahap rendah iaitu dari Tahun Satu hingga Tahun Tiga kecuali murid berkeperluan khas. Penguasaan fakta asas darab merupakan salah satu daripada objektif Program Numerasi. Penglibatan murid-murid dalam aktiviti pengajaran dan pembelajaran melalui kepelbagaian aktiviti-aktiviti dengan menggunakan bahan bantu mengajar dapat menjadikan suasana pembelajaran lebih efektif dan ceria. Ini sejajar dengan hasrat Malaysia untuk mencapai Wawasan 2020 di mana KPM berusaha mengubahsuai sistem pendidikan yang menuntut perubahan dari segi budaya dan amalan yang dipraktikkan di sekolah rendah dan sekolah menengah (Riduan, 2010). Para pendidik haruslah menggunakan kaedah pengajaran yang pelbagai dan melibatkan pancaindera murid-murid bagi menarik minat mereka untuk memberi tumpuan sepanjang sesi interaksi dijalankan.

2.0 FOKUS KAJIAN/ISU KEPRIHATINAN2.1Isu Kajian

Berdasarkan pemerhatian pengkaji terhadap ujian diagnostik bertulis dan lembaran kerja murid-murid pemulihan serta perbincangan bersama guru pemulihan dan guru subjek Matematik, didapati bahawa masalah menguasai sifir darab wujud semasa proses pengajaran dan pembelajaran. Masalah penguasaan sifir darab murid-murid pemulihan merangkumi memahami konsep darab, mengingat sifir darab dan menyelesaikan ayat Matematik darab.

Bahan bantu mengajar yang ingin direka cipta ialah Bunga Darab. Bunga Darab ialah bahan bantu mengajar yang berwarna-warni, mudah ditadbir, mudah dibawa, boleh diguna pada bila-bila masa dan boleh melatih murid-murid pemulihan untuk menguasai sifir darab. Rajah 1 menunjukkan Bunga Darab yang digunakan untuk membantu murid-murid pemulihan menguasai sifir darab.

Rajah 1. Bunga Darab digunakan untuk membantu murid-murid pemulihan menguasai sifir darab.

2.2.1Tinjauan Literatur Berkaitan Dengan Permainan

Bahan bantu mengajar yang digunakan untuk mengajar murid-murid pemulihan haruslah menarik dan menyeronokkan, iaitu berunsur permainan. Main adalah aktiviti yang memberikan kegembiraan dan kepuasan kepada kanak-kanak. Mengikut Pellegrini (1995, seperti dinyatakan dalam Boon, Noriati A Rashid, & Sharifah Fakhriah Syed Ahmad, 2012), konsep main ialah main sukarela, main bermotivasi intrinsik, main melibatkan penglibatan dan pergerakan fizikal yang aktif serta main mempunyai kualiti yang melibatkan imaginasi. Main adalah satu saluran atau wahana untuk kanak-kanak belajar tentang dirinya dan dunia di sekeliling mereka. Jean Piaget (1952, seperti dinyatakan dalam Christine, 2012) turut menyatakan bahawa dengan aktiviti dan permainan yang menarik, ia mampu memberi pemahaman Matematik yang lebih berkesan kepada murid-murid. Penggunaan kepelbagaian jenis kaedah dalam pengajaran dan pembelajaran dapat merangsang motivasi pelajar supaya berminat dengan pengajaran (Ahmad Fadzli Fauzi, 2009). Kaedah bermain merupakan kaedah yang paling berkesan dalam meningkatkan minat pembelajaran dalam kalangan kanak-kanak. Oleh itu, bahan bantu mengajar yang berasaskan permainan harus disarankan.

2.2.2Tinjauan Literatur Berkaitan Dengan Hands-On

Munir Hussain dan Mumtaz Akhtar (2013) mengatakan bahawa kaedah hands-on menyediakan pengalaman belajar yang baik kepada murid-murid. Hasil analisis dapatan beliau juga menunjukkan pencapaian murid-murid dalam subjek Sains meningkat selepas beliau menggunakan kaedah hands-on dalam pengajaran dan pembelajaran. Berdasarkan kajian-kajian terdahulu yang menekankan kaedah bermain dan aktiviti hands-on dalam pengajaran dan pembelajaran, pengkaji mempertimbangkan penerapan kaedah bermain dan aktiviti hands-on dalam meningkatkan penguasaan sifir darab. Kemahiran darab merupakan kemahiran yang penting untuk dikuasai oleh murid-murid kerana kemahiran ini berkait rapat dengan kemahiran yang lain seperti kemahiran bahagi. Sehubungan itu, pengkaji menumpukan kajian terhadap kemahiran darab.

3.0 OBJEKTIF KAJIAN/SOALAN KAJIAN

3.1Objektif Kajian

Objektif-objektif kajian pengkaji adalah:3.1.1 Mengenal pasti tahap penguasaan sifir darab dalam kalangan murid-murid pemulihan Tahun Dua.3.1.2 Meningkatkan penguasaan sifir darab dalam kalangan murid-murid pemulihan Tahun Dua dengan menggunakan Bunga Darab.3.1.3 Mengenal pasti minat murid-murid pemulihan Tahun Dua terhadap penggunaan Bunga Darab dalam penguasaan sifir darab.

3.2Soalan Kajian

Penulisan soalan kajian haruslah selaras dan selari dengan objektif kajian (Choong, 2011). Soalan-soalan yang dikemukakan dalam kajian ini adalah:

3.2.1 Apakah tahap penguasaan sifir darab dalam kalangan murid-murid pemulihan Tahun Dua?3.2.2 Adakah penggunaan Bunga Darab dapat meningkatkan penguasaan sifir darab dalam kalangan murid-murid pemulihan Tahun Dua?3.2.3 Adakah murid-murid pemulihan Tahun Dua berminat terhadap penggunaan Bunga Darab dalam penguasaan sifir darab?

4.0 KUMPULAN SASARAN

Kumpulan sasaran pengkaji terdiri daripada tiga orang responden iaitu dua orang murid lelaki dan seorang murid perempuan Tahun Dua dan berumur lapan tahun. Mereka tidak lulus Ujian Saringan LINUS dan perlu mengikuti program pendidikan pemulihan khas. Responden mempunyai daya ingatan yang lemah, aktif dan mudah rasa bosan terhadap proses pengajaran dan pembelajaran. Selain itu, responden sangat berminat dengan aktiviti yang berbentuk kinestatik.

5.0 TINDAKAN YANG DIJALANKAN

5.1 Prosedur Kajian Tindakan Berdasarkan Model Kemmis &McTaggart (1988)

Berdasarkan Model Kemmis & McTaggart (1988, seperti dinyatakan dalam Choong, 2011), pengkaji telah merancang prosedur kajian tindakan seperti dalam Rajah 3.

Rajah 2. Prosedur kajian tindakan berdasarkan Model Kemmis & McTaggart (1988, seperti dinyatakan dalam Choong, 2011).

6.0 CARA MENGUMPUL DAN MENGANALISIS DATA

6.1Cara Mengumpul Data6.1.1Ujian Penguasaan

Ujian penguasaan ialah ujian yang dijalankan sebelum tindakan intervensi bagi menentukan tahap penguasaan sifir darab responden. Ujian ini disediakan berdasarkan Instrumen Kemahiran Asas Matematik (IKAM) Sekolah Rendah.

6.1.2Ujian Pra dan Ujian Pasca

Hasil keputusan ujian pra dan ujian pasca responden digunakan untuk membuat perbandingan pencapaian sebelum dan selepas penggunaan Bunga Darab dalam meningkatkan penguasaan sifir darab mereka. Ujian pra dan ujian pasca disediakan berdasarkan Instrumen Kemahiran Asas Matematik (IKAM) Sekolah Rendah. Kedua-dua ujian tersebut menggunakan set soalan yang sama.

6.1.3Temu Bual

Temu bual merupakan suatu kaedah di mana penyelidik mengemukakan soalan-soalan terbuka kepada seorang atau lebih subjek kajian, merekod jawapan mereka, membuat transkripsi dan akhirnya menganalisis data tersebut (Choong, 2011). Dalam kajian ini, pengkaji menjalankan temu bual berstruktur dengan guru pemulihan, guru Matematik dan responden sebelum dan selepas tindakan intervensi. Temu bual berstruktur ialah aktiviti perbualan yang dijalankan secara bersemuka di mana kandungan soalan-soalan yang ditanya adalah terhad kepada sesuatu tajuk sahaja.

6.1.4Rekod Anekdot

Choong (2011) mendefinisikan rekod anekdot sebagai pemerhatian bertulis iaitu menulis perkataan demi perkataan, tindakan demi tindakan tentang apa yang diperkatakan dan dilakukan oleh responden. Pengkaji memfokuskan rekod anekdot kepada perkara yang ingin diperhati iaitu tingkah laku responden. Pengkaji mengenal pasti minat dan keseronokan belajar responden terhadap penggunaan Bunga Darab melalui tingkah laku yang ditunjukkan oleh mereka semasa sesi pengajaran dan pembelajaran.

6.1.5Soal Selidik

Dalam kajian ini, pengkaji menggunakan borang soal selidik skala Gutman (Ya/Tidak) untuk mendapatkan maklum balas mengenai minat dan keseronokan belajar responden terhadap penggunaan Bunga Darab. Analisis dilakukan ke atas borang soal selidik yang telah dijawab oleh responden.

6.2Cara Menganalisis Data

6.2.1Analisis Tahap Penguasaan Sifir Darab Murid Pemulihan Tahun Dua

Bagi menganalisis tahap penguasaan sifir darab murid pemulihan Tahun Dua, pengkaji menjalankan temu bual berstruktur dan melaksanakan ujian penguasaan ke atas responden. Pengkaji menggunakan dua cara pengumpulan data yang berbeza bagi mencapai triangulasi data.

6.2.2Analisis Peningkatan Penguasaan Sifir Darab Murid Pemulihan Tahun Dua Dengan Penggunaan Bunga Darab

Tindakan intervensi Bunga Darab dijalankan selama empat minggu bagi membantu responden menguasai sifir darab. Pengkaji mengutip data melalui dua cara pengumpulan data yang berbeza iaitu ujian pra dan ujian pasca dan temu bual berstruktur. Data-data yang dikumpul dianalisis bagi mengetahui peningkatan penguasaan sifir darab responden selepas tindakan intervensi Bunga Darab.

6.2.3Analisis Minat Murid Pemulihan Tahun Dua Terhadap Penggunaan Bunga Darab

Pengkaji menjalankan rekod anekdot dan soal selidik bagi memahami minat responden terhadap penggunaan Bunga Darab semasa menguasai sifir darab. Rekod anekdot ialah pemerhatian bertulis ke atas tingkah laku responden bagi mengenal pasti minat dan keseronokan belajar responden semasa menggunakan Bunga Darab. Soal selidik pula tertumpu kepada minat dan keseronokan belajar responden terhadap penggunaan Bunga Darab dalam penguasaan sifir darab.

6.3 Kesahan Instrumen Kajian

Menurut Azizi Yahaya, et al. (2007), kesahan memainkan peranan yang penting dalam konteks pengukuran dan teknik-teknik pengumpulan data. Dalam kajian ini, instrumen kajian telah disemak dan disahkan oleh pensyarah pembimbing. Instrumen kajian yang digunakan dalam kajian ini ialah soalan-soalan ujian penguasaan, ujian pra dan ujian pasca, temu bual, rekod anekdot serta borang soal selidik.

6.4Triangulasi data

Pengkaji turut menggunakan triangulasi data bagi meningkatkan kesahan intepretasi data dan kesimpulan kajian. Triangulasi data ialah satu pendekatan dalam penyelidikan yang menggabungkan lebih daripada satu strategi pengumpulan data bagi mencapai satu imbangan yang dapat membatalkan ralat yang ada pada setiap strategi (Choong, 2011).

7.0 KEPUTUSAN KAJIAN DAN PERBINCANGAN

7.1 Apakah tahap penguasaan murid-murid pemulihan Tahun Dua semasa menguasai sifir darab?

Pengkaji telah menjalankan temu bual berstruktur dan ujian penguasaan bagi mengetahui tahap penguasaan sifir darab murid-murid pemulihan Tahun Dua sebelum tindakan intervensi dijalankan. Berdasarkan maklum balas daripada guru pemulihan dan guru Matematik, masalah utama yang dihadapi oleh responden ialah masalah penguasaan sifir darab. Ini adalah kerana responden mempunyai masalah ingatan jangka pendek serta kekeliruan antara simbol tambah dan darab. Selain itu, responden juga tidak dapat menyatakan sifir darab lima secara spontan dengan betul dan lengkap.Maklum balas daripada temu bual berstruktur disokong oleh hasil dapatan pengkaji melalui ujian penguasaan yang dijalankan ke atas responden sebelum pelaksanaan intervensi Bunga Darab. Jadual 7.1 menunjukkan keputusan ujian penguasaan responden.

Jadual 7.1Keputusan Ujian Penguasaan Responden.RespondenBilangan Soalan yang Betul/Jumlah SoalanPeratus (%)

Murid A10/5020.0

Murid B5/5010.0

Murid C10/5020.0

Keputusan ujian penguasaan sifir darab responden dalam Jadual 7.1 ditunjukkan menggunakan graf bar seperti dalam Rajah 6. Tahap penguasaan yang ditunjukkan oleh responden ialah 20.0% dan ke bawah. Penguasaan ini masih lemah kerana mereka tidak dapat mencapai markah lulus yang ditentukan oleh Lembaga Peperiksaan Malaysia (LPM) iaitu 40.0% dan ke atas. Oleh itu, responden amat memerlukan tindakan intervensi untuk meningkatkan tahap penguasaan sifir darab.

Rajah 3. Graf tahap penguasaan sifir darab responden sebelum tindakan tntervensi.

7.2 Adakah penggunaan Bunga Darab dapat meningkatkan penguasaan sifir darab murid-murid pemulihan Tahun Dua?

Pengkaji menggunakan Bunga Darab sebagai intervensi untuk meningkatkan penguasaan sifir darab dalam kalangan murid-murid pemulihan Tahun Dua. Bagi mengetahui sama ada responden menunjukkan peningkatan penguasaan sifir darab selepas pelaksanaan tindakan intervensi Bunga Darab, pengkaji membuat perbandingan antara keputusan ujian pra dan ujian pasca responden.

Peningkatan penguasaan sifir darab dalam kalangan murid-murid pemulihan Tahun Dua terbukti wujud. Murid A menunjukkan peningkatan sebanyak 60.0%. Manakala, Murid B dan Murid C masing-masing menunjukkan peningkatan yang sama iaitu sebanyak 80.0%. Jadual 7.2 menunjukkan perbandingan antara keputusan ujian pra dan ujian pasca responden.

Jadual 7.2Perbandingan Dapatan Ujian Pra dan Ujian Pasca.RespondenPeratus kemahiran yang dikuasai dalam ujian pra(Bilangan Soalan yang Betul/Jumlah Soalan)Peratus kemahiran yang dikuasai dalam ujian pasca(Bilangan Soalan yang Betul/Jumlah Soalan)Perbezaan {Peningkatan (+) / Penurunan (-)}

Murid A20.0%(10/50)80.0%(40/50)+60.0%

Murid B10.0%(5/50)90.0%(45/50)+80.0%

Murid C20.0%(10/50)100.0%(50/50)+80.0%

Data-data dalam Jadual 7.2 telah ditunjukkan dalam bentuk graf. Rajah 4 menunjukkan perbezaan keputusan ujian pra dan ujian pasca responden dalam penguasaan sifir darab.

Ujian praUjian pasca

Rajah 4. Graf perbandingan keputusan antara ujian pra dan ujian pasca.

Hasil dapatan dalam Rajah 4 disokong oleh maklum balas dari guru pemulihan, guru Matematik dan responden melalui temu bual. Berdasarkan maklum balas dari guru pemulihan dan guru Matematik, masing-masing mengatakan bahawa responden menunjukkan peningkatan penguasaan sifir darab dan Bunga Darab dapat membantu mengatasi penguasaan sifir darab responden. Selain itu, responden turut dapat menyatakan sifir darab secara spontan dan betul semasa temu bual dijalankan.

Sepanjang pelaksanaan tindakan intervensi, pengkaji menekankan pada kaedah belajar sambil bermain serta menggalakkan aktiviti hands-on dalam membantu responden mencapai peningkatan penguasaan sifir darab. Dapatan kajian yang diperoleh dalam Rajah 4 disokong oleh Munir Hussain dan Mumtaz Akhtar (2013) yang menyarankan kaedah hands-on dapat menyediakan pengalaman belajar yang baik kepada murid-murid. Hasil analisis dapatan Munir Hussain dan Mumtaz Akhtar (2013) menunjukkan pencapaian murid-murid meningkat selepas beliau menggunakan kaedah hands-on dalam pengajaran dan pembelajaran.

Justeru, dengan sokongan daripada hasil kajian-kajian yang lain, pengkaji menyimpulkan bahawa penggunaan Bunga Darab yang menekankan pada unsur main dan hands-on sememangnya dapat meningkatkan penguasaan sifir darab murid-murid pemulihan Tahun Dua.

7.3 Adakah murid-murid pemulihan Tahun Dua berminat terhadap penggunaan Bunga Darab dalam penguasaan sifir darab?

Pengkaji menggunakan rekod anekdot dan soal selidik dalam mengenal pasti sama ada murid-murid pemulihan Tahun Dua berminat terhadap penggunaan Bunga Darab. Fokus utama pada rekod anekdot yang digunakan oleh pengkaji ialah melihat tingkah laku responden. Pengkaji membuat pemerhatian bertulis ke atas tingkah laku responden bagi melihat minat dan keseronokan belajar mereka. Menurut Zulzana Zulkarnain, et al. (2010), minat dan keseronokan belajar mempunyai kaitan dengan tingkah laku seseorang. Sepanjang pelaksanaan intervensi Bunga Darab, responden menunjukkan minat dan keseronokan belajar yang tinggi semasa Bunga Darab digunakan. Responden mendengar arahan pengkaji, membimbing rakan-rakannya yang lain, menyiapkan kerja rumah dan sebagainya. Bukan itu sahaja, pengkaji juga mendapati responden jarang meminta kebenaran untuk ke tandas kerana ingin menggunakan masa untuk belajar sifir darab dengan menggunakan Bunga Darab. Responden sering mengutarakan soalan-soalan apabila tidak memahami sesuatu malah berasa gembira dan seronok kerana memahami sesuatu yang selama ini tidak terungkai jawapannya.

Bagi mengukuhkan lagi hasil rekod anekdot, pengkaji menggunakan analisis soal selidik untuk menyokongnya. Berdasarkan maklum balas responden dalam soal selidik, pengkaji mendapati responden menunjukkan minat dan keseronokan belajar sifir darab yang tinggi dengan menggunakan Bunga Darab.

Sepanjang penggunaan Bunga Darab, pengkaji menekankan pada kaedah main. Pengkaji memastikan responden berasa seronok semasa belajar sifir darab dengan menggunakan Bunga Darab. Kaedah pembelajaran yang berasaskan main ini menepati hasil kajian Ahmad Fadzli Fauzi (2009) yang menyarankan penggunaan kepelbagaian jenis kaedah dalam pengajaran dan pembelajaran harus ditekankan kerana dapat merangsang motivasi pelajar supaya berminat dengan pengajaran. Justeru, pengkaji menyimpulkan bahawa murid-murid pemulihan Tahun Dua berminat terhadap penggunaan Bunga Darab dalam penguasaan sifir darab.

8.0 RUMUSAN

Tujuan utama kajian ini adalah untuk mengkaji penggunaan Bunga Darab dalam meningkatkan penguasaan sifir darab dalam kalangan murid pemulihan Tahun Dua. Sememangnya, hasil kajian menunjukkan penggunaan Bunga Darab dalam pengajaran dapat meningkatkan penguasaan sifir darab murid-murid. Mereka turut menunjukkan minat terhadap Bunga Darab yang digunakan semasa belajar sifir darab. Pengkaji menekankan kaedah main dan hands-on semasa melaksanakan tindakan intervensi. Kedua-dua unsur ini merupakan unsur yang penting dan harus diberi pertimbangan. Ini selaras dengan apa yang diutarakan oleh Jean Piaget (1952, seperti dinyatakan dalam Christine, 2012). Beliau menyatakan bahawa dengan aktiviti dan permainan yang menarik, ia mampu memberi pemahaman Matematik yang lebih berkesan kepada murid-murid. Ini bermakna sekiranya kaedah pengajaran yang menarik tidak digunakan, murid-murid tidak berminat dalam pengajaran dan tidak mendapat input yang sepatutnya.

Selain itu, dapatan kajian dari ujian pasca, temu bual, rekod anekdot dan soal selidik selaras dengan pandangan daripada Noor Azlan, & Nurdalina (2006) yang menyatakan bahawa pengajaran guru akan lebih mudah dengan penggunaan bahan bantu mengajar. Ini boleh mencetuskan minat responden untuk belajar kerana bahan bantu belajar iaitu Bunga Darab yang digunakan oleh pengkaji berfungsi sebagai penggalak dalam penyampaian pelajaran.

9.0 CADANGAN KAJIAN SETERUSNYA

Pengkaji berharap kajian ini tidak berakhir setakat ini sahaja sebaliknya kajian lanjutan boleh dilakukan bagi mendapatkan hasil kajian yang lebih bermakna dan meneruskan kajian ini. Di sini pengkaji telah mencadangkan cadangan kajian lanjutan yang boleh dilakukan.

Antaranya termasuklah:i. Menggunakan Bunga Darab untuk mengajar kemahiran lain seperti kemahiran sifir bahagi.ii. Meluaskan pemilihan responden kajian dengan melibatkan murid-murid Tahap Satu yang mengalami masalah penguasaan sifir darab.iii. Lokasi kajian boleh diperluaskan ke sekolah-sekolah lain.

Pengkaji berharap agar penggunaan Bunga Darab bukan sahaja dapat menjamin kualiti pengajaran dan pembelajaran murid-murid tetapi juga dapat mewujudkan suasana pembelajaran yang kondusif dan memberangsangkan.

SENARAI RUJUKAN

Ahmad Fadzli Fauzi. (2009). Bagaimana merangsang seronok belajar. Kuala Lumpur: PTS Professional Publishing Sdn. Bhd.

Azizi Yahaya, Shahrin Hashim, Jamaludin Ramli, Yosof Boon, & Abdul Rahim Hamdan. (2007). Menguasai penyelidikan dalam pendidikan. Selangor: PTS Publications & Distributors Sdn. Bhd.

Berita Harian. (2011). Jurang perbezaan sistem pendidikan negara dengan negara luar membimbangkan. Diperoleh dari http://www2.bharian.com.my/bharian/articles/Jurangperbezaansistempendidikannegaradengannegaraluarmembimbangkan-PPPM/m/mArticle

Boon, P.Y., Noriati A Rashid, & Sharifah Fakhriah Syed Ahmad. (2012). Murid dan alam belajar. Kuala Lumpur: Siri Pendidikan Guru Oxford Fajar.

Choong, L.K. (2011). Asas penyelidikan tindakan untuk program ijazah sarjana muda perguruan dengan kepujian. Kuala Lumpur: Kumpulan Budiman Sdn. Bhd.

Christine Laing Anak Agam. (2012). Keberkesanan penggunaan balang batu berwarna dalam meningkatkan penguasaan kemahiran membilang nombor 1 hingga 10 dalam kalangan murid prasekolah. Tesis tidak diterbitkan, Institut Pendidikan Guru Kampus Rajang, Sarawak, Malaysia.

Malaysia Kini. (2012, Disember 20). Malaysia's education disaster - time for change. Berita Harian. Diperoleh dari http://www.malaysiakini.com/letters/217152

Munir Hussain, & Mumtaz Akhtar. (2013). Impact of Hands-on Activities on Students Achievement in Science: An Experimental Evidence from Pakistan. Middle-East Journal of Scientific Research, 16(5), 626-632. doi:10.5829/idosi.mejsr.2013.16.05.1310

Riduan Dolmat. (2010). Kajian tentang pemahaman murid tentang konsep purata Tahun 5 dengan menggunakan guli dan gambarajah. Diperoleh dari http://riduan2010.blogspot.com/2010/10/laporan-projek_13.html

Zulzana Zulkarnain, Mohamed Saim, & Roslina Ab. Talib. (2010). Hubungan antara minat, sikap dengan pencapaian pelajar dalam kursus cc301 quantity measurement. Diperoleh dari http://www.polipd.edu.my/v3/sites/default/files/1edusem12.pdf

12