unit 10 pjj sp

Upload: hazril-emy

Post on 30-Oct-2015

73 views

Category:

Documents


0 download

TRANSCRIPT

  • L A K U A N B A H A S A | 212

    UNIT 10

    LAKUAN BAHASA

    HASIL PEMBELAJARAN

    Pada akhir unit ini, anda diharapkan dapat:

    1. Mengenal pasti lakuan bahasa iaitu lokusi, ilokusi, perlokusi dan ujaran performatif.

    2. Menghuraikan implikatur perbualan iaitu bahasa tersirat, bahasa sindiran dan bahasa halus.

    3. Membezakan setiap lakuan bahasa.

    10.0 PENGENALAN

    Terbentuknya sistem sosial dalam masyarakat adalah melalui bahasa yang digunakan untuk

    berkomunikasi dalam pergaulan dan perhubungan antara sesama manusia. Bahasa adalah sistem

    lambang bunyi yang arbiter yang dipergunakan oleh masyarakat untuk berhubungan dan bekerjasama,

    berinteraksi dan mengidentifikasi diri, (Kridalaksana, 1993:1). Bidang bahasa atau linguistik telah lama

    dikaji dari pelbagai aspek oleh para sarjana untuk memastikan bidang ini terus berkembang selaras

    dengan penggunaannya yang dinamik. Hal ini demikian kerana pengkajian yang mendalam dalam bidang

    ini juga sangat relevan terhadap aspek makna atau semantik yang mendasari bidang linguistik ini.

    Menurut Imran Ho Abdullah dalam penulisannya mengatakan semantik adalah cabang ilmu

    linguistik yang mengkaji makna. Semantik merupakan satu cabang kajian falsafah yang kemudiannya

    digunakan oleh disiplin linguistik sebagai salah satu daripada komponen bahasa yang utama selain

    sintaksis, morfologi dan fonologi jika dilihat dari aspek sejarah ilmu semantik barat. Oleh itu, terdapat

    pendapat yang merasakan bahawa kajian semantik seharusnya menjadi fokus utama dalam linguistik

    kerana peranan utama bahasa adalah untuk mengujarkan sesuatu yang bermakna. Selain itu, pragmatik

    pula merupakan cabang ilmu linguistik yang mula mendapat perhatian pada akhir 1970-an. Ilmu ini

    digunakan bagaimana manusia memahami dan menggunakan bahasa dalam komunikasi harian. Oleh itu,

    sesuatu ungkapan linguistik dianggap sebagai lakuan bahasa. Lakuan bahasa hanya wujud dalam satu

  • L A K U A N B A H A S A | 213

    situasi komunikasi lazimnya yang terdapat dalam perbualan atau wacana. Justeru, pragmatik juga dikenali

    sebagai analisa perbualan atau secara umumnya ialah analisa wacana.

    10.1 TEORI LAKUAN BAHASA

    Lakuan bahasa hanya wujud dalam satu proses interaksi dan lazimnya terdapat di dalam sesuatu

    perbualan atau wacana (Abdullah Yusof, 2009). Justeru, lakuan bahasa sangat penting dalam pengajaran

    dan pembelajaran kerana lakuan bahasa digunakan oleh guru semasa proses pengajaran. Setiap bentuk

    ujaran yang diucapkan oleh guru mempunyai tujuan yang berbeza-beza bergantung kepada sesuatu

    situasi atau keadaan. Menurut Umar Solikhan (2005), ujaran dapat berfungsi untuk memerintah,

    menyampaikan maklumat dan menyatakan perasaan. Menurut Ahmad Mahmood Musanif (1998), teori

    lakuan bahasa telah dikembangkan oleh Austin (1962) dan Searle (1969). Kedua-dua ahli falsafah terkenal

    ini mengemukakan bahawa lakuan-lakuan yang dipersembahkan adalah berdasarkan bahasa yang

    diujarkan. Oleh itu, teori ini menumpukan kepada perkaitan antara makna dan lakuan dengan bahasa yang

    dituturkan.

    Selain itu, menurut Abdullah Yusof et al., (2009), teori lakuan bahasa ini telah dipelopori oleh J. L.

    Austin yang dibuktikan berdasarkan syarahan beliau yang berlangsung pada tahun 1955 bertempat di

    Universiti Harvad. Siri syarahan ini kemudiannya diterbitkan sebagai sebuah buku yang berjudul How To

    Do Things with Words pada tahuan 1962, iaitu selepas beliau meninggal dunia. Oleh itu, buku ini menjadi

    asas kepada Teori Lakuan Bahasa. Pelajar beliau, John R. Searle telah menyambung usaha beliau

    terutama di dalam buku yang berjudul Speech Acts: An Essay in the Philosophy of Language (1969)

    terbitan Universiti Cambridge. Menurut Ahmad Musanif (1998) istilah Speech Act Theory diterjemahkan

    sebagai Teori Lakuan Bahasa atau Teori Lakuan Pengucapan atau Teori Perilaku Bahasa.

    Interaksi bilik darjah adalah wacana yang merupakan komunikasi secara bersemuka di antara dua

    orang atau lebih, misalnya di antara guru dengan pelajar atau di antara pelajar dengan pelajar. Menurut

    hipotesis Searle (1969:16) dalam Ahmad Mahmood Musanif (1998:85), bercakap dengan sesuatu bahasa

    bererti menceburkan diri ke dalam satu bentuk perlakuan yang terikat dengan peraturan. Berkomunikasi

    melibatkan kepelbagaian fungsi dalam bahasa tersebut. Apabila seseorang bertutur, bahasa yang

    digunakan mempunyai tujuan yang tertentu misalnya menggunakan ayat perintah untuk memberikan

    arahan atau permintaan. Asmah Haji Omar (1997:21), menyatakan lakuan bahasa sebagai tindakan yang

  • L A K U A N B A H A S A | 214

    tergambar dalam bahasa yang digunakan. Lakuan bahasa boleh disamakan juga dengan fungsi butir

    pertuturan atau tutur kata. Sewaktu bertutur, seseorang akan melakukan satu lakuan pertuturan misalnya,

    membuat pernyataan, memberi perintah, menanyakan soalan dan membuat janji.

    Berdasarkan contoh ayat di bawah, ia boleh dianggap sebagai membuat pernyataan iaitu untuk

    menghuraikan suatu keadaan. Namun, dalam sesetengah konteks bagi ujaran tersebut, ia mempunyai

    fungsi lebih untuk membuat kenyataan. Terdapat juga dalam sesetangah konteks ujaran seperti ayat 1-4,

    mungkin langsung bukan berbentuk kenyataan.

    1. Ada ular di bawah meja.

    2. Bilik ini sungguh panas.

    3. Awak ini kelakarlah.

    4. Opah jatuh.

    Menurut ayat-ayat di atas, ujaran 1 berfungsi untuk memberi amaran. Ujaran 2 pula berfungsi untuk

    memohon agar sesuatu dilakukan dan ujaran 3 adalah untuk menandakan tidak bersetuju. Oleh yang

    demikian, sesuatu kenyataan bergantung kepada konteks ujaran. Seperti ayat 1 hingga 4 tadi, ia bukan

    sekadar untuk membuat pernyataan. Bagi ayat 4 misalnya, ia boleh mempunyai fungsi yang berbeza iaitu:

    a. konteks nenek duduk bersama = tolong bawa nenek ke klinik

    b. konteks nenek duduk di tempat lain = bawa emak menziarah

    Dalam hal ini, teori lakuan bahasa mungkin mempunyai persamaan dengan cakap berlapik dalam

    masyarakat Melayu. Selain itu, jika ayat tersebut bukan dari jenis ayat seperti ayat tanya dan ayat suruhan,

    ia juga boleh dianalisis dari sudut lakuan atau perbuatan yang dilakukan oleh ujaran atau ayat tersebut.

    Jelas terdapat dalam contoh ayat yang seterusnya, di mana lakuan bahasa yang sama boleh tercapai

    dengan menggunakan ujaran yang berlainan dengan struktur ayat yang berbeza. Dengan kata lain, tidak

    kira jenis ayat, sama ada ayat tanya, ayat seruan, ayat penyata, kesemua ujaran itu boleh bertindak

    sebagai lakuan meminta.

    Ringkasnya, lakuan bahasa dapat dihuraikan sebagai tindakan yang wujud secara langsung ketika

    seseorang berkomunikasi. Setiap pertuturan mempunyai makna yang tersirat bukan hanya menumpukan

  • L A K U A N B A H A S A | 215

    kepada aspek tatabahasa semata-mata. Oleh itu, setiap penutur perlu bijak memilih bentuk bahasa yang

    sesuai dalam berkomunikasi bagi memastikan matlamat dan tujuan pertuturan dapat dicapai.

    10.2 KONTEKS TEORI LAKUAN BAHASA DARI SEGI SEJARAH DAN FALSAFAH

    LINGUISTIK

    Menurut Austin dalam Abdullah Yusof et. al., (2009), perkara penting dalam lakuan bahasa adalah dari

    sudut apa yang dilakukan oleh ujaran tersebut. Hal ini bermaksud ujaran ini mungkin berupa satu

    pernyataan dan lakuan itu pula adalah satu lakuan membuat kenyataan. Namun, ujaran itu juga boleh

    digunakan untuk bercakap benar atau bercakap besar atau mungkin juga untuk memberi amaran. Perkara

    penting yang ditekankan ialah apa yang mahu dilakukan atau yang mahu dicapai oleh penutur (penulis)

    apabila beliau membuat ujaran tersebut. Bercakap atau membuat ujaran adalah sama dengan dengan

    membuat perbuatan seperti menendang bola, mengangkat tangan, menabik, menadah tangan atau

    berjabat tangan. Perbuatan yang boleh dilakukan melalui ujaran termasuklah memberi salam,

    mengucapkan tahniah atau takziah, memanggil seseorang, melarang sesuatu dan sebagainya. Oleh itu,

    dalam hal ini teori lakuan bahasa boleh diaplikasikan kepada pelbagai pelbagai bahasa dan

    berkemungkinan lakuan bahasa Melayu mempunyai perbezaan dan persamaan dengan lakuan bahasa

    Inggeris, bahasa Arab atau bahasa Jepun.

    Kaedah memberi salam dalam pelbagai bahasa mungkin berbeza dan bersifat spesifik kepada

    bahasa tersebut. Kita boleh lihat contoh lakuan acts of welcoming / expressions of goodwill / (greetings)

    yang digunakan sebagai pembuka bicara dalam bahasa Melayu iaitu Selamat Pagi, Selamat Tengahari,

    Selamat Petang. Ucapan ini boleh berubah kepada Selamat Datang, Selamat Tinggal, Selamat Pengantin

    Baru, Selamat Tahun Baru Cina dan Selamat Hari Raya. Namun, dalam bahasa Inggeris pula pola

    greetings atau ucapan selamat bermula dengan good, seperti good morning, good afternoon, good

    evening. Menurut Searle, bahasa yang digunakan sebagai satu kegiatan atau perbuatan yang

    menghasilkan lakuan bahasa atau unit asas atau dikenali juga sebagai minima komunikasi linguistik.

  • L A K U A N B A H A S A | 216

    10.3 KONSEP ASAS DALAM LAKUAN BAHASA

    Lakuan bahasa yang dikaji oleh Austin (1962), melibatkan tiga jenis sahaja iaitu lakuan pengucapan

    (locutionari acts), lakuan niat pengucapan (illocutionary acts) dan lakuan tindak balas pengucapan

    (perlocutionary acts). Lakuan pengucapan bermaksud sejenis lakuan yang berfungsi untuk mengujarkan

    sesuatu ayat dengan makna yang tertentu. Menurut Parker (1994) pula, perlakuan ini semata-mata

    merujuk kepada ujaran ayat dalam satu bahasa. Ia merupakan pernyataan terhadap apa yang diucapkan

    oleh penutur.

    10.3.1 Lokusi

    Lokusi bermaksud lakuan pengucapan. Lakuan pengucapan atau ujaran ini merupakan bentuk kata-kata

    hakiki iaitu dalam bentuk nyata yang dituturkan. Menurut penulisan Geofrey Leech, lokusi bermaksud

    melakukan lakuan menyatakan sesuatu (Azhar M. Simin, 1993:239) dalam Abdullah Yusof et al. (2009).

    Maksud semantik bagi kata-kata yang diujarkan oleh penutur terlibat dalam lakuan pengucapan ini.

    Misalnya contoh ujaran panasnya bilik ini mempunyai lakuan pengucapan yang mengandungi tiga kata

    yang dimaksudkan sebagai bilik itu mempunyai suhu yang agak tinggi. Selain itu, contoh ayat yang

    mengandungi lakuan pengucapan ialah seperti berikut:

    (1) Ikan paus ialah haiwan mamalia.

    Ayat (1) merupakan lakuan pengucapan kerana penuturnya hanya ingin memaklumkan sesuatu dan

    bukannya mengharapkan pendengar untuk bertindak. Nababan (1987), dalam Dewa Putu Wijana

    (1996:18) mengatakan bahawa lakuan pengucapan ini berkaitan dengan proposisi ayat yang terdiri

    daripada subjek dan predikat.

    10.3.2 Ilokusi

    Ilokusi bermaksud lakuan niat pengucapan. Lakuan niat pengucapan berkait dengan apa yang dilakukan

    oleh penutur dengan melafazkan ujaran tersebut. Lakuan niat pengucapan ini boleh dikaitkan dengan

    fungsi ucapan tersebut seperti untuk mengarah atau memberi arahan, membuat tawaran, membuat janji,

    mengugut, mengucapkan terima kasih dan sebagainya. Misalnya di dalam ayat panasnya bilik ini.

  • L A K U A N B A H A S A | 217

    Lakuan niat pengucapan tersebut mungkin adalah untuk mengadu atau mungkin untuk meminta agar

    tingkap dibuka, menawar untuk membuka tingkap dan memohon pertukaran bilik. Secara ringkasnya disini,

    ilokusi bermakna melakukan lakuan apabila menyatakan sesuatu (Azhar M. Simin, 1993:23) dalam

    Abdullah Yusof et al. (2009). Selain itu, jenis lakuan yang kedua iaitu lakuan niat pengucapan pula

    melibatkan niat dalam sesuatu ujaran tertentu. Namun, Parker (1994) menyatakan bahawa lakuan ini

    merujuk kepada apa yang akan dilakukan oleh penutur apabila mengujarkan ayat tersebut, misalnya,

    pernyataan, perjanjian, permohonan maaf, menjangka, mengugut, memerintah dan membuat permintaan.

    Ayat lakuan niat pengucapan adalah seperti berikut:

    (2) Cuaca hari ini mendung.

    Ayat (2) merupakan lakuan niat pengucapan kerana penutur inginkan pendengar bertindak berdasarkan

    ayat yang diujarkan. Hal ini kerana penutur mungkin inginkan pendengar membawa payung kerana cuaca

    mendung. Lakuan bahasa niat pengucapan ini harus dipertimbangkan beberapa faktor seperti penutur,

    pendengar, bila dan di mana lakuan bahasa itu berlaku dan sebagainya.

    10.3.3 Perlokusi

    Perlokusi merupakan lakuan tindak balas pengucapan. Lakuan tindak balas pengucapan berkait dengan

    reaksi pendengar apabila telah mendengar sesuatu ujaran. Oleh yang demikian, jelas bahawa lakuan

    pengucapan yang sama berkemungkinan mempunyai daya lakuan niat pengucapan yang berbeza. Pada

    masa yang sama, lakuan pengucapan yang berbeza boleh mempunyai daya lakuan niat pengucapan yang

    sama. Dalam contoh yang sama untuk lakuan niat mengadu, pengucap juga boleh menggunakan ayat

    tanya Tidak ada bilik yang lebih panas?. Reaksi pendengar atau lakuan tindak balas pengucapan yang

    dilakukan ialah mungkin pendengar akan membuka tingkap, meninggalkan bilik, memberi penjelasan dan

    sebagainya. Perkara penting dalam perlokusi ialah mengenai perbuatan melakukan sesuatu lakuan

    dengan menyatakan sesuatu (Azhar M. Simin, 1993:239) dalam Abdullah Yusof et al. (2009).

    Seterusnya, lakuan tindak balas pengucapan adalah lakuan yang boleh mempengaruhi pendengar

    disebabkan oleh maksud ujaran yang disampaikan oleh penutur. Ia merujuk kepada kesan terhadap

    pendengar tentang apa yang diujarkan oleh penutur. Hal ini meliputi tentang desakan, memalukan,

  • L A K U A N B A H A S A | 218

    mengancam, membosankan, menyakitkan hati dan sebagainya (Parker, 1994). Oleh itu, lakuan jenis ini

    digunakan untuk mendorong pendengar melakukan sesuatu kerana merasa takut, terancam dan

    sebagainya. Ayat lakuan tindak balas pengucapan adalah seperti berikut.

    (3) Saya tidak mempunyai wang, ayah.

    Ayat (3) yang diujarkan tidak hanya membawa maksud penutur tidak hanya memberitahu bahawa dia tidak

    mempunyai wang malah meminta wang daripada ayahnya. Kesan daripada ujaran ini ialah ayah tersebut

    akan memberi wang kepada anaknya.

    10.3.4 Ujaran Perfomatif

    Menurut Abdullah Yusof et al. (2009), ujaran performatif bermaksud melakukan sesuatu yang jelas

    berdasarkan kata kerja yang digunakan. Kita boleh lihat bahawa berbahasa boleh dianggap sebagai satu

    perbuatan yang jelas. Sebagai contoh, kita mengucapkan syabas kepada seseorang dengan mengujarkan

    kata syabas. Perbuatan atau aksi mengucap syabas boleh juga disampaikan dengan menepuk

    belakang bahu individu tersebut atau dengan memberi isyarat thumbs up, iaitu dengan ibu jari ke atas dan

    jari yang lain digenggam. Kita juga boleh melakukan perbuatan melarang seseorang daripada merokok

    dengan ujaran Jangan merokok di sini atau dengan hanya menggelengkan kepala dan tangan. Oleh itu,

    memandangkan ujaran dalam dua keadaan membawa kesan atau pengertian yang boleh dilakukan

    dengan perbuatan tanpa berbahasa, maka ujaran tersebut boleh disamakan dengan perbuatan tanpa

    bahasa itu. Hal ini menyokong teori lakuan bahasa, iaitu bahasa merupakan sejenis perbuatan.

    10.4 JENIS LAKUAN BAHASA

    10.4.1 Lakuan Bahasa Tidak Langsung

    Terdapat pelbagai ciri lakuan bahasa tidak langsung termasuklah ciri yang pertama iaitu kepelbagaian

    maksud atau niat penutur, Abdullah Yusof et al. (2009). Jika dibandingkan dengan lakuan bahasa

    langsung, umumnya ia hanya mempunyai satu maksud atau satu niat pengucapan. Menurut Searle, lakuan

    bahasa tidak langsung kebiasaannya mempunyai lebih daripada satu maksud atau niat pengucapan.

  • L A K U A N B A H A S A | 219

    1) Tempat itu agak jauhlah.

    Berdasarkan contoh ayat tersebut, lakuan bahasa yang terkandung di dalam ayat itu ialah untuk membuat

    pernyataan tentang jarak sesuatu tempat. Manakala lakuan bahasa tidak langsung mungin untuk

    memohon pertukaran tempat. Secara ringkasnya, lakuan bahasa langsung dan lakuan bahasa tidak

    langsung merupakan dua bahagian maksud yang terkandung dalam ujaran tersebut. Selain itu, ciri yang

    kedua ialah memberi keutamaan logikal maksud, Abdullah Yusof et. al., (2009). Perkara ini dimulakan dari

    ciri kepelbagaian maksud, di mana ciri ketertiban logikal ini menyatakan bahawa kepelbagaian maksud itu

    tidak berlaku serentak atau selari mahupun mempunyai kedudukan yang sama rata. Sebaliknya, maksud

    yang pelbagai itu berbentuk satu rantaian maksud yang berurutan mengikut keutamaan logikal. Contohnya,

    guru bertanya Siapa yang bertugas hari ini? ketika masuk ke dalam bilik darjah yang kotor. Ayat tersebut

    mengandungi dua maksud. Maksud yang pertama ialah menanyakan sesuatu (lakuan bahasa langsung),

    manakala maksud yang kedua ialah untuk meminta mereka yang bertugas membersihkan bilik darjah

    (lakuan bahasa tidak langsung). Di samping itu, ujaran tadi memberi maksud yang ketiga iaitu mungkin

    membentuk satu rantaian lain yang bebas daripada rantaian maksud pertama dan maksud kedua.

    Selain di atas, lakuan bahasa tidak langsung perlulah rasional, Abdullah Yusof et. al., (2009).

    Menurut Searle (1975), pergantungan logikal antara dua maksud sesuatu lakuan bahasa tidak langsung

    adalah rasional. Hal ini bermaksud bahawa andaian penutur dan pendengar mempunyai pengetahuan

    yang sama tentang sesuatu perkara yang diujarkan. Seterusnya, ciri yang keempat tentang lakuan bahasa

    tidak langsung ini ialah kelaziman, Abdullah Yusof et. al., (2009). Hal ini bermaksud lakuan bahasa itu

    sebagai satu kebiasaan. Dalam bahasa Melayu, ucapan selamat boleh dianggap sebagai satu lakuan

    bahasa tidak langsung berbentuk lazim, iaitu satu peranti semantik untuk membuat lakuan bahasa tidak

    langsung. Misalnya, ucapan Selamat Pagi sebagai lakuan bahasa tidak langsung, ia merupakan

    pembuka bicara kata untuk lakuan bahasa seterusnya.

    Ciri yang seterusnya ialah lakuan bahasa tidak langsung perlu mempunyai kesantunan, Abdullah

    Yusof et. al., (2009). Menurut Brown dan Levinson (1978), kewujudan lakuan bahasa tidak langsung dalam

    bahasa tabii merupakan satu keperluan untuk kesantunan. Manakala ciri yang terakhir ialah bermatlamat,

    Abdullah Yusof et. al., (2009). Hal ini bermaksud sesuatu lakuan bahasa secara umumnya mempunyai

    matlamat yang tersendiri seperti niat pengucapan yang bertujuan untuk memberikan apa-apa kesan

  • L A K U A N B A H A S A | 220

    kepada pendengar atau mendapatkan sesuatu tindak balas daripada pendengar (tindak balas

    pengucapan). Oleh itu, lakuan bahasa yang membuat pernyataan adalah bertujuan untuk meyakinkan

    pendengar tentang sesuatu ujaran, manakala lakuan bahasa yang meminta sesuatu mungkin bertujuan

    supaya pendengar melakukan sesuatu.

    Oleh yang demikian, secara kesimpulannya, lakuan bahasa merupakan satu ujaran yang

    menggambarkan perbuatan yang dilakukan oleh seseorang penutur. Ia juga mampu memberi gambaran

    yang sama dalam perlakuan yang berbeza. Seseorang penutur boleh mengujarkan sesuatu perkara yang

    diikuti dengan perbuatan yang meneguhkan lagi ujaran tersebut. Misalnya, seorang guru mengucapkan

    syabas kepada pelajarnya dengan ujaran syabas dan disertakan tindakan guru itu menepuk bahu

    pelajarnya.

    10.4.2 Implikatur (Implicature)

    Menurut Abdullah Yusof et. al., (2009), implikatur adalah makna yang tersembunyi di dalam ujaran. Oleh

    yang demikian, implikatur dapat dibahagikan menjadi implikatur perbualan dan implikatur konvensional.

    Implikatur perbualan iaitu makna yang tersembunyi di dalam percakapan. Implikatur konvensional iaitu

    makna yang tidak berasal dari prinsip-prinsip percakapan seperti maksim-maksim tetapi mudah dikaitkan

    dengan keterangan-keterangan yang berhubungan dengan bahasa atau ekspresi.

    Grice, seperti diungkap oleh Thomas (1995:57) dalam Abdullah Yusof e.t al., (2009), menyebut

    terdapat dua jenis implikatur. Antaranya ialah implikatur konvensional dan implikatur konversasional

    (percakapan). Implikatur konvensional merupakan implikatur yang dihasilkan daripada penalaran logika,

    ujaran yang mengandungi implikatur jenis ini, seperti diungkap oleh Gunarwan (2004), dapat dicontohkan

    dengan penggunaan kata sedangkan. Implikatur konversasional merupakan implikatur yang dihasilkan

    kerana tuntutan konteks tertentu (Thomas, 1995) dalam Abdullah Yusof e.t al., (2009).

    Contoh:

    (a) Sedangkan Perdana Menteri menghadiri majlis perkahwinan anak saya.

    (b) Saya kebetulan ke London untuk belajar selama dua tahun dan berangkat esok.

  • L A K U A N B A H A S A | 221

    Contoh (a) di atas merupakan implikatur konvensional yang beerti Perdana Menteri biasanya tidak

    menghadiri acara perkahwinan, sedangkan contoh (b) merupakan implikatur konversasional yang

    bermakna tidak dan merupakan jawapan kepada pertanyaan, Mahukah anda menghadiri majlis

    perkahwinan anak saya?

    Berbeza dengan Grice, menurut Gazdar dengan menggunakan prinsip kerjasama Grice dalam

    Abdullah Yusof et al. (2009), implikatur dapat dibezakan menjadi implikatur khusus dan implikatur umum.

    Yang pertama ada kerana konteks ujaran, misalnya contoh (a) di atas, sedangkan yang kedua tidak,

    misalnya contoh (b) di atas.

    10.4.3 Implikatur Perbualan

    Implikatur perbualan atau implikatur percakapan (conversational implicature) merupakan konsep yang

    amat penting dalam pragmatik disebabkan empat perkara (Levinson, 1983) dalam Abdullah Yusof e.t al.,

    (2009). Perkara yang pertama memungkinkan penjelasan fakta-fakta kebahasaan yang tidak terjangkau

    oleh teori linguistik. Perkara yang kedua, konsep implikatur memberikan penjelasan tentang makna

    berbeza dengan yang dikatakan secara asal. Seterusnya yang ketiga ialah konsep implikatur dapat

    menyederhanakan struktur dan isi deskripsi semantik. Perkara yang keempat melibatkan konsep implikatur

    dapat menjelaskan beberapa fakta bahasa secara tepat. Contohnya:

    (a) Pukul berapa sekarang?

    (b) Adik sudah bangun tidur.

    Berdasarkan contoh tersebut, dapat dilihat bahawa ayat (a) dan ayat (b) tidak berkaitan secara

    konvensional. Namun, penutur kedua sudah mengetahui bahawa jawapan yang disampaikan sudah cukup

    untuk menjawab soalan penutur pertama, kerana dia sudah mengetahui pukul berapa biasanya adik

    bangun tidur. Selain itu, implikatur perbualan secara harafiahnya bermaksud tutur kata yang tidak

    disebutkan secara jelas atau nyata. Ia hanya diungkapkan secara sindiran atau secara tersirat dan bukan

    secara langsung. Justeru, penutur pertama dan penutur kedua perlu memahami konteks perbualan supaya

    maksud implikatur ini dapat difahami oleh kedua-dua pihak. Implikatur perbualan terdiri daripada dua

    elemen iaitu bahasa sindiran dan bahasa tersirat, Abdullah Yusof e.t al., (2009).

  • L A K U A N B A H A S A | 222

    10.4.4 Bahasa Sindiran

    Menurut Abdullah Yusof et. al., (2009), bahasa sindiran merupakan perkataan yang ditujukan untuk

    menyatakan sesuatu maksud kepada seseorang, tidak disebutkan atau dinyatakan secara tepat. Bahasa

    sindiran hanya disampaikan secara sinis dengan dikias-kiaskan atau dilambangkan kepada perkara lain. Ia

    juga tidak dinyatakan atau disebutkan secara terus-terang atau ditujukan tepat kepada seseorang. Oleh

    yang demikian, ia sesuai dengan tujuannya untuk menyindir seseorang dengan tidak menyatakan secara

    tepat, dan penggunaannya juga dikiaskan kepada perkara yang lain. Tuturan yang bernada menyindir

    adalah tuturan yang mengacu kepada maksud ujaran untuk mencela atau mengejek pihak lain secara tidak

    langsung atau tidak terus terang.

    Contoh:

    (a) Nampaknya mendung sahaja hari ini, hari pun dah lama tak hujan! (ditujukan kepada seseorang

    yang berwajah muram atau masam sahaja.)

    Menurut Abdullah Yusof e.t al., (2009), terdapat lima sifat bahasa sindiran. Antaranya ialah penutur

    tidak mahu menyebutkan kata-kata tersebut secara terus-terang. Sifat yang kedua ialah orang yang

    ditujukan kata-kata itu mestilah mengerti bahawa kata-kata itu ditujukan kepadanya. Seterusnya ialah ia

    boleh dinyatakan dalam bentuk frasa, ayat atau pantun. Sifat yang keempat ialah ia boleh diucapkan

    dengan menyatakan sesuatu perkara yang lain. Sifat bahasa sindiran yang terakhir ialah ia digunakan

    untuk menempelak penutur kedua. Abdullah Yusof et al. (2009) menyatakan bahawa di dalam contoh novel

    Matahari di Hujung Malam, adalah berkaitan dengan jenis ragam ini.

    10.4.5 Bahasa Tersirat

    Menurut Abdullah Yusof e.t al., (2009), bahasa tersirat merupakan bahasa yang digunakan untuk

    menyampaikan sesuatu maksud tetapi tidak disampaikan secara terus. Cara penyampaian bahasa ini juga

    adalah lebih bersopan dan tidak menggunakan nada menyindir seperti dalam bahasa sindiran. Bahasa

    tersirat juga digunakan untuk menyampaikan maksud penolakan tetapi tidak disampaikan sehingga

    menyakitkan hati penutur kedua. Selain itu, bahasa tersirat juga berkehendakan penutur kedua memahami

    maksud yang ingin disampaikan oleh penutur pertama supaya perbualan tersebut dapat berjalan lancar.

    Kegagalan penutur kedua untuk memahami maksud penutur pertama yang menggunakan bahasa tersirat

    boleh menyebabkan salah faham dalam konteks perbualan tersebut.

  • L A K U A N B A H A S A | 223

    Contoh:

    (a) Apabila seorang Datuk Bendahara berkata kepada sultan, patik kurang periksa, tuanku, ia tidak

    bermaksud beliau sebagai orang besar tidak mempunyai kapasiti untuk memeriksa sesuatu hal. Ia secara

    tersirat bermaksud, aku tak tahulah!.

    Ini adalah bahasa-bahasa tersirat yang sering digunakan agar tidak melukakan hati pihak lain. Masalah

    sering timbul apabila mesej yang cuba disampaikan tidak diterima dengan baik, lalu disalah anggap. Jika

    mesej tidak diterima dengan betul, sultan tadi mungkin berkata, kalau kurang periksa, pergilah periksa

    sampai habis. Oleh yang demikian, bahasa-bahasa terisrat ini banyak digunakan setiap hari, banyak

    didengari tetapi tidak difahami. Justeru, untuk menjadi seorang good listener atau pendengar yang baik,

    seseorang perlu melatih diri untuk merenung kata-kata orang lain. Hal ini penting supaya bahasa tersirat

    yang cuba disampaikan dapat difahami dengan baik dan tidak disalah anggap. Menurut Abdullah Yusof et.

    al., (2009), terdapat pelbagai sifat bahasa tersirat termasuklah penutur tidak menuturkan maksud ayat

    secara terus terang. Selain itu, ayat yang digunakan adalah untuk menjaga hati penutur kedua. Selain itu,

    penggunaan bahasa tersirat dalalm konteks yang lebih bersopan. Manakala sifat yang terakhir ialah

    memerlukan penutur kedua memahami maksud bahasa tersirat.

    10.5 KESIMPULAN

    Oleh yang demikian, bahasa Melayu sangat kaya dan istimewa dengan bentuk-bentuk bahasa yang

    terdapat di dalamnya. Bahasa yang dimaksudkan ialah bahasa halus dan bahasa kiasan. Biasa kiasan

    lama biasanya akan lenyap daripada penggunaan dan digantikan dengan bahasa kiasan baharu yang

    sama erti atau pun bentuk lama itu mendapat makna baharu, Abdullah Yusof e.t al., (2009). Bahasa halus

    ini manis didengar dan intonasinya tidak keras serta perkataan terbaik sahaja yang akan digunakan oleh

    penutur ketika berbicara. Begitu juga melalui penggunaan peribahasa dalam masyarakat Melayu yang

    telah sebati dan penggunaannya menjadi warisan budaya bangsa Melayu. Bahasa halus merujuk kepada

    bahasa yang baik, sopan, dan beradab, memancarkan peribadi yang mulia serta menunjukkan

    penghormatan kepada pihak yang menjadi teman bicaranya. Justeru, dalam bahasa Melayu bentuk-bentuk

    bahasa halus termasuk juga bahasa kiasan yang dapat diklasifikasikan kepada bahasa kiasan bukan

    peribahasa dan bahasa kiasan peribahasa. Justeru, khazanah Melayu yang telah lama tercipta ini menjadi

    cerminan falsafah masyarakat Melayu yang tidak boleh diluputkan begitu sahaja.

  • L A K U A N B A H A S A | 224

    Huraikan 6 lakuan bahasa iaitu lokusi, ilokusi, perlokusi dan ujaran performatif?

    Jelaskan implikatur perbualan iaitu bahasa tersirat, bahasa sindiran dan bahasa halus?

    KATA KUNCI

    1. Lokusi 6. Bahasa tersirat

    2. Ilokusi 7. Bahasa sindiran

    3. Perlokusi 8. Bahasa halus

    4. Ujaran performatif 9. Lakuan bahasa

    5. implikatur

    PENILAIAN KENDIRI

    1. Huraikan perbezaan antara lokusi, ilokusi dan perlokusi serta berikan 2 contoh. 2. Jelaskan jenis lakuan bahasa serta 2 contoh. 3. Apakah maksud bahasa tersirat, bahasa sindiran dan bahasa halus?

  • L A K U A N B A H A S A | 225

    RUJUKAN Abdullah Yusof, (2009). Semantik dan Pragmatik Bahasa Melayu. Kuala Lumpur:

    Guru. Kuala Lumpur: Penerbit Icon Regian Sdn Bhd

    Austin, J.L. (1962). How To Do Things With Words, Cambrige, Mass : Harvard U.P. Abdullah Yusof, Alias Mohd Yatim dan Mohd Rain Shaari. (2009). Semantik dan Pragmatik Bahasa

    Melayu. Kuala Lumpur: Pustaka Salam Sdn. Bhd.

    Searle, J.R. (1969). Speech Acts: An Essay In The Philosophy Of Language, Cambridge : Cambridge U.P.