tugasan 3 (kkd 2063) - pembangunan sahsiah

Upload: nitotony73

Post on 19-Jul-2015

1.418 views

Category:

Documents


1 download

TRANSCRIPT

KKD 2063 : PEMBANGUNAN SAHSIAH

TUGASAN 3 ( 30% ) ESEI ( INDIVIDU )

KUMPULAN NAMA NOMBOR MATRIK PENSYARAH E-LEARNING

: : : :

SWK06(A112PJJ) NITO ANAK TONY D20112055167 ENCIK CHE ANUAR BIN CHE ABDULLAH

Penghargaan. Bersyukur kepada Tuhan yang maha esa dan maha pengasih kerana akhirnya berkat daripada kerja keras siang dan malam sehingga saya mampu menyiapkan tugasan ini walaupun pada mulanya agak sukar untuk mencari bahan rujukan dan mengaplikasikan teknologi komputer. Setinggi-tinggi penghargaan saya kepada pensyarah E-Learning, Encik Che Anuar Bin Che Abdullah kerana sudi membimbing kumpulan kami, terlibat dalam proses berforum, memberi tugasan dan pengumuman pada setiap masa di ruangan MyGuru 3. Turut tidak dilupakan kepada rakan-rakan sejawat dan rakan kumpulan SWK06 A112PJJ yang telah banyak member dorongan, bantuan, nasihat, motivasi, berkongsi pengalaman, maklumat dan idea sama ada semasa berforum atau menyiapkan tugasan ini. Segala kerjasama dan bantuan daripada anda semua amatlah dihargai dan ucapan jutaan terima kasih kerana telah banyak mencurahkan ilmu demi memartabatkan lagi profesion perguruan. Saya juga mengucapkan jutaan terima kasih kepada isteri dan anak-anak tersayang kerana sudi memberi peluang dan ruang kepada saya untuk menyiapkan tugasan ini dan melanjutkan pelajaran. Sekian, terima kasih.

i

Kandungan. 1. Latar belakang guru berkenaan. 2. Masalah yang dikenal pasti. 3. Analisis masalah berdasarkan satu teori yang dipelajari. 4. Cadangan pelan tindakan untuk membantu membentuk sikap dan sahsiah guru berkenaan. 5. Rumusan 9 13 1 3 7

ii

i. Latar belakang guru berkenaan. *Latar belakang peribadi : 1. Jantina : Lelaki. 2. Umur : 39 tahun. 3. Lokasi tempat tinggal : Kawasan luar bandar. 4. Lokasi sekolah : Kategori pedalaman 1. 5. Taraf perkahwinan : Berkahwin. 6. Kedudukan guru dalam keluarga asas : Anak yang ke-10. 7. Bilangan isteri : Seorang. 8. Bilangan anak dalam tanggungan : Dua orang. 9. Ahli keluarga yang tinggal bersama dengan guru sekarang : a. Bapa dan emak mertua. b. Tiga orang adik ipar yang masih bersekolah. 10. Harta yang ada sekarang : a. Sebuah rumah kampung yang sudah lama. b. Sebuah kereta Proton Saga yang lama. 11. Kelulusan akademik : Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia. 12. Kelulusan ikhtisas : Diploma Perguruan Malaysia.

1

*Latar belakang kerjaya : 1. Tempuh bekerja : 20 tahun. 2. Bilangan sekolah yang pernah ditugaskan : 2 buah sekolah. 3. Tahun mula bertugas : 1992. 4. Nama jawatan sekarang : PPPLD. 5. Gred jawatan : DG 29 6. Kategori lokasi sekolah sekarang : Pedalaman 1. 7. Anugerah yang pernah diperolehi : Tidak pernah menerima sebarang anugerah. 8. Pencapaian terbaik sepanjang perkhidmatan : Membawa pasukan bola sepak sekolah sehingga peringkat kebangsaan buat kali pertama. 9. Jarak sekolah dari pekan terdekat : 30 kilometer. 10. Jenis pengangkutan ke sekolah : Motosikal dan perahu. 11. Tugas-tugas utama di sekolah : a. Guru tingkatan. b. Ketua guru rumah sukan. c. Ketua guru penasihat persatuan pengakap. d. Penyelaras AJK Siaraya. e. AJK Perhimpunan sekolah. 12. Bilangan waktu mengajar dalam seminggu : 30 waktu.

2

ii. Masalah yang dikenal pasti. *Menyatakan masalah yang dikenal pasti : 1. Lewat menghadirkan diri ke sekolah. 2. Lewat masuk ke kelas untuk mengajar. 3. Waktu tidak mengajar (free period) selalu ke kedai di luar kawasan sekolah. 4. Jarang atau tidak memakai tali leher dengan kemas. 5. Tidak memakai baju lengan panjang. 6. Memakai kasut yang tidak sesuai dengan urusan rasmi. 7. Berambut tidak kemas dan melebihi kolar baju. 8. Tidak memakai tanda nama semasa bertugas. 9. Tidak menghadirkan diri ke mesyuarat sekolah. 10. Tidak menjalankan aktiviti unit berunifom diberikan. 11. Jarang menghantar buku rekod mengajar untuk disemak oleh pihak pentadbir. *Justifikasi masalah-masalah tingkah laku kes berdasarkan Etika dan Standard Guru : 1. Kelewatan menghadirkan diri untuk bertugas di sekolah adalah satu perlanggaran etika pengurusan masa yang telah ditetapkan oleh pihak sekolah berpandukan arahan daripada kementerian. Surat Pekeliling Ikhtisas Bilangan 2/1982 telah menetapkan supaya semua guru menepati masa bekerja yang dijadualkan di sekolah berdasarkan ketetapan masa yang diarahkan daripada kementerian. 2. Kelewatan memasuki kelas untuk memulakan sesi pengajaran dan pembelajaran merupakan kesalahan di dalam etika pengurusan masa. Beliau tidak menepati jadual waktu dan peruntukkan

3

masa mengajar yang telah dibuat oleh pihak sekolah berdasarkan pembahagian masa yang dibuat oleh kementerian. Menurut SPI Bil. 2/1982, para guru diingatkan supaya menepati peruntukkan masa dan jadual waktu yang telah ditetapkan bagi memenuhi masa bertugas di sekolah. 3. Masa tidak mengajar (free period) tidak sepatutnya digunakan oleh beliau untuk keluar dari kawasan sekolah tanpa urusan rasmi atau kebenaran pihak sekolah. Sebenarnya waktu ini digunakan oleh guru untuk menjalankan tugas perkeranian atau membuat persediaan untuk waktu yang seterusnya. Masalah tingkah laku ini telah melanggar etika pengurusan masa dan Perintah Am Bab D (Kelakuan Dan Tatatertib). 4. Pemakaian tali leher adalah digalakkan bagi semua guru terutama apabila diadakan majlis atau aktiviti rasmi di sekolah. Namun para guru diberikan sedikit kelonggaran bagi yang mengajar subjek-subjek tertentu seperti KHB dan PJPK kerana faktor keselamatan amali dan aktiviti luar kelas. Kelangsungan beliau tidak menggunakan tali leher walaupun semasa aktiviti rasmi atau perhimpunan sekolah telah melanggar etika pakaian guru. 5. Pemakaian baju lengan panjang adalah diwajibkan kepada guru supaya sentiasa nampak kemas dan berketrampilan. Namun di atas sebab kesesuaian situasi dan faktor keselamatan di bengkel maka baju lengan pendek boleh digunakan oleh guru subjek berkenaan. Keengganan memakai baju lengan panjang semasa aktiviti rasmi menunjukkan beliau melawan tatacara etika pakaian guru yang sepatutnya. 6. Penggunaan kasut yang sesuai bagi para guru semasa bertugas rasmi adalah kasut kulit berwarna hitam dan berkilat. Namun beliau tidak ambil peduli dengan memakai kasut sukan semasa mengajar di dalam kelas. Tingkah laku ini membuktikan bahawa beliau juga telah mengingkari cara etika pakaian guru. 7. Kekemasan diri guru bukan sahaja ditunjukkan dari segi pakaian dan kasut tetapi termasuklah potongan rambut yang pendek dan kemas. Panjang rambut guru sepatutnya tidak boleh melebihi kolar bajunya samalah dengan peraturan panjang rambut pelajar lelaki di sekolah. Beliau yang

4

tidak sedar bahawa rambutnya telah panjang menunjukkannya salah dalam etika keguruan iaitu dari segi kekemasan diri. 8. Nama diberikan oleh ibu bapa sebagai tanda penghargaan bahawa kita telah wujud di dunia ini. Beliau sebagai seorang guru sepatutnya bangga dengan namanya dan memakai tanda nama sewaktu bertugas agar mudah dikenali, didekati dan dihargai oleh rakan lain. Akibatnya, beliau telah tidak mematuhi etika pakaian guru yang mesti kemas dan berketrampilan. 9. Mesyuarat yang diadakan oleh pihak sekolah adalah wajib dihadiri oleh semua guru yang terlibat kecuali dengan sebab yang munasabah. Ketiadaan beliau ke mesyuarat membuktikan bahawa ini adalah kesalahan terhadap Etika Kerja yang telah ditetapkan oleh kementerian. 10. Penglibatan guru dalam aktiviti pasukan pakaian seragam merupakan sebahagian daripada tugas yang perlu dilaksanakan seperti yang telah diagihkan oleh pihak sekolah. Oleh itu, beliau tidak ada alasan untuk tidak mengaktifkan aktiviti persatuan pengakapnya. Ini menjelaskan bahawa beliau telah melawan Etika Kerja dan SPI Bil. 24/1998. 11. Setiap guru wajib mengisi dan menghantar buku rekod mengajar kepada pihak pentadbir sekolah untuk tujuan semakan. Kegagalan beliau mengisi dan menghantar buku rekod telah mengingkari arahan Surat Pekeliling Ikhtisas Bilangan 3/1999. *Huraikan perkembangan masalah-masalah tingkah laku kes anda secara kronologi. Beliau mula bertugas di sekolah pertamanya pada tahun 1992. Sekolah tersebut terletak di kawasan luar Bandar iaitu kira-kira 30 km dari bandar terdekat. Prestasi beliau semasa bertugas di situ adalah memuaskan tanpa sebarang masalah tingkah laku. Beliau telah bertugas di sana selama sepuluh tahun. Kemudian beliau memohon berpindah ke sekolah barunya sekarang. Pada tahun pertama perkhidmatan, prestasi kerjanya agak baik tetapi masalah tingkah laku bermula pada tahun berikutnya. Tragedi kemalangan jalan raya yang meragut nyawa kedua orang tua kesayangan telah mengubah tingkah lakunya. Beliau mula kelihatan tidak terurus dengan berambut tidak kemas dan tidak disikat apabila turun mengajar. Kadang-kala rambutnya mencecah kolar baju sehingga beliau pernah ditegur oleh penolong kanan 1 selaku pemangku pengetua ketika ini. 5

Guru berkenaan selalu tidak menggunakan tanda nama ketika bertugas di sekolah. Ini menyebabkan murid sukar untuk mengenali dan mencari beliau di bilik guru. Malah ibu bapa yang ada urusan dengan beliau terpaksa bertanya kepada guru lain akibat kesukaran untuk mengenalinya berdasarkan tanda nama yang tidak dipakai. Di sekolah, beliau mengajar subjek KHB dan PJPK sehingga menyebabkannya tidak sedar memakai kasut sukan dengan pakaian kerja rasmi untuk mengajar di dalam kelas. Malah beliau terbawa dengan masalah ini walaupun untuk menghadiri majlis rasmi sekolah. Tambahan pula beliau jarang menggunakan tali leher dan baju lengan panjang apabila mengajar. Ini mungkin kerana beliau adalah guru KHB dan PJPK yang sering menjalankan praktikal di bengkel dan aktiviti sukan di padang. Alasan inilah yang menjadi punca beliau berpakaian sedemikian rupa. Tingkah laku beliau terus berubah setelah beristeri dan mendapat cahaya mata pertamanya. Beliau didapati sering lewat dating ke sekolah untuk memulakan tugasnya. Walaupun loceng pertama telah berbunyi namun beliau belum lagi menulis kehadirannya. Alasan yang diberikan oleh beliau ialah terlewat bangun kerana menjaga anaknya pada waktu malam. Beliau juga lewat masuk ke kelas antara sepuluh hingga lima belas minit untuk mengajar. Biarpun loceng pertukaran waktu telah berbunyi namun beliau lewat masuk tanpa sebarang sebab. Saya selalu ternampak beliau balik ke rumah untuk bersarapan pagi dan menjaga anak apabila isterinya pergi ke kedai untuk membeli lauk. Beliau jarang berada di bilik guru apabila masa tidak mengajar (free period) kerana dia selalu balik ke rumah untuk bersarapan pagi atau pergi ke kedai untuk membeli barangan keperluan harian. Seterusnya, tingkah laku beliau terus bermasalah terhadap tugas apabila mendapat anak yang kedua. Ini kerana anak bongsunya selalu sakit dan perlu dihantar ke klinik yang berhampiran. Masalah ini menyebabkan beliau tidak dapat menjalankan aktiviti ko-kurikulum di sebelah petang. Selain itu, beliau adalah seorang yang minat bermain bola sepak sehingga dia sanggup untuk tidak menghadiri mesyuarat di sebelah petang demi minatnya itu. Malah beliau sendiri selalu terlupa mengisi buku rekod mengajar dan tidak menghantarnya sebab masa terluang disalahguna dengan mengabaikan tugas sekolahnya. Begitulah urutan cerita masalah tingkah laku guru berkenaan sehingga ke hari ini. 6

iii. Analisis masalah berdasarkan satu teori yang dipelajari. *Rasional sebab saya memilih teori ini. Saya memilih Pendekatan Humanistik iaitu Teori Hierarki Keperluan Maslow kerana perkembangan personaliti manusia banyak bergantung kepada keperluan yang paling dominan pada dirinya. Teori ini menghuraikan lima keperluan asas manusia yang mempengaruhi tingkah laku manusia. Peringkat keperluan itu bermula dari bawah yang paling utama iaitu keperluan fisiologi, keperluan keselamatan, keperluan kasih sayang, keperluan penghargaan kendiri dan keperluan kesempurnaan kendiri berada di atas sekali. Segala keperluan ini adalah semulajadi yang mempengaruhi tingkah laku seseorang individu. Namun keperluan ini boleh diketepikan melalui proses pembelajaran, tuntutan budaya, perasaan takut dan penerimaan individu itu sendiri. Tingkah laku untuk memenuhi segala keinginan adalah dipelajari dan mengakibatkan perlakuan seseorang yang berbeza. Keperluan ini telah disusun daripada keperluan paling utama kepada keperluan yang kurang penting. Keperluan di peringkat bawah sekali mesti dipenuhi sebelum beralih kepada keperluan di peringkat yang lebih tinggi. Keutamaan keperluan ini boleh bertukar mengikut situasi. Contohnya, masalah tingkah laku guru ini adalah akibat keperluan tertentu yang perlu dipenuhi dahulu dan mengenepikan tugas yang dianggap keperluan yang kurang penting apabila beliau lebih mengutamakan tanggungjawab keluarga daripada tanggungjawab tugasnya. Oleh sebab itulah saya memilih teori ini kerana masalah tingkah laku beliau adalah berpunca daripada keperluan-keperluan yang lebih diutamakan pada dirinya sebelum dia dapat memenuhi keperluan terhadap tugasnya di sekolah. *Analisis masalah tingkah laku kes anda berdasarkan teori. Masalah tingkah laku beliau boleh dibahagikan kepada tiga kumpulan mengikut perlanggaran terhadap tiga etika perguruan. Kumpulan masalah pertama adalah melanggar peraturan daripada etika pakaian guru. Contohnya, beliau menyimpan rambut sehingga menutup kolar baju dan tidak disikat dengan kemas semasa bertugas. Masalah ini akibat daripada keperluan kasih sayang yang tidak dapat dipenuhi selepas kehilangan ibu bapa di dalam 7

kemalangan jalan raya. Keperluan penghargaan kendiri oleh rakan sekerja yang tidak tercapai menyebabkan beliau berambut sedemikian dengan tujuan bagi mendapatkan perhatian orang lain. Malah akibat kehilangan kedua orang tua menyebabkan gangguan emosi kerana hilang keperluan kasih sayang daripada mereka. Seterusnya, masalah tidak memakai tanda nama adalah disebabkan nama beliau yang agak lucu telah menghalang pencapaian keperluan penghargaan kendiri. Beliau tidak mendapat pengiktirafan tentang diri sendiri dan berasa kurang dikenali oleh orang lain. Masalah seperti berkasut sukan semasa tugas rasmi, jarang atau tidak memakai tali leher dan suka memakai baju lengan pendek adalah berpunca daripada keperluan fisiologi yang tidak dapat dipenuhi. Beliau memakai kasut sukan kerana kasut kulitnya telah koyak , lama dan mengalami masalah kewangan untuk membeli kasut kulit yang baru. Begitu juga masalah beliau yang tidak suka bertali leher dan berbaju lengan pendek adalah di atas sebab keperluan keselamatan. Beliau berasa lebih selamat dan selesa berpakaian sedemikian kerana mengajar subjek KHB di bengkel agar tidak tersangkut pada mesin yang boleh membahayakan dirinya. Malah apabila beliau mengajar subjek PJPK maka adalah lebih selamat dan sesuai dengan berkasut sukan. Kumpulan masalah tingkah laku kedua beliau adalah perlanggaran terhadap etika pengurusan masa. Contohnya, masalah lewat dating ke sekolah pada awal pagi walaupun loceng pertama telah berbunyi. Kes ini berlaku semenjak tanggungjawab beliau bertambah setelah mendirikan rumah tangga dan mendapat anak pertama. Puncanya adalah keperluan fisiologi, keperluan keselamatan dan keperluan kasih sayang yang perlu dipenuhi bagi diri dan keluarganya. Nampaknya beliau lebih mengutamakan keperluan ini terhadap keluarga sebelum mampu memenuhi keperluan terhadap tugasnya. Masalah beliau lewat memasuki kelas untuk mengajar kerana dia selalu balik ke rumah untuk bersarapan pagi dengan tujuan untuk memenuhi keperluan fisiologi dirinya. Beliau berbuat demikian kerana ingin menjimatkan wang dengan bersarapan di rumah berbanding jika bersarapan di kantin. Beliau perlu memenuhi keperluan fisiologi iaitu makan dan minum sebelum meneruskan tugasnya. Satu lagi masalah tingkah laku beliau ialah tidak berada di bilik guru pada waktu tidak mengajar (free period) kerana keluar ke kedai mencari keperluan fisiologinya seperti daging dan sayur.

8

Kumpulan masalah tingkah laku yang ketiga adalah melanggar etika kerja. Contohnya, beliau tidak menjalankan tugas sebagai guru penasihat persatuan Pengakap di sebelah petang pada setiap hari Rabu. Ini kerana beliau kerap menghantar anaknya ke klinik untuk rawatan dan membantu isterinya di rumah. Apatah lagi pihak pentadbir sekolah jarang meninjau kegiatan kokurikulum di sebelah petang. Ini bermakna keperluan penghargaan kendiri tidak tercapai bagi dirinya sebab pada pendapatnya sama ada aktif atau tidak sesebuah persatuan itu tanpa pemantauan adalah tidak berguna. Penghargaan terhadap penat lelah bagi mengelolakan aktiviti persatuan tanpa pemantauan adalah tidak membawa faedah kepada dirinya. Justeru itu adalah lebih berfaedah dengan membantu keluarga di rumah daripada berjemur dan berhujan di padang tanpa perhatian pihak atasan sekolah. Begitu juga apabila sesuatu mesyuarat yang diadakan di sebelah petang, biasanya beliau tidak akan hadir. Kehadiran beliau umpama tidak dipedulikan oleh guru lain dan tidak pernah diberi peluang untuk menyatakan pendapat serta menunjukkan kebolehannya bagi menjayakan sesuatu program. Keperluan kesempurnaan kendiri tidak tercapai maka beliau memilih untuk bermain bola sepak di padang majlis daerah kerana dapat bergaul dan dihargai oleh masyarakat di luar sekolah. Cara ini dapat menonjolkan bakat beliau yang sering dipuji oleh masyarakat luar sehingga beliau selalu mewakili pasukan di luar sekolah. Kepuasan diri tercapai untuk memenuhi keperluan kesempurnaan kendiri dengan mempamerkan bakat dalam permainan bola sepak. Masalah terakhir beliau ialah tidak mengisi dan menghantar buku rekod kepada pihak pentadbir sekolah. Pendapat beliau adalah biarpun tulisan cantik dengan rancangan yang lengkap tetapi tidak dihargai oleh penyemaknya juga tidak ada faedahnya. Maka keperluan penghargaan kendiri tidak tercapai walaupun beliau pernah mencuba untuk membuat yang terbaik. Oleh kerana sudah jemu dengan karenah pihak atasan maka beliau kecewa dan ini menyebabkannya bertingkah laku sedemikian. iv. Cadangan pelan tindakan untuk membantu membentuk semula sikap dan sahsiah guru berkenaan. *Rangka pelan tindakan : 1. Memenuhi keperluan fisiologi.

9

Terdapat beberapa masalah tingkah laku beliau berpunca daripada keperluan fisiologi yang perlu dipenuhi terlebih dahulu. Masalah ini boleh diatasi sekiranya beliau menyediakan atau mendapat keperluan fisiologi lebih awal supaya dia dapat menumpukan perhatian terhadap tugasnya. Oleh itu, pihak pentadbir sekolah boleh memanggil beliau untuk berbincang dan menasihatinya agar memenuhi keperluan fisiologi dahulu sebagai persediaan sebelum memulakan tugasnya. Alasan-alasan seperti balik ke rumah untuk bersarapan pagi atau pergi ke kedai untuk membeli barang dapat diselesaikan jika beliau bersarapan pada awal pagi, membawa bekalan ke sekolah atau membeli barangan keperluan sehari lebih awal. 2. Memenuhi keperluan keselamatan. Beliau akan berasa lebih selamat, yakin dan mematuhi etika kerja sekiranya pihak sekolah menekankan peraturan yang boleh mengekang masalah tingkah lakunya. Pihak pentadbir perlu lebih tegas dengan selalu mengingatkan dan menjelaskan tentang menepati masa bekerja dan larangan keluar dari kawasan sekolah tanpa urusan rasmi. Peringatan mengenai peraturan ini akan memberi kepastian, ketenteraman dan kestabilan kepada beliau supaya lebih fokus kepada tugasnya. Sesi taklimat patut diadakan sekali dalam seminggu bagi mengingatkan para guru seperti perkara berkaitan kelakuan dan tatatertib di dalam Perintah Am Bab D. Cara ini dapat member kesedaran kepada beliau supaya patuh kepada peraturan kelakuan dan tatatertib. 3. Memenuhi keperluan kasih sayang. Keprihatinan rakan guru dan pihak pentadbir sekolah dengan masalah tingkah laku beliau adalah patut untuk memberi perangsang kepadanya supaya lebih bermotivasi terhadap kerjanya. Sikap suka mengambil berat tentang hal orang lain boleh membawa kebaikan sekiranya kita sentiasa berpandangan positif di antara satu dengan yang lain. Kerjasama di dalam satu sekolah adalah penting untuk mencapai kejayaan sekolah. Aktiviti-aktiviti seperti sambutan Hari Guru, gotong-royong PIBG, program rekreasi staf, Hari Keluarga Sekolah, Hari Sukaneka Staf dan majlis makan bersama boleh dianjurkan oleh pihak sekolah dengan tujuan untuk mengeratkan hubungan di antara warga sekolah. Pihak sekolah mesti memantau perkembangan atau kegiatan yang dijalankan oleh guru di sekolah terutama bagi memastikan segala aktiviti luar kelas pada 10

sebelah petang dilaksanakan dengan baik. Teknik ini membuktikan penerimaan, penghargaan dan pengiktirafan pihak sekolah terhadap hasil kerja para guru. 4. Memenuhi keperluan penghargaan kendiri. Semua guru di sekolah berkenaan perlu memberi sokongan dan dorongan kepada beliau untuk memperbaiki tingkah lakunya. Pihak sekolah patut memberi peluang kepada beliau

dengan melantiknya sebagai jurulatih pasukan bola sepak sekolah. Cara ini membolehkan beliau rasa dihargai melalui peluang untuk melatih pasukan sekolah. Malah bakat beliau di dalam permainan ini boleh dipuji agar dia lebih bersemangat untuk bekerja. Peluang dan pujian sebegini akan membawa lebih penghargaan dan keyakinan untuk beliau terus meningkatkan prestasi kerjanya. Sekiranya perlu, surat jemputan ke sesuatu mesyuarat mesti disampaikan kepada beliau dan meminta pendapatnya semasa mesyuarat berlangsung. Pihak pentadbir sekolah sepatutnya memberikan kata-kata perangsang semasa menyemak buku rekod mengajar supaya beliau akan lebih yakin dan bersemangat tinggi. 5. Memenuhi keperluan kesempurnaan kendiri. Beliau sememangnya mempunyai bakat di dalam permainan bola sepak. Bakatnya terserlah dengan pernah mewakili pasukan ternama di bahagian ini. Malah melalui penyertaannya, beliau pernah mendapat anugerah pemain terbaik dan penjaring terbanyak di peringkat bahagian. Beliau merasa lebih yakin dan bangga apabila dapat bergaul dengan masyarakat luar kerana keserlahan bakatnya di padang. Ini kerana semasa menjadi jurulatih pasukan bola sepak sekolah dahulu, beliau pernah membawa pasukan sekolah sehingga ke peringkat kebangsaan. Pihak sekolah sepatutnya boleh melantik beliau selaku kapten pasukan staf atau ketua jurulatih bagi pasukan pelajar. Cara ini membolehkan beliau menunjukkan kebolehan dan bakat untuk memimpin pasukan dalam mencapai misi. Kejayaan yang dikecapi hasil kerja kerasnya akan membolehkan beliau berpuas hati, berkeyakinan dan lebih tenang untuk menyempurnakan tugasnya.

11

*Strategi penilaian pelan tindakan. 1. Borang semakan perkembangan klien kaunseling individu. Borang ini mengandungi maklumat klien seperti nama guru, gred jawatan, kod klien, tarikh dan catatan perkembangan klien. Dua bahagian penting yang terdapat dalam borang ini ialah tarikh dan catatan perkembangan klien. Setiap perubahan tingkah laku beliau ke arah sikap positif perlu dicatatkan di dalam borang dengan tarikhnya sekali. Catatan ini mesti ditulis dari semasa ke semasa bagi melaporkan perkembangan positif terhadap tingkah laku beliau. 2. Borang maklumat balas guru-guru lain tentang klien. Borang ini mencatat nama guru, gred jawatan dan tarikh maklum balas. Selain itu, borang ini mengumpul komen tentang tingkah laku beliau terhadap tugas, guru lain dan pelajar yang dicatat oleh guru lain. Maklum balas seperti ini dapat membantu kaunselor untuk memantau perkembangan positif tingkah laku beliau. 3. Pemerhatian. Perkembangan tingkah laku beliau boleh diperhatikan dari aspek percakapan, pakaian, postur, ekspresi muka dan pergerakan badan yang lain. Antara ciri-ciri yang boleh diperhatikan melalui percakapan beliau ialah nada suaranya, kelajuan percakapan dan bercakap sambil mendengar. Perhatikan jenis pakaian yang dipakai oleh beliau sama ada sesuai atau tidak dengan keadaan sekeliling. Kemudian kita boleh perhatikan postur tubuhnya sama ada sesuai dan baik di dalam situasi tertentu. Perhatikan juga ekspresi muka termasuk gerak mata, bibir dan mulut sama ada beliau menggunakan hubungan mata yang baik. Biasanya, beliau sering kali merasa bimbang semasa sesi terapi. Kelakuan ini ditunjukkan melalui berbagai perlakuan seperti mengulas-ulas tisu, menggerakkan kaki, menggaru kepala, memicit jari atau menggaru badan. 4. Kerja rumah. Aktiviti ini adalah satu elemen penting dalam menentukan keberkesanan kaunseling.

12

Latihan ini merujuk kepada sebarang tugasan yang diberikan kepada klien untuk disiapkan di antara sesi kaunseling. Kerja rumah diberikan dengan tujuan penilaian dan digunakan untuk meningkatkan kepekaan beliau terhadap keperluannya di dalam organisasi sekolah. Contohnya, jika beliau berusaha untuk mengurangkan kesedihan maka matlamat yang dikenalpasti mungkin meningkatkan aktiviti-aktiviti fizikal atau mengurangkan pemikiran yang kurang meyakinkan dirinya. Kaunselor sekolah boleh mencadangkan kepada beliau seperti aktiviti bersukan di sebelah petang, bersenam pada awal pagi atau senamrobik dengan muzik. Beliau perlu diberi peluang, bertanyakan soalan atau kerap ditegur sapa oleh guru lain untuk mengeratkan hubungan di antara staf. Strategi ini dapat membentuk satu system pelaporan dengan tujuan supaya beliau boleh menyiapkan satu laporan kemajuan tingkah laku ke arah perubahan yang lebih positif. Beliau boleh membuat catatan atau menulis data-data dalam sebuah buku kecil sebagai laporan bagi rujukan kaunselor. v. Rumusan. Manusia adalah makhluk ciptaan Tuhan yang mempunyai sifat-sifat yang tersendiri. Kita sebagai manusia sememangnya ada kelebihan dan kelemahan dalam diri sendiri. Begitu juga masalah tingkah laku yang dilakukan oleh guru ini berpunca daripada masalah keperluan yang tidak mampu dicapai sepenuhnya agar beliau menjadi insan yang sempurna. Masalah untuk memenuhi segala keperluan fisiologi, keperluan keselamatan, keperluan kasih sayang, keperluan penghargaan kendiri dan keperluan kesempurnaan kendiri telah mengganggu tumpuannya terhadap tugas. Oleh kerana tanggungjawab yang semakin banyak bagi dirinya sehingga beliau terpaksa mengutamakan kepentingan diri sebelum mampu menumpukan perhatian kepada kerjanya. Oleh itu, perhatian dan penghargaan daripada guru lain dan pihak pentadbir diperlukan bagi membuka lebih ruang dan peluang bagi beliau terlibat secara aktif di dalam sebarang aktiviti sekolah. Cara ini boleh membantu beliau supaya merasa dirinya diperlukan dan dihargai warga sekolah. Jika segala keperluan beliau dapat dipenuhi sehingga membolehkannya mencapai kepuasan dan ketenangan di dalam hidupnya seumpama orang kaya yang mampu memenuhi keperluan dari peringkat bawah sehingga mencapai keperluan kesempurnaan kendiri. Berbeza pula jika dibandingkan dengan orang miskin yang terpaksa bersusah payah untuk memenuhi 13

keperluan fisiologi sebelum dapat mencapai keperluan yang lain. Begitulah juga situasi yang berlaku kepada guru ini sehingga berlakunya masalah tingkah laku tersebut. Sekiranya segala keperluan dari peringkat bawah dapat dipenuhi maka barulah masalah tingkah laku guru ini dapat diatasi dengan sebaiknya.

14

RUJUKAN 1. Buku Atan Long (1976). Psikologi pendidikan. Kuala Lumpur. Dewan Bahasa dan Pustaka. Foo Say Fooi. (2005) Etika perguruan : Jaminan peningkatan profesionalisme. Serdang : Penerbit Universiti Putra Malaysia. Lester D. Crow, Alice Crow (1980). Psikologi pendidikan untuk perguruan. Kuala Lumpur. Dewan Bahasa dan Pustaka. Mok Soon Sang (2007). Kursus Penilaian Tahap Kecekapan. Selangor. Multimedia ES Resources Sdn. Bhd. Sapura Sipon & Hapshah Md. Yusof (2010). Pengantar Kaunseling Individu. Kuala Lumpur. Arah Pendidikan Sdn. Bhd. 2. Bahan Terbitan Kerajaan Surat-surat Pekeliling Ikhtisas Kementerian Pelajaran Malaysia. 3. Lain-lain Unit Bimbingan dan Kaunseling, Sekolah Menengah, April 2012.

15