peranan guru sebagai pembina modal insan
TRANSCRIPT
Sesungguhnya, cabaran sistem pendidikan semasa dan gejala sosial yang kian meruncing di
kalangan pelajar memerlukan kesediaan pemantapan rohani yang kuat dan kesabaran yang tinggi
di kalangan pendidik. Sesungguhnya, guru adalah ’agen’ perubahan masyarakat. Gurulah insan
yang suatu ketika dahulu berada di barisan hadapan dalam meniupkan kesedaran untuk mencapai
’kemerdekaan’ tanah air. Gurulah yang membentuk ’jiwa dan minda merdeka’ dari segala
belenggu pemikiran negatif di kalangan masyarakat suatu ketika dahulu.
Melihat kembali kepada falsafah pendidikan iaitu untuk melahirkan individu yang seimbang dari
segi intelek, rohani, emosi dan jasmani. Merealisasikan falsafah ini memerlukan satu usaha yang
menyeluruh dan kerjaya sebagai seorang pendidik ini memerlukan individu yang ikhlas dalam
menyebarkan ilmu. Perjuangan para guru dalam merealisasikan pendidik berjiwa rabbani amat
penting demi kelangsungan generasi masa hadapan.Guru menjadi harapan bagi memastikan
pembentukan jati diri pelajar yang kukuh, berdaya saing, berkeyakinan tinggi dan berpegang
teguh kepada agama dan nilai sejagat . Pelajar-pelajar akan menjadi warganegara yang berfikiran
global dengan tidak mengesampingkan ciri-ciri tempatan justeru mampu bersaing dengan
kepesatan dan 'kesesakan' dunia luar. Kecekapan dan keberkesanan peranan guru menerusi
sistem pendidikan mampu membina negara bangsa yang berjaya. Guru bertanggungjawab
memastikan bahawa ilmu yang memuncak tanpa iman dan hidayah llahi boleh mendorong
manusia menjadi makhluk pintar tetapi perosak dan berbahaya. lnsan yang berkemahiran dan
berakhlak mulia adalah insan yang diharapkan mampu memanfaatkan ciptaan Allah untuk
kepentingan manusia sejagat. Pada hakikatnya kecemerlangan sahsiah manusia adalah
berasaskan kepada kesepaduan ilmu, amal dan iman.
Guru mesti sedia berkorban untuk meningkatkan darjat pendidikan anak bangsa selain
melaksanakan kewajipan terhadap anak muridnya. Semasa pelajar berada di sekolah, menjadi
tanggungjawab guru melatih, mengajar dan memupuk nilai-nilai murni termasuk hubungan
kekeluargaan, kemesraan dan keikhlasan dalam diri pelajar yang semakin terhakis. Adalah
menjadi harapan semua, agar golongan pendidik melaksanakan tanggungjawab dengan penuh
dedikasi dan amanah dengan semangat memartabatkan profesion keguruan dan meningkatkan
kualiti perkhidmatan pendidikan yang diberikan kepada rakyat selaras dengan gagasan
1Malaysia yang menekankan ideologi rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan. Penerapan
konsep 1Malaysia harus dipupuk di peringkat sekolah kerana pembentukan sahsiah dan karakter
remaja adalah ketika di alam persekolahan.
Guru-guru mempunyai peranan yang utama lagi mulia dalam memindahkan dan
mentransformasikan ilmu yang baik, meninggikan adab, serta sikap murni yang diredhai Allah,
memberi petunjuk ke arah jalan yang benar dan sebagai pemudahcara proses pembelajaran.