cinta ilmu dan transformasi modal insan dalam tamadun · pdf filesuasana sekolah yang kurang...

14
Cinta Ilmu dan Transformasi Modal Insan dalam Tamadun Islam SYAIDATUN NAZIRAH ABU ZAHRIN 1 , NAZNEEN ISMAIL 2 & NUR HIDAYAH MOHD ABD MALIK 3 Abstrak Pemodenan telah menjadikan matlamat asal universiti sebagai pendukung tradisi intelektual beralih arah kepada menyediakan kelompok inteligensia bagi memenuhi keperluan pasaran kerja. Secara tidak langsung, ia telah menghakis budaya cinta ilmu dalam masyarakat khususnya warga universiti yang terlibat secara langsung dalam pengajaran dan pembelajaran. Sedangkan, mereka adalah tunjang utama dalam menggerakkan usaha mempertahankan tamadun dan membawa masyarakat ke arah cara hidup yang lebih maju dan berakhlak. Untuk itu, penulisan kertas kerja ini bertujuan untuk mengemukakan kepentingan cinta ilmu dan hubungannya dengan transformasi modal insan dalam memastikan kelestarian tamadun Islam. Pendekatan kajian adalah berbentuk konseptual kualitatif dengan merujuk secara khusus kepada amalan para sarjana Muslim terdahulu dan dapatan temu bual bagi melihat amalannya dalam konteks semasa. Kajian mendapati adanya hubungan positif antara cinta ilmu dengan transformasi modal insan. Ini bermakna wujudnya keperluan untuk mencambahkan dan menyemarakkan lagi budaya cinta ilmu dalam kalangan masyarakat khususnya warga universiti agar pembangunan negara berlaku secara seimbang rohani dan jasmani berikutan adanya modal insan yang telah melalui fasa transformasi. Justeru, penulisan ini juga mencadangkan agar pemerkasaan budaya ilmu digiatkan secara mendasar ke akar umbi dan tidak lagi berkisar kepada perbincangan dalam kalangan para sarjana semata-mata. Kata Kunci: Cinta Ilmu, Modal Insan, Tamadun Islam Pengenalan Islam menekankan ilmu kerana ia mempunyai hubungan langsung dengan iman dan takwa kepada Allah SWT. Ia bermakna ilmu yang diperoleh selayaknya _________________________ 1 Pensyarah Pusat Citra Universiti Kebangsaan Malaysia 2 Calon Doktor Falsafah Institut Islam Hadhari, Universiti Kebangsaan Malaysia 3 Calon Sarjana Institut Islam Hadhari, Universiti Kebangsaan Malaysia

Upload: dangliem

Post on 07-Feb-2018

231 views

Category:

Documents


3 download

TRANSCRIPT

Page 1: Cinta Ilmu dan Transformasi Modal Insan dalam Tamadun · PDF fileSuasana sekolah yang kurang memberi penekanan ... (Malcolm Smith 2007; ... beberapa ketika sebelum berhenti dan membuka

Prosiding Seminar Kebangsaan Tamadun & Warisan Islam (TAWIS) 2016 | 163

Cinta Ilmu dan Transformasi Modal Insan dalam Tamadun Islam

SYAIDATUN NAZIRAH ABU ZAHRIN1, NAZNEEN ISMAIL2 & NUR HIDAYAH MOHD ABD MALIK3

Abstrak

Pemodenan telah menjadikan matlamat asal universiti sebagai pendukung tradisi

intelektual beralih arah kepada menyediakan kelompok inteligensia bagi memenuhi

keperluan pasaran kerja. Secara tidak langsung, ia telah menghakis budaya cinta ilmu

dalam masyarakat khususnya warga universiti yang terlibat secara langsung dalam

pengajaran dan pembelajaran. Sedangkan, mereka adalah tunjang utama dalam

menggerakkan usaha mempertahankan tamadun dan membawa masyarakat ke arah cara

hidup yang lebih maju dan berakhlak. Untuk itu, penulisan kertas kerja ini bertujuan

untuk mengemukakan kepentingan cinta ilmu dan hubungannya dengan transformasi

modal insan dalam memastikan kelestarian tamadun Islam. Pendekatan kajian adalah

berbentuk konseptual kualitatif dengan merujuk secara khusus kepada amalan para

sarjana Muslim terdahulu dan dapatan temu bual bagi melihat amalannya dalam konteks

semasa. Kajian mendapati adanya hubungan positif antara cinta ilmu dengan

transformasi modal insan. Ini bermakna wujudnya keperluan untuk mencambahkan dan

menyemarakkan lagi budaya cinta ilmu dalam kalangan masyarakat khususnya warga

universiti agar pembangunan negara berlaku secara seimbang rohani dan jasmani

berikutan adanya modal insan yang telah melalui fasa transformasi. Justeru, penulisan

ini juga mencadangkan agar pemerkasaan budaya ilmu digiatkan secara mendasar ke

akar umbi dan tidak lagi berkisar kepada perbincangan dalam kalangan para sarjana

semata-mata.

Kata Kunci: Cinta Ilmu, Modal Insan, Tamadun Islam

Pengenalan

Islam menekankan ilmu kerana ia mempunyai hubungan langsung dengan iman

dan takwa kepada Allah SWT. Ia bermakna ilmu yang diperoleh selayaknya

_________________________

1 Pensyarah Pusat Citra Universiti Kebangsaan Malaysia 2 Calon Doktor Falsafah Institut Islam Hadhari, Universiti Kebangsaan Malaysia 3 Calon Sarjana Institut Islam Hadhari, Universiti Kebangsaan Malaysia

Page 2: Cinta Ilmu dan Transformasi Modal Insan dalam Tamadun · PDF fileSuasana sekolah yang kurang memberi penekanan ... (Malcolm Smith 2007; ... beberapa ketika sebelum berhenti dan membuka

| Prosiding Seminar Kebangsaan Tamadun & Warisan Islam (TAWIS) 2016 164

menjadikan seorang insan semakin mengenali hakikat diri sebagai hamba dan

mengenali Tuhannya (Wan Mohd Nor 1995). Ini berkait dengan kedudukan

ilmu yang disifatkan sebagai satu tahap pencapaian yang dapat memberi kesan

kepada jiwa manusia. Menerusinya, pemikiran manusia dibentuk agar memiliki

daya analisis yang tinggi, mampu membuat penilaian dan mengenal pasti

perbezaan (Yahaya & Azhar 2012).

Namun, salah faham tentang ilmu dan peranannya kepada manusia

menyebabkan ia tidak menjadi tujuan utama kehidupan. Antaranya ialah

memahami ilmu secara terpisah dengan erti kata sama ada ia adalah ilmu agama

ataupun ilmu bersumberkan akal dan rasional sahaja. Kekeliruan ini berkait

dengan fasa pemodenan dan sekularisasi sistem pendidikan sehingga budaya

ilmu semakin dihakis secara tanpa sedar. Ironinya, tujuan pendidikan juga

sudah diubah kepada usaha mendapatkan sijil kerana nilai ekonomi dan

martabat sosial yang bakal diperolehi melaluinya. Hasilnya, budaya peperiksaan

telah disuburkan sampai ke tahap eksploitasi oleh sesetengah pihak terhadap

pemikiran takut gagal dalam masyarakat (Wan Mohd Nor 1995).

Kelesuan budaya ilmu juga ditandai dengan masalah kurang membaca

dalam kalangan masyarakat Malaysia dengan purata dua buku setahun

berdasarkan kajian pada 1996 dan 2005. Setelah itu, Kajian Olahan Semula

Profil Membaca Rakyat Malaysia 2010 menunjukkan pembacaan rakyat

Malaysia meningkat sebanyak lapan sehingga 12 buah buku setahun. Ini

berdasarkan maklum balas yang diterima Perpustakaan Negara Malaysia setelah

mengambil langkah mengadakan promosi budaya membaca kepada masyarakat

awam (Perpustakaan Negara Malaysia 2012). Sambutan baik ini dilihat sebagai

peluang yang baik untuk mencambahkan kembali budaya cintakan ilmu dalam

masyarakat.

Di samping itu, kelemahan institusi pendidikan juga menjadi faktor yang

perlu dipandang serius. Suasana sekolah yang kurang memberi penekanan

kepada budaya ilmu secara bersepadu dan Institut Pengajian Tinggi (IPT) yang

hanya bergantung kepada hasil pembelajaran berpusatkan pasaran kerja perlu

dinilai semula (Marzukai 1994; Rowland 2008). Kebekuan ini hanya

menjadikan para pengajar dan pelajar terus menerus diikat oleh suasana

ekonomi serta mengabaikan penghayatan ilmu sebenar. Buktinya apabila

sebahagian pengkaji mendapati bahawa tenaga pengajar IPT cenderung

menggunakan pendekatan syarahan berbanding pembelajaran berpusatkan

pelajar atas sebab begitu fokus untuk menghabiskan sukatan pelajaran

(Abdullah 2004; Maria Chong et al. t.th).

Selain itu, sikap golongan mahasiswa terhadap pembelajaran juga perlu

diperhatikan kerana ia mencerminkan tujuan belajar mereka. Budaya belajar

hanya untuk lulus dalam peperiksaan menjadi faktor pembentukan sikap yang

tidak menzahirkan nilai ilmu dan pendidikan yang diterima (Ab. Halim et al.

2013). Lantaran itu, pelbagai masalah dihadapi oleh mahasiswa sama ada dari

segi prestasi akademik mahupun personaliti diri.

Page 3: Cinta Ilmu dan Transformasi Modal Insan dalam Tamadun · PDF fileSuasana sekolah yang kurang memberi penekanan ... (Malcolm Smith 2007; ... beberapa ketika sebelum berhenti dan membuka

Prosiding Seminar Kebangsaan Tamadun & Warisan Islam (TAWIS) 2016 | 165

Dari segi akademik, perkara ini dapat dilihat melalui masalah kurang

budaya membaca (Sasmi Farida 2012), pemilihan bahan bacaan yang tidak

ilmiah (Yusof & Mohd Sahlan t.th), masalah pengurusan masa (Maria 2006)

dan plagiat (Malcolm Smith 2007; Arieff Salleh et al. 2008; Wan Zah et al.

2012). Manakala dari segi personaliti, mahasiswa didapati gagal memahami

peranan diri dan lalai daripada menyedari tujuan keberadaan mereka di IPT (Sri

Banun et al. 2014), di samping masalah penyesuaian diri dengan teknik belajar

di IPT (Norhani Bakri et al. 2005), tingkah laku hedonistik (Siti Raba’ah et al.

2013) kesihatan mental yang lemah (Samsul & Shahrir 2015).

Maka kelemahan dari segi kemahiran insaniah semakin ketara. Pelajar dan

graduan termasuk dari Institusi Pengajian Tinggi Awam dikatakan tidak begitu

cekap dalam berkomunikasi, tiada kemampuan berfikiran kritis, gagal bekerja

secara berpasukan, tiada erti pembelajaran berterusan dalam kamus hidup

mereka, rendah semangat keusahawanan, malah diragui dari segi etika dan

kepimpinan (Zaini Ujang 2009; Siti Nazilah, Katijah & Isma 2006).

Hal ini mengakibatkan majikan berasa ragu-ragu dan kurang yakin dengan

kompetensi mahasiswa (Mohamad Zaid et al. 2011) yang menyebabkan

kebanyakan graduan menganggur, tidak berkualiti dan terpaksa bekerja dalam

bidang yang berlainan dan tidak sesuai dengan kelayakan. Kebolehpasaran

graduan dari pusat pengajian tinggi juga dikaitkan dengan kecenderungan bakal

majikan yang mengutamakan graduan memiliki kemahiran insaniah

(Shaharuddin Ahmad et al. 2011; Norazmi Anas et al. 2013) dengan

mengaplikasikan ilmu yang dipelajari sewaktu di institusi pengajian.

Jelasnya, hampir kesemua masalah mahasiswa ini adalah berpunca

daripada kawalan dalaman diri (Sagita & Helmy t.th) terutama dari aspek

pegangan agama (Sri Banun et al. 2014, Mohamad Faizal & Mohd Zaki 2014).

Kelemahan dalaman ini menjadikan mahasiswa begitu terkesan dengan

ancaman luaran seperti rakan sebaya (Siti Raba’ah et al. 2013) dan media massa

(Wan Norina et al. 2013). Sewajarnya mahasiswa menjadikan IPT sebagai

tempat untuk membangunkan nilai intelektual dan jati diri agar dapat

menyumbang kepada masyarakat. Maka, pemerolehan ilmu di IPT perlu

dijadikan fokus utama dengan menghindarkan hal remeh lain. Budaya cinta

ilmu perlu ada dalam diri agar transformasi modal insan dapat berlaku dengan

sebaiknya.

Justeru, pengkaji berpendapat adalah perkara yang penting untuk mendidik

budaya mencintai ilmu dalam masyarakat Muslim ke arah membina peradaban

Islam. Maka, model cinta ilmu perlu dibina dengan berlandaskan al-Quran,

sunnah dan pandangan ilmuwan sepanjang zaman.

Page 4: Cinta Ilmu dan Transformasi Modal Insan dalam Tamadun · PDF fileSuasana sekolah yang kurang memberi penekanan ... (Malcolm Smith 2007; ... beberapa ketika sebelum berhenti dan membuka

| Prosiding Seminar Kebangsaan Tamadun & Warisan Islam (TAWIS) 2016 166

Cinta Ilmu Tradisi Ulama Sepanjang Zaman

Al-Quran mengetengahkan kepentingan ilmu dalam hidup menerusi

pengulangan ayat dan peringatan kepada pembacanya (al-Qur’an 96:1-5 20:114).

Malah, peranan al-Quran sebagai sumber ilmu turut dinyatakan (al-Quran,

7:204) di samping menekankan kedudukan orang berilmu (al-Qur’an, 35:28)

dan peranan para rasul sebagai penyampai ilmu (al-Qur’an 24:54). Al-Quran

mendorong manusia menggunakan akal fikiran dalam kehidupan. Di samping

itu, ia turut menjelaskan bahawa aktiviti memerhati dan memikirkan penciptaan

alam adalah sumber ilmu kepada manusia. Malah, al-Quran juga menganjurkan

penulisan (al-Quran 68:1-2), pengembaraan ilmiah (al-Quran 88:17-20) dan

mengemukakan soalan bagi menjana pemikiran kritis seperti dalam kisah Nabi

Ibrahim (al-Qur’an 6: 75-78).

Anjuran al-Quran ini dikukuhkan dengan galakan dan motivasi daripada

Rasulullah SAW kepada mukmin agar mencari ilmu melalui ganjaran yang

dijanjikan Allah SWT. Antaranya sabda baginda SAW:

Maksudnya: Barangsiapa yang melalui jalan untuk memperoleh ilmu nescaya Allah akan

mempermudahkan jalannya untuk ke syurga. Dan tidak ada satu kaum berkumpul di sebuah

rumah daripada rumah-rumah Allah untuk membaca kitab Allah (al-Quran) dan mempelajarinya

sesama mereka melainkan ketenangan akan diturunkan kepada mereka, dilimpahkan rahmat,

dipayungi sayap malaikat dan Allah menyebut nama mereka kepada makhluk yang berada di sisi-

Nya (penghuni langit). (Sahih Muslim, Kitab al-cIlm, Bab Fadl al-Ijtimac cala Tilawat al-Qur’an

wa al-Dhikr, no. hadis 4867)

Kepentingan ilmu ditekankan dari aspek duniawi dan ukhrawi. Ilmu yang

bermanfaat boleh menjadi jariah kepada mukmin setelah kematiannya kelak dan

pencarian ilmu itu termasuk sebagai jihad di jalan Allah SWT (Syaidatun et al.

2011). Jihad mempunyai kedudukannya yang tersendiri dalam Islam. Ia

diganjari dengan sebaik-baik ganjaran kerana ia memerlukan pengorbanan yang

tidak sedikit. Maka, untuk menjadi muslim yang benar maka ilmu adalah

tonggaknya. Ilmu yang digandingkan dengan tauhid akan menyelamatkan insan

daripada kesesatan. Bermula dengan ayat al-Quran yang mengandungi gesaan

menuntut ilmu dan kedudukan ulama, ia dikuatkan lagi dengan hadis Rasulullah

SAW dan amalan para sahabat. Ini adalah faktor utama perbincangan tentang

kepentingan ilmu sentiasa diketengahkan.

Tambahan pula, para sahabat dan keluarga Rasulullah SAW juga menjadi

bukti kesungguhan mereka dalam menuntut ilmu. Ketelitian mereka dalam

memperoleh sumber ilmu yang sahih menunjukkan adanya hubungan antara

Page 5: Cinta Ilmu dan Transformasi Modal Insan dalam Tamadun · PDF fileSuasana sekolah yang kurang memberi penekanan ... (Malcolm Smith 2007; ... beberapa ketika sebelum berhenti dan membuka

Prosiding Seminar Kebangsaan Tamadun & Warisan Islam (TAWIS) 2016 | 167

ilmu dengan penilaian kritis. Ini juga menjadi pemangkin kepada aktiviti ijtihad

dalam kalangan generasi awal Muslimin sehingga kini (Syaidatun et al. 2011).

Keharusan ijtihad menggambarkan pengiktirafan agama Islam terhadap

kemuliaan dan potensi akal dengan menjadikan wahyu sebagai tunjang.

Hasilnya, umat Islam mampu untuk menghasilkan pelbagai cabang ilmu baharu

merentasi zaman. Ini adalah beza utama antara perkembangan ilmu dalam Islam

dengan barat.

Antara bukti pengkajian para ulama yang dimotivasikan oleh agama dan

umat ialah Imam al-Syafici yang menguasai pelbagai bidang ilmu. Beliau

mendalami ilmu dalam usia begitu muda dan dengan pantas, bermula dengan

menghafaz dan memahami al-Quran, diikuti kitab Muwatta’ iaitu salah sebuah

kitab yang mengintegrasikan ilmu hadis dan fiqh serta termasyhur pada

zamannya, diikuti dengan mengkaji syair dan kesusasteraan Arab termasuk

syair aras tinggi. Rasa cinta kepada ilmu turut mendorong beliau untuk

menghasilkan sejumlah besar penulisan. Beliau juga melakukan pengembaraan

ke pelbagai tempat untuk mendengar dan mempelajari ilmu pengetahuan.

Penulisan yang terhasil bukan sahaja bersifat ilmiah malah juga terdiri daripada

kumpulan syair yang bermutu. Ini menjadikan ketokohan beliau diperakui

semasa dan sesudah hayatnya oleh sebahagian besar para ulama dari pelbagai

disiplin ilmu seperti nahw, hadis, usul fiqh. Ketinggian akhlak dan sifat amanah

dalam dirinya juga menjadi sifat yang dipuji oleh para ulama lain (Ibn

Khallikan 1977).

Kecemerlangan Imam al-Bukhari juga adalah contoh yang dikagumi.

Pakar hadis ini mempunyai ingatan yang sangat luar biasa sehingga diberi

gelaran al-Hafiz al-Imam dan Amirul Mukminin fi al-Hadith. Ini adalah darjat

tertinggi bagi semua imam hadis. Gelaran ini menjadi penanda aras kelayakan

beliau sebagai sumber utama dalam dunia hadis dan dimuliakan oleh semua

para ulama. Kecintaan beliau kepada ilmu dibuktikan menerusi pengembaraan

ilmiah yang dilakukan ke serata tempat perkumpulan para ulama hadis. Beliau

juga telah menyusun kitab yang mengandungi hadis-hadis sahih setelah

melakukan saringan dan pemilihan berdasarkan petunjuk yang dikurniakan

Allah SWT. Ia digambarkan oleh pengakuan beliau sendiri yang menyatakan

bagi setiap hadis yang dimasukkan adalah dilakukan selepas menunaikan solat

dua rakaat. Ketelitian beliau dalam mengambil riwayat hadis mendapat

pengiktirafan daripada para ulama malah kitabnya juga mengungguli kitab hadis

yang lain sehingga kini (Ibn Khallikan 1977).

Tokoh lain ialah Imam al-Ghazali yang menjadi pakar fiqh dalam usia

yang muda hasil daripada pengembaraan ilmiahnya ke serata tempat. Kepetahan

beliau dalam berhujah melayakkannya menjadi tenaga pengajar di Universiti

Nizamiyyah Baghdad selama empat tahun. Sepanjang bertugas, beliau

mendapat penghormatan dan kedudukan tinggi dalam masyarakat. Setelah itu,

beliau memilih untuk melepaskan jawatan dan menelusuri jalan tasawuf bagi

mendapatkan jawapan kepada persoalan dalam dirinya. Bermula dengan

menunaikan haji, beliau melakukan pengembaraan ilmiah dari satu tempat ke

Page 6: Cinta Ilmu dan Transformasi Modal Insan dalam Tamadun · PDF fileSuasana sekolah yang kurang memberi penekanan ... (Malcolm Smith 2007; ... beberapa ketika sebelum berhenti dan membuka

| Prosiding Seminar Kebangsaan Tamadun & Warisan Islam (TAWIS) 2016 168

tempat lain. Dalam masa yang sama beliau menghasilkan penulisan dalam

pelbagai bidang termasuk tasawuf, mantik, falsafah, akidah dan ilmu kalam.

Setelah itu, beliau kembali semula ke Universiti Nizamiyyah dan mengajar

beberapa ketika sebelum berhenti dan membuka pusat pengajian tasawuf

berhampiran rumahnya hingga akhir hayat (Ibn Khallikan 1977).

Daripada ketiga-tiga contoh ilmuwan Muslim yang dikemukakan ini, jelas

bahawa terdapat hubungan antara kecemerlangan dengan kecintaan kepada ilmu.

Ciri-ciri pencinta ilmu juga dirumuskan sebagai cinta kepada ulama yang

mendorong mereka berusaha mendatangi majlis ilmu meskipun jauh, cinta

kepada penulisan menjadikan mereka menghasilkan karya yang pelbagai, cinta

kepada ibadah menjadikan mereka menjalani kehidupan dalam keadaan

melazimi ibadah kepada Allah SWT, cinta kepada akhlak juga terserlah

menerusi pujian dan pengiktirafan para ulama lain terhadap keperibadian tokoh-

tokoh ini serta cinta untuk meneroka menjadikan mereka tidak merasa cukup

dengan satu bidang ilmu khusus semata-mata.

Daripada contoh ini juga dapat dilihat adanya tradisi ilmu yang melingkari

kehidupan para ulama silam. Maka, Zaini (2009) menyifatkan tradisi ilmu ini

tidak zahir sifatnya tetapi terserlah dalam masyarakat. Ini yang seharusnya

menjadi budaya dari segi kecintaan kepada ilmu, penghormatan kepada

ilmuwan, keghairahan kepada bahan ilmu dan keluhuran adab dan tatacara.

Hubungan Antara Cinta Ilmu dengan Transformasi Modal Insan

Menjadi satu keperluan dalam memastikan kelestarian sebuah tamadun atau

masyarakat ialah kekuatan modal insan di dalamnya. Maka, pembangunan

modal insan perlu bersifat holistik iaitu dengan menumpukan pembangunan

kepada aspek fizikal dan rohani. Tambahan pula, kepesatan teknologi

menjadikan manusia saling berlumba untuk mengisi ruang-ruang kosong dalam

memastikan diri dan masyarakat sentiasa terhadapan. Jika tidak diteliti,

kepesatan ini akan menjadikan pembangunan manusia kurang seimbang.

Oleh itu, modal insan perlu dibekalkan dengan pendidikan Islam yang

sempurna. Kerana selain daripada ia menyumbang kepada pembangunan

personaliti yang baik, pendidikan agama juga mempunyai hubungan rapat

dengan kecemerlangan akademik (Abdullah 1995; Hairunnizam Wahid et. al

t.th). Buktinya, sistem pendidikan Islam klasik seperti pondok dan Universiti al-

Azhar telah berhasil melahirkan ramai graduan yang berpotensi dan

berkemahiran dalam pelbagai sektor. Selain itu, wujudnya kecenderungan para

ibubapa dan pelajar untuk memilih institusi agama sebagai tempat belajar di

samping keterbukaan sektor pasaran kerja dalam menerima lulusan institusi

agama (Ruzman Md. Noor et. al 2014).

Page 7: Cinta Ilmu dan Transformasi Modal Insan dalam Tamadun · PDF fileSuasana sekolah yang kurang memberi penekanan ... (Malcolm Smith 2007; ... beberapa ketika sebelum berhenti dan membuka

Prosiding Seminar Kebangsaan Tamadun & Warisan Islam (TAWIS) 2016 | 169

Penelitian mendapati bahawa fenomena ini mempunyai hubungan dengan

tradisi ulama silam apabila mereka memulakan pendidikan dengan hafazan dan

pengajian al-Quran. Apabila al-Quran telah difahami dengan baik di samping

disiplin ilmu Islam lain, maka para ulama akan meluaskan lagi cakupan ilmu

kepada disiplin ilmu lain seperti falsafah, matematik, kimia dan kedoktoran.

Keluasan cakupan ilmu ini adalah bertunjangkan rasa cinta ilmu yang ada dalam

diri para ulama. Kecintaan kepada ilmu perlu disuburkan kembali dalam diri

generasi. Ia kerana cinta ilmu akan membuahkan hasil yang baik terutama

dalam menyemarakkan budaya ilmu. Pengejaran sijil dan faktor habuan

material tidak lagi menjadi fokus utama apabila masyarakat memahami

kepentingan pembelajaran sepanjang hayat.

Kesan daripada budaya cinta ilmu dalam masyarakat, ia akan

menghasilkan modal insan yang mulia dan berkualiti. Ini seiring dengan

perspektif Islam berhubung modal insan apabila individu dilihat sebagai tunjang

utama dalam menyumbang kepada pembangunan negara melalui ciri amanah,

jujur, berakhlak mulia, cergas dan bertamadun (Ruzman et. 2014) Ia kerana

individu yang mencintai ilmu dan menguasainya adalah mereka yang paling

hampir dengan Allah SWT (al-Qur’an, 35:28). Balasan bagi mereka juga dapat

dirasai ketika di dunia lagi iaitu limpahan nikmat dan kemewahan yang

dijanjikan Allah SWT (al-Qur’an 7: 96)

Jati diri para pencinta ilmu sama sekali berbeza dengan mereka yang hanya

mementingkan keseronokan. Sifat cinta ilmu dalam diri insan menjadikan

kehidupan mereka lebih terarah dan berdaya saing. Manakala mereka yang

hanya kelihatan maju dari segi luaran tetapi jiwanya begitu terikat dengan

kemewahan akan terus hanyut dan hilang jati diri (Ruzman et. al 2014). Ini

sejajar dengan hasrat Kementerian Pelajaran yang mengetengahkan elemen

kemahiran insaniah sebagai ciri modal insan yang perlu dibangunkan menerusi

pembinaan kurikulum dan sistem penilaian berterusan serta bersepadu. Ini

menunjukkan hubungan yang erat antara transformasi modal insan dengan

pendidikan yang mengandungi elemen cinta ilmu. Cinta ilmu ini terdiri daripada

beberapa elemen iaitu cinta pembacaan, cinta penulisan, cinta diskusi dan

berfikir, cinta kebenaran dan keadilan serta cinta motivasi.

Page 8: Cinta Ilmu dan Transformasi Modal Insan dalam Tamadun · PDF fileSuasana sekolah yang kurang memberi penekanan ... (Malcolm Smith 2007; ... beberapa ketika sebelum berhenti dan membuka

| Prosiding Seminar Kebangsaan Tamadun & Warisan Islam (TAWIS) 2016 170

Rajah 1.1 Elemen cinta ilmu

Pembacaan mempunyai hubungan langsung dengan pemerolehan ilmu

pengetahuan. Gesaan iqra’ secara zahir yang bermaksud membaca merupakan

kunci kepada pelbagai medium mendapatkan ilmu. Malah, secara realiti

kehidupan di alam siber ini juga menuntut kepada kebolehan membaca dan

menulis. Tanpanya, masyarakat menghadapi kesukaran dalam mengakses ruang

maya apatah lagi meneroka maklumat di dalamnya. Keutamaan budaya

membaca dalam tradisi ilmu dalam dilihat secara jelas apabila pelajaran pertama

para ulama ialah membaca dan menghafaz al-Quran di hadapan para guru

mereka.

Seterusnya, penulisan adalah elemen kedua selepas pembacaan. Ini juga

sebahagian daripada amalan para ulama yang kini menjadi tuntutan dalam

sistem pendidikan. Sebagai contoh, ujian atau peperiksaan dilakukan secara

bertulis. Begitu juga apabila penulisan laporan atau latihan ilmiah menjadi

keperluan graduasi bagi Institusi Pengajian Tinggi. Ia kerana penulisan

memerlukan daya taakul yang tinggi terhadap bahan bacaan yang dirujuk.

Melaluinya, pemahaman seseorang dapat dinilai oleh para pembaca. Para ulama

melakukan penulisan adalah dengan semangat untuk menyebarkan ilmu dan

mengamalkannya. Ini kerana aktiviti keilmuan sebegini adalah satu kebaikan

tertinggi yang menjadi punca kebaikan yang lain (Wan Mohd Nor 1988).

Elemen lain ialah cinta diskusi dan berfikir. Majlis ilmiah memerlukan

kepada sesi dialog atau diskusi dalam kalangan ahlinya. Ia adalah medan bagi

ahli ilmu untuk menyampaikan idea untuk dibincangkan dan dinilai secara kritis

(Zaini 2009). Tambahan pula, diskusi mempunyai hubungan dengan aktiviti

berfikir sebagai hasil daripada pembacaan yang selektif dan analitikal. Dengan

Page 9: Cinta Ilmu dan Transformasi Modal Insan dalam Tamadun · PDF fileSuasana sekolah yang kurang memberi penekanan ... (Malcolm Smith 2007; ... beberapa ketika sebelum berhenti dan membuka

Prosiding Seminar Kebangsaan Tamadun & Warisan Islam (TAWIS) 2016 | 171

berfikir, individu akan cenderung kepada aktiviti zikir iaitu mengenali Pencipta

berdasarkan dalil aqli dan naqli sehingga mampu berpotensi secara maksimum

sebagai khalifah Allah SWT (Marzukai 1994)

Para pencinta ilmu menjadikan ilmu sebagai asas dalam menilai kebenaran

sesuatu maklumat. Khususnya dalam era siber, maklumat kerap diakses dan

disebarkan begitu cepat tanpa menilai ketepatannya. Metodologi ilmu yang

betul akan memandu para pencinta ilmu untuk mendapat ilmu yang benar.

Sebaliknya, maklumat yang dikumpul dengan metodologi salah hanya akan

mengundang perbalahan sia-sia tanpa membuahkan ilmu bermanfaat. Kecintaan

kepada kebenaran ini menyumbang kepada sifat amanah dalam diri. Buktinya

ialah konsep kajian sarjana Islam peringkat awal yang menjadikan penyelidikan

terhadap alam sebagai ibadah dan tidak bersifat anti Islam. Ini menjadikan

mereka melihat fenomena alam secara objektif dan dalam masa yang sama

merendah diri. Mereka juga tidak mengada-adakan falsafah baru tentang

permulaan alam atau evolusi spesis yang bertentangan dengan perintah Allah

seperti yang dibawa oleh Darwin (Marzukai 1994). Sebaliknya, mereka memilih

untuk membentangkan hasil kajian yang menepati fitrah dan sunnatullah

sebenar.

Selain itu, para pencinta ilmu juga adalah pencinta motivasi. Menerusi

motivasi sama ada ekstrinsik mahupun intrinsik, individu akan bersedia

melakukan transformasi diri. Oleh kerana ilmu dan iman mempunyai hubungan

langsung (al-Ghazali 2003), maka motivasi untuk mendapatkan cinta Allah

SWT adalah faktor penggerak dalam menentukan tingkah laku dan personaliti

individu untuk berubah. Proses transformasi berlandaskan iman dan fitrah

mendorong insan untuk hidup sesuai dengan ajaran Islam. Hasilnya, ia beroleh

ketenangan dan bertindak secara rasional dalam hidup. Ini adalah sesuai dengan

sifat individu yang terdorong untuk melakukan transformasi disebabkan oleh

beberapa perkara seperti insentif iaitu faktor luaran, konsep ganjaran dan akibat

(al-Qur’an 76:11-14; 76:20-22 18: 30-31) serta pencapaian diri dalam perkara

yang diimpikan, kepuasan bersaing, di samping adanya kepuasan materialistik,

kehendak untuk diterima dalam kumpulan dan kecenderungan agresif (Aisha

Utz 2011). Ini menunjukkan manusia perlu kepada motivasi dalam melakukan

sesuatu transformasi diri.

Metodologi Kajian

Penyelidikan pada peringkat awal dijalankan secara kualitatif. Sebanyak enam

siri temu bual telah diadakan yang melibatkan tiga responden yang terdiri

daripada tokoh-tokoh akademik dan pakar dalam bidang masing-masing iaitu

Prof. Dr. Muhaya (Pakar Lasik dan Mata), Prof. Dr. Mohamed Amin Embi

(Pengarah Pusat Pengajaran dan Teknologi Pembelajaran Universiti

Kebangsaan Malaysia) dan Prof. Dato’ Dr. Sidek Baba (Professor Institusi

Pendidikan, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia). Manakala tiga responden

Page 10: Cinta Ilmu dan Transformasi Modal Insan dalam Tamadun · PDF fileSuasana sekolah yang kurang memberi penekanan ... (Malcolm Smith 2007; ... beberapa ketika sebelum berhenti dan membuka

| Prosiding Seminar Kebangsaan Tamadun & Warisan Islam (TAWIS) 2016 172

lagi terdiri daripada pelajar cemerlang SPM Sekolah Menengah Islam Al-Amin,

Bangi tahun 2013 iaitu Ruwaidah binti Mohamad Saadon dan pelajar cemerlang

yang merangkul gelaran pelajar anugerah diraja Universiti Kebangsaan

Malaysia tahun 2013 dan 2014 iaitu Nurshazweena Kamarudin dan Nurul Iman

Mohd Anuar Kamal.

Dapatan Kajian

Prof. Dr. Muhaya Mohamed (2014) menyatakan modal insan yang

ditransformasi adalah seorang yang banyak melihat diri, hormat, rajin belajar

dan cemerlang akademiknya.

“Modal insan banyak melihat pada diri sendiri dan bukan pada orang lain, selain itu dia hormat

orang... rajin belajar juga merupakan salah satu faktor modal insan yang ditransformasi.. dia juga

cemerlang dari segi akademik. Orang cemerlang ni salah satu ciri ialah bertanggungjawab, tidak

melabel orang, emosi kita ialah kasih sayang dan kesyukuran”

Nurshazweena Kamaruddin (2014) pula menyatakan modal insan berusaha

meningkatkan kemahiran dan pengetahuan untuk membentuk sikap berintegriti,

jujur dan ikhlas.

“Bagi saya modal insan itu lebih fokus kepada update your kemahiran dan pengetahuan untuk you

bekerja nanti (Overlaps: maksud Cik Shaz transform diri ni untuk digunakan pada waktu kerja

nanti?) ye, tapi waktu belajar ni apabila kita selalu perbaiki diri sedikit demi sedikit untuk waktu

kerja dia juga dapat bentuk diri kita ada integriti, jujur dan ikhlas.”

Prof Dr Mohamad Amin Embi (2014) membincangkan transformasi modal

insan dari aspek melahirkan insan bertakwa dengan usaha mengislah manusia

takwa, membina budaya kerja yang cemerlang, melahirkan masyarakat

berinovasi dan sentiasa ingin maju.

“Yang pertama saya ingat perlu ada usaha-usaha yang untuk menagislah manusia takwa ni.

Manusia bertakwa ni dia tak statik kan. Yang kedua mungkin kalau kita kata modal insan ialah

untuk membina.. katalah kita kata dalam konteks mahasiswa kan, membina budaya kerja yang

cemerlang lah. Budaya kerja, budaya hidup maksudnya bila kita kata takwa tadi, hubungan kita

dengan khaliq kan. Tapi, hubungan kita dengan manusia bermakna hubungan kita, muamalat kita,

muasyarah kita, so saya rasa ini antara bentuk modal insan yang kita kena usahakan macam mana

dia memahami bentuk bekerja secara cemerlang lah. Tu yang kedua, yang ketiga mungkin konsep

innovation tadi bermakna bagaimana berinovasi dalam kehidupan, berinovasi dalam masyarakat,

berinovasi dalam.. boleh kata dalam seluruh aspek kehidupan. Sebab inovasi ni akan push

somebody forward ke depan kan. Yang keempat tadi yang itulah, supaya tidak complecent.

Bermakna sentiasa ingin maju, sentiasa ingin tahu, tak pernah merasa selesa dengan status quo”

Dalam pada itu, modal insan yang ditransformasi melalui cinta ilmu

menurut Prof Dato’ Dr Sidek Baba adalah seorang yang berilmu,

berketerampilan dan berakhlak dengan akhlak yang baik.

Page 11: Cinta Ilmu dan Transformasi Modal Insan dalam Tamadun · PDF fileSuasana sekolah yang kurang memberi penekanan ... (Malcolm Smith 2007; ... beberapa ketika sebelum berhenti dan membuka

Prosiding Seminar Kebangsaan Tamadun & Warisan Islam (TAWIS) 2016 | 173

“Pertama, dia berilmu. Kemudian, berketrampilan, bermaklumat dan mempunyai kualiti akhlak

yang baik. Ini sangat penting. Bila kita sebut akhlak, dia bukan sekadar gambaran luaran, itu

gambaran amalan. Bila berjanji dia menepati janji, contohnya. Kemudian, dia menjaga tutur

percakapan. Dia sangat menyantuni dalam penggunaan bahasa dia. Orang rasa terpikat dengan

watak dan pekertinya. Kemudian, orang seperti ini selalu menjadikan dirinya contoh”.

Transformasi juga melibatkan perubahan dalam diri sesuatu individu

daripada segi amalan seharian jelas Nurul Iman (2014) menurut pengalaman

beliau sendiri.

“Macam saya kan, saya dulu study last-last minute masa diploma. Bila dah masuk UKM kita pun

dah pernah belajar masa diploma, jadi kita tahu lah macm mana step dia nak dapat pointer tinggi.

So macam bila masuk UKM, ubah lah diri ha.. pastu bangun lambat, saya ni Ya Allah memang

tiap-tiap pagi susah nak bangun sebab malam tidur lambat lah (ketawa). Bila macam ni kan, ayah

selalu pesan lah “hang ni bangun lambat, rezeki Allah tak bagi lah. Cuba bangun awal mandi rasa

energy dia lain”. Bila saya praktikkan lama-lama betul lah apa yang ayah kata. Bangun tu kena

mandi sebelum subuh, baru kita rasa kesegaran tu kan, macam dari pagi sampai malam kita rasa

fresh je ha.... Dari segi solat tu kan, kena fokus. Bila kita fokus dalam solat, maksudnya dalam

pelajaran pun kita boleh fokus. Bila kita baca tu, kita cuba hayatilah maknanya."

Kesimpulan

Sebagai kesimpulan, untuk memastikan kelestarian peradaban Islam ianya perlu

kepada pembangunan modal insan yang holistik. Ini adalah sesuai dengan ciri

syumul yang ada dalam Islam dan tiada dalam sistem selainnya. Modal insan

yang paling mampu memberi sumbangan kepada kemajuan sebuah peradaban

adalah mereka yang mempunyai senjata ampuh sepanjang zaman iaitu ilmu

pengetahuan. Manakala kelalaian insan daripada memahami ilmu yang sebenar

hanya akan mengundang kepada kepincangan umat. Untuk itu, kertas kerja ini

mencadangkan bahawa budaya cinta ilmu perlu disuburkan dan disemarakkan

dalam segenap wasilah agar minda dan rohani umat terus berpotensi dengan

maksimum ke arah transformasi diri dan masyarakat. Tambahan pula, melalui

pendidikan berkesan pembentukan modal insan mampu dilakukan sebaiknya.

Pembudayaan cinta ilmu juga perlu direalisasikan dalam bentuk yang mendasar

dan praktikal agar tidak hanya bersifat retorik dan impian semata.

Rujukan

Ab. Halim Tamuri, Mohd. Yusof Othman, Jawiah Dakir, Ahmad Munawar Ismail,

Zakaria Stapa. 2013. Religious education and ethical attitude of Muslim

adolescents in Malaysia. Dlm. Multicultural Education & Technology Journal,

Vol. 7. Iss: 4, pp.257-274.

Abdullah Ibrahim. 2004. Pembelajaran berpusatkan pelajar dan kaitannya

dengan pembangunan diri dan peluang pekerjaan. Seminar Penyelidikan

Pendidikan Guru Peringkat Kebangsaan 2004, 8 - 9 September, City Bayview

Hotel, Langkawi, Kedah.

Page 12: Cinta Ilmu dan Transformasi Modal Insan dalam Tamadun · PDF fileSuasana sekolah yang kurang memberi penekanan ... (Malcolm Smith 2007; ... beberapa ketika sebelum berhenti dan membuka

| Prosiding Seminar Kebangsaan Tamadun & Warisan Islam (TAWIS) 2016 174

Abdullah Ishak. 1995. Pendidikan Islam dan Pengaruhnya di Malaysia. Kuala Lumpur:

Dewan Bahasa dan Pustaka.

Aisha Utz. 2011. Psychology From The Islamic Perspective. Riyadh: International

Islamic Publishing House.

Al-Ghazali, Muhammad bin Muhammad. 2003. Minhaj al-cAbidin. Terj. Engku Ali

Engku Endut. Pustaka Darul Iman: t.tpt.

Arieff Salleh Rosman, Ahmad Mahyuddin Hassan, Azmi Shah Suratman, Mohd Nasir

Ripin dan Nurazmallail Marni. 2008. Persepsi Pelajar Universiti Teknologi

Malaysia (UTM) Terhadap Plagiarisme. Dlm. Jurnal Teknologi, 48(E) Jun 2008.

Hlm. 1–14.

Hairunnizam Wahid et. al. t.th. Pembangunan Modal Insan Melalui Sekolah Agama:

Satu kajian awal di Sekolah Menengah Agama Bandar Baru Salak Tinggi,

Selangor. Kumpulan Kajian Dunia Melayu & ATMA. Dipetik pada 31 Oktober

2016 daripada www.ukm.my/hairun/kertaskerja/sekolah agama.pdf

Malcolm Smith, Noorlaila Ghazali, Siti Fatimah Noor Minhad. 2007 Attitudes towards

plagiarism among undergraduate accounting students: Malaysian evidence. Dlm.

Asian Review of Accounting, Vol. 15 Iss 2 pp.122– 146.

Maria Chong Abdullah, Samsilah Roslan, & Tajularipin Sulaiman (2011). Strategi

pengajaran pembelajaran di Institusi pengajian tinggi: satu anjakan paradigma.

Malaysian Educational Dean’s Council Journal. 8: 101-115.

Maria Chong Abdullah. 2006. Masalah Penyesuaian: Punca Pelajar Gagal

Menyempurnakan Pengajian di Universiti. Hlm. 1-8.

Marzukai Ibrahim. 1994. Budaya Ilmu: Perspektif al-Qur’an dan Pendidikan Malaysia.

Sarjana Pengajian Islam, Fakulti Pengajian Islam UKM.

Mohamad Faizal Mohamad dan Mohd Zaki Ishak. 2014. Gejala hubungan seks dalam

kalangan pelajar: Satu kajian kes. Seminar Kebangsaan Integriti Keluarga 2014.

pp. 1-10.

Mohamed Amin Embi. 2014. Sesi temu bual di Pusat Pengajaran dan Teknologi

Pembelajaran, Universiti Kebangsaan Malaysia. 15 Oktober 2014.

Mohamad Zaid Mustafa, Yahya Buntat, Kahirol Mohd Salleh, Ahmad Rizal Madar &

Mirdaa Maznor. 2011. Kompetensi Interpersonal dalam Kalangan Mahasiswa

Universiti Berdasarkan Kepada Model Human Resource Development (HRD)

Practice Mc Lagan. Journal of Human Capital Development. Julai - Disember 4

(2): 1-39.

Muhaya Mohamad. 2014. Sesi temu bual di Prof Muhaya Eye & Lasik Centre, Pearl

Avenue Kajang. 22 Ogos 2014.

Norazmi Anas, Engku Ahmad Zaki Engku Alwi, Mohd. Hudzairi Razali, Roose

Nilawati Subki & Nor Aini Abu Bakar. 2013. The Integration of Knowledge in

Islam: Concept and Challenges. Global Journal of Human Social Science

Linguistics & Education 13(10): 50-55.

Norhani Bakri et al. 2005. Punca Prestasi Pembelajaran yang Lemah di Kalangan

Pelajar Fakulti Pengurusan dan Pembangunan Sumber Manusia, Universiti

Teknologi Malaysia, Skudai, Johor. Dlm. Jurnal Teknologi, Vol. 43 (Dec 2005).

Hlm. 29-44.

Norshazweena Kamaruddin. 2014. Sesi temu bual di Kolej Kediaman Aminuddin Baki,

Universiti Kebangsaan Malaysia. 10 Oktober 2014.

Nurul Iman Mohamad Anuar Kamal. 2014. Sesi temu bual di Masjid Universiti,

Universiti Kebangsaan Malaysia. 13 November 2014.

Page 13: Cinta Ilmu dan Transformasi Modal Insan dalam Tamadun · PDF fileSuasana sekolah yang kurang memberi penekanan ... (Malcolm Smith 2007; ... beberapa ketika sebelum berhenti dan membuka

Prosiding Seminar Kebangsaan Tamadun & Warisan Islam (TAWIS) 2016 | 175

Perpustakaan Negara Malaysia. 2012. Laporan Tahunan 2011. Kuala Lumpur:

Perpustakaan Negara Malaysia.

Rowland, S. 2008. Collegiality and Intellectual Love. Dlm. British Journal of Sociology

of Education 29:33. Hlm. 353-360.

Ruwaidah Binti Mohamad Saadon. 2014. Sesi temubual di Pusat Citra Universiti. 14

Oktober 2014.

Ruzman Md. Noor et. al. 2014. Peranan Institut Pengajian Tinggi Islam dalam

Pembangunan Modal Insan di Malaysia: Satu Analisis. Dlm. Jurnal Kemanusiaan

Bil. 22. Jun 2014. Universiti Teknologi Malaysia. Hlm. 1-20.

Sagita Adjani dan Helmy Adam. T.th. Faktor-Faktor Yang Mempengaruhi Prestasi

Belajar Mahasiswa Pada Mata Kuliah Pengantar Akuntansi. Dlm. Jurnal Ilmiah

FEB Vol 1 No 1 Universitas Brawijaya

Samsul Aripin dan Shahrir Jamaluddin. 2015. Kesepaduan personaliti dalam kalangan

pelajar Sarjana Muda Pendidikan Uitm di Malaysia. Dlm. Jurnal Kurikulum &

Pengajaran Asia Pasifik. Januari 2015, Bil. 3 Isu 1, pp. 1-21.

Sasmi Farida. 2012. Faktor-faktor penyebab keengganan membaca di lingkungan

mahasiswa: Studi Kasus. Prosiding Seminar Nasional Bahasa 2012. Anjuran

Fakultas Bahasa Universitas Widyatama. 9 Mei 2012. Hlm. 321-327. Dipetik pada

13 Januari 2015 daripada http://repository.widyatama.ac.id/

Shaharuddin Ahmad, Noraziah Ali & Mohd Fauzi Hamzah. Kebolehpasaran Graduan

UKM: Satu Kajian Perbandingan antara Graduan Disiplin Sains dengan Bukan

Sains. Jurnal Personalia Pelajar 14 : 81 – 90.

Sidek Baba. 2014. Sesi temu bual di Institut Pendidikan, Universiti Islam Antarabangsa

Malaysia. 21 Oktober 2014.

Siti Nazilah Mat Ali, Khatijah Omar & Isma Rosila Ismail. 2006. Menjana budaya ilmu

di kalangan pelajar institusi pengajian tinggi: satu anjakan paradigma. National

Student Development Conference (NASDEC) 2006, 8-9 Ogos.

Siti Raba’ah Hamzah Turiman Suandi, Azimi Hamzah & Ezhar Tamam. 2013.

Tingkah Laku Hedonistik Dalam Kalangan Belia Di Institusi Pengajian Tinggi.

Dlm. Malaysian Journal of Youth Studies. Vol. 8 Jun 2013, pp. 125-146.

Sri Banun Muslim, Nashuddin Nashuddin, Masnun Tahir. 2014. Pergeseran Identitas

Mahasiswa: Korelasi Religiusitas Dan Perilaku Mahasiswa IAIN Mataram. Dlm.

Jurnal Penelitian Keislaman, Vol. 10, No. 2, Juli 2014. Hlm. 35-62.

Syaidatun Nazirah Abu Zahrin dkk. 2011. Cinta Motivasi Berfikir. Kuala Lumpur:

Utusan Publications & Distributors Sdn. Bhd.

Wan Mohd. Nor Wan Daud. 1995. Penjelasan Budaya Ilmu. Kuala Lumpur: Dewan

Bahasa dan Pustaka.

Wan Mohd. Nor Wan Daud. 1988. Budaya Ilmu: Konsep, Prasyarat dan perlaksanaan

di Malaysia. Kuala Lumpur: Nurin Enterprise.

Wan Norina Wan Hamat et al. 2013. Pengaruh Media Massa Terhadap Penampilan

Akhlak Pelajar Islam Politeknik Malaysia. Dlm. The Online Journal of Islamic

Education January 2013, Vol. 1 Issue 1. Hlm. 17-27.

Wan Zah Wan Ali, Habsah Ismail & Tan Tien Cheat. 2012. Plagiarism: to what extent it

is understood? Dlm. Procedia - Social and Behavioral Sciences 59 (2012), pp. 604

– 611.

Yahaya Jusoh dan Azhar Muhammad. 2014. Falsafah Ilmu dalam al-Quran: Ontologi,

Epistemologi dan Aksiologi. Skudai: Penerbit UTM Press.

Yusof Boon & Mohd Sahlan Salamat. t.th. Budaya Membaca Dalam Kalangan Pelajar –

Pelajar 4 SPH Program Khas Pensiswazahan Guru Universiti Teknologi Malaysia.

Page 14: Cinta Ilmu dan Transformasi Modal Insan dalam Tamadun · PDF fileSuasana sekolah yang kurang memberi penekanan ... (Malcolm Smith 2007; ... beberapa ketika sebelum berhenti dan membuka

| Prosiding Seminar Kebangsaan Tamadun & Warisan Islam (TAWIS) 2016 176

Dipetik pada 13 Januari 2015 daripada http://eprints.utm.my/11547/1/Budaya_

Membaca_Dalam_Kalangan_Pelajar_%E2%80%93_Pelajar_4_SPH_Program_Kh

as.pdf.

Zaini Ujang. 2009. Menghayati Budaya Ilmu: Faham Ilmu, Amalan dan Panduan. Ed. 2.

Skudai: Universiti Teknologi Malaysia.