catatan rfleksi mingguan.docx

Upload: aishah4840

Post on 10-Jan-2016

15 views

Category:

Documents


0 download

TRANSCRIPT

INSTITUT PENDIDIKAN GURU KAMPUS TUANKU BAINUNBUKIT MERTAJAM

PELAKSANAAN INTERNSHIPPROGRAM PENSISWAZAHAN GURUAMBILAN JUN 2011

29 MAC 2015 23 APRIL 2015DISEKOLAH KEBANGSAAN RELAU

DISEDIAKAN OLEH,MOHD. PARDZLI BIN LAZIM710710-02-5867PROGRAM PENSISWAZAHAN GURUAMBILAN JUN 2011

LAMPIRAN 2 CATATAN REFLEKSI MINGGUANTarikh: 29 MAC 2 APRIL 2015 (Minggu 1)1. Isu / perkara yang di fokus

a. Makluman tentang garis panduan pelaksanaan internship Program Pensiswazahan Guru.

2. Analisa Isu / perkara yang difokus.Ahad, 29 Mac 2015 Pihak pentadbir sekolah telah memanggil saya untuk memaklumkan tentang pelaksanaan program tersebut. Antara isi taklimat ringkas ini ialah :a. Prosedur pelaksanaan.b. Projek Internship yang perlu saya laksanakan.c. Peranan dan Tanggungjawab pelajar.d. Kehadiran Internshipe. Penilaian Internship

Hasil perbincangan, saya mendapati bahawa perkara atau isi taklimat adalah bertepatan dengan taklimat yang telah disampaikan oleh pihak IPGK Tuanku Bainun. Saya berjanji akan mematuhi segala peraturan dan akan menyiapkan segala tugasan seperti mana yang telah diamanahkan. Di samping sebagai seorang guru di sekolah tersebut, saya perlu menjalankan dua tugas seiring iaitu sebagai seorang guru dan sebagai seorang guru pelatih. Saya bersyukur kerana pihak pentadbir sudi bekerjasama dan memberi bimbingan kepada saya.Antara peristiwa lain yang berlaku di sekolah ini ialah perhimpunan pagi. Guru bertugas menegaskan tetang tahap disiplin murid yang semakin kendur. Tuan Guru Besar pula menekankan tentang Ujian 1 yang akan dilaksanakan tidak lama lagi. Selain itu, berlangsung juga mesyuarat Panitia Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Sains dan Matematik. Antara perkara utama yang dibincangkan ialah pelaksanaan aktiviti panitia, persediaan Ujian 1 dan pemantauan Dialog Prestasi.

Isnin, 30 Mac 2015Saya telah merancang untuk menyediakan bahan inovasi yang sesuai untuk murid-murid tahun 4A1. Tiga perancangan projek disenaraikan iaitu :a. Projek i-thinkb. Projek bahan IT menggunakan MS Power Pointc. Projek Nyanyian Lagu

Saya telah membuat renungan dengan mengimbas kembali kelemahan murid dalam pengajaran dan pembelajaran. Selain itu, saya telah berbincang dengan Ketua Panitia Bahasa Melayu iaitu En. Ahmad Fitri bin Zulkifli. Jadi, saya telah membuat kata putus untuk membina bahan inovasi berkaitan didik hibur iaitu mengaplikasikan Teori Kecerdasan Pelbagai melalui teknik nyanyian.Idea ini saya ketengahkan kerana saya mendapati murid-murid 4A1 gemar akan muzik dan nyanyian. Saya juga merenung kembali aspek tatabahasa yang masih belum dapat dikuasai oleh murid-murid kelas 4A1. Aspek masalah tatabahasa yang perlu saya tangani dalam projek inovasi ini ialah berkaitan kata sendi nama dari dan daripada. Aktiviti lain yang berlaku di sekolah ini ialah Mesyuarat Panitia Matapelajaran Elektif seperti Panitia Pendidikan Seni, Kemahiran Hidup dan Pendidikan Jasmani dan Kesihatan.Aktiviti yang tidak kurang pentingnya juga ialah Program Kolaboratif Tahun 6. Empat buah sekolah telah menghantar murid-murid mereka ke SK Relau untuk melaksanakan program ini. Program ini bermula pada jam 8.00 pagi dan berlanjutan sehingga jam 5.00 petang. Serarmai 120 orang peserta telah mengikuti program ini. Oleh sebab SK Relau menjadi tuan rumah, maka semua guru perlu melaksanakan tugas yang telah ditetapkan.

Selasa, 31 Mac 2015Saya telah berbincang dan menulis lirik bagi projek yang akan dilaksanakan. Guru-guru Bahasa Melayu turut menyumbangkan idea untuk menghasilkan lirik kata sendi nama dari dan daripada. Hasil perbincangan yang mengambil masa selama lebih dari sejam, maka kami memutuskan bahawa tajuk lagu yang dicipta ialah MATO.MATO merupakan singkatan atau akronim kata sendi nama dari iaitu M untuk masa, A untuk arah dan T untuk tempat. Manakala O merupakan singkatan bagi orang dan objek yang menggunakan kata sendi nama daripada. Lirik yang dihasilkan meliputi fungsi dan contoh berkaitan kata sendi nama dari dan daripada. Walau bagaimanapun, penulisan lirik ini terhenti apabila kami kekurangan idea. Program lain yang berlangsung di SK Relau ialah saya telah menjalankan satu lagi program LDP iaitu berkaitan i-think kepada para guru. LDP dijalankan di Makmal IT pada jam 2.30 petang dan berakhir pada jam 5.00 petang. Pendedahan i-think ini bertujuan agar peta minda dan soalan-soalan KBAT dilaksanakan sepenuhnya oleh guru-guru dalam PdP mereka.

Rabu, 1 April 2015Dalam usaha merealisasikan projek inovasi nyanyian MATO, saya menyambung usaha mencipta lirik lagu tersebut. Alhamdulillah, usaha ini akhirnya mencapai kejayaan. Saya perlu memuat turun lagu minus one Aku Anak Kampung. Muzik tanpa suara ini akan saya gabungkan dengan nyanyian MATO. Saya memilih lagu ini kerana saya selalu mendengar murid-murid menyanyikan lagu tersebut. Jadi, saya berpendapat tiada masalah bagi murid untuk menghafal lirik lagu MATO kerana rentak dan melodi telah dikuasai oleh mereka. Setelah memuat turun muzik minus one, saya memulakan rakaman audio. Beberapa masalah telah timbul semasa rakaman audio seperti gangguan suara lain dan kualiti rakaman yang kurang jelas. Saya hanya menggunakan telefon bimbit sebagai alat perakam buat kali pertama ini. Ternyata, hasilnya amat tidak berkualiti. Saya terpaksa meminta kebenaran daripada Guru Media untuk menggunakan pembesar suara dan alat perakam. Proses ini terpaksa diulangi beberapa kali sehingga saya berpuas hati. Proses menggabungkan video dan audio akan dilakukan pada keesokan hari.Peristiwa lain yang berlaku pada hari ini ialah aktiviti kokurikulum melibatkan unit-unit beruniform. Aktiviti rutin ialah kawad kaki bagi semua unit beruniform di sekolah ini iaitu PBSM, TKRS, PPIM dan Pengakap.

Khamis, 2 April 2015Proses menggabungkan audio dan video projek inovasi dilaksanakan seawal jam 8.00 pagi. Proses pertama yang dijalankan ialah muat turun semua gambar-gambar yang berkaitan dengan lirik lagu. Hal ini bertujuan supaya murid lebih memahami lirik MATO jika dibantu oleh grafik yang berkualiti. Langkah seterusnya ialah saya menggunakan kepakaran saya dalam mengendalikan Movie Maker bagi mencantum audio dan video. Proses ini memakan masa hampir 5 jam. Masalah yang timbul ialah melaraskan audio (nyanyian) lirik dan paparan grafik. Saya hampir berputus asa untuk menghasilkan video nyanyian MATO ini. Alhamdulillah, akhirnya saya dapat menghasilkan bahan inovasi nyanyian MATO. Program 1M1S dilaksanakan pada jam 3.30 petang dan tamat pada jam 5.30 petang. Saya mengambil kesempatan ini untuk melatih murid-murid pasukan hoki yang akan bertanding pada penghujung bulan April ini. Program 1M1S berjalan lancar seperti yang dirancang.

KELEMAHANDalam usaha membina projek inovasi iaitu nyanyian MATO, beberapa kelemahan terpaksa saya akui sepanjang minggu ini. Saya kurang mahir dalam mengendalikan perisian untuk menghasilkan video pembelajaran ini. Saya hanya mahir dalam penggunaan Movie Maker sahaja. Sepatutnya saya mesti mahir menggunakan program lain seperti Ulead, Program Photoshop dan sebagainya. Selain itu, masalah kekangan masa merupakan masalah utama yang perlu saya hadapi. Hal ini demikian kerana saya merupakan guru Tahun 6 dan terpaksa membahagikan masa seperti mengadakan kelas tambahan dan sebagainya.

5 April 9 April 2015 (Minggu 2)

1. Isu / perkara yang di fokusPelaksanaan Projek Inovasi Nyanyian MATO

2. Analisa Isu / perkara yang difokus.

Ahad, 5 April 2015 Sebagai langkah percubaan, saya telah memperkenalkan projek inovasi ini kepada murid-murid 4A1. Pada mulanya mereka seperti biasa, suka bermain-main dan berbual-bual pada sesi permulaan saya masuk ke kelas tersebut. Tetapi, setelah saya menayangkan video nyanyian MATO tersebut, semua murid terus memberikan perhatian. Mungkin mereka tertarik dengan muzik Aku Anak Kampung tersebut. Saya hanya menayangkan sebahagian daripada lagu tersebut kerana sesi pengajaran dan pembelajaran sebenar ialah pada hari Rabu, 8 April 2015. Mereka seolah-olah tidak berpuas hati kerana saya memberhentikan tayangan tersebut.

Aktiviti lain yang berlaku di sekolah ialah perhimpunan rasmi. Seperti biasa, guru bertugas telah menyampaikan ucapan bertajuk Pentingnya Menghormati Ibu Bapa. Sesi PdP berjalan lancar dan tiada peristiwa menarik berlaku pada hari ini.

Isnin, 6 April 2015

Sesi pengajaran dan pembelajaran berjalan seperti biasa. Dalam aktiviti PdP dalam kelas 4A1, murid belajar tentang nilai murni. Kebanyakan murid dapat menghayati nilai-nilai murni yang diterapkan. Sebelum sesi PdP tamat, ada segelintir murid bertanya tentang lagu MATO. Mereka teringin untuk menyanyikan lagu tersebut. Walau bagaimanapun, saya menangguhkan sesi nyanyian itu supaya pada hari kemenjadian, suasana lebih menarik. Lagipun, perancangan rapi masih dalam proses. Saya berpendapat murid-murid ternanti-nanti akan aktiviti nyanyian MATO. Mungkin mereka berasa teruja kerana teknik nyanyian dan didik hibur jarang-jarang dilaksanakan dalam PdP. Perkara lain yang berlaku sepanjang hari ini ialah Lawatan Dialog Prestasi. Kehadiran pegawai-pegawai PPD dan JPN ke SK Relau disambut baik oleh pihak pentadbir dan guru-guru. Perkara utama yang dipantau ialah berkaitan pelaksanaan LINUS. Walau bagaimanapun, segala-galanya berjalan lancar dan SK Relau mendapat pujian kerana mempunyai perancangan dan pelaksanaan yang rapi.

Selasa, 7 April 2015Persediaan terakhir untuk menjalankan sesi PdP bahan inovasi internship. Saya telah membuat perancangan dan persediaan terakhir serta memurnikan perancangan dan aktiviti. Saya juga sempat menyediakan lembaran kerja, persediaan alat pandang dengar, pemasangan sistem audio yang berkualiti dan susunan kerusi untuk aktiviti kuiz antara kumpulan. Saya terpaksa membuat persediaan awal kerana sesi PdP projek inovasi yang berlangsung awal pagi esok.Antara aktiviti lain yang berlangsung ialah Mesyuarat Guru Tahun 6. Saya terlibat sepenuhnya dengan mesyuarat ini kerana saya merupakan tenaga pengajar subjek Bahasa Melayu UPSR. Antara perkara yang dirancang ialah pengisian program kelas tambahan dan pencapaian dashboard sekolah. Kami juga berbincang tentang sasaran yang sepatutnya dicapai pada Ujian Percubaan 1 nanti.

Rabu, 8 April 2015Hari ini merupakan hari yang ditunggu-tunggu oleh murid-murid. Nyanyian MATO akan diperdengarkan dan murid-murid akan belajar melalui nyanyian inovasi ini. Seawal jam 8.15 pagi, bermulalah sesi pengajaran dan pembelajaran Bahasa Melayu Tahun 4A1. Semasa set induksi dilaksanakan, segelintir murid telah mula mengikut rentak dan lirik lagu tersebut. Setelah diulang beberapa kali, akhirnya mereka dapat menghafal lirik lagu tersebut. Penghafalan lirik merupakan elemen yang mesti dikuasai untuk merealisasikan bahan inovasi nyanyian MATO ini. Jika mereka tidak dapat menghafal, berkemungkinan besar mereka tidak dapat menjawab soalan kata sendi nama dari dan daripada.Dalam langkah seterusnya, guru membimbing murid memahami lirik lagu tersebut. Fungsi dan contoh kata sendi nama dari dan daripada ditekankan agar murid-murid benar-benar menguasai. Sebagai pengayaan, murid-murid dikehendaki menyenaraikan contoh lain bagi kata sendi nama dari dan daripada. Hasilnya mereka dapat menyenaraikan perkataan-perkataan tersebut hasil daripada perbincangan secara berkumpulan.Aktiviti langkah ketiga ialah murid-murid dikehendaki menjawab soalan kuiz. Aktiviti kuiz berbantukan komputer iaitu slaid MS Power Point. Aktiviti ini dijalankan secara berkumpulan. Antara langkah wajib sebelum menjawab soalan kuiz ialah mereka perlu menyanyikan rangkap daripada lagu MATO bagi soalan yang berkaitan dengan fungsi kata sendi nama dari dan daripada. Daripada pemerhatian yang dibuat, jelas membuktikan bahawa murid-murid berasa amat seronok semasa menjalankan aktiviti kuiz dan nyanyian MATO. Mereka saling bersaing untuk mendapatkan markah. Suatu perkara yang membanggakan saya ialah mereka dapat menghafal lirik dalam masa yang begitu singkat. Bagi menguji tahap hafalan dan pemahaman, saya telah mengadakan aktiviti individu. Didapati mereka dapat menjawab soalan dan menyambung lagu MATO secara individu. Keseluruhannya, saya menganggap bahan inovasi nyanyian MATO ini memberi impak yang sangat baik kepada murid dalam memahami kata sendi nama dari dan daripada. Hal ini boleh dibuktikan dengan peratusan markah yang tinggi setelah lembaran kerja disiapkan. Hal ini boleh dibuktikan lagi dengan komen yang positif oleh PK Pentadbiran yang memantau pelaksanaan bahan inovasi tersebut.Keceriaan murid tergambar walaupun sesi PdP telah tamat. Mereka masih menyanyikan lagu MATO walau di mana sahaja mereka berada. Terutama semasa waktu rehat dan semasa mereka berjalan untuk pulang. Saya berasa bangga kerana mereka menyanyikan lagu MATO dan bukannya lagu Aku Anak Kampung. Antara peristiwa penting yang berlaku di sekolah pada hari ini ialah pemantauan PdP oleh pihak pentadbir. Di samping itu, aktiviti kokurikulum berjalan lancar seperti yang dirancang.

Khamis, 9 April 2015Awal pagi sebelum bermulanya waktu persekolahan, seperti biasa murid-murid melakukan tugasan pembersihan seperti menyapu lantai, mengemop, membersihkan papan putih dan mengelap tingkap. Dalam sesi PdP, saya masih menguji tahap hafalan murid-murid berkaitan lagu inovasi MATO. Ternyata, walaupun tanpa muzik dan video, mereka dapat menyanyi dengan betul. Saya juga mengajukan soalan secara spontan dan murid dapat menjawab soalan-soalan yang diajukan dengan betul. Hal ini meneguhkan lagi keyakinan saya kepada bahan inovasi lagu MATO ini. Pada waktu petang, aktiviti 1 Murid 1 Sukan dijalankan. Aktiviti ini serentak dijalankan di sekolah-sekolah seluruh Malaysia. Para murid dan guru-guru tidak melepaskan peluang untuk turut serta dalam aktiviti ini. Murid-murid sungguh bersemangat ketika menyertai aktiviti ini. Mereka berjaya mengikut rentak senamrobik yang dilakukan oleh jurulatih. Hal tersebut merupakan sesuatu yang membanggakan kerana murid menyedari kepentingan bersukan.

KelemahanPada minggu ini, terasa masa terlalu mencemburui. Hari ke hari seolah-olah bergerak dengan pantas. Antara kelemahan yang amat dirasai dalam minggu ini ialah apabila sesi PdP bahan inovasi kelihatan masih suram. Walaupun murid-murid kelihatan seronok dapat menyanyi, namun saya berasakan ada kekurangan dalam bahan inovasi tersebut. Saya sepatutnya memasukkan elemen-elemen grafik yang bergerak (animasi). Saya akan cuba sedaya upaya untuk belajar berkaitan program-program animasi. Jika saya menggunakan animasi dalam video saya, sudah pasti persembahannya lebih menarik berbanding grafik yang statik.

12 April 16 April 2015 (Minggu 3)

1. Isu / perkara yang di fokusMinggu Panitia Bahasa Melayu

2. Analisa Isu / perkara yang difokus.

Ahad, 12 April 2015 Perhimpunan mingguan berjalan seperti biasa. Dalam ucapan Tuan Guru Besar, beliau menyatakan bahawa minggu ini merupakan bulan Bahasa Melayu. Panitia Bahasa Melayu akan mengendalikan aktiviti-aktiviti berkaitan Bahasa Melayu. Sesi PdP berjalan lancar. Pada hari ini, saya telah menjalankan sesi pengajaran dan pembelajaran menggunakan TMK. PdP dijalankan di dalam makmal IT. Yang menarik pada hari ini ialah murid dibenarkan melayari internet untuk mencari maklumat.Pada sebelah petang, kelas bimbingan UPSR dijalankan bermula jam 2.00 petang dan berakhir pada jam 4.00 petang.

Isnin, 13 April 2015Oleh sebab minggu ini merupakan Minggu Panitia Bahasa Melayu, maka hari ini merupakan hari pertama pelaksanaannya. Saya telah mengambil inisiatif untuk mengendalikan program tersebut. Sebagai permulaan, saya telah mendedahkan kepada murid-murid tentang jenis-jenis pantun. Beberapa orang murid kelas saya iaitu 4A1 telah mempersembahkan jenis-jenis pantun di tapak perhimpunan sambil ditonton oleh murid-murid lain. Pada waktu senggang, saya mengambil peluang ini untuk melatih murid-murid menyanyi lagu inovasi MATO. Tujuannya adalah untuk dipersembahkan pada hari Selasa. Murid-murid sangat seronok dengan pengumuman ini dan berlatih bersungguh-sungguh. Mereka berlatih pada waktu petang setelah pulang dari kelas KAFA. Aktiviti lain yang berlangsung pada hari ini ialah mesyuarat unit-unit HEM.

Selasa, 14 April 2015Aktiviti PdP berjalan seperti biasa. Bagi murid-murid Tahap 2, Ujian 1 dilaksanakan. Pelaksanaan Ujian 1 berjalan seperti yang dijadualkan. Pada waktu rehat, Panitia Bahasa Melayu telah mengambil inisiatif menayangkan aktiviti bahasa iaitu mendeklamasi sajak menggunakan televisyen yang ditempatkan di kantin. Dalam perhimpunan pagi, murid-murid 4A1 telah mempersembahkan nyanyian lagu MATO. Mereka mempersembahkan dengan penuh bersemangat. Saya dapat melihat perasaan bangga pada wajah mereka apabila mendapat tepukan gemuruh daripada murid-murid dan guru-guru. Tambahan lagi, persembahan mereka ditonton oleh Tuan Guru Besar dan barisan pentadbir sekolah. Saya sempat merakam aktiviti ini untuk dijadikan bahan tayangan di kantin pada waktu rehat.

Rabu, 15 April 2015PdP pada hari bertemakan kemasyarakatan. Dalam sesi PdP iaitu bahagian tatabahasa, saya telah sekali lagi menggunakan akronim MATO dalam pengajaran dan pembelajaran kata sendi nama. Saya memulaka sesi tatabahasa dengan nyanyian inovasi MATO. Jadi murid-murid kukuh pemahamannya. Tetapi pada sesi kali ini, saya telah menambah kata sendi nama yang lain seperti pada, ke, di dan sebagainya. Segelintir murid bertanya kepada saya ,Mengapakah cikgu tidak mencipta lagu untuk kata sendi yang lain?. Saya hanya tersenyum dan berjanji akan mencipta akronim dan lagu lain agar murid-murid dapat memahami dan menghafal. Maka saya dapat membuat refleksi kendiri bahawa teknik nyanyian memberi kesan yang mendalam kepada murid-murid. Aktiviti Panitia Bahasa Melayu berjalan dengan giliran murid-murid Tahun 6A1 mempersembahkan deklamasi sajak. Sajak-sajak terkenal nukilan Sasterawan Negara A. Samad Said dan Shahnon Ahmad digunakan oleh murid-murid tersebut. Pada sebelah petang, aktiviti kokurikulum Unit Beruniform diadakan seperti biasa. Program Kolaborasi dengan pihak PLKN berjalan lancar. Para jurulatih datang ke sekolah untuk melatih murid-murid berkawad. Selepas aktiviti kokurikulum, semua murid telah ke padang untuk aktiviti sukan dan permainan. Pada hari ini, para guru telah bersepakat untuk mengadakan sesi pencarian bakat untuk bola sepak dan hoki. Murid-murid perempuan pula didedahkan dengan bola baling dan bola jaring.

Khamis 16 April 2015Aktiviti Panitia Bahasa Melayu diteruskan semasa perhimpunan pagi. Kini tibalah giliran murid-murid Tahap 1 pula mempersembahkan nyanyian seperti lagu ABC dan lagu Pantun. Hari ini merupakan hari terakhir Ujian 1 dijalankan. Semua murid Tahap 2 menduduki ujian. Kebetulan, dalam soalan terdapat soalan-soalan berkaitan kata sendi nama. Ada beberapa orang murid memaklumkan kepada saya bahawa mereka menyanyi lagu MATO (dalam hati) semasa menjawab soalan tersebut. Saya hanya tersenyum dan bangga kerana lagu MATO dapat membantu murid-murid saya menjawab soalan. Pada waktu rehat, saya menayangkan kembali rakaman-rakaman video persembahan murid-murid di kantin. Murid-murid saya sangat bangga apabila wajah-wajah ceria mereka muncul pada kaca televisyen. Mereka menyanyikan lagu MATO seiring dengan video yang ditayangkan.

19 April 23 April 2014 (Minggu 4)Ahad, 19 April 2015Minggu ini merupakan minggu terakhir pelaksanaan internship di SK Relau. Banyak perkara yang masih belum dapat diselesaikan. Antaranya ialah portfolio yang masih belum diselesaikan. Selain itu, laporan reflektif ini juga tertangguh memandangkan terlalu banyak kerja yang perlu diselesaikan. Sebagai langkah terakhir, saya telah mengambil inisitiatif untuk memberi perhatian berat kepada internship. Langkah pertama yang saya lakukan ialah saya perlu menyalin rakaman video MATO ke dalam cakera padat. Jadi, pada hari ini saya berazam untuk menyiapkan rakaman tersebut.Aktiviti lain ialah Kem Bestari Solat untuk murid-murid Tahun 1 dilaksanakan di surau sekolah. Selain itu, Mesyuarat AJK PIBG juga dijalankan di makmal IT pada jam 2.30 petang.

Isnin, 20 April 2015PdP berjalan seperti biasa. Pada minggu ini, tibalah giliran Panitia Sains dan Matematik mengadakan persembahan pada setiap pagi di tapak perhimpunan. Ada guru yang meminta jasa baik saya agar mencipta lagu untuk murid-murid mereka persembahkan. Saya hanya tersenyum dan bersetuju demi anak-anak didik saya. Ini juga merupakan projek inovasi saya buat kali kedua pada bulan ini.Pada hari ini saya mengajarkan murid-murid saya berkaitan nyamuk aedes dan demam denggi. Hal ini memandangkan terlalu banyak kes denggi berlaku di kawasan tempat tinggal murid-murid. Saya memilih kemahiran membaca dan mencatat maklumat. Dari segi proses penyediaan portfolio, saya telah menyiapkan penulisan refleksi sehingga minggu ketiga. Saya terpaksa mengimbas kembali semua program sekolah yang telah dilaksanakan. Saya mendapatkan bantuan Ketua Panitia Bahasa Melayu untuk memberi idea terhadap penulisan refleksi ini.

Selasa, 21 April 2015Saya telah menyiapkan segala dokumen untuk dinilai oleh pihak pentadbir iaitu rakaman PdP murid semasa nyanyian MATO. Saya juga telah menyerahkan lembaran kerja sebagai bukti kepada pembimbing tentang tahap pemahaman murid dalam kata sendi nama dari dan daripada yang menggunakan bahan inovasi nyanyian MATO. Saya juga menayangkan rakaman video yang dibuat semasa PdP berlangsung. Saya menjelaskan penglibatan murid dan keberkesanan idea bahan inovasi ini disokong oleh Ketua Panitia semasa pemantauan dibuat. Penolong Kanan Pentadbiran menyarankan agar bahan inovasi tersebut ditambah liriknya kepada kata sendi nama yang lain. Saya bersetuju dengan pendapat Penolong Kanan Pentadbiran tersebut dan berjanji akan mengusahakannya. Walau bagaimanapun, pada sesi akhir beliau mengucapkan tahniah kepada saya kerana didapati sesi PdP dan pembinaan bahan inovasi nyanyian MATO ini amat menepati dan berjaya dilaksanakan dengan cemerlang.

Rabu, 22 April 2015Aktiviti kokurikulum berjalan seperti biasa. Satu taklimat ringkas kepada guru-guru berkaitan LDP diadakan pada jam 9.45 10.15 pagi. Guru-guru juga disyorkan agar menekankan penggunaan KBAT dalam PdP. Saya dan pemimpin-pemimpin lain mengadakan Kayuhan Amal seperti yang dirancang sebelum ini. Semua murid Tahap 2 menunggang basikal menuju ke Pusat Info Desa Mukim Relau. Di sana kami telah bergotong-royong membersihkan kawasan tersebut. Aktiviti ini bertujuan menerapkan semangat cinta akan alam sekitar, ukhwah dan kepimpinan.Khamis, 23 April 2015Hari ini merupakan hari terakhir pelaksanaan internship dijalankan di SK Relau. Saya telah menyiapkan segala maklumat yang masih belum lengkap. Pihak pentadbir juga telah membuat penilaian dan memberikan skor yang agak tinggi kepada projek bahan inovasi lagu MATO yang telah saya hasilkan. Selain itu, saya telah memurnikan catatan refleksi mingguan. Saya terpaksa merenung kembali semua peristiwa yang berlaku. Selain itu, saya juga bersedia menambah baik projek inovasi saya dan saya juga bersedia mengubah sikap dan amalan saya kepada yang lebih positif terutama dalam PdP. Antara kekuatan sepanjang menjalani internship ini ialah saya amat bersyukur kerana saya mendapat bimbingan daripada guru dan pentadbir yang berkaliber. Mereka sentiasa bersedia membantu dalam menambah baik pelaksanaan projek tersebut sama ada dari segi idea mahupun berbentuk kemahiran.

KelemahanPada minggu ini saya menyedari terdapat banyak kelemahan pada laporan dan folio yang telah saya siapkan ini. Saya telah mencuba sedaya upaya untuk melengkapkan apa yang patut dalam jangka waktu yang telah diperuntukkan. Saya memohon ampun dan maaf sekiranya sepanjang saya melakukan tugasan ini terdapat kata-kata dan perbuatan yang menyinggung perasaan mana-mana pihak. Saya akui sebagai manusia biasa, saya tidak dapat lari dari kelemahan ini. Segala yang baik itu datangnya dari Allah S.W.T dan yang buruk itu adalah dari kelemahan dari diri saya.

Wallahu Alam.

4. CADANGAN PENAMBAHBAIKANSaya amat yakin sekiranya projek ini tidak di rancang dalam waktu yang tergesa-gesa ia sudah tentu menjadi projek terbaik saya. Kekangan waktu dan bebanan kerja lain menyebabkan fokus saya agak terganggu. Saya boleh meminta bantuan rakan-rakan yang berkemahiran dalam bidang teknologi maklumat agar membantu saya dalam usaha membina bahan inovasi lagu MATO ini. Saya juga bercadang untuk meminta bantuan Penyelaras PKG yang mempunyai koleksi bahan-bahan inovasi serta meminta pandangan beliau tentang projek yang saya usahakan ini. Beliau juga mungkin berkemahiran dalam bidang TMK dan bersedia membantu saya.Saya juga bercadang belajar menyunting untuk menghasilkan video dan audio yang berkualiti. Saya akan cuba mendapatkan tunjuk ajar daripada rakan-rakan atau juruteknik komputer di sekolah saya. Dengan penghasilan bahan inovasi yang menggunakan bahan grafik animasi, persembahan projek saya mungkin lebih menarik. Setakat ini saya telah mula berjinak-jinak dengan Scratch iaitu sejenis perisian yang digunakan dalam TMK Tahun 6 pada 2016. Perisian ini membolehkan pergerakan objek mengikut yang dirancang.