buku manual kualiti pelaksanaan sistem pengurusan …repository.um.edu.my/106730/1/manual kualiti...

57
1 BUKU MANUAL KUALITI PELAKSANAAN SISTEM PENGURUSAN KUALITI BERTERASKAN SYARIAH MS1900 DI INSTITUSI PENGAJIAN TINGGI MALAYSIA: KE ARAH PENGURUSAN BERKESAN DAN INOVATIF HASAN AL-BANNA BIN MOHAMED AB. MUMIN BIN AB. GHANI SITI ARNI BINTI BASIR SHARIFAH HAYAATI BINTI SYED ISMAIL AL-QUDSY ILHAAMIE BINTI AB. GHANI AZMI

Upload: vuthu

Post on 12-Jul-2019

299 views

Category:

Documents


1 download

TRANSCRIPT

1

BUKU MANUAL KUALITI

PELAKSANAAN SISTEM PENGURUSAN

KUALITI BERTERASKAN SYARI’AH

MS1900 DI INSTITUSI PENGAJIAN

TINGGI MALAYSIA:

KE ARAH PENGURUSAN BERKESAN

DAN INOVATIF

HASAN AL-BANNA BIN MOHAMED

AB. MUMIN BIN AB. GHANI

SITI ARNI BINTI BASIR

SHARIFAH HAYAATI BINTI SYED ISMAIL AL-QUDSY

ILHAAMIE BINTI AB. GHANI AZMI

2

MANUAL PELAKSANAAN SISTEM PENGURUSAN KUALITI

BERTERASKAN SYARI’AH MS1900 DI INSTITUSI PENGAJIAN

TINGGI MALAYSIA: KE ARAH PENGURUSAN BERKESAN

DAN INOVATIF

HASAN AL-BANNA BIN MOHAMED

AB. MUMIN BIN AB. GHANI

SITI ARNI BINTI BASIR

SHARIFAH HAYAATI BINTI SYED ISMAIL AL-QUDSY

ILHAAMIE BINTI AB. GHANI AZMI

UNIVERSITI PERTAHANAN NASIONAL MALAYSIA

2015

3

Cetakan Pertama © 2015

© Hak cipta terpelihara. Mana-mana bahagian buku panduan ini tidak boleh dicetak semula,

disalin atau dipindahkan dengan apa juga cara, sama ada dengan komputer, fotokopi, filem dan

sebagainya sebelum mendapat kebenaran daripada penerbitnya secara bertulis.

ISBN: …………………………

Dicetak dan diterbitkan oleh:

Pusat Penerbitan UPNM

Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM)

Kem Perdana Sungai Besi

57000 Kuala Lumpur

4

PRAKATA

Kami mengucapkan syukur ke hadrat Allah SWT serta ribuan terima kasih kepada semua pihak atas kelahiran

BUKU MANUAL KUALITI ini bagi pelaksanaan SPK Islam MS1900 di IPT. Sebenarnya manual kualiti yang

umum telahpun dikeluarkan oleh pihak SIRIM Berhad dengan usahasama pihak-pihak tertentu sebagai panduan bagi

semua organisasi. Namun sehingga kini, masih tidak wujud manual kualiti untuk pelaksanaan MS1900 di IPT.

Justeru, kami merasakan terpanggil untuk merangka satu manual kualiti yang boleh dijadikan panduan untuk pihak

pengurusan, ahli akademik dan golongan pentadbir agar dapat melaksanakan sistem pengurusan kualiti Islam

MS1900 dengan lebih berkesan di IPT masing-masing.

MS1900 merupakan sistem pengurusan kualiti yang bersifat umum atau generik, oleh itu ia sesuai digunakan dalam

pelbagai sektor termasuklah sektor IPT. Namun, pelaksanaannya perlu mengambil kira dengan ciri dan keperluan

sesebuah organisasi. Manual ini bukan sahaja menerangkan aspek-aspek teknikal yang perlu dipatuhi oleh IPT

dalam melaksanakan MS1900, tetapi ia juga menerangkan beberapa ciri penting yang menjadi asas yang membentuk

persekitaran IPT. Ciri-ciri penting itu ialah komponen-komponen utama IPT dan budaya akademik dalam kalangan

pensyarah. Budaya akademik perlu difahami kerana pensyarah yang merupakan golongan intelektual berkepakaran

tinggi merupakan kelompok utama yang menggerakkan aktiviti-aktiviti teras IPT iaitu pengajaran dan penyelidikan.

Perkara ini perlu difahami agar pelaksanaan MS1900 dapat disesuaikan dengan cara pensyarah berfikir dan

bertindak. Keistimewaan lain manual ini ialah ia turut memaparkan langkah-langkah yang perlu diambil sekiranya

IPT merancang untuk menghasilkan inovasi setelah berjaya melaksanakan MS1900. Inovasi yang terhasil dari

pelaksanaan MS1900 akan membawa banyak faedah kepada IPT, sama ada di segi pengurusan ataupun

penyampaian perkhidmatan.

MANUAL KUALITI ini terbahagi kepada beberapa bahagian utama yang dipecahkan kepada pertamanya,

BAHAGIAN PENDAHULUAN, kedua adalah BAHAGIAN LANGKAH-LANGKAH PELAKSANAAN MS1900

DI IPT, bahagian ketiga pula membincangkan aspek ELEMEN MAQASID SYARI’AH DAN KEPERLUAN

SYARI’AH, seterusnya bahagian keempat adalah ELEMEN KUALITI PERKHIDMATAN, kelima ialah FAKTOR-

FAKTOR MEMPENGARUHI KEJAYAAN PELAKSANAAN MS1900 DI IPT dan keenamnya KOMPONEN

UTAMA DI IPT. Bahagian seterusnya iaitu aspek ketujuh ialah BUDAYA AKADEMIK DI IPT, kemudian diikuti

dengan bahagian kelapan iaitu BAHAGIAN PENAMBAHBAIKAN DAN INOVASI PENGURUSAN serta

bahagian kesembilan adalah KESIMPULAN. Pada bahagian akhir manual ini disertakan ILUSTRASI

KERANGKA PELAKSANAAN MS1900 di IPT.

Kami mengharapkan manual ini dapat digunakan sebagai rujukan dan panduan kepada semua pihak di IPT yang

merancang untuk melaksanakan atau sedang melaksanakan SPK Islam (MS1900). Semoga manual ini membantu

warga IPT untuk melaksanakan MS1900 dengan lancar dan sempurna. Kejayaan IPT dalam memenuhi tuntutan

teknikal dan kerohanian dalam menjayakan pelaksanaan MS1900 bukan sahaja akan menjadi asas kepada

pengurusan berkesan dan inovasi, tetapi juga akan mengundang keredhaan Allah SWT.

Manual ini boleh digunakan bukan sahaja di IPT, tetapi juga boleh digunakan di sector berorientasikan

perkhidmatan yang lain seperti sektor perkhidmatan awam, perubatan dan perhotelan. Manual ini juga boleh

digunakan dalam organisasi yang melaksanakan program pengurusan seperti program jaminan kualiti, ISO 9000,

TQM dan MQA kerana kesemua program tersebut berkongsi falsafah, nilai dan asas teknik yang sama.

Sekian, Wassalam.

Ketua Penyelidik,

HASAN AL-BANNA BIN MOHAMED

DISEMBER 2015

5

ISI KANDUNGAN

PRAKATA .................................................................................................................................................... 4

ISI KANDUNGAN ....................................................................................................................................... 5

SENARAI RAJAH ....................................................................................................................................... 7

1.0 PENDAHULUAN ................................................................................................................................ 8

2.0 LANGKAH-LANGKAH PELAKSANAAN MS1900 DI IPT .......................................................... 10

2.1 Kefahaman Terhadap MS1900 ................................................................................................... 10

2.2 Penubuhan Jawatankuasa Kualiti ................................................................................................ 12

2.3 Tanggungjawab Pihak Pengurusan ............................................................................................. 13

2.4 Peruntukan Sumber ..................................................................................................................... 14

2.5 Aduan Pelanggan ........................................................................................................................ 15

2.6 Audit Dalaman ............................................................................................................................ 16

2.8 Mesyuarat Kajian Semula Pengurusan (MKSP) ......................................................................... 17

2.9 Aktiviti Penambahbaikan Berterusan ......................................................................................... 18

3.0 ELEMEN MAQASID SYARI’AH DAN KEPERLUAN SYARI’AH .................................................... 21

4.0 ELEMEN KUALITI PERKHIDMATAN .......................................................................................... 25

4.1 Dimensi Utama Kualiti Perkhidmatan ......................................................................................... 25

4.2 Model Kualiti Perkhidmatan ........................................................................................................ 25

4.3 Aduan Pelanggan ........................................................................................................................ 27

4.4 Elemen Kualiti Perkhidmatan IPT .............................................................................................. 27

4.5 Piawai Kualiti Perkhidmatan yang Digunakan oleh IPT ............................................................ 27

4.6 Sistem Sokongan ........................................................................................................................ 28

5.0 FAKTOR-FAKTOR MEMPENGARUHI KEJAYAAN PELAKSANAAN MS1900 ...................... 29

5.1 Komitmen Pemimpin ................................................................................................................ 29

5.2 Gaya Kepimpinan ..................................................................................................................... 30

5.3 Penglibatan Warga Kerja .......................................................................................................... 30

5.4 Budaya Organisasi .................................................................................................................... 31

5.5 Sistem Ganjaran ........................................................................................................................ 32

6

5.6 Komunikasi ............................................................................................................................... 33

5.7 Faktor-faktor Lain ..................................................................................................................... 34

6.0 KOMPONEN UTAMA DI IPT .......................................................................................................... 35

6.1 Golongan Akademik ................................................................................................................. 35

6.2 Golongan Pentadbir .................................................................................................................. 36

6.3 Golongan Pelajar ....................................................................................................................... 36

6.4 Pihak Berkepentingan ............................................................................................................... 37

7.0 BUDAYA AKADEMIK DI IPT......................................................................................................... 38

7.1 Kebebasan Akademik ............................................................................................................... 38

7.2 Profesionalisme ......................................................................................................................... 39

7.3 Individualistik ........................................................................................................................... 40

7.4 Kekawanan (Collegiality) ......................................................................................................... 41

8.0 PENAMBAHBAIKAN DAN INOVASI PENGURUSAN ................................................................ 43

8.1 Kepimpinan ............................................................................................................................... 43

8.2 Hubungan Dengan Pelan Strategik Organisasi ......................................................................... 44

8.3 Pengukuran dan Analisis ........................................................................................................... 44

8.4 Penambahbaikan Berterusan .................................................................................................... 45

8.5 Penubuhan Kumpulan Inovasi .................................................................................................. 45

8.6 Penyediaan Belanjawan ............................................................................................................ 46

8.7 Penggunaan Teknologi .............................................................................................................. 46

8.8 Kesilapan Adalah Pelaburan ..................................................................................................... 47

8.9 Pengiktirafan ............................................................................................................................. 48

8.10 Jalinan Kerja (Network) ............................................................................................................ 48

8.11 Penanda Aras (Benchmark) ....................................................................................................... 49

9.0 KESIMPULAN ................................................................................................................................... 50

KERANGKA PELAKSANAAN ................................................................................................................ 51

RUJUKAN .................................................................................................................................................. 52

BIODATA PENULIS ................................................................................................................................. 54

JAWATANKUASA KONSULTASI ......................................................................................................... 56

7

SENARAI RAJAH

NO. NAMA MUKA

SURAT

1 Rajah 1: Sistem Pengurusan Kualiti Berteraskan Syari’ah MS1900 8

2 Rajah 2: Tiga (3) Asas Piawaian Kualiti Islam 21

3 Rajah 3: Kerangka Pelaksanaan SPK Berteraskan Syari’ah MS1900 50

8

1.0 PENDAHULUAN

Pelaksanaan Sistem Pengurusan Kualiti (SPK) membawa manfaat yang besar kepada sesebuah

organisasi. Oleh itu perlaksanaannya perlu dijalankan dengan sebaik mungkin dengan

mengambil kira faktor-faktor pendorong ataupun halangan yang mempengaruhi pelaksanaannya.

Konsep pelaksanaan SPK sememangnya berteraskan kepada beberapa komponen utama yang

telah disarankan oleh sarjana Barat iaitu termasuklah konsep sistem pengurusan kualiti,

tanggungjawab pengurusan, pengurusan sumber, realisasi produk serta yang terakhir adalah

pengukuran, analisis dan penambahbaikan berterusan. Namun impak pelaksanaan SPK masih

menjadi tanda tanya sama ada ia benar-benar memberi kesan kepada pihak pengurusan, warga

kerja dan pelanggan sesebuah organisasi ataupun hanya terkesan di peringkat luaran sahaja.

Sebab itulah, dewasa kini sarjana Barat mula menumpukan perhatian kepada aspek budaya dan

nilai dalam perbahasan mengenai inisiatif SPK. Isu kemanusiaan atau insaniah yang

mempengaruhi pelaksanaan SPK juga turut dibincangkan oleh sarjana barat. Namun, fokus

tersebut masih belum mencukupi kerana hanya melibatkan hubungan sesama manusia ataupun

makhluk sahaja. Hal ini berbeza dengan konsep pengurusan Islam yang lebih menekankan

elemen hubungan sesama manusia dan juga yang lebih penting adalah hubungan manusia dengan

Penciptanya sendiri iaitu Allah SWT. Oleh yang demikian, konsep pengurusan Islam yang

Syumul, holistik dan memberi lebih penekanan kepada kejayaan yang sebenar iaitu meliputi

kejayaan dunia dan akhirat dilihat lebih unggul sifatnya berbanding dengan sistem pengurusan

yang dikemukakan oleh sarjana Barat.

9

Lanjutan daripada itu, di Malaysia menerusi kerjasama antara JAKIM, SIRIM, IKIM dan

beberapa agensi lagi telah merangka satu sistem piawaian yang lengkap berteraskan kepada

ajaran Islam yang Syumul. Sistem piawaian atau standard ini dikenali sebagai Sistem Pengurusan

Kualiti Menurut Perspektif Islam yang diperkenalkan pada tahun 2005 lagi, kemudian ditambah

baik pada tahun 2014 dengan diberi nama yang baru iaitu Sistem Pengurusan Kualiti Berasaskan

Syari’ah. Standard ini berpandukan kepada standard asal ISO 9001 iaitu SPK – Keperluan-

keperluan Asas dengan menambahkan keperluan atau elemen Syari’ah di dalamnya seperti

tertera dalam Rajah 1 di bawah.

Rajah 1: Sistem Pengurusan Kualiti Berteraskan Syari’ah MS 1900

KEPERLUAN-

KEPERLUAN MS1900

1. Sistem Pengurusan Kualiti

2. Tanggungjawab Pengurusan

3. Pengurusan Sumber

4. Penghasilan Produk/

Perkhidmatan

5. Pengukuran, Analisis &

Tambahbaik

KEPERLUAN

SYARI’AH

KEPERLUAN PELANGGAN

KEPUASAN PELANGGAN

INPUT

OUTPUT

10

Sistem pengurusan kualiti yang berteraskan Islam atau Syari’ah ini jika dilaksanakan di sesebuah

organisasi atau institusi, pasti mendatangkan impak yang besar berbanding dengan sistem yang

hanya menumpukan elemen teknikal dan kemanusiaan sahaja.

Pada masa kini, semakin banyak organisasi atau institusi di Malaysia sedang melaksanakan

MS1900. Institusi tersebut datangnya daripada pelbagai sektor iaitu sektor pembuatan,

perkilangan, makanan, hospitaliti, perkhidmatan awam, pusat zakat, pentadbiran Islam dan

pendidikan. Antara institusi yang turut melaksanakan Sistem Pengurusan Kualiti Berasaskan

Syari’ah (MS1900) di Malaysia pada masa kini ialah institusi pengajian tinggi.

2.0 LANGKAH-LANGKAH PELAKSANAAN MS1900 DI IPT

Pelaksanaan Sistem Pengurusan Kualiti Berasaskan Syari’ah MS1900 di IPT mengandungi

sembilan (9) langkah. Langkah-langkah tersebut ialah: Pertama, kefahaman terhadap MS1900;

kedua ialah penubuhan jawatankuasa kualiti; ketiga tanggungjawab pihak pengurusan; keempat

peruntukan sumber; kelima aduan pelanggan; seterusnya keenam, audit dalaman; ketujuh audit

luaran; kelapan Mesyuarat Kajian Semula Pengurusan (MKSP); dan yang terakhir aktiviti

penambahbaikan berterusan.

2.1 Kefahaman Terhadap MS1900

Langkah pertama yang perlu dititikberatkan dalam memastikan kejayaan pelaksanaan MS1900 di

IPT adalah pengetahuan dan kefahaman awal bagi setiap warga kerja terhadap sistem pengurusan

kualiti itu sendiri. Penerangan dan latihan yang mencukupi hendaklah diberikan kepada pihak

pengurusan tertinggi, pentadbir dan pensyarah agar semua pihak mempunyai kefahaman yang

11

jelas tentang MS1900. Kefahaman yang jelas amat penting kerana pelaksanaan MS1900

memerlukan penglibatan semua pihak. Oleh kerana MS1900 mengandungi banyak istilah-istilah

teknikal dan rumit, penerangan dan latihan mengenainya perlu dilaksanakan secara berterusan.

Perkara utamanya adalah sistem MS1900 ini menyamai dengan sistem ISO 9001 secara umum

yang merangkumi pengurusan berkualiti, proses yang bersistematik, lengkap, tersusun,

berkualiti, dan diiktiraf bukan hanya pada peringkat kebangsaan; malah juga di peringkat

antarabangsa. Namun begitu, menjadi keunikan dan kelainan bagi sistem MS1900 ini adalah

dengan kewujudan elemen keperluan Syari’ah dalam pelaksanaannya yang menumpukan

kepatuhan terhadap Aqidah, Fiqh dan Akhlak Islamiyyah. Di samping sistem ini turut

mementingkan aspek memenuhi kehendak dan keperluan pelanggan dalaman mahupun luaran.

Hal ini sekali gus menggambarkan bahawa MS1900 lebih mementingkan penghayatan nilai-nilai

dalam pekerjaan seharian yang selari dengan ajaran Islam seperti aspek kewangan yang tidak

bercampur dengan unsur-unsur penipuan (Gharar) atau Riba, begitu juga dengan aspek

perolehan, hal ehwal pelajar, pergaulan dan batasan perhubungan antara lelaki dan perempuan

semasa bekerja dalam organisasi. Dengan pelaksanaan perkara-perkara tersebut, warga IPT dapat

memahami bahawa kerja mereka bukan hanya sekadar pekerjaan yang perlu dilakukannya,

namun lebih daripada itu yang merupakan satu ibadat umum yang mematuhi keperluan Syari’ah

(perkara yang Halal) ataupun tidak (yang diharamkan dalam ajaran Islam). Para pelajar pula

akan dapat memahami bahawa tanggungjawab mereka bukan hanya untuk menimba ilmu, tetapi

juga perlu mematuhi kehendak Syari’ah dalam setiap perlakuan mereka.

12

2.2 Penubuhan Jawatankuasa Kualiti

Seterusnya, langkah kedua yang perlu ditekankan oleh pihak pengurusan dan warga kerja IPT

sekiranya ingin memastikan MS1900 berjaya dilaksanakan dengan sebaiknya adalah penubuhan

satu jawatankuasa khas bagi mengurus dan memantau berkaitan hal-ehwal pengurusan kualiti

Islam iaitu MS1900. Jawatankuasa tersebut perlu diwakili oleh pihak pengurusan atasan dan

wakil pengurusan setiap unit yang terlibat dengan aktiviti-aktiviti pengurusan kualiti di sesebuah

IPT. Selain itu, Pegawai Syari’ah turut diperlukan kerana beliau bertanggungjawab untuk

menyuntik elemen dan keperluan atau klausa Syari’ah ke dalam sistem pengurusan kualiti yang

digubal dan dilaksanakan. Pegawai Syari’ah juga bertanggungjawab untuk memastikan bahawa

sistem pengurusan kualiti yang dilaksanakan di IPT adalah mematuhi keperluan Syari’ah.

Pelantikan Pegawai Syari’ah secara khususnya akan memudahkan urusan pelaksanaan MS1900

disebabkan individu tersebut mempunyai ilmu pengetahuan dan kepakaran dalam bidang

Syari’ah.

Selain itu, IPT juga boleh menubuhkan jawatankuasa kecil yang terdiri daripada beberapa staf

sebagai pihak pembantu kepada Pegawai Syari’ah yang dilantik yang juga mempunyai ilmu

pengetahuan dan kepakaran dalam bidang Syari’ah ataupun dari pelbagai disiplin ilmu. Mereka

perlu aktif dalam melaksanakan sistem pengurusan kualiti ini dengan penglibatan dalam

penyediaan jadual perancangan audit dalam atau audit luar, menyiapkan agenda mesyuarat

pengurusan kualiti, menyelaras pelbagai kursus yang berkaitan, bengkel semakan dokumen atau

prosedur serta ceramah-ceramah tentang SPK Islam dengan lebih berkesan.

13

2.3 Tanggungjawab Pihak Pengurusan

Tanggungjawab pihak pengurusan merupakan satu lagi langkah seterusnya dalam pelaksanaan

SPK secara Islam ini. Kepemimpinan yang efektif merupakan satu perkara yang berupaya

menjadikan sebarang sistem pengurusan dapat diurus dengan sebaiknya. Pihak pengurusan IPT

perlu mengambil berat, prihatin dan komited dalam usaha mencapai matlamat organisasi. Tidak

kurang penting ialah pihak pengurusan tidak meremehkan elemen-elemen yang ditetapkan oleh

Syari’ah dalam menjayakan pelaksanaan MS1900. Kejayaan sesebuah IPT bukan terletak kepada

kehebatan pemimpinnya sahaja, tetapi turut membabitkan penglibatan para pensyarah, pegawai

dan staff yang setia, ikhlas bekerja, amanah, bersikap terbuka, dan mudah menerima pandangan

orang lain.

Tanggungjawab yang perlu ditunaikan pihak pengurusan IPT dalam menjayakan pelaksanaan

MS 1900 ialah dengan memberi peruntukan sumber secukupnya. Selain itu, pihak pengurusan

hendaklah mengadakan latihan berkaitan dengan pelaksanaan MS1900 agar warga kerja

mempunyai kefahaman dan kepakaran yang diperlukan untuk melaksanakan MS1900 dengan

jayanya. Paling penting ialah pihak pengurusan perlu menjelaskan polisi dan objektif kualiti

yang perlu dicapai kepada seluruh warga IPT. Polisi dan objektif kualiti yang digubal hendaklah

mematuhi kehendak Syari’ah. Maklumat-maklumat penting berkenaan dengan pelaksanaan

MS1900 dan isu-isu kualiti hendaklah disalurkan secara efektif kepada semua peringkat

organisasi dan warga IPT. Tidak kurang penting ialah pihak pengurusan perlu sentiasa

mengambil tahu tentang status dan prestasi pelaksanaan MS1900. Selain itu, pihak pengurusan

14

perlu memberi dorongan secara berterusan kepada para pegawai dan pensyarah agar motivasi

mereka dalam melaksanakan MS1900 dapat dipertahankan.

2.4 Peruntukan Sumber

Langkah seterusnya ialah memberi peruntukan sumber secukupnya untuk pelaksanaan MS1900.

Sumber-sumber yang diperlukan adalah seperti sumber kewangan, infrastrukur dan tenaga

manusia. Aspek kewangan semestinya mampu menyediakan suasana organisasi yang kondusif,

selesa dan teratur untuk warga kerja melakukan aktiviti yang berkaitan dengan perlaksanaan

SPK. Peruntukan yang besar dan khusus perlu diberikan kepada pihak yang terlibat dalam

melaksanakan aktiviti-aktiviti pengurusan kualiti di IPT. Seterusnya infrastuktur yang

membabitkan penyediaan tempat solat yang kondusif perlu disediakan sebaik mungkin agar para

pekerja mudah menunaikan tanggungjawab mereka terhadap Allah SWT. Sumber kewangan

turut diperlukan untuk melaksanakan pelbagai aktiviti kualiti, misalnya program

penambahbaikan berterusan. Peruntukan secukupnya perlu diberikan kerana program

penambahbaikan perlu dipergiatkan sekiranya warga IPT berhajat untuk mencapai

kecemerlangan prestasi IPT melalui pelaksanaan SPK Islam MS1900.

Selain daripada sumber kewangan dan infrastruktur yang mencukupi, aspek bilangan pegawai

dan staf yang mencukupi serta agihan tugas yang saksama turut menjadi perkara yang perlu

diberi perhatian. Hal ini bertujuan untuk mengelakkan berlakunya tekanan kerja berlebihan

dalam kalangan warga kerja yang terbabit secara aktif dalam pelaksanaan MS1900. Bagi IPT

yang besar, sebuah unit atau jabatan khas perlu ditubuhkan untuk menyelaras pelaksanaan

MS1900 dan program-program kualiti. Pihak pengurusan dan seluruh warga IPT perlu

15

memahami bahawa tanggungjawab melaksanakan MS1900 bukan hanya dipikul oleh unit kualiti,

tetapi ia turut melibatkan seluruh jabatan di sesebuah IPT. Pelaksanaan MS1900 juga menjadi

tanggungjawab para pengurus kualiti dan ahli jawatankuasa kualiti. Sumber-sumber IPT

hendaklah dipastikan dari sumber yang halal. Contohnya; sumber kewangan IPT yang

berasaskan sistem kewangan Islam. Selain itu, proses agihan tender kepada pembekal sumber

perlu dilaksanakan dengan telus dan adil.

2.5 Aduan Pelanggan

Langkah berikutnya ialah mengurus dan menangani aduan pelanggan. Setiap aduan pelanggan

hendaklah diberi perhatian serius kerana ia berkait rapat dengan kepuasan pelanggan terhadap

khidmat yang diberi. Lazimnya, pelanggan utama IPT ialah para pelajar. Dalam keadaan tertentu,

warga kerja juga merupakan pelanggan, tetapi kedudukan mereka lebih kepada pelanggan

dalaman.

Aduan yang diambil tindakan dengan cepat dan segera mampu memberikan kepuasan terhadap

pengadu yang mengemukakan permasalahan atau pandangan tentang sesuatu isu atau

perkhidmatan yang disediakan IPT. Oleh itu, pihak pengurusan IPT perlu membangunkan sistem

yang berkesan untuk mengurus aduan pelanggan. Kaedah yang boleh dilakukan adalah kaedah

tradisional menerusi peti aduan ataupun kaedah penggunaan teknologi terkini seperti e-aduan

dan sebagainya. Aduan yang diterima daripada pelajar atau pelanggan perlu diselesaikan

mengikut waktu yang ditetapkan. Output daripada pengurusan aduan perlu dibentangkan dalam

Mesyuarat Kajian Semula Pengurusan (MKSP) untuk sesi perbincangan. Pengurusan aduan

pelanggan yang dilaksanakan mestilah mematuhi kehendak Syari’ah. Misalnya, aduan pelanggan

16

hendaklah dijalankan secara telus dan teratur. Perkara atau perkhidmatan yang sepatutnya

menjadi hak pelanggan atau pelajar seperti kemudahan pengangkutan dan kemudahan sukan

mestilah diberikan kepada mereka. Selain itu, isu-isu yang timbul antara pihak pelajar dan IPT

hendaklah diselesaikan secara adil dan berhemah. Komen dan aduan daripada pelajar perlu

diambil serius oleh pengurusan IPT kerana ia amat berkait rapat dengan kebajikan para pelajar

itu sendiri.

2.6 Audit Dalaman

Langkah seterusnya ialah audit dalaman. Aspek pemantauan pelaksanaan SPK Islam MS1900

dalam sesebuah organisasi perlu dijalankan secara berkala dengan kaedah pemantauan yang

spesifik dan berstrategi. Kaedah yang kebiasaannya dilakukan adalah menerusi aktiviti audit.

Audit dalaman merupakan langkah yang dilakukan untuk menyemak sama ada prosedur kerja

telah dipatuhi atau tidak. Perkara lain yang turut disemak semasa audit ialah pencapaian objektif

kualiti, perjalanan penyampaian perkhidmatan IPT dan aduan pelanggan. Selain itu, semakan

turut dilakukan kepada seluruh skop pelaksanaan MS1900 untuk melihat sama ada ia mematuhi

keperluan Syari’ah ataupun tidak. Ketidakpatuhan kepada keperluan Syari’ah perlu ditangani

dengan segera kerana ia boleh menjejaskan prestasi keseluruhan sistem pengurusan kualiti yang

dilaksanakan.

IPT atau organisasi yang telah memperoleh pensijilan MS1900 akan diaudit secara paling

minimum satu (1) kali setahun. Bagi melancarkan perjalanan aktiviti audit, pihak institusi perlu

mengenal pasti ahli-ahli auditor dalaman yang berkelayakan dan telahpun menghadiri kursus

khas berkaitan audit tersebut.

17

Aktiviti audit dalaman merupakan suatu program pemantauan yang berkesan bagi mengetahui

kelemahan atau kekurangan, peluang atau ancaman yang perlu dibuat tindakan penambahbaikan

yang berterusan. Segala penemuan daripada audit dalaman akan dibentangkan secara teperinci

kepada pihak pengurusan atasan dalam Mesyuarat Kajian Semula Pengurusan (MKSP).

Sekiranya wujud sebarang ketidakpatuhan yang ditemui, maka pihak yang bertanggungjawab

perlu membuat tindakan pembetulan dengan segera atau melakukan penambahbaikan. Selain itu,

pihak terbabit juga perlu melakukan tindakan pencegahan bagi mengelakkan ketidakpatuhan

daripada berulang lagi.

2.7 Audit Luaran

Audit luaran perlu dijalankan untuk menilai sama ada warga IPT telah melaksanakan kerja

dengan mematuhi prosedur kerja yang ditetapkan. Audit luaran juga akan menilai sama ada

pelaksanaan ISO 9000 telah memenuhi klausa-klausa atau keperluan-keperluan MS1900. Audit

luaran dijalankan oleh pihak ketiga seperti SIRIM, iaitu badan akreditasi yang akan

menganugerahkan pensijilan MS1900. Sekiranya auditor luaran mendapati pelaksanaan sistem

pengurusan kualiti telah memenuhi keperluan-keperluan MS1900, maka pensijilan MS1900 akan

dianugerahkan kepada IPT terlibat.

2.8 Mesyuarat Kajian Semula Pengurusan (MKSP)

Langkah seterusnya ialah pelaksanaan Mesyuarat Kajian Semula Pengurusan (MKSP) yang

diadakan secara berkala, konsisten dan mempunyai agenda penambahbaikan berterusan bagi

18

pelaksanaan MS1900 ini. Mesyuarat ini bertujuan memantau keberkesanan pelaksanaan MS1900

di IPT.

Mesyuarat juga perlu membincangkan pencapaian kualiti objektif dan aspek kepatuhan kepada

keperluan Syari’ah. Mesyuarat ini kebiasaannya dijalankan selepas selesai aktiviti audit dalaman.

Ahli-ahli mesyuarat terdiri daripada pihak pengurusan tertinggi IPT. Mesyuarat tersebut turut

dihadiri Ketua Unit Kualiti dan Ketua Auditor Dalaman di IPT tersebut.

Semua pihak yang terlibat dalam mesyuarat akan membentangkan dapatan daripada laporan

audit dalaman yang dijalankan serta memberi maklum balas terhadap perkara berkaitan sama ada

ia merupakan aspek OFI (Opportunity for Improvement) iaitu skop peluang penambahbaikan

ataupun NCR (Non-Compliance Report) iaitu skop ketidakpatuhan yang ditemui. Hasil kajian

kepuasan pelanggan juga perlu dibentangkan dalam mesyuarat. Di sinilah terserlahnya elemen

perbincangan bersama atau konsep Syura dalam kalangan ahli mesyuarat demi menyelesaikan

sebarang isu yang timbul berkenaan dengan pelaksanaan MS1900. Malah mesyuarat ini

dijadikan satu agenda penting yang wajib dilakukan sebelum datangnya audit pihak ketiga atau

audit luaran.

2.9 Aktiviti Penambahbaikan Berterusan

Langkah terakhir dalam pelaksanaan MS1900 ialah melaksanakan aktiviti penambahbaikan

berterusan. Aktiviti penambahbaikan berterusan yang dijalankan oleh semua warga IPT

merupakan langkah penting untuk meningkatkan keberkesanan pelaksanaan SPK menurut

keperluan MS1900. Pelaksanaan MS1900 bukan terhenti apabila IPT berjaya mendapat

19

pensijilan, tetapi usaha-usaha perlu diteruskan untuk terus memperbaiki perlaksanaan SPK agar

ianya benar-benar membantu IPT dalam meningkat keberkesanan pengurusan organisasi secara

holistik.

Hal ini kerana setiap aspek yang tidak mematuhi peraturan piawaian atau tidak memenuhi

keperluan Syari’ah adalah tidak dibenarkan. Antara tindakan yang boleh dijalankan oleh pihak

IPT bagi memastikan penambahbaikan berterusan sentiasa dilaksanakan adalah menerusi kaedah

borang soal selidik kepada pelanggan atau warga kerja sama ada berpuas hati dengan

perkhidmatan yang diberikan atau sebaliknya. Kemudian, ahli jawatankuasa khas dalam SPK

tersebut bertanyakan pula kepada pihak atasan sama ada warga kerja mereka sememangnya

bertindak seperti yang dikehendaki ataupun tidak. Langkah ini dilakukan bagi tujuan semakan

atau pemantauan oleh pihak jawatankuasa untuk memastikan maklum balas yang diberikan

daripada kedua-dua pihak adalah benar.

Fenomena sebegini bertepatan dengan keperluan piawaian MS1900 iaitu penilaian atau

pemantaun perlu dijalankan oleh pihak pengurusan bagi mengetahui kehendak pelanggan dan

warga kerja. Pemantauan juga penting untuk menilai sejauh mana keperluan Syari’ah dipatuhi

dalam IPT terbabit. Sebelum sesuatu program dijalankan, pihak penganjur perlu memaklumkan

tentatif program terlebih dahulu kepada jawatankuasa Syari’ah untuk memastikan tidak berlaku

perkara-perkara yang melanggar kehendak Syari’ah, seperti tempat duduk yang bercampur

antara hadirin lelaki dan wanita, dan acara yang melalaikan. Sesuatu program atau aktiviti bukan

setakat diluluskan begitu sahaja, malah Pegawai Syari’ah akan turun dalam program berkenaan

untuk membuat pemantauan tentang kepatuhan kepada keperluan Syari’ah.

20

Secara keseluruhannya, kesemua langkah pelaksanaan SPK Islam MS1900 di IPT yang

dinyatakan dalam manual ini tidak boleh lari dengan kepatuhan terhadap kehendak Syari’ah dan

ajaran Islam. Hal ini bukan hanya bertujuan mendapatkan pensijilan MS1900 semata-mata,

bahkan lebih penting lagi untuk mendapat keredhaan Allah SWT serta memperoleh keberkatan

di dunia dan akhirat. Justeru, penekanan pelaksanaan SPK dengan penghayatan nilai-nilai murni

seperti yang disarankan oleh ajaran Islam harus dijadikan keutamaan. Nilai-nilai murni seperti

tanggungjawab, amanah, integriti, adil, ikhlas, prihatin, pentingkan kecemerlangan dan

mengutamakan pelanggan perlu dijadikan amalan dan budaya seharian bagi setiap warga kerja

IPT. Di samping, pengasingan antara lelaki dan perempuan muhrim dalam sesuatu majlis atau

aktiviti secara tidak langsung mendatangkan keberkatan dari Allah SWT serta menjauhkan

sebarang perkara yang bercanggah fitrah manusia itu sendiri. Kepatuhan kepada Syari’ah seperti

berpakaian dengan menutup aurat pula akan mewujudkan suasana selesa dalam kalangan warga

kerja.

21

3.0 ELEMEN MAQASID SYARI’AH DAN KEPERLUAN SYARI’AH

Keperluan untuk mencapai kualiti adalah bertepatan dengan tuntutan Syarak yang menghendaki

agar setiap perkara dilakukan dengan sebaik-baik usaha. Rasulullah SAW bersabda:

“Sesungguhnya Allah SWT menyuruh berlaku ihsan (sebaik-baik amalan) dalam

setiap perkara”. (Riwayat Imam Bukhari)

Maksud Maqasid Syar`iah adalah matlamat yang ingin dicapai perlu memenuhi piawaian Syarak

untuk memberi kemaslahatan (kebaikan) serta menghindarkan keburukan untuk memenuhi

keperluan dan menyempurnakan kehidupan manusia. Amalan Islam itu kesemuanya merujuk

kepada maslahah, sama ada dengan mendatangkan maslahah mahupun mengelakkan mafsadah

atau mudharat. Matlamat tersebut juga dinamakan sebagai Dharuriyyat al-Khams (lima (5)

kepentingan dharuri (asas) iaitu matlamat agama, nyawa, keturunan, akal dan matlamat harta.

Maqasid terbahagi kepada dua (2) iaitu maqasid umum dan maqasid khusus. Maqasid umum

ialah maqasid yang dapat dilihat dalam hukum-hukum yang wajib dan melibatkan semua

individu secara umum. Manakala maqasid khusus pula ialah cara yang digunakan oleh Syari’ah

bagi merealisasikan kepentingan umum melalui hukum berdasarkan tindak-tanduk perseorangan.

Contohnya; hukum merekodkan perjanjian hutang.

Contoh daripada tindakan para sahabat jelas menunjukkan pengamalan mereka berdasarkan

Maqasid Syar`iah antaranya ijtihad mereka mengumpulkan al-Qur’an dalam satu Mashaf,

menjatuhkan talak tiga dengan satu lafaz dan tidak membahagikan tanah rampasan perang

kepada tentera.

22

Manakala asas kepada kualiti dalam Islam yang memenuhi Maqasid Syar`iah pula adalah dengan

mengambil kira tiga (3) aspek utama secara berterusan; iaitu aspek input ataupun sumber yang

Halal, aspek proses kerja yang Halal dan aspek penghasilan (outcome) dan output yang Halal

seperti Rajah 2 di bawah:

Rajah 2: Tiga (3) Asas Piawaian Kualiti Islam

ELEMEN 1 - INPUT atau SUMBER YANG HALAL:

Ia merujuk kepada faktor material dan bukan material sebagai sumber yang perlu diperoleh

dengan cara yang Halal. Contoh dalam input material ialah ianya hendaklah tidak melibatkan

unsur Gharar (penipuan) seperti rasuah, suapan, manipulasi, hasil perjudian atau pelaburan

Syubhat. Manakala input bukan material misalnya bukan input yang diperoleh daripada sumber

plagiarism atau maklumat yang termasuk di bawah Akta Rahsia Rasmi, sulit dan yang menyalahi

peraturan organisasi. Bukan juga misalnya daripada input yang samar kesahihannya untuk

dijadikan asas dalam pembuatan keputusan atau pembentukan sesuatu polisi.

Input / Sumber yang

Halal

Proses Kerja yang Halal Output / Outcome

Penghasilan yang Halal

MAQASID SYARI’AH

23

ELEMEN 2 - PROSES KERJA YANG HALAL:

Ia merujuk kepada kerja yang dilaksanakan secara berakhlak dan beradab. Iaitu dengan

mengamalkan nilai-nilai murni seperti jujur, amanah, ikhlas, dedikasi dan teliti, mematuhi etika

dan peraturan, mengelakkan eksploitasi tenaga, kerja berlebihan sehingga membawa pelbagai

bentuk kemudaratan seperti menjejaskan kesihatan dan masa berkualiti untuk diri sendiri,

keluarga dan masyarakat. Justeru, proses kerja yang tidak beradab dan menyalahi prosedur,

bidang kuasa, peraturan dan kepentingan awam adalah tidak menepati Maqasid Syar`iah.

ELEMEN 3 - OUTPUT dan OUTCOME PENGHASILAN YANG HALAL

Perkara ini merujuk kepada hasil yang bermanfaat untuk jangka panjang, manfaatnya bersifat

menyeluruh kepada pelbagai kumpulan sasaran, tidak merupakan hasil untuk kepentingan

peribadi dan tidak mengakibatkan kemudaratan. Ia seperti menyimpang daripada akidah Islam,

lalai dalam menyempurnakan amalan fardhu, menjejaskan keselamatan dan kesihatan dan

mengakibatkan pembaziran dan pengeksploitasian sumber manusia. Justeru, sekiranya matlamat

organisasi tercapai, namun membawa kesan outcome atau output yang dinyatakan seperti di atas;

maka ia adalah maslahah yang ditolak dalam Syara’ atau Maslahah Mulghah.

Sarjana Islam membangkitkan persoalan beban yang terhasil daripada sesuatu tanggungjawab.

Hal ini kerana bukanlah tujuan Syari’at untuk membebankan dan menyusahkan (al-Haraj);

sebaliknya Islam amat menganjurkan amalan kerja berdasarkan nilai memudahkan dan toleransi

(al-Taysir dan al-Samahah). Walau bagaimanapun, beban yang munasabah dalam kadar yang

24

tidak memudaratkan daripada tanggungjawab tidak dapat dielakkan, kerana itu merupakan tabiat

sesuatu tanggungjawab (Taklif).

Pelaksanaan kualiti sama ada tindakan mahupun keputusan yang didasarkan kepada Maqasid

Syar`iah juga perlu menitikberatkan tiga (3) tahap keutamaan; iaitu:

1) Tahap Dharuriyyat (Keperluan Asasi) seperti keperluan tempat tinggal, makanan dan

pakaian;

2) Tahap Hajiyyat (Keperluan Semasa) seperti keperluan pendidikan dan pekerjaan;

3) Tahap Tahsiniyyat (Keperluan Kesejahteraan) seperti sistem yang efektif, keselesaan

tempat kerja dan kemudahan canggih.

Pelaksanaan MS1900 di IPT hendaklah menepati konsep Maqasid Syari’ah. Ia juga hendaklah

membantu pencapaian lima komponen Maqasid Syari’ah iaitu menjaga kepentingan agama,

nyawa, keturunan, akal dan matlamat harta. Misalnya, pelaksanaan MS1900 hendaklah direka

bentuk untuk melindungi kepentingan pelanggan IPT iaitu para pelajar. Para pensyarah dan

golongan pentadbir juga tidak sepatutnya dibebankan tanggungjawab berlebihan sehingga

menjejaskan kesihatan mereka. IPT juga perlu menyediakan masjid atau surau yang selesa

supaya para pelajar dan warga kerja dapat menunaikan solat dalam keadaan selesa.

25

4.0 ELEMEN KUALITI PERKHIDMATAN

Kualiti perkhidmatan ialah tahap perkhidmatan yang diingini oleh pelanggan yang mesti

diberikan kepada pelanggan atau pengguna oleh sesebuah syarikat atau organisasi yang

cemerlang dalam sesuatu sektor.

4.1 Dimensi Utama Kualiti Perkhidmatan

Terdapat lima (5) dimensi utama kualiti perkhidmatan iaitu kebolehpercayaan, ketaraan,

responsif, jaminan dan empati.

4.2 Model Kualiti Perkhidmatan

Terdapat lima (5) jurang di antara pihak pengurusan dan pelanggan iaitu:

a. Jurang Pertama:

Perbezaan antara harapan pelanggan dan tanggapan pihak pengurusan mengenai harapan

pelanggan atau dikenali sebagai Jurang Pemahaman. Jurang ini berlaku disebabkan oleh

pengurusan tidak memahami ciri-ciri yang memberi kualiti tinggi kepada pelanggan, ciri

perkhidmatan yang diperlukan oleh pelanggan dan tahap prestasi yang diperlukan untuk

menyampaikan perkhidmatan berkualiti tinggi.

b. Jurang Kedua:

Perbezaan antara harapan pihak pengurusan mengenai tanggapan pelanggan dan spesifikasi

kualiti perkhidmatan. Jurang ini dikenali sebagai Jurang Reka Bentuk. Jurang ini berlaku

disebabkan pihak pengurusan menekankan kepada objektif lain seperti pengurangan kos

26

dan keuntungan jangka pendek dan mengambil pendekatan berdasarkan kualiti dan

bukannya pendekatan pengguna.

c. Jurang Ketiga:

Perbezaan antara spesifikasi kualiti perkhidmatan dan penyampaian perkhidmatan sebenar

atau dikenali sebagai Jurang Penyampaian. Jurang ini berlaku disebabkan oleh kesukaran

untuk mengikuti piawai atau spesifikasi untuk mengekalkan kualiti perkhidmatan

(contohnya, kadar kesilapan dalam penyata kurang daripada satu (1) peratus disebabkan

oleh perbezaan dalam prestasi pekerja).

d. Jurang Keempat:

Perbezaan antara penyampaian perkhidmatan dan komunikasi luaran mengenai

perkhidmatan tersebut kepada pihak pelanggan. Jurang ini dikenali sebagai Jurang

Komunikasi. Kebanyakan syarikat atau organisasi terlalu gemar untuk memberi janji lebih

daripada keupayaan mereka. Hal ini disebabkan oleh peningkatan persaingan dalam sektor

perkhidmatan.

e. Jurang Kelima:

Perbezaan antara harapan perkhidmatan-tanggapan perkhidmatan. Jurang ini berlaku

disebabkan oleh adanya perbezaan antara tanggapan pihak pelanggan mengenai prestasi

perkhidmatan sebenar dalam konteks perkara yang mereka harapkan. Sehubungan itu,

tanggapan kualiti pelanggan adalah dipengaruhi oleh satu siri yang mengandungi empat

jurang yang berbeza di sebelah pihak penyedia atau penyampai perkhidmatan. Jurang

27

tersebut akan menghalang berlakunya penyampaian perkhidmatan yang tinggi kualitinya

menurut tanggapan pelanggan.

4.3 Aduan Pelanggan

Aduan pelanggan merupakan ukuran atau penunjuk kualiti perkhidmatan. Ia juga merupakan

maklumat tentang prestasi kualiti perkhidmatan sama ada baik atau tinggi ataupun tidak.

Justeru, adalah penting bagi sebarang organisasi untuk mengumpul aduan pelanggan bagi

mengetahui tahap kualiti perkhidmatan mereka.

4.4 Elemen Kualiti Perkhidmatan IPT

Maklumat mengenai elemen kualiti perkhidmatan IPT ini boleh diperoleh daripada pelanggan

atau pelajar dari segi komen dan aduan mereka seperti responsif; kebolehpercayaan seperti

menepati masa, ketepatan fakta, ketaraan seperti kemudahan yang lengkap, teratur dan kemas,

keprihatinan seperti keterbukaan dan hubungan yang baik serta keyakinan seperti mesra

pengguna atau pelanggan. Sehubungan itu, setiap pelanggan yang berbeza mempunyai persepsi

yang berbeza terhadap elemen kualiti perkhidmatan IPT.

4.5 Piawai Kualiti Perkhidmatan yang Digunakan oleh IPT

Agensi Kelayakan Malaysia atau Malaysia Quality Assurance (MQA), Sistem Pengurusan

Kualiti ISO 900 dan Sistem Pengurusan Kualiti Berasaskan Syari’ah (MS1900) adalah antara

piawaian yang digunakan oleh sesebuah IPT bagi memastikan terdapatnya kualiti dalam

perkhidmatan yang disampaikan oleh mereka. MQA merupakan satu badan atau institusi yang

ditubuhkan pada tahun 2007 dan bertanggungjawab bagi memastikan setiap IPT melalui proses

dan prosedur yang telah ditetapkan dalam memastikan perkhidmatan pendidikan yang berkualiti

28

telah disampaikan kepada pelajar. Pendek kata, MQA merupakan badan tunggal yang menyelia

dan menyelaras jaminan kualiti dan akreditasi pendidikan tinggi negara. Sementara itu, Sistem

Pengurusan Kualiti (SPK) dilaksanakan di IPT berdasarkan kepada ISO 900 bagi memastikan

terdapat piawaian dalam pelaksanaan sebarang tugasan dalam penyediaan dan penyampaian

perkhidmatan pendidikan kepada pelajar. Manakala Sistem Pengurusan Kualiti Berasaskan

Syari’ah (MS1900) adalah sistem pengurusan kualiti yang diintegrasikan dengan keperluan

Syari’ah dan ia turut dilaksanakan di IPT di Malaysia. Pensijilan untuk kedua-dua Sistem

Pengurusan Kualiti ISO 900 dan Sistem Pengurusan Kualiti Berasaskan Syari’ah (MS1900)

secara asasnya dikendalikan oleh badan akreditasi piawaian kualiti iaitu SIRIM.

4.6 Sistem Sokongan

Selain daripada itu, bagi memastikan pelaksanaan sistem pengurusan kualiti berjalan lancar,

elemen-elemen sokongan di IPT seperti peranan pihak pengurusan, sistem latihan dan

pendidikan, sistem penghargaan, proses komunikasi, kepemimpinan yang berkarismatik dan

struktur organisasi perkhidmatan berkenaan sangat diperlukan. Perkara ini penting kerana

dengan penyediaan dan penyampaian kualiti perkhidmatan yang tinggi, pelanggan akan berpuas

hati dan mereka akan setia dengan sesuatu penyedia atau penyampai perkhidmatan terutamanya

IPT.

29

5.0 FAKTOR-FAKTOR MEMPENGARUHI KEJAYAAN PELAKSANAAN MS1900

Faktor-faktor utama yang mempengaruhi pelaksanaan SPK Islam MS1900 di IPT meliputi

komitmen pemimpin, gaya kepimpinan, penglibatan warga kerja, budaya organisasi, sistem

ganjaran dan komunikasi yang kesemuanya mempengaruhi kejayaan pelaksanaan MS1900.

5.1 Komitmen Pemimpin

Faktor komitmen pemimpin dalam memberi rangsangan untuk para pentadbir dan pensyarah

untuk melaksanakan aktiviti-aktiviti atau program kualiti di IPT mempunyai impak yang besar.

Semestinya organisasi yang mantap memerlukan komitmen yang jitu dan berterusan daripada

segenap lapisan pekerja bermula peringkat bawah sehinggalah pihak atasan. Hal ini demikian

kerana warga kerja yang komited akan lebih menyumbangkan jasanya terhadap pembangunan

dan kecemerlangan institusinya sendiri. Oleh itu, SPK perlu diteliti dan sentiasa dipantau supaya

setiap kerja yang dilaksanakan bertepatan kehendak prosedur kerja. Akhirnya, komitmen dan

sokongan pihak atasan dalam program-program kualiti seperti penggubalan prosedur kerja, audit

dan aktiviti penambahbaikan diharapkan berupaya membentuk satu suasana persekitaran yang

baik dan kondusif. Hal ini sekali gus melahirkan sikap kasih sayang, rasa puas hati dan kesetiaan

terhadap IPT. Komitmen pemimpin adalah bersesuaian dengan nilai dalam Islam iaitu Istiqamah

seperti mahfum daripada Firman Allah SWT yang bermaksud:

“Sesungguhnya orang-orang yang menegaskan keyakinannya dengan berkata:

Tuhan kami ialah Allah, kemudian mereka tetap teguh di atas jalan yang betul

(dengan pengakuan iman dan tauhidnya itu), maka tidak ada kebimbangan (dari

30

sesuatu yang tidak baik) terhadap mereka, dan mereka pula tidak akan

berdukacita”. (Surah al-Ahfaq, 13)

5.2 Gaya Kepimpinan

Pihak pengurusan atasan memainkan peranan yang besar dalam memastikan kejayaan sesebuah

IPT khasnya dalam aspek pelaksanaan kualiti. Gaya kepimpinan yang betul mampu

membangunkan nilai murni dan membantu dalam pencapaian objektif kualiti. Gaya kepimpinan

juga akan menentukan kepuasan hati dan motivasi bekerja dalam kalangan warga kerja.

Pentadbir dan pensyarah yang gembira dengan persekitaran IPT mampu meningkatkan prestasi

kerja masing-masing. Sesungguhnya, gaya kepimpinan atau pengurusan yang menitikberatkan

proses perbincangan atau perundingan antara semua pihak merupakan satu tuntutan yang utama

dalam ajaran Islam. Hal ini kerana konsep bermesyuarat dalam setiap tindakan harian seseorang

telah menjadi satu keperluan yang dikenali sebagai Syura dalam Islam itu sendiri. Ia dijelaskan

dalam al-Qur’an, Surah al-Syura, ayat 38 yang bermaksud:

“Dan urusan mereka dijalankan secara bermesyuarat sesama mereka”.

5.3 Penglibatan Warga Kerja

Faktor kedua penglibatan warga kerja secara kolektif bagi menjayakan sistem pengurusan kualiti

MS1900 di IPT. Seluruh warga kerja termasuk golongan pentadbir, pensyarah dan staf sokongan

perlu melibatkan diri secara aktif kerana pelaksanaan MS1900 melibatkan semua unit dan

bahagian di IPT. Ia juga memerlukan tugasan yang banyak dan sentiasa berulang. Aspek penting

ketika melaksanakan sesuatu amanah adalah berkait rapat dengan seseorang pekerja yang

berkualiti. Hal ini demikian kerana warga kerja yang berkualiti mampu melahirkan sikap yang

31

jujur, berani kerana benar, berkemahiran tinggi, akhlak yang mulia, dan sekali gus penyumbang

kepada kejayaan sesebuah organisasi. Ketiadaan pekerja yang memilikki ciri-ciri tersebut sudah

pasti sesebuah IPT itu sukar mencapai visi an misi yang ditetapkan. Justeru, pekerja berkualiti

menurut pandangan Islam ialah seseorang individu yang berkemampuan untuk menghubung kait

antara kedudukannya dan amanah yang dipikul dengan kesetiaan dan kepatuhan kepada Allah

SWT. Malah ia lebih berjaya apabila individu itu sendiri yang mempunyai sikap ingin berubah

ke arah yang lebih baik. Perkara ini bertepatan dengan mahfum ayat al-Qur’an dalam Surah al-

Ra’d, Ayat 11 yang bermaksud:

“Sesungguhnya Allah tidak mengubah nasib sesuatu kaum sehingga mereka

mengubah keadaan yang ada pada diri mereka sendiri”.

5.4 Budaya Organisasi

Faktor budaya organisasi turut berperanan penting dalam memberi impak kepada pelaksanaan

MS1900 di IPT. Budaya yang terbuka, bekerjasama antara satu sama lain, budaya

penghakupayaan, dan berorietasikan sifat keinsanan mampu menjayakan pelaksanaan SPK

dalam IPT tertentu. Jika disoroti dalam pandangan Islam, budaya organisasi yang perlu

diterapkan secara berkesan adalah seperti berikut:

(1) Pembentukan budaya organisasi yang strukturnya menekankan konsep pengagihan kuasa

dalam kalangan pekerja organisasi tersebut. Pemimpin yang efektif ialah seorang majikan

yang berkeyakinan dengan para pekerjanya.

32

(2) Pemimpin organisasi perlu menerapkan sikap proaktif dalam diri masing-masing. Oleh

itu, setiap bahagian organisasi perlu berasaskan kepada keperluan mencapai pernyataan

misi dan visi organisasi tersebut.

(3) Pertindihan tanggung jawab dan peranan seseorang pekerja antara bahagian atau jabatan

perlulah dikurangkan. Pemimpin organisasi perlu menyelaras dan menetapkan fungsi atau

peranan yang khusus serta terperinci bagi setiap bahagian atau unit dalam organisasi.

(4) Peranan dan bidang hierarki kuasa mestilah jelas diperlihatkan dalam organisasi tanpa

sebarang kekeliruan. Oleh itu, pihak pengurusan perlulah menyatakan pembentukan

struktur organisasinya sebagai contohnya secara terang dan diberitahu kepada semua

lapisan kakitangan agar mereka tidak berasa sangsi.

5.5 Sistem Ganjaran

Faktor yang turut mempengaruhi pelaksanaan SPK MS1900 dengan lebih efektif adalah faktor

sistem ganjaran yang ditetapkan di sesebuah IPT. Hal ini kerana sistem ganjaran merupakan satu

suntikan dorongan kepada seseorang pekerja yang bertujuan meningkatkan prestasi organisasi

secara keseluruhannya. Ganjaran boleh berbentuk sama ada yang bersifat kewangan (gaji atau

bonus) ataupun bukan kewangan (pengiktirafan, sijil atau kenaikan pangkat). Pelaksanaan SPK

Islam MS1900 melibatkan beban kerja yang banyak, oleh itu amat wajar jika warga kerja diberi

pengiktirafan dan ganjaran yang setimpal agar mereka sentiasa berpuas hati dan mempunyai

sikap kesetiaan yang tinggi.

33

5.6 Komunikasi

Faktor lain seperti faktor komunikasi juga memainkan peranan penting dalam memastikan

kejayaan pelaksanaan MS1900 di IPT. Hal ini kerana sistem komunikasi yang berkesan mampu

memastikan kelangsungan organisasi tersebut, yang akhirnya meningkatkan sikap kesetiaan dan

kepuasan hati para pekerja. Sebenarnya, setiap pengurus organisasi menggunakan masa kerja

mereka sebanyak 95 peratus untuk tujuan berkomunikasi, adapun pekerja hanya menggunakan

sebanyak 60 peratus masa kerja untuk pelbagai bentuk interaksi. Oleh sebab itu, IPT yang

berjaya memerlukan kedua belah pihak untuk mengaplikasikan sistem komunikasi dengan

berkesan. Pelbagai maklumat penting berkenaan pelaksanaan SPK hendaklah disalurkan kepada

warga kerja. Warga kerja pula boleh bertanyakan isu-isu penting mengenai SPK dengan pihak

atasan.

Budaya komunikasi di IPT yang berkesan seperti yang disarankan dalam ajaran Islam seharusnya

tidak mempunyai batasan antara dua pihak iaitu majikan dan para pekerja. Panggilan yang

digunakan seharusnya dengan menggunakan intonasi yang mesra, jelas, dan tidak tertumpu

kepada kedudukan atau pangkat seseorang. Sekiranya hal seperti ini diamalkan dalam

pelaksanaan SPK Islam MS1900, ia akan mewujudkan suasan kerja yang kondusif. Selain itu,

sistem komunikasi yang menggunakan media moden yang terkini seperti emel, WhatApps,

elektronik board, kaedah secara online dan juga kaedah-kaedah tradisional seperti surat, poster,

dan sebagainya berupaya menambah baik sistem pengurusan di sesebuah IPT. Malah medium

komunikasi yang terkini mampu mempercepatkan lagi penyampaian informasi kepada pelanggan

dan warga kerja serta dapat menjimatkan masa, tenaga dan sumber.

34

5.7 Faktor-faktor Lain

Selain faktor-faktor yang dinyatakan tersebut, terdapat juga faktor dorongan pelaksanaan

MS1900 di IPT termasuklah faktor kerohanian, sikap dalaman para pekerja dan tindakan

pelaksanaan secara berhemah. Kesemua faktor tambahan ini memberikan impak yang besar dan

positif terhadap pelaksanaan SPK Islam MS1900 di IPT. Sebagai contohnya, penganjuran

aktiviti kerohanian ataupun keagamaan yang berkaitan dengan sistem pengurusan kualiti seperti

majlis tazkirah, bicara nilai murni dan membaca al-Qur’an. Aktiviti-aktiviti tersebut mampu

memberi peringatan kepada pihak pengurusan, pentadbir dan pensyarah untuk melaksanakan

amanah dalam konteks pelaksanaan MS1900 dengan penuh integriti dan akauntabiliti. Hal ini

kerana wujudnya kepercayaan dalam kalangan mereka bahawa tujuan kejayaan sebenar bukan

hanya memperoleh kesejahteraan hidup di dunia, akan tetapi juga kejayaan dan ketenangan pada

hari akhirat.

35

6.0 KOMPONEN UTAMA DI IPT

IPT mengandungi tiga (3) komponen utama, iaitu golongan pentadbir, akademik dan pelajar.

Setiap kelompok tersebut mempunyai peranan masing-masing yang perlu dipenuhi. Golongan

pentadbir dan ahli akademik ataupun pensyarah merupakan agen penyampai perkhidmatan di

IPT. Manakala golongan pelajar merupakan golongan yang menerima perkhidmatan yang

ditawarkan di IPT. Dalam erti kata lain, pelajar adalah pelanggan utama atau pelanggan luaran

kepada IPT. Dalam keadaan tertentu, para pentadbir dan pensyarah juga merupakan pelanggan

kepada IPT, tetapi kedudukan mereka adalah lebih kepada pelanggan dalaman. Malah,

sesetengah sarjana menambah bahawa terdapat juga peranan besar yang dimainkan oleh pihak

berkepentingan (stakeholders) dalam sesebuah IPT.

6.1 Golongan Akademik

Golongan akademik atau pensyarah merupakan kelompok utama yang melaksanakan aktiviti

teras di IPT, iaitu aktiviti akademik. Golongan ini menjalankan tugas-tugas hakiki yang bersifat

akademik seperti pengajaran, penyelidikan dan penerbitan. Pensyarah juga perlu menjalankan

tugas-tugas pentadbiran dalam masa-masa tertentu. Para pensyarah hendaklah menjalankan

semua tugas-tugas tersebut dengan bersungguh-sungguh sehingga mencapai tahap kualiti yang

dikehendaki. Sewaktu menjalankan tugas pengajaran misalnya, pensyarah hendaklah

menyampaikan pengajaran dengan bersungguh-sungguh, menepati masa dan menggunakan

pendekatan yang menarik. Perkara ini bertujuan untuk mempastikan bahawa khidmat pengajaran

yang disampaikan kepada pelajar dapat dilaksanakan dengan berkesan.

36

6.2 Golongan Pentadbir

Pentadbir merupakan golongan yang melaksanakan tugas-tugas pentadbiran di IPT. Tugas-tugas

pentadbiran melibatkan skop yang pelbagai termasuklah berkaitan dengan pendaftaran pelajar,

proses akreditasi program, hal ehwal pelajar, pengurusan sumber manusia, kewangan, harta

benda, perpustakaan dan lain-lain lagi. Skop pentadbiran juga melibatkan pengurusan kolej

kediaman pelajar. Selain itu, pengawalan keselamatan juga termasuk dalam skop tugas-tugasan

pentadbiran.

Golongan pentadbir ini hendaklah melaksanakan tugas mereka dengan berdedikasi untuk

mencapai tahap kualiti yang ditetapkan. Tugasan pentadbiran yang dilaksanakan dengan cekap

dan berkesan akan membantu kepada pencapaian kualiti aktiviti-aktiviti teras IPT, iaitu aktiviti-

aktiviti yang berkaitan dengan tugasan akademik. Oleh kerana pelaksanaan Sistem Pengurusan

Kualiti Islam memerlukan penyertaan menyeluruh ahli organisasi, golongan pentadbir dan

akademik hendaklah bekerjasama secara erat agar objektif-objektif kualiti IPT dapat dicapai.

6.3 Golongan Pelajar

Golongan pelajar merupakan pihak yang menerima khidmat yang disampaikan oleh IPT, iaitu

khidmat pengajaran. Selain ditawarkan khidmat pengajaran, aktiviti pembelajaran para pelajar

turut disokong dengan pelbagai kemudahan seperti program yang ditawarkan, infrastruktur

fakulti, kemudahan makmal dan peralatan pembelajaran. Selain itu, pelajar juga menerima turut

kemudahan lain seperti penginapan, perpustakaan, tempat makan, kemudahan sukan,

pengangkutan dan kesihatan. Para pelajar hendaklah berusaha bersungguh-sungguh agar

37

matlamat IPT untuk melahirkan graduan yang cemerlang di segi pencapaian akademik dan

sahsiah dapat direalisasikan.

6.4 Pihak Berkepentingan

Dalam melaksanakan penyampaian perkhidmatannya sebagai sebuah institusi pengajian tinggi,

IPT perlu berhadapan dengan pelbagai pihak yang mempunyai kepentingan. Pihak-pihak

berkepentingan tersebut adalah termasuk ibu bapa, penaja, badan akreditasi, badan profesional,

majikan, kementerian dan kerajaan. Pihak berkepentingan lain juga termasuklah agensi pengubal

dan pelaksana dasar serta peraturan, kelab alumni, masyarakat setempat dan juga media massa.

Pihak IPT hendaklah sentiasa berusaha untuk memenuhi ekspektasi kesemua pihak terbabit agar

hubungan yang baik dapat dijalinkan. Hubungan baik dengan pihak berkepentingan akan

membawa pelbagai faedah kepada IPT itu sendiri dan para pelajarnya.

38

7.0 BUDAYA AKADEMIK DI IPT

Budaya akademik merupakan amalan-amalan yang diamalkan oleh para pensyarah di IPT. Ia

merupakan cara para pensyarah berfikir, bergelagat dan berinteraksi sesama mereka atau

berinteraksi dengan pihak lain. IPT atau universiti merupakan entiti yang paling tua di dunia.

Berbanding dengan organisasi pentadbiran, IPT yang berorientasikan pendidikan dan pemikiran

tahap tinggi, sudah pasti memilikki ciri-ciri tertentu dan budaya yang unik. Pihak atasan dan

pihak pentadbir perlu mengambikira budaya akademik dalam pelaksanaan Sistem Pengurusan

Kualiti berasaskan Syari’ah MS1900 agar pelaksanaannya akan mendapat penerimaan dan

sokongan para pensyarah.

7.1 Kebebasan Akademik

Kebebasan akademik bermaksud ahli akademik atau pensyarah mempunyai kebebasan dalam

menjalankan tugas-tugas pengajaran, penyelidikan dan penerbitan. Para pensyarah juga

memilikki kebebasan dalam menyuarakan idea dan pendapat mereka terhadap isu-isu tertentu.

Oleh itu, hendaklah dipastikan bahawa pelaksanaan MS1900 tidak akan mengganggu atau

menghalang kebebasan akademik pensyarah. Perkara ini perlu diberi perhatian utama kerana ciri

MS1900 yang menekankan perincian, prosedur kerja dan pendokumentasian boleh menimbulkan

birokrasi dan sekatan-sekatan tertentu. Ia sangat berbeza dengan sifat pensyarah yang sukakan

cabaran dan aliran idea yang pantas.

Pensyarah juga terdorong untuk melontarkan idea berkaitan dengan isu-isu yang dihadapi oleh

masyarakat dan negara. Oleh itu, prosedur kerja dan fail kursus hendaklah dirangka agar ia tidak

terlalu rigid. Birokrasi dalam penyelidikan perlu dikurangkan. Selain itu, peraturan atau undang-

39

undang yang menghalang kebebasan pensyarah hendaklah dielakkan. Dengan adanya fleksibiliti

dalam pelaksanaan MS1900, ia akan memberi ruang yang besar kepada pensyarah untuk

berkarya dan berhujah mengenai bidang kepakaran mereka. Kebebasan ini penting sebagai asas

untuk melestarikan kreativiti dan inovasi dalam kalangan pensyarah di IPT.

7.2 Profesionalisme

Profesionalisme bermaksud seseorang ahli akademik atau pensyarah yang sentiasa berusaha

mempelajari perkara dan ilmu baru agar mereka tidak ketinggalan dalam bidang keilmuan yang

sentiasa berubah. Pensyarah juga terbuka untuk menerima input-input yang boleh digunakan

untuk mempertahankan tahap profesionalisme mereka. Profesionalisme juga membawa maksud

bahawa seseorang pensyarah itu lebih setia kepada disiplin atau kepakaran mereka berbanding

dengan tempat organisasi mereka bekerja. Selain itu, profesionalisme mempunyai kaitan rapat

dengan kebebasan akademik yang menjadi ciri utama pensyarah.

Pelaksanaan MS1900 hendaklah direka bentuk agar ia membantu perkembangan kerjaya dan

profesionalisme pensyarah. Misalnya, hasil penilaian pelajar pada setiap sesi pengajian

hendaklah digunakan untuk menambahbaik pengajaran pensyarah, bukan menghukum mereka.

Komen-komen daripada pelajar hendaklah digunakan untuk menambah baik teknik pengajaran.

Sekiranya pensyarah mendapat markah yang agak rendah dalam penilaian pelajar, mereka

hendaklah dihantar untuk menjalani latihan agar kaedah pengajaran dapat diperbaiki. Selain itu,

input daripada pelajar juga boleh digunakan untuk memperbaiki kandungan sesuatu kursus.

Pensyarah tidak gemar jika sistem pengurusan kualiti direka bentuk dengan memberi penekanan

kepada akauntabiliti, tetapi lebih suka jika ia dijadikan alat untuk meningkatkan kecekapan dan

profesionalisme pensyarah.

40

7.3 Individualistik

Ahli akademik atau pensyarah memiliki kapasiti dan autonomi individu untuk menentukan

kandungan, bahan, topik, metodologi, pengurusan masa dan hubungan dengan pelajar dan staff

lainnya. Sikap individualisme pensyarah dipengaruhi oleh disiplin atau bidang keilmuan,

kepakaran dan skim kenaikan pangkat. Pensyarah yang menikmati pelantikan tetap memilikki

sikap individualisme yang lebih tinggi. Setiap disiplin memilikki konsep, metod dan asas yang

tersendiri. Oleh itu, setiap pensyarah mempamerkan budaya tertentu yang merangkumi sikap,

aktiviti dan kaedah kognitif yang tersendiri. Kreativiti yang diperlukan daripada pensyarah juga

menjadikan mereka bersikap menyendiri dan individualistik. Penilaian prestasi juga melihat

kepada keupayaan individu pensyarah, dan ini menyuburkan lagi sifat individualistik dalam

kalangan mereka. Setiap jabatan yang mengkhususkan kepada bidang tertentu juga amat

mempengaruhi sikap individualistik pensyarah.

Pelaksanaan MS1900 hendaklah mengambil kira ciri individualistik tersebut. Contohnya,

pensyarah hendaklah diberi kebebasan untuk merangka kandungan kursus yang diajar. Kaedah

pengajaran dan penilaian hendaklah diserahkan kepada pertimbangan pensyarah itu sendiri.

Pensyarah juga hendaklah diberikan autonomi individu untuk merangka skema kepada soalan

peperiksaan kerana mereka merupakan golongan pakar dalam bidang masing-masing. Selain itu,

penilaian prestasi dan peluang kenaikan pangkat pensyarah hendaklah dirangka dengan

mengambil kira kepelbagaian dalam sumbangan mereka kerana setiap individu pensyarah

memiliki potensi dan kecenderungan berbeza.

Sebagai contoh, terdapat pensyarah yang begitu komited kepada penyelidikan dan penerbitan

berbanding dengan tugas lain. Terdapat pula pensyarah yang lebih berminat dengan tugas-tugas

41

pengajaran dan tugas pentadbiran. Standard penilaian prestasi untuk setiap individu pensyarah

hendaklah memberi penekanan seimbang kepada semua aspek sumbangan pensyarah yang

pelbagai iaitu pengajaran, penyelidikan, penerbitan, pentadbiran, konsultansi dan khidmat

masyarakat. Langkah mengiktiraf bakat dan sumbangan yang berbeza-beza ini akan melahirkan

kelompok pensyarah yang memilikki pelbagai kepakaran dan potensi. Suasana ini akan

membangun dan memantapkan bidang kepakaran dan bidang tujahan IPT yang melaksanakan

MS1900.

7.4 Kekawanan (Collegiality)

Kekawanan atau collegiality mempunyai tiga (3) ciri utama iaitu proses pembuatan keputusan

secara bersama oleh sekumpulan kekawanan mengenai perkara akademik, sokongan ampuh

dalam mempertahankan integriti akademik dalam kalangan ahli kumpulan, dan penguasaan

terhadap sesuatu bidang ilmu dan amalan. Menjadi amalan sebahagian besar para pensyarah

bekerja di IPT yang sama dalam jangka masa lama, oleh itu amat penting untuk mereka diiktiraf

sebagai ahli kumpulan akademik. Di IPT, salah satu aset amat berharga ialah jaringan sistematik

yang secara sosialnya dibangunkan oleh kumpulan-kumpulan pakar atau ahli profesional, yang

mana aset-aset tersebut mampu memainkan peranan lebih berkesan dalam kerangka

berkumpulan atau collegiate. Ciri ini mempengaruhi pembentukan kumpulan-kumpulan

penyelidikan dan perjalanan operasi sesebuah jabatan dan seterusnya IPT.

Semenjak 1980an, ciri-ciri kepengurusan atau managerialisme yang dipinjam dari sektor awam

dan swasta mula meresapi pentabiran IPT, iaitu penekanan mula diberi kepada aspek pengurusan

kewangan, sistem kawalan, laporan dan penjimatan kos. Pentadbiran secara hierarki juga

semakin menonjol di IPT. Para pentadbir di IPT pula mula mengubah proses akademik kepada

42

asas yang bukan bercirikan akademik dengan faktor kewangan dijadikan sebagai asas utama

dalam aspek pentadbiran dan penilaian. Managerialisme telah mengurangkan kuasa kawalan ahli

akademik kerana semakin besarnya kuasa para pentadbir, dan juga kerana pensyarah semakin

dilibatkan kepada aktiviti-aktiviti pentadbiran di IPT.

Ahli akademik sebenarnya tidak mengalu-alukan penekanan berlebihan terhadap managerialisme

di IPT. Program kualiti merupakan salah satu contoh ciri managerialisme di IPT. Justeru,

pelaksanaan MS1900 di IPT hendaklah meminimumkan pendekatan managerialisme, sebaliknya

menggunakan pendekatan persefahaman kumpulan yang diintegrasikan dengan ciri kepimpinan

unggul. Dalam melaksanakan MS1900, para pentadbir dan pensyarah perlu mencari istilah yang

sesuai dengan nilai dan terminologi dunia akademik; misalnya perkataan pelanggan, pembekal,

kos, output dan pemprosesan hendaklah ditukar kepada istilah yang lebih dekat dengan ahli

akademik. Perkataan ‘pelanggan’ misalnya lebih sesuai ditukar kepada perkataan ‘pelajar’ atau

‘mahasiswa’. Penekanan kepada ciri kuantitatif dalam menilai hasil pensyarah dan IPT

hendaklah diubah kepada ciri yang menekankan aspek kualitatif. Misalnya, kejayaan pensyarah

bukan hanya dinilai kepada pencapaian akademik pelajarnya, tetapi juga pencapaian pelajar

dalam aspek pembangunan peribadi dan sikap-sikap terpuji. IPT adalah sebuah institusi yang

menawarkan pendidikan yang kompleks sifatnya, oleh itu aspek pentadbiran dan penilaian

hendaklah mengambil kira unsur-unsur kualitatitif dan subjektif yang banyak terkandung dalam

komponen, operasi dan perjalanan IPT.

43

8.0 PENAMBAHBAIKAN DAN INOVASI PENGURUSAN

Pelaksanaan MS1900 yang berkesan mampu membantu IPT meningkatkan kecekapan

pengurusan. Pengurusan yang cekap dan berkesan, disertai dengan proses penambahbaikan yang

dilaksanakan secara berterusan merupakan pra-syarat utama untuk menghasilkan inovasi dalam

penyampaian perkhidmatan dan pengurusan di IPT. Inovasi yang dibangunkan daripada

pelaksanaan MS1900 perlu memberi tumpuan bukan sahaja kepada aspek teknikal, tetapi juga

turut memberi penekanan kepada aspek nilai dan insaniah. Hal ini demikian kerana inovasi

berteraskan sistem pengurusan kualiti Islam mestilah memberi tumpuan yang seimbang kepada

aspek lahiriah dan spiritual.

Selain itu, inovasi yang dilaksanakan hendaklah menepati kehendak-kehendak Syari’ah seperti

yang ditekankan oleh MS1900. Berikut adalah aktiviti-aktiviti yang perlu dilaksanakan oleh

pihak pengurusan dan seluruh warga IPT dalam usaha mereka untuk melaksanakan agenda

inovasi yang berteraskan daripada pelaksanaan MS1900.

8.1 Kepimpinan

Islam meletakkan tanggungjawab kepimpinan sebagai suatu tanggungjawab penting yang mesti

dipenuhi. Pelaksanaan inisiatif inovasi memerlukan motivasi dan komitmen yang tinggi dari

pelbagai pihak di IPT. Oleh itu, pemimpin atau pengurusan atasan hendaklah menunjukkan

komitmen yang tinggi terhadap pelaksanaan MS1900 yang menjadi asas kepada inovasi.

Misalnya dengan meletakkan pelaksanaan MS1900 sebagai agenda utama, memperuntukkan

belanjawan dan mengadakan latihan. Selain itu, pemimpin IPT perlu memastikan inovasi yang

dilaksanakan di IPT menepati kehendak Maqasid Syari’ah atau objektif Syari’ah. Kepimpinan

44

cemerlang dalam pelaksanaan MS1900 akan menjadi asas kepada pembangunan inisiatif-inisiatif

inovasi di IPT.

8.2 Hubungan Dengan Pelan Strategik Organisasi

Pelaksanaan MS1900 hendaklah dihubungkan secara jelas dengan pelan strategik IPT. Dengan

itu, warga IPT akan dapat melihat dengan jelas bagaimana MS1900 membantu mencapai objektif

dan matlamat pelan strategik yang lebih besar dan signifikan sifatnya kepada para pentadbir dan

pensyarah. Selain itu, MS1900 juga perlu dihubungkan dengan program atau inisiatif di IPT,

misalnya dengan mengintegrasikan pelaksanaan MS1900 dengan pelaksanaan MQA dan inisiatif

teknologi hijau.

Islam menggalakkan umatnya berfikir secara strategik kerana ia penting untuk mencapai

kejayaan. Pelan strategik juga melibatkan matlamat jangka panjang dan cakupan yang lebih luas.

Apabila warga IPT dapat melihat fungsi program MS1900 dalam menjayakan matlamat IPT

yang lebih besar dan signifikan, sudah pasti mereka akan bersikap lebih positif dalam

menjalankan tugasan mereka. Perkara ini akan melicinkan lagi pelaksanaan MS1900 dan

seterusnya proses inovasi yang dilaksanakan.

8.3 Pengukuran dan Analisis

Data-data daripada laporan audit dan komen pelanggan hendaklah dianalisis dan hasilnya

hendaklah dijadikan input untuk menambah baik pelaksanaan MS1900 di IPT. Pelaksanaan

MS1900 yang berkesan akan membawa banyak faedah dan kesan positif sama ada kepada para

pentadbir, pensyarah dan pelajar. Input untuk daripada pihak-pihak berkepentingan juga perlu

diambil kira untuk menambah baik pelaksanaan MS1900 di IPT dan seterusnya menjana proses

45

inovasi. Islam merupakan agama yang mementingkan kebenaran. Manakala kebenaran pula

mestilah diasaskan kepada kekuatan hujah dan fakta. Menganalisis data untuk mencari input dan

hujah bagi melaksanakan aktiviti penambahbaikan merupakan langkah yang selari dengan

kehendak Islam.

8.4 Penambahbaikan Berterusan

IPT boleh mengambil langkah-langkah penambahbaikan dalam pelbagai bentuk, misalnya

dengan memudahkan proses kerja dan mengurangkan birokrasi. Selain itu, tempoh sesuatu

proses kerja yang panjang perlu disingkatkan. Tempoh proses kerja yang lebih singkat akan

memendekkkan tempoh seleai sesuatu urusan dengan pelajar dan pihak-pihak berkepentingan.

Program penambahbaikan yang dilaksanakan secara berterusan dengan dengan dibantu teknik

yang betul merupakan langkah pertama kepada proses inovasi. Semua pihak di IPT hendaklah

memberi komitmen yang padu kepada pelaksanaan program penambahbaikan. Islam sangat

mementingkan istiqamah dalam melakukan sesuatu pekerjaan. Justeru, penambahbaikan secara

berterusan yang dilaksanakan pihak IPT akan dapat memenuhi tuntutan untuk istiqamah seperti

yang dianjurkan oleh Islam.

8.5 Penubuhan Kumpulan Inovasi

Kumpulan-kumpulan projek inovasi hendaklah ditubuhkan. Kumpulan inovasi tersebut

hendaklah dianggotai sebahagiannya daripada pengurus atau ahli jawatankuasa program kualiti

MS1900. Input daripada pelaksanaan MS1900 hendaklah disuntik kepada inisiatif atau projek

inovasi yang akan dijalankan. Langkah ini secara langsung akan mempercepatkan aliran idea

inovasi dalam kalangan mereka yang mempunyai kepakaran dan input yang diperlukan. Islam

46

adalah agama yang menggalakkan perubahan. Perubahan dalam konteks inovasi adalah

perubahan yang besar, atau lebih tepat lagi dinamakan sebagai islah. Islah (penambahbaikan)

yang dilaksanakan dengan penuh komitmen akan mempercepatkan lagi perjalanan IPT ke arah

kecemerlangan.

8.6 Penyediaan Belanjawan

Pelaksanaan MS1900 melibatkan banyak prosedur dan gerak kerja. Oleh itu, ia memerlukan kos

yang tinggi. Pihak pengurusan tertinggi hendaklah memperuntukkan belanjawan mencukupi

untuk melaksanakan aktiviti penambahbaikan. Aktiviti-aktiviti penambahbaikan perlu

dilaksanakan secara berterusan sehingga ia mampu menghasilkan inovasi yang diharapkan.

Belanjawan perlu disalurkan untuk mendapatkan peluang latihan dan kepakaran yang diperlukan

untuk membangunkan inovasi. Selain itu, belanjawan juga penting untuk tujuan perolehan

peralatan, mesin, teknologi dan perisian penting yang akan menjayakan proses inovasi.

Islam menekankan kebijaksanaan dalam mengurus belanjawan. Pihak pengurusan IPT hendaklah

memastikan belanjawan untuk inovasi diurus sebaik mungkin agar projek inovasi dapat dibiayai

dan dalam masa yang sama, ia tidak membazir serta mampu membawa pulangan setimpal

kepada IPT.

8.7 Penggunaan Teknologi

Inovasi yang dijana melalui pelaksanaan MS1900 memerlukan prasarana teknologi yang

canggih. Analisa data, perkhidmatan secara talian dan reka bentuk projek inovasi memerlukan

peralatan dan kemahiran berkaitan dengan teknologi. Misalnya, laman interaksi dengan pelajar,

pihak berkepentingan dan masyarakat yang dibangunkan secara dalam talian memerlukan

47

perisian teknologi maklumat yang terkini. Penggunaan teknologi akan meningkat produktiviti

kerja, seterusnya mempercepatkan penghasilan inisiatif-inisiatif inovasi di IPT.

Pada masa kini wujud persaingan hebat antara IPT, oleh itu inovasi perlu dipacu kerana ia akan

memberi kelebihan bandingan dan meningkatkan daya saing sesebuah IPT. Islam bersikap

terbuka kepada penggunaan teknologi selagi mana ianya digunakan untuk kemaslahatan ummah.

Oleh itu, warga IPT hendaklah mempergiatkan usaha untuk mencari dan menggunakan pelbagai

teknologi yang mampu meransang proses inovasi.

8.8 Kesilapan Adalah Pelaburan

Proses inovasi memerlukan proses kerja yang panjang. Ia juga memerlukan gerak kerja yang

dilakukan secara berulangkali. Pelaksanaan sistem kualiti begitu terdedah kepada kritikan dan

komen yang datang dari pelbagai pihak. Oleh itu, kritikan dan komen tersebut perlu dianggap

sebagai perkara normal. Kekurangan atau kelemahan yang berlaku dalam perlaksanaan proses

kerja dan penyampaian perkhidmatan pembalajaran tidak sepatutnya menjadi alasan untuk

menyalahkan para pentadbir dan pensyarah. Sebaliknya, kesilapan yang terjadi perlulah dianggap

pelaburan untuk merintis kepada idea dan ciptaan baharu di IPT.

Sikap menyalahkan orang lain akan menjatuhkan motivasi warga IPT. Sebaliknya, sikap terbuka

kepada kesilapan akan membangunkan sifat berani di kalangan pentadbir dan pensyarah untuk

memberi idea dan melaksanakan inisiatif dan teknik baru dalam pentadbiran dan pengajaran.

Islam adalah agama yang mementingkan ihsan, antaranya bersikap pemaaf. Bersikap terbuka dan

pemaaf di atas kelemahan dan kesilapan orang lain akan menimbulkan jalinan ukhuwwah yang

48

tinggi. Iklim organisasi seperti ini akan mendorong semangat kerja yang tinggi dalam usaha

menghasilkan inovasi.

8.9 Pengiktirafan

Kejayaan menghasilkan inovasi daripada pelaksanaan MS1900 hendaklah diberi pengiktirafan

dan penghargaan yang sewajarnya. Pelaksanaan MS1900 banyak melibatkan kerja-kerja

pentadbiran. Oleh itu, kerja-kerja tersebut hendaklah diberi pemberatan yang sepadan dalam

penilaian prestasi tahunan dan penilaian untuk kenaikan pangkat. Inovasi yang terhasil akan

membawa pulangan yang besar kepada IPT, oleh itu ganjaran yang mapan hendaklah diberikan

kepada pihak yang terlibat dalam program MS1900 dan inovasi.

Islam adalah agama yang menjaga kebajikan dan kepentingan semua pihak. Pengiktirafan yang

diberi kepada warga kerja atas sumbangan mereka adalah selari dengan kehendak Islam. Warga

kerja yang berpuashati dengan aspek ganjaran akan lebih setia dengan IPT. Kepakaran para

pentadbir dan pensyarah sangat penting untuk menghasilkan inovasi. Oleh itu, adalah penting

untuk mengekalkan mereka dalam sesebuah IPT. Salah satu kaedah mengekalkan mereka ialah

dengan menyediakan skim ganjaran yang setimpal dan menarik.

8.10 Jalinan Kerja (Network)

Proses inovasi memerlukan banyak input daripada pelbagai pihak. Oleh itu, IPT hendaklah

membangunkan jalinan kerja atau network yang baik dengan pelbagai pihak. Jalinan kerja

penting untuk mendapatkan input dan dan data berguna untuk meningkatkan keberkesanan

pelaksanaan MS1900. Pembangunan proses inovasi daripada pelaksanaan MS1900 di IPT juga

memerlukan kepakaran daripada agensi-agensi tertentu. Pihak-pihak tertentu seperti

49

Kementerian Pengajian Tinggi, Yayasan Inovasi Malaysia, SIRIM dan Jabatan Standard

Malaysia mampu memberi input untuk membangunkan program inovasi.

Menjalin hubungan baik dengan pelbagai pihak merupakan amalan yang sangat dituntut dalam

Islam. Hubungan baik yang dijalinkan dengan pihak luar akan membawa banyak faedah kepada

proses inovasi di IPT. Faedah tersebut boleh datang dalam pelbagai bentuk, misalnya faedah

berbentuk sokongan, aliran maklumat, data dan kemudahan infrastruktur.

8.11 Penanda Aras (Benchmark)

Pihak IPT perlu mencari penanda aras yang sesuai sebagai organisasi rujukan dalam usaha untuk

menjayakan program inovasi. Misalnya, IPT hendaklah menjadikan universiti-universiti terkenal

di dunia yang sebagai penanda aras dalam melaksanakan sistem pengurusan kualiti. IPT perlu

mempelajari tentang komponen-komponen penting yang menjayakan program kualiti dan

inovasi di universiti terbabit. Komponen-komponen yang dipelajari bukan hanya melibatkan

aspek teknikal, tetapi juga termasuk aspek falsafah dan paradigm yang menjadi tunjang kepada

kehebatan dan pencapaian universiti terbabit. IPT juga boleh mempelajari inovasi di organisasi

awam dan korporat yang telah mendapat pengiktirafan.

Islam adalah agama yang menggalakkan perubahan dan kemajuan. Islam juga menganjurkan

agar umat Islam mencari ilmu pengetahuan dan mengambil hikmah daripada orang atau pihak

lain. Menjadikan IPT atau organisasi lain sebagai penanda aras akan mendorong pihak

kepimpinan dan seluruh warga IPT untuk berusaha dengan lebih gigih untuk menjayakan

program inovasi.

50

9.0 KESIMPULAN

Secara tuntasnya, buku manual kualiti ini diharapkan dapat memberi sedikit garis panduan

kepada pihak pengurusan yang berhasrat untuk melaksanakan Sistem Pengurusan Kualiti Islam

(MS1900) dalam organisasi masing-masing khususnya berkaitan dengan institusi pengajian

tinggi. Hal ini demikian kerana suasana dan persekitaran IPT adalah sangat berbeza dengan

organisasi yang berlandaskan produk atau keuntungan secara materialistik semata-mata. Justeru,

model pelaksanaan yang dikemukakan oleh para pengkaji boleh dijadikan contoh untuk

memastikan SPK Islam MS1900 berjaya diaplikasikan dalam organisasi mereka sendiri, malah

bukan sehaja bermanfaat kepada para pekerja mereka, akan tetapi yang lebih penting perjalanan

organisasi tersebut pada setiap saat dan masa adalah sentiasa mematuhi keperluan Syari’ah serta

diharapkan mendapat kerahmatan dan keberkatan daripada Allah SWT.

51

KERANGKA PELAKSANAAN

SISTEM PENGURUSAN KUALITI BERTERASKAN SYARI’AH (MS1900) DI

INSTITUSI PENGAJIAN TINGGI: KE ARAH PENGURUSAN BERKESAN DAN

INOVATIF

LANGKAH-LANGKAH

PELAKSANAAN MS 1900

1. Kefahaman Terhadap

MS1900

2. Penubuhan Jawatankuasa

Kualiti

3. Tanggungjawab Pihak

Pengurusan

4. Peruntukan Sumber

5. Aduan Pelanggan

6. Audit Dalaman

7. Audit Luaran

8. Mesyuarat Kajian Semula

Pengurusan

9. Aktiviti Penambahbaikan

Berterusan

MAQASID SYARI’AH

PENAMBAHBAIKAN DAN

INOVASI PENGURUSAN

AKTIVITI-AKTIVITI

1. Kepimpinan

2. Hubungan Dengan Pelan

Strategik

3. Pengukuran & Analisis

4. Penambahbaikan Berterusan

5. Tubuhkan Kumpulan Inovasi

6. Sediakan Belanjawan

7. Penggunaan Teknologi

8. Kesilapan adalah Pelaburan

9. Pengiktirafan

10. Jalinan Kerja

11. Penanda Aras

BUDAYA AKADEMIK

Kebebasan Akademik

Profesionalism

Individualistik

Kekawanan

&

OUTPUT

Pengurusan Berkesan &

Inovatif

52

RUJUKAN

1. Albacete-Sáez, Carlos A., Fuentes-Fuentes, Maria Mar dan Bojica, Ana María. (2011).

Quality Management, Strategic Priorities and Performance: The Role of Quality

Leadership. Industrial Management & Data Systems 111 (8), 1173-1193.

2. Al-Izz ibn Abdul Salam (t.t), Qawaid al-Ahkam fi Masalih al-Anam. Beirut: Dar al-

Ma'rifah, Jld.1, 9.

3. Al-Syatibi. (1996). Al-Muwafaqat. Beirut: Dar al-Ma'rifah.

4. Bharudin Che Pa, Siti Arni Basir dan Shukeri Mohamed. (2010). Pelaksanaan Siyasah

Shar'iyyah dalam Pentadbiran di Malaysia. Jurnal Al-Tamaddun, 5(1), 57-72.

5. Faisal Talib, Zillur Rahman, dan Qureshi, M.N. (2013). An Empirical Investigation of

Relationship between Total Quality Management Practices and Quality Performance in

Indian Service Companies. International Journal of Quality & Reliability Management 30

(3), 280-318.

6. Gamboa, Antonio Jorge dan Melao, Nuno Filipe. (2012). The Impacts and Success Factors

of ISO 9001 in Education: Experiences from Portuguese Vocational Schools. International

Journal of Quality & Reliability Management 29 (4), 384-401.

7. Hasan Al-Banna Mohamed, Ab. Mumin Ab. Ghani & Siti Arni Basir. (2015). Factors

Influencing the Implementation of Islamic QMS in a Malaysian Public Higher Education

Institution (MPHEI). Total Quality Management & Business Excellence. DOI:10.1080/14783363.2015.1064765.

8. Jabatan Standards Malaysia. (2005). Quality Management Systems – Requirements From

Islamic Perspectives (MS 1900:2005). Selangor: SIRIM Berhad.

9. Krizan A.C., Merrier, P., Logan, J. dan Williams, K. (2011). Business Communication, ed.

ke-8. Ohio, USA: South-Western Cengage Learning.

10. Muhammad Ahmad Burkab. (2002). Al-Masalih al-Mursalah wa Atharuha fi Murunah al-

Fiqh Islami. Dubai: Dar al-Buhuth.

11. Nuruddin Mukhtar, al-Khadimi. (1998). Al-Ijtihad al-Maqasidi. Qatar, 96.

12. Poksinska, B., Eklund, J.A.E. dan Dahlgaard, J.J. (2006). ISO 9001:200 in Small

Organisations. International Journal of Quality and Reliability Management, 23(5), 490-

512.

13. Mangiarotti, G. & Riillo, C.A.F. (2014). Standards and Innovation in Manufacturing and

Services: The Case of ISO 9000. International Journal of Reliability & Quality

Management, 31(4), 435-454.

14. Shafiza Shaari. (2010). Analisis Standard Pensijilan Halal Malaysia (MS 1900:2005) dari

Perspektif Pengurusan Pembangunan Islam: Satu Cadangan Penyelidikan. Makalah,

53

Seminar The 5th ISDEV International Graduate Workshop (INGRAW 10), Peringkat

Seminar Antarabangsa, Pusat Kajian Pengurusan Pembangunan Islam (ISDEV) dan Institut

Pengajian Pasca Siswazah, USM, Dewan Persidangan Universiti, USM, 21-22 September

2010.

15. Shafiza Shaari. (2011). Pendekatan Pengurusan Modal Insan dalam Sistem Pengurusan

Kualiti dari Perspektif Islam. Makalah, Seminar antarabangsa The 6th ISDEV International

Graduate Workshop (INGRAW 10), Peringkat Seminar Antarabangsa, Pusat Kajian

Pengurusan Pembangunan Islam (ISDEV) dan Institut Pengajian Pasca Siswazah, USM,

Dewan Persidangan Universiti (DPU), USM, 11-12 Oktober 2011.

16. Sharifah Hayaati Syed Ismail al-Qudsy. (2011). Integriti Menurut Perspektif Islam Dan

Moden: Asas Sistem Penyampaian dan Perkhidmatan Berkualiti. Jurnal Pengurusan

Awam, 8(1), 1-24.

17. Sharifah Hayaati Syed Ismail al-Qudsy, Asmak Ab Rahman & Mohd Izani Mohd Zain.

(2009). Pengukuhan Nilai dan Profesionalisme di Kalangan Penjawat Awam Ke Arah

Efektif Governan Di Malaysia, Jurnal Syariah, 17(3), 559-592.

18. Siti Arni Basir. (2010). The Establishment and Requirements of Malaysian Quality

Management System MS1900 from Islamic Perspective. Prosiding Persidangan

Antarabangsa Islam dalam Masyarakat Malaysia (PAIMM), Prakata: Arba’iyah Mohd.

Noor, Jabatan Sejarah dan Fakulti Sastera dan Sains Sosial, Universiti Malaya, KL, 5-6

Oktober 2010), 2, 347-362.

54

BIODATA PENULIS

HASAN AL-BANNA BIN MOHAMED

AB. MUMIN BIN AB. GHANI

SITI ARNI BINTI BASIR

Pensyarah di Jabatan Pengurusan Sumber Manusia Pertahanan, Fakulti

Pengajian dan Pengurusan Pertahanan, UPNM sejak tahun 2006. Sebelum itu,

bertugas sebagai pensyarah di ATMA (Akademi Tentera Malaysia) sebelum

dinaik taraf sebagai UA yang terakhir. Sekarang menjawat jawatan lantikan

sebagai Pengarah Pusat Jaminan Kualiti dan Pengurusan Data serta ahli SENAT

di UPNM. Memperoleh sijil Falsafah Kedoktoran dari Akademi Pengajian Islam

(APIUM), Universiti Malaya dalam bidang Sistem Pengurusan Kualiti Islam.

Banyak menulis dalam bidang pengurusan sumber manusia, pembangunan

manusia, pengurusan kualiti dan pengurusan Islam.

Boleh dihubungi di alamat e-mel: [email protected]

Profesor Madya dan pensyarah di Jabatan Syari’ah dan Pengurusan, APIUM,

Kuala Lumpur. Kepakaran beliau dalam Sistem Kewangan Islam, Perakaunan

Islam dan Pengurusan Islam di samping menjadi panel penasihat kepada

beberapa buah bank di Malaysia seperti Hong Leong Bank Islamic dan juga

Bank Rakyat. Memperoleh sijil Falsafah Kedoktoran dari Universiti Malaya

(UM). Berpengalaman menulis pelbagai buku, artikel jurnal dan sering

membentangkan kertas kerja di seminar-seminar peringkat kebangsaan dan

antarabangsa. Beliau bertugas di Jabatan Syari’ah dan Pengurusan di Akademi

Pengajian Islam (APIUM), Universiti Malaya, Kuala Lumpur.

Boleh dihubungi di alamat e-mel: [email protected]

Pensyarah kanan di Jabatan Siasah Syar’iyyah, Akademi Pengajian Islam, UM.

Beliau berkelulusan Sarjana Muda Ekonomi (UM), Sarjana Pentadbiran Awam

(UM) dan Ijazah Kedoktoran dalam bidang Sistem Pengurusan Kualiti

(University of Salford, UK). Siti Arni memiliki kepakaran dalam bidang Sistem

Pengurusan Kualiti ISO 9000, Sistem Pengurusan Kualiti Islam MS1900 dan

pengurusan organisasi. Beliau aktif melakukan kajian dan menulis berkaitan

dengan isu-isu pengurusan kualiti dan pentadbiran Islam di Malaysia. Tumpuan

kajian beliau banyak memfokuskan kepada aspek budaya dan kemanusiaan atau

insaniah dalam konteks pengurusan kualiti dan pentadbiran Islam. Selain itu,

kajian beliau turut memberi tumpuan kepada aplikasi sistem dan program kualiti

dalam melonjakkan prestasi organisasi ke arah inovasi dan kecemerlangan.

Boleh dihubungi di alamat e-mel: [email protected]

55

SHARIFAH HAYAATI BINTI SYED ISMAIL AL-QUDSY

ILHAAMIE BINTI AB. GHANI AZMI

Beliau memegang jawatan Profesor Madya di Jabatan Syari’ah dan Pengurusan,

Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya, Kuala Lumpur. Penulis

memperoleh sijil falsafah Kedoktoran dari USM dalam bidang Pengurusan

Sumber Manusia, Sarjana Pentadbiran Perniagaan dari UKM dan Sarjana Muda

Pentadbiran Perniagaan dari UIAM. Beliau aktif dalam penyelidikan dan

penulisan dalam bidang pengurusan sumber manusia, pengurusan kualiti,

keusahawanan dan pengurusan Islam.

Boleh dihubungi di alamat e-mel: [email protected]

Profesor Madya dan Pensyarah kanan di Jabatan Siasah al-Syar’iyyah,

Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya, Kuala Lumpur. Beliau

berkelulusan Doktor Falsafah dalam bidang Pentadbiran dan Kajian Dasar dari

University of Bristol, England, Sarjana Perbandingan Undang-undang

(Universiti Islam Antarabangsa Malaysia) dan Sarjana Muda Syariah dengan

Kepujian Kelas Pertama dari Universiti Malaya. Beliau aktif dalam melakukan

kajian dalam bidang Efektif Governan Islam, Etika Penjawat Awam dan Wanita

dalam Organisasi menurut Islam. Termasuk Penyelidikan Penilaian Semula

Dasar Wanita Negara, Kajian Bersama Kementerian Pembangunan Wanita,

Keluarga and Masyarakat (2005-2006).Beliau berpengalaman sebagai Fellow

Penyelidik di Oxford Centre for Islamic Studies di bawah Tajaan Association of

Commenwealth Universities (ACU Titular Fellowship) (2015) dan sebagai

Fulbright Visiting Specialist (2007). Butiran beliau boleh didapati di laman

sesawang: http://umexpert.um.edu.my

Boleh dihubungi di alamat e-mel: [email protected]

Boleh dihubungi di alamat e-mel: [email protected]

56

JAWATANKUASA KONSULTASI

Bersama dalam buku manual ini, disenaraikan nama ahli jawatankuasa perundingan (konsultasi)

untuk pelaksanaan Sistem Pengurusan Kualiti Islam MS1900. Ahli jawatankuasa tersebut akan

memberikan penjelasan dan penerangan kepada pihak-pihak yang inginkan khidmat nasihat

secara terperinci bagi melaksanakan Sistem Pengurusan Kualiti Islam MS1900 di IPT atau

organisasi masing-masing. Kepelbagaian kepakaran dalam kalangan ahli jawatankuasa

perundingan (konsultasi) ini mampu memberikan perkhidmatan perundingan yang sebaiknya

agar setiap proses kualiti dapat diterapkan elemen kepatuhan kepada Syari’ah serta menepati

Maqasid al-Syari’ah.

Berikut adalah nama-nama Ahli Jawatankuasa Perundingan (Konsultasi) untuk

pelaksanaan MS1900:

BIL NAMA JAWATANKUASA KONSULTASI

1 DR. HASAN AL-BANNA BIN MOHAMED

2 DR. AB. MUMIN BIN AB. GHANI

3 DR. SITI ARNI BINTI BASIR

4 DR. SHARIFAH HAYAATI BINTI SYED ISMAIL AL-QUDSY

5 DR. ILHAAMIE BINTI AB. GHANI AZMI

6 DR. SYED DAWILAH BINTI AL-EDRUS

7 DR. ROSLINA BINTI AB. WAHID

57

Terima Kasih

Kepada Semua yang Terlibat

Secara Langsung dan Tidak Langsung

Diterbitkan oleh:

PUSAT PENERBITAN

UNIVERSITI PERTAHANAN NASIONAL MALAYSIA

KEM PERDANA SUNGAI BESI, 57000

KUALA LUMPUR