bahan bantu mengajar
DESCRIPTION
matematikTRANSCRIPT
-
PENGGUNAAN BAHAN BANTU MENGAJAR SEMASA PROSES PENGAJARAN DAN
PEMBELAJARAN MATEMATIK
SITI KHAIRIAH BINTI MUAAINUE DEEN
UNIVERSITI PENDIDIKAN SULTAN IDRIS
2004
-
PENGGUNAAN BAHAN BANTU MENGAJAR SEMASA PROSES PENGAJARAN DAN
PEMBELAJARAN MATEMATIK
SITI KHAIRIAH BINTI MUAAINUE DEEN
LAPORAN PENULISAN ILMIAH DIKEMUKAKAN BAGI MEMENUHI SEBAHAGIAN DARIPADA SYARAT UNTUK MEMPEROLEHI IJAZAH SARJANA MUDA PENDIDIKAN DENGAN KEPUJIAN (MATEMATIK)
FAKULTI SAINS DAN TEKNOLOGI UNIVERSITI PENDIDIKAN SULTAN IDRIS
2004
-
PENGAKUAN
Kami akui karya ini adalah hasil kerja kami sendiri kecuali nukilan, petikan dan ringkasan nukilan yang setiap satunya telah kami catatkan sumbernya.
Tarikh : 27 Ogos 2004 ..
Siti Khairiah Binti Muaainue-Deen 20012-09446
-
PENGHARGAAN
Kami bersyukur ke hadrat Allah S.W.T. kerana dengan izinnya dan limpah kurniaNya, kami dapat menyiapkan kajian ilmiah ini. Kami ingin merakamkan jutaan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat secara langsung atau tidak langsung dalam membantu kami menyempurnakan kajian ini. Pertamanya, jutaan terima kasih ditujukan khas kepada pensyarah penyelia iaitu Encik Abdul Halim Bin Amat @ Kamaruddin yang sentiasa memberikan bimbingan dan tunjuk ajar dalam menyempurnakan kajian ini. Tidak lupa kepda Dr Lim Chong Him yang banyak memberi tunjuk ajar dan panduan dalam menjalankan kajian ini. Untuk ibu, Maznah Binti Hj Harun dan bapa, Muaainue-Deen Bin Haniffa yang sangat prihatin dan banyak menyumbangkan dorongan, semangat dan juga sumber kewangan, jasa kalian tidak akan dilupakan. Penghargaan seterusnya ditujukan kepada pengetua di Sekolah Menengah Kebangsaan Tanah Merah (1), Tanah Merah, Kelantan dan juga pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan Dato Mahmud Paduka Raja, Tanah Merah, Kelantan di atas keizinan dan kerjasama yang diberikan untuk menjayakan kajian ini. Terima kasih tak terhingga juga kepada guru-guru matematik tingkatan 2 dan 4 kedua-dua sekolah iaitu cikgu Ibrahim Bin Awang, cikgu Intan Shafinaz Haye Khan dan cikgu Fook Tan Cheong. Tidak lupa juga kepada pelajar-pelajar di sekolah tersebut yang telah memberikan kerjasama semasa kajian ini dilaksanakan terutamanya Noor Suriya, Ahmad Ikhwan dan Mohammad Hafiz Bin Othman. Akhir sekali, rakan-rakan seperjuangan yang banyak memberi semangat dan membantu dalam menjayakan kajian ilmiah ini. Semoga Allah S.W.T. memberkati sokongan, kerjasama dan bantuan yang telah diberikan kepada kami.
-
ABSTRAK Kajian ini dijalankan adalah untuk meninjau penggunaan bahan bantu mengajar (BBM) semasa proses pengajaran dan pembelajaran matematik. Kajian ini tertumpu kepada guru dan juga pelajar. Tujuan kajian adalah untuk mendapatkan faktor pendorong kepada penggunaan bahan bantu mengajar, faktor-faktor penyebab kurangnya penggunaan bahan bantu mengajar semasa proses pengajaran dan pembelajaran matematik. Faktor-faktor ini penting kerana terdapat banyak teori yang menyatakan bahawa penggunaan bahan bantu mengajar dalam pengajaran membantu kepada memberikan minat dan memudahkan pemahaman pelajar. Selain itu, kajian ini juga mendapati kesan negatif jika penggunaan bahan bantu mengajar diabaikan. Terdapat juga masalah yang timbul dalam penggunaan bahan bantu mengajar semasa proses pengajaran dan pembelajaran matematik. Kaedah kajian yang digunakan adalah kualitatif iaitu secara temu bual yang dipilih daripada guru dan pelajar tingkatan 2 dan 4. Data kajian dianalisis untuk melihat dapatan berpandukan persoalan kajian.
-
ABSTRACT
This study is done to survey the level of usage of teaching materials during the process of teaching and learning mathematics. The participants of this study are teachers and students. The purposes of this study are to discover reasons of using teaching materials and not using teaching materials. These factors are important because there are theories that state, the usage of teaching materials in teaching helps to increase the interest of students and make the students understand better. If teaching materials are unselected, as this study shows we get negative effect. There are also problems in using of teaching materials during the process of teaching and learning mathematics. To gain these information, interview sessions are done within teachers and students form 2 and 4. The data from the interviews will be analysed to make sure the objective of this study are achieve.
-
SENARAI SINGKATAN
BBM Bahan Bantu Mengajar CD Compact Disk ETeMS English Teaching Mathematics and Science ILCOM Individualised Learning With Computer JPN Jabatan Pendidikan Negeri KBSM Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah KBSR Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah KHB Kemahiran Hidup Bersepadu KPM Kementerian Pendidikan Malaysia LCD Liquid Crystal Display MPTI Maktab Perguruan Temenggung Idris P&P Pengajaran dan Pembelajaran PMR Penilaian Menengah Rendah UPSI Universiti Pendidikan Sultan Idris
-
SENARAI GAMBAR
Gambar 1 : Sekolah Menengah Kebangsaan Dato Mahmud Paduka Raja ms 96 Gambar 2 : Penggunaan BBM semasa sesi pengajaran dan pembelajaran ms 96 Gambar 3 : Penggunaan BBM semasa sesi pengajaran dan pembelajaran ms 97 Gambar 4 : Penggunaan BBM semasa sesi pengajaran dan pembelajaran ms 97 Gambar 5 : Sekolah Menengah Kebangsaan Tanah Merah (1) ms 98 Gambar 6 : Makmal ETeMS Sekolah Menengah Kebangsaan Tanah Merah (1) ms 98 Gambar 7 : Makmal ETeMS Sekolah Menengah Kebangsaan Tanah Merah (1) ms 99 Gambar 8 : Sesi temu bual dengan Noor Suriya dan Ahmad Ikhwan ms 99 Gambar 9 : Sesi temu bual dengan Noor Suriya dan Ahmad Ikhwan ms 100
-
KANDUNGAN
Muka Surat
PENGAKUAN ii
PENGHARGAAN iii
ABSTRAK iv
ABSTRACT v
SENARAI SINGKATAN vi
SENARAI GAMBAR vii
BAB 1 PENGENALAN
1.1 Pengenalan 1
1.2 Penyataan Masalah 5
1.3 Persoalan Kajian 6
-
1.4 Kesignifikanan Kajian 6
1.5 Batasan Kajian 8
BAB 2 KAJIAN LITERATUR
2.1 Kajian Tempatan 10
2.2 Kajian Luar Negara 15
2.3 Rumusan 19
BAB 3 METODOLOGI
3.1 Reka Bentuk Kajian 21
3.2 Partisipan Kajian 22
3.3 Instrumen Kajian 23
3.4 Prosedur Kajian 24
3.5 Analisis Data 26
BAB 4 DAPATAN KAJIAN
4.1 Faktor Pendorong Penggunaan Bahan Bantu Mengajar 28
4.1.1 Faktor Bahan 28
4.1.1.1 Pembelajaran Menarik 28
4.1.1.2 Membantu Proses Pengajaran 29
-
4.1.1.3 Pelengkap 31
4.1.2 Faktor Pelajar
31
4.1.2.1 Pelajar Lebih Berminat 32
4.1.2.2 Pemahaman Pelajar 33
4.1.3 Faktor Guru 35
4.2 Faktor Penyebab Kurangnya Penggunaan Bahan
Bantu Mengajar 36
4.2.1 Faktor Masa 36
4.2.2 Faktor Bahan 37
4.2.3 Faktor Guru 37
4.2.4 Faktor Pelajar 38
4.3 Kesan Negatif Jika Mengabaikan Penggunaan
Bahan Bantu Mengajar 39
4.3.1 Pemahaman Berkurangan 39
4.3.2 Penggunaan Bahasa Inggeris 40
4.4 Masalah yang Timbul Dalam Penggunaan Bahan
Bantu Mengajar 41
4.4.1 Fokus 41
4.4.2 Bahasa 41
4.4.3 Sukatan 42
-
BAB 5 PERBINCANGAN DAN KESIMPULAN
5.1 Faktor-faktor Pendorong Penggunaan Bahan
Bantu Mengajar 45
5.2 Faktor Penyebab Kurangnya Penggunaan Bahan
Bantu Mengajar 49
5.3 Kesan Negatif Jika Mengabaikan Penggunaan
Bahan Bantu Mengajar 52
5.4 Masalah Yang Timbul Dalam Penggunaan Bahan
Bantu Mengajar 53
5.5 Kesimpulan 55
RUJUKAN 57
LAMPIRAN
Senarai Singkatan Kategori 59
Pengkategorian 61
Transkripsi Cikgu Ibrahim Awang 75
Transkripsi Cikgu Intan Shafinaz 79
Transkripsi Cikgu Fook Tan Cheong 84
Transkripsi Pelajar Mohammad Hafiz Bin Othman 90
Transkripsi Pelajar Noor Suriya dan Ahmad Ikhwan 92
Gambar 96
-
BAB 1
PENGENALAN
Bab ini membincangkan tujuan kajian dijalankan, mengapa kajian ini yang dipilih. Di
dalam bab ini dinyatakan masalah yang berkaitan dengan tajuk kajian dan mengapa
masalah ini timbul. Di dalam bab ini juga dinyatakan kepentingan kajian ini dijalankan.
Batasan yang dihadapi dalam menjalankan kajian ini seperti kekangan-kekangan yang
wujud di sepanjang kajian dijalankan juga turut dinyatakan.
1.1 Pengenalan
Matematik penting dalam kehidupan seharian dan kerjaya masa depan. Tetapi masih
ramai pelajar menganggap matematik sebagai mata pelajaran yang sukar dan abstrak.
Para guru juga merasakan pengajaran matematik sebagai suatu cabaran. Banyak teori dan
kaedah pengajaran matematik telah diperkenalkan oleh penyelidik-penyelidik matematik
terdahulu. Misalnya, Fiedler menunjukkan bahawa penggunaan bahan bantu mengajar
-
dapat menjadikan pengajaran dan pembelajaran yang berkesan. Penguasaan diperolehi
apabila pembelajaran itu adalah pembelajaran yang bermakna. Di sinilah pentingnya
penggunaan bahan bantu mengajar (BBM) untuk menjadikan pembelajaran matematik
yang bermakna dan menimbulkan motivasi pelajar.
Perubahan dalam bidang pendidikan bermula dengan Laporan Jawatankuasa
Kabinet yang mengkaji dasar pelajaran pada tahun 1979. Banyak peraturan yang
dikemukakan selepas laporan tersebut dan akhirnya menyebabkan perubahan besar ke
atas dasar pendidikan negara yang kemudiannya mewujudkan Kurikulum Baru Sekolah
Rendah (KBSR) dan Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah (KBSM). (KPM 1984).
Kementerian Pendidikan menetapkan sasaran untuk meningkatkan bilangan
pelajar sekolah menengah yang mengikuti aliran sains sebanyak 4 peratus setahun. Mulai
tahun ini (2001), Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Jabatan Sekolah, Rashidi , berkata
langkah itu adalah antara usaha kementerian untuk mencapai matlamat 60 peratus pelajar
sekolah menengah mengikuti aliran sains menjelang 2006. Perkembangan terkini
menunjukkan bilangan pelajar sekolah menengah yang mengikuti aliran sains di seluruh
negara kini meningkat kepada 35 peratus.
Bagi merealisasikan matlamat tersebut, guru perlu berubah sikap dengan
menggunakan pendekatan pendidikan yang lebih menarik seperti menitikberatkan
penggunaan bahan bantu mengajar yang terancang bagi menarik minat pelajar dan juga
bagi mencapai objektif pengajaran dan pembelajaran. Pepatah Cina berbunyi saya dengar
-
dan saya terlupa, saya lihat dan saya teringat, saya buat dan saya memahami,
memberitahu kita bahawa pengalaman melalui satu jenis deria sahaja tidak mencukupi
untuk mencapai pemahaman. Pengalaman perlu dirangsangkan oleh pancaindera dan
diolah oleh proses mental supaya pembelajaran bermakna dapat dicapai. Tindakan mental
perlu dirangsang semasa pelajar sendiri bertindak ke atas sesuatu objek. Oleh itu, guru
haruslah bersedia, bijak dan kreatif di dalam merangka aktiviti pembelajaran di dalam
bilik darjah. Pelajar-pelajar juga dapat memperkayakan pengetahuan dan kemahiran
melalui penggunaan bahan bantu mengajar.
Ramai di kalangan guru menganggap pelajar sekolah menengah tidak lagi
memerlukan alat bantu mengajar atau bahan manipulatif kerana para pelajar sekolah
menengah sudah mencapai tahap operasi formal mengikut perkembangan intelektual yang
dikemukakan oleh Piaget. Anggapan bahawa bahan manipulatif hanya sesuai untuk
matematik sekolah rendah sahaja adalah kurang tepat. Idea asas berkenaan penggunaan
bahan manipulatif membantu pelajar tanpa mengambil kira peringkat mana mereka
berada. Kajian menunjukkan guru-guru mendapati sukar membezakan peringkat-
peringkat operasi konkrit dengan operasi formal. Ini kerana ramai pelajar masih
memerlukan bahan konkrit bagi memahami idea-idea dan konsep matematik walaupun
umur mereka sudah sampai peringkat formal. Ada pula di kalangan penyelidik yang
mengemukakan satu lagi peringkat, iaitu peringkat bridging di mana bahan manipulatif
dan simbol digunakan secara serentak bagi membantu pembelajaran matematik.(Lim
Chap Sam, 2003, m.s.8)
-
Contohnya apabila mempelajari fungsi linear, konsep pemboleh ubah atau
algebra dapat difahami oleh pelajar dengan mudah apabila ia digantikan dengan nombor
kerana konsep nombor sudah pun dikuasai dahulu. Bagaimanapun, masih ramai pelajar
sekolah menengah menghadapi masalah membuat transisi daripada konsep nombor
kepada konsep pemboleh ubah. Ini juga adalah satu punca kesulitan yang dihadapi oleh
pelajar semasa menguasai konsep-konsep asas dalam topik aljabar. Kesulitan ini
mempengaruhi penguasaan dalam topik fungsi dan topik matematik lain yang berkaitan
pada peringkat yang lebih tinggi. Oleh itu, penggunaan bahan bantu mengajar matematik
seperti bahan manipulatif yang asas dan konkrit biasanya membantu bridging atau
sebagai penyambung tersebut.(Lim Chap Sam, 2003, m.s.9)
Sebarang bahan, benda, alat atau objek yang digunakan bagi menjelaskan konsep
atau idea-idea matematik semasa menjalankan aktiviti pengajaran dan pembelajaran dapat
dianggap sebagai BBM atau bahan manipulatif. Biasanya bahan-bahan yang digunakan
ini dapat dipegang, disusun atur ataupun diolah bagi mencapai objektif yang dikehendaki.
BBM tidak terbatas pada peralatan dan bahan-bahan yang tersedia dalam bilik darjah
sahaja. Secara amnya, ia terbahagi kepada dua kategori iaitu peralatan elektronik dan
peralatan bukan elektronik. Peralatan elektronik adalah seperti komputer, televisyen,
radio dan sebarang alat audio video, manakala peralatan bukan elektronik seperti peta,
carta, surat khabar, bahan manipulatif, tangram, papan paku, bongkah kayu dan
sebagainya.
-
1.2 Penyataan Masalah
Dalam kehidupan manusia sehari-hari, secara disedari atau tidak, kita terlibat dengan
penggunaan matematik. Sama ada di dalam urusan perniagaan hinggalah pengurusan
kehidupan kita seharian. Oleh itu, mata pelajaran matematik amat penting dan pelajar-
pelajar perlu menyedari kepentingan mata pelajaran matematik tetapi bagaimana caranya
untuk menarik minat pelajar supaya meminati mata pelajaran matematik. Pandangan
negatif yang menyatakan subjek matematik adalah susah perlu diperbetulkan oleh guru
demi melahirkan masyarakat Malaysia yang kreatif, menghargai nilai estetika dan
pembentukan rohani yang positif di kalangan pelajar yang sejajar dengan objektif KBSM.
Masalah utama yang sering diperkatakan ialah keupayaan guru untuk
meningkatkan minat dan motivasi pelajar terhadap mata pelajaran matematik. Dalam arus
pelajar mengejar pencapaian dan kedudukan yang cemerlang di dalam peperiksaan,
kepentingan penggunaan BBM di kalangan guru dan juga pelajar berpencapaian baik dan
kurang baik perlu diketahui supaya penggunaan BBM yang digunakan adalah bersesuaian
dan dapat menarik minat pelajar untuk belajar matematik. Pada peringkat awal
pembelajaran, para pelajar memerlukan BBM supaya mereka dapat mengaitkan idea dan
konsep abstrak dengan objek fizikal yang menjadi realiti kepada dunia yang baru bagi
mereka. Tanpa BBM, pelajar hanya menggunakan deria telinga bagi mendengar
penjelasan yang dibuat oleh guru. Tetapi apabila guru menggunakan BBM, pelajar
mengggunakan lebih dari satu deria dan meningkatkan daya pembelajaran pelajar. Bagi
guru-guru, BBM bukan sahaja membantu proses pengajaran malah menjimatkan masa
dan tenaga guru semasa membuat penjelasan. (Lim Chap Sam, 2003, m.s.7)
-
1.3 Persoalan Kajian
Tujuan kajian ini dijalankan adalah untuk mengetahui dengan terperinci mengenai
beberapa persoalan yang timbul dan memerlukan jawapan supaya masalah pembelajaran
yang melibatkan BBM dapat diatasi.
Di antara persoalannya yang memandu kepada kajian ini ialah :
1.3.1 Untuk mengetahui apakah faktor-faktor yang mendorong kepada penggunaan
bahan bantu mengajar dalam proses pengajaran dan pembelajaran matematik.
1.3.2 Untuk mengetahui apakah faktor-faktor penyebab kurangnya penggunaan bahan
bantu mengajar dalam proses pengajaran dan pembelajaran matematik.
1.3.3 Untuk mengetahui apakah kesan negatif jika bahan bantu mengajar diabaikan
dalam proses pengajaran matematik.
1.3.4 Untuk mengetahui apakah masalah-masalah yang timbul dalam penggunaan bahan
bantu mengajar di dalam proses pengajaran dan pembelajaran matematik.
1.4 Kesignifikanan Kajian
Tujuan kajian secara terperinci ialah untuk mendapatkan maklumat tentang faktor-faktor
yang mendorong kepada penggunaan bahan bantu mengajar (BBM) dalam proses
pengajaran dan pembelajaran matematik oleh guru. Kami juga ingin mendapatkan faktor
penyebab kurangnya penggunaan bahan bantu mengajar dalam proses pengajaran dan
pembelajaran matematik. Kami ingin mengenal pasti apakah kesan negatif jika bahan
bantu mengajar diabaikan dalam proses pengajaran matematik. Kami juga ingin
-
mengetahui apakah masalah-masalah yang timbul dalam penggunaan bahan bantu
mengajar semasa proses pengajaran dan pembelajaran matematik. Maklumat daripada
pelajar dan guru tentang hakikat kepentingan dan keberkesanan penggunaan bahan bantu
mengajar dalam proses pengajaran dan pembelajaran matematik serta permasalahan yang
timbul juga cuba dianalisis oleh kami.
Kajian ini penting bagi memberi garis panduan tentang penggunaan bahan bantu
mengajar (BBM) semasa proses pengajaran dan pembelajaran matematik kepada guru-
guru dan juga pelajar supaya pelajar memberi maklum balas dan ia menjadi ukuran guru
bagi melahirkan pelajar yang berkualiti. Selain itu, kajian ini penting kepada pihak
Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk mendapatkan maklumat sejauh manakah
penggunaan BBM di sekolah. Kajian ini penting kerana terdapat maklumat tentang faktor
penyebab kurangnya penggunaan bahan bantu mengajar serta kesan negatif jika BBM
diabaikan semasa pengajaran dan pembelajaran matematik. Kajian ini juga penting kerana
dapatannya mungkin boleh menjadi panduan untuk:
1.4.1 Mengetahui sejauh manakah keberkesanan penggunaan bahan bantu mengajar di
dalam proses pengajaran dan pembelajaran setelah mengetahui faktor-faktor
pendorong penggunaan bahan bantu mengajar semasa proses pengajaran dan
pembelajaran matematik.
1.4.2 Meransang minat pelajar untuk belajar matematik dan membaiki tahap pencapaian
pelajar dalam mata pelajaran matematik melalui bahan bantu mengajar matematik
yang digunakan oleh guru.
-
1.4.3 Melahirkan pelajar berkualiti melalui kehendak pelajar dalam proses pembelajaran
yang diperlukan melalui pengajaran matematik.
1.4.4 Pihak pentadbir sekolah dan pihak-pihak yang berkenaan khasnya Kementerian
Pendidikan Malaysia dapat mengambil tindakan supaya kesan negatif dan
permasalahan yang wujud dalam penggunaan bahan bantu mengajar matematik
dapat diatasi.
1.5 Batasan Kajian
Partisipan kajian hanya melibatkan 6 orang sahaja. 3 orang dipilih di kalangan guru
manakala 3 orang lagi di pilih di kalangan pelajar. Partisipan ini dipilih daripada 2 buah
sekolah iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan Tanah Merah (1), Tanah Merah, Kelantan
dan Sekolah Menengah Kebangsaan Dato Mahmud Paduka Raja, Tanah Merah,
Kelantan. Oleh yang demikian, dapatan kajian tidak boleh dibuat sebagai generalisasi
umum kerana bilangan sampel terlalu kecil. Ini kerana masa untuk menjalankan kajian
juga adalah terhad. Ini menjadi faktor bilangan partisipan yang ditemu ramah terhad.
Bilangan sekolah kajian ini dibuat juga terhad kerana kami mempunyai kekangan masa
untuk menjalankan kepada banyak sekolah. Faktor jantina juga tidak diambil kira, ini
kerana guru dan pelajar yang dipilih berdasarkan faktor utama adalah boleh memberi
kerjasama yang terbaik. Hasil kajian juga tidak mengambil kira faktor iklim sekolah
semasa kajian dijalankan. Kami hanya mengkaji tentang faktor yang mendorong
penggunaan, faktor penyebab kurangnya penggunaan dan permasalahan berkaitan
-
penggunaan bahan bantu mengajar (BBM) semasa proses pengajaran dan pembelajaran
matematik tetapi tidak kepada jenis BBM dan kelemahannya.
-
BAB 2
KAJIAN LITERATUR
Dalam bab ini, kajian literatur diambil daripada kajian lepas yang berkaitan dengan kajian
yang dijalankan oleh kami. Terdapat hanya sedikit penyelidikan berkaitan penggunaan
bahan bantu mengajar (BBM) matematik terhadap pelajar dijalankan. Kajian-kajian lepas
yang menyokong penggunaan bahan bantu mengajar (BBM) dikemukakan adalah
dikhususkan kepada kajian tempatan. Kajian tempatan merangkumi kajian yang telah
dijalankan oleh penyelidik-penyelidik di Malaysia manakala kajian luar negara ialah
kajian yang telah dijalankan oleh penyelidik-penyelidik luar negara.
2.1 Kajian Tempatan
Di Malaysia, terdapat beberapa orang penyelidik telah membuat kajian tentang
penggunaan bahan bantu mengajar (BBM) di dalam pengajaran dan pembelajaran. Kajian
mereka kebanyakannya adalah untuk meninjau sejauh manakah keberkesanan seseorang
-
guru menggunakan BBM dalam pengajarannya, seterusnya membantu dalam
pembelajaran pelajar-pelajar.
Mohd. Noor (1996) telah menjalankan kajian mengenai penggunaan bahan bantu
mengajar oleh guru-guru untuk pengajaran matematik bagi kelas-kelas pemulihan.
Dalam kajiannya, beliau mendapati 90% daripada guru yang dikaji berminat terhadap
pengajaran matematik berbantukan bahan bantu mengajar (BBM). Daripada jumlah ini,
70% guru menggunakan BBM dalam permulaan pengajaran iaitu set induksi. Hasil kajian
ini menunjukkan bahawa penggunaan BBM dalam proses pengajaran dan pembelajaran
memang berkesan. Fakta yang menyatakan bahawa 90% guru berminat menggunakan
BBM dalam pengajaran matematik bagi kelas pemulihan menjelaskan yang BBM
memang dapat memudahkan pembelajaran dengan membantu pelajar lebih memahami
sesuatu pelajaran tersebut.
Wan Monalyza (1990) telah menjalankan kajian tinjauan terhadap pelajar-pelajar
Tingkatan 2 di Sekolah Menengah Yahya Petra, Kelantan, mengenai tanggapan mereka
terhadap BBM yang digunakan dalam pengajaran mata pelajaran sains paduan. Hasil
kajian beliau menunjukkan bahawa kebanyakan pelajar lebih mementingkan BBM yang
berjenis-jenis, tulisan dan gambar rajah yang teratur serta mudah dibaca dan bersesuaian
dengan topik yang diajar. Maklum balas yang diperolehi daripada para pelajar
menyatakan bahawa BBM dapat meningkatkan daya ingatan dan kefahaman mereka.
Beliau menyatakan bahawa BBM memainkan peranan yang amat penting untuk
merangsang keinginan pelajar tersebut dengan lebih mendalam.
-
Haryani (1994) telah menjalankan kajian bertajuk Penggunaan BBM Dalam
Pengajaran Kemahiran Hidup Bersepadu (KHB). Hasil kajian menunjukkan bahawa
65.5% daripada jumlah guru yang dikajinya menyatakan bahawa penggunaan BBM
sangat perlu dalam pengajaran dan pembelajaran kerana ia dapat mengekalkan minat
pelajar dan membantu proses pengajaran. Selain daripada itu, didapati bahawa 71.9%
guru diketahui kerap menggunakan BBM dalam pengajaran mereka dan kekerapan ini
bergantung kepada kemudahan peralatan di sekolah serta topik-topik tertentu dalam
sukatan Kemahiran Hidup Bersepadu.
Murally (1988) dalam kajiannya bertajuk Kesan Penggunaan BBM Terhadap
Pencapaian Murid Tingkatan 4 Dalam Matapelajaran Fizik di dua buah sekolah di daerah
Hulu Langat mendapati pencapaian murid adalah lebih baik apabila menggunakan BBM
berbanding dengan cara biasa. Dari segi minat, pelajar mempunyai minat yang tinggi
terhadap mata pelajaran Fizik setelah diajar dengan menggunakan BBM.
Satu kajian bertajuk Persepsi Pelajar Terhadap Keberkesanan Penggunaan BBM
Dalam Mata Pelajaran Fizik Tingkatan 4, Satu tinjauan di Sekolah Menengah Taun Gusi
dan Arshad di Kota Belud, Sabah telah dilakukan oleh Sabdani Batang (1999). Beliau
mendapati pelajar mempunyai persepsi yang baik terhadap BBM yang guru gunakan.
Dari segi kemahiran, hasil dapatan menunjukkan BBM dapat memberi idea kepada
pelajar supaya menjadi lebih kreatif dan memudahkan pelajar membayangkan isi
pengajaran yang diajar oleh guru semasa ujian. Dari segi kognitif, hasil dapatan
-
menunjukkan BBM dapat membantu pelajar-pelajar menggambarkan konsep
pembelajaran dengan lebih jelas. Pelajar juga dapat mengingati isi pelajaran guru dengan
lebih senang. Asas-asas penting dapat difahami dengan lebih berkesan jika BBM
digunakan. Dari segi tingkah laku pula, BBM dapat menggalakkan pelajar untuk belajar,
pengajaran lebih licin, sempurna dan pelajar juga merasakan penggunaan BBM adalah
sesuai dan berkesan. Dari segi minat, penggunaan BBM yang pelbagai cara pengajaran
akan dapat menarik minat pelajar untuk belajar. Hasil dapatan beliau juga menunjukkan
penggunaan BBM merupakan satu cara unggul dalam menarik minat pelajar terhadap
pengajaran guru. Dari segi pemilihan BBM, pelajar telah menganggap bahan-bahan 3D,
sistem video/TV dan bahan-bahan bercetak dapat menarik minat mereka untuk mengikuti
pembelajaran.
Kepentingan penggunaan BBM di dalam pembelajaran dan pengajaran terbukti
melalui kajian yang dijalankan oleh Chan (1993) dalam kajian beliau The Effectiveness Of
Individualised Learning In Computer Study Package In The Learning Of Some Secondary
School Matrics. Kajian tersebut melibatkan 79 pelajar tingkatan 4 menunjukkan bahawa
pelajar yang mempunyai pencapaian cemerlang (Destiction Group) dari kumpulan
Individualised Learning With Computer (ILCOM), memperolehi skor yang lebih tinggi
dalam ujian pasca berbanding dengan pelajar yang mempunyai pencapaian yang
cemerlang dari kumpulan kawalan. Namun demikian, perbezaan skor tidaklah signifikan.
Manakala pelajar yang mempunyai pencapaian tidak cemerlang (Non-destinction
Group) dari kumpulan ILCOM memperolehi skor yang lebih tinggi dan signifikan dalam
ujian pos berbanding dengan pelajar yang mempunyai pencapaian tidak cemerlang dari
-
kumpulan kawalan. Dalam kajian ini, Chan merumuskan bahawa jika pelajar yang
mempunyai pencapaian tidak cemerlang diberi masa serta panduan, mereka berupaya
mencapai keputusan yang lebih baik dalam bidang matematik terutama dalam pelajaran
matrik. Pelajar juga boleh mempelajari matrik menggunakan komputer tanpa bantuan
guru.
Kajian berkaitan keberkesanan penggunaan BBM juga telah dijalankan oleh
Muhammad Azian (2000). Kajian beliau adalah mengenai persepsi pelajar terhadap
keberkesanan BBM dalam pengajaran sains dan telah merumuskan bahawa pelajar-
pelajar mempunyai persepsi positif dan baik terhadap keberkesanaan penggunaan BBM
dalam pengajaran sains. Dari dimensi minat, kaedah penggunaan BBM yang pelbagai
dalam pengajaran dapat menarik minat pelajar terutama apabila BBM yang bewarna-
warni digunakan. Manakala dari dimensi kemahiran, penggunaan BBM dalam pengajaran
sains dapat memberi idea kepada pelajar supaya menjadi lebih kreatif dan berfikir secara
sistematik. Dari dimensi tingkah laku pula, hasil kajian menunjukkan BBM dapat
menggalakkan pelajar untuk belajar. Dimensi kognitif pula menunjukkan BBM dapat
membantu pelajar-pelajar mengambarkan konsep pembelajaran yang ingin disampaikan
oleh guru dengan jelas, memahami asas dan butir penting dalam pembelajaran serta
pelajar lebih mudah memahami isi kandungan pelajaran.
Jawatankuasa Penyelidik Unit Teknologi Maklumat Maktab Perguruan
Temenggung Ibrahim (1997) telah menjalankan kajian untuk mengenal pasti faktor-faktor
yang mengekang penggunaan media elektronik dalam pengajaran di kalangan guru-guru
-
pelatih Maktab Perguruan Temenggung Ibrahim (MPTI). Hasil kajian telah menunjukkan
bahawa faktor-faktor tersebut adalah sikap dan minat guru pelatih yang tidak
menggalakkan, kekurangan kemudahan fizikal, kekurangan koleksi sumber media,
kurangnya pendedahan dan kemahiran dalam bidang media elektronik, kemahiran
pengurusan pusat sumber sekolah, beban tugas serta kurangnya bimbingan dan
penyeliaan.
2.2 Kajian Luar Negara
Selain daripada kajian-kajian yang telah dijalankan di Malaysia, terdapat juga banyak lagi
kajian yang dijalankan di luar negara tentang pengguaan bahan bantu mengajar atau
teknologi pendidikan dalam meninjau dan melihat sejauh manakah keberkesanan seorang
guru itu menggunakan BBM dalam pengajarannya dan seterusnya membantu dalam
pembelajaran pelajar. Berikut adalah beberapa ringkasan kajian yang telah dijalankan.
Ramai pengkaji luar negara telah membuktikan bahawa penggunaan BBM dalam
pengajaran dan pembelajaran guru membantu pemahaman pelajar. Sabdani (1990) telah
menjalankan kajian di Hempstead pada tahun 1973 melalui eksperimen mengenai
pengaruh media ke atas ingatan dan sikap murid-murid dalam pengalaman
pembelajarannya. Dalam kajian beliau 5 persembahan media telah dikaji secara
eksperimental iaitu cetakan, suara latar, cetakan gambar, cetakan dengan suara latar
belakang dan gambar dengan suara latar belakang. Tiga ujian telah dijalankan untuk
mendapatkan maklum balas daripada 320 orang pelajar. Hasil kajian menunjukkan murid
-
lebih cenderung menggunakan cetakan atau gambar dengan suara latar belakang. Ingatan
dan sikap pelajar terhadap pengalaman pembelajarannya didapati paling memuaskan
menggunakan gambar dan suara latar belakang. Ini jelas menunjukkan bahawa
penggunaan BBM diikuti dengan penerangan guru bukan sahaja memudahkan pelajar
memahami konsep yang ingin disampaikan tetapi memberi ingatan yang lama kepada
pelajar.
William (1996) telah menjalankan kajian mengenai pengajaran menggunakan
BBM dan pengajaran menggunakan ringkasan daripada buku teks sains. Dalam kajian
tersebut beliau mendapati bahawa pelajar yang didedahkan dengan kaedah pengajaran
berbantukan media lebih mudah memahami sesuatu pembelajaran serta mereka
mempunyai daya ingatan yang lebih lama berbanding dengan pelajar yang menggunakan
buku teks semata-mata.
Ahli-ahli psikologi dan para pendidik bersetuju bahawa pembelajaran yang
menggunakan deria adalah asas kepada semua jenis pembelajaran. Pada peringkat awal
pembelajaran, tingkah laku kanak-kanak bergantung kepada kebolehan memerhati dan
membuat interprestasi berkenaan alam persekitarannya. Kanak-kanak menganggap apa
yang ada di sekeliling itu adalah dunia sebenar. Van Eugen (1953, dalam Lim Chap Sam,
2003, m.s.3) menegaskan, Respon kepada dunia objek-objek konkrit adalah asas kepada
timbulnya struktur idea abstrak. Respon dilakukan, diaturkan semula dan diintegrasikan
supaya ia menjadi lebih berguna, dan lebih berkuasa daripada respon asal.
-
Justifikasi berkenaan kepentingan bahan bantu mengajar (BBM) matematik
seperti bahan manipulatif dibuat oleh tokoh-tokoh psikologi pembelajaran seperti Zoltan
Dienes (1960) dan Jerome Bruner seawal tahun 60-an lagi. Pada peringkat awal
perkembangan kognitif, kanak-kanak perlu beberapa mod persembahan yang berbeza
bagi membolehkan mereka membuat takrif ke atas persembahan melalui deria mereka.
Misalnya melalui pengalaman enaktif atau manipulatif, diikuti dengan pengalaman ikonik
atau perlambangan dan seterusnya pengenalan kepada simbol-simbol yang semakin
abstrak (Bruner, 1960, dalam Lim Chap Sam, 2003, m.s.3). Enaktif merujuk bahan-bahan
konkrit sebenar yang dapat dipegang, dialih ataupun disusun secara fizikal oleh pelajar.
Ikonik pula merujuk kepada perlambangan bagi mewakili bahan sebenar seperti yang
dinyatakan oleh Noor Shah Saad (2002, m.s.8) mengikut perkembangan kognitif yang
dinyatakan oleh Jerome Bruner.
Kajian-kajian yang dijalankan oleh Baroody (1987, dalam Lim Chap Sam, 2003,
m.s.4) dan Ginsburg (1997, dalam Lim Chap Sam, 2003, m.s.4) ke atas kanak-kanak
menunjukkan, bagi menggalakkan pembelajaran yang bermakna kepada pelajar,
pengajaran matematik perlu dimulakan dengan pengalaman-pengalaman belajar yang
melibatkan objek sebenar. Didapati pengalaman dan aktiviti belajar menggunakan BBM
dapat membantu kanak-kanak menguasai konsep matematik dengan lebih mantap. Salah
konsep atau misconception dalam matematik sering berlaku apabila pelajar tidak
menguasai konsep-konsep asas matematik yang kukuh. Oleh itu, penggunaan BBM bukan
sahaja memperkukuhkan penguasaan pelajar berkaitan konsep asas, tetapi ia juga
memberikan suasana pembelajaran yang seronok dan bermakna kepada pelajar. Secara
-
tidak langsung, penggunaan BBM dapat membina dorongan intrinsik pelajar yang sangat
diperlukan dalam proses membina ilmu.(Lim Chap Sam, 2003, m.s.4)
Kajian berkaitan penggunaan warna di dalam penyediaan BBM telah dijalankan
oleh Barry (1976). Menurut Sabdani (1990), Barry telah mengkaji tentang keberkesanan
arahan dan gambar berwarna yang realistik dan bukan realistik. Dalam kajian ini, beliau
telah menguji dua teori yang berlainan tentang kepentingan warna dalam pembelajaran
dengan alat pandangan. Beliau berpendapat, warna memberi suatu dimensi untuk
pemahaman yang lebih, di mana pelajar mendapat suatu gambaran yang lebih tepat akan
suatu bahan atau perkara dan menyenangkan bagi penyimpanan maklumat. Manakala
fungsi warna pula adalah sebagai kod yang menyenangkan ingatan dan mengingat
kembali sesuatu imej. Di dalam kajian beliau ini, beliau telah membandingkan skor ujian
pencapaian dengan IQ pelajar dan mendapati :
2.2.1 Pelajar IQ rendah memperolehi pencapaian teruk bila tidak menggunakan alat
pandangan langsung atau berwarna yang tidak realistik (tidak bergambar).
2.2.2 Gambar hitam putih mengurangkan perbezaan pencapaian di antara kumpulan IQ.
2.2.3 Gambar berwarna yang tidak realistik hanya menambahkan pembelajaran kepada
murid dengan IQ tinggi.
Barry (1986) juga telah menjalankan kajian dan mendapati bahawa penggunaan
televisyen, video dan radio dapat meningkatkan pemahaman pelajar terhadap tajuk
pelajaran yang dikaji. Walau bagaimanapun beliau menegaskan bahawa media tersebut
-
bukanlah pengganti kepada guru secara keseluruhannya tetapi ia hanya merupakan alat
untuk memudahkan murid memahami sesuatu tajuk yang diajar.
Useng Awae (1995) telah menjalankan kajian mengenai tahap penggunaan
teknologi pendidikan di kalangan guru-guru sekolah menengah kerajaan di kawasan
pendidikan II di Thailand. Beliau mendapati bahawa tahap penggunaan teknologi
pendidikan di kalangan guru-guru sekolah yang dikaji memang kurang memuaskan.
2.3 Rumusan
Hasil daripada tinjaun literatur yang telah dinyatakan di atas, didapati pendekatan proses
pengajaran dan pembelajaran menggunakan bahan bantu mengajar (BBM) matematik
mempunyai korelasi yang positif terhadap pencapaian penggunaan BBM. Para penyelidik
rata-rata menyatakan bahawa penggunaan BBM matematik yang baik dapat menarik
perhatian pelajar terhadap subjek yang dipelajari. Oleh itu, tidak hairanlah BBM
matematik penting dalam meningkatkan lagi pemahaman dan pencapaian para pelajar.
Banyak kajian (misalnya, Hatfield, 1994; Fiedler, 1989; Sowell, 1989) menunjukkan
penggunaan bahan bantu mengajar yang sesuai dapat menjadikan pengajaran dan
pembelajaran matematik lebih berkesan. ( Lim Chap Sam, 2003, m.s.1)
Secara keseluruhannya, berdasarkan pengetahuan saya yang agak terhad dan
berdasarkan kajian literatur boleh dirumuskan bahawa penggunaan bahan bantu mengajar
(BBM) adalah penting dan ia bukanlah merupakan sesuatu yang tersisih daripada proses
-
pengajaran dan pembelajaran. Seharusnya BBM merupakan suatu bahagian yang tidak
boleh dipisahkan dengan proses pengajaran dan pembelajaran matematik. BBM ini
bertujuan untuk menambahkan kelancaran proses pengajaran dan pembelajaran antara
guru kepada pelajar dan pelajar kepada guru. BBM juga membantu proses pembelajaran
antara sesama pelajar dengan lebih berkesan. Antara guru dan bahan bantu mengajar, ia
saling lengkap-melengkapi.
-
BAB 3
METODOLOGI
Bab ini memberi gambaran yang jelas tentang proses penyelidikan. Bab ini juga
membincangkan kaedah yang dijalankan dalam mendapatkan maklumat kajian ini.
Aspek-aspek penting diterangkan di dalam metodologi ini adalah termasuklah reka
bentuk kajian, partisipan kajian, instrumen kajian, prosedur kajian dan juga cara analisis
data. Kaedah kajian adalah sepenuhnya menggunakan kaedah temu bual.
3.1 Reka Bentuk Kajian
Kajian yang dijalankan adalah berbentuk kualitatif. Data dianalisis secara kualitatif. Kami
memilih membuat penyelidikan secara kualitatif iaitu dengan cara menemu bual
partisipan dan membuat pemerhatian di lokasi. Kaedah ini dipilih kerana untuk
menyelami dengan lebih mendalam berbanding dengan kaedah kuantitatif yang agak
terhad dari segi memberi pendapat dan pandangan. Kaedah ini juga dipilih kerana kami
-
ingin melihat sendiri tingkah laku guru serta pelajar dan melihat pandangan guru yang
telah mempunyai pengalaman.
Setiap temu bual dengan pelajar dan juga guru matematik dirakam terlebih dahulu.
Selepas itu semua pita rakaman didengar oleh kami dan kami menulis setiap patah
perkataan yang dinyatakan dalam sesi temu bual. Hasil data dikaji mengikut persoalan
kajian. Setiap persoalan dinilai dan dibuat perbandingan. Kami juga melihat keselarian di
antara pernyataan yang diberikan oleh guru dengan pernyataan yang diberikan oleh
pelajar. Akhir sekali, kami membuat perbandingan dengan kalian-kajian dan pendapat
golongan ilmiah yang menyatakan kelebihan dan kebaikan apabila menggunakan bahan
bantu mengajar (BBM) matematik semasa proses pengajaran dan pembelajaran
dijalankan.
Secara keseluruhannya, maklumat yang diperolehi untuk membuat dapatan kajian
bergantung kepada hasil daripada sesi temu bual dengan semua partisipan dan disokong
oleh pendapat-pendapat penyelidik yang terdahulu.
3.2 Partisipan Kajian
Pemilihan partisipan adalah berdasarkan beberapa kriteria tertentu. Contohnya kami amat
memerlukan partisipan yang sanggup bekerjasama. Jadi, pemilihan partisipan tidak
dipilih secara rawak. Bagi mengelakkan hubungan yang tidak membantu, kami memilih
guru dan pelajar yang sanggup memberi kerjasama kepada kami bagi memudahkan kajian
-
ini. Tumpuan kami adalah kepada guru dan pelajar yang benar-benar ingin memberi
kerjasama kepada kami dalam melaksanakan temu ramah dan memberi gambaran situasi
sebenar di sekolah. Guru yang bersedia berkongsi pengalaman adalah kriteria yang kami
kehendaki. Kami juga meminta bantuan guru untuk mendapatkan partisipan dari kalangan
pelajar yang mana partisipan yang dikehendaki oleh kami adalah daripada kalangan
pelajar yang peramah dan suka memberi pandangan secara serius dan spontan sahaja.
Kami juga memilih pelajar tingkatan 2 kerana mereka telah berpengalaman dalam
program English Teaching Mathematics and Science (ETeMS) yang paling ditekankan
sekarang ini di sekolah-sekolah.
3.3 Instrumen Kajian
Kami sendiri yang menjadi instrumen kajian. Kami bergaul dan berinteraksi untuk
menimbulkan kemesraan bagi memudahkan kerja-kerja di lapangan. Kajian ini amat
mementingkan konteks. Kami memerhati guru mengajar sebanyak dua kali pada hari
yang berbeza. Setiap perlakuan guru dan pelajar yang berbentuk dapatan, kami membuat
catatan. Kemudian, pada hari ketiga, rakaman temu bual dibuat. Rakaman dibuat pada
hari ketiga kerana kami mahu wujud keserasian terlebih dahulu antara kami dan juga
partisipan. Situasi ini wujud selepas kami berbual-bual tanpa rakaman terlebih dahulu
selama 2 hari. Kami juga meminta izin mencatat percakapan dan memerhati sesi
pengajaran guru di dalam kelas serta mengambil gambar bahan bantu mengajar (BBM)
yang digunakan ketika sesi pengajaran sedang berlaku. Kami juga fokus kepada makna
dalam percakapan atau perlakuan partisipan. Sebahagian daripada reka bentuk kajian
-
kami terbentuk di lapangan iaitu semasa sesi temu bual atau semasa pemerhatian
berdasarkan keadaan di lapangan. Kami, sebagai penyelidik yang berada dalam situasi
yang dikaji dan semua soalan adalah daripada fikiran kami sama ada dirancang atau
secara spontan.
Di dalam kajian kami ini, kami mementingkan confidentiality iaitu data tidak akan
dikongsi dengan sesiapa pun, begitu juga anonymity iaitu semua identiti partisipan akan
dirahsiakan. Di dalam kajian ini, perlu ada kebolehpercayaan, kami cuba melakukan
triangulasi iaitu untuk mendapatkan kebolehpercayaan, kami bertanya pada partisipan
yang sama dengan soalan yang sama pada waktu berbeza. Sekiranya masih mendapat
jawapan yang sama, di situ ada kebolehpercayaan.
3.4 Prosedur Kajian
Sebelum menjalankan kajian kami terlebih dahulu perlu meminta kebenaran daripada
Kementerian Pendidikan Malaysia. Prosesnya akan bermula setelah mendapat kelulusan
daripada Kementerian Pendidikan Malaysia. Kemudian disusuli pula permohonan untuk
menjalankan kajian kepada Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kelantan. Berdasarkan surat
permohonan, kami memohon sebanyak dua buah sekolah iaitu Sekolah Menengah
Kebangsaan Tanah Merah (1), Tanah Merah, Kelantan dan Sekolah Menengah
Kebangsaan Dato Mahmud Paduka Raja, Tanah Merah, Kelantan. Selepas itu, kami ke
Sekolah Menengah Kebangsaan Tanah Merah (1), Tanah Merah, Kelantan untuk meminta
izin daripada pengetua sekolah dengan sokongan surat kebenaran menjalankan kajian
-
daripada pihak Kementerian Pendidikan Malaysia dan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN)
Kelantan. Permohonan dibuat pada banyak sekolah bagi memudahkan kami sendiri
kerana kami memilih sekolah yang diberi status sekolah cemerlang dari segi akademik
dan Sekolah Harapan Negara. Salah satu faktor kami memohon banyak sekolah daripada
Kementerian Pendidikan Malaysia kerana sekolah tersebut berada pada lokasi yang
berdekatan dengan tempat tinggal kami sendiri. Walau bagaimanapun, kedua-dua buah
sekolah kami kunjungi untuk menjalankan kajian. Pilihan kami adalah berdasarkan
kriteria yang dikehendaki seperti mendapat kerjasama sepenuhnya daripada partisipan.
Partisipan kajian yang dipilih bagi guru hanya 3 orang. Begitu juga dengan
partisipan pelajar hanya 3 orang yang dipilih. Ini kerana banyak kekangan dari segi masa
dan faktor kerjasama daripada partisipan sendiri. Partisipan juga mempunyai
tanggungjawab mereka sendiri terhadap kerjaya serta pengajaran dan pembelajaran.
Semua kaedah yang digunakan adalah berlandaskan temu ramah dan pemerhatian sahaja
terhadap semua partisipan. Setiap persoalan dinilai dan dibuat perbandingan bersesuaian
dengan matlamat asal kami iaitu membuat kajian tentang faktor pendorong penggunaan
bahan bantu mengajar (BBM) matematik semasa proses pengajaran dan pembelajaran,
faktor penyebab kurangnya penggunaan BBM semasa proses pengajaran dan
pembelajaran matematik. Selain itu, kami dapati kesan negatif jika BBM diabaikan dan
juga permasalahan yang timbul dalam penggunaan BBM.
Kami mendapatkan maklumat daripada partisipan berkaitan faktor-faktor
pendorong kepada penggunaan dan faktor mengapa bahan bantu mengajar matematik
-
kurang digunakan semasa proses pengajaran dan pembelajaran serta masalah yang
berkaitan dengan bahan bantu mengajar. Ianya bertujuan untuk mendapatkan maklumat
bersangkutan dan mengetahui pandangan semua partisipan dengan cara sesi temu bual.
Sesi temu bual ini memberi peluang kepada guru dan juga pelajar untuk memberi maklum
balas serta pandangan mereka tentang kesan penggunaan bahan bantu mengajar
matematik dalam proses pengajaran dan pembelajaran secara terperinci. Dengan ini, kami
membuat perbandingan sejauh manakah kesan penggunaan BBM semasa proses
pengajaran dan pembelajaran matematik kepada pelajar dan relevannya dengan teori-teori
penyelidikan terdahulu.
3.5 Analisis Data
Maklumat kajian yang diperolehi daripada partisipan dianalisis secara pendekatan
pemahaman daripada sesi temu bual dan pemerhatian kami sendiri ketika kerja-kerja
dibuat di lapangan. Kami menganalisis setiap apa yang dikatakan oleh partisipan tanpa
bias kepada mana-mana pihak. Setiap soalan yang kami kemukakan adalah berturutan
bagi setiap partisipan sama ada soalan untuk guru ataupun soalan untuk pelajar. Setelah
semua kata-kata dirakam, kami perlu mencatatkan setiap kata yang dinyatakan tanpa
mengubah skrip asal daripada apa yang dicakap dan membuat perbandingan mengenai
persoalan kajian bagi setiap orang partisipan sama ada guru atau pelajar. Semua
maklumat dan penyataan daripada partisipan disusun sebaik mungkin supaya dapat dibuat
perbandingan dan penilaian berpandukan maklumat dan pandangan-pandangan
penyelidik terdahulu.
-
BAB 4
DAPATAN KAJIAN
Bab ini menerangkan dapatan daripada temu bual yang ditulis dalam bentuk skrip. Skrip
dibahagikan mengikut kategori atau faktor yang diperolehi daripada dapatan kajian
mengikut objektif awal dan matlamat sebenar kajian ini dijalankan. Analisis dan rumusan
kajian dibuat berdasarkan kategori tersebut. Tidak semua skrip dimasukkan dalam
rumusan kerana ia bergantung kepada kesesuaian dengan faktor yang dikaji. Di antara
keistimewaan kaedah temu bual ialah jawapan yang didapati tidak diduga dan penjelasan
mengenai persoalan kajian yang lebih terperinci. Kajian ini berjaya mengesahkan
hipotesis kami tentang faktor-faktor yang menyokong dan menyekat penggunaan bahan
bantu mengajar dalam proses pengajaran dan pembelajaran matematik. Kami juga dapati
wujud masalah kepada guru-guru dalam penggunaan bahan bantu mengajar dalam proses
pengajaran dan pembelajaran matematik.
-
4.1 Faktor Pendorong Penggunaan Bahan Bantu Mengajar
Daripada kajian ini, didapati 6 faktor yang menyokong penggunaan bahan bantu mengajar
di dalam proses pengajaran dan pembelajaran matematik. Faktor-faktor tersebut ialah
bahan bantu mengajar boleh menjadikan pembelajaran matematik lebih menarik,
meningkatkan minat pelajar, meningkatkan pemahaman pelajar, membantu proses
pengajaran, tetapi ia memerlukan guru yang bijak memainkan peranan. Bahan bantu
mengajar juga merupakan pelengkap dalam proses pengajaran. Bak kata pepatah tanpa
irama, pincanglah lagu maka tanpa bahan bantu mengajar, pincanglah guru. Semua
faktor-faktor tersebut dibahagikan kepada 3 kategori utama iaitu faktor bahan, faktor guru
dan faktor pelajar.
4.1.1 Faktor Bahan
Faktor bahan terdiri daripada tiga faktor iaitu faktor pembelajaran menarik, faktor
membantu proses pengajaran dan faktor pelengkap.
4.1.1.1 Pembelajaran Menarik
Cikgu Intan Shafinaz dari Sekolah Menengah Kebangsaan Tanah Merah (1) menyatakan
bahan bantu mengajar boleh dijadikan umpan untuk menarik perhatian pelajar
terutamanya pelajar yang lemah :
Ermm..seperti yang saya sebutkan tadi, terutama bagi pelajar yang lemah dan tidak menyukai subjek matematik, bahan bantu mengajar boleh dijadikan umpan untuk menarik perhatian dan cuba menawan hati pelajar. Contohnya macam topik kebarangkalian misalnya. Bagi pelajar yang
-
lemah, bila kita bermain dengan sesuatu yang berwarna-warni, mereka akan lebih tertarik. Contohnya kita guna butang-butang berwarna, coklat, sweet, kita cabut daripada kotak. Siapa yang dapat betul...haaa...kita bagi sagu hati contohnya coklat... dia enjoy.(CISF1.1.1)
Penyataan cikgu Intan Shafinaz disokong oleh pelajarnya dari tingkatan 4 iaitu
Mohammad Hafiz telah menyatakan bahan bantu mengajar matematik dapat menarik
perhatian pelajar :
Saya sangat bersetuju kerana kebanyakan transparensi-transparensi yang digunakan dalam bahan bantu mengajar matematik ini kebanyakan berwarna dan banyak peta minda. Dan seterusnya ianya dapat menarik perhatian pelajar untuk terus belajar dengan lebih gigih.(PMHF1.1.1)
Seorang lagi pelajar tingkatan 2 dari Sekolah Menengah Kebangsaan Tanah Merah (1)
iaitu Noor Suriya juga berkata penggunaan bahan bantu mengajar sangat menarik di
dalam dua penyataannya iaitu :
...ermm LCD pula sangat menarik kerana ia terdapat penggunaan Multimedia dan kartun animasi.(PNSF1.1.1.1) Penggunaan bahan bantu mengajar matematik adalah sangat penting dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Ia memberi rujukan, meningkatkan kualiti pengajaran dan ianya sangat menarik untuk dipelajari.(PNSF1.1.1.2)
4.1.1.2 Membantu Proses Pengajaran
Salah satu faktor lain yang menyokong penggunaan bahan bantu mengajar ialah ianya
dapat membantu proses pengajaran. Ia telah disahkan oleh penyataan dari cikgu Fook Tan
Cheong :
Errmm...ya saya setuju...[s]ebab sesetengah konsep tidak boleh digunakan dengan hanya menggunakan papan kapur dan kapur sahaja. Ia perlukan kepada gambar rajah dan sesetengah tu perlukan kepada
-
animasi. Jadi, dalam sesetengah tajuk kita memang perlulah... (CFTCF1.1.2)
Cikgu Intan Shafinaz juga menyatakan ianya membantu berdasarkan topik tertentu dan
lebih memudahkan proses pengajaran melalui tiga penyataan beliau :
...penggunaan alat bantu mengajar tu, kita biasanya berdasarkan kepada topik tertentu lah di atas keperluan mengajar bagi tahap pelajar yang berbeza kan. Contohnya macam tajuk pelan dan dongakan tu, biasanya pelajar harus melihat bentuk bongkah sebelum ia tafsir di atas pelan itu sendiri kan. Jadi kita yang tu molek la, eloklah kita guna bahan bantu mengajar...[b]iasanya saya menggunakan bongkah-bongkah kayu untuk pelan dan dongakan, alat-alat geometri dan kadang-kadang penggunaan papan koordinat terutamanya mengajar pelajar yang lemah. (CISF1.1.2.1) Saya rasa dalam pengajaran dan pembelajaran, lebih mudah apabila kita menggunakan bahan bantu mengajar. Contohnya untuk kelas cemerlang, kita banyak guna hand out sebagai bahan bantu mengajar, di mana koleksi-koleksi soalan yang tersusun mengikut arah tertentu akan dapat mencabar minda seseorang pelajar itu. So bila kita ada bahan bantu mengajar la. Hand out juga merupakan bahan bantu mengajar kan? So kita ada koleksi soalan. Fikiran pelajar itu akan tercabar la. Dia akan semakin cuba soalan yang lebih susah, tak faham dia akan berpandu pada kita.(CISF1.1.2.2) ...bagi sayalah penggunaan LCD tu, errmm...sangat membantu pelajar untuk menerima pembelajaran matematik dalam bahasa Inggeris ye... dengan adanya bahan bantu mengajar tidak dapat kita nafikan memang ia akan lebih membantu pelajaran.(CISF1.1.2.3)
Cikgu Ibrahim Awang juga menyatakan dengan adanya bahan bantu mengajar lebih
menyenangkan proses pengajaran dan pembelajaran melalui dua penyataan beliau iaitu :
Sebenarnya kalau kita guna bahan bantu mengajar ni, lebih senang mengajar sebab kita mengajar pun lebih cepat. Lebih cepat, lepas tu masa program EteMS ni kan jadi kita pun boleh. Kebanyakan cikgu pun tidak boleh bercakap bahasa Inggeris dengan baik kan. Jadi kalau kita buat persediaan dah dengan bahan bantu mengajar ni, jadi kita penggunaan bahasa Inggeris lebih baik daripada tidak menggunakan bahan bantu mengajar. Jadi, maknanya menyenangkan lah pengajaran kita tu.(CIAF1.1.2.1)
-
Kesan dia tadi, kita dah dapat siapkan perkara yang ingin disebut tu kan, jadi kita boleh sebut dengan betul la perkataan-perkataan dalam bahasa Inggeris, lepas tu susunan ayat dia, grammar dia, sebab kita dah buat persediaan kan. Jadi, sesetengah cikgu tu sebenarnya bila dia buat persediaan macam tu, sebenarnya bila dia sebut tu bukan percakapan dia tetapi memang dia dah baca di skrin tu kan sebab panduan telah ada. Jadi kalau kita tengok dari luar kelas, menunjukkan cikgu tu boleh bercakap bahasa Inggeris. Tetapi cikgu tu dia guna bahan bantu mengajar tu untuk bercakap bahasa Inggeris.(CIAF1.1.2.2)
4.1.1.3 Pelengkap
Cikgu Intan Shafinaz menegaskan bahawa bahan bantu mengajar ini merupakan
pelengkap iaitu tentunya tidak sempurna pengajaran matematik tanpa bahan bantu
mengajar :
Penting. Tak boleh kita nak elakkan terus. Tidak boleh kita nak tiadakan tu tak boleh la. Seperti mana pentingnya perasa dalam makanan. Kurang gula, kurang garam, tentunya tidak sempurna makanan itu, untuk menambahkan....err... secukup rasa... hhhmm...dalam kelas(CISF1.1.3)
4.1.2 Faktor Pelajar
Faktor pelajar terdiri daripada faktor pelajar lebih berminat dan faktor pemahaman
pelajar.
-
4.1.2.1 Pelajar Lebih Berminat
Cikgu Fook Tan Cheong dari Sekolah Menengah Dato Mahmud Paduka Raja pula
menyatakan pelajar lebih berminat apabila beliau menggunakan bahan bantu mengajar di
dalam dua penyataan berikut :
Err...ini pun sukar hendak dikatakan sebab bagi kelas yang advance, yang laju, ya...mereka lebih minat...(CFTCF1.2.1.1) ...selama setahun setengah, impaknya memang ada, impaknya ada, di mana saya dapati para pelajar pun agak berminat apabila saya menggunakan bahan bantu mengajar ini tetapi sebagaimana yang saya katakan tadi, kita tidak boleh bergantung 100 peratus. Jadi, impaknya saya bagi contoh di mana ada bahagian-bahagian di mana murid boleh berinteraksi dengan perisian yang diberikan. Saya lihat minat mereka memang menggalakkan. Mereka begitu so eager...so eager to try.(CFTC1.2.1.2)
Cikgu Intan Shafinaz pula turut menyokong melalui dua penyataan beliau iaitu :
...kerana mata pelajaran ini perlu menarik minat, kita perlu menarik minat pelajar itu supaya ia mudah menerima mata pelajaran matematik ini terutamanya di kalangan pelajar lemah, dia tidak suka angka ni, so kita kena cuba tarik minat supaya dia suka, jadi dia akan beri lebih penumpuan dalam pembelajaran.(CISF1.2.1.1) ...memang mereka lebih berminat sebab ianya ada satu kelainan yang berbeza dari biasa...(CISF1.2.1.2.)
Ia juga turut disokong oleh cikgu Ibrahim Awang yang mengajar pelajar tingkatan 2 di
Sekolah Menengah Kebangsaan Tanah Merah (1) melalui penyataan beliau:
Memang lah pelajar tu berminat dengan bahan bantu mengajar ni, sebab dia boleh tengok secara nyata. Jelas di papan skrin tu kan, jadi dia nak salin ke, dia nak tulis ke, jadi dia boleh tulis lah(CIAF1.2.1)
Noor Suriya, pelajar tingkatan 2 juga turut menyatakan bahan bantu mengajar
terutamanya LCD menimbulkan perasaan sentiasa ingin tahu melalui penyataan beliau :
-
Saya rasa seronok dalam pembelajaran dan pengajaran matematik terutamanya penggunaan LCD. Ia merupakan suatu pembaharuan di dalam bidang akademik. Setiap kali saya belajar melalui LCD, saya sentiasa ingin tahu apa yang menarik melalui proses pengajaran itu. Ia juga memberi kelainan dan satu perbezaan antara sekolah menengah dan sekolah rendah. Dulu, saya tak ada belajar menggunakan LCD dan laptop. Selain itu, ia merupakan satu cabaran besar kerana berbanding tahun-tahun yang lepas, mana ada belajar matematik guna bahasa Inggeris, pastu tak ada guna LCD dan komputer. Dulu, belajar matematik dan sains guna bahasa Melayu. Tetapi kali ini, ianya sesuatu yang sangat berteknologi tinggi untuk memberi pengetahuan yang lebih kepada pelajar kerana penggunaan bahasa Inggeris bagi saya ianya agak mencabar. Penggunaan bahasa Inggeris melalui bahan bantu mengajar matematik banyak mempengaruhi peningkatan saya di dalam bahasa Inggeris sendiri. Malah saya makin kuat berusaha dalam subjek matematik demi untuk kecemerlangan saya sendiri.(PNSF1.2.1)
4.1.2.2 Pemahaman Pelajar
Pemahaman pelajar adalah merupakan salah satu faktor yang menyokong kepentingan
bahan bantu mengajar dalam proses pengajaran dan pembelajaran matematik. Seperti
yang dikatakan oleh cikgu Ibrahim Awang dalam tiga penyataan beliau iaitu :
Memanglah kalau kita guna BBM lebih menarik dan lebih bermakna kerana murid-murid kita ooorrr... mudahlah faham... [m]urid-murid mudah fahamlah. Macam kita buat gambar rajah, kita tidak boleh nak ulas dengan secara perkataan. Dengan gambar rajah kita keno (kena) lukis kadang-kadang kita lukis di papan tulis dalam kelas tu. Gambar rajah tu tak betul, jadi kita guno (guna) bahan bantu mengajar, memang dio (dia) siap doh (dah) buat betul-betul lukisan dio (dia) punya drawing dia tu, jadi budok (budak) boleh faham lah pasal gambar rajah dia tu betul.(CIAF1.2.2.1)
Kepentingan dia ni, kepentingan penggunaan bahan bantu mengajar dih (kan)...meme (memang) la, meme (memang) bendo (benda) ni penting,pasal dio (dia) buleh (boleh) membawa kepada kefahaman budok (budak) tu lebih tinggi la, jadi tak boleh nak menafikan lah, meme (memang) penggunaan dio (dia) tu penting. (CIAF1.2.2.2) Kalau kita tengok penerimaan murid ni, memang dia boleh terima la sebab dia mudah faham.(CIAF1.2.2.3)
-
Mohammad Hafiz iaitu pelajar tingkatan 4 dari Sekolah Menengah Tanah Merah (1) juga
turut menyokong bahawa bahan bantu mengajar dapat meningkatkan tahap pemahaman
pelajar melalui penyataan beliau iaitu :
Pada pendapat saya alat bahan bantu mengajar matematik mungkin agak penting dalam proses pengajaran dan pembelajaran kerana ianya dapat meningkatkan tahap pemahaman seseorang pelajar kerana alat-alat yang digunakan adalah sangat menarik dan ianya dapat menarik perhatian pelajar untuk terus belajar.(PMHF1.2.2)
Ahmad Ikhwan iaitu pelajar tingkatan 2 dari sekolah yang sama juga menyokong bahawa
melalui penggunaan bahan bantu mengajar matematik, beliau lebih faham apa yang
diterangkan oleh guru di dalam dua penyataan berikut :
Dengan menggunakan bahan bantu mengajar matematik ini saya lebih faham apa yang diterangkan oleh guru seterusnya dapat menguasai mata pelajaran ini dengan lebih sempurna... Saya bersetuju jika pengajaran oleh guru menggunakan bahan bantu mengajar matematik kerana ia lebih mudah difahami kerana jika menggunakan bahan tersebut, kefahaman saya dapat ditingkatkan lagi dari semasa ke semasa.(PAIF1.2.2.1) Penggunaan bahan bantu mengajar matematik ini amat penting kerana kualiti kefahaman murid dapat ditingkatkan seterusnya dapat memberi kecemerlangan dalam mata pelajaran matematik.(PAIF1.2.2.2)
Noor Suriya juga pelajar tingkatan 2 berkata pengajaran oleh guru menggunakan bahan
bantu mengajar matematik lebih mudah difahami terhadap tajuk-tajuk yang kurang
difahami :
Saya bersetuju jika pengajaran oleh guru menggunakan bahan bantu mengajar ini lebih mudah difahami kerana kita boleh merujuk sesuatu melalui bahan-bahan ini seperti buku teks, LCD...ermm LCD pula sangat menarik kerana ia terdapat penggunaan Multimedia dan kartun animasi... Ianya membantu saya untuk menguasai mata pelajaran matematik dan memberi kefahaman kepada saya terhadap tajuk-tajuk yang kurang difahami. Saya yakin bahan bantu mengajar matematik dapat membantu saya untuk memperoleh keputusan yang lebih cemerlang. (PNSF1.2.2)
-
4.1.3 Faktor Guru
Peranan guru merupakan faktor penting yang menyokong penggunaan bahan bantu
mengajar matematik, di mana guru memainkan peranan memilih bahan yang sesuai dan
ianya adalah saling lengkap-melengkapi antara guru dan bahan bantu mengajar seperti
yang dikatakan oleh cikgu Fook Tan Cheong di dalam empat penyataan beliau iaitu:
Kepentingannya memang tidak boleh dinafikan, tetapi harus diingatkan bahawa kita tak boleh bergantung 100 peratus kepada bahan yang dibekalkan dan tidak semua bahan yang dibekalkan itu adalah sesuai. Jadi, cikgu mesti memainkan peranan memilih bahagian-bahagian ataupun topik ataupun subtopik yang sesuai. Jika cikgu dapat memainkan peranan itu memilih bahan yang sesuai, digabungkan dengan pengajaran cikgu menggunakan kapur dan papan tulis, maka kesannya memang baik...(CFTCF1.3.1) ...pemahaman murid dalam pengajaran dan pembelajaran ni, memang mereka boleh faham, memang mereka boleh faham, tetapi dengan syarat cikgu tu mesti memainkan peranan. Apabila kita menggunakan P&P yang dibekalkan oleh kementerian dalam bentuk CD dan sebagainya, cikgu perlu pause, memberhenti sekejap dan terang. Kita tidak boleh bergantung kepada penerangan yang ada dalam CD itu sahaja, sebab kalau kita bergantung kepada penerangan dalan CD sahaja, memang mereka tidak boleh faham. Jadi, apabila mereka menonton CD, kita perlu berhenti sekejap, kita cuba dapatkan feed back daripada mereka. Adakah mereka dapat faham atau tidak. Jika mereka tidak faham, kita perlu terangkan, jika mereka dapat faham, kita teruskan.(CFTCF1.3.2) ...dalam tajuk-tajuk tertentu memang dia membantu. Di mana kalau kita menggunakan perisian yang dihasilkan oleh Kementerian tu, lengkap dengan animasi dan sebagainya. Jadi, dalam sesetengah tajuk tu, memang pelajar lebih cepat faham tetapi kita tidak boleh bergantung 100 peratus kepada bahan bantu mengajar yang dibekalkan di mana cikgu juga perlu memainkan peranan. Jadi, pada pendapat saya, peranan cikgu dan bahan bantu mengajar ni saling lengkap melengkapi.(CFTCF1.3.3) Ermm...yang ini saya setuju 100 peratus kerana penggunaan bahan bantu mengajar ini, ya memang ia membantu meningkatkan pemahaman murid...guru-guru mesti bijak memilih bahagian-bahagian tertentu sahaja untuk digunakan, jangan nak digunakan semua.(CFTCF1.3.4)
-
4.2 Faktor Penyebab Kurangnya Penggunaan Bahan Bantu Mengajar
Terdapat 4 faktor utama yang menyebabkan guru-guru matematik kurang menggunakan
bahan bantu mengajar dalam proses pengajaran dan pembelajaran matematik. Faktor-
faktornya ialah faktor masa, faktor bahan, faktor guru dan faktor pelajar.
4.2.1 Faktor Masa
Salah satu faktor yang menjadi pemangkin kepada guru untuk tidak menggunakan bahan
bantu mengajar dalam proses pengajaran dan pembelajaran matematik ialah masa. Seperti
yang dikatakan oleh cikgu Fook Tan Cheong :
...jika bahan bantu mengajar yang kita rujuk itu kepada note book dan projector, maka satu faktor yang tidak mengggalakkan guru-guru menggunakannya adalah kerana untuk memasang peralatan tu mengambil masa yang lama... katakanlah cikgu tu pergi ke kelas untuk mengajar satu waktu sahaja, iaitu empat puluh minit, kita perlu mengambil kira jika dia hendak menggunakan peralatan tersebut. Pertama sekali dia perlu mendapatkan kunci dari makmal dan pergi ke Bilik ETeMS dapatkan peralatan tersebut, bawa ke kelas dan di kelas dia perlu lebih kurang tujuh minit hingga sepuluh minit untuk memasang sahaja... kalau satu masa tu, saya rasa lebih tiga puluh peratus masa tu dihabiskan untuk memasang dan menutup balik alat-alat itu. Jadi, faktor masa...yang paling penting ialah faktor masa.(CFTCF2.1)
Ia turut disokong oleh cikgu Intan Shafinaz. Beliau juga menyatakan faktor kekangan
masa dalam menyediakan bahan :
Saya rasa dari segi kesuntukan masa untuk menyediakan bahan. Kadang-kadang bahan bantu mengajar itu sendiri seperti bongkah-bongkah kayu saiznya agak kecil. So, kita kena pass around bahan tu, jadi ambil masa lah. Untuk guna di depan tu, pelajar tak berapa jelas nak tengok. Jadi, saya rasa tak sudah dengan kita kena sediakan sendiri, so ambil masa. (CISF2.1)
-
4.2.2 Faktor Bahan
Cikgu Fook Tan Cheong menyatakan ketidaksesuaian merupakan faktor yang
menyebabkan guru tidak menggunakan bahan bantu mengajar di dalam proses pengajaran
dan pembelajaran :
...dan kita tidak boleh menafikan bahawa tidak semua perisian yang dihasilkan itu sesuai dan berkesan untuk menerangkan konsep matematik kepada pelajar. Kadang-kadang dalam sesetengah kes, adalah lebih berkesan jika cikgu hanya menggunakan kapur dan papan tulis...(CFTC2.2)
Cikgu Ibrahim Awang juga menyatakan bahawa ada juga bahan-bahan yang disediakan
tidak sesuai, lalu cikgu terpaksa membuat sendiri :
Memang ada disediakan tapi bahan-bahan yang disediakan tu memang agak baik la tapi kadang-kadang tak sesuai gok (juga) untuk kelas yang kita ajar tu. Jadi, kita kena buat sendiri, dari segi bahasa dio (dia) terutama sekalinyo (sekali).(CIAF2.2.1)
Cikgu Ibrahim Awang juga menegaskan faktor pengendalian merupakan faktor
penghalang dalam menggunakan bahan bantu mengajar semasa mengajar matematik :
memang jarang pakai BBM...sebabnya cara pengendaliannya, kena bawa masuk kelas, dulu kena buat. Sekarang ada komputer, memang kita guna komputer. Kebanyakan kita kena buat sendiri projectionnya. (CIAF2.2.2)
4.2.3 Faktor Guru
Cikgu Fook Tan Cheong menyatakan guru tidak mahu bersusah payah dalam penyediaan
bahan, jadi demi memudahkan diri sendiri, cikgu tidak menggunakan bahan bantu
mengajar :
-
...memanglah kita senang mengajar tanpa sebarang alat bantu mengajar kerana pertama sekali, cikgu tidak perlu bersusah payah menyediakan peralatan tersebut. Pergi ke kelas hanya pegang kapur, cakap dan tulis. Itu memang senang bagi cikgu... Jadi, bagi saya cikgu, kalau senang memang tak payah gunalah alat bantu mengajar tu...(CFTC2.3)
Cikgu Ibrahim Awang pula menyatakan cikgu tidak menggunakan bahan bantu mengajar
kerana cikgu malas untuk menyediakannya :
Secara umum, dia barangkali malas nak buat...(CIAF2.3)
4.2.4 Faktor Pelajar
Cikgu Fook Tan Cheong menyatakan pelajar akan menunjukkan rasa tidak berminat
selepas mereka tidak dapat faham :
...bagi kelas yang agak perlahan, selepas dua tiga kali mereka menonton, dan mereka tidak dapat faham, mereka mula menunjukkan rasa tidak berminat.(CFTCF2.4)
Cikgu Intan Shafinaz pula menyatakan pelajar yang bijak akan berasa bosan dalam kelas:
tetapi kita perlu imbangkan antara tahap prestasi pelajar itu dengan penggunaan bahan bantu mengajar. Bagi pelajar yang bijak, kadang-kadang pengajaran yang terlalu bergantung pada bahan bantu mengajar di mana kita akan mengambil masa yang agak lama untuk selesaikan sesuatu topik itu akan mungkin menyebabkan dia bosan dalam kelas.(CISF2.4.1)
Cikgu Intan Shafinaz menegaskan bahawa pelajar yang cemerlang tidak memerlukan
sangat penggunaannya pada topik yang mudah :
Tetapi kalau untuk pelajar cemerlang ye, pelajar cemerlang memang kita try our best untuk habiskan silibus. So, kadang-kadang kita tak perlu sangat menggunakan bahan bantu mengajar untuk topik yang simple... aaa... so cara pendekatan jugak berbeza.(CISF2.4.2)
-
Mohammad Hafiz pula yang memang dipilih dari pelajar cemerlang berkata bahawa tiada
perbezaan dengan adanya bahan bantu mengajar :
Pada pendapat sayalah, pemahaman saya terhadap topik baru bagi proses pengajaran terhadap guru yang tidak menggunakan bahan bantu mengajar matematik ini mungkin agak serupa. (sama seperti biasa) (PMHF2.4)
4.3 Kesan Negatif Jika Mengabaikan Penggunaan Bahan Bantu Mengajar
Terdapat dua kesan negatif apabila bahan bantu mengajar diabaikan dalam proses
pengajaran dan pembelajaran matematik iaitu pemahaman pelajar akan berkurangan dan
juga penggunaan bahasa Inggeris akan menimbulkan masalah jika BBM diabaikan.
4.3.1 Pemahaman Berkurangan
Cikgu Fook Tan Cheong menyatakan bahawa sekiranya bahan bantu mengajar tidak
digunakan , pemahaman murid akan berkurangan ke satu tahap yang tidak memuaskan :
Masalah yang paling ketara sekali jika kita tidak gunakan bahan bantu mengajar, pemahaman murid akan berkurangan ke satu tahap yang tidak memuaskan lah. Itu masalahnya.(CFTCM3.1)
Noor Suriya pula berkata susah untuk memahami tanpa penggunaan bahan bantu
mengajar :
Saya kurang memahami terhadap perkara mengenai topik baru bagi proses pengajaran tanpa menggunakan bahan bantu mengajar matematik kerana kita tidak mempunyai rujukan yang banyak dan kita susah memahaminya tanpa apa-apa rujukan.(PNSM3.1)
-
Ahmad Ikhwan turut mengakui kebenaran kata-kata Noor Suriya apabila Ahmad Ikhwan
juga menyatakan beliau kurang faham jika guru tidak menggunakan bahan bantu
mengajar :
Pemahaman saya terhadap topik baru bagi proses pengajaran guru yang tidak menggunakan bahan bantu mengajar matematik ini akan lebih menurun kerana saya kurang faham jika tidak menggunakan bahan bantu mengajar matematik ini.(PAIM3.1)
4.3.2 Penggunaan Bahasa Inggeris
Cikgu Intan Shafinaz pula berkata masalah akan timbul sekiranya bahan bantu mengajar
tidak digunakan kerana bahasa Inggeris telah digunakan untuk tingkatan 1 hingga
tingkatan 3 :
Ok, ermm...bagi saya erm...contohnya untuk tingkatan 1 hingga 3, di mana bahasa Inggeris telah digunakan dalam pembelajaran matematik, tentunya masalah besar akan timbul tanpa bahan bantu mengajar ye.(CISM3.2)
Cikgu Ibrahim Awang menyatakan masalah penggunaan bahasa Inggeris di mana
kebanyakan cikgu juga tidak boleh bercakap bahasa Inggeris dengan baik :
Kebanyakan cikgu pun tidak boleh bercakap bahasa Inggeris dengan baik kan. Jadi kalau kita buat persediaan dah dengan bahan bantu mengajar ni, jadi kita penggunaan bahasa Inggeris lebih baik daripada tidak menggunakan bahan bantu mengajar.(CIAM3.2)
-
4.4 Masalah Yang Timbul Dalam Penggunaan Bahan Bantu Mengajar
Terdapat 3 masalah utama yang timbul dengan penggunaan bahan bantu mengajar iaitu
fokus belajar pelajar terpesong, permasalahan bahasa iaitu kurang faham bahasa Inggeris
dan lambat untuk menghabiskan sukatan pelajaran.
4.4.1 Fokus
Cikgu Fook Tan Cheong menyatakan satu kelemahan yang terdapat dalam perisian yang
disediakan ialah fokus pelajar terpesong kerana pelajar lebih menumpukan perhatian pada
watak-watak kartun dan animasi yang menarik :
...dan satu lagi kelemahan yang ada adalah...sesetengah pelajar apabila kita menggunakan perisian yang dihasilkan, yang dibekalkan oleh Kementerian Pendidikan, mereka lebih menumpukan perhatian mereka kepada watak-watak kartun yang ada dalam perisian itu. Dan mereka tidak begitu menumpukan perhatian kepada konsep matematik sebaliknya lebih kepada animasi kerana cantik, menarik. Fokus mereka telah terpesong, di mana mereka lebih fokus kepada gambar kartun daripada untuk belajar.(CFTCM4.1)
4.4.2 Bahasa
Cikgu Fook Tan Cheong menyatakan masalah bahasa bagi pelajar-pelajar di Kelantan,
dan masalah bersangkutan ialah sebutan percakapan yang laju oleh watak-watak kartun di
dalam CD juga menimbulkan masalah :
Dari segi bahasa, saya rasa bagi pelajar-pelajar di negeri Kelantan ye, perisian ini tidak begitu sesuai dari segi bahasa kerana mereka menganggap bahawa pelajar-pelajar ini oleh memahami istilah-istilah yang digunakan, kerana istilah-istilah yang digunakan dalam CD tu, saya perhatikan kebanyakannya adalah istilah yang mudah difahami. Tetapi mudah difahami mungkin bagi pelajar-pelajar di sebelah luar (luar
-
Kelantan). Tapi, bagi Kelantan apa yang rakan mereka, rakan-rakan di Kuala Lumpur dan Perak tu rasakan, bagi pelajar Kelantan mereka tidak faham. Dan bagi saya err...watak-watak yang ada dalam CD tu, bercakap agak laju. Yang ini tidak begitu sesuai untuk pelajar-pelajar di Kelantan khususnya daripada kelas-kelas yang agak lemah. Jadi, kalau boleh dari segi bahasa, mereka perlu kurangkan kelajuan. (CFTCM4.2)
Cikgu Ibrahim Awang pula berkata masalah bahasa merupakan masalah yang timbul
sejak adanya program ETeMS :
Pada masa sekarang program ETeMS ni kan, masalah dia, tu la masalah bahasa la...masalah nak buat diagram dia, lepas itu lambatlah nak habis silibus dia sebab cikgu tak boleh sebut. Jadi lambat habis.(CIAM4.2)
4.4.3 Sukatan
Cikgu Fook Tan Cheong menyatakan bahawa sekiranya guru-guru matematik
menggunakan bahan yang disediakan 100 peratus, maka sukatan pelajaran tidak dapat
dihabiskan :
...dari segi masa memang ia melambatkan. Jika guru betul-betul menggunakan bahan ini 100 peratus, maka saya tidak fikir sukatan pelajaran dapat dihabiskan. Apa yang saya cuba katakan dari awal tadi, guru-guru mesti bijak memilih bahagian-bahagian tertentu sahaja untuk digunakan, jangan nak digunakan semua.(CFTCM4.3)
Cikgu Intan Shafinaz juga berkata bahawa sekiranya guru tidak bertindak dengan bijak
dalam menguruskan bahan bantu mengajar boleh menyebabkan pelajar ketinggalan
sukatan pelajaran :
Tapi, guru perlulah bijak menguruskannya supaya pelajar tidak ketinggalan silibus sebab dia ada banyak kan dalam tu.(CISM4.3)
-
Cikgu Ibrahim Awang juga berpendapat sedemikian iaitu lambat untuk menghabiskan
sukatan pelajaran :
...masalah nak buat diagram dia, lepas itu lambatlah nak habis silibus dia sebab cikgu tak boleh sebut. Jadi lambat habis.(CIAM4.3)
-
BAB 5
PERBINCANGAN DAN KESIMPULAN
Sebagai penutup, bab ini membuat kesimpulan kajian yang dijalankan. Kami juga
membuat kesimpulan dan rumusan berdasarkan persoalan kajian. Bab ini didahulukan
dengan perbincangan mengenai dapatan kajian, kemudian diikuti dengan pengesahan
daripada kajian-kajian lepas dan akhir sekali kami juga membuat rumusan daripada
dapatan kajian ini dan pengesahan kajian-kajian lepas tersebut. Hasil daripada kajian dan
rumusan mendapati bahawa terdapat 6 faktor utama yang mendorong penggunaan bahan
bantu mengajar semasa proses pengajaran dan pembelajaran matematik yang telah
dikategorikan kepada faktor bahan, faktor pelajar dan faktor guru. Terdapat juga 4 faktor
penyebab kurangnya penggunaan bahan bantu mengajar dalam proses pengajaran dan
pembelajaran matematik iaitu faktor masa, faktor bahan, faktor guru dan faktor pelajar.
Selain daripada faktor-faktor tersebut, terdapat juga kesan negatif jika mengabaikan
penggunaan bahan bantu mengajar. Selain itu, terdapat 3 masalah yang timbul dalam
penggunaan bahan bantu mengajar.
-
5.1 Faktor-faktor Pendorong Penggunaan Bahan Bantu Mengajar
Terdapat 6 faktor utama yang menyokong kepentingan bahan bantu mengajar di dalam
proses pengajaran dan pembelajaran matematik iaitu bahan bantu mengajar boleh
menjadikan pembelajaran matematik lebih menarik dan dapat menarik perhatian, pelajar
juga lebih berminat, membantu proses pengajaran terutamanya bagi guru-guru,
meningkatkan pemahaman pelajar. Tetapi ia memerlukan guru yang bijak memainkan
peranan. Bahan bantu mengajar juga merupakan pelengkap dalam proses pengajaran. Bak
kata pepatah tanpa irama, pincanglah lagu, maka tanpa bahan bantu mengajar,
pincanglah guru.
Faktor utama yang membuktikan penggunaan bahan bantu mengajar amat penting
dalam proses pengajaran dan pembelajaran ialah faktor bahan di mana ianya dapat
menarik perhatian pelajar. Cikgu Intan Shafinaz iaitu guru yang telah mempunyai
pengalaman mengajar selama 13 tahun, beliau menyatakan bahan bantu mengajar boleh
dijadikan umpan untuk menarik perhatian pelajar terutamanya pelajar yang lemah.
Kenyataan cikgu Intan Shafinaz disokong oleh pelajarnya dari tingkatan 4 iaitu
Mohammad Hafiz juga menyatakan bahan bantu mengajar matematik dapat menarik
perhatian pelajar. Noor Suriya, pelajar tingkatan 2 juga berkata penggunaan bahan bantu
mengajar sangat menarik dan boleh meningkatkan kualiti pengajaran. Kajian yang
dilakukan oleh Sabdani Batang (1999) juga menunjukkan penggunaan BBM merupakan
satu cara unggul dalam menarik minat pelajar terhadap pengajaran guru. Berdasarkan
pernyataan dari dapatan kajian kami dan juga kajian oleh Sabdani Batang, terbuktilah
-
bahan bantu mengajar dapat mengesahkan kepentingannya dari segi menarik minat dan
perhatian pelajar terhadap pengajaran dan pembelajaran matematik.
Salah satu faktor bahan yang menyokong penggunaan bahan bantu mengajar ialah
ianya dapat membantu proses pengajaran. Ia telah disahkan oleh cikgu Fook Tan
Cheong yang menyatakan sesetengah konsep tidak boleh menggunakan papan kapur
dan kapur sahaja. Ia memerlukan kepada gambar rajah dan juga animasi. Cikgu Intan
Shafinaz juga berpendapat bahawa bahan bantu mengajar membantu dalam proses
pengajaran dan pembelajaran berdasarkan topik tertentu dan lebih memudahkan
proses pengajaran. Cikgu Ibrahim Awang juga menyatakan dengan adanya bahan
bantu mengajar lebih menyenangkan dan mempercepatkan proses pengajaran dan
pembelajaran. Ia turut membantu guru dalam penggunaan bahasa Inggeris termasuk
grammar dan susunan ayat. Haryani (1994) telah menjalankan kajian bertajuk
Penggunaan BBM Dalam Pengajaran Kemahiran Hidup Bersepadu (KHB). Hasil
kajian menunjukkan bahawa 65.5% daripada jumlah guru yang dikajinya menyatakan
bahawa penggunaan BBM sangat perlu dalam pengajaran dan pembelajaran kerana ia
dapat mengekalkan minat pelajar dan membantu proses pengajaran. Berdasarkan
dapatan kajian kami dan juga kajian yang telah dijalankan oleh Haryani, jelas
membuktikan bahan bantu mengajar membantu proses pengajaran dan pembelajaran.
Antara guru dan bahan bantu mengajar, ianya adalah saling lengkap-melengkapi
seperti yang telah dikatakan oleh cikgu Fook Tan Cheong. Manakala cikgu Intan
Shafinaz menegaskan bahawa bahan bantu mengajar ini merupakan pelengkap iaitu
-
tentunya tidak sempurna pengajaran matematik tanpa bahan bantu mengajar. Seperti
mana pentingnya perasa dalam makanan. Kurang gula, kurang garam, tentunya tidak
sempurna makanan itu.
Faktor kedua ialah faktor pelajar. Penggunaan bahan bantu mengajar semasa
pengajaran dan pembelajaran matematik menjadikan pelajar lebih berminat. Ini telah
disahkan oleh cikgu Fook Tan Cheong yang menyatakan pelajar lebih berminat apabila
beliau menggunakan bahan bantu mengajar. Minat pelajar memang menggalakkan
contohnya apabila pelajar boleh berinteraksi dengan perisian yang diberikan. Cikgu Intan
Shafinaz pula turut menyokong dengan menyatakan guru perlu menarik minat pelajar
melalui penggunaan bahan bantu mengajar, terutamanya pelajar yang lemah supaya
mudah menerima mata pelajaran matematik. Ia juga turut disokong oleh cikgu Ibrahim
Awang yang menyatakan memang pelajar lebih berminat dengan bahan bantu mengajar
kerana ia lebih jelas dan lebih nyata. Noor Suriya pula menyatakan bahan bantu mengajar
terutamanya LCD menimbulkan perasaan sentiasa ingin tahu dan penggunaan bahasa
Inggeris melalui bahan bantu mengajar matematik banyak mempengaruhi peningkatan
beliau di dalam bahasa Inggeris. Dapatan daripada kajian yang dijalankan oleh
Muhammad Azian (2000), beliau menyatakan daripada sudut dimensi minat, kaedah
penggunaan BBM yang pelbagai dalam pengajaran dapat menarik minat pelajar terutama
apabila BBM yang bewarna-warni digunakan. Manakala Murally (1988) dalam kajiannya
bertajuk Kesan Penggunaan BBM Terhadap Pencapaian Murid Tingkatan 4 Dalam Mata
Pelajaran Fizik di dua buah sekolah di daerah Hulu Langat mendapati pencapaian murid
adalah lebih baik apabila menggunakan BBM berbanding dengan cara biasa. Dari segi
-
minat, pelajar mempunyai minat yang tinggi terhadap mata pelajaran Fizik setelah diajar
dengan menggunakan BBM. Maka, daripada kajian yang kami jalankan ini, boleh
disimpulkan di sini, bahan bantu mengajar juga boleh menarik minat pelajar dalam
pengajaran matematik.
Selain menjadikan pelajar lebih berminat, penggunaan bahan bantu mengajar
semasa proses pengajaran dan pembelajaran matematik juga dapat meningkatkan
pemahaman pelajar. Pemahaman pelajar adalah merupakan salah satu faktor yang sangat
penting dalam pembelajaran matematik. Seperti yang dikatakan oleh cikgu Ibrahim
Awang iaitu bahan bantu mengajar memang penting kerana ianya dapat memberi
kefahaman pada tahap yang tinggi kepada pelajar dan pelajar mudah untuk menerimanya.
Mohammad Hafiz turut menyokong bahawa bahan bantu mengajar dapat meningkatkan
tahap pemahaman pelajar kerana bahan bantu mengajar adalah sangat menarik dan ianya
dapat menarik perhatian pelajar untuk terus belajar. Ahmad Ikhwan juga menyokong
bahawa melalui penggunaan bahan bantu mengajar matematik, beliau lebih faham apa
yang diterangkan oleh guru dan kefahaman beliau dapat ditingkatkan lagi dari semasa ke
semasa dan dapat menguasai mata pelajaran matematik dengan lebih sempurna. Noor
Suriya juga menyatakan pengajaran oleh guru menggunakan bahan bantu mengajar
matematik lebih mudah difahami terutama terhadap tajuk-tajuk yang kurang difahami.
Wan Monalyza (1990) telah menjalankan kajian tinjauan terhadap pelajar-pelajar dan
daripada maklum balas yang diperolehi daripada para pelajar menyatakan bahawa BBM
dapat meningkatkan daya ingatan dan kefahaman mereka. Beliau menyatakan bahawa
BBM memainkan peranan yang amat penting untuk merangsang keinginan pelajar
-
tersebut dengan lebih mendalam. Di sini, memang dapat dibuat kesimpulan bahawa bahan
bantu mengajar boleh meningkatkan kefahaman pelajar tehadap matematik.
Faktor guru merupakan salah satu penting yang mendorong penggunaan bahan
bantu mengajar semasa pengajaran dan pembelajaran matematik. Peranan guru
merupakan faktor penting, di mana guru perlu bijak memainkan peranan memilih bahan
yang sesuai. Cikgu Fook Tan Cheong menegaskan bahawa antara guru dan bahan bantu
mengajar adalah saling melengkapi. Sabdani (1990) telah menjalankan kajian di
Hempstead pada tahun 1973 menunjukkan bahawa penggunaan BBM diikuti dengan
penerangan guru bukan sahaja memudahkan pelajar memahami konsep yang ingin
disampaikan tetapi memberi ingatan yang lama kepada pelajar. Jelas di sini,
membuktikan peranan guru merupakan faktor penting yang menyokong penggunaan
bahan bantu mengajar semasa proses pengajaran pembelajaran matematik.
5.2 Faktor Penyebab Kurangnya Penggunaan Bahan Bantu Mengajar
Terdapat 4 faktor utama yang menyebabkan guru-guru matematik kurang menggunakan
bahan bantu mengajar matematik dalam proses pengajaran dan pembelajaran matematik.
Faktor-faktor tersebut ialah faktor masa, faktor bahan, faktor guru dan faktor pelajar.
Salah satu faktor yang menjadi pemangkin kurangnya penggunaan bahan bantu
mengajar dalam proses pengajaran dan pembelajaran matematik ialah masa. Seperti yang
dikatakan oleh cikgu Fook Tan Cheong, contohnya bahan bantu mengajar seperti note
-
book dan projector, guru memerlukan tiga puluh peratus masa untuk memasang dan
menutup balik alat-alat itu. Ia turut disokong oleh cikgu Intan Shafinaz di mana beliau
juga menyatakan faktor kekangan masa dalam menyediakan bahan.
Faktor bahan juga boleh menyebabkan kurangnya penggunaan bahan bantu
mengajar semasa proses pengajaran dan pembelajaran matematik. Cikgu Ibrahim Awang
menyatakan faktor pengendalian bahan merupakan faktor penghalang dalam
menggunakan bahan bantu mengajar semasa mengajar matematik. Cikgu Fook Tan
Cheong menyatakan ketidaksesuaian bahan bantu mengajar itu sendiri merupakan faktor
yang menyebabkan guru kurang menggunakan bahan bantu mengajar di dalam proses
pengajaran dan pembelajaran matematik. Cikgu Ibrahim Awang juga menyatakan bahawa
ada juga bahan-bahan yang disediakan tidak sesuai, lalu cikgu terpaksa membuat sendiri
bahan bantu mengajar yang sesuai.
Faktor guru merupakan salah satu faktor penyebab kurangnya penggunaan bahan
bantu mengajar semasa proses pengajaran dan pembelajaran matematik. Cikgu Fook Tan
Cheong turut menyatakan antara faktor mengapa bahan bantu mengajar tidak digunakan
semasa proses pengajaran dan pembelajaran ialah lebih menyenangkan guru. Guru tidak
mahu bersusah payah dalam penyediaan bahan, jadi demi memudahkan diri sendiri, cikgu
tidak menggunakan bahan bantu mengajar. Cikgu Ibrahim Awang pula menyatakan cikgu
tidak menggunakan bahan bantu mengajar kerana cikgu malas untuk menyediakannya.
-
Antara faktor lain ialah faktor pelajar di mana bahan bantu mengajar boleh
membosankan pelajar. Cikgu Fook Tan Cheong menyatakan pelajar akan menunjukkan
rasa tidak berminat selepas mereka tidak dapat faham terutamanya pelajar yang lemah.
Cikgu Intan Shafinaz pula menyatakan pelajar yang bijak akan berasa bosan dalam kelas.
Beliau juga menegaskan bahawa pelajar yang cemerlang tidak memerlukan sangat
penggunaan bahan bantu mengajar pada topik yang mudah. Mohammad Hafiz pula yang
memang dipilih dari pelajar cemerlang berkata bahawa tiada perbezaan dengan adanya
bahan bantu mengajar semasa proses pengajaran dan pembelajaran matematik.
Jawatankuasa Penyelidik Unit Teknologi Maklumat Maktab Perguruan
Temenggung Ibrahim (1997) telah menjalankan kajian untuk mengenal pasti faktor-faktor
yang mengekang penggunaan media elektronik dalam pengajaran di kalangan guru-guru.
Hasil kajian telah menunjukkan bahawa faktor-faktor tersebut adalah sikap dan minat
guru yang tidak menggalakkan, kekurangan kemudahan fizikal, kekurangan koleksi
sumber media, kurangnya pendedahan dan kemahiran dalam bidang media elektronik,
beban tugas serta kurangnya bimbingan dan penyeliaan.
Jelas di sini, terdapatnya faktor-faktor yang mengekang penggunaan bahan bantu
mengajar. Kami berpendapat, semua pihak perlu memberi kerjasama dalam menangani
masalah dan kekangan-kekangan yang timbul supaya ianya selari dengan kecemerlangan
pendidikan di negara kita dan kita boleh berdiri setanding dengan negara yang lebih
unggul dari dalam bidang pendidikannya.
-
5.3 Kesan Negatif Jika Mengabaikan Penggunaan Bahan Bantu Mengajar
Terdapat dua kesan negatif apabila bahan bantu mengajar diabaikan dalam proses
pengajaran dan pembelajaran matematik iaitu pemahaman pelajar akan berkurangan dan
masalah pengurusan bahasa Inggeris.
Masalah utama yang timbul apabila bahan bantu mengajar tidak digunakan ialah
pemahaman pelajar akan berkurangan. Cikgu Fook Tan Cheong menyatakan bahawa
sekiranya bahan bantu mengajar tidak digunakan, pemahaman murid akan berkurangan
ke satu tahap yang tidak memuaskan. Noor Suriya pula berkata susah untuk memahami
tanpa penggunaan bahan bantu mengajar. Ahmad Ikhwan turut mengakui kebenaran kata-
kata Noor Suriya apabila Ahmad Ikhwan juga menyatakan beliau kurang faham jika guru
tidak menggunakan bahan