bab 1-buku audit

26
BAB 1 PENGENALAN KEPADA AUDIT 1.1 MAKSUD AUDIT Audit alam sekitar bermaksud penilaian berkala, sistematik, didokumentasi dan berobjektif ke atas sistem pengurusan, polisi dan amalan alam sekitar sebuah syarikat untuk menentukan antaranya:- Status pematuhan kepada keperluan pengawalaturan alam sekitar; Sistem Pengurusan Alam Sekitar; Pelan Pengurusan Alam Sekitar, dan risiko keseluruhan alam sekitar di premis tersebut. Sistem Pengurusan Alam Sekitar ialah satu sistem yang mengandungi struktur organisasi lengkap dengan tanggungjawab, latihan, prosedur, proses dan sumber untuk implementasi dan mengekalkan sistem berkait dengan pengurusan alam sekitar. Kesan ke atas alam sekitar dan penggunaan sumber asli. Langkah pembetulan atau peningkatan prestasi peralatan kawalan pencemaran. 1.2 SEJARAH AUDIT Dalam langkah-langkah untuk mengatasi masalah pencemaran oleh industri, jarang sekali perkataan audit disebut. Audit alam sekitar mula diperkatakan serta diamalkan pada lewat tahun 70-an sehingga awal 80-an. Lewat 80-an timbul masalah dalam penggunaan istilah audit alam sekitar kerana terdapat kepelbagaian pendapat di kalangan pihak mengaudit dengan pihak yang diaudit. Audit alam 1

Upload: amrathalia

Post on 05-Jul-2015

407 views

Category:

Documents


5 download

TRANSCRIPT

Page 1: Bab 1-Buku Audit

BAB 1

PENGENALAN KEPADA AUDIT

1.1 MAKSUD AUDIT

Audit alam sekitar bermaksud penilaian berkala, sistematik, didokumentasi dan

berobjektif ke atas sistem pengurusan, polisi dan amalan alam sekitar sebuah syarikat

untuk menentukan antaranya:-

Status pematuhan kepada keperluan pengawalaturan alam sekitar; Sistem Pengurusan

Alam Sekitar; Pelan Pengurusan Alam Sekitar, dan risiko keseluruhan alam sekitar di

premis tersebut.

Sistem Pengurusan Alam Sekitar ialah satu sistem yang mengandungi struktur

organisasi lengkap dengan tanggungjawab, latihan, prosedur, proses dan sumber

untuk implementasi dan mengekalkan sistem berkait dengan pengurusan alam sekitar.

Kesan ke atas alam sekitar dan penggunaan sumber asli.

Langkah pembetulan atau peningkatan prestasi peralatan kawalan pencemaran.

1.2 SEJARAH AUDIT

Dalam langkah-langkah untuk mengatasi masalah pencemaran oleh industri, jarang sekali

perkataan audit disebut. Audit alam sekitar mula diperkatakan serta diamalkan pada

lewat tahun 70-an sehingga awal 80-an. Lewat 80-an timbul masalah dalam penggunaan

istilah audit alam sekitar kerana terdapat kepelbagaian pendapat di kalangan pihak

mengaudit dengan pihak yang diaudit. Audit alam sekitar yang terdapat sekarang adalah

masih lagi di peringkat awal dan belum dapat atau boleh diserap oleh mana-mana badan

1

Page 2: Bab 1-Buku Audit

yang berkuasa dalam langkah pemeliharaan alam sekitar. Walaupun isu ISO 14001 yang

berkait rapat dengan audit alam sekitar semakin hangat diperkatakan dan rata-rata

terdapat tawaran kursus mengenainya, namun apa yang lebih menonjol ialah cara untuk

memperolehi pengiktirafannya. ISO 14001, yang bermakna bahawa suatu industri telah

mengambil berat tentang alam sekitar. Namun kelemahannya akan menjadi ketara apabila

tiada alat untuk menentukan yang industri akan terus mematuhi perundangan alam sekitar

dari segi pengoperasian peralatan kawalan pencemaran, pelepasan ke udara, air serta

tanah mahupun aspek alam sekitar dan impak yang lain.

Pada awalnya, audit alam sekitar lebih merujuk kepada audit pematuhan kepada

peraturan alam sekitar dan secara khususnya, audit alam sekitar dijalankan untuk

memastikan sama ada sebuah industri mematuhi perundangan alam sekitar yang wujud

dan berkaitan. Isu utama hasil daripada audit alam sekitar adalah jika terdapat

ketidakpatuhan, maka risikonya merupakan denda daripada jabatan kerajaan yang

berkaitan, atau disaman di mahkamah dan lebih teruk lagi jika diberi arahan untuk

menghentikan operasi. Seterusnya apa-apa kekurangan di dalam sistem pengoperasian

harus diperbaiki sehingga ianya mematuhi perundangan dan ini memerlukan agihan

sumber kewangan yang tertentu oleh industri. Audit alam sekitar adalah untuk

memastikan sesuatu industri itu beroperasi dengan mematuhi segala perundangan yang

termaktub di dalam Akta Kualiti Alam Sekeliling. Ini akan membantu industri tersebut

memahami tentang denda atau kompaun yang mungkin akan dikenakan jika terdapat

penyalahan undang-undang. Di samping itu, pihak industri juga akan memahami

keperluan kewangan untuk meningkatkan sistem rawatan atau pengeluaran asap, air

kumbah atau sisa pepejal terjadual.

Pada lewat tahun 70’an, Agensi Perlindungan Alam Sekitar, Amerika Syarikat mula

mengkaji penggunaan audit alam sekitar sebagai satu alat untuk memastikan pematuhan

kepada perundangan. Idea audit alam sekitar menjadi isu hangat dibicarakan serta

keperluan untuknya dilaksanakan oleh pihak ketiga sebagai satu pengesahan pematuhan

perundangan. Walaupun audit alam sekitar mula diterima, namun masih banyak pihak

pengurusan industri tidak menggunakannya sebagai alat atau teknik dalam aliran

2

Page 3: Bab 1-Buku Audit

pengurusan utama. Ini adalah kerana industri lebih bersikap bertindak kepada keadaan

daripada mengambil langkah proaktif, iaitu mengambil tindakan sebelum perkara yang

tidak diingini berlaku.

Pada tahap antarabangsa pula, istilah audit alam sekitar mula disebut pada tahun 1977.

Pada tahun 1983, konsep ini berkembang menjadi lebih berbilang dimensi sehingga

tahun 1989. Pada waktu itu, istilah audit alam sekitar diberi pengertian yang berbeza

oleh individu yang berbeza dan menimbulkan kekeliruan di kalangan juruaudit dan juga

pihak yang diaudit. Pada awal tahun 1990, ramai yang terlibat mendapat pengiktirafan

profesional dan infrastruktur sokongan telah mula wujud dan dikenalpasti.

Audit yang pertama kali diketahui adalah pada tahun 1977 apabila Allied Chemical

Corporations dikerah oleh satu badan Pesuruhjaya Keselamatan dan Penukaran Amerika

Syarikat untuk menjalankan audit ke atas industri tersebut. Ini diikuti dengan United

States Steel pada tahun 1979 dan ketiga Occidental Petroleum pada tahun 1980.

Pesuruhjaya tersebut mengkehendaki setiap industri ini supaya menentukan dengan

terperinci dan tepat liabiliti kewangan berkaitan dengan alam sekitar menerusi program

audit alam sekitar. Mereka telah akur dengan arahan tersebut dan sekarang industri ini

mempunyai program audit alam sekitar yang terkemuka di dunia dan merupakan model

contoh untuk yang lain.

Pada pertengahan tahun 90’an, audit alam sekitar telah menjadi satu komponen aktiviti

pengurusan alam sekitar yang biasa diamalkan di negara barat. Di antara jenis industri

di negara barat yang sudah ada program audit alam sekitar termasuk industri di dalam

kategori besi waja, perlombongan, pulpa dan kertas, makanan dan minuman, kimia,

petroleum, kemudahan elektrik dan pembuatan. Sementara di kalangan sektor awam

pula, badan persekutuan mula menerima konsep audit alam sekitar, tetapi badan

peringkat daerah dan perbandaran masih kurang yakin keperluan audit alam sekitar.

Selain daripada audit alam sekitar yang berasaskan pematuhan (audit pematuhan) Akta

Alam Sekeliling 1974, sejenis penilaian alam sekitar ke atas suatu tapak tertentu juga

3

Page 4: Bab 1-Buku Audit

telah ditakrifkan sebagai audit dan ini dinamakan audit liabiliti alam sekitar. Dengan

adanya audit ini, maka konsep audit alam sekitar menjadi semakin luas. Namun tidak ada

piawai tertentu untuk audit alam sekitar dan perbandingan setiap jenis audit sukar

dilakukan. Tambahan pula audit alam sekitar kurang difahami kerana kurangnya publisiti

yang diberikan serta tidak dipromosikan dengan secukupnya oleh pihak berkuasa. Pada

masa kini, audit alam sekitar hanya akan dilakukan oleh industri jika ada arahan dari

Jabatan Alam Sekitar dan ini kerap kali berpunca daripada ketidakpatuhan atau suatu

insiden yang berlaku. Jikalau audit akan digunakan sebagai suatu alat pengawalaturan

kendiri, maka setiap industri harus menjalankan audit dengan sukarela tanpa arahan

daripada pihak berkuasa. Ini dengan secara tidak langsung dapat memberi peluang untuk

industri mematuhi perundangan yang sedia ada, menilai pencapaian alam sekitar serta

menilai keberkesanan sistem kawalan pencemaran yang sedia ada. Pada masa yang

sama, pihak berkuasa akan tetap bertegas dengan mana-mana industri jika berlaku

ketidakpatuhan.

1.3 ISU PENCEMARAN TEMPATAN

Pihak berkuasa di sesetengah negeri di negara kita telah mula sedar kepentingan audit

alam sekitar dan menyokong adanya audit untuk menggalakkan industri patuh kepada

undang-undang alam sekitar. Sebagai contoh, Jabatan Alam Sekitar Cawangan Langkawi

telah mengarahkan audit pihak ketiga dilakukan ke atas tiga kuari di Langkawi. Audit

telah dijalankan oleh perunding yang berpengalaman, ke atas ketiga-tiga kuari ini pada

tahun 1995 dan 1996. Hasilnya ketiga-tiga kuari ini didapati menyalahi banyak aspek

undang-undang kualiti alam sekeliling dan tidak sesuai lagi untuk beroperasi di lokasi

tersebut.

Jabatan Alam Sekitar Pahang Darul Makmur tidak kurang pekanya dan sedar akan

kepentingan audit untuk menangani masalah pelanggaran undang-undang kualiti alam

sekitar negara. Pada awal tahun 1998 audit telah diarahkan ke atas industri kimia bertaraf

antarabangsa di Tapak Perindustrian Gebeng, Kuantan. Audit yang dijalankan ini adalah

4

Page 5: Bab 1-Buku Audit

berdasarkan masalah kualiti efluen yang dilepaskan ke sungai berdekatan. Oleh itu suatu

audit terperinci telah dibuat ke atas sistem loji rawatan air kumbah industri tersebut.

Audit alam sekitar ke atas penyelenggaraan hasil buangan pepejal yang terjadual juga

telah dibuat ke atas satu industri pengeluar permainan di Zon Perindustrian Perai pada

tahun 1994. Kesan daripada audit tersebut, industri yang terlibat lebih berjaga-jaga

dengan cara penyimpanan bahan buangan terjadual di premisnya sebelum dihantar ke

Bukit Nenas untuk pelupusan.

Namun rata-rata masih banyak industri lain yang dikenakan arahan oleh pihak berkuasa

untuk melakukan audit. Padahal audit boleh membantu industri untuk memastikan

bahawa kesemua sistem olahan, rawatan bahan buangan sama ada ke udara, air atau pun

tanah berfungsi dengan sebaiknya dan segalanya diselenggara dengan berkesan dan

mengikut peraturan.

Banyak juga pihak industri yang tidak yakin akan perlunya audit dan tidak bersedia untuk

menghabiskan wang dan masa untuk melakukan audit. Walaupun begitu, angka industri

yang mula menjalankan audit dengan usaha sendiri semakin meningkat semata-mata

kerana ingin mendapat pengiktirafan ISO 14001.

Jika kita mengkaji apa yang berlaku pada tahap tempatan, kita akan dapati banyak kilang

yang telah mencemar alam sekitar bukan kerana tidak sedar tetapi ingin mengelak belanja

lebih untuk mengolah sistem rawatan yang sempurna. Adakalanya sikap yang tidak

bertanggungjawab juga menyebabkan mereka sanggup mencemarkan alam sekitar.

Contohnya, pencemaran oleh sebuah kilang kulit di Melaka yang telah lebih dari empat

kali dibawa ke mahkamah sessi kerana membuang efluen ke dalam saliran air negeri.

Soalan yang menarik ialah mengapa industri ini masih terus mencemar walaupun

disaman berkali-kali? Di manakah komitmen pihak pengurusannya? Begitu juga dengan

industri kertas, juga di Melaka disaman di mahkamah sessi kerana membuang efluen

secara haram.

5

Page 6: Bab 1-Buku Audit

Sementara itu, satu badan konsortium yang diberi kepercayaan untuk merawat air

kumbah negara telah beberapa kali didapati bersalah kerana melepaskan efluen ke dalam

sistem perparitan melebihi had (lebih daripada dua kali ganda) yang telah dibenarkan

seperti mana yang ditetapkan di dalam perundangan. Ia berlaku pada pertengahan bulan

Julai 1997. Satu pengusaha kuari di Ulu Langat telah disaman kerana menyebabkan

Sungai Langat tercemar dengan minyak diesel seterusnya mengakibatkan ramai

penduduk di Lembah Klang mengalami gangguan bekalan air .

Jelas bahawa sistem pengawalan pencemaran yang wujud sekarang tidak berkesan

sepenuhnya membanteras pencemaran sama ada oleh syarikat yang terkenal,

antarabangsa ataupun industri kecil. Sebagai contoh, kesalahan pencemaran yang

dilakukan oleh syarikat terbabit hanya boleh didakwa dengan membawa syarikat itu ke

mahkamah dan ini mungkin mengambil masa berbulan-bulan. Alasan yang diberi ialah

loji syarikat tersebut tidak lagi dalam keadaan sempurna. Jika satu audit dilakukan ke atas

loji tersebut sebelum ia benar-benar beroperasi, masalah berkaitan dengan loji tersebut

mungkin boleh dikenalpasti dan diatasi.

Sungai Melaka dianggap sebagai ‘sangat tercemar’ dan kualiti airnya sentiasa menurun

setiap tahun, tetapi dalam masa yang sama air yang sangat tercemar ini membekalkan

lebih daripada 70% sebagai sumber air minum dan kegunaan harian negeri. Apakah

pencemar utama? Efluen daripada industri, air kumbah domestik, air larian permukaan

tapak pembinaan, aktiviti pertanian, tumpahan bahan buangan dan kimia daripada kilang

dan sampah sarap. Yang paling ketara ialah sungai ini dikotori oleh bahan buangan kilang

di mana paras raksa adalah 12 kali ganda yang dibenarkan oleh Jabatan Alam Sekitar,

kuprum adalah 10 kali ganda dan fenol 1900 kali ganda! Satu industri didapati terpaksa

mencairkan efluennya sebanyak 200000 kali sebelum dapat memenuhi had yang

ditetapkan oleh Jabatan Alam Sekitar. Persoalannya di sini adalah bagaimanakah aktiviti

negatif industri ini dapat terlepas daripada mata tajam pihak berkuasa?

Sungai Perak menjadi rungutan orang ramai kerana semakin tercemar kebelakangan ini.

Pencemar utamanya adalah kilang-kilang di kawasan perindustrian Kuala Kangsar yang

6

Page 7: Bab 1-Buku Audit

membuang bahan sisa ke dalam sungai tersebut justeru menjejas kehidupan air. Kilang-

kilang terbabit telah didapati membuang bahan sisa pada waktu-waktu yang sukar

dikesan oleh pihak berkuasa. Masalah ini tidak akan timbul jika audit dikenakan ke atas

kilang-kilang ini dan laporan juruaudit akan memberi gambaran sebenar tentang aktiviti

yang berkaitan dengan alam sekitar kilang-kilang ini.

Selalunya apabila suatu pembangunan akan didirikan, penilaian impak alam sekitar akan

dikenakan ke atas cadangan pembangunan tersebut. Pada kebiasaannya apabila penilaian

ini diluluskan oleh pihak berkuasa, ia akan disertakan dengan syarat-syarat yang tertentu

untuk menjaga alam sekitar. Antara syarat-syaratnya termasuk pemonitoran air,

udara,hingar dan juga pengurusan bahan sisa pepejal dan terjadual. Namun syarat-syarat

ini tidak diperketatkan dan apa yang berlaku selepas itu jarang sekali akan mendapat

perhatian pihak berkuasa kecuali jika ada bantahan atau rungutan daripada orang ramai.

Jika satu audit alam sekitar dikenakan kepada pihak berkenaan, ini akan memudahkan

pihak berkuasa menjejak isu alam sekitar, kerana aktiviti audit akan menilai dan

mendokumenkan segala pematuhan atau ketidakpatuhan kepada syarat-syarat yang telah

dikenakan.

Contoh-contoh yang disebutkan di atas bukan perkara kecil dan boleh diketepikan. Jika

pihak berkuasa telah menetapkan bahawa satu pembangunan baru atau lama dikenakan

audit seberapa kerap yang dirasakan perlu maka audit tersebut boleh menjadi pemantau

untuk memastikan alam sekitar dijaga dengan betul. Begitu juga bagi industri kecil,

besar, nasional ataupun multinasional, ia adalah wajar diadakan audit untuk memastikan

undang-undang alam sekitar dipatuhi.

7

Page 8: Bab 1-Buku Audit

1.4 KEPERLUAN AUDIT

Oleh kerana keperluan audit kerap kali dipertikaikan maka di bawah disenaraikan

kelebihan audit. Audit berguna jika ingin:

1. Menentukan pematuhan undang-undang alam sekitar iaitu, sama ada efluen atau

mana-mana kandungan emisi mengikut had yang telah ditetapkan dalam Akta Kualiti

Alam Sekeliling 1974.

2. Mengenalpasti masalah berkaitan dengan sistem rawatan seperti mencari sebab

mengapa had suatu parameter dalam air kumbah tidak patuh pada angka yang

ditetapkan.

3. Melakukan satu pemeriksaan rapi oleh pakar luar ke atas sistem yang diaudit.

Kerapkali penguatkuasa kurang kepakaran dalam sistem pengolahan dan sedikit

sebanyak tidak dapat mengesan percanggahan undang-undang yang wujud.

Contohnya, efluen pada sumber bukan titik sukar untuk dikesan kerana tidak akan

didedahkan oleh pengilang dan kerap kali air kumbah yang tidak dirawat atau separa

terawat akan terus masuk ke dalam longkang dan sungai.

4. Pengilang atau pihak industri akan sentiasa berjaga dan akan sentiasa mengadakan

audit sendiri sebelum pihak berkuasa mengenakan audit pihak ketiga ke atas

mereka.

5. Menentukan bahawa bahan efluen yang terhasil atau bahan buangan pepejal diolah

dengan mengikut peraturan.

6. Boleh mengelakkan daripada pencemaran alam sekitar terutama daripada punca

terlindung yang boleh dikenalpasti dengan audit terperinci.

7. Mendapat komitmen daripada pihak pengurusan atasan industri.

8. Membantu mengatasi kekurangan kakitangan pihak berkuasa dalam implementasi

undang-undang yang lebih ketat.

Penilaian liabiliti alam sekitar tapak merupakan satu daripada jenis audit yang kerap

dijalankan selain daripada audit pematuhan. Kadangkala apabila suatu audit diperlukan,

pihak yang memohon audit tidak pasti jenis audit yang paling sesuai. Ini akan

8

Page 9: Bab 1-Buku Audit

menambahkan kekeliruan dalam menjalankan audit tersebut dan akhirnya pihak yang

menawarkan kos yang paling rendah akan dilantik untuk menjalankan audit walaupun

tidak ada kepakaran. Format dan kaedah untuk menjalankan audit masih belum dapat

dikenalpasti lagi dan protokol yang diikuti adalah berdasarkan pengalaman oleh negara

barat. Namun begitu perbandingan dibuat adalah berdasarkan kepada undang-undang

alam sekitar negara yang sedia ada.

1.5 JENIS AUDIT

Terdapat beberapa jenis audit yang boleh diklasifikasi seperti berikut:

1. Audit pematuhan undang-undang

2. Audit kualiti udara

3. Audit sistem rawatan air kumbah

4. Audit bahan buangan pepejal terjadual

5. Audit pencapaian alam sekitar

6. Audit pengurangan bahan terbuang atau membanteras pencemaran

7. Audit program pengurusan alam sekitar

8. Audit fasiliti

9. Penilaian bersama alam sekitar, kesihatan dan keselamatan

10. Audit transaksi harta benda

11. Audit ‘Hijau’ atau penilaian pengurusan kualiti total

Audit pematuhan paling dikenali ramai dan dianggap sebagai audit alam sekitar yang

tradisional.

Audit kualiti udara menilai kesan pelepasan daripada cerobong atau di mana terdapat

penghasilan partikel yang boleh mencemarkan udara. Kandungan udara dikaji dan

langkah yang diambil oleh pengusaha untuk mengurangkan kesan pencemaran alam

sekitar dikenalpasti. Audit sistem rawatan air kumbah pula bertujuan untuk mengkaji

9

Page 10: Bab 1-Buku Audit

dengan lebih terperinci tentang efluen yang dijanakan dan menentukan sama ada sistem

tersebut berfungsi dengan baik ataupun tidak.

Audit jenis pertama iaitu pematuhan perundangan digabungkan ke dalam audit jenis lain

untuk memastikan had-had setiap parameter yang ditetapkan oleh perundangan telah

diikuti. Audit sistem buangan atau simpanan bahan buangan pepejal terjadual yang

terkandung di dalam Akta Kualiti Alam Sekeliling kerap kali tidak dipatuhi oleh industri.

Audit bahan buangan akan mengkaji aliran bahan buangan yang dijanakan oleh industri

sehingga ke tahap pelupusan. Ia juga berkait rapat dengan pematuhan perundangan yang

berkenaan dan piawai yang telah ditetapkan. Pada masa yang sama kaedah pengurangan

penjanaan bahan buangan berbahaya serta peluang untuk kitar kembali atau guna semula

boleh dikenalpasti. Penyimpanan bahan buangan terjadual di premis industri dikawal oleh

peraturan tertentu yang telah ditetapkan.

Audit pencapaian alam sekitar berfungsi untuk mengukur sejauh mana setiap aspek

industri telah cuba mematuhi perundangan yang sedia ada dan langkah yang diambil

untuk mencapainya.

Audit untuk setiap unit operasi boleh dijalankan berasingan atau dilakukan serentak

bergantung kepada saiz industri. Industri yang besar mungkin memerlukan dua atau tiga

bulan untuk menyempurnakan audit loji air kumbah. Sebaliknya industri yang kecil boleh

menjalankan audit untuk kesemua unit operasi dalam masa yang serentak. Setiap audit

unit operasi yang tertentu memerlukan kepakaran untuk memastikan penganalisaan data

adalah betul dan tepat.

Program pengurangan, pembuangan dan membanteras pencemaran yang diwujudkan di

industri atau sektor kerajaan memerlukan audit yang sama untuk menjamin program ini

dilaksanakan dengan baik dan sempurna. Sebagai contoh, jika satu industri telah bertekad

untuk mengurangkan pencemaran udara, maka pengukuran jumlah pelepasan dan

10

Page 11: Bab 1-Buku Audit

kandungannya dapat menentukan sejauh mana program tersebut berjaya dilaksanakan

atau tidak.

Isu-isu alam sekitar, kesihatan dan keselamatan digabungkan untuk mencapai satu audit

supaya program pengurusan alam sekitar akan menjadi lebih berkesan dan konsisten.

Banyak organisasi sangsi tentang program pengurusan alam sekitar jika ketiga-tiga isu

penting ini diasingkan. Ekoran dari itu, banyak program alam sekitar telah menyatukan

alam sekitar, kesihatan dan keselamatan, dan diaudit serentak.

Audit fasiliti di suatu syarikat dijalankan dengan tujuan mengumpul maklumat untuk

membantu pihak pengurusan korporat. Audit fasiliti lebih berkait rapat dengan

pematuhan dan pengurusan rutin di fasiliti tersebut.

Audit transaksi harta digunakan di dalam projek pembangunan harta dan transaksi harta

komersial. Ia bertujuan untuk mengenalpasti isu-isu yang berpotensi atau dikenali yang

berkait dengan risiko alam sekitar seperti bahan merbahaya yang tersimpan di hartanah

tersebut. Ini dilakukan sebelum hartanah bertukar milik.

Audit ‘Hijau’ atau penilaian pengurusan kualiti total dikaitkan kepada isu alam sekitar

dan lebih menjurus kepada pengiktirafan ISO 14000. Kini, semakin banyak industri besar

yang cenderung kepada audit jenis ini.

Untuk tujuan makluman pihak pengurusan, audit boleh dilakukan oleh pakar yang

terdapat dalam industri tersendiri tetapi untuk kepastian kepatuhan, kerap kali audit oleh

pihak ketiga diperlukan untuk mengelakkan olahan data yang tidak sah.

Kesemua audit di atas dipengaruhi oleh perlembagaan yang ada sama ada di peringkat

negara ataupun negeri.

Audit alam sekitar berdasarkan perundangan melibatkan dua tema iaitu yang pertama

peraturan berasaskan teknologi dan yang kedua peraturan berasaskan pencapaian.

11

Page 12: Bab 1-Buku Audit

Kebanyakan perundangan atau peraturan bergantung kepada jenis teknologi yang ada.

Jika suatu industri tidak mencapai had yang dibenarkan atau tidak mematuhi rekabentuk

piawai, maka ia dikatakan tidak mematuhi. Kebanyakan peraturan yang terkandung di

dalam Akta Alam Sekeliling 1974 memfokuskan kepada piawai dan garispanduan

berasaskan teknologi yang terkini.

Had-had yang dibenarkan akan dimasukkan ke dalam permit dan surat kebenaran

bertulis. Audit alam sekitar dari segi ini adalah jelas, iaitu jika had pelepasan tidak

melebihi had yang ditentukan, maka ia merupakan pematuhan dan sebaliknya yang benar.

Namun untuk mencapai pematuhan setiap masa merupakan satu perkara yang mustahil

untuk kebanyakan kilang atau industri. Pelepasan yang melampaui had yang dibenarkan

kerap berlaku disebabkan gangguan kepada proses atau teknologi kawalan pencemaran

yang digunakan. Sesiapa yang pernah menjalankan audit alam sekitar akan sedar bahawa

teknologi kawalan pencemaran ada kalanya tidak mampu mengawal pelepasan pada had

yang dibenarkan. Namun kaedah untuk mengukur pematuhan masih berasaskan had yang

dikenalpasti oleh pihak berkuasa kerana ini adalah lebih mudah. Juruaudit alam sekitar

yang menggunakan senarai periksa pematuhan dengan mudah boleh menentukan sama

ada satu industri itu menjalankan pemantauan yang diperlukan atau alat pengawalan

pencemaran mampu mengawal had pelepasan.

Audit alam sekitar berdasarkan pencapaian alam sekitar lebih digunakan dalam proses

memperolehi pengiktirafan ISO 14000. Kriteria audit untuk parameter audit pencapaian

perlu diwujudkan sebelum audit dilakukan dan ini akan disentuh dalam audit Sistem

Pengurusan Alam Sekitar. Audit ke atas pencapaian alam sekitar merujuk kepada

kebebasan pemilihan langkah yang diambil oleh industri untuk mencapai objektif dalam

pengurusan alam sekitar yang teratur.

Seorang juruaudit akan mendapatinya lebih sukar untuk mengaudit suatu industri yang

mempunyai polisi sendiri yang lebih ketat daripada perundangan. Ini kerana tiada nilai

kuantitatif yang boleh digunakan untuk rujukan.

12

Page 13: Bab 1-Buku Audit

Audit alam sekitar juga boleh dipecahkan kepada beberapa bahagian yang tertentu atau

pun kepada operasi unit dan unit fizikal. Bahagian-bahagian ini adalah di mana terdapat

sumber pencemaran dan di antaranya:

sistem rawatan air kumbah

sistem cerobong

insinerator

penyimpanan bahan buangan terjadual

penghasilan air kumbah pada sumber yang bukan bertitik dan yang bertitik serta

sumber yang berbilang titik

1.6 HALANGAN KEPADA AUDIT ALAM SEKITAR

Apakah pendapat orang ramai dan industri terhadap audit ?

Pada masa ini, orang ramai masih tidak jelas dengan apa yang dimaksudkan oleh audit

alam sekitar. Dan pada masa yang sama juga tidak ramai yang gemar dengan audit alam

sekitar terutamanya mereka yang akan diaudit. Bagi mereka audit adalah satu cara untuk

mencari kesalahan atau kelemahan di dalam industri dan ini mungkin membawa kepada

denda, saman atau penutupan premis mereka. Industri yang terlibat dengan audit alam

sekitar masing-masing mempunyai objektif yang tersendiri serta membawa makna audit

yang berbeza. Apakah tujuan audit alam sekitar serta apakah kaedah untuk

menjalankannya? Audit dalam ertikata yang sebenar adalah lebih mendalam daripada

mencari kelemahan industri sahaja. Ia adalah bertujuan untuk memastikan pematuhan

kepada perundangan alam sekitar yang sedia ada.

Kini, banyak industri berlumba-lumba untuk mendapatkan ISO 14000 bagi meningkatkan

prestij atau imej industri, tanpa menjalankan proses pengauditan. Jarang sekali audit alam

sekitar dijalankan secara sukarela atau disyaratkan oleh pihak yang berkuasa iaitu Jabatan

13

Page 14: Bab 1-Buku Audit

Alam Sekitar (JAS) untuk memastikan tiada pencemaran yang berlaku disebabkan oleh

industri tertentu.

Pihak industri bimbang jika Jabatan Alam Sekitar akan mewajibkan audit alam sekitar

dan hasil daripada audit akan digunakan sebagai maklumat bukti ketidakpatuhan di

dalam mahkamah. Tambahan pula JAS masih tidak ada satu garispanduan yang lengkap

untuk diikuti dalam menjalankan audit alam sekitar. Masih tidak terdapat pendekatan

yang boleh memastikan audit sebagai satu alat untuk mengawal pencemaran alam sekitar

dan juga usaha untuk menguatkuasakan pengendaliannya. Satu kajian harus dilakukan

untuk menentukan keberkesanan sistem audit yang mandatori ke atas kilang-kilang

dalam mengurangkan pencemaran air, udara dan juga tanah. Jika ini diwajibkan,

mungkinkah ia dapat membantu pihak berkuasa dalam mengatasi kekurangan kakitangan

untuk menguatkuasa undang-undang yang lebih ketat? Sudah tiba masanya untuk

mempromosikan audit alam sekitar dan mewajibkan audit ke atas semua jenis

perindustrian dan kilang pada jadual dan kekerapan yang tertentu.

Audit adalah satu alat untuk mengawal pencemaran alam sekitar.

Kini, tahap kesedaran terhadap audit alam sekitar masih rendah dan ia masih tidak

digunakan sepenuhnya sebagai alat pengurusan alam sekitar. Perusahaan yang proaktif

secara sukarela akan mengadakan audit dalaman sendiri tetapi masih terdapat banyak

kilang yang rasa tertekan dengan wujudnya audit kerana terlalu banyak aspek Akta

Kualiti Alam Sekeliling 1974 yang perlu dipatuhi. Jarang sekali terdapat kilang yang

proaktif dan berusaha sendiri untuk menjalankan audit dalaman demi kebaikan pihak

kilang dan penghasilan produktiviti.

Terdapat tujuh sebab mengapa industri atau syarikat boleh membahaskan implementasi

program audit alam sekitar: (1) kos, (2) bimbang di atas penilaian peribadi yang

dijalankan, (3) bimbang tentang masalah perundangan yang mungkin akan timbul, (4)

bimbang mendapat publisiti buruk, (5) tidak pasti kelebihan yang akan diperolehi

14

Page 15: Bab 1-Buku Audit

daripada hasil audit, (6) kurang minat untuk mengetahui masalah yang wujud, (7) sudah

puas hati dengan pencapaian alam sekitar yang sedia ada.

Namun, jika dinilai dengan terperinci, setiap alasan yang diberi di atas sememangnya

tidak kuat dan jika ditekankan boleh memberi kesan buruk kepada syarikat.

Hujah bagi setiap asas yang diberi di atas boleh diringkaskan:

(1) Kos: Kos untuk setiap audit alam sekitar berbeza dengan ketara mengikut jenis

kemudahan yang diaudit, skop audit, audit pertama atau audit susulan dan faktor lain.

Tanpa audit, ketidakpatuhan perundangan akan menjanakan denda, hilang masa

produksi, dan kos pembersihan jika terjadi insiden seperti kontaminasi dan juga kehendak

pihak luar seperti pihak yang pendakwa yang mungkin melebihi kos audit. Kos juga

boleh merangkumi kehilangan pengguna/pembeli dan keyakinan pelabur.

(2) Bimbang di atas penilaian peribadi yang dijalankan: Audit alam sekitar digunakan

untuk menilai sistem pengurusan, perjalanan atau keberkesanan sistem pengawalan

pencemaran dan had pelepasan daripada bukan pekerja atau pihak pengurusan. Jika

terdapat masalah yang berkaitan dengan sistem pengurusan, syor akan dibuat untuk

menukar polisi, meningkatkan latihan, komunikasi dan mungkin jenis kerja yang

dilakukan. Perkara yang perlu ditekankan di sini adalah pelan tindakan.

(3) Bimbang tentang masalah perundangan yang mungkin akan timbul: Sesetengah

syarikat bimbang jikalau maklumat audit akan digunakan oleh pihak penguatkuasa

sebagai bukti ketidakpatuhan mereka. Namun, syarikat yang tidak patuh akan dikenakan

denda yang lebih tinggi oleh pihak berkuasa dan juga perlu membayar kos pembersihan

atau penyahkontaminan jika didapati bersalah. Audit alam sekitar akan mengurangkan

tindakan ketidakpatuhan dan boleh digunakan sebagai bukti usaha yang dibuat bagi

mengelakkan insiden yang tidak diingini berlaku.

(4) Bimbang mendapat publisiti buruk: Sesetengah syarikat berpendapat bahawa

keputusan audit alam sekitar boleh memberi publisiti yang buruk kepada mereka. Namun

15

Page 16: Bab 1-Buku Audit

publisiti yang lebih buruk akan timbul jika suatu insiden berlaku dan mendapat perhatian

media massa dan masyarakat. Audit alam sekitar juga telah disamakan dengan

pengurusan alam sekitar yang baik dan berwibawa. Syarikat yang tidak mengamalkan

audit alam sekitar akan dipandang sebagai sistem pengurusan alam sekitar yang kurang

berkesan dan tidak peka kepada alam sekitar.

(5)Tidak pasti kelebihan yang akan diperolehi daripada hasil audit: Mungkin ini

benar pada masa dahulu dan pihak berkuasa perlu menonjolkan lagi kelebihan audit alam

sekitar supaya ia akan menjadi satu perkara yang boleh membantu dalam pengawalaturan

sistem sendiri. Pada masa ini, nilai kebaikan audit kepada syarikat sudah mula difahami

oleh kebanyakan industri.

(6)Kurang minat untuk mengetahui masalah yang wujud: Ada syarikat yang tidak

ingin tahu masalah yang wujud dalam industri mereka kerana kesedaran tentang masalah

tersebut harus diikuti dengan usaha pembetulan. Namun jika berlaku sesuatu insiden,

pengakuan tidak tahu tentang masalah sedia ada bukan lagi boleh digunakan sebagai

alasan. Ia merupakan tanggungjawab pihak pengurusan untuk memastikan keadaan

kilang mematuhi perundangan yang ditetapkan. Jika tidak, pihak pengurusan dianggap

cuai dan leka.

(7)Sudah puas hati dengan pencapaian alam sekitar yang sedia ada: Sesetengah

syarikat yang merasakan bahawa sistem pungurusan alam sekitar yang sedia ada serta

pencapaian alam sekitar dari segi pematuhan had pelepasan sudah memuaskan.

Persoalannya; ‘Bagaimana mereka tahu?’. Walaupun tidak ada tindakan daripada pihak

berkuasa atau tidak ada rungutan masyarakat awam, namun tanpa audit alam sekitar,

masalah yang jelas dan kurang jelas tidak akan dapat dikenalpasti. Audit alam sekitar

bukanlah sekadar mengenalpasti masalah yang ada, tetapi juga mengenalpasti kelemahan

dan kekuatan sistem yang sedang beroperasi. Tambahan lagi, sikap bahawa pencapaian

alam sekitar yang sedia ada telah mencukupi merupakan suatu sikap yang menjadi punca

masalah yang akan timbul. Seandainya sistem di syarikat berjalan dengan baik, rekod

audit akan menunjukkan sedemikian dan jika di masa hadapan, sekiranya terdapat

16

Page 17: Bab 1-Buku Audit

masalah yang timbul, rujukan kepada data audit alam sekitar akan memudahkan

penentuan punca dan langkah pembetulan yang dibuat.

1.7 KUASA PENGGERAK UNTUK MELAKUKAN AUDIT

Kuasa penggerak untuk menjalankan audit alam sekitar adalah arahan terus daripada

pihak berkuasa dan apabila ia dilaksanakan, syarikat berharap dapat mengurangkan

liabiliti diri. Ini mula bertukar apabila banyak syarikat mula sedar bahawa kos

pembersihan adalah tinggi dan isu insiden alam sekitar lebih sulit untuk ditangani

apabila ia sudah berlaku.

Di negara barat, kuasa penggerak di sebalik audit alam sekitar terdiri daripada

beberapa institusi dan pihak berkuasa:

Industri perbankan: Institusi kewangan yang mengeluarkan pinjaman semakin bimbang

tentang status pelanggan korporat mereka. Sebagai suatu contoh di Kanada, satu syarikat

yang telah dilaporkan muflis telah meninggalkan satu kawasan yang terkontaminasi.

Segala hasil penjualan aset syarikat muflis tersebut harus digunakan untuk tujuan

pembersihan dan mengurangkan kesan kepada alam sekitar. Pihak bank hanya berhak ke

atas wang yang selebihnya.

Lembaga Pengarah : Di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling, pihak majikan/pengurusan

atasan bertanggungjawab ke atas masalah alam sekitar yang dialami oleh syarikat.

Persatuan perindustrian : Biasanya syarikat yang dikenakan audit atau melakukan audit

ingin supaya kesemua syarikat yang terlibat dalam industri yang sama turut menjalankan

audit. Persatuan industri juga ingin mempromosikan kerakyatan korporat yang baik.

17

Page 18: Bab 1-Buku Audit

Kerajaan : Agensi kerajaan seperti Jabatan Alam Sekitar mula menekankan perlunya

audit alam sekitar dan seterusnya audit tempat kerja dari segi bahaya penggunaan bahan

kimia kepada kesihatan.

Kebimbangan terhadap alam sekitar semakin meluas di kalangan pihak berkuasa,

masyarakat, pihak kewangan dan sebahagian daripada industri dan dengan ini peranan

audit alam sekitar menjadi semakin penting. Pihak korporat telah mula melaksanakan

audit alam sekitar begitu juga pihak kerajaan. Pada tahap daerah dan kebangsaan,

laporan alam sekitar yang harus dilakukan oleh industri adalah selari dengan audit alam

sekitar yang memberi maklumat terkini tentang tahap pematuhan perundangan. Audit

alam sekitar telah menjadi satu komponen yang penting dalam sistem pengurusan alam

sekitar dalam banyak industri dan juga sudah mula menapak di kalangan agensi kerajaan.

Audit alam sekitar telah bergerak dengan pantas dan kepentingannya mula dilihat ramai,

maka sudah sampai masanya untuk ahli profesional dan akademik dari pelbagai disiplin

bergabung tenaga dan buah fikiran untuk menubuhkan satu piawai dan garis panduan

untuk kegunaan dan pencapaian audit alam sekitar.

18

Page 19: Bab 1-Buku Audit

1.8 GARIS PANDUAN MEMBANGUN PROGRAM AUDIT

Proses audit akan menjadi lebih berkesan, berguna dan ekonomi untuk mengumpul

maklumat jika ia dijalankan mengikut satu format yang berkala. Sebagai contoh, format

di bawah boleh dibuat rujukan.

Audit alam sekitar ke atas pelepasan

Mengenalpasti jenis pelepasan dari semua sumber:

~ dikira

~ diukur

Menghubungkait peraturan Alam Sekitar dengan aktiviti pelepasan

Lakukan keseimbangan bahan untuk proses

Mengkaji kelulusan yang sedia ada untuk pematuhan:

~ Kaji keadaan permit untuk pelepasan, keberkesanan pembuangan dan keadaan

operasi, sama ada ianya menepati syarat yang dikenakan

~ Adakah penyimpanan rekod dan segala dokumen yang penting dilakukan

dengan baik

~ Adakah permit tambahan diperlukan di bawah peraturan yang sedia ada

Mengkaji sejarah pematuhan.

Menilai kesan pelepasan ke atas kesihatan .

Menilai kesan pelepasan ke atas alam sekitar.

Menilai proses rawatan dan alat pengurangan pelepasan.

Menyelidik keadaan sedia ada premis.

Penulisan laporan dengan maklumat yang dikumpul dan disertai dengan cadangan.

19

Page 20: Bab 1-Buku Audit

Langkah yang diberi di atas bukan berdasarkan satu piawai yang ditetapkan, tetapi boleh

diadaptasi kepada keadaan yang tertentu. Variasinya bergantung kepada keperluan

khusus suatu audit dan tujuan diadakan audit tersebut. Perubahannya juga akan mengikut

saiz, jenis dan lokasi operasi; begitu juga struktur pengurusan dan syarikat yang akan

diaudit banyak mempengaruhi jalan audit yang akan diikuti.

Terdapat beberapa garis panduan yang boleh membantu dalam membangun satu

program audit yang khusus:

1) Komitmen dan Tanggungjawab Pihak Pengurusan

Komitmen dari pihak pengurusan atasan merupakan satu faktor yang penting bagi

menjamin kejayaan kepada proses audit dan tindakan untuk memperbaiki keadaan yang

tidak mematuhi peraturan alam sekitar. Untuk mendapat komitmen, pihak pengurusan

harus memahami kepentingan proses audit untuk kebaikan industri. Audit ini mampu

digunakan untuk mengembangkan maklumat pengoperasian industri dan boleh digunakan

untuk mengurangkan ketidakpatuhan seterusnya meminimakan liabiliti. Liabiliti boleh

menjejaskan pengoperasian industri yang boleh merugikan dan merendahkan reputasi

syarikat kepada orang awam dan pihak berkuasa alam sekitar.

2) Mengenalpasti Tujuan

Rangka proses audit mesti berdasarkan tujuan utama mengapa suatu audit diperlukan.

Pada amnya tujuan audit ialah untuk menilai serta mengurangkan kos pematuhan

perundangan yang sedia ada. Selain itu, ia juga bertujuan untuk menilai kaedah

pemonitoran dan status pematuhan alat kawalan pelepasan serta ketepatan segala

dokumentasi operasi syarikat. Selain daripada itu, objektif audit mungkin juga untuk

menilai struktur pengurusan dalam mewujudkan dan mengimplementasikan program

pematuhan yang telah dimandatkan untuk latihan, pemeriksaan dan laporan serta

tindakan seterusnya yang akan diambil.

20

Page 21: Bab 1-Buku Audit

3) Pemilihan Ahli Kumpulan

Ahli kumpulan dipilih berdasarkan kelulusan, pengalaman serta pengetahuan yang sedia

ada. Kakitangan yang fasih dalam pengurusan dan operasi jenis industri yang akan

diaudit amatlah berguna. Namun, ketua audit mesti terdiri daripada mereka yang sudah

berpengalaman, sementara ahli lain boleh terdiri daripada mereka yang baru dalam

bidang audit tetapi mestilah berpengetahuan tentang proses yang akan diaudit. Bagi

mereka yang belum berpengalaman, aktiviti audit boleh menjadi satu latihan tetapi

mereka tidak boleh menjadi ahli audit yang rasmi. Jumlah ahli kumpulan boleh

ditetapkan antara 2 hingga 4 orang, bergantung kepada kerumitan industri yang akan

diaudit. Setiap ahli kumpulan mesti dimaklumkan tentang tujuan audit sebenar dan

format yang akan digunakan serta dilatih tentang kaedah pengumpulan data yang

konsisten dan berkesan.

4) Kaedah Pengumpulan Maklumat

Kaedah mengumpul maklumat terdiri daripada beberapa cara seperti temuramah, soal

selidik, soalan terbuka, penyiasatan premis dengan terperinci, mengkaji dokumen dan

rekod yang sedia ada, mengkaji data analisis dan penyampelan, meninjau segala surat

menyurat rasmi dengan pihak berkuasa sama ada dalam bentuk amaran, denda, arahan

ataupun makluman. Ahli kumpulan juga akan diberikan tugas tertentu untuk

mengendalikan pengumpulan maklumat sama ada dari kakitangan industri dan juga

pihak berkuasa. Satu persoalan yang harus dijelaskan kepada semua ahli sebelum

memulakan audit iaitu adakah semua aspek industri akan diaudit atau sebahagian sahaja.

Begitu juga persoalan mengenai fokus audit sebenar dan ini boleh dibantu dengan satu

senarai semak. Satu senarai semak yang berkesan boleh membantu mengembangkan

dokumen kerja untuk mengaudit suatu industri yang juga memasuki senarai peraturan dan

perundangan yang berkaitan.

21

Page 22: Bab 1-Buku Audit

5) Penjadualan Audit

Penjadualan awal juga boleh membantu sebagai persediaan bagi kedua-dua pihak untuk

membuat perjumpaan atau lawatan dengan lebih teratur dan sempurna.

6) Permulaan Audit dan Implementasi

Apabila penjadualan telah ditetapkan, pihak yang akan diaudit serta kumpulan audit mesti

mengikut jadual dan protokol yang telah dipersetujui. Satu sesi penjelasan atau

pertemuan pertama akan diadakan di antara ahli kumpulan audit dan kakitangan industri

yang akan terlibat. Kadangkala kakitangan industri terlibat dalam kerja-kerja ataupun

mesyuarat, maka kumpulan audit hendaklah menekankan kehadiran mereka yang tepat

pada masa seperti yang telah dijanjikan supaya perjalanan proses audit berjalan dengan

lancar dan teratur. Begitu juga pihak audit mesti hadir pada masa yang telah ditetapkan

atau lebih awal untuk membuat persediaan sebelum berjumpa dan berbincang dengan

kakitangan industri. Maklumat yang diperlukan oleh pihak audit mesti dijelaskan dan

ditegaskan kepada pihak industri. Kegagalan pihak industri membekalkan maklumat yang

diperlukan akan menjejaskan proses audit dan akhirnya objektif tidak akan tercapai.

Jika lawatan hendak dijalankan pada bahagian premis yang tertentu, kakitangan industri

yang bertanggungjawab, dapat memberikan kerjasama serta boleh menjawab soalan yang

akan dikemukakan akan dikenalpasti dan mesti hadir bersama. Data dan maklumat yang

dikumpulkan semasa audit harus dibincangkan dengan kakitangan yang berkaitan supaya

mendapat segala penjelasan yang paling baik dan laporan dibuat dengan betul dan tepat

tanpa ahli audit memasukkan pendapat sendiri.

7) Dokumentasi dan Laporan

Setelah selesai mendapat maklumat dan proses audit pada tapak dan penelitian serta

analisis maklumat telah dibuat, maka tibalah masa untuk menyusun semua ke dalam satu

laporan yang boleh disampaikan kepada pihak yang diaudit. Laporan audit mesti

22

Page 23: Bab 1-Buku Audit

mengikut format yang konsisten yang dibentuk semasa program pengumpulan data.

Laporan audit juga hendaklah memasukkan segala maklumat yang berkaitan dengan

kekuatan dan juga kelemahan industri. Kekuatannya seperti langkah positif ke arah

pengurangan pencemaran dan usaha yang ditunjukkan ke arah mengatasi perkara

tersebut. Permasalahan seperti ketidakpatuhan dan pencemaran dengan sengaja akan

dilaporkan dan ini boleh dikaitkan dengan potensi liabiliti yang akan timbul. Di dalam

laporan, boleh memasukkan data-data yang diproses serta segala gambar sebagai bukti

kepada maklumat yang disertakan dan kesimpulan yang dibuat.

Proses audit akan berjaya dilaksanakan sebagai satu kaedah pengurusan, jika pihak audit

menyertakan senarai cadangan dan syor untuk setiap item yang mewujudkan

ketidakpatuhan. Draf laporan hendaklah diteliti dahulu oleh pihak pengurusan industri

yang diaudit dan jika perlu perbincangan dibuat antara pihak pengurusan dengan ketua

audit jika terdapat pembetulan yang perlu dibuat. Selalunya pihak yang diaudit akan

berasa tidak senang hati jika terdapat ayat atau istilah yang boleh menunjukkan

ketidakwibawaan syarikatnya. Oleh itu pemilihan perkataan atau susunan ayat mungkin

akan ditukar untuk memberi mesej yang kurang memberi implikasi negatif.

8) Tanggungjawab

Apabila selesai mengenalpasti masalah dan bahagian yang bermasalah, tanggungjawab

akan diagihkan kepada kakitangan yang berkaitan. Masa penyelesaian masalah akan

ditetapkan sama ada oleh pihak pengurusan ataupun berdasarkan arahan daripada pihak

berkuasa jika terdapat sebarang ketidakpatuhan yang ketara dan berlanjutan. Ahli

kumpulan audit pula boleh ditugaskan untuk menilai sejauh mana usaha telah dijalankan

bagi memperbaiki keadaan sehingga mencapai had-had yang ditetapkan oleh

pematuhan.

23

Page 24: Bab 1-Buku Audit

9) Penilaian Kemajuan

Satu program untuk menilai kemajuan aktiviti pembetulan mesti direkabentuk untuk

memudahkan penilaian kemajuan yang dijalankan. Langkah pembetulan yang akan

diambil bergantung kepada tahap ketidakpatuhan dan bahagian yang terlibat. Keperluan

perbelanjaan bergantung kepada aktiviti pembetulan. Sesetengah langkah pembetulan

hanya memerlukan penilaian kembali premis dan memastikan tidak terdapat kecuaian

dalam pelepasan. Sementara itu, ada pembetulan juga yang memerlukan kelengkapan

alatan baru atau yang diperbaiki untuk meningkatkan keberkesanan fungsi. Satu

perancangan tindakan yang akan dilaksanakan akan dibentuk dan dikemaskini pada masa

tertentu oleh mereka yang telah dipertanggungjawabkan.

Kejayaan bagi suatu audit, format yang teratur dan konsisten mesti direkabentuk dan

diikuti oleh semua yang terlibat. Maklumat dan data penyiasatan hendaklah dibandingkan

dengan peraturan dan perundangan alam sekitar yang sedia ada. Hasil daripada proses

audit, suatu syarikat dapat mengenalpasti kelemahan serta kekuatan aktivitinya dengan

ini segala kelemahan diperbaiki untuk mencapai pematuhan yang diperlukan.

Dalam menjalankan audit, satu pendekatan adalah dengan meningkatkan lagi kuasa

pekerja. Pihak pengurusan atasan mungkin perlu mengulangi perkara asas berulang kali

tentang nilai dan tujuan audit sehingga dapat difahami oleh semua peringkat pekerja.

Dalam usaha menjalankan audit, tidak mungkin mendapat kejayaan keseluruhannya tanpa

kerjasama dan sokongan daripada pekerja setiap lapisan. Ia memerlukan pendidikan dan

latihan berterusan untuk pekerja supaya mereka menyedari tentang pentingnya penjagaan

alam sekitar dan pencapaian semasa kerja.

Persekitaran dari segi perhubungan pekerja bermaksud:

1. Pihak pekerja berhak untuk mengetahui segala isu alam sekitar dari segi

pencemaran dan juga faktor keselamatan, berbahaya dan risiko. Ini menunjukkan

bahawa syarikat tidak ada isu yang disembunyikan sama ada dari pihak berkuasa

atau pun pekerja sendiri.

24

Page 25: Bab 1-Buku Audit

2. Pihak pengurusan perlu mengingati pekerja bahawa dengan adanya hak untuk

mengetahui segala isu yang timbul, maka pekerja akan dipikulkan dengan

tanggungjawab membantu menangani isu yang timbul. Jika isu tersebut adalah

perkara yang positif, maka ia merupakan tanggungjawab semua pihak untuk

meneruskan ciri positif ini.

3. Peluang untuk meningkatkan kefahaman setiap pekerja dalam isu dan maklumat

yang disampaikan oleh pihak pengurusan dan pada masa yang sama pihak

pengurusan akan memahami situasi kerja yang dilakukan oleh pekerja dan segala

kesulitan yang mereka hadapi.

4. Penerimaan tanggungjawab oleh pihak pengurusan dalam mematuhi perundangan

dan keperluan syarikat serta memberi tanggungjawab yang sama kepada pekerja.

Komunikasi alam sekitar sama ada dalam syarikat ataupun dengan orang luar,

penglibatan pekerja sendiri adalah sangat penting. Ini boleh menghasilkan idea seperti

pencegahan pencemaran, atau pengurusan alam sekitar yang perlu dimulakan dengan

pekerja sendiri dan diteruskan dalam kerja seharian. Keselamatan, kesihatan dan alam

sekitar sering kali diletakkan di bawah satu topik di mana ia menunjukkan hubungkait

yang rapat sekali. Dengan ini, ia digunakan sebagai elemen utama dalam perlindungan

alam sekitar.

25