asas kemahiran temuduga

10
ASAS KEMAHIRAN TEMUDUGA Dr Sapora Sipon Universiti Sains Islam Malaysia PENGENALAN Seorang kaunselor mesti mempunyai kemahiran asas temuduga untuk menjalankan kaunseling secara sistematik. ASAS KEMAHIRAN TEMUDUGA Stewart et.al (1978) menjelaskan kemahiran temuduga mengandungi enam komponen utama iaitu; (1). Memulakan sesi temuduga dengan persekitaran fizikal yang selesa, memberikan salam mesra kepada klien, menjemput klien untuk menyertai sesi temuduga, mengekalkan kontak mata yang baik sepanjang sesi dan mendemonstrasi postur badan yang baik. (2) Pemfokusan masalah yang dibincangkan dalam kaunseling (3) Mengenal pasti tema utama dalam kaunseling (4) Tema persoalan menjadi fokus perbincangan dalam kaunseling (5) Mengarah tema ke arah pembentukan matlamat

Upload: saporasipon

Post on 06-Jun-2015

2.675 views

Category:

Documents


4 download

TRANSCRIPT

Page 1: Asas kemahiran temuduga

ASAS KEMAHIRAN TEMUDUGA

Dr Sapora SiponUniversiti Sains Islam Malaysia

PENGENALAN

Seorang kaunselor mesti mempunyai kemahiran asas temuduga untuk menjalankan kaunseling secara sistematik.

ASAS KEMAHIRAN TEMUDUGA

Stewart et.al (1978) menjelaskan kemahiran temuduga mengandungi enam komponen utama iaitu;

(1). Memulakan sesi temuduga dengan persekitaran fizikal yang selesa, memberikan salam mesra kepada klien, menjemput klien untuk menyertai sesi temuduga, mengekalkan kontak mata yang baik sepanjang sesi dan mendemonstrasi postur badan yang baik.(2) Pemfokusan masalah yang dibincangkan dalam kaunseling(3) Mengenal pasti tema utama dalam kaunseling(4) Tema persoalan menjadi fokus perbincangan dalam kaunseling(5) Mengarah tema ke arah pembentukan matlamat(6) Interaksi kaunselor-klien yang melibatkan aplikasi teknik-teknik

proses kaunseling seperti parafrasa, interpretasi, pengurusan kesenyapan dan lain-lain.

(1) PERSEKITARAN DAN PERMULAAN TEMUDUGA

Kaunselor akan meningkatkan kemungkinan membantu kliennya dengan mengambil kira lima faktor fizikal yang penting.

(1.1)1.1. Susunan Persekitaran Fizikal

Sifat-sifat persekitaran fizikal pejabat kaunselor adalah pemboleh ubah penting yang menentukan sama ada kaunselor itu berjaya atau tidak dalam usaha membantu klien. Kaunselor dapat

Page 2: Asas kemahiran temuduga

memberikan bantuan dalam keadaan persekitaran fizikal yang kondusif dan sekurang-kurangnya dilengkapi perabot seperti kerusi dan meja. Susunan dua buah kerusi yang selesa adalah asas keperluan dalam menggalakkan perhubungan yang fasilitatif di antara kaunselor dengan klien.

Susunan persekitaran fizikal tersebut dilakukan sedemikian atas alasan untuk menyediakan satu atmosfera yang mesra supaya klien dapat berkembang dan berkeyakinan terhadap kaunselor. Kemesraan kaunselor akan menunjukkan minatnya, perhatiannya, kerelaannya dan kesediaannya terhadap persoalan klien untuk memberikan bantuan . Sekiranya hanya kerusi sahaja yang digunakan, kedua-dua kerusi itu haruslah dalam posisi yang sesuai untuk memudahkan badan kaunselor condong ke hadapan.

(1.2). Memberikan salam dan mempersilakan klien duduk

Kebanyakan klien akan menilai kemesraan yang ditunjukkan oleh kaunselor dari segi tingkah laku lisan dan bukan lisannya. Kenyataan ringkas seperti “selamat datang”, “dipersilakan masuk” atau “dijemput duduk” adalah bersesuaian dalam kontak pertama kaunselor dengan klien. Memberikan salam kepada klien dengan senyuman atau ekspresi muka yang relaks membolehkan klien merasai keselesaan sepanjang sesi kaunseling dijalankan.

(1.3).Menjemput klien untuk menyertai temuduga

Bagi memulakan sesi temuduga, kaunselor biasanya akan memperuntukkan 5 hingga 10 minit membincangkan topik-topik lain yang tidak berkaitan untuk menyediakan klien dalam keadaan yang selesa. Perbincangan kecil yang sedemikian akan mendorong klien untuk mempercayai bahwa kaunselor seolah-olah mengelak daripada sebarang perbincangan mengenai persoalan yang dibawa oleh klien.

Tingkah laku yang sedemikian akan melencongkan klien daripada membincangkan sebab-sebab yang mendorongnya untuk berjumpa dengan kaunselor. Klien berkemungkinan cuba menggembirakan hati kaunselor dengan meneruskan topik perbincangan yang diungkitkan oleh kaunselor atau menggunakannya untuk mengelak daripada membincangkan isu-isu yang membangkitkan kerunsingannya.

Pendek kata, klien selalunya akan memberikan respons kepada apa-apa sahaja pembuka kata yang diberikan oleh kaunselor. Namun kenyataan ringkas seperti ”apakah yang boleh saya bantu?” atau “apakah isu yang ingin dikongsikan hari ini”? adalah bersesuaian untuk memulakan sesi temuduga.

(1.4).Mengekalkan kontak mata

Page 3: Asas kemahiran temuduga

Kaunselor biasanya akan mengekalkan kontak mata dengan klien semasa sesi kaunseling. Kontak mata dalam konteks kaunseling membantu dalam membina perhubungan peribadi antara kaunselor dan klien, menunjukkan bahawa kaunselor bersedia dan tidak takut untuk mendekati persoalan yang dihadapi oleh klien serta membolehkan kaunselor memerhatikan tingkah laku bukan lisan yang ditunjukkan oleh klien. Namun, kontak mata yang lama akan menyebabkan klien berasa tidak selesa. Klien merasakan dirinya seolah-olah diperhatikan oleh kaunselor.

Oleh yang demikian, kaunselor haruslah mengekalkan kontak mata hanya untuk beberapa saat sahaja pada masa yang tertentu supaya klien berasa selesa sepanjang sesi kaunseling dijalankan. Walau bagaimanapun kaunselor haruslah sentiasa menjaga kontak matanya dengan klien dan bukannya melihat benda-benda lain di sekelilingnya.

(1.5).Mendemostrasikan postur badan yang baik

Kaunselor seharusnya berada dalam keadaan yang relaks tetapi pada masa yang sama memberikan perhatian kepada klien. Postur badan yang baik untuk kaunselor adalah dengan mencondongkan badan ke hadapan terhadap klien.

Postur badan yang sedemikian membantu dalam memperkembangkan satu atmosfera kaunseling yang mesra di samping menunjukkan bahawa kaunselor adalah berminat dengan isu-isu yang dikongsikan oleh klien. Selain daripada itu, pergerakan badan kaunselor juga haruslah bergerak dalam keadaan yang bebas serta berkemampuan berkomunikasi melalui tingkahlaku bukan lisan.

(2) PEMFOKUSAN PERSOALAN KLIEN

Aspek-aspek lain yang perlu dipertimbangkan dalam memulakan sesi temuduga dengan klien adalah mengenal pasti jenis persoalan yang menjadi fokus semasa interaksi kaunselor-klien. Sekiranya arah tuju percakapan klien tidak ditentukan semasa sesi temuduga, klien berkecenderungan untuk bercakap kosong dan berkemungkinan terdapat data penting yang berkaitan dengan persoalan yang dibawa oleh klien diabaikan.

Kebanyakan kaunseling individu adalah secara relatifnya dalam jangka masa pendek iaitu antara 3- 6 sesi temuduga. Oleh itu terdapat satu keperluan penting bagi kaunselor untuk membantu klien memfokus ke atas tema atau topik persoalan yang penting dan berkaitan. Wolberg (dlm Stewart, 1978), menamakannya sebagai pemfokusan terpilih selective focusing.

Page 4: Asas kemahiran temuduga

Pemfokusan terpilih adalah proses mengenal pasti satu tema penting melalui lisan klien, memfokus kepada kata-kata klien yang berkaitan dengan tema dan mengarah tema ke arah pencapaian matlamat. Kaunselor juga seharusnya berwaspada terhadap tanda-tanda bukan lisan yang berkaitan dengan persoalan yang dibawa oleh klien dalam sesi perbincangan.

(3) KENAL PASTI SATU TEMA YANG PENTING

Kaunselor akan mendengar dan memerhatikan tingkah laku lisan dan bukan lisan klien dengan menyatakan persoalannya untuk mengenal pasti tema-tema penting klien yang memenuhi pemikiran seseorang klien. Apakah yang akan dipilih oleh klien untuk berbincang dan bagaimana emosi yang signifikan disertakan apabila klien membincangkan topiknya? Proses mengenal pasti satu tema penting menjadi lebih mudah dengan mengumpulkan idea-idea yang penting yang memenuhi fikiran sesorang klien.

(4) PEMFOKUSAN DALAM TEMA

Sejurus tema persoalan klien telah dikenal pasti, kaunselor haruslah mengarah tingkah laku lisan supaya perbincangan memfokus kepada tema. Sesi temuduga yang efektif berlaku apabila klien dibantu untuk menceritakan beberapa topik berkaitan yang di batasi masa. Oleh itu, kaunselor haruslah membantu klien memfokus kepada tema-tema yang berkaitan dengan idea-idea yang memenuhi pemikiran seseorang klien.

Kaunselor melakukannya dengan memfokus semula kepada tema utama tersebut setiap kali klien cuba menyimpang atau bercakap kosong. Dorongan daripada kaunselor seperti “Kamu telah memberitahu saya tentang sebab-sebab mengapakah bapa kamu tidak memahami anda” atau “Bolehkah kamu memberitahu saya dengan lebih lanjut lagi tentang kesulitan kamu dalam kelas matematik?” akan membantu dalam mengawal tingkah laku lisan klien.

(5) MENGARAH TEMA KE ARAH PENCAPAIAN MATLAMAT

Salah satu tujuan dan matlamat kaunseling adalah untuk membantu klien supaya dapat mengubah tingkah lakunya ke arah pencapaian matlamat dan objektif yang telah ditentukan oleh klien dan kaunselor. Matlamat dibentuk berdasarkan keperluan klien untuk menyesuaikan diri dengan persekitaran dan mengubah tingkah laku maladaptive.

Setelah tema utama daripada tingkah laku lisan klien dikenalpasti, kaunselor akan mengarah sesi temuduga ke arah

Page 5: Asas kemahiran temuduga

pencapaian matlamat melalui penerokaan supaya satu persefahaman terhadap persepsi kendiri klien mengarah tema ke arah pencapaian matlamat kaunseling yang telah ditentukan oleh klien.

Contohnya :

“Seperti apa yang telah saya fahami, kamu ingin berhenti daripada mimpi kosong apabila sedang mengulangkaji ?”

“Kamu ingin mengambil keputusan sama ada melanjutkan pelajaran di universiti ataupun menjadi seorang anggota polis?”

(6) MENGURUS INTERAKSI KAUNSELOR-KLIEN

Aspek pemfokusan yang terakhir dalam asas kemahiran temuduga adalah merujuk kepada kepekaan seseorang kaunselor terhadap tiga kemahiran yang mungkin digunakan untuk memudahkan perbincangan persoalan klien. Adakalanya dalam sesi temuduga kaunseling terdapat perbincangan beberapa topik yang tidak berkaitan dengan persoalan yang dibawa oleh klien. Malahan klien tidak dapat menceritakan persoalannya dengan senang kerana terdapat beberapa kelemahan dalam kemahiran komunikasi secara lisan mahupun bukan lisan untuk menceritakan persoalannya.

Selain daripada itu, terdapat juga klien yang tidak mempercayai kaunselor dengan sepenuhnya sehinggakan tidak dapat menceritakan intipati persoalan dan perasaannya dengan bebas. Oleh itu, ia menjadi penting bagi kaunselor untuk mengaplikasikan teknik yang dapat membantu klien menceritakan pokok persoalannya dengan lancar supaya sesi temuduga dapat diteruskan tanpa sebarang halangan.

(7) MENGEKALKAN TAHAP KETEGANGAN TERTENTU DALAM SESI TEMUDUGA

Klien haruslah dimotivasikan ke arah pencapaian matlamat dalam kaunseling. Klien yang terlalu relaks tidak akan melibatkan diri dengan aktif dalam proses kaunseling malahan terdapat beberapa klien yang sengaja mengenepikan masalahnya dan membiarkan kaunselor mengambil tanggungjawabnya untuk mencari jalan penyelesaian.

Kaunselor haruslah berwaspada terhadap situasi yang sedemikian dan mengambil langkah-langkah untuk mengekalkan tahap ketegangan yang optimum semasa sesi temuduga. Ketegangan boleh diwujudkan dengan memfokus kepada topik-topik yang bersifat provokatif di samping menanyakan soalan-soalan yang mencabar ataupun menggunakan teknik kesenyapan.

Page 6: Asas kemahiran temuduga

RUMUSAN

Kaunseling yang berjaya dan berkesan memerlukan penyediaan proses kaunselor-klien yang baik. Selain dari itu, kaunselor perlu mempunyai ciri-ciri tertentu dan mewujudkan sesi perhubungan kaunseling yang mantap. Antara ciri-ciri yang perlu wujud dalam diri kaunselor ialah kaunselor seharusnya menghormati harga diri dan maruah diri klien tanpa mengambil kira tingkah laku , sikap, kepercayaan, bangsa, jantina, peringkat umur atau status ekonomi klien.

Kaunselor juga perlu berusaha mewujudkan satu perhubungan yang fasilitatif bersama dengan klien. Kecekapan profesional klien juga boleh dilihat apabila kaunselor sentiasa berusaha membantu klien untuk mengenalpasti dimensi-dimensi biologikal, persekitaran dan psikologi dari pelbagai aspek seperti kognitif, afektif dan tingkah laku.

Dalam usaha memantapkan diri sebagai kaunselor yang berjaya, kaunselor perlu menjadi satu model sosial yang baik dan beliau seharusnya sentiasa mempertingkatkan ilmu sepanjang kerjayanya. Selain daripada kemahiran dan kecekapan profesional kaunselor, kaunselor mesti mempunyai kemahiran asas temuduga untuk menjalani sesi kaunseling secara sistematik dan teratur.

Lima faktor fizikal seperti susunan persekitaran, fizikal, memberi salam dan mempersilakan klien duduk, menjemput klien untuk menyertai temuduga, mengekalkan kontak mata dan mendemonstrasikan postur badan yang baik. Kaunseling yang berkesan juga memerlukan pemfokusan persoalan klien. Dalam pemfokusan persoalan klien, beberapa perkara perlu diambilkira seperti mengenal pasti satu tema yang penting, pemfokusan dan tema, mengarah tema ke arah pencapaian matlamat, mengurus interaksi kaunselor-klien dan mengekalkan ketegangan dalam sesi kaunseling.

RUJUKAN

Stewart, N.R., Winborn,B.B., Burks, H.M., Johnson,R.R., & Englekes, J.R. (1978). Systematic Counseling. Prentice Hall, Inc. Englewood Cliffs, New Jersey.

Page 7: Asas kemahiran temuduga