artikel 21
TRANSCRIPT
ARTIKEL 2
http://www.ikim.gov.my/index.php/en/utusan-malaysia/8342-obesiti-kanak-kanak-
dimanakah-peranan-ibu-bapa
Obesiti Kanak-kanak: Dimanakah
Peranan Ibu Bapa? Written by Norkumala binti Awang. Posted in Utusan Malaysia
Kanak-kanak montel, mungkin dianggap comel tetapi pernahkah kita terfikir jika kemontelan
itu berterusan sehingga dewasa? Di tambah lagi, penyakit tidak berjangkit pada masa kini
tidak mengenal usia dan jantina. Bahkan ia terus bermaharajalela dalam masyarakat kita.
Tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa masyarakat kita sekarang sedang membentuk dan
menyediakan generasi yang gemuk dan berpenyakit pada masa akan datang.
Kanak-kanak obes kini sudah tidak asing lagi dalam masyarakat kita tetapi senario ini tidak
dipandang sebagai satu masalah kesihatan awam. Bahkan ia menjadi sesuatu yang normal
pada pandangan masyarakat. Hakikatnya, masyarakat kita telah pun menyedari tentang peri
penting menjaga kesihatan tetapi kadangkala sikap dan tabiat gaya hidup yang tidak sihat
diamalkan secara tradisi menjadi ikutan. Lantas, ia menjadi satu kelaziman dan akhirnya
pelbagai masalah yang menyusup masuk dalam kehidupan mengundang bala yang tidak
disedari. Lihat saja, berapa ramai antara kita yang sihat, tiba-tiba meninggal dunia akibat
penyakit pembunuh secara senyap? Berapa ramai pula sekarang anak-anak telah pun
mengidap penyakit diabetes sejak kecil dan paling malang lagi di bangku sekolah telah
mengambil suntikan insulin sebagai rawatan diabetes? Siapakah yang harus ditunding jari ?
Secara asasnya, pendidikan pemakanan dibentuk oleh kedua ibu bapa, keluarga atau orang
yang menjaga anak-anak sejak dari kecil. Segala aspek bermula daripada pemilihan makanan,
tabiat, cara makan dan jenis makanan adalah dicedok daripada apa yang diberikan, dibentuk
dan ditunjukkan oleh ibu bapa. Kemudian barulah faktor-faktor luaran yang memainkan
peranan dalam membentuk tabiat pemakanan anak-anak. Jika di sekolah, mereka mungkin
terpengaruh dengan kawan-kawan dan juga persekitaran yang mereka lalui. Tetapi di rumah,
ahli keluarga dan persekitaran rumah adalah penting dalam mencorak pola pemakanan anak-
anak.
Setiap ibu bapa mahu melihat anak-anak mereka membesar dengan sihat dan kuat. Justeru itu,
sudah pastilah anak-anak disediakan dengan makanan yang berkhasiat. Pada umur awal
tumbesaran, masalah pemakanan menjadi agenda utama dalam perkembangan mereka. Ini
kerana sesetengah kanak-kanak mungkin menjadi kurang berselera dan ada yang mempunyai
selera yang berlebihan terhadap sesuatu makanan. Ia adalah lumrah dalam perkembangan
awal kanak-kanak. Mungkin disebabkan faktor ini, ibubapa memanjakan anak-anak dengan
memberi segala jenis makanan dengan harapan agar mereka mendapat semua khasiat yang
diperlukan. Akhirnya mereka gagal untuk mengawal pemakanan malah anak-anak cenderung
untuk mengambil makanan secara berlebihan. Tidak mustahil, makanan tersebut juga tidak
berkhasiat dan tidak sesuai untuk mereka akhirnya akan menyumbang kepada masalah
obesiti.
ARTIKEL 2
Walaupun faktor genetik atau keturunan tidak dapat dinafikan menyumbang kepada masalah
obesiti dalam kalangan kanak-kanak namun punca luaran atau persekitaran tidak boleh
dipandang sepi. Kanak-kanak cenderung menjadi obes apabila ibu bapa mereka juga obes.
Walaupun berlaku ketidakseimbangan genetik menyebabkan individu makan secara
berlebihan namun faktor ini tidak dapat diuruskan dalam kita menangani obesiti kanak-kanak.
Namun, kita boleh melihat corak pemakanan anak-anak juga dicontohi daripada ibu bapa. Ibu
bapa yang tidak mempunyai amalan pemakanan yang sihat boleh menyebabkan anak-anak
mengikut acuan tersebut.
Dalam pada masa yang sama, kita tidak boleh menyalahkan lambakan satu-satu makanan
yang menyebabkan anak-anak kecil menjadi obes. Budaya semasa masyarakat yang gemarkan
makanan berkalori tinggi contohnya nasi lemak, roti canai, teh tarik dan makanan segera yang
lain juga menyumbang kepada masalah obesiti dalam kalangan kanak-kanak. Corak
pemakanan sebegini memberi contoh kepada anak-anak. Namun begitu, ia tidak menjadi satu-
satunya punca kepada permasalahan ini berlaku. Oleh itu, amatlah tidak wajar jika trend ini
dipersalahkan sedangkan pokok pangkal penyebabnya tidak diperbetulkan. Contohnya, jika
makanan seperti nasi lemak mudah didapati tetapi pengambilannya tidak dikawal, maka ia
juga boleh menyumbang kepada masalah obesiti disebabkan kekerapan pegambilannya.
Pokok pangkalnya adalah pendidikan daripada ibu bapa yang menentukan corak pemakanan
mereka.
Dalam hal sebegini, kesibukan ibu bapa menyebabkan pemilihan makanan yang berkhasiat
agak terhad. Ibu bapa yang sibuk cenderung memilih makanan segera sebagai hidangan untuk
keluarga disebabkan kekangan masa. Akhirnya ia menjadi satu budaya dalam sesebuah
keluarga. Begitu juga dengan pengaruh persekitaran seperti rakan sebaya dan media massa
memainkan peranan penting dalam menyumbang kepada permasalahan obesiti kanak-kanak.
Jika di sekolah, anak-anak di luar pengaruh dan kawalan ibu bapa, maka rakan sebaya dan
persekitaran menjadi contoh utama mereka dalam memilih sesuatu makanan. Di sekolah,
pemilihan makanan yang berkhasiat juga terhad malah kebanyakan makanan yang disediakan
tidak cukup seimbang, berkalori tinggi, tinggi gula, garam dan juga kolesterol. Kewujudan
dan kemudahdapatan snek dan minuman manis seperti "vendor machine" di sekolah juga
menyebabkan anak-anak cenderung untuk mengambil gula secara berlebihan. Apatah lagi,
jika pembekal makanan di sekolah lebih suka menjual makanan rapu atau "junk food" yang
menjadi kesukaan kanak-kanak.
Seharusnya pihak tersebut tidak mementingkan keuntungan semata-mata dengan menjual
makanan yang tidak berkhasiat. Ini kerana makanan ringan akan menyumbang lebih banyak
kalori malah menyebabkan pengguna menjadi cenderung untuk mengambilnya lebih banyak
dan mengehadkan pengambilan makanan berkhasiat lain. Senario ini kerap berlaku dalam
kalangan kanak-kanak, dan mereka lebih cenderung untuk menghabiskan wang belanja harian
semata-mata untuk membeli makanan ringan berbanding makanan berkhasiat yang lain
seperti hidangan nasi dan sebagainya. Pengambilan kalori yang tinggi, gula dan garam
berlebihan akan menyumbang kepada masalah obesiti kanak-kanak. Seharusnya,
permasalahan sebegini diberi perhatian serius oleh ibu bapa, pihak sekolah dan juga pembekal
makanan di sekolah. Kawalan dan pemantauan terhadap bekalan makanan ringan dan
ARTIKEL 2
minuman yang tidak baik untuk kesihatan harus dipertingkatkan malah makanan yang tidak
berkhasiat ini perlu dihadkan atau diberhentikan penjualannya.
Kanak-kanak yang obes akan cenderung menjadi obes apabila dewasa kelak ataupun
mengalami berat badan berlebihan sepanjang hayat mereka jika tidak dirawat dan dipantau. Di
samping pelan pemakanan yang sihat, anak-anak juga perlu diterapkan latihan fizikal yang
mantap. Bukan sekadar menghabiskan masa terluang di hadapan televisyen dan komputer. Ibu
bapa yang memiliki anak-anak obes perlu tahu bahawa mengurangkan berat badan dan
mengekalkan berat badan unggul adalah satu perkara yang sukar. Justeru, ia memerlukan
kefahaman yang mantap tentang permasalahan ini dan menekankan tabiat pemakanan yang
sihat. Bukan setakat diterapkan kepada anak-anak malah perlu dilakukan bermula daripada
diri sendiri. Barulah ia mempunyai sinergi yang cukup kuat dalam menyediakan kanak-kanak
yang sihat dan generasi tidak obes pada masa akan datang.
Kesimpulannya, kita perlu mengamalkan sikap mencegah lebih baik daripada mengubat. Kita
perlu mencegah penyakit yang bakal timbul akibat keobesan generasi masa kini dengan
menerapkan amalan pemakanan sihat dan berbudaya hidup sihat. Semuanya bermula daripada
ibu bapa sebagai pasak utama dalam pendidikan pemakanan anak-anak. Sejajar dengan
saranan dalam surah Isra' ayat 7 yang bermaksud "Jika kamu berbuat kebaikan, (maka faedah)
kebaikan yang kamu lakukan adalah untuk diri kamu; dan jika kamu berbuat kejahatan, maka
(kesannya yang buruk) berbalik kepada diri kamu juga...". Jika kita tidak berkorban untuk
anak-anak pada hari ini bermakna kita menyediakan generasi yang tidak sihat pada masa akan
datang. Ayuh, perkasakan peranan ibu bapa dengan menilai pelan pemakanan sihat anak-anak
pada hari ini.