kerja kursus pendek perkembangan kanak-kanak (teori jean piaget)
Post on 02-Jul-2015
2.785 Views
Preview:
TRANSCRIPT
INSTITUT PENDIDIKAN GURU,
KAMPUS PEREMPUAN MELAYU, 75400, MELAKA
KERJA KURSUS PENDEK (KKP)
PERKEMBANGAN KANAK-KANAK (EDU-3102)
NAMA : NOR HALIMAH BINTI MAHAT
UNIT : PISMP PENGAJIAN MELAYU JANUARI 2011
SUBJEK : PERKEMBANGAN KANAK-KANAK (EDU3102)
TARIKH SERAHAN : 1 APRIL 2011
SENARAI KANDUNGAN
MUKA SURAT
HALAMAN JUDUL iHALAMAN PENGAKUAN iiPENGHARGAAN iiiSENARAI KANDUNGAN ivABSTRAK v
1.0 LAPORAN PERKEMBANGAN FIZIKAL
1.1 Pendahuluan 11.2 Pengenalan 21.3 Analisis data 3
1.3.1 Jadual Perkembangan Fizikal Responden 41.3.2 Graf Perkembangan Fizikal Responden 41.3.3 Perbincangan Hasil Pemerolehan Data 51.3.4 Rumusan Laporan Perkembangan Fizikal 7
2.0 LAPORAN PERKEMBANGAN KOGNITIF
2.1 Pendahuluan 92.2 Pengenalan 102.3 Analisis Data
2.3.1 Pengenalan Ujian Konservatif Piaget 112.3.2 Data Responden Ujian Perkembangan Kognitif
2.3.2.1 Data Responden Peringkat Pra Operasi 12Dan Perbincangan
2.3.2.2 Data Responden Peringkat Operasi Konkrit 15Dan Perbincangan
2.3.2.3 Data Responden Peringkat Operasi Formal 18Dan Perbincangan
2.3.3 Rumusan Laporan Perkembangan Kognitif 20
BIBLIOGRAFI 22
REFLEKSI
- Nor Halimah Binti Mahat 23
LAMPIRAN- Biodata responden- Borang ujian konservatif Piaget- Bahan fotokopi- Soalan KKBI
Perkembangan Fizikal Dan Kognitif
Kanak-Kanak
ABSTRAK
Perkembangan ialah perubahan yang bersifat kualitatif iaitu sifat
perubahan yang tidak dapat diukur secara kuantiti tetapi ternyata perubahan
yang sudah berlaku melihatkan sifat kelainan daripada peringkat yang
terdahulu. Perubahan-perubahan tersebut melibatkan perubahan fizikal,
kognitif, sosial dan emosi. Namun kajian yang dijalankan lebih tertumpu
kepada perubahan yang melibatkan perkembangan fizikal dan kognitif kanak-
kanak. Kajian perkembangan fizikal dan kognitif ini dijalankan mengikut
kategori umur tertentu berdasarkan teori perkembangan awal kanak-kanak.
Kajian ini bertujuan untuk mengenalpasti adakah teori perkembangan
kanak-kanak selari dengan kajian yang dilakukan terhadap murid yang telah
dipilih. Seramai tiga orang murid yang merupakan kanak-kanak berusia antara
7-11 tahun di sebuah sekolah telah dipilih sabagai responden kajian. Pemilihan
responden adalah berdasarkan kajian pemerhatian dan interaksi semasa
berada di sekolah. Data kajian telah diambil secara pemerhatian, ujian dan
pengukuran. Dapatan kajian mendapati bahawa terdapat perubahan
perkembangan fizikal dan kognitif mengikut peringkat umur.
1.0 LAPORAN PERKEMBANGAN FIZIKAL
1.1 Pendahuluan
Perkembangan fizikal kanak-kanak merupakan satu aspek yang
menekankan asas pertumbuhan dan pembesaran kanak-kanak. Proses
perkembangan fizikal ini juga boleh dikaitkan dengan kebolehan kanak-
kanak menggunakan anggota badan, otot, dan koordinasi untuk
menjalankan aktiviti seharian mereka. Semasa pembesaran, kanak-
kanak akan mengalami perubahan dalam ketinggian, berat badan,
menjadi lebih kuat, dan dapat melibatkan diri dalam kegiatan fizikal yang
lebih kompleks.
Berdasarkan tafsiran Woolfolk & Margetts (2007), perkembangan
fizikal merujuk kepada perubahan saiz fizikal, kadar pertumbuhan
bahagian-bahagian badan, fungsi anggota-anggota badan dan
perawakan manusia (Haliza Hamzah & Joy N. Samuel). Kenyataan ini
disokong pula oleh Hurlock (1987) yang menyatakan bahawa
perubahan-perubahan fizikal yang berlaku mempengaruhi tingkah laku
kanak-kanak secara langsung atau tidak langsung.
Terdapat empat prinsip asas perkembangan fizikal. Prinsip yang
pertama ialah perkembangan kanak-kanak bermula daripada kepala dan
beransur ke kaki. Prinsip kedua ialah arah perkembangan berlaku
daripada tengah badan dan berterusan ke luar. Prinsip ketiga pula ialah
kebolehan bayi bertambah jelas dan spesifik manakala prinsip keempat
berbunyi aspek berbeza berkembang pada tahap yang berbeza. Setiap
prinsip asas tersebut berkembang mengikut peringkat-peringkat
perkembangan fizikal iaitu dari peringkat prenatal sehingga peringkat
dewasa.
1.2 Pengenalan
Kajian perkembangan fizikal ini dijalankan untuk melihat perkembangan
fizikal kanak-kanak sama ada selari atau tidak dengan teori
perkembangan awal kanak-kanak yang telah dipelajari. Kajian telah
dijalankan di sebuah sekolah di Muar, Johor yang mempunyai seramai
213 orang pelajar.
Seramai tiga orang murid yang merupakan kanak-kanak berusia
antara 7-12 tahun di sekolah tersebut telah dipilih sabagai responden
kajian. Pemilihan responden tersebut dibuat setelah pemerhatian dan
pengenalpastian latar belakang murid dan persekitaran sekolah
dilakukan secara keseluruhan.
Sebagai analisa, tiga orang responden tersebut telah diambil
data-data diri mereka seperti berat, ketinggian, perimeter kepala dan
perimeter pinggang dan dicatatkan. Selain itu aspek lain seperti aspek
tulisan juga diambil kira sebagai perkembangan fizikal responden kami.
Pengiraan aspek penulisan responden adalah berdasarkan tulisan yang
kemas dan kemahiran menggunakan otot-otot jari untuk menulis.
1.3 Analisis data
Hasil daripada kajian pemerhatian terhadap pelajar di Sekolah
Kebangsaan Parit Pinang Seribu, tiga orang pelajar daripada kategori
umur yang berbeza telah dipilih untuk menjadi responden kepada ujian
perkembangan fizikal kanak-kanak, mereka terdiri daripada :
1. Seorang pelajar Tahun 1
2. Seorang pelajar Tahun 4
3. Seorang pelajar Tahun 6
RESPONDEN KANAK-KANAK MENGIKUT KATEGORI UMUR
2 TAHUN SEHINGGA 7 TAHUN
Nama : Amar Firdaus bin Atan
Tahun : 1
Umur : 7 tahun
Ukuran fizikal : -
Berat : 16 kilogram (kg)
Ketinggian : 93 sentimeter (cm)
Perimeter pinggang : 47 sentimeter (cm)
Perimeter kepala : 50 sentimeter (cm)
RESPONDEN KANAK-KANAK MENGIKUT KATEGORI UMUR
7 TAHUN SEHINGGA 11 TAHUN
Nama : Nur Amirul Hakim bin Sulaiman
Umur : 10 tahun
Tahun : 4
Ukuran fizikal : -
Berat : 18 kilogram (kg)
Ketinggian : 112 sentimeter (cm)
Perimeter pinggang : 54 sentimeter (cm)
Perimeter kepala : 52 sentimeter (cm)
RESPONDEN KANAK-KANAK MENGIKUT KATEGORI UMUR
11 TAHUN SEHINGGA DEWASA
Nama : Mohd Haikal bin Haron
Umur : 12 tahun
Tahun : 6
Ukuran fizikal : -
Berat : 24.5 kilogram (kg)
Ketinggian : 133 sentimeter (cm)
Perimeter pinggang : 68 sentimeter (cm)
Perimeter kepala : 54 sentimeter (cm)
1.3.1 Jadual Perkembangan Fizikal Responden
Umur Berat Tinggi Perimeter pinggang Perimeter kepala
7 tahun 16 kg 93 cm 47 cm 50 cm
10 tahun 18 kg 112 cm 54 cm 52 cm
12 tahun 24.5 kg 133 cm 68 cm 54 cm
1.3.2 Graf Perkembangan Fizikal Responden
7 tahun 10 tahun 12 tahun0
5
10
15
20
25
30
Graf Peningkatan Berat (kg) Mengikut Umur
7 tahun 10 tahun 12 tahun0
20
40
60
80
100
120
140
Graf Peningkatan Ketinggian (cm) Mengikut Umur
7 tahun 10 tahun 12 tahun0
1020304050607080
Graf Peningkatan Perimeter Pinggang (cm) Mengikut Umur
7 tahun 10 tahun 12 tahun48
49
50
51
52
53
54
55
Graf Peningkatan Perimeter Kepala (cm) Mengikut Umur
1.3.3 Perbincangan Hasil Daripada Pemerolehan Data
Berdasarkan graf 1.3.2, perkembangan fizikal responden kajian seperti
berat, ketinggian, perimeter kepala dan perimeter pinggang meningkat
mengikut umur. Keadaan ini bertepatan dengan pendapat Santrock
(2008), yang menyatakan bahawa perkembangan sebagai perubahan
dalam corak biologi, kognitif, dan sosioekonomi individu yang bermula
daripada peringkat percambahan sehingga ke akhir hayat. Oleh hal
yang demikian, bukanlah sesuatu yang luar biasa sekiranya saiz, berat,
ketinggian dan ukur lilit kepala kanak-kanak berbeza mengikut tahap
umur kerana sememangnya perkara tersebut adalah fitrah manusia.
Umumnya pada peringkat umur 7 tahun, kanak-kanak adalah
lebih kurus berbanding kanak-kanak yang lebih berusia daripadanya.
Hal ini kerana pada tahap umur tersebut, kanak-kanak belum lagi
mencapai akil baligh. Keadaan ini diperhatikan melalui responden yang
pertama kerana responden tersebut berusia 7 tahun. Oleh itu, tidak
hairanlah sekiranya berat badan responden tersebut adalah kurang
berbanding responden kedua dan ketiga.
Pada peringkat umur 10 tahun sehingga 12 tahun pula, kanak-
kanak sudah menghampiri akil baligh. Menurut Haliza Hamzah & Joy N.
Samuel (2008), perubahan terhadap saiz badan akan berlaku bermula
satu atau dua tahun sebelum mencapai akil baligh. Oleh sebab itulah
responden yang berusia 10 dan 12 tahun mempunyai berat badan yang
lebih berbanding responden yang beusia 7 tahun. Namun perbezaan
berat badan antara ketiga-tiga responden tidak menunjukkan perubahan
yang begitu ketara. Keadaan ini boleh dirujuk semula dalam jadual 1.3.1
yang mana perkembangan fizikal responden adalah stabil dan tidak
begitu pesat. Keadaan yang sama turut berlaku kepada perkembangan
fizikal yang lain seperti ketinggian, perimeter kepada dan perimeter
pinggang.
Antara faktor lain yang mempengaruhi perkembangan fizikal
kanak-kanak ialah seperti faktor baka. Menurut Haliza Hamzah & Joy N.
Samuel (2008), baka merujuk kepada ciri-ciri biologi, atau gen-gen yang
diperturunkan melalui ibu bapa kepada anak-anaknya. Oleh itu, tidak
dapat dinafikan bahawa perkembangan individu juga dipengaruhi faktor
genetik individu tersebut. Faktor genetik ini dapat dilihat semasa
menjalankan kajian iaitu terdapatnya responden yang berambut keriting
dan yang berambut lurus. Selain itu, warna kulit responden juga berbeza
antara satu sama lain. Perbezaan warna kulit antara responden adalah
disebabkan trait yang diwarisi daripada ibu bapa mereka.
Selain itu, faktor pemakanan juga mempengaruhi perkembangan
fizikal kanak-kanak. Penekanan kepada gaya hidup sihat dengan
mengamalkan pemakanan yang baik dapat memberi kesan yang positif
kepada perkembangan fizikal kanak-kanak. Pemakanan yang seimbang
serta gaya hidup sihat dapat membantu membentuk fizikal yang sihat
dan cergas. Berdasarkan temubual yang dijalankan kepada responden,
ibu bapa mereka kebiasaanya menyediakan hidangan sepinggan
lengkap kepada mereka sebagai menu harian keluarga. Oleh itu,
perkembangan fizikal responden berada dalam keadaan normal dan
baik.
Aspek tulisan juga merupakan salah satu faktor yang dilihat
sebagai perkembangan fizikal kanak-kanak. Tulisan yang cantik dan
kemas berkembang mengikut peringkat umur kanak-kanak. Keadaan ini
boleh dibuktikan semasa melakukan kajian yang mana responden
dikehendaki menulis biodata diri mereka pada kertas kosong yang telah
disediakan. Melalui pemerhatian yang dilakukan, tulisan responden
yang berusia 12 tahun adalah lebih kemas dan cantik berbanding
responden yang berumur 7 dan 10 tahun.
1.3.4 Rumusan Laporan Perkembangan Fizikal
Secara keseluruhan dapatlah disimpulkan bahawa terdapat banyak
faktor yang mempengaruhi perkembangan fizikal kanak-kanak.
Antaranya ialah faktor baka, pemakanan, dan faktor akil baligh. Selain
itu, perkembangan tulisan kanak-kanak juga berkembang mengikut
peringkat umur. Cara pengajaran guru di dalam kelas amat
mempengaruhi pembelajaran kanak-kanak khususnya aspek tulisan.
Pengunaan teknik menulis yang diajarkan oleh guru haruslah berkesan
dan diajarkan kepada mereka sejak dari prasekolah lagi agar mereka
dapat menulis dengan baik bak kata pepatah melentur buluh biarlah
daripada rebungnya.
Tambahan lagi, bagi memastikan perkembangan fizikal kanak-
kanak berada dalam keadaan yang baik, guru haruslah memberi
kesedaran tentang gaya hidup sihat kepada murid terutamanya dari segi
pemakanan, senaman dan mengelakkan diri daripada gejala negatif
seperti merokok dan mengambil dadah. Guru juga digalakkan
menyediakan kursus dan ceramah tentang aktiviti seksual agar kanak-
kanak mengetahui perubahan fisiologi yang berlaku terhadap diri mereka
seperti apabila mereka mencapai akil baligh.
Sebagai seorang guru, kita haruslah peka dan sensitif terhadap
perkara-perkara tersebut kerana perubahan-perubahan yang berlaku
akan mempengaruhi keupayaan dan minat kanak-kanak di dalam
pembelajaran sekolah.
2.0 LAPORAN PERKEMBANGAN KOGNITIF
2.1 Pendahuluan
Kemahiran kognitif merupakan kebolehan individu berfikir, memberi
pendapat, memahami, dan mengingati perkara-perkara yang berlaku di
persekitaran masing-masing. Kemahiran ini melibatkan operasi mental
seperti ingatan, mengkategori, merancang, menaakul, menyelesaikan
masalah, mencipta, berimaginasi dan lain-lain.
Perkembangan kognitif kanak-kanak pula merupakan suatu
proses peningkatan keupayaan pemikiran, pengetahuan dan
keintelektualan kanak-kanak serta kemampuan mereka menjana akal
budi dalam pelbagai aktiviti penyelesaian masalah, menganalisa dan
membentuk pengetahuan baharu terhadap pengalaman yang dilaluinya.
Perkembangan kognitif ini juga sering dikaitkan dengan perkembangan
intelektual seseorang kanak-kanak.
Proses ini dilalui oleh semua kanak-kanak kerana perkembangan
kognitif merupakan salah satu proses tumbesaran yang amat penting
kerana ia akan mempengaruhi kehidupan dan masa depan seseorang
kanak-kanak. Menurut Jean Piaget (1896-1980) pemikiran merupakan
suatu proses yang disedari dan berkembang secara berperingkat-
peringkat iaitu peringkat pra operasi (kanak-kanak 2-7 tahun), peringkat
operasi konkrit (7-11 tahun), dan peringkat operasi formal (11 tahun
sehingga dewasa).
2.2 Pengenalan
Kajian perkembangan kognitif ini dijalankan untuk melihat perkembangan
kognitif kanak-kanak sama ada selari atau tidak dengan teori-teori
perkembangan kognitif yang dikemukakan oleh ahli-ahli psikologi.
Kajian telah dijalankan di Sekolah Kebangsaan Parit Pinang Seribu,
Muar, Johor yang mempunyai seramai 213 orang pelajar.
Seramai tiga orang murid yang merupakan kanak-kanak berusia
antara 7-12 tahun di sekolah tersebut telah dipilih sabagai responden
kajian. Pemilihan responden tersebut dibuat setelah pemerhatian dan
pengenalpastian latar belakang murid dan persekitaran sekolah
dilakukan secara keseluruhan.
Sebagai analisa, tiga orang responden tersebut telah menjalani
ujian konservatif Piaget untuk melihat perkembangan kognitif mereka.
Antara ujian yang dijalankan seperti ujian duit syiling, ujian tali dan ujian
air. Alasan yang dikemukakan oleh responden direkodkan untuk melihat
perbezaan kognitif responden mengikut peringkat umur.
2.3 Analisis Data
2.3.1 Pengenalan Ujian Konservatif Piaget
Setiap responden telah melaksanakan tiga jenis ujian konservatif Piaget
yang terdiri daripada ujian duit syiling, ujian tali dan ujian air. Terdapat
tiga stesen yang berlainan yang mempunyai jenis ujian yang berlainan.
Bagi ujian yang pertama iaitu ujian duit syiling, prinsip
transformasi telah digunakan. Duit syiling telah disusun secara sama
banyak pada permulaan ujikaji dan kemudian keadaan duit syiling
tersebut telah ditransformkan kepada keadaan yang lain tanpa
menambah bilangan duit syiling tersebut. Responden telah ditanya
adakah bilangan duit syiling selepas diselerakkan sama bilangannya
dengan jumlah duit syiling sebelum diselerakkan.
Bagi ujian yang kedua pula iaitu ujian tali, proses transformasi
juga digunakan. Bagi ujian ini, dua tali yang sama panjang digunakan.
Pada permulaan ujian ini, kedua-dua tali yang sama panjang itu
diletakkan di atas meja secara lurus dan responden mengenalpasti sama
ada panjang kedua-dua tali tersebut sama atau tidak. Setelah itu, salah
satu tali tersebut ditransformkan iaitu diubah bentuknya agar menjadi
sedikit bengkok.
Ujian ketiga yang dijalankan pula ialah ujian isipadu air. Dalam
ujian ini, dua bekas air digunakan dan dilabel sebagai bekas A dan
bekas B. Kedua-dua bekas tersebut mempunyai saiz dan ketinggian
yang sama. Dalam situasi A, responden ditanya sama ada kedua-dua
bekas tersebut mempunyai isipadu air yang sama banyak atau tidak.
Selepas responden memberikan jawapan mereka, transformasi akan
dilakukan. Transformasi dibuat dengan menggantikan bekas B dengan
bekas yang mempunyai saiz dan ketinggian yang berbeza yang ditandai
dengan bekas C. Semasa melakukan transformasi ini, responden
memerhatikan prosedur tersebut. Bekas A dan C diletakkan secara
bersebelahan dan responden akan ditanya semula adakah isipadu air
antara kedua bekas sama atau tidak.
Setiap alasan yang diberikan responden telah direkodkan dalam
borang ujian yang telah disediakan. Kemudian setiap alasan yang
diberikan oleh responden diulas dan dibincangkan berdasarkan setiap
ujian sama ada selari atau tidak selari teori perkembangan kognitif
kanak-kanak yang dikemukakan oleh Jean Piaget.
2.3.2 Data Responden Ujian Perkembangan Kognitif
Responden bagi ujian perkembangan kognitif ini adalah sama dengan
responden bagi ujian perkembangan fizikal kanak-kanak. Responden
yang dipilih adalah berumur 7 tahun, 10 tahun dan 12 tahun iaitu
mengikut peringkat umur perkembangan kognitif kanak-kanak.
2.3.2.1 Data Responden Peringkat Pra Operasi Dan Perbincangan
RESPONDEN PERTAMA (PERINGKAT PRA OPERASI)
Nama murid : Amar Firdaus bin Atan
Umur : 7 Tahun
Tahun : 1
Jenis Ujian Konservatif Piaget Alasan Yang Diberikan Responden
Ujian Duit Syiling Jumlah duit syiling dalam kawasan A
dan kawasan B adalah sama kerana
bilangan duit tidak berkurangan.
Ujian Tali Panjang tali A dan tali B adalah tidak
sama kerana tali B kelihatan lebih
pendek berbanding tali A.
Ujian Air / Pengekalan Isipadu Situasi A :
Isipadu air dalam bekas A dan B
sama banyak.
Situasi B :
Isipadu air dalam bekas A dan C
tidak sama banyak kerana air dalam
bekas C sudah menjadi sedikit.
Perbincangan Responden Pertama
Responden pertama telah menjalani ketiga-tiga ujian berdasarkan
ujian konservatif Piaget iaitu ujian duit syiling, ujian tali dan ujian isipadu
air. Segala jawapan dan alasan yang diberikan oleh responden pertama
telah direkodkan.
Alasan yang diberikan oleh responden pertama yang berusia 7
tahun dalam ujian duit syiling ini ialah bilangan duit syiling selepas
diubah kedudukannya adalah sama dengan sebelum diubah kerana
bilangan duit tidak berkurangan. Keadaan ini membuktikan responden
pertama sudah berupaya berfikir secara logik dan rasional. Hal ini
sekaligus menolak teori yang dikemukakan oleh Jean Piaget yang mana
beliau menyatakan pada peringkat umur pra operasi (2-7 tahun), kanak-
kanak masih belum berupaya berfikir secara logik dan rasional. Ciri ini
dikatakan sebagai “centered” atau pemusatan. Menurut Piaget juga,
pada peringkat ini kanak-kanak masih tidak dapat menguasai proses
transformasi yang dijalankan ke atas dirinya. Oleh itu, tahap
perkembangan kognitif responden pertama bagi ujian duit syiling ini
adalah tinggi kerana mampu mengingat semula peristiwa yang sudah
berlaku dan boleh membanding dua peristiwa yang sudah berlaku.
Perkara bertentangan dengan ujian duit syiling telah berlaku ke
atas responden pertama yang mana bagi ujian tali, responden tidak
menguasai proses transformasi yang telah dilakukan. Responden
pertama yang berusia 7 tahun ini telah memberikan alasan bahawa
apabila kedua-dua tali diletakkan dalam keadaan yang lurus, panjang
kedua-dua tali tersebut adalah sama. Namun apabila tali tersebut
ditransformkan menjadi sedikit bengkok, alasan yang diberikan oleh
responden pertama ialah panjang tali A dan B tidak sama lagi kerana tali
B kelihatan lebih pendek berbanding tali A. Berdasarkan alasan yang
diberikan, responden pertama ini tiada keupayaan untuk
menggambarkan proses transformasi yang telah dilakukan terhadap tali
tersebut kerana mereka melihat pembengkokkan tali sebagai satu
ukuran yang baharu dan bukan ukuran tali yang lama.
Alasan responden ini menunjukkan keselarian dengan teori yang
dikemukakan oleh Piaget yang mana beliau menyatakan bahawa pada
peringkat umur 2-7 tahun, kanak-kanak masih belum mampu melihat
perubahan yang berlaku dalam sesuatu proses transformasi. Kanak-
kanak hanya mampu memerhati satu keadaan sahaja pada satu-satu
ketika. Bukti yang dapat ditunjukkan di sini ialah responden pertama
tidak berkebolehan untuk membuat perbandingan antara proses yang
telah diubah dengan yang asal. Hal ini kerana kanak-kanak hanya
dapat menumpukan perhatiannya kepada satu situasi sahaja dalam satu
masa tertentu.
Prinsip identiti juga masih belum dikuasai oleh responden melalui
ujian tali dan ujian isipadu air. Prinsip identiti yang dimaksudkan ialah
mereka tahu sekiranya tiada bilangan yang ditambah atau dikurangkan,
bilangan objek adalah sama walaupun bentuknya sudah berubah.
Responden tidak dapat mengenalpasti panjang kedua-dua tali masih
sama walaupun tali yang lurus dibengkokkan dihadapan mereka tanpa
dipotong sedikit pun, hanya bentuknya sahaja yang berubah. Bagi ujian
isipadu air pula, responden pertama telah mengatakan bahawa jumlah
air di dalam bekas C lebih sedikit berbanding jumlah air yang terdapat
dalam bekas A. Kenyataan ini disokong dengan pendapat yang
diberikan oleh Jean Piaget iaitu kanak-kanak pada peringkat umur 2-7
tahun tidak dapat menguasai prinsip identiti.
Selain itu, responden pertama ini turut tidak menguasai prinsip
ganti rugi yang mana prinsip ini telah membawa perubahan kepada
keadaan paras air. Hal ini telah menyebabkan air di dalam bekas C
kelihatan sedikit berbanding bekas A. Prinsip keterbalikan juga masih
tidak dikuasai oleh responden pertama kerana responden pertama tidak
mencuba untuk menuang semula air di dalam bekas C ke dalam bekas B
semula bagi memastikan paras air sama dengan bekas A.
Keadaan ini menunjukkan bahawa kanak-kanak pada peringkat
umur 2-7 tahun ini lebih menumpukan kepada keadaan fizikal daripada
konsep yang lebih abstrak. Pada peringkat umur ini juga kanak-kanak
tidak dapat melaksanakan transformasi dan tidak dapat melakukan
proses balik semula secara mental iaitu membalikkan proses kepada
asal seperti yang dikemukakan oleh Jean Piaget.
Oleh itu, kesimpulan daripada perbincangan hasil kajian terhadap
responden pertama mendapati bahawa hanya 2 jenis ujian sahaja yang
selari dengan teori yang dikemukakan oleh Jean Piaget terhadap kanak-
kanak peringkat umur pra operasi (2-7 tahun). Ujian duit syiling pula
tidak selari dengan teori yang dikemukakan oleh Jean Piaget. Keadaan
ini mungkin sahaja berlaku kerana ujian duit syiling yang dijalankan
terhadap kanak-kanak kini sudah tidak lagi sesuai. Namun untuk
mendapatkan kepastian tentang relevenan ujian ini dengan peringkat
umur pra operasi (2-7 tahun), ujian duit syiling ini seharusnya dijalankan
kepada responden yang lebih ramai agar keputusan ujian menjadi lebih
tepat.
2.3.2.2 Data Responden Peringkat Operasi Konkrit Dan Perbincangan
RESPONDEN KEDUA (PERINGKAT OPERASI KONKRIT)
Nama murid : Nur Amirul Hakim bin Sulaiman
Umur : 10 Tahun
Tahun : 4
Jenis Ujian Konservatif Piaget Alasan Yang Diberikan Responden
Ujian Duit Syiling Jumlah duit dalam kawasan A dan
kawasan B sama kerana walaupun di
selerakkan jumlahnya masih sama.
Ujian Tali Panjang tali A dan B sama kerana
hanya bentuk tali yang diubah namun
panjangnya tidak berubah.
Ujian Air / Pengekalan Isipadu Situasi A :
Isipadu air dalam bekas A dan B
sama kerana paras air adalah sama.
Situasi B :
Isipadu air dalam bekas A dan C
tetap sama kerana air yang dituang
dalam bekas C merupakan sejumlah
air yang sama dalam bekas A.
Perbincangan Responden Kedua
Berdasarkan hasil ketiga-tiga ujian yang telah dijalankan terhadap
responden kedua yang berusia 10 tahun ini, responden telah menguasai
tiga prinsip asas yang telah dikemukakan oleh Jean Piaget. Tiga prinsip
asas tersebut ialah prinsip identiti, prinsip ganti rugi dan prinsip
keterbalikan. Oleh itu, ujian konservatif Piaget yang dijalankan ke atas
responden kedua selari dengan teori yang dibuat oleh Jean Piaget. Bagi
mengenalpasti adakah responden kedua ini sudah menguasai ketiga-tiga
prinsip asas semasa peringkat umur operasi konkrit, ujian duit syiling,
ujian tali dan ujian isipadu air telah dijalankan.
Hasil ketiga-tiga ujian mendapati bahawa responden kedua yang
berusia 10 tahun ini sudah menguasai prinsip identiti. Hal ini kerana
beliau faham sekiranya tiada bilangan yang ditambah atau dikurangkan,
bilangan sesuatu objek adalah sama walaupun bentuknya sudah
berubah. Sebagai bukti, alasan yang diberikan oleh responden bagi
ujian duit syiling, tali dan isipadu air adalah sama walaupun kedudukan
duit syiling, tali dan bentuk air dalam bekas C sudah berubah bentuk.
Selain itu, responden kedua ini juga sudah menguasai prinsip
ganti rugi. Hal ini kerana alasan yang diberikan oleh responden semasa
menjalani ujian isipadu air ialah isipadu air dalam bekas A dan C tetap
sama kerana air yang dituang dalam bekas C merupakan sejumlah air
yang sama dalam bekas A. Hal ini menunjukkan responden memahami
bahawa bentuk bekas C yang lebih pendek dan lebarlah yang
menyebabkan isipadu air kelihatan kurang berbanding isipadu dalam
bekas A.
Bagi memastikan semula jawapan dan alasannya, responden
telah menuang semula air dalam bekas C ke dalam bekas B untuk
memastikan bahawa paras air masih sama dengan air di dalam bekas A.
Proses yang dilakukan oleh responden membuktikan bahawa beliau juga
telah memahami prinsip keterbalikan seperti mana yang dikemukakan
oleh Jean Piaget.
Oleh itu, kesimpulan daripada perbincangan hasil kajian terhadap
responden kedua mendapati bahawa ketiga-tiga ujian yang telah dijalani
menepati teori yang dikemukakan oleh Jean Piaget iaitu pada peringkat
umur operasi konkrit ini, kanak-kanak sudah boleh menguasai konsep
pengekalan (conservation) yang mana dalam konsep ini kanak-kanak
perlu menguasai tiga konsep asas iaitu prinsip identiti, prinsip ganti rugi
dan prinsip keterbalikan. Selain itu, responden juga sudah boleh berfikir
secara logik kerana sudah memahami proses transformasi yang
dilakukan.
2.3.2.3 Data Responden Peringkat Operasi Formal Dan Perbincangan
RESPONDEN KETIGA (PERINGKAT OPERASI FORMAL )
Nama murid : Mohd Haikal bin Haron
Umur : 12 Tahun
Tahun : 6
Jenis Ujian Konservatif Piaget Alasan Yang Diberikan Responden
Ujian Duit Syiling Jumlah duit syiling dalam kawasan A
dan kawasan B sama kerana
jumlahnya tidak berubah hanya
kedudukannya yang diubah.
Ujian Tali Panjang tali A dan tali B sama kerana
hanya bentuk tali yang berubah tetapi
tidak panjang tali tersebut. (Pelajar ini
telah meluruskan semula tali yang
telah bengkok kepada keadaan asal)
Ujian Air / Pengekalan Isipadu Situasi A :
Isipadu air dalam bekas A dan B
adalah sama kerana paras air dalam
setiap bekas sama rata.
Situasi B :
Isipadu air dalam bekas A dan C
masih sama kerana jumlah air
daripada bekas B dituangkan semula
dalam bekas C tanpa air tertumpah.
Perbincangan Responden Ketiga
Berdasarkan hasil ketiga-tiga ujian yang telah dijalankan terhadap
responden ketiga yang berusia 12 tahun ini, responden juga telah
menguasai tiga prinsip asas sama seperti responden kedua seperti yang
telah dikemukakan oleh Jean Piaget. Tiga prinsip asas tersebut ialah
prinsip identiti, prinsip ganti rugi dan prinsip keterbalikan. Oleh itu, ujian
konservatif Piaget yang dijalankan ke atas responden ketiga ini juga
selari dengan teori yang dibuat oleh Jean Piaget. Bagi mengenalpasti
adakah responden kedua ini sudah menguasai ketiga-tiga prinsip asas
semasa peringkat umur operasi formal, ujian duit syiling, ujian tali dan
ujian isipadu air telah dijalankan.
Hasil ketiga-tiga ujian mendapati bahawa responden ketiga yang
berusia 12 tahun ini sudah menguasai prinsip identiti. Sebagai bukti,
semasa menjalani ujian duit syiling, dengan memerhati sahaja
responden dapat mengetahui bahawa jumlah duit tetap sama walaupun
keadaan asal duit telah berubah bentuk. Keadaan ini berlaku kerana
pada peringkat umur operasi formal, kanak-kanak sudah mampu
melakukan proses mental ke atas idea-idea dan membuat jangkaan dan
andaian. Keadaan ini disokong lagi dengan pendapat Piaget yang mana
beliau menyatakan bahawa kanak-kanak pada peringkat umur ini sudah
boleh faham sekiranya tiada bilangan yang ditambah atau dikurangkan,
bilangan sesuatu objek adalah sama walaupun bentuknya sudah
berubah.
Selain itu, responden kedua juga sudah menguasai prinsip
keterbalikan kerana semasa menjalani ujian tali, beliau telah meluruskan
semula tali yang telah dibengkokkan dibawah tali yang lurus dan
memerhati semula kepanjangan kedua-dua tali tersebut. Setelah itu,
beliau telah memberikan alasan bahawa perubahan bentuk tali tidak
mempengaruhi panjang atau pendek tali tersebut. Alasan yang telah
diberikan membuktikan bahawa pemikiran responden ini tidak lagi terikat
kepada bahan-bahan konkrit yang mana beliau sudah mampu
memikirkan idea-idea secara abstrak dan membuat hipotesis. Membuat
hipotesis di sini bermaksud responden sudah boleh mencari alternatif
penyelesaian masalah iaitu boleh menaakul secara induktif atau deduktif.
Oleh itu, kesimpulan daripada perbincangan hasil kajian terhadap
responden ketiga mendapati bahawa ketiga-tiga ujian yang telah dijalani
menepati teori yang dikemukakan oleh Jean Piaget iaitu pada peringkat
umur operasi formal ini, kanak-kanak sudah boleh menaakul secara
induktif atau deduktif. Penaakulan induktif bermaksud berfikir daripada
aspek khusus kepada aspek yang lebih luas manakala penaakulan
deduktif pula bermaksud berfikir daripada pemikiran yang am kepada
khusus.
2.3.3 Rumusan Laporan Perkembangan Kognitif
Secara keseluruhan mendapati bahawa perkembangan kognitif kanak-
kanak juga meningkat mengikut umur. Menurut Jean Piaget (1896-
1980), kanak-kanak akan melalui peringkat-peringkat perkembangan
kognitif yang sama tetapi pada usia yang berbeza-beza. Beliau
berpendapat persekitaran tidak membentuk kognitif kanak-kanak,
sebaliknya, kanak-kanak membina pengetahuan mereka secara aktif
untuk memahami persekitarannya. Keadaan ini berlaku melalui pelbagai
proses penerokaan, manipulasi dan menilai persekitaran fizikalnya.
Walaupun ujian duit syiling yang dilakukan ke atas responden
pertama yang berusia 7 tahun bertentangan dengan teori yang
dikemukakan Jean Piaget, namun bagi mendapatkan kepastian tentang
relevenan ujian ini dengan peringkat umur pra operasi (2-7 tahun), ujian
duit syiling ini seharusnya dijalankan kepada responden yang lebih ramai
agar keputusan ujian menjadi lebih tepat. Proses transformasi duit
syiling dan tali yang dijalankan ke atas responden pertama juga
mempunyai jawapan yang berbeza. Oleh itu, penerimaan yang boleh
diambil di sini ialah kanak-kanak pada peringkat umur pra operasi masih
belum boleh menguasai proses transformasi kerana mereka masih
belum mampu berfikir secara logik dan rasional.
Berdasarkan perbincangan dengan guru di sekolah kajian
dijalankan, setiap orang guru harus sedar bahawa pengaruh rakan
sebaya adalah penting dalam perkembangan kanak-kanak,
khasnya dari perkembangan intelek, sahsiah, emosi dan sosial.
Misalnya, kanak-kanak bergaul dengan rakan sebaya yang rajin
belajar akan mendorong perkembangan intelek dan potensinya
ke tahap optimum. Kanak-kanak yang bersosialisasi dengan
rakan sebaya yang bersopan santun akan menyerap nilai-nilai
murni yang positif daripada mereka. Menurut NAEYC (National
Association For the Education of Young Children),
perkembangan kognitif kanak-kanak dipengaruhi oleh
persekitaran yang melingkunginya, seperti rumah dan sekolah.
Oleh itu, guru haruslah bijak dalam mengenalpasti
potensi setiap pelajar berdasarkan perkembangan kognitif
mereka mengikut peringkat umur. Cara guru mengajar di
dalam kelas amat mempengaruhi pelajar agar dapat menguasai
sesuatu kemahiran yang baharu. Bagi proses pengajaran dan
pembelajaran terhadap pelajar yang berumur 11 tahun ke atas,
guru boleh menggunakan bahan yang konkrit untuk
mengillustrasikan konsep yang lebih kompleks misalnya
penggunaan bahan 3D, model, rajah dan pengalaman pelajar
sendiri sebagai permulaan kepada pengajaran yang lebih
kompleks.
BIBLIOGRAFI
Haliza Hamzah, Joy N. Samuel,(2008). Perkembangan Kanak-kanak Untuk
Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan. KualaLumpur : Kumpulan
Budiman Sdn. Bhd.
Kamus Dewan edisi keempat, (2007). Dewan Bahasa dan Pustaka.
Mok Soon Sang, (2009). Perkembangan Kanak-kanak. Penerbitan Multimedia
Sdn. Bhd.
Pertumbuhan dan Perkembangan Kognitif Manusia Daripada Perspektif Teori
Piaget. http://teoripiaget.blogspot.com/ diakses pada 29 Mac 2011.
Prof. Dr. Khadijah Rohani Mohd. Yunus, Puan Mahani Razali, Puan Ramlah
Jantan, (2006). Modul Psikologi Pendidikan Fakulti Pendidikan, Sastera
dan Sains Sosial OUM. Kuala Lumpur : Meteor Doc. Sdn. Bhd.
Siti Rahayah Ariffin, Roseni Ariffin, Hafsa Mohamed Makki, (2008). Faktor
Kontribusi Kecerdasan Pelbagai Pelajar Remaja. Jurnal Pendidikan,
35-46.
Teori Perkembangan Kognitif Jean Piaget
http://rujuknota.blogspot.com/2009/07/teori-perkembangan-kognitif-jean-
piaget.html diakses pada 28 Mac 2011.
top related